+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, September 8, 2008

'Henti jadi jaguh kaum' - KJ

Berita Harian

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my


BANTUAN: Khairy (dua dari kiri) dan Nazri menyampaikan bantuan zakat kepada fakir miskin pada program Nur Ramadan di Kuala Kangsar, kelmarin.

Taktik pancing undi jejas hubungan komponen BN

KUALA KANGSAR: Pemimpin politik tidak sepatutnya menjadi hero kaum mereka hanya untuk memancing undi ketika pemilihan parti masing-masing, kata Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda Umno berkata, pemimpin parti tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan dalam BN dan menyinggung perasaan kaum lain.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, jika ada isu dalam hubungan parti komponen, pemimpin perlu menyelesaikannya dengan semangat BN.

"Tidak perlu ada kata dua daripada mana-mana parti dalam BN seperti mahu keluar BN. Kita berada dalam gabungan ini lebih 50 tahun dan saya percaya masalah ini dapat diselesaikan.

"Jangan kerana kita terlalu hendak memancing undi dalam pemilihan parti sendiri, kita sanggup keluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan dalam BN.

"Umno akan menghadapi pemilihan juga dan janganlah kita keluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan dengan parti komponen lain.

"Sama juga dengan Pemuda MCA, jangan kerana hendak jadi jaguh dalam parti sendiri, keluarkan kenyataan yang boleh mengguris perasaan kawan lain dalam BN," katanya selepas Majlis Nur Ramadan di Masjid Taman Kuala Kangsar, di sini kelmarin.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dan Ketua Pemuda Perak, Zainol Fadzi Paharuddin.

Pada majlis itu, Khairy menyampaikan bantuan barang dan wang tunai kepada 50 ibu tunggal dan anak yatim sekitar Kuala Kangsar.

Sabtu lalu, bekas Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan, Han Chin Peng dan bekas Ketua Pemuda MCA Perak, Datuk Tan Chin Meng menggesa pimpinan MCA menimbang keluar daripada BN.

Khairy berkata, ketika pemilihan parti berlangsung, pemimpin sepatutnya lebih berhati-hati dan tidak melampaui batas ketika mengeluarkan kenyataan.

Beliau berkata, kenyataan supaya parti komponen keluar BN mungkin timbul selepas pembangkang sengaja mempolitikkan pelbagai isu hingga mendorong pemimpin parti komponen mengeluarkan kenyataan mengkaji kedudukan mereka dalam BN.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |