Salam Kamunting,

Berkata Ibnu Khaldun, “Apabila sesebuah negara telah mencapai umur tua, ia tidak akan bangkit lagi.”

Kata - kata pemikir besar Islam ini mudah difahami. Tua adalah sakit yang tiada ubatnya. Ia bererti tiada lagi di hadapan selain ajal yang menutup segala harapan. Ia melanda manusia, haiwan, pokok tumbuhan dan semua makhluk tuhan.

Dunia ini pun sudah cukup tua. Ia seperti wanita tua bongkok sebagaimana digambarkan kepada al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam pada malam Isra’ dan Mikraj. Sampai masanya dunia ini akan mati. Kiamat adalah kematian bagi dunia ini sebagaimana disebut bahawa kematian setiap diri adalah kiamat kecil untuknya.

Tua mengakibatkan lemah jasmani, bahkan rohaninya juga. Ia tidak mampu lagi sebagaimana kudrat masa mudanya. Apabila ia lemah, penyakit datang dengan mudah dan susah pula dirawati. Ia akan menarik kematian dengan lebih segera.

Justeru kebangunan sesebuah negara dan keruntuhannya diikat oleh hukum alam ( sunnah Allah ) ini. Ia akan terhenti pada umur tuanya. Jika tiada faktor awal lain melandanya, maka ia akan diasak oleh faktor umurnya. Tiada negara yang berjaya dalam tamadunnya kecuali ia akan berakhir juga dengan sebab ketuaannya.

Ibnu Khaldun semasa menulis dan memutuskan kaedah dan sunnah ini sudah pasti melihat dengan jelas sejarah ketamadunan manusia yang terdahulu. Jika anda membaca dan memahami al Quran, terdapat beberapa lagi faktor atau sunnah tuhan yang menyentuh mengenai kejayaan dan kegagalan tamadun manusia.

Pada menetapkan sunnahNya, Allah menegaskan, ” Dan engkau tidak akan dapati sebarang penukaran lagi terhadap sunnah Allah dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan lagi terhadap sunnah Allah.” ( Fathir:43)

Negara kita selepas merdeka, melalui sistem demokrasi barat, telah diterajui oleh pemerintahan Barisan Nasional yang diketuai UMNO. Kini, ia telah mencapai umur lebih 50 tahun. Jika dikira umur sebuah tamadun, ia masih terlalu muda. Tetapi dalam sistem demokrasi hari ini yang memberi kuasa dan kebebasan kepada rakyat untuk melantik dan menukar parti yang memerintah, maka pemerintahan BN dikira sudah cukup tua.

Ia sudah lemah dan tak bermaya lagi.

Anda boleh melihat di dunia hari ini, dalam tempoh 50 tahun, negara - negara yang mengamalkan demokrasi telah mengalami pertukaran dan perubahan kerajaan lebih daripada sekali. Bermula di Amerika, England, India sehinggalah ke negara - negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Jepun, sesetengah perubahan yang berlaku adalah kerana faktor ketuaan yang mengakibatkan kelemahan dalam pemerintahan.

Kerana itu, pendapat ramai penganalisis politik negara yang melihat faktor UMNO dan BN yang telah mencapai umur tua sebagai petanda kejatuhan UMNO dan kerajaan BN bukanlah suatu telahan yang kosong atau sekadar analisis murahan.

Selepas UMNO dilihat memuncak di zaman Tun Mahathir, kemudian mula lemah di hujung pemerintahannya, ia berusaha untuk bangkit di zaman Pak Lah. Kejutan kebangkitan berlaku. Tetapi ia sekadar untuk beberapa tempoh yang pendek sekali. Ia sekadar panadol penahan sakit. Ia diasak oleh penyakit yang mula berakar di zaman Tun Mahathir. Pak Lah yang gagal sering dilihat dan dijadikan mangsa oleh UMNO dan Tun Mahathir sendiri seolah - olah beliau mampu membaiki dan membina kembali apa yang dulu diruntuhkannya sendiri.

Hari ini, apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan UMNO dengan laungan perubahan menyeluruh dalam parti kebangsaan itu, ramai yang memberi harapan untuk kebangkitan UMNO kembali. Setiap presiden baru tuahnya pasti ada.

Untuk mengamati benar atau batilnya harapan itu, anda perlulah dahulu melihat dan memerhatikan benar atau batilnya dakwaan bahawa UMNO memang telah disumpah sunnah ‘tua’.

Saya cuba gariskan beberapa fenomena yang mungkin mencetus jawaban yang mujarab untuk memastikan kebenaran dakwaan bahawa UMNO telah tua dan tiada ubat untuknya lagi. Saya adalah anatara yang beriman dengan dakwaan ini.

1) Saya tiada jawaban untuk mengeluarkan UMNO daripada dimamah faktor yang telah menumbangkan rakan - rakannya daripada kalangan pemerintahan tua negara - negara jiran Malaysia. Satu - satunya negara terdekat yang masih selamat ialah Singapura. Adakah anda melihat UMNO sehebat parti pemerintah negara itu?

2) Saya tiada keyakinan langsung untuk mengatakan Datuk Seri Najib mampu membawa perubahan besar dalam UMNO. Pertama, beliau sendiri dipalit dakwaan buruk yang sukar dibersihkan. Mr dirty menggantikan Mr clean. Bolehkah saya meyakini bahawa pakaian kotor adalah lebih memikat berbanding pakaian bersih?

Kedua, UMNO terlalu memerlukan perubahan besar. Perubahan kecil - kecilan, singgul - singgulan, tempel - tempelan adalah membazirkan masa, wang dan harapan. Jiwa kecil Datuk Seri Najib tidak mungkin melakukan yang besar dalam pelan perubahan canangannya.

3) Rasuah adalah barah yang membunuh. Ia membunuh negara sebagaimana dadah membunuh manusia. Saya melihat pelan membasmi rasuah dalam UMNO lebih teruk daripada pelan membasmi dadah dalam negara. Jika UMNO sendiri membawa virus rasuah, bagaimana ia mampu menyelamatkan negara daripada rasuah?

Bagi saya, UMNO sedang membunuh diri. PAS tidak akan sempat membunuh UMNO.

4) Saya tidak melihat pelapis dalam UMNO yang dikagumi. UMNO meninggalkan generasi lemah yang ditakuti masa depannya. Bapa yang meninggalkan anak - anak yang lemah pasti menyaksikan kematian keturunannya. Pertikaian dan kejayaan kumpulan yang dipalit rasuah dalam sayap pemuda UMNO baru - baru ini adalah menakutkan. Adakah anda mampu menyalahi saya di dalam tidak meletakkan harapan kepada generasi pelapis UMNO?

5) Rakyat telah dihidangkan dengan alternatif pemerintahan baru oleh Pakatan Rakyat. Bahkan, cara hidup tawaran Islam yang terbukti berjaya oleh PAS. Rakyat kini boleh menilai dan membezakan. Penutup mata telah dirungkai dan cahaya di hadapan sudah cukup terang.

Adakah anda boleh memberi keyakinan bahawa Kelantan adalah gagal? Anda perlu tahu bahawa tiada yang lebih berani menghukum kegagalan politik melebihi rakyat Kelantan. Mengapa mereka tidak menghukum PAS di Kelantan?

Lima fenomena yang saya sebutkan di atas cukup untuk menjadi sandaran di dalam menentukan kebenaran bahawa UMNO telah mencapai umur tua yang tidak akan menyaksikan kebangkitan lagi. Anda bolehlah merenung lama. Tiada cela berfikir lama untuk masa depan negara. Itu ibadah yang besar.

Ia adalah sebagaimana kata Maulana Abul Hasan Ali an Nadawi dalam komentarnya terhadap hikmah Ibnu Khaldun di atas, “ Justeru tiada lagi faedah di dalam menghabiskan masa dan tenaga untuk mengislah dan menguatkan negara ‘tua’ itu. Sayugia sekali disediakan satu kumpulan yang mampu melakukan inqilab Islami, lalu membentuk sebuah negara Islam yang baru di atas asas agama dan ilmu yang baru.” ( Rujuk kata pengantar oleh Sayyid Sabiq untuk buku ‘HujjatuLlah al Balighah’ oleh al Imam al Dahlawy )

Mengislah UMNO adalah membuang masa menghabis tenaga. Semoga rakyat tahu. Semoga rakyat berani berubah.