+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, September 23, 2008

'Dunia kecil' Teresa Kok di bilik 6 kali 8 kaki selama seminggu


Mstar Online

TERESA Kok dengan wajah gembira pada sidang akhbar selepas dibebaskan pada 19 September lalu.

APABILA Teresa Kok dibebaskan selepas ditahan selama lapan hari tujuh malam di salah satu pusat tahanan sementara ISA di ibu negara, ada yang secara berjenaka mengatakan, Ahli Parlimen DAP kerusi Seputeh bebas awal kerana 'lebih hebat menyoal siasat' pihak polis berbanding polis menyiasat beliau.

Teresa, 44, Setiausaha Publisiti DAP juga diajukan pandangan ini. Beliau cuma ketawa kecil.

Tetapi, Teresa yang awal-awal sudah meramalkan akan ditahan di bawah ISA satu hari nanti sebaik menceburi politik pada 1990, juga menafikan yang beliau iron lady pembangkang khususnya DAP. Katanya: "Saya tidak pernah anggap diri saya sebagai iron lady dan pemimpin handal."

"Saya percaya, adalah penting untuk kita gunakan prestasi kerja kita untuk membuktikan kepada orang ramai yang kita berkhidmat kepada negara dan rakyat secara bersungguh-sungguh. Tetapi kalau orang ramai anggap saya sebagai iron lady, saya mahu berterima kasih kepda penulis kolum Utusan Malaysia, Zaini Hassan, (Datuk Seri) Khir Toyo dan ADUN Sri Serdang, (Datuk Mohamad) Satim (Diman)," katanya dalam temu bual dengan mStar Online di pejabatnya di Tingkat Tiga, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam semalam.

Semalam merupakan hari pertama beliau yang selaku Pengerusi Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor kembali ke pejabatnya. Ikuti temu bual penuh dengan beliau - pemimpin wanita DAP pertama dan exco pembangkang pertama, mengenai penahanannya di bawah ISA.Adakah hari ini hari pertama Yang Berhormat (YB) masuk ke pejabat selepas dibebaskan Jumaat lalu?Ya, hari ini hari pertama. Ini program kedua. Pagi tadi, saya menghadiri satu temujanji dan kemudian pulang ke pejabat.

REAKSI Teresa Kok ketika dikerumuni wartawan pada 19 September.

Bagaimana perasaan YB kembali semula ke pejabat, untuk bertugas?

Saya rasa gembira dan lega kerana ini pejabat saya dan saya pulang semula bekerja berbanding semasa saya berada dalam kurungan persendirian di pusat tahanan ISA. Ada beberapa staf yang rasa gembira bertemu saya semula.

Kini berhadapan dengan sebarang tekanan?

Saya baru sahaja masuk pada pukul 10 pagi dan saya masih perlu melihat apa yang berlaku sepanjang 10 hari lepas.

Selama lapan hari YB berada dalam kurungan persendirian, (apa yang berlaku sebenarnya semasa dalam tahanan?

Sebenarnya saya ditahan pada 12 September iaitu hari Jumaat dan dilepaskan pada 19 September, juga hari Jumaat. Jadi seminggu atau tujuh hari... dalam tujuh hari itu, ketika dalam tahanan ISA, saya tidak tahu apa salah saya. Saya tidak lakukan apa-apa yang dituduh seperti yang disiarkan dalam Utusan Malaysia dan sesetengah blog seperti pembelamelayu.com. Justeru saya rasa, ini kesalahan polis (menahan saya).

Selepas saya disoal siasat oleh pegawai penyiasat polis, saya ingat saya boleh dibebaskan dua atau tiga hari selepas itu kerana memang tiada kes langsung terhadap saya. Jadi, saya rasa agak hairan (saya) ditahan selama tujuh hari.

Tetapi pada hari yang ketiga iaitu hari Isnin, semasa saya dibawa ke Bukit Aman untuk berjumpa dengan ibu bapa dan setiausaha saya, saya diberitahu tentang sokongan yang begitu kuat daripada orang ramai terhadap saya di mana saya diberitahu, ada ramai orang daripada pelbagai kaum dan agama berdoa dan bersembahyang supaya saya dan Raja Petra dibebaskan. Saya ditunjukkan beberapa keratan akhbar oleh setiausaha saya... jadi, saya rasa lebih senang hati kerana saya ada sokongan yang begitu kuat di luar penjara dan ini menguatkan hati dan memberi ketabahan kepada saya. Saya sangka selepas tu, mungkin saya akan dibebaskan tapi tidak sangka akan ditahan sehingga Jumaat (19 September).

Ada laporan yang mengatakan YB akan ditahan selama 28 hari. Pandangan YB?Ya, pada hari Ahad iaitu pada hari ketiga di sebelah malam, selepas saya memberikan kerjasama yang penuh kepada pegawai penyisat polis tentang beberapa tuduhan yang dilemparkan terhadap saya, saya sangka ia sudah memuaskan hati mereka dan saya akan dibebaskan. Saya tidak sangka, malam itu juga, beberapa pegawai dari Bukit Aman telah datang ke bilik saya dan memberitahu, penahanan saya itu disambung 28 hari lagi.

SATU lagi reaksi TERESA Kok semasa ditemui wartawan.

Ini menyebabkan saya berasa sangat sedih dan saya memang memarahi kesemua pegawai polis yang ada di sana. Saya tahu bukan kesalahan mereka tapi saya rasa begitu sedih kerana mereka menahan seorang yang tidak bersalah dan saya bercakap dengan mereka, 'ini bulan Ramadan... semua kena berfikir dan berbuat baik kerana ini bulan suci. Jadi menahan seorang yang tidak bersalah di bawaa ISA ini memang satu dosa'.

Saya rasa sangat susah hati pada waktu itu tetapi pada hari Isnin, apabila saya diberitahu sokongan yang kuat di luar kepada saya, saya rasa saya boleh teruskan.

YB memang sudah bersedia untuk ditahan lama

Ya, saya (sudah) bersedia. Saya berkata kepada pegawai polis yang datang pada saya, mengapa menahan saya dalam kurungan persendirian kerana saya tidak buat apa-apa kesalahan. Saya beritahu mereka, kalau mahu, hantar saya terus ke (pusat tahanan) Kamunting. Saya diberitahu tempat itu lebih selesa berbanding kurungan persendirian ini.

Bagaimana persekitaran bilik kurunganSaiznya 6 kaki kali 8 kaki. Terdapat dua katil kayu dan satu tandas kecil. Ini ruang yang saya ada.

Pada hari pertama, saya ditahan pada pukul 11.15 malam. Selepas semua prosedur, saya dimasukkan ke dalam bilik kurungan pada pukul 4 pagi. Pada waktu itu, saya terpaksa tidur atas katil kayu tanpa bantal. Tapi pada waktu itu saya begitu letih, jadi saya terus tidur. Tapi hari kedua , saya diberi tilam dan bantal.

Setelah 44 tahun berada dalam dunia yang luas, kemudian tujuh hari di bilik kecil, bagaimana YB merasai kebebasan (yang sebenar)?

Saya tidak rasa panik kerana bila kita tidak buat apa-apa salah, hati kita pun tenang. Saya berdoa kepada Tuhan. Saya rasa Tuhan akan melindungi saya. Saya yakinkan diri sendiri bahawa saya terima hakikat ini dan ingin buktikan kepada polis dan dunia yang saya tidak bersalah. Mereka yang menahan saya itu telah membuat satu kesilapan yang amat besar. Itu yang saya cakap pada diri saya untuk menenangkan hati.

YB tidak sama sekali menganggap diri YB satu ancaman kepada negaraApa yang telah saya buat yang telah mengancam keselamatan negara kita? Apabila saya dibebaskan, saya baca dalam akhbar yang Menteri Dalam Negeri berkata, siasatan polis mendapati Teresa Kok tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamtan negara. Saya rasa sangat lucu dan pada malam itu juga, saya telah menyampaikan beberapa ceramah selepas dibebaskan. Bila saya baca ‘headline’ akhbar kepada orang ramai di mana saya bukan lagi ancaman kepada keselamtan negara, semua orang ketawa. Mana-mana saya pergi pun, semua orang ketawa. Memang tidak ada orang yang anggap saya ancaman kepada keselamatan negara. Ini kenyataan yang memang tidak masuk akal.

Sekarang mereka kena cari alasan kenapa saya ditahan dan dibebaskan dan apa pun alasan yang diberi, memang tidak akan memuaskan hati orang ramai kerana mereka tahu saya tidak bersalah.

Tetapi memang sehingga hari ini memang tiada alasan yang diberikan atas kebebasan YB

Tiada alasan dibebaskan. Tetapi bila saya ditahan di bawah ISA, saya dikatakan mencabuli Seksyen 73(1) Akata Keselamatan Dalam Negeri iaitu saya menyebabkan ketegangan dan pergaduhan antara kaum dan agama. Ini satu kesalahan yang amat serius. Saya ada bertanya kepada mereka, apa yang saya buat yang menyebabkan ketegangan antara kaum dan agama? Saya tidak pernah cakap apa-apa atau pun membuat apa-apa kenyataan secara bertulis yang menyakiti mana-mana kaum dan agama. Jadi kenapa saya didakwa dengan satu tuduhan begitu besar sekali?

Saya berkata pada polis, berikan saya bukti... bila saya diberi notis sambungan 28 hari penahanan, saya tanya kepada Special Branch 'kamu semua selalu ikut saya sebagai ahli politik, kamu mendengar (perbualan) telefon bimbit dan emel kami, jadi kamu tahu gerak-geri saya selama ini... kalau ada masa, saya masuk dalam blog saya, jadi apa lagi kesalahan saya?

Saya tanya 'tidak cukupkah dan sampai sekarang pun tidak dapat buktikan bila saya pernah buat apa-apa kenyataan dalam ceramah dan kenyataan bertulis yang menunjukkan saya menyakiti hati dan mencemarkan apa-apa agama dan kaum'. Mereka memang diam saja dan tidak dapat tunjukkan apa-apa bukti.

Apabila YB menceburi politik (kira-kira) 20 tahun lepas, pernahkah YB menyangka akan ditahan di bawah ISA

Pernah! Saya menceburi politik pada tahun 1990. Saya menjadi setiusaha kepada Lim Kit Siang yang merupakan Ketua Pembangkang Parlimen pada waktu itu.

Ibu bapa saya melarang saya menyertai politik dan bekerja dengan Lim Kit Siang tetapi hati saya berkata, saya mahu menguatkan parti pembangkang supaya lebih demokratik dan mewujudkan sistem dua parti. Saya tidak masuk politik untuk keuntungan dan kebaikan diri. Mereka cuba larang saya kerana bimbang saya akan ditahan ISA kerana Lim Kit Siang baru sahaja dilepaskan daripada Operasi Lalang pada 1987.

Adakah mereka bimbang atau YB yang bimbang

Saya tidak bimbang kerana jika saya yang bimbang, saya tidak akan masuk parti pembangkang. Selama ini, saya tidak pernah keluarkan kenyataan yang menyakitkan hati sesiapa tetapi biasalah, sebagai ahli politik, apabila kita mahu membongkar skandal atau salah laku pentadbiran kerajaan dan polis, tentu ada yang tidak suka. Namun, itu tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat dan ahli politik untuk membantu yang lemah dan memerlukan.

Adakah penahanan selama tujuh hari melemahkan semangat YB

Tidak... sekarang saya bebas. Ke mana sahaja saya pergi, ramai orang kenal saya sekarang... ke gereja, pasar dan restoran, semua orang akan bertepuk tangan. Ini tanda sokongan terhadap saya kerana kalau saya penjenayah, mereka tidak akan menepuk tangan. Mereka gembira saya keluar dari tahanan.

Saya rasa ini adalah kesilapan Barisan Nasional (BN). Sebenarnya pada hari pertama, saya sudah beritahu kepada pegawai penyiasat polis, saya tidak bersalah. Mereka selalu kata itu adalah arahan, mereka tidak tahu kerana hanya menurut perintah.

Saya kata, 'kamu pergi cakap kepada orang atasan, kamu tangkap saya yang tidak bersalah. Ramai orang tahu saya tidak bersalah. Ini tidak akan memberi sokongan tambahan kepada BN malah ini akan menrunkan sokongan kepada BN'.

Penahanan saya sebagai wakil rakyat yang tidak bersalah boleh menggugat kemasukan pelaburan asing dan ini akan menjejaskan ekonomi kita. Pada waktu itu (dalam tahanan), saya meramalkan dalam minggu hadapan, pasaran akan jatuh lebih lagi kerana semasa saya ditahan, indeks komposit 1,038 (mata). Saya meramalkan ia akan jatuh sehingga 1,000 (mata).

Bila saya keluar, saya tengok akhbar, ia jatuh sehingga 900 lebih mata. Memang kebetulan kerana AIG menghadapi masalah di Amerika, jadi mempengaruhi pasaran saham dunia. Bila saya bebas, ia naik pula. Ini sememangnya pengaruh ekonomi dunia.

Tapi apa yang saya cuba mahu sampaikan adalah penahanan seperti ini memang akan menggugat keyakinan pelabur tempatan dan asing secara jangka panjang dan menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa.

Adakah semasa dalam tahanan, YB ada terfikir untuk mengakhiri kerjaya politik (selepas keluar)?

Tidak kerana saya tidak bersalah. Keduanya, bila saya keluar dari pusat tahanan, saya terima begitu banyak panggilan telefon dan sms yang menunjukkan orang ramai gembira dengan pembebasan saya. Ini menunjukkan orang ramai sayang dan menyokong saya dan ini yang menyebakan kita sebagai ahli politik akan meneruskan perjuangan kita.

YB adalah pemimpin politik berjawatan dalam kerajaan dan wanita pertama yang ditahan di bawah ISA. Apa pendapat YB apabila ada orang menganggap YB sebagai ‘iron lady’ DAP?

Saya tidak pernah anggap diri saya sebagai ‘iron lady’ dan pemimpin handal. Saya percaya, adalah penting untuk kita gunakan prestasi kerja kita untuk membuktikan kepada orang ramai yang kita berkhidmat kepada negara dan rakyat secara bersungguh-sungguh. Tetapi kalau orang ramai anggap saya sebagai ‘iron lady’, saya mahu berterima kasih kepda penulis kolum Utusan Malaysia, Zaini Hassan, (Datuk Seri) Khir Toyo dan ADUN Sri Serdang, (Datuk Mohamad) Satim (Diman).

Apa yang sebenarnya yang berlaku berhubung isu azan

Saya sebenarnya tidak pernah membabitkan diri dalam petisyen membantah isu azan di masjid di Bandar Kinrara. Apabila tersebar dalam email, blog dan tersiar akhbar Utusan Malaysia dan seterusnya ditanya oleh pemberita dan Ahli Parlimen PAS, Khalid Samad, saya pun hairan kerana saya tidak terlibat langsung dan saya nafikan tuduhan ini dalam blog saya sendiri sebelum saya ditahan di bawah ISA. Jadi, bukankan sepatutnya polis patut menjalankan siasatan yang lebih baik sebelum menahan saya di bawah ISA? Saya kata kepada kepada pegawai penyiasat supaya ambil satu petisyen itu. Di situ ada nama dan nombor kad pengenalan, pergi tanya mereka, pernahkah mereka berjumpa Teresa Kok dari muka ke muka? Tanya mereka sama ada adakah saya orang yang meminta mereka membuat petisyen kepad Satim.

Apa yang saya tidak puas hati adalah selepas saya ditahan di bawah ISA, imam dari masjid tersebut sudah menafikan yang saya terlibat dan kenyataan itu keluar dalam Malaysiakini. Sepatutnya, apabila imam itu menafikan, mereka patut bebaskan saya. Kenapa mereka terus tahan saya sehinga Jumaat.

Pada 19 September, saya baca dalam NST yang pegawai dari masjid Bandar Kinrara dipanggil untuk memberi kenyataan. Maksudnya itu adalah hari keenam saya ditahan. Bukankah ini menunjukkan siasatan yang dilakukan begitu teruk? Hanya kerana ada orang membuat laporan polis dan tulisan Zaini Hassan, saya ditahan di bawah ISA. Saya diberitahu Cawangan Khas PDRM kita adalah antara lima yang terbaik di dunia tapi inikah siasatan polis kita?

Mungkin ada pihak iri hati dengan perjuangan politik YBMungkin ada tapi selepas menjadi kerajaan, orang iri hati yang cuba merosakkan hubungan parti komponen Pakatan Rakyat adalah orang Umno dan di Selangor, jelas sekali, Umno Selangor selalu menyebarkan khabar angin yang bukan-bukan dan mereka menggunakan internet dan Utusan Malaysia untuk mencapai objektif ini.

Selepas ini, setelah bebas, apa yang YB mahu lakukan dan perancangan masa depan politik serta karierSaya akan lebih tabah hati dalam perjuangan politik saya kerana saya ingin berterima kasih kepada semua yang berdoa dan memberi sokongan secara terbuka kepada saya. Saya rasa saya mesti tunjukkan kepada mereka, kita (Pakatan Rakyat) boleh mencapai apa yang kita cita-citakan semasa menjadi kerajaan dalam beberapa tahun akan datang.

Sebagai mangsa ISA atas kesalahan yang tidak saya lakukan, saya harus berkempen untuk memansuhkan satu undang-undang yang begitu kejam. Ia bukan usaha saya seorang kerana sekarang, sudah ada gerakan untuk memansuhkan ISA dan di Kamunting, ada lebih 60 orang lagi tahanan ISA. Bukan sahaja tahanan yang sengsara, malah keluarga mereka juga telah menjadi berpecah belah kerana penahanan yang tidak adil ini.

Seperti kata Tok Guru Nik Aziz, penahanan ISA ini adalah bercanggah dengan ajaran Islam kerana tahanan itu tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri sendiri di mahakmah. Kes saya jelas sekali... tidak disiasat dengan betuk tetapi menahan saya di bawah ISA. Saya ini adalah wakil rakyat tapi bagaimana pula dengan orang ramai yang ditahan ISA? Adakah siasatan dijalankan dengan betul sebelum mereka ditahan? Jika mereka benar-benar bersalah, mengapa kerajaan atau polis tidak mendakwa mereka di mahkamah? Negara kita ada banyak undang-undang yang boleh mendakwa.

Setelah ditahan, adakah YB rasa semakin ramai yang menyayangi YB

Ya, memang betul. Bila saya pergi ke mana-mana, orang akan kenal saya. Orang akan lihat sama ada ini Teresa Kok atau tidak. Bila saya tengok mereka punya reaksi muka, saya akan, saya akan pergi berjabat tangan dengan mereka.

Mungkin dulu orang takut kerana YB terlalu agresif dan lantang (bersuara)?

Ini kerja saya... sebagai wakil rakyat, saya sepatutnya berjuang dan bercakap bagi pihak rakyat kepada kerajaan dan Parlimen. Kalau saya orang yang membisu sahaja, buat apa saya menjadi ahli poltik dan dipilih menjadi wakil rakyat. Pada sidang Parlimen akan datang, saya dan rakan-rakan tentu akan membangkitkan isu kekejaman ISA termasuk kurungan persendirian ini. Kami bukan penjenayah. Mengapa kami ditahan di lokap dan pintu bilik itu dikunci serta dimangga?

Terdapat berapa orang dalam bilik (tempat kurungan)?

Saya seorang. Saya dipaksa memakai uniform seperti banduan. Sebelum saya keluar, saya dipaksa untuk menurunkan 10 cap jari pada borang pesalah. Itu tidak cukup. Kemudian, gambar saya diambil dengan nombor dari arah depan, kiri dan juga kanan. Saya beri kerjasama kerana mereka kata ini prosedur. Saya kata kepada mereka, 'kerajaan ini memang kejam dan kita mesti tukar kerajaan. Kamu semua layan saya baik-baik. Bila jadi kerajaan, saya mungkin jadi Menteri Dalam Negeri. Saya akan jadi ketua kamu...'

Bagi saya, saya sudah beri kerjasama penuh. Saya sangka mereka mahu tanya lebih banyak soalam lagi tentang Pakatan Rakyat dan DAP tetapi tidak ada. Soalan pokok yang ditanya adalah berdasarkan artikel yang ditulis Zaini Hassan dalam Utusan Malaysia dan ini menghairankan saya.

Pernahkah YB membangkitkan isu-isu sensitiviti kaum dalam mana-mana ceramah

Tidak pernah. Bagi DAP, kita adalah satu parti politik pelbagai kaum. Kita ada pemimpin Melayu, ahli Melayu, India dan Cina. Di Sabah, kita ada orang Kadazan dan di Sarawak, kita ada orang Iban. Kalau saya sebagai pemimpin membuat kenyataan seperti itu, saya tentu tidak mendapat sokongan daripada parti saya.

Bagi DAP, kami lebih mengutamakan kepada kaum bukan Cina. Ini terbukti dalam pilihan raya lepas. Kita ada ramai calon kaum India kerana kami cuba memberi lebih peluang kepada mereka. Itu sebabnya dalam mesyuarat Dewan Rakyat kali ini, kita ada lebih Ahli Parlimen kaum India berbanding BN dan MIC. Ini pendekatan kita dan kita mahu tunjukkan kepada kaum Melayu, DAP tidak pernah mengambil apa-apa pendekatan untuk membantah agama Islam ataupun kaum Melayu. Ini adalah agenda yang disebar dalam Utusan Malaysia dan dalam media aliran utama selama ini. Orang Melayu tengok parti DAP sahaja, mereka beranggapan ini parti Cina... ini anti-Melayu... anti-Islam.

Ini adalah imej dan mesej yang cuba mereka sampaikan kepada orang Melayu. Sebagai pemimpin pelbagai kaum, mungkinkah saya nak akan membuat kenyataan untuk menyakiti hati sesiapa? Tidak masuk akal langsung... saya tahu... selepas isu penternakan babi di Selangor iaitu projek yang dimulakan oleh kerajaan BN yang lepas, yang mana kami hanya mahu meneruskannya, saya pernah membangkitkan ia dalam blog saya. Isu itu ‘digoreng’ oleh Utusan Malaysia yang mendapat kritikan yang begitu kuat di kalangan kaum Melayu sehingga mereka anggap inilah satu-satunya projek Pakatan Rakyat di Selangor.

Selepas itu, saya membidas beberapa komen berhubung itu dalam blog saya... itu sahaja. Saya tidak bertujuan membuat pengumuman kerana itu bukan bidang kuasa saya. Selepas itu, saya rasa orang-orang Umno ini cuba menjadikan saya sebagai orang yang chauvinist... mereka mengatakan saya membantah laungan azan... saya yang cadangkan peruntukan dalam JAIS itu iaitu 30 peratus untuk membina kuil, rumah berhala bukan Islam. Semua yang saya tidak pernah cakap, mereka bangkitkan.

Begitu jahat motif mereka dan ia sangat tidak sihat dan gentleman.

Adakah YB sedih dengan hal ini

Ya, saya memang rasa sedih kerana saya dilemparkan dengan tuduhan yang bukan-bukan. Tetapi saya rasa Tuhan akan mengembalikan keadilan kepada saya. Bagi perkara-perkara yang saya tidak buat, mereka yang cuba membuat tohmahan terhadap, saya percaya mereka akan menerima balasan. Kalau bukan masa sekarang, mereka akan terima hukuman daripada Tuhan di akhirat.

Adakah YB berpuas hati dengan cara pegawai-pegawai melayan YB semasa dalam tahanan

Pegawai-pegawai di sana OK kerana mereka menurut perintah daripada atasan. Mereka selalu berkata, ini adalah prosedur. Mereka jalankan tugaskan. (Apabila)saya keluar dari sel bilik saya, saya dipaksa untuk memakai cermin mata besar supaya saya tidak dapat melihat keadaan bangunan dan persekitaran pusat tahanan dan pada hari pertama, mereka malah mahu menggari tangan saya dengan mata ditutup.... macam orang yang mahu dihantar (untuk menjalani) hukuman gantung. Mereka bawa saya pegi jumpa doktor untuk membuat pemeriksaan perubatan. Mereka bimbang bila saya keluar nanti, saya mengadu kalau ada apa-apa kecederaan pada tubuh badan saya, nanti mereka kena bertanggungjawab.

Doktor pun baik terhadap saya. Saya minta vitamin C dan beliau memberinya. Tiap-tiap pagi, ada seorang pegawai akan memberikan saya vitamin itu dan doktor juga memberi saya pil kalsium untuk menjaga kesihatan saya.

Dari aspek menjaga kesihatan, mereka cuba yang terbaik untuk memenuhi kehendak saya. Bila saya mengadu sakit bahu dan leher, doktor itu sangat baik hati dan memberi saya menerima rawatan fisioterapi.

Jadi (dalam soal kesihatan) saya tidak banyak mengadu. Bila cuaca jadi panas, sebenarnya ada banyak nyamuk. Bila saya masuk ke dalam bilik pada waktu malam, mereka akan letak lingkaran ubat nyamuk di depan pintu saya untuk menghalang nyamuk masuk. Saya diberitahu, mereka buat begini kerana dahulu pernah berlaku demam denggi secara besar-besaran di pusat tahanan itu dan itu mejadikan pegawai lebih sibuk kerana terpaksa menghantar semua orang masuk ke hospital.

Saya rasa gembira kerana YB T. Murugiah akan datang berjumpa saya berkenaan makanan (hari Isnin, semalam). Saya rasa berterima kasih kepada beliau kerana menunjukkan keprihatinan tentang aduan saya saya. Saya berharap selepas aduan saya, kedaaan di sana akan diubahsuai.

Yang pertama, ISA harus dimansuhkan. Yang kedua, kita tidak sepatutnya dihantar ke kurungan persendirian. Ini tidak masuk akal. Kami ini tahanan politik. Kami harus diletakkan dalam keadaan yang lebih baik kerana kami bukan penjenayah.

(Ini soalan peribadi)... bila YB mahu mendirikan rumah tangga?

Buat masa ini, tidak ada masa untuk memikirkan hal ini. Selepas menjadi Exco Selangor dan Ahli Parlimen, rakyat adalah ahli keluarga bagi saya. Saya adalah hak mereka. Apabila saya keluar setiap pag dan balik adaah larut malam, saya tidak ada masa untuk hal lain. Selagi kita gembira dan ada kepuasan kerja, ini bukan isu penting.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |