+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, November 6, 2008

Eurocopter: 'Game high profile' yang ranapkan wang rakyat?

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Nov 06, 08 | 1:38:23 pm MYT

Pengumuman Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) bahawa urusan pembelian Eurokopter EC725 Cougar tiada berlakunya penyelewengan mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai lapisan kepimpinan.

Sebelum pengumuman itu pun, banyak pihak mempertikaikan beberapa kenyataan dua pemimpin utama negara, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Dato' Seri Najib Razak yang sangat bercanggah antara mereka.

Pada mulanya, 27 September 2008, Abdullah mengumumkan bahawa syarikat pengeluar helikopter, Eurocopter Malaysia Sdn. Bhd. telah memenangi tender terbuka antarabangsa untuk menggantikan helikopter Nuri dengan Eurocopter EC725 Cougar.

Ramai yang melihat pengumuman tersebut memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga angkatan tentera khususnya kepada yang ahli keluarganya pernah terkorban dalam kemalangan melibatkan Nuri.

Pada hemat rakyat dan ahli keluarga mangsa mungkin sekurang kurangnya pengorbanan keluarga mereka diberi perhatian dengan kerajaan mengambil keputusan tidak lagi menggunakan 'keranda terbang' Nuri.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa bahawa India membeli 197 unit EC725 Cougar pada harga yang sama dengan jumlah wang yang dibayar Malaysia untuk hanya mendapat 12 buah.

Sementara MT KeADILan, Badrul Hisham Shaharin memetik dalam www.defenseindustrydaily.com yang melaporkan mengenai pembelian Kerajaan Korea untuk model yang sama tetapi dengan harga yang juga lebih murah berbanding Malaysia.

Skandal ini mendapat perhatian sebagai skandal berprofail tinggi apabila pendedahan berserta bukti oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengenai terdapat skandal dibelakang pembelian ini.

Terdapat banyak percanggahan mengenai harga pesawat tersebut antara Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Wira Abu Seman Yusop yang berkata harganya RM1.6 bilion.

Sementara Setiausaha Kementerian Pertahanan, Abu Bakar Abdullah berkata harganya RM 1.1 bilion.

Paling menarik perhatian, ketika berucap di Parlimen Abu Seman mendedahkan keputusan pembelian helikopter pengganti Nuri hanya dibuat hanya berpandu kepada katalog.

Malangnya, dengan merujuk kepada katalog ini pembelian dengan harga yang berlipat kali lebih mahal dari yang dibeli oleh kerajaan lain diiktiraf PAC dengan mendakwa ianya mengikut prosedur.

Luluh hati rakyat dibuatnya, malah isu tersebut yang pada pandangan Anwar boleh dibawa ke Parlimen ketika Najib menggulung perbahasan Belanjawan 2009, akhirnya tidak kesampaian kerana sikap Najib menutup ruang perbahasan.

Gegak-gempita Dewan Rakyat pada 4 November lalu ketika seluruh anggota Parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan selepas melihat ruang demokrasi disempitkan oleh Najib.

Beberapa ahli Parlimen yang bangun termasuk Anwar, Dato' Kamaruddin Jaffar (PAS Tumpat); Mahfuz Omar (PAS Pokok Sena); Azmin Ali (KeADILan Gombak); Salahuddin Ayub (PAS Kubang Kerian); Saifuddin Nasution (KeADILan Machang); Tian Chua (KeADILan Batu) dan ramai lagi mendesak Najib membuka ruang tidak diendahkan.

Malah, ketetapan yang dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung Peraturan Mesyuarat 37 (2) dengan pengakuan Najib bahawa tidak akan memberi ruang sehingga selesai membacakan cadangan menyebabkan dewan panas dan berbalam dengan reaksi berang tindakan 'boikot' pembangkang.

Pastinya seperti kata Mahfuz Omar, Najib bimbang dengan segala pendedahan mengenai skandal membabitkannya termasuk isu Eurokopter menjadi bahan perbahasan pada petang 4 November lalu.

Najib seolah-olah sudah membaca rentah dan hati Anwar yang sememangnya akan melayangkan soalan tersebut bagi dijawab sendiri oleh Presiden Unmno yang baru itu.

Pastinya kemarahan rakyat pada pilihan raya umum ke-12 lalu yang disemarakkan Anwar dengan isu-isu penyelewengan pembelian Sukhoi dan Scorpene membayangi Najib berdepan dengan Anwar.

Paling pelik dalam skandal burung besi baru yang diidamkan Najib sebelum ini (ketika menjadi menteri Pertahanan) dimana 23 hari selepas umumkan pembelian Ec725 Cougar Abdullah badawi terpaksa umumkan 'penangguhan' pembelianya atas alasan ekonomi antarabangsa tidak stabil.

Namun pastinya persepsi umum tidak terlepas dari melihat bahawa pengumuman pembatalan dibuat dua minggu selepas keputusan dibuat dan lebih pelik ialah ia dibuat sehari sebelum PAC bersidang untuk menyiasat skandal tersebut.

Rela atau tidak, Najib pastinya tidak lupa dengan kenyataannya sendiri yang mengatakan faktor ekonomi tidak wajar dijadikan pengukur tunggal untuk membuat keputusan perbelanjaan untuk pertahanan negara.

Beberapa pemerhati politik dan Ketua Pemuda PAS sendiri melihat kenyataan Najib seolah terus mempertahankan usaha pembelian Eurocopter.

Pastinya tidak terjangkau oleh pemikiran rakyat bahawa sebenarnya mungkin percanggahan ini sebenarnya bibit 'perang' antara dua pemimpin tertinggi negara ini.

Malah bak kata Salahuddin, skandal ini dan keputusan PAC pastinya perlu diteliti semula kerana ianya membelakangi Parlimen, polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang sekaligus menimbulkan tanda tanya adakah ini 'game high profile'? - mks. _

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |