+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, September 23, 2008

Tambatan ringgit bukan pilihan semasa - Zeti

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Ekonomi negara akan berada dalam keadaan 'sangat terjejas' sekiranya cadangan tambatan ringgit dilaksanakan semula, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

''Apa yang negara perlukan sekarang ialah kestabilan dan bukan sesuatu yang tega,'' kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Zeti berkata demikian sebagai mengulas saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir semalam yang mencadangkan tambatan ringgit dilaksanakan semula bagi mengurangkan kesan kejatuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) terhadap mata wang negara.

Zeti berkata, kadar pertukaran mata wang yang tetap tidak dapat mengelakkan berlakunya keadaan tidak menentu, cuma ia dipindahkan kepada harga dalam negeri seperti harga aset dan inflasi.

''Sehubungan itu, tambatan semula ringgit tidak menjadi pilihan kerana ia (pelaksanaan semula) akan menjejaskan ekonomi negara,'' jelas beliau.

Berikutan itu, kata Zeti, ringgit akan terus beroperasi di bawah rejim apungan terurus dengan nilainya ditentukan oleh pasaran.

Gabenor BNM itu berkata, rejim kadar pertukaran mata wang berasaskan apungan memberikan fleksibiliti kepada negara untuk membuat penyelarasan terhadap perkembangan ekonomi dan kewangan antarabangsa.

Malah, rejim itu juga memberikan kestabilan kadar pertukaran berbanding dengan rakan dagangan utama negara.

Sebaliknya, Zeti berkata, mata wang tempatan itu akan terus diapung dengan membenarkan nilainya ditentukan oleh pasaran.

Tambah beliau, langkah itu memberi fleksibiliti kepada Malaysia untuk melakukan penyelarasan terhadap ekonomi antarabangsa dan pembangunan kewangan.

Tambah Zeti, operasi BNM akan terus memastikan keadaan pasaran yang teratur, terutamanya dalam menangani gangguan yang berlebihan dalam pasaran.

Menurut beliau, mata wang tempatan itu telah menambah nilai secara beransur-ansur sejak ringgit tidak ditetapkan pada tahun 2005, mencerminkan kekukuhan asas-asas ekonomi negara.

''Aliran ini dijangka berterusan pada masa hadapan,'' ujar beliau.

Ringgit ditambat pada RM3.80 kepada dolar AS pada September 1998 bagi mengawalnya daripada tindakan spekulator mata wang semasa krisis kewangan Asia 1997/98, sekali gus melindungi ekonomi negara.

Sebelum krisis, yang bermula dengan serangan ke atas baht Thai pada Julai 1997, ringgit diniagakan pada paras yang tinggi iaitu RM2.42, namun turun mendadak berbanding dolar susulan spekulasi berlebihan.

Pada satu ketika pada 1998, ia susut kepada RM5.20, menyebabkan kerajaan mengenakan kawalan modal dan menambat ringgit.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |