+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, September 6, 2008

Kerajaan baru 16 Sept mustahil

Berita Harian

Oleh Abdul Razak Raaff dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my


PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan portal Sistem Sokongan Pelesenan Perniagaan Elektronik (Bless) untuk membolehkan permohonan serentak bagi lesen, permit dan kelulusan bagi memulakan perniagaan di Bangunan Perdana Putra, semalam. Turut hadir Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan (dua kiri), Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Yong Poh Kong (kiri), dan Ketua Pengarah Unit Komunikasi Dalaman (ICU), Tan Sri Khalid Ramli.

Tiada Ahli Parlimen Barisan paling tadah, sertai Pakatan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi percaya hasrat pembangkang mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 16 September ini, seperti yang heboh dicanangkan menerusi SMS semalam, tidak akan berlaku.

Perdana Menteri berkata, rancangan itu tidak akan berhasil kerana tiada Ahli Parlimen BN yang mahu melompat menyertai Pakatan Rakyat seperti didakwa parti pembangkang.

"Saya tahu Ahli Parlimen BN tidak mempunyai niat keluar meninggalkan parti kerana mereka bukan yang suka lompat dan nak bersekongkol dengan pembangkang. Ini kerana kita (BN) bukan kerajaan yang kalah... parti masih memerintah dan kerajaan mampu menjalankan pemerintahan dengan baik demi rakyat.

"Soal nak rampas kuasa atau guling kerajaan ini tidak akan berlaku," katanya pada sidang media selepas melancarkan portal Sistem Sokongan Pelesenan Perniagaan Elektronik (Bless) di Bangunan Perdana Putra, di sini semalam.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Yong Poh Kon.

Abdullah ditanya mengenai penyebaran SMS menyenaraikan rentetan peristiwa yang kononnya akan menjurus kepada penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 16 September ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang sebelum ini beberapa kali mendakwa ramai ahli Parlimen BN akan melompat parti menyertai Pakatan Rakyat untuk membolehkan beliau membentuk kerajaan pada 16 September.

Perdana Menteri berkata, impian Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan itu sebenarnya hanya bergantung kepada ahli Parlimen BN berpaling tadah tetapi beliau akan memastikan perkara sedemikian tidak akan berlaku.

"Kita tidak akan beri peluang untuk mereka menubuhkan kerajaan pada 16 September. Tidak," katanya sambil menegaskan, pembangkang tidak akan dapat mencapai impian mereka jika semata-mata bersandarkan harapan penghijrahan ahli Parlimen BN.

Mengenai cadangan Kelab Ahli Parlimen BN (BNBBC) mengadakan program lawatan sambil belajar ke luar negara bermula esok hingga 19 September ini, Abdullah berkata ia tiada kaitan dengan apa yang diuar-uarkan pembangkang.

"Kalau mereka nak pergi biarlah... apa nak kaitkan dengan bulan ini. Saya dengar mereka akan pergi dan biarlah kerana ia keputusan mereka dan bukan satu yang susah... tak ada cerita lain nak tanyakah, balik-balik cerita ini (dakwaan Anwar akan mengambil alih kerajaan)," katanya.

Ditanya sama ada beliau membincangkan soal itu ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Abdullah berkata beliau memberi penerangan mengenai pelbagai perkara yang berlaku sepanjang minggu.

"Baginda memahami kerajaan melakukan pelbagai perkara bagi meningkatkan pentadbiran demi kepentingan kebajikan rakyat berhubung kenaikan harga minyak mentah dunia serta barangan keperluan.

"Kita tidak boleh duduk diam saja dan berharap perkara akan selesai sendiri. Sudah tentu kita perlu menjalankan tanggungjawab dan mengotakan janji kepada rakyat. Ini termasuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR)," katanya.

Abdullah gembira dengan usaha BPR menambah baik sistem penyampaiannya termasuk pengambilan pegawai, penyediaan latihan, pengauditan dan penyiasatan yang dilakukan secara profesional.

Namun, katanya, tentu ada pihak yang akan menuduh kerajaan berkonspirasi dengan agensi berkenaan seperti sering dilaungkan PKR apabila dua pemimpin mereka didakwa di mahkamah atas tuduhan berkaitan rasuah.

"Kita tidak boleh memberitahu semua orang apabila ada saja kesalahan yang dilakukan ahli parti pembangkang, maka ia adalah satu konspirasi. Ini perkara gila... yang salah tetap salah sama anda di pihak kerajaan atau pembangkang," katanya.

Bulan lalu, BPR mendakwa lima lelaki termasuk dua Exco Perak daripada PKR di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan terbabit dengan rasuah membabitkan satu projek perumahan di Seri Iskandar bernilai RM180 juta.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |