+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, July 15, 2008

Debat di DBP: Dua jurugambar dipukul

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Jul 15, 08 11:09pm

Dua jurugambar dipukul oleh pegawal keselamatan ketika mahu keluar dari bilik media massa di tingkat dua bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tempat berlangsungnya debat bersejarah antara Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan, Datuk Datuk Shabery Cheek malam ini.

Kekecohan berlaku apabila petugas media tersebut dikunci dari luar, menyebabkan mereka marah kerana tidak dapat keluar.

Difahamkan bilik tersebut dikunci oleh pegawal keselamatan untuk memberi laluan kepada tetamu VIP meninggalkan dewan itu terlebih dahulu.

Apabila keadaan menjadi kecoh, seorang pegawal keselamatan datang membuka pintu bilik tersebut.

Ketika itu, seorang pegawal keselamatan didakwa telah membentes kaki seorang jurugambar yang sedang turun tangga, menyebabkan dia tersungkur.

Ekoran itu, berlaku pergaduhan antara jurugambar berkenaan dan dibantu oleh petugas yang lain, dengan pegawal keselamtan dan rakan-rakannya.

Keadaan ini menyebabkan anggota polis datang dan membantu membawa jurugambar keluar dari situ, sehingga ke luar kawasan lobi.

Apabila mereka sampai di luar, dengan diringi oleh beberapa anggota polis, pegawal keselamatan berkenaan meluru dan memukul jurugambar berkenaan.

Polis meleraikan keadaan sehingga semua petugas media keluar dari tempat tersebut.

Dua jurugambar tersebut dikenali sebagai Khairul Hasnor Mohamad Khalili dari The Edge dan Zulkifli Ersal dari The Sun.

Ketika ditemui, Zulkifli berkata, pegawal keselamatan tersebut menendangnya di bahagian perut.

Difahamkan mereka mereka dijangka membuat laporan polis di IPD Dang Wangi.

Read More...

Debat Minyak: Shabery Serang Peribadi Anwar Di Pusingan Kedua

Suara Keadilan

Dalam pusingan kedua debat minyak, Menteri Penerangan Shabery Cheek menyerang peribadi Anwar. Menurut Shabery, perjanjian IPP yang membebankan Petronas hari ini dipersetujui dimasa Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan.

Menuduh Anwar mencanangkan agenda populist, Shabery kata sekiranya harga minyak diturunkan, kadar inflasi akan naik jauh lebih tinggi sepertimana yang berlaku di Venezuela, Iran dan Arab Saudi.

Menepis tuduhan Shabery itu, Anwar mengakui bahawa kontrak IPP ditandatangani semasa beliau menjawat Menteri Kewangan.

Walaubagaimanapun Anwar berkata Pengarah Tenaga Nasional Berhad Ani Arope pada masa itu menyokong penuh bantahan Kementerian Kewangan dibawah Anwar Ibrahim terhadap isi kandungan perjanjian IPP yang dipersetujui oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Baiklah, itu apa yang terjadi pada 1988, tetapi sekarang sudah 2008, apa yang kerajaan BN buat? Bukankah kenaikan harga minyak secara inflasi hari ini adalah preskripsi IMF?”

Kata Anwar, dengan pendapatan berbilion ringgit dari harga minyak yang naik, serta penjimatan wang jutaan ringgit dari kebocoran, mengapa kerajan susah sangat hendak ambil RM1 bilion (kurang RM0.50 seliter) sebagai subsidi bagi meredakan beban rakyat?

Read More...

GAMBAR PERDEBATAN ANWAR-SHABERY

Mstar Online

15-07-2008 10:44:02 PM
oleh KAMAL SELLEHUDDIN, KAMARUL ARIFFIN, KEVIN TAN, AZLINA ABDULLAH, K.T GOH dan EHFAN SHAH


Ketibaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, isteri Datin Seri Wan Azizah dan anak-anaknya.


Ketibaan Datuk Ahmad Shabery Cheek.


Polis mengawal ketat keadaan orang ramai di luar DBP.


Orang awam diperiksa ketat oleh pihak polis yang bertugas.


Ramai ahli Parlimen turut padang untuk menyaksikan debat tersebut secara langsung di DBP.


Khairy Jamaluddin turut hadir menyaksikan debat tersebut.


Datuk Seri Anwar dan Datuk Ahmad Shabery berjabat mesra sebelum memulakan perdebatan.


Perdebatan bermula..


Debat Anwar-Shabery turut menjadi perhatian orang awam yang berada di kedai makan.


Lagi aksi orang ramai yang menonton debat tersebut.




Read More...

Petronas sumbang RM62.8b pada k'jaan

Malaysiakini

Jul 15, 08 6:51pm

Prestasi tahun kewangan yang luar biasa oleh Petronas telah membolehkan syarikat minyak negara itu menyumbang RM62.8 bilion kepada perbendaharaan kerajaan persekutuan pada tahun ini.

mohd hassan mericanPresidennya, Tan Sri Mohd Hassan Marican berkata prestasi itu bukan sahaja pada harga minyak dan volum jualan yang lebih tinggi malah turut merangkumi penambahbaikan keefisienan operasi dan pengurusan berhemat kumpulan itu.

Bagi tahun kewangannya yang berakhir 31 Mac, 2008, keuntungan pracukai Kumpulan Petronas meningkat kepada RM95.5 bilion, naik 25.2 peratus daripada RM76.3 bilion sebelum ini, manakala keuntungan bersih meningkat kepada RM61 bilion atau 31.5 peratus daripada RM46.4 bilion.

Perolehan melonjak kepada RM223.1 bilion, meningkat 21.2 peratus daripada RM184.1 bilion dalam 2007, di tengah-tengah persekitaran industri minyak dan gas yang kian mencabar, kata Mohd Hassan.

Operasi antarabangsanya, yang merupakan 40.3 peratus daripada perolehan keseluruhan kumpulan, menjadi penyumbang terbesar kepada kumpulan itu bagi pertama kali melepasi eksport, katanya.

Perolehan dari operasi antarabangsa meningkat 33.1 peratus kepada RM90 bilion, demikian menurut laporan Bernama.

"Ini mencerminkan bukan sahaja peningkatan kepentingan malah kejayaan kumpulan itu di dalam operasi antarabangsa," katanya.

Sumbangan antarabangsa

Mohd Hassan berkata kebanyakan perolehan antarabangsa datang dari Afrika, yang pertama kali diterokainya dalam 1995, di mana kini akan memberi fokus kepada proses globalisasi.

Sehingga ini, ia terbukti menjadi strategi yang betul dan sumbangan antarabangsa akan menjadi penyumbang utama kepada perolehan kumpulan itu, katanya.

Mengenai pecahan pembayaran kepada kerajaan persekutuan, royalti berjumlah RM4.7 bilion, dividen RM30 bilion, cukai pendapatan petroleum RM20.6 bilion, cukai pendapatan korporat RM5.4 bilion dan duti eksport, RM2.1 bilion, kata Mohd Hassan. Beliau juga Ketua Pegawai Eksekutif Petronas.

Daripada dividen RM30 bilion itu, RM6 bilion ialah dividen khas.

Petronas turut membayar keseluruhan RM4.8 bilion dalam bentuk royalti kepada kerajaan negeri Terengganu, Sarawak dan Sabah.

Dengan itu, keseluruhan pembayaran Petronas kepada kerajaan persekutuan dan negeri sejak ia diperbadankan dalam 1974 hingga kini berjumlah RM403.3 bilion, katanya.

Bayaran kumpulan Petronas kepada kerajaan persekutuan bagi tahun ini juga merupakan 44 peratus daripada perolehan kerajaan persekutuan.

Keseluruhan RM67.6 bilion yang dibayar kepada kerajaan bagi tahun ini merupakan 63.1 peratus daripada keuntungan kumpulan Petronas bagi tempoh yang sama.

Dividen khas


Dividen khas berkenaan juga dikira selepas Petronas mengambil kira keperluan perbelanjaan modalnya, kata Mohd Hassan, sambil menyatakan ia akan dibayar pada tahun ini.

Petronas, kata Mohd Hassan mengekalkan hanya 29.9 peratus daripada keuntungannya dalam tahun ini untuk dilabur semula dan baki 7.7 peratus digunakan untuk membayar cukai asing dan kepentingan minoriti.

Pelaburan semula itu perlu untuk memastikan kumpulan itu mengekalkan operasi dan pertumbuhan bagi membolehkannya terus menjana nilai bagi pemegang kepentingannya.

Perbelanjaan modal kumpulan itu bagi tahun ini juga meningkat 33.3 peratus kepada RM37.6 bilion, yang sebahagian besarnya disebabkan peningkatan kos.

Daripada jumlah itu, RM20 bilion dibelanjakan dalam Malaysia, peningkatan 36 peratus berbanding dengan RM14.7 bilion setahun sebelum ini, katanya sambil menyatakan kira-kira 55 peratus daripada perbelanjaan modal keseluruhan kumpulan itu dilakukan bagi sektor eksplorasi dan pengeluaran (E&P).

Kunci kira-kira kumpulan itu terus mengukuh dengan keseluruhan aset meningkat 15.2 peratus kepada RM339.3 bilion manakala dana pemegang saham berkembang kepada RM201 bilion, peningkatan 17.6 peratus.

Mengenai subsidi gas, katanya subsidi Petronas kepada sektor gas meningkat kepada RM19.7 bilion, naik 26.2 peratus daripada RM15.6 bilion sebelum ini.

Gas disubsidi

Katanya subsidi gas kepada sektor tenaga berkembang kepada RM13.8 bilion, naik 17.9 peratus, di mana RM8.1 bilion atau 58.7 peratus disalurkan kepada Pengeluar Tenaga Bebas.

"Harga bahan api yang lebih tinggi telah memaksa sektor bukan kuasa untuk menukar lebih banyak sumber bahan api kepada gas yang disubsidi, yang menyebabkan peningkatan 51.3 peratus dari segi subsidi kepada sektor bukan kuasa kepada RM5.9 bilion," katanya.

Mengenai pembangunan, katanya China akan menjadi pelanggan gas cecair asli (LNG) Petronas mulai tahun hadapan.

Kini, pasaran LNG Petronas di Jepun dan Korea Selatan masing-masing ialah 20 peratus dan 24 peratus. Di Taiwan, agihan pasarannya merosot daripada 43 peratus kepada 35 peratus disebabkan penggunaan lebih rendah pembeli Taiwan.

Di segi rezab, katanya sehingga 1 Jan, 2008, rezab keseluruhan Malaysia turun sedikit kepada 20.13 bilion bersamaan tong minyak (boe) daripada 20.18 bilion boe pada tahun lepas berikutan kemerosotan semakan semula yang rendah rezab gas luar pesisir Sarawak dan pengeluaran lebih tinggi minyak mentah dan gas dalam tahun itu walau pun mendapat tambahan melalui penemuan baru.

Rezab minyak mentah dan kondensat domestik berkembang 1.9 peratus kepada 5.46 bilion boe, manakala rezab gas asli merosot 1.0 peratus kepada 14.67 bilion boe daripada 14.82 bilion boe. Nisbah penggantian rezab (RRR) itu bagi tahun ini ialah 0.9 kali.

Purata pengeluaran keseluruhan Malaysia 3.9 peratus kepada 1.67 juta boe sehari daripada 1.61 juta boe sehari sebelum ini di mana purata pengeluaran minyak mentah dan kondensat berjumlah 691.6 ribu tong sehari manakala purata pengeluaran gas ialah 5.9 bilion kaki padu sehari (bersamaan kepada 981.9 ribu boe sehari), katanya.

Rezab gas asli

Sementara itu rezab antarabangsa kumpulan itu dicatatkan 6.24 bilion boe, berbanding dengan 6.31 bilion boe pada tahun lepas.

Rezab minyak mentah dan kondensat dicatatkan lebih rendah sebanyak 5.1 peratus kepada 2.42 bilion boe daripada 2.55 bilion boe sebelum ini. Rezab gas asli meningkat 1.6 peratus kepada 3.82 bilion boe daripada 3.76 bilion boe.

Kumpulan itu mencatatkan RRR 0.6 kali bagi operasi E&P antarabangsanya.

Purata pengeluaran keseluruhan operasi antarabangsa kumpulan ialah 615.1 ribu boe sehari, naik 5.7 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.

Mohd Hassan berkata pengeluaran minyak mentah dan kondensat meningkat kepada 287 ribu boe sehari daripada 246.5 ribu boe sehari yang kebanyakannya disebabkan pengeluaran yang lebih tinggi dari Sudan.

Bagaimana pun, purata pengeluaran gas merosot 2.1 peratus daripada 335.2 ribu boe sehari kepada 328.1 ribu boe sehari, yang sebahagian besarnya disebabkan penutupan kemudahan dalam Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thai.

Mengenai isu "mencuri" pekerja dalam sektor minyak dan gas, Mohd Hassan berkata masalah itu diwujudkan oleh syarikat dan negara dari negara di Timur Tengah tetapi ia tidak memberi kesan kepada operasi domestik dan antarabangsa Petronas.

Katanya Petronas telah menjangka akan menghadapi masalah itu beberapa tahun lalu.

"Syarikat di Timur Tengah perlu melabur untuk melatih rakyat mereka sendiri dan berhenti "mencuri" pekerja terlatih syarikat lain. Sebagai sebuah syarikat antarabangsa, Petronas melabur dalam pembangunan sumber manusianya sendiri," katanya.

Read More...

Debat Minyak: Anwar Menang Pusingan Pertama!

Suara Keadilan

Debat dimulakan dengan moderator Johan Jaafar memperkenalkan Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan Shabery Cheek.

Dalam pusingan pertama, Shabery mempertahankan tindakan kerajaan menaikkan subsidi minyak secara mendadak dengan alasan kerajaan harus bebas dari beban subsidi untuk membantu menaiktaraf prasarana rakyat seperti hospital dan pendidikan.

Anwar bagaimanapun berkata kerajaan BN-Umno harus kembali kepada realiti sebenar kehidupan rakyat yang terbeban dengan kenaikan mendadak ini.

Kata Anwar, sekiranya ia harus dinaikkkan sekalipun, kerajaan yang prihatin kepada nasib rakyat akan merumuskan cara menaikkan inflasi dinaikkan secara berperingkat.

Tegas Anwar, kekayaan sumber Petronas bukan sahaja mampu menampung subsidi, bahkan juga mampu menaiktaraf prasarana rakyat seperti pendidikan dan perubatan.

Read More...

Minyak: Pakatan janji turun 50 sen, Shabery anggap Anwar populis

Mstar Online

15-07-2008 10:57:03 PM
Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB, AFFIFUDDIN ISHAK, dan LEE YAN XIU

KUALA LUMPUR: Kemunculan sejam Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi debat malam ini menunjukkan kedua-dua personaliti ini serang dengan cabaran terhadap satu sama lain berhubung isu harga minyak - dengan bekas Menteri Kewangan berjanji boleh mengurangkan harga minyak 50 sen selitar manakala Menteri Penerangan pula menyoal pembangkang tidak memegang pada kadar harga sebelum 5 Jun.

Ahmad Shabery berkata, pembangkang seharusnya menurunkan harga daripada kadar sebelum 5 Jun bukannya daripada paras semasa.

Sambil menyifatkan pendirian Pakatan Rakyat sebagai populis, Ahmad Shabery memberitahu, berdasarkan kempen pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu, Anwar telah berjanji akan menurukan harga dengan mengambil kadar ketika itu.

"Sebelum pilihan raya harga hanya RM1.91 seliter (sehingga 4 Jun), tak timbul harga semasa sekarang.

"Kita kena pegang kepada keadaan asal sebelum pilihan raya," kata beliau yang memulakan debat bertajuk Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak anjuran portal berita Agendadaily, yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini bermula pada 9 malam.

Pengerusi DBP Datuk Johan Jaaffar menjadi moderator debat itu.

Anwar yang memulakan debat sebagai pemidato pertama mengusulkan bahawa jika Pakatan Rakyat memerintah hari ini, esok pihaknya akan mengurangkan kadar minyak sebanyak 50 sen selitar.

Debat ini diadakan ketika Petronas mengumumkan prestasi kewangan yang berakhir 8 Mac lalu.

Isu itu juga disentuh oleh kedua-dua pemidato dalam perbahasan mereka.

Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri dari 1993 hingga 1998 sebelum dipecat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu, penurunan yang disyorkan beliau itu merupakan tindakan peringkat awal.

Katanya, harga minyak akan diturunkan secara berperingkat-peringkat dari semasa ke semasa.

Debat menyaksikan tindakan ungkit-mengungkit latar belakang politik masa lalu, antara Anwar sebagai mengecam polisi Allahyarham Tun Abdul Razak yang memulakan Petronas dan gerakan mahasiswa tahun 1970-an manakala Ahmad Shabery sebagai bekas ahli Parti Melayu Semangat 46 yang telah dibubarkan.

Bagaimanapun kedua-dua pemidato berbahas dengan tenang di hadapan kira-kira 250 penonton termasuk masing-masing 50 daripada sebelah Anwar dan Ahmad Shabery.

Anwar dan Shabery berbahas di bawah format kempen pilihan raya Amerika Syarikat dengan mereka berdiri di pentas dengan dipengerusikan oleh Johan dari bawah.

Ahmad memilih Tan Sri Dr. Nordin Kadri sebagai wakil penonton untuk bertanya soalan manakala Zulkifli Sulong di sebelah Anwar.

Ketika merumuskan pandangannya, Anwar berkata, jika diberi peluang beliau akan bertanding dalam pilihan raya dalam waktu terdekat.

"Kita mengumumkan cadangan, gagasan ini dengan penuh bertanggungjawab. Kalau kita mahu ekonomi kita kukuh, kerana saya yakin kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, belum tentu sampai bila, kalau diteruskan dengan dasar yang ada sekarang, dalam tempoh dua bulan, tiga bulan lagi ekonomi kita akan jauh lebih parah.

"Ini kenyataan. Kalau saudara tidak setuju tak mengapa... saya minta teliti dengan baik objektiknya.

"Sebab itu kami di Pakatan Rakyat akan terus menjelaskan kepada rakyat, sebab itu saya tidak mahu hak saya dinafikan, dan untuk meneruskan dengan agenda ini walaupuan saudara Shabery memilih untuk menyerang saya secara peribadi, saya tidak mahu menjawab kerana ini bukan ruang," katanya.

Ahmad Shabery pula berkata, Anwar tidak ubah sejak sikap beliau ketika mengetuai gerakan mahasiswa tahun 1970-an.

"Dalam sejarah yang banyak memberi sumbangan kepada negara, membina Petronas, kalau dahulu orang yang membina Petronas Tun Abdul Razak, Mahathir yang mengembangkang Petronas sampai ke peringkat dunia tetap ditentang.

"Pada waktu sekarang Pak Lah (Perdana Menteri) tidak mengambil lebih apa yang sepatutnya, maka tiada sebab untuk kita menentang.

"Apakah kita hendak terus memainkan sentimen-sentimen mengajak orang ke jalan raya sebagaimana dibuat dalam tahun 1974 akan menyelesaikan masalah kita?" ujar beliau.

Read More...

Anwar rela disiasat selepas kata dua

Malaysiakini

Jul 15, 08 2:09pm

Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan tempoh sehingga 2 petang esok untuk memberikan keterangan kepada polis atau menghadapi sebarang tindakan, termasuk kemungkinan ditahan.

Polis juga memberi amaran kepada mana-mana pihak termasuk penyokong bekas timbalan perdana menteri itu yang cuba menghalang polis menjalankan tugasnya.

Perkara itu ditegaskan oleh pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Mohd Bakri Mohd Zinin dalam sidang media di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebentar tadi.

"Polis akan ambil tindakan undang-undang jika beliau tidak hadir dan sesiapa yang menghalang kerja kami akan dikenakan tindakan di bawah Kanun Keseksaan," katanya.

bakri zinin police cid chief p balasubramaniam pc 100708 01Mengulas tentang laporan peguam Anwar, Sankara Nair yang menyatakan bahawa anak guamnya sedang menunggu surat perintah 111 Kanun Prosedur Jenayah untuk hadir ke IPK, Mohd Bakri berkata:
"Anwar sepatutnya hadir ke IPKKL setelah memberi persetujuan untuk hadir semalam. Ini adalah kes beliau.

"Beliau yang sepatutnya hadir berjumpa dengan polis dan bukan polis yang datang kepadanya untuk diambil keterangan."

Ditanya sama ada polis mengamalkan pilih kasih kepada Anwar kerana tidak terus menahannya setelah laporan dibuat oleh pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, pegawai polis itu berkata ia bergantung kepada siasatan dan polis tidak boleh mengambil tindakan secara melulu.

"Itu (pilih kasih) hanyalah andaian orang ramai. Kita tidak pernah memberikannya kerana kita mengikut proses undang-undang dan bersikap profesional," katanya, lapor Bernama.

Polis menjamin akan berlaku adil kepada kedua-dua pihak, pengadu kes itu dan juga Anwar.

Ditanya sama ada Anwar merupakan saksi terakhir bagi siasatan kes tersebut yang disiasat menurut Sekyen 377 Kanun Keseksaan, Mohd Bakri berkata ia bergantung kepada siasatan.

anwar ibrahim press conference 030708 03Sekiranya terdapat saksi baru, polis akan memanggil saksi tersebut untuk memberi keterangan.

Sementara itu, lebih sejam selepas kata dua polis ini, Anwar menyatakan kesediaan memberikan kerjasama kepada polis.

Anwar akan ke IPK Kuala Lumpur esok jam 2 petang, kata peguamnya.

"Kami akan pergi esok pada 2.00 petang. Bermaksud anak guam dan peguam yang mewakilinya," katanya.

Dalam sidang media kira-kira 3 petang, Sankara berkata beliau telah menerima surat daripada pegawai penyiasat DSP Jude Pereira tentang perkara tersebut tengah hari ini.

Surat itu meminta Anwar hadir ke IPK Kuala Lumpur untuk membantu siasatan. Menurut surat itu lagi, waran tangkap terhadap Anwar telah dikeluarkan.

Sankara berkata surat itu mengelirukan kerana tidak jelas sebab waran dikeluarkan sama ada tuduhan ke atasnya atau disebabkan gagal hadir memberi keterangan.

Beliau menambah, pegawai polis itu juga menyatakan waran tangkap telah dikeluarkan kepada Anwar, sebagai seorang suspek kes tersebut.

"DSP Jude berkata beliau (Anwar) seorang suspek dan mungkin akan ditahan," kata Sankara, "Itu yang dia cakap dan saya tak boleh ulas lebih."

sankara pc on anwar 150708 01Ditanya tentang reaksi beliau dan Anwar apabila mendapati waran tangkap terhadapnya telah dikeluarkan, Sankara berkata:

"Kami akan ikut. Ini undang-undang. Dari hari pertama kami telah bekerjasama."

Mengulas sama ada Anwar bersedia menjalankan ujian DNA untuk membuktikannya tidak bersalah, Sankara berkata ia "masih terlalu awal" dan beliau "belum berbincang dengan anak guamnya".

Menjawab soalan tindakannya jika Anwar ditangkap, Sankara berkata:

"Mereka (polis) sudah tentu mahu mereman dan soal siasat. Itu akan berlaku. Sebagai peguam, kami mohon hadir dalam setiap tahap (siasatan) dan kami akan patuh."

Esok, sebelum ke IPK, Anwar akan memberikan keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya berikutan aduannya berhubung pemalsuan laporan berkaitan kes beliau ditumbuk Tan Sri Rahim Noor, waktu itu ketua polis negara, pada 1998.

Anwar menamakan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai dua pegawai tinggi kerajaan yang terlibat.

Sidang media peguam itu yang diadakan di kediaman Anwar di Segambut Dalam, Kuala Lumpur bagaimanapun tidak disertainya - dipercayai sedang membuat persediaan debat isu kenaikan harga minyak malam ini.

Penasihat PKR itu tidak hadir di IPK tersebut untuk disoal siasat jam 2 petang semalam seperti beliau janjikan Sabtu lalu.

Keputusannya itu diambil sebagai membantah tindakan polis "mengganggu" kakitangan dan ahli keluarganya kelmarin walaupun Anwar bersedia hadir secara sukarela.

Akibat keengganan Anwar, Mohd Bakri semalam berkata polis sedang mengenal pasti langkah-langkah sesuai untuk merakam percakapan tokoh pembangkang itu.

Read More...

Demi bangsa dan agama Abdullah sedia bincang dengan PAS

KLpos


Cetak E-mail
Oleh Bernama
Isnin, 14 Julai 2008


PJ: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima baik cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berbincang dengan Umno mengenai isu-isu yang berkaitan dengan orang Melayu dan Islam.

Perdana Menteri berkata Umno sedia untuk berbincang dengan PAS untuk mewujudkan persefahaman supaya perbalahan yang berkait dengan Melayu dan Islam dapat dikurangkan.

"Jika ada persefahaman, maka kuranglah satu masalah yang melibatkan orang Melayu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan mengenai golongan miskin dan berpendapatan rendah di bandar, di sini hari ini.

Namun, katanya, Abdullah apa sahaja yang perlu dilakukan untuk kebaikan orang Melayu juga perlu mengambil kira kebaikan rakyat keturunan lain.

Dalam satu temubual dengan akhbar PAS, Harakah, baru-baru ini, Hadi mengakui bahawa terdapat individu PAS mengadakan perbincangan dengan individu Umno bagi menerokai kerjasama.

Mengenai tindakan polis mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi di ibu negara, Perdana Menteri berkata pasukan keselamatan hanya menjalankan tugas, terutamanya untuk mengurangkan gangguan kepada lalu lintas akibat tunjuk perasaan anti kerajaan.

"Kumpulan yang mahu mengadakan tunjuk perasaan ini menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk. Polis cuba menyekat kekacauan," katanya.

Abdullah berkata demonstrasi sebegitu tidak seharusnya berlaku dalam bandar raya kerana ia menjejaskan perniagaan dan aktiviti harian orang ramai.

"Pekedai mahu berniaga dan mereka mempunyai hak terhadap jaminan tidak ada kekacauan. Oleh itu, polis mengambil langkah memastikan kekacauan jalanan tidak berlaku.

"Pada masa yang sama, penunjuk perasaan kata mereka tidak sepatutnya dihalang. Namun, polis bertanggungjawab memastikan tidak ada kekacauan," katanya.

Abdullah berkata perhimpunan seperti itu sepatutnya diadakan di stadium supaya tidak berlaku gangguan kepada orang ramai.

Read More...

Muzakarah: PAS takut terjebak lagi

Malaysiakini

Jul 15, 08 4:31pm

PAS sedia bermuzakarah dengan Umno mengenai perpaduan Melayu dengan syarat ia adalah kehendak anggota akar umbi dan bukannya kepimpinan Umno sahaja, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

nik azizBeliau yang juga menteri besar Kelantan berkata, ia bagi memastikan PAS tidak terjebak sekali lagi dalam "perangkap politik Umno".

Katanya cadangan untuk mengadakan perbincangan itu hendaklah datang daripada peringkat cawangan Umno yang dibawa kepada peringkat bahagian dan seterusnya ke perhimpunan agung Umno.

"Dalam keadaan ini saya teringat pada (bekas Perdana Menteri Allahyarham) Tun Razak Hussein yang pernah meminta PAS bergabung dengan Umno tetapi kami dikhianati.

"Saya bimbang ini adalah satu perangkap," kata Nik Aziz kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan menyambut baik cadangan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berbincang dengan parti itu mengenai isu-isu berkaitan orang Melayu dan Islam.

Abdullah yang juga perdana menteri berkata, Umno sedia berbincang dengan PAS untuk mewujudkan persefahaman supaya perbalahan yang berkait dengan Melayu dan Islam dapat dikurangkan.

'Pak Lah terhoyong-hayang'


Nik Aziz berkata, beliau menetapkan syarat itu kerana merasakan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam untuk mengadakan muzakarah dengan PAS lebih kepada permintaan peribadi beliau dan bukannya kehendak Umno sebagai sebuah parti.

"Pak Lah kini dalam keadaan yang terhoyong-hayang dan dia sudah menetapkan tarikh untuk serah kuasa, jadi dalam keadaan sekarang saya melihatnya lebih kepada permintaan peribadi," katanya.

Menurutnya, jika cadangan itu datangnya di akar Umno itu, ia menunjukkan keikhlasan Umno secara keseluruhan untuk mengadakan muzakarah.

Nik Aziz berkata, ia sekaligus mencerminkan Umno sudah menolak konsep kebangsaan yang dipegang parti itu dan menerima Islam sebagai agama yang membawa kepada kemajuan dan bukan memecah-belahkan rakyat.

Katanya, beliau tidak mahu Umno mencadangkan perbincangan kerana terdesak dan mahu mencaturkan semula politik akibat kekalahan teruk dalam pilihanraya umum lalu.

Nik Aziz juga berkata bahawa Umno sebagai parti tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menunjukkan keikhlasannya dengan tidak menyekat rancangan pembangunan yang telah disediakan di peringkat pusat kepada Kelantan.

"Seperti projek pembinaan pasar baru di Pasir Mas yang bernilai RM8 juta, tiba-tiba projek itu disekat. Kita, kerajaan negeri, sudah bersusah payah untuk dapatkan tanah bagi tapak kawasan projek itu, tiba-tiba tidak jadi. Di mana keihklasannya, ini bukannya projek mega pun," katanya.

Read More...

Hubungan 'dingin' PAS-KeADILan kecewakan rakyat

Harakahdaily

Maulana Purnama

Tue | Jul 15, 08 | 6:36:54 am MYT

Suasana hubungan dingin antara PAS dan KeADILan walaupun dapat difahami tetapi mengecewakan rakyat. Siapakah rakyat yang dikecewakan itu? Bukan saja mereka yang menyokong Pakatan Rakyat dan mengundi pembangkang semasa pilihan raya 8 Mac lalu. Rakyat yang tidak menyokong Pakatan Rakyat juga kecewa dengan pertembungan antara KeADILan dan PAS.

Ini kerana rakyat mahukan kerajaan yang berfungsi untuk rakyat. Pilihan raya sudah berlalu dan kerajaan sudah pun dibentuk. Apa yang diharapkan oleh rakyat adalah kestabilan di mana segala janji pilihan raya dapat ditunaikan dengan sebaik mungkin. Bukan saja Barisan Nasional harus tunaikan jani pilihan raya mereka di peringkat persekutuan dan negeri-negeri yang dikuasainya, tetapiu juga kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri.

Tidak kiralah sama ada PAS yang menguasai Kelantan dan Kedah, Atau DAP yang menguasai Pulau Pinang dan Perak, ataupun KeADILan di Selangor tetapi kesemuanya adalah kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat yang menjanjikan harapan baru kepada rakyat.

Maka kunci kestabilan politik di negara ini ialah hubungan baik antara PAS dan KeADILan, diikuti pulka hubungan baik antara ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat iaitu PAS, KeADILan dan DAP. Bukan itu saja, BN dan Pakatan Rakyat juga mesti kerjasama dalam kedudukan masing-masing dalam hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Perhatian parti-parti politik baik dalam Pakatan Rakyat mahupun BN mestilah kepada rakyat, yan g mahu hidup selesa dan bahagia di bumi bertuah di Malaysia . Jangan adanya mana-mana ahli parti politik tidak kira dari mana mensia-siakan harapan reakyat. Berpolitik secara keterlaluan dengan meletakkan kuasa sebagai rebutan adalah sesuatu pengkhianatan kepada rakyat.

Dalam hal ini, Pakatan Rakyat memikul amanah yang lebih besar daripada BN kerana mereka berjuang atas nama rakyat. Bukan saja Pakatan Rakyat itu membawa nama rakyat, tetapi sememangnya ideologi Pakatan reakyatr adalah berorientasikan rakyat dan bukannya atas kepentingan kumpulan-kumpulan politik semata-mata.

Perbezaan besar antara BN dengan Pakatan Rakyat ialah kedudukan parti di dalamnya. Kalau BN , ia didominasi oleh UMNO dan ia melayani hegemoni Umno itu sendiri. Malah bukannya Umno, tetapi kumpulan yang menguasai Umno, Tetapi tidak bagi Pakatan Rakyat. Semua parti di dalamnya adalah setaraf. Tidak ada yang dominant atau mempunyai hegemoni walaupun kedudukan keruisi masing-masing adalah berbeza.

Bukan saja PAS, KeADILan dan DAP setaraf, tetapi parti-parti lain yang bertanding di bawah lambang KeADILan seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Demokratik MNalaysoa (MDP) adalah berdiri setaraf. Semua ahli politik Paklatan Rakyat mewakili semua parti yang berada di dalamnya. Mereka berdiri mewakili kesemua rakyat. Justeru, tidaka da seorang ketua parti yang boleh dikatakan mengetuai Pakatan Rakyat. Anwar Ibrahim juga bukannya ketua bagi Pakatan Rakyat walaupun parti-parti di dalamnya menerima beliau sebagai calon Perdana Menteri.

Justeru diingat, semua ketua parti Pakatan Rakyat adalah setaraf. Baik Wan Azizah Ismail, Abdul Hadi Awang, Lim Guan Eng mahupun Nasir Hashim dan Wee Chee Keong. Walaupun Anwar disebut sebagai ketua umum atau de facto leader KeADILan tetapi secara rasmi presiden adalah Wan Azizah.

Pakatan Rakyat digerakkan melalui idealisme rakyat untuk menolak amalan politik BN yang dilihat sebagai tidak memenuhi aspirasi rakyat. Kepimpinannya pua dilakukan secara kolektif atau bersama, tidak ada sesiapa yang lebih. Justeru, mana-mana pemimpin yang cuba mendominasi Pakatan Rakyat tidak akan berhasil kerana yang memimpin gabungan parti itu ialah rakyat sendiri.

Apa yang jelas rakyat mahukan hubungan baik antara parti-parti Pakatan Rakyat. Sebarang kedinginan apatah lagi ketegangan antara PAS dngan KeADILan, ataupun PAS dengan DAP tidak akan disenangi oleh rakyat, yang akhirnya akan menolak Pakatan Rakyat jika keadaan ini berterusan.

Justeru semua aktivis PAS, KeADILan, DAP, PSM dan MDP wajar sedar bahawa tanggungjawanb mereka adalah keada rakyat dan apa yang rakyat hendak adalah perpaduan lebih kukuh dalam Pakatan Rakyat. Sebarang suara yang memecah belahkan hubungan baik antara parti, apatah lagi sehingga tumbangnya Pakatan rakyat akan dipandang sebagai pengkhianatan kepada aspirasi rakyat.

Selepas kerajaan-kerajaan negeri ditubuhkan, apa yang dioharapkan oleh rakyat adalah Pakatan rakyat dapat berfungsi dengan baik melalui kuasa yang ada. Sememangnya BN melalui kerakjaan persekutaun akjan cuba meminggirkan kerajaan negeri. Tetapi pasti rakyat pun akan sedar perkara ini dan apa yang diperlukan ialah pendedahan bagaimana kerajaan persekutuan cuba pinggirkan kerajaan negeri.

Dalam keadaan tertekan ini, sememangnya dapat dirasakan betapa perlunya Pakatan Rakyat menguasai kerajaan persekutuan. Dari segi politik, tindakan segera untuk mendapatkan kuasda adalah suatu yang bijak. Itulah yang dikehendaki oleh Anwar apabila melakukan rancangan untuk mengajak ahli-ahli BN melompat.

Tetapi adakah perkara ini berpatutan? Perlu diingat bahawa rakyat yang mengundi mereka itu sememangnya memilih BN. Maka adalah suatu pngkhianatan jika mereka melompat parti.

Pengundi tidak mengundi hanya kepada calon tetapi parti. Maka sebarang tidnakan berpolitik harus mengambil kira aspirasi rakyat. - mks._

Read More...

Presiden Pas Sihat Sejahtera

msomelayu

PRESIDEN Pas Abdul Hadi Awang yang dimasukan ke Institiut Jantung Negara (IJN) kerana mengalami stress semalam kini berada dalam keadaan sihat dan ceria. Beliau dijangka akan keluar di IJN hari ini.

Laporan media mengatakan beliau menghadapi masalah jantung tidak tepat. "Saya di minta berihat sahaja kerana stress," jelas Abdul Hadi.

Sehari dua lalu menurutnya beliau agak sibuk dengan beban kerja dan tugas yang meruncing di mana tiga hari berturut-turut tidak mempunyai rihat yang secukupnya."Alhamdluliah jatung tidak ada apa-apa masalah. Tekanan darah juga stabil, dan hari ini sudah boleh keluar," jelasnya.

Ketika singgah mengunjunginya sekejap tadi Abdul Hadi sedang menghadapi laptopnya melayari beberapa web site dan blog. Abdul Hadi dikatakan seorang penagih internet yang tegar!

Beliau juga kelihatan bahagia menerima beberapa tetamunya yang tiba hampir serentak di samping isterinya Toh Puan Seri Zainab Awang di sisi. Beberapa panggilan telefon tidak putus masuk ke telefonnya bertanyakan mengenai kesihatannya.

Ini termasuk panggilan daripada bekas menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Jamaluddin Jarjis yang juga turut mengirimkan jambangan bunga untuk Abdul Hadi. Beliau juga turut menerima panggilan dari Pesuruhjaya Pas Terengganu Mustafa Ali yang mahu mengetahui perkembangan diri bekas MB Terengganu itu. [wm.kl 12:00 t/hari 15/07/08]

Read More...

Masa Siaran Debat Dikurangkan Kepada 1 Jam

Buletin Online


PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Tian Chua
Tuesday, 15 July 2008


http://buletinonline.net/images/berita8/tianchua.jpgPada bulan lalu, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek telah diundang oleh akhbar portal Agenda Daily untuk berdebat satu tajuk yang menglibatkan dasar negara dan kepentingan rakyat.

Debat yang bertajuk "Hari ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" dijadualkan berlangsung pada 15 Julai, jam 9 malam pada asalnya akan disiarkan langsung melalui stesen televisyen TV3 dan Televisyen swasta Awani, dan stesen kerajaan RTM akan buat liputan tertunda.

Namun sehari sebelum pendebatan ini, kami dimaklumkan dengan perubahan baru yang amat dikesali.

Pada saat-saat terakhir, TV3 batalkan siaran langsung, dan ditukarkan kepada stesen televisyen TV9. Akhirnya penyiaran hanya terhad kepada Bernama TV dan Astro Awani yang hanya mempunyai kira-kira 2 juta pelanggan dalam negara ini; dan TV9 satu-satunya stesen televisyen awam yang mempunyai liputan pelanggan yang terhad.

Apa yang mengecewakan lagi ialah, disebabkan oleh pertukaran stesen penyiaran dari stesen kerajaan kepada stesen swasta, masa penyiaran telah dikurangkan dari satu jam setengah kepada 52 minit ditambah dengan 8 minit iklan.

Pertukaran stesen penyiaran dan pengurangan masa siaran jelas adalah untuk menyekat orang awam daripada mengikuti perdebatan yang jarang ini bagi mendengar penjelasan Anwar Ibrahim berhubung dengan isu harga minyak.

Tindakan ini timbul tidak lain daripada rasa takut Barisan Nasional untuk berhadapan dengan Anwar Ibrahim dalam isu yang menjadi perhatian semua rakyat.

Walau bagaimanapun, Anwar akan tetap menghadiri program Debat tersebut demi kepentingan rakyat umum. (tamat)


TIAN CHUA

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat
Ahli Parlimen Batu, Wilayah Persekutuan

Read More...

Koleksi Video - Peperangan dalam Dewan Rakyat (14/7/08).



Part 1



Part 2



Part 3

Macam budak-budak......!!!!

Read More...

Anwar suspek kes liwat, polis keluar waran tangkap

Mstar Online

15-07-2008 05:07:56 PM
Oleh G. MANIMARAN dan LEE YAN XIU

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Polis telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) yang tidak hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur petang semalam untuk memberi keterangan berhubung isu liwat.

Malah Anwar juga telah dikategorikan sebagai suspek dalam kes liwat yang melibatkan pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23.

Perkara ini diumumkan oleh peguam Anwar, Sankara Nair pada sidang media kira-kira pukul 3:30 petang di rumah Anwar di sini.

Ia merupakan sidang akhbar ketiga diadakan Sankara hari ini.

Jika ditangkap sama ada hari ini atau esok, Anwar boleh ditahan reman dan didakwa.

Sebelum sidang akhbar ketiga Sankara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Mohd Bakri Zinin pula berkata, Anwar diberi tempoh sehingga pukul 2 petang esok untuk hadir ke IPK Kuala Lumpur untuk memberi keterangan berhubung kes liwat.

Beliau memberi amaran jika arahan itu diingkari, polis akan mengambil tindakan undang-undang termasuk menahan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ketika ditemui wartawan, Bakri berkata, tindakan undang-undang juga akan dikenakan terhadap sesiapa yang cuba menghalang tugas polis daripada menahan Anwar nanti.

Ketika ditanya sama ada Anwar boleh ditahan polis bila-bila masa daripada sekarang, Sankara berkata, polis mempunyai kuasa untuk berbuat demikian walaupun persetujuan telah dicapai bagi membolehkan bekas Timbalan Perdana Menteri menemui polis esok.

Pukul 9 malam ini, Anwar akan menghadiri debat anjuran Agendadaily mengenai kenaikan harga minyak di Menara Dewan Bahasa. Menurut Ketua Pengarang Agendadaily, Rosli Ismail debat itu akan dilangsungkan seperti dirancang dan tiada perubahan sehingga 4.30 petang tadi.

Jika suspek, Anwar boleh disiasat mengikut Sekyen 377 Kanun Keseksaan.

Sepasukan lapan orang peguam telah dibentuk untuk membela Anwar jika beliau dihadapkan di mahkamah berhubung kes berkenaan, kata Sankara.

Pada dua sidang akhbar selang beberapa minit tengah hari tadi di pejabatnya di Mont Kiara dekat sini, Sankara memberitahu, Anwar menemui polis petang esok berdasarkan persetujuan terbaru yang dicapai lewat petang semalam.

Berdasarkan persetujuan itu Anwar telah menyatakan kesediaan untuk hadir di IPK Kuala Lumpur pukul 10.30 pagi Khamis ini.

Bagaimanapun Sankara menerima panggilan polis tengah hari tadi mengarahkan Anwar hadir di IPK Kuala Lumpur pukul 2 petang esok.

Pada sidang media di kediaman Anwar petang ini, Sankara memberitahu beliau menerima surat yang difakskan pada pukul 1.08 tengah hari tadi, yang ditandatangani Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, DSP Jude Pereira bahawa Anwar dikehendaki hadir di IPK KL pada pukul 2 petang esok dan terus berjumpa pegawai penyiasat iaitu Pereira.

"Saya menerima surat daripada polis selepas mengadakan sidang akhbar tengah hari ini, saya telah diminta oleh DSP Jude pada pukul 7.10 petang semalam untuk membawa anak guaman saya, Anwar pada 17 Julai iaitu Khamis ini.

"Bagaimanapun ketika saya mengadakan sidang akhbar saya menerima panggilan daripada polis, pegawai yang sama supaya membawa Anwar esok, sehari lebih awal tanpa memberikan sebarang alasan bagi perubahan itu dan beliau mengatakan ada waran tangkap dikeluarkan," katanya.

Kata Sankara, surat itu juga memaklumkan waran tangkap ke atas Anwar juga telah dikeluarkan.

Sankara menambah, bahasa yang digunakan dalam surat tersebut agak mengelirukan kerana ia bukan sahaja mengatakan Anwar diperlukan untuk membantu siasatan, malah waran tangkap ke atasnya juga telah dikeluarkan.

"Saya baru sahaja menghubungi Jude untuk mengesahkan sama ada anak guaman saya (Anwar) akan menjadi saksi atau apa. Jawapan beliau ialah beliau (Anwar) adalah suspek (dalam kes liwat).

"Dan saya bertanya lagi sama ada beliau boleh ditahan, beliau mengatakan bahawa beliau (Anwar) boleh ditangkap. Itu yang diperkatakan oleh beliau (Jude) dan saya tidak boleh berkata lebih daripada itu," katanya dan menambah, pihaknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Sankara mengulangi Anwar akan berada di IPK Kuala Lumpur petang esok.

"Anwar akan berada di IPK Kuala Lumpur pukul 2 petang esok, dan beliau juga akan memberikan kenyataan kepada Badan Pencegah Rasuah pukul 10.30 pagi esok berhubung laporan yang dibuat (di IPK Selangor pada 1 Julai lalu terhadap Peguam Negara dan Ketua Polis Negara)," katanya lag

Read More...

PAS: Jangan heret tentera ke kancah politik

Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri | Jul 15, 08 2:08pm

Dewan Pemuda PAS hari mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong membantah tindakan kerajaan 'mengheretkan tentera ke dalam kancah politik".

Memorandum tiga muka surat itu diserahkan ketuanya, Salahuddin Ayub kepada pegawai pentadbir kanan Istana Negara, Guli Tahir.

Yang di-Pertuan Agong adalah pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam memorandum tersebut, Salahuddin menarik perhatian baginda terhadap siri latihan bersama di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM pada 2 Julai lalu.

Beliau juga merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dilaporkan sebagai berkata bahawa latihan bersama ini relevan "memandangkan kebelakangan ini erlaku beberapa insiden melibatkan ketenteraman awam, seperti demonstrasi, akibat tindakan beberapa pihak yang mempunyai agenda tersendiri".

Salahuddin berkata, latihan bersama itu dan juga kenyataan Musa telah memberikan isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia dan juga dunia luar, "seolah-olah Malaysia bukan lagi sebuah negara yang selamat disebabkan terdapatnya ancaman yang serius terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara".

"Persoalannya, apakah benar hingga serius sekali suasana yang ada di dalam negara ini hingga menuntut PDRM dan ATM terpaksa mengadakan latihan bersama?" soalnya.

Soal suara majoriti

Menurut Salahuddin, kekalutan yang timbul terutamanya selepas pilihanraya umum ke-12 adalah disebabkan parti pemerintah di peringkat Persekutuan sudah tidak mendapat kepercayaan bulat dari rakyat.

Katanya, ini ditambah pula dengan beberapa isu lain yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat seperti kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang keperluan dan lain-lain masalah yang gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan.

Salahuddin berkata, masalah ketidaktentuan politik ini yang bersangkut paut dengan soal suara majoriti di Dewan Rakyat boleh diselesaikan dengan mekanisme dan konvensyen perlembagaan serta 'duluan' yang berlaku sebelum ini, termasuk di negara Komanwel lain, tanpa perlu menggambarkan kepada rakyat seolah-olah negara ini berada dalam keadaan tidak selamat dan huru-hara.

Oleh yang demikian, tambahnya, masalah ketenteraman awam dan keselamatan negara tidak berbangkit sama sekali.

Jika ada pun demonstrasi atau perhimpunan umum yang dilakukan, tambahnya, ia bukanlah suatu yang asing dalam kerangka sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Katanya, ini kerana hak untuk berhimpun secara aman adalah dijamin kepada seluruh warga negara Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 10 (l)(b) Perlembagaan Persekutuan.

"Cumanya selama ini pihak polis yang patik percaya atas pengaruh parti pemerintah, telah menyekat hak perlembagaan ini dari dilaksanakan oleh rakyat dengan tidak memberikan permit kebenaran atas alasan kononnya sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh parti-parti pembangkang akan menjejaskan ketenteraman awam," katanya.

'Polis bertindak keras'

Salahuddin juga berkata, dalam banyak kejadian, termasuk yang pernah menimpa dirinya sendiri, rakyat sekadar berhimpun dalam jumlah yang kecil dan berjalan dalam suasana aman tenteram,
tetapi pihak polis telah bertindak keras dan keterlaluan hingga menimbulkan kekecohan.

"Tanggungjawab untuk menjaga ketenteraman awam adalah satu tugas yang diamanahkan oleh undang-undang kepada pasukan PDRM sebagaimana yang dinyatakan dalam Akta Polis 1967.

"Manakala sekiranya terdapat ancaman keselamatan dari luar barulah ianya menjadi tugas kepada ATM untuk menanganinya," katanya.

Oleh itu, katanya, amatlah tidak wajar untuk mengheret sama ATM dalam tugas menjaga ketenteraman awam, yang menurut ketua polis negara, ancaman dalam bentuk demonstrasi.

"Dalam ha1 ini kita semua maklum demonstrasi atau perhimpunan aman yang berlaku adalah berpunca dari masalah politik yang berlaku dalam negara ini.

Minta campurtangan

"Dengan melibatkan sama ATM untuk menangani demonstrasi atau perhimpunan aman yang dianjurkan oleh parti-parti politik, ini bermakna terdapat cubaan untuk mengheret ATM ke kancah politik kepartian," katanya.

Sekiranya ATM dilibatkan sama dalam ha1 politik, Salahuddin berkata, beliau khuatir ianya boleh membawa kepada akibat yang merbahaya kepada kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat.

Justeru, katanya, beliau dan rakyat merayu kepada baginda agar campurtangan supaya ATM tidak dipergunakan untuk menentang rakyat yang hanya melaksanakan hak mereka untuk berhimpun, yang sememangnya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Patik juga sesungguhnya percaya siri-siri latihan bersama yang melibatkan sama ATM ini adalah terjumlah kepada perkara yang memerlukan kepada perkenan dan restu Tuanku selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Berikutan itu, beliau merayu supaya suatu tindakan dapat dilakukan untuk menghentikan latihan bersama tersebut yang menurutnya, bukan sahaja bakal menimbulkan implikasi negatif terhadap sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di negara ini, bahkan banyak menelan kos dari dana awam yang sepatutnya digunakan perkara yang lebih perlu dan bermanfaat.

"Adalah lebih baik sekiranya segala kekuatan yang ada pada PDRM digunakan untuk menangani masalah jenayah yang kian meruncing daripada membiarkan maruah PDRM diperkotak-katikkan kerana dijadikan alat politik pihak-pihak tertentu," katanya.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |