+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, January 1, 2009

Azam 2009: Abdullah saran matangkan amalan demokrasi

Mstar Online

Pemimpin kerajaan, pembangkang bertekad hadapi kesan krisis ekonomi sejagat

MENYAMBUT ketibaan Tahun Baru 2009 di Dataran Merdeka dengan berlatarbelakangkan persembahan bunga api. - foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

[DIKEMAS KINI] PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, walaupun krisis ekonomi dunia diramalkan cukup mencabar pada 2009, kerajaan berazam mengambil langkah berkesan untuk memelihara kekuatan ekonomi negara dan melindungi kepentingan rakyat.

Kerajaan akan terus bertindak secara prihatin dan bertanggungjawab serta memantau corak dan perkembangan ekonomi dunia dan mengambil langkah wajar menghadapinya, kata Perdana Menteri dalam amanat tahun baru 2009 yang disiarkan malam ini.

Abdullah berkata Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias kelembapan pertumbuhan ekonomi global tetapi negara mempunyai beberapa kelebihan yang membantu menghadapi keadaan dengan lebih berkesan daripada banyak negara lain.

"Sektor kewangan kita adalah kukuh, tidak seperti waktu krisis kewangan satu dekad yang lalu.

"Rizab kewangan negara berada pada paras yang tertinggi dalam sejarah kita, iaitu 37 peratus berbanding jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar.

"Institusi kewangan kita mempunyai modal yang kukuh dan dikawal selia secara berhemah. Ekonomi negara kita bersifat pelbagai dan tidak bergantung kepada satu sektor tertentu sematamata," katanya.

Abdullah berkata segala usaha akan diambil untuk merancakkan kegiatan ekonomi dengan menggembleng secara bijak sumber-sumber yang ada dan memberi penekanan kepada sumber dalaman iaitu pelaburan sektor awam dan swasta tempatan.

"Kerajaan telah menyuntik dana tambahan RM7 bilion dalam bentuk rangsangan agar ekonomi tidak akan mengalami kemelesetan, sebaliknya berupaya untuk terus berkembang," katanya.

Kerajaan juga akan memberi perhatian kepada projek berimpak tinggi yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya tahan negara seperti pembinaan lebih banyak rumah kos rendah, pemuliharaan dan baik pulih kemudahan awam dan peningkatan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, kata Perdana Menteri.

SUASANA menjelang kedatangan Tahun Baru 2009 di Dataran Merdeka. foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

SAMBUTAN Tahun Baru 2009 di pekarangan kawasan KLCC. - foto The Star oleh GLENN GUAN

Abdullah berkata jika perlu, kerajaan akan mengambil langkahl-angkah tambahan bagi memastikan ekonomi tetap berkembang dan permintaan dan penggunaan domestik terus meningkat.

Katanya kemampuan negara menghadapi cabaran tidak bergantung kepada keupayaan dan langkahlangkah dalam bidang ekonomi sahaja tetapi keutuhan dan integriti institusi negara, pentadbiran yang bersih dan cekap serta sistem kehakiman yang berwibawa amat penting untuk menjamin pengurusan ekonomi dan sosial yang baik dan mampu menarik keyakinan pelabur.

"Sehubungan ini, saya bersyukur kita telah mencapai kemajuan besar dengan kelulusan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman oleh Parlimen barubaru ini," katanya.

Beliau berkata langkah seperti itu penting untuk menjamin hak masyarakat terpelihara secara adil dan saksama terutamanya mereka yang kurang berupaya untuk mempertahankan hak mereka.

"Saya yakin dan percaya bahawa dengan niat suci dan semangat gigih, tiada gunung yang terlalu tinggi untuk kita daki dan tiada laut yang terlalu dalam untuk kita selami," kata Abdullah.

Mengenai harga minyak, Abdullah melahirkan rasa kesal harga barangan masih tinggi walaupun harga petrol telah turun sebanyak tujuh kali sejak Ogos lepas, malah lebih rendah daripada harga sebelum ia dinaikkan pada Jun.

"Saya sekali lagi menyeru semua pengeluar, pengilang, pengedar dan peniaga barangan agar bertimbang rasa dan prihatin terhadap keperitan rakyat dan sama-sama menurunkan harga barangan demi kesejahteraan mereka," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk memelihara kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara, termasuk memberi bantuan seperti bayaran rebat kenderaan dan subsidi beras untuk meringankan kesusahan rakyat.

"Apabila harga minyak dunia turun, faedah daripadanya terus disalurkan kepada rakyat," katanya.

Abdullah juga menyeru rakyat supaya mengamalkan semangat bersatu selain terus menjunjung dan mendaulatkan undang-undang negara untuk mematangkan amalan demokrasi.

"Tanggungjawab politik yang tinggi perlu diamalkan untuk menjamin keamanan dan kestabilan negara serta mengawal kepentingan semua kaum dan lapisan masyarakat," katanya.

KETUA PEMBANGKANG

Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pilihan raya umum ke-12 menyaksikan kerusi milik pembangkang bertambah dan menafikan Barisan Nasional majoriti dua pertiga.

"Harapan rakyat begitu besar, perubahan mesti dilakukan, makanya hasil dari persetujuan dan permuafakatan ketiga-tiga parti; PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat melahirkan Pakatan Rakyat.

"Sepanjang tahun ini tidak dapat dinafikan pelbagai cabaran yang datang untuk menggugat permuafakatan ini," katanya.

Hasrat Barisan Nasional katanya, untuk melihat kehancuran Pakatan Rakyat nampaknya menemui jalan buntu.

"Mereka lupa, asas kepada permuafakatan ini berpasak kuat dari cita-cita memperjuangkan agenda rakyat dan melakukan perubahan mendasar. Perubahan adalah tuntutan melewati sempadan kaum dan politik kepartian," katanya.

Sambil merujuk kepada kedudukan ekonomi sejagat yang tidak menentu, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata, pengurusan ekonomi memerlukan kepimpinan yang berpandangan jauh, tegas dan jujur.

"Sering saya ulangi, negara ini dan rakyatnya yang berbilang kaum sudah mengharungi pelbagai rintangan bersama.

"Kita yakin dengan berlakunya perubahan, dan bila negara ini mula berada di haluan yang tepat, maka sekali lagi kita akan dapat melepasi cabaran ini," katanya lagi.

PRESIDEN MIC

Datuk Seri S.Samy Vellu meminta rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama supaya merapatkan barisan dan bekerjasama bagi menghadapi krisis ekonomi global "yang dijangka memberi kesan terhadap negara terutama dari segi keselamatan kerja dan pelaburan".

Beliau juga meminta kerajaan supaya mewujudkan jaringan keselamatan untuk memastikan rakyat tidak terjejas dengan keadaan itu.

Katanya rakyat malaysia perlu menjalin perpaduan di kalangan mereka dan menjadikan tahun 2009 sebagai "Tahun Perpaduan".

MENTERI SUMBER MANUSIA

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam, yang juga Setiausaha Agung MIC, dalam perutusannya menggesa pekerja Malaysia supaya "berjimat cermat" bagi menghadapi krisis ekonomi global.

Katanya kementeriannya akan memberi fokus kepada latihan dan skim latihan semula bagi membantu pekerja yang diberhentikan untuk mendapat kerja alternatif.

KETUA MENTERI SABAH

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan negeri akan berusaha lebih kuat dan memberi perhatian kepada keperluan rakyatnya.

Katanya, bagi Sabah, keputusan pilihan raya umum 2008, membuktikan rakyat negeri itu menyokong inisiatif pembangunan yang dijalankan kerajaan negeri dan ini mendorong kerajaan negeri terus bekerja kuat bagi memenuhi keperluan mereka.

Barisan Nasional (BN) di Sabah hanya kehilangan satu kerusi, masingmasing bagi kawasan satu bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kepada pembangkang.

Musa juga meminta rakyat Sabah untuk saling bekerjasama dengan kerajaan bagi meningkatkan daya saing dalam dunia global sambil meminta mereka supaya "terus bersatupadu bagi memastikan setiap strategi dan pelan yang diatur dapat dilaksanakan dalam menuju fasa pembangunan seterusnya."

MB SELANGOR

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, cabaran utama bagi tahun 2009 ialah bagi mencari cara untuk mengurangkan kesan krisis ekonomi global kepada negeri itu.

"Tidak boleh dinafikan bahawa krisis ekonomi dunia akan memberi kesan kepada pertumbuhan industri pembuatan di Selangor," katanya.

Katanya, para pemimpin dan rakyat di negeri itu perlu memastikan mereka berhatihati semasa membelanjakan setiap ringgit yang mereka ada.

"Ini merupakan masa bagi kita menggunakan sumber terhad yang ada di negeri ini dengan berusaha menjana nilai yang bersesuaian dengan perkhidmatan dan kontrak.

"Cabaran lain juga termasuk bagi memastikan rakyat tidak mengamalkan tabiat yang buruk semasa krisis ekonomiitu," katanya sambil berkata cabaran ekonomi itu perlu dianggap sebagai satu motivasi untuk meningkatkan produktiviti.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |