+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, September 3, 2008

Pindah sekolah masih kena histeria


tiga pakar terapi minda, Nor Azizan Abdul Majid (kanan) dan Rahmat Setiawan (kiri) berbincang dengan Bidi Ardi langkah untuk meredakan kejadian histeria di SMK Tanjung Lumpur, Kuantan, semalam.


KUANTAN 2 Sept. - Segelintir daripada 11 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, di sini yang berpindah ke sekolah lain akibat diserang histeria, masih mengalami gangguan sama ketika berada di sekolah baru mereka.

Perkara tersebut didedahkan oleh salah seorang ibu mangsa, Mariah Mat Zain, 50, yang terpaksa membawa anaknya, Nor Faizah Mohd. Mustafa, 14, ke SMK Tanjung Lumpur hari ini bagi menerima rawatan setelah diserang histeria kira-kira pukul 8 pagi di sekolah barunya di SMK Soi.

Mariah berkata, sejak dipindahkan ke sekolah baru tiga minggu lalu, gangguan pagi ini adalah kali kedua dialami anaknya sehingga memaksa dia membawanya semula ke sekolah lama untuk dirawat.

''Masuk kali ini sudah enam kali anak saya diserang histeria, ia sangat membimbangkan. Setiap kali diserang, anak saya akan berubah menjadi ganas.

''Ketika ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini baru-baru ini setelah diserang histeria, dia boleh melepaskan diri daripada lima lelaki yang cuba mententeramkannya dengan memutuskan kain yang mengikat tangannya di katil," katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah tersebut di sini hari ini.

Berikutan gangguan itu juga, jelas Mariah, anaknya terpaksa membatalkan puasanya hari ini kerana keletihan setelah dirawat.

Sementara itu, sukarelawan dan pakar terapi daripada Aur Asyifa' Malaysia, Nor Azizan Abdul Majid berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan perubatan secara saintifik iaitu terapi minda dengan bantuan dua pakar terapi daripada Aur Syifa' Bandung, Indonesia, Rahmat Setiawan, 49, dan Bidi Ardi, 33.

Katanya, menerusi kaedah hipnoterapi yang menggunakan minda sedar dan minda bawah sedar itu, guru-guru sekolah itu akan diberikan penerangan mengenai kaedah mengawal keadaan dan pelajar sekiranya histeria berulang lagi.

''Jika dibenarkan, kita ingin membuat perjumpaan tertutup dengan guru-guru, kita akan menjalankan terapi ke atas guru-guru supaya mereka boleh mententeramkan pelajar menggunakan kaedah yang sama.

''Kaedah ini selamat dan tidak menyakitkan seperti yang diamalkan pengamal perubatan tradisional sebelum ini," katanya yang datang ke sekolah itu hari ini bagi meninjau masalah sebenar yang berlaku.

Ditanya apakah punca yang menyebabkan gangguan berterusan itu, Nur Azizan memberitahu, ia sebenarnya berkait rapat dengan masalah kemurungan dan trauma yang dialami para pelajar.

Tanpa menafikan kewujudan entiti yang menjadi salah satu punca gangguan, beliau berkata, kaedah yang dipraktikkannya akan cuba mengubah persekitaran sekolah yang suram kepada ceria bagi mengembalikan 'mood' pelajar.

''Kita orang Melayu sering dimomokkan dengan benda-benda seperti hantu, jadi bila kejadian histeria berulang, ia akan turut menjangkiti pelajar lain dan akhirnya ia tidak berkesudahan," katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan berbincang dengan Jabatan Pelajaran Negeri dan pihak-pihak berkenaan bagi mengatasi masalah tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, tinjauan di sekolah itu hari ini mendapati masih terdapat empat hingga lima pelajar perempuan diserang histeria walaupun pada hari pertama persekolahan pada bulan Ramadan.

Selain meracau-racau dengan suara ganas, salah seorang daripada pelajar terpaksa dibawa keluar ke surau sekolah bagi menerima rawatan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |