+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, September 3, 2008

DAP tolak permohonan maaf Najib

Malaysiakini

Sep 3, 08 1:36pm

DAP memberi lima alasan mengapa permohonan maaf timbalan perdana menteri bagi pihak seorang ketua bahagian Umno di Pulau Pinang yang telah membuat kenyataan berunsur perkauman terhadap orang Cina, "tidak bersesuaian, tidak memadai dan tidak boleh diterima".

Pertama, kata tokoh utama DAP Lim Kit Siang, ketua Umno Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail sendiri tidak memohon maaf dan tidak pun menunjukkan kekesalannya kerana membuat kenyataan tersebut sejak sembilan hari lalu.

Sehubungan itu, Lim mempersoalkan apakah Ahmad bersikap demikian kerana penuh yakin yang beliau mendapat sokongan pemimpin dan ahli arus perdana Umno.

Oleh itu, Lim bertanya sama ada permohonan maaf Datuk Seri Najib Tun Razak boleh diterima sedangkan Ahmad sendiri masih berdegil dan tidak kesal dengan perbuatannya mengeluarkan kenyataan yang berunsur perkauman.

"Walaupun jika Ahmad memohon maaf, akan timbul persoalannya sama ada ia memadai, memandangkan dalam kes Wee Meng Chee dalam isu lagu rap Negaraku, kabinet telah menolak permohonan maafnya sebagai tidak mencukupi," kata ahli parlimen Ipoh Timur itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, banyak laporan polis telah dibuat terhadap Ahmad di bawah Akta Hasutan.

Oleh itu, Lim mempersoalkan sama ada permohonan maaf Najib itu bermaksud sebagai satu mesej kepada pihak polis dan Peguam Negara supaya jangan mengambil tindakan terhadap Ahmad.

Menurutnya, Najib seharusnya memohon maaf bagi pihak dirinya dan bukannya bagi pihak Ahmad, kerana gagal mengambil tindakan segera terhadap ketua bahagian Umno itu, yang didakwa membuat kenyataan itu sewaktu kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh 24 Ogos lalu, yang turut dihadiri Najib.

Media perdana

Lim berkata, perdana menteri juga harus memohon maaf dengan alasan cuba melindungi dan melepaskan Ahmad yang telah membuat kenyataan tersebut.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini pernah menyatakan ketua Umno itu tidak bermaksud seperti yang dikatakannya dan beliau akan "memberitahu Ahmad supaya jangan mengulanginya".

Akhir sekali, kata Lim, keikhlasan permohonan Najib juga dipersoalkan kerana berita mengenainya didakwa tidak disiarkan oleh akhbar-akhbar arus perdana Melayu yang dimilik dan dikuasai oleh Umno, terutamanya Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Menurut Lim lagi, semakan di laman web umum Bernama menunjukkan berita permohonan maaf oleh Najib itu dilaporkan dalam versi bahasa Inggeris, tetapi tidak dalam versi Bahasa Malaysia.

Dengan manipulasi media seumpama itu, dakwa Lim, setakat manalah seseorang itu hendak mempercayai Najib apabila beliau berkata kenyataan Ahmad itu tidak mencerminkan pendirian dan sikap Umno atau kepimpinan Umno.

Katanya, jika Najib benar-benar ikhlas dan serius berhubung kenyataannya mengenai pendirian Umno dan kepimpinan parti itu memisahkan diri mereka dengan kenyataan Ahmad, maka mengapa kenyataannya hanya dibenar dilaporkan dalam media arus perdana bukan Melayu, tetapi tidak dalam media arus perdana Melayu.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini di Kuala Lumpur mendapati berita tersebut turut disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Laman web Utusan Online juga menyiarkan berita tersebut. Edisi langganan Bahasa Malaysia Bernama memuatkan berita permohonan maaf Najib walaupun tidak menerbitkan di laman web umumnya.

Ketika dihubungi untuk memaklumkan perkara itu, Lim berkata, beliau membaca akhbar-akhbar tersebut di Pulau Pinang dan mendapati berita tersebut tidak disiarkan.

Bagaimanapun semakan Malaysiakini mendapat kedua-dua akhbar berkenaan, yang dijual di negeri itu, memuatkan berita tersebut.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |