+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, August 1, 2008

Pilihan raya kecil hujung Ogos atau awal September?

Mstar Online

31-07-2008 06:50:29 PM
Oleh G. MANIMARAN

BILA pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh? Ia bakal menjadi pilihan raya kecil pertama selepas pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Selepas sembilan tahun menjadi wakil rakyat bagi menggantikan suaminya Datuk Seri
Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr. Wan Azizah
Wan Ismail mengosongkan kerusi itu demi suaminya.

Anwar telah menjadi wakil rakyat kerusi itu sejak 1982 sehingga 1999. Anwar menyertai Umno pada 1982. Pada 1998 beliau dipecat daripada kerajaan dan Umno.

Tiada pilihan raya kecil diadakan ketika itu, sebaliknya pengundi kawasan berkenaan memberi sokongan kepada Dr. Wan Azizah dalam pilihan raya tahun berikutnya dan disusuli 2004 dan 2008.

Undang-undang memerlukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan wujud.

Berdasarkan kenyataan Dr. Wan Azizah beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen berkuat kuasa hari ini.

Justeru, bila pilihan raya akan diadakan?

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberitahu mStar Online bahawa "saya telah mengetahui secara informal" mengenai kekosongan tetapi masih menunggu makluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat.

Sehingga dihubungi petang tadi, beliau belum menerima makluman secara rasmi.

Kata beliau, SPR akan menentukan tarikh sesuai mengadakan pilihan raya kecil sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kekosongan secara rasmi.

Jelas beliau, pihaknya akan mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari untuk mengisi kekosongan itu.

Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil akan diadakan meskipun kerusi itu dikosongkan atas 'kehendak sendiri', Abdul Rashid memberitahu, bagi pihaknya cara kekosongan itu wujud tidak penting.

"Yang penting apabila ada kekosongan, kekosongan itu akan diisi (dengan diadakan pilihan raya kecil)," katanya.

Suruhanjaya itu akan mengambil kira pelbagai aspek sebagai pertimbangan apabila menentukan tarikh pilihan raya.

Ini termasuklah soal logistik dan sumber tenaga kerja untuk menguruskan pilihan raya.

"Perkara ini juga akan dibincangkan dengan Pengarah Pilihan Raya (Pulau Pinang), siapa pengurus pilihan raya.

"Ini di antara aspek yang perlu diteliti dalam menentukan tarikh yang sesuai," katanya.

Mengambil kira tempoh 60 hari daripada sekarang, Ramadan dijangka bermula 1 September.

Lazimnya pilihan raya kecil diadakan selepas dua hingga tiga minggu apabila sesuatu kekosongan wujud dengan diambil kira tempoh pengeluaran notis pilihan raya, tempoh minimum untuk penamaan calon dan tempoh minimum untuk berkempen.

Oleh itu pilihan raya kecil diadakan pada minggu terakhir Ogos? Ini perlu untuk mengelakkan kempen dan hari pengundian pada bulan puasa!

Ketika ditanya sama ada bulan Ramadan akan diambil kira dan pilihan raya akan dipercepatkan, Abdul Rahsid memberitahu:

"Bulan berpuasa tidak menjadi halangan. Kita pernah mengadakan pilihan raya pada bulan Ramadan sebelum ini."

Apakah kemungkinan pilihan raya kecil boleh jatuh awal September?

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |