+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, December 15, 2008

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu Pas Pertaruhkan Siapa?

msomelayu

KALAU BN ada tiga hingga lima calon untuk diletakkan bertanding dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 6 Januari depan, Pas pula ada tiga calon yang menjadi sebutan dan sandaran untuk merampas kerusi berkenaan. Di sini saya tidak bercadang untuk mengulas dan menganalisa calon-calon BN, dan hanya akan menyorot calon-calon Pas sahaja.

Tiga nama disebut-sebut akan diletakkan oleh Pas, ialah Naib Presiden, Mohamad Sabu yang juga calon Pas di kerusi berkenaan dalam pilihan raya umum lalu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mustafa Ali dan seorang ahli perniagaan Prof Khazani Abdullah.

Ketiga calon ini realtifnya berbeza antara satu sama lain. Mohamad Sabu dikenali sebagai pekerja parti yang lantang dan rajin di dalam Pas. Pekerja yang pandai mengulas isu dan membuat humor ketika bersyarah. Beliau juga menjadi daya penarik kepada majlis ceramah Pas.

Kerana kehebatan itu beliau saya sifatkan sebagai calon berlabel nasional. Mustafa Ali pula pemimpin veteran dalam Pas yang berpengalaman. Saya namakan sebagai pekerja lama parti. Manakala Khazani tokoh muda Pas yang masih belum dikenali calon amatur dan harapan masa depan. Pekerja baru parti.

Walaupun Pas Terengganu tidak ‘kasik’ calon dan masih ada serangkaian calon lain, seperti Wan Mutalib Embong, Abu Bakar Chik dan lain-lain, tetapi itulah tiga nama yang dikira akan disenaraipendekkan oleh Pas Terengganu untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama.

Rasanya elok juga untuk melihat populariti calon-calon berkenaan berdasarkan poll yang dibuat oleh beberapa portal berita dan juga blog persendirian termasuk blog saya. Perbandingan ini hanya tertumpukan kepada dua nama saja, Mohamad Sabu dan Mustafa Ali kerana Khazani tidak disenaraikan dalam mana-mana poll.

Ada empat orang nama yang disenaraikan dalam poll berkenaan, iaitu Mohamad Sabu, Mustafa Ali, Wan Mutalib Embong dan Syed Azman Syed Ahmad. Jelas sekali dari segi popular menurut poll-poll itu, Mohamad Sabu menjadi pilihan utama berbanding dengan Mustafa Ali.

Misalnya poll yang dibuat oleh KL.Pos yang dikutip jam 11:00 pagi ini (11 Disember 2008) Mohamad Sabu mendapat sokongan sebanyak 89%, Mustafa 4% dan Wan Mutalib sebanyak 7%.
Manakala poll dari blog pinkturtle pula yang dikutip pada waktu sama daripada 430 pengundi, sebanyak 68% atau 291 undian diberikan kepada Mohamad Sabu, Syed Azman 27% atau 115 undian, Wan Mutalib dan Mustafa masing-masing 3% atau kira-kira 11-13 undi saja.

Poll dari blog saya pula yang dikutip pada masa sama, daripada 216 pengundi Mohamad Sabu menerima 122 undian atau 56%, Syed Azman 43 undi atau 19%, Wan Mutalib menerima 6 undi atau 2% dan Mustafa menerima 21 undi atau 9%. Saya turut meletakkan pilihan ‘calon-calon lain’ yang menerima 24 undi atau 11%.

Saya mengagakkan mereka yang membuat pengundian menerusi poll dalam ketiga blog berkenaan adalah hampir 90 % orang yang sama dan kebanyakan mereka adalah pelayar dari luar Kuala Terengganu. Jelas dari poll itu Mohamad Sabu menjadi calon popular dengan mengatasi calon-calon lain dari ketiga poll berkenaan.

Ada beberapa sebab kenapa Mohammad Sabu popular, antaranya kerana nama beliau sudah disebut awal-awal oleh Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan Mohamad Sabu diberikan peluang bertanding sekali lagi. Sedikit sebanyak pandangan Nik Aziz itu mempengaruhi pengundi terutamanya pengundi yang taksub dengan cara politik beliau (Nik Aziz).

Selain itu ialah kerana Mohamad Sabu dilihat popular berbanding dengan nama-nama lain di kalangan masyarakat bawahan dan mereka yang meminati politik berbentuk ceramah.

Persoalannya kini apakah Pas Terengganu akan mengambil kira trend yang ditunjukkan oleh poll berkenaan ataupun suara pemerhati dan peminat politik Pas di luar Terengganu itu? Kalau Pas memperlakukan ini sudah tentu Mohamad Sabu adalah calon paling layak.

Sebaliknya sekiranya Pas Terengganu ada kriteria dan indikatornya sendiri, populariti berdasarkan poll dan ukuran orang awam itu tidak akan diterima pakai dan memungkinkan Mohamad Sabu tidak akan diturunkan semula.

Dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ini apa yang paling diutamakan kemenangan. Pas perlu menang untuk membuktikan bahawa pengaruh Pas masih kuat di negeri itu. Kemenangan itu juga akan menjadi petunjuk untuk masa depan Pas – pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Manakala dalam konteks Pakatan Rakyat pula kemenangan itu sangat penting bagi meyakinkan rakyat untuk meneruskan projek terbengkalai untuk menumbangkan kerajaan BN yang diilhamkan oleh Anwar Ibrahim.

Justeru calon yang dianggap benar-benar mampu memberi kemenangan akan dipilih dan diberikan keutamaan.

Seperti disebutkan tadi nama Khazani tidak dimasukkan ke dalam poll. Jadi beliau tidak mendapat petunjuk apakah beliau mampu atau tidak. Namun Dewan Pemuda Pas Terengganu beriya mahu menonjolkan Khazani sebagai calon dalam pilihan raya berkenaan sambil menafikan yang Pas Terengganu kekurangan calon tempatan.

Berdasarkan latar belakang pendidikan akademi Khazani yang luas dan cemerlang itu beliau berkelayakan. Tetapi bila diukur kepada pengalaman dan penglibatan dalam politik ia masih mentah dan muda.

Mari kita tinjau satu persatu potensi yang ada kepada ketiga calon berkenaan.

Mohamad Sabu – memang beliau orang luar dan pertama kali bertanding di Kuala Terengganu. Beliau pernah menang di luar negerinya, iaitu di Kelantan selama dua penggal. Mohamad Sabu adalah tokoh yang tersendiri dalam Pas dengan anutan, fahaman dan aliran pemikiran sendiri. Beliau dilihat seorang pejuang Islam yang percaya kepada kekuatan semangat, iltizam yang ampuh dan bukan bersujud kepada kebendaan.

Mohamad Sabu bukan seorang pengamal politik kebendaan. Kehidupannya sendiri sedarhana. Kepercayaan dan dasar politiknya, Hadith dan Quran. Beliau seorang yang tertarik dengan pendekatan Islam secara jema’i.

Dari segi dakwah menerusi ceramah memang ada kepada beliau. Mohamad Sabu juga mempunyai semangat perjuangan yang kental dan tidak cair dengan ugutan. Pendeknya Mohamad Sabu seorang pejuang Islam tulen dalam Pas dan sudah teruji keimanannya.

Bagaimana pun statusnya sebagai orang luar memberi sedikit masalah kepadanya. Pilihan raya kecil menyebabkan pengundi akan melihat kepada isu-isu local dan dalam hal ini sebagai orang luar beliau tidak mempunyai kelebihan berbanding dengan calon setempat. Apa lagi pengundi di Kuala Terengganu itu sendiri kuat semangat kedaerahannya dan melihat calon yang ada pertalian persaudaraan dengan mereka.

Mustafa Ali – adalah tokoh veteran Pas Terengganu yang banyak pengalaman. Beliau sudah tidak popular dan sedang menghadapi kesuraman cahaya politiknya. Di luar Terengganu beliau sudah ditolak dengan politiknya yang kurang tegas dan play save. Kelebihan yang ada kepadanya ialah beliau calon tempatan. Mustafa mempunyai banyak pertalian persaudaraan dengan pengundi di Kuala Terengganu.

Khazani Abdullah – Beliau tokoh muda yang belum dikenali. Dalam erti kata lain beliau tidak mempunyai apa-apa aset semasa melainkan mempunyai latar belakang pendidikan dan kerjaya yang baik.

Berdasarkan kepada huraian dan dapatan itu Pas kini hanya mempunyai dua calon sahaja iaitu Mohamad Sabu dan Mustafa Ali. Sekrianya pengundi Terengganu masih berpegang kepada tradisi dan politik 'semangkuk' (tempatan) maka Mustafa Ali lah calonnya.

Kesimpulannya bagi saya sebelum Pas memutuskan calon, Pas harus melihat apakah yang diharapkan daripada kemenangan pilihan raya kecil kecil itu. Sekiranya Pas mahu menjadikan kemenangan itu sebagai modal meneruskan projek terbengkalai 16 September, Pas harus memilih calon yang boleh menyambungkan projek berkenaan. Sebaliknya jika Pas merasakan projek itu perlu terbengkalai maka Pas boleh memilih calon yang hanya membawa kemenangan tetapi tidak akan merubah suasana politik nasional. [wm.kl 10:30 11/12/08]

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |