+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, September 3, 2008

Sertai Pakatan: PKR Sarawak dakwa 40 MP tunjuk kesediaan

Mstar Online

03-09-2008 10:22:50 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Dominique Ng Kim Ho yakin peralihan kuasa kerajaan persekutuan 16 September ini akan menjadi kenyataan tetapi enggan mengulas spekulasi Nab Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara mereka yang bakal sertai Pakatan Rakyat.

"PKR Sarawak sangat yakin sasaran 16 September (bentuk kerajaan) akan berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang," katanya kepada mStar Online.

Beliau menyatakan demikian sehari selepas Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menemui beberapa Ahli Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung di ibu negara semalam.

Malah pada Khamis lalu, seramai enam wakil rakyat dari Sarawak sudah menemui Anwar iaitu pada petang selepa bekas Timbalan Perdana Menteri mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat.

Menurut beliau, sehingga hari ini hampir 30 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak dan Sabah telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyertai Pakatan Rakyat.

"Keseluruhan dari kedua-dua negeri ialah hampir 30 orang. Dari Sarawak saja kita ada lebih 10 orang yang akan lompat menyertai kita membentuk kerajaan baru pada 16 September nanti," kata beliau.

Ketika ditanya sejauh mana benarnya desas-desus bahawa Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Industri dan Antarabangsa akan menyertai Pakatan, beliau berkata: "Maaf jangan tanya saya mengenai hal itu. Tiada komen."

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan memberitahu telah menemui kesemua Ahli Parlimen yang dimaksudkannya bagi mengadakan perbincangan mengenai hasrat menyertai Pakatan Rakyat.

"Sudah pastilah saya sudah menemui mereka, tapi siapakah mereka itu tak bolehlah saya dedahkan sekarang. Anda mesti tunggu 16 September ini jika ingin mengetahuinya," katanya.

Ditanya apakah faktor yang mendorong Ahli Parlimen BN untuk menyertai Pakatan Rakyat, beliau berkata, perkara itu adalah berdasarkan prinsip yang didokong pakatan itu.

"Mereka sudah sedar bahawa hanya Pakatan Rakyat sahaja yang boleh membela nasib rakyat terutamanya soal memberi perhatian yang lebih baik kepada rakyat di Sarawak dan Sabah yang lebih 10 tahun ketinggalan di belakang," katanya.

Dominique juga menjelaskan bahawa Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menjanjikan pembelaan yang sewajarnya kepada mereka.

"Datuk Seri Anwar berjanji akan memberikan layanan yang sama rata kepada kami. Tidak seperti apa yang diamalkan oleh kerajaan BN sekarang," katanya.

Selain itu, beliau juga yakin setelah kerajaan Persekutuan berjaya diambil alih oleh kerajaan Pakatan Rakyat, kerajaan negeri Sarawak akan mengikut jejak langkah yang sama.

"Jangan risau, setelah peringkat pusat kita berjaya kuasai, perkara yang sama juga akan berlaku pada pentadbiran kerajaan negeri Sarawak," katanya.

Beliau juga memberitahu Anwar akan mengadakan lawatan ke Sarawak pada bulan ini, namun tarikhnya masih belum ditentukan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |