+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, September 3, 2008

9 sekolah agama uzur mohon tanah

Utusan Online

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Pertubuhan Pendokong Sekolah-sekolah Agama Rakyat Negeri Perak (PPSR) meminta kerajaan negeri turut menganugerahkan tanah kepada Sekolah Menengah Agama (SMA) seperti yang diberikan kepada sembilan buah sekolah persendirian Cina bagi membolehkan SMA itu meneruskan peranannya.

Setiausaha PPSR, Khairul Anwar El-Syazalli Musa berkata, keadaan sembilan buah sekolah menengah agama itu kini begitu uzur dan tidak lagi boleh bertahan jika tiada bantuan diberikan.

Katanya, keseluruhan sekolah agama di Perak daripada segi fizikalnya begitu daif kerana tiada bantuan sewajarnya diberikan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, kesemua sekolah berkenaan hanya memperoleh bantuan daripada Baitulmal Perak dengan peruntukan purata RM12 setahun setiap pelajar.

“Daripada 38 sekolah agama di negeri ini, enam daripadanya telah ditutup dan 23 buah sekolah terpaksa diambil alih oleh kerajaan Pusat dan yang kekal cuma sembilan buah, itu pun dalam keadaan uzur.

‘‘Kami memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri kerana jika bantuan lambat diberi, mungkin ada sekolah agama itu akan ditutup kerana tidak mampu membiayainya lagi.

“Apa yang menyedihkan lagi, kebanyakan guru sekolah agama ini berada di bawah paras kemiskinan sehingga ada yang terpaksa bekerja sambilan seperti menjadi pemandu dan pengawal keselamatan untuk mencukupkan pendapatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Ipoh, hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah kerajaan Perak menganugerahkan 400 hektar tanah kepada sekolah persendirian Cina di Perak supaya ia dapat mengusahakan tanah berkenaan dan menggunakan keuntungan yang diperoleh untuk membiayai kos pentadbirannya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dipetik sebagai berkata, peruntukan RM30,000 setahun kepada setiap sekolah berkenaan pada masa ini tidak memadai.

Langkah ini disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa dan sepatutnya turut diberikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sekolah-sekolah Tamil yang rata-ratanya masih berkeadaan daif.

Khairul Anwar berkata, bantuan perlu diberikan kepada sembilan buah SMA itu kerana ia mempunyai lebih 5,000 pelajar.

Selain itu, katanya, terdapat 650 buah Sekolah Rendah Agama dengan 100,000 murid di negeri ini yang juga dalam keadaan tidak sempurna.

‘‘Kami menganggap faktor fizikal bukan penghalang untuk cemerlang dalam pendidikan, tetapi apa yang diutamakan sekarang ialah memastikan tenaga pengajarnya memperoleh pendapatan lebih selesa.

‘‘Pada masa ini, jika wang tidak cukup untuk membayar gaji guru, kami terpaksa isytihar di masjid untuk meminta derma daripada orang ramai,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permufakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof. Madya Dr. Mohd. Ali Hassan berkata, langkah kerajaan negeri Perak itu membelakangi agenda pendidikan kerajaan Pusat yang memberi keutamaan pendidikan kepada semua kaum.

Menurut beliau, sepatutnya perancangan kerajaan Perak sentiasa selari dengan kerajaan Pusat dalam isu pelajaran.

‘‘Kita minta mereka kaji dan teliti semula keputusan itu. Utamakan pendidikan awam daripada melihat keutamaan pendidikan kepada kaum tertentu sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Mohd. Ali, jika kerajaan Perak meneruskan cadangan itu, ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat.

‘‘Ia boleh memecah-belahkan perpaduan antara kaum. Jangan sampai ada kaum yang tidak puas hati dengan kelebihan yang diperolehi oleh kaum lain,” tegasnya.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamed pula berkata, tindakan itu menjurus kepada motif politik yang jelas tidak mengutamakan keadilan kepada kaum lain.

‘‘Mengapa tidak beri kepada Sekolah Agama Rakyat dan sekolah-sekolah Tamil yang keadaannya sama dengan sekolah Cina? Mereka tidak adil kerana mementingkan satu kaum sahaja.

‘‘Timbang balik keputusan itu. Ia sebenarnya membuka jurang yang lebih luas antara kaum untuk sama-sama hidup dalam keadaan bersatu padu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yayasan Pelajar Islam Malaysia (YPIM) turut meminta kerajaan negeri Perak menimbang semula keputusan itu kerana keutamaan seharusnya diberikan kepada institusi pendidikan Islam termasuk sekolah agama rakyat.

‘‘Banyak SAR belum mendapat kemudahan yang baik seperti sekolah-sekolah biasa. Seharusnya keutamaan diberi kepada SAR,” kata Presidennya, Khalek Awang.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |