+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, September 23, 2008

Mukhriz mahu Pak Lah undur secara terhormat sebelum 9 Okt

mstar online

PETALING JAYA: Datuk Mukhriz Mahathir, antara mereka yang awal dan telah banyak kali menggesa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya ekoran prestasi pilihan raya umum Mac lalu berkata, Presiden parti itu perlu "berundur secara terhormat dengan segera" sebelum 9 Oktober ini.

Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, Abdullah perlu menerima hakikat yang ahli-ahli akar umbi Umno mahu perubahan dan justeru, wajar memutuskan untuk menyerahkan kepimpinan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak agar perjalanan persidangan bahagian bulan depan tidak terganggu.

Kata Mukhriz, oleh kerana anggota-anggota Majlis Tertinggi (MT) parti sudah menyampaikan pandangan, kini "keputusan di tangan beliau" untuk menentukannya.

"Tidak lagi perlu menunggu untuk membuat keputusan... kita berharap Pak Lah sedar dan terima tentang hakikat dan membuat keputusan yang diminta dan kehendak ahli," katanya.

Tambah beliau, perbincangan dalam mesyuarat MT Umno kelmarin membuktikan pandangan yang diberikan oleh beliau sejak enam bulan lalu sudah mula diterima oleh akar umbi dan anggota-anggota MT.

"Oleh kerana beliau (Abdullah) sudah mendapat maklum balas yang sama, saya berharap Presiden parti akan melepaskan kedudukan beliau dengan segera.

"Saya sangat berharap Pak Lah (Abdullah) sudah memahami akan kehendak akar umbi, menyerahkan kuasa," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Mukhriz mengulangi kemungkinan, jika Abdullah, yang juga Perdana Menteri tidak mengambil keputusan yang diharapkan ramai itu, tidak mustahil akan ada pihak yang mencabar beliau ataupun tidak mendapat pencalonan mencukupi untuk mempertahankan kedudukannya Disember ini.

Beliau yang telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno menyatakan demikian ketika diminta mengulas laporan The Star hari ini bahawa Abdullah kini berhadapan dengan tekanan yang semakin meningkat agar melepaskan jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Perkara itu telah ditekankan oleh sebahagian anggota MT pada mesyuarat majlis itu kelmarin.

Ia terus menjadi isu perbincangan MT meskipun Isnin dan Rabu lalu Abdullah dan Najib telah mengulangi komitmen mereka untuk merealisasikan pelan peralihan kuasa Jun 2010.

Ketika ditanya sama ada perlu ada usaha susulan meminta Abdullah, yang menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri sejak Oktober 2003 memikirkan semula pelaksanaan pelan peralihan kuasa itu, Mukhriz memberitahu, pelbagai pihak telah memberikan pandangan masing-masing kepada beliau.

Oleh itu, katanya, tidak perlu ada tindakan susulan kecuali Abdullah sendiri yang memutuskan untuk berundur segera sebelum 9 Oktober ini.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |