Malaysiakini |
Apr 20, 09 4:21pm |
Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini mengarahkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, melunaskan bayaran penghakiman berjumlah RM63 juta kepada sebuah syarikat kerana melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di Mukim Bebar, Pekan, dekat Kuantan. Hakim Datuk Abd Halim Aman memutuskan pihak responden (menteri besar) perlu melunaskan bayaran berkenaan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini. Ketika membenarkan permohonan perintah 'mandamus' (untuk memaksa) syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd., Abd Halim berkata, tindakan itu dibenarkan selepas segala saluran perundangan untuk menuntut bayaran itu telah selesai. Syarikat berkenaan memperoleh perintah bayaran penghakiman dari Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 dan kerajaan negeri gagal membuat bayaran tersebut, lapor Bernama. "Pendirian sebegini mencerminkan keengganan kerajaan negeri mematuhi kehendak statutori dan secara tidak munasabah membebankan rakyat (pembayar cukai) kerana ia akan membebankan kerajaan negeri dari segi faedah harian," katanya. Abd Halim berkata permohonan responden untuk mengenepikan tindakan 'mandamus' itu dengan hujah bertulis bahawa syarikat terbabit salah menamakan menteri besar sebagai responden adalah tidak tepat. "Menteri besar adalah orang yang tepat serta berkelayakan untuk dinamakan sebagai responden kerana di Pahang dan mana-mana negeri sekalipun kecuali Sabah dan Sarawak, tiada wujud jawatan menteri kewangan negeri," katanya. Beliau berkata, mengikut Artikel 41 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang turut menyatakan menteri besar mempunyai kuasa serta berkompeten untuk menyempurnakan jumlah bayaran dari Tabung Kumpulan Wang Yang Disatukan Negeri. Fail semakan kehakiman Seruan Gemilang diwakili peguam Rajoo D Moothy dan Richard Bong Chong Fook manakala Adnan diwakili oleh Datuk Shafie Abdullah. Pada 15 Oktober 2008, syarikat pembalakan berkenaan memfailkan permohonan 'mandamus' setelah gagal menerima sebarang pembayaran walaupun telah menuntut pembayaran jumlah penghakiman dan faedah pada 7 April 2008 dan 27 Ogos 2008. Pada 9 Disember 2002, syarikat itu memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Pahang Pahang dan Pengarah Perhutanan Negeri kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah seluas 4,000 hektar di Mukim Bebar. Pada 17 September tahun lalu, kerajaan Pahang diperintah membayar sejumlah RM60 juta kepada syarikat tersebut selepas ia gagal dalam usaha terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mendapat kebenaran merayu. Mahkamah Persekutuan dengan itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan kerajaan Pahang membayar RM37,127,471.60 beserta faedah lapan peratus setahun mulai 31 Disember 2000. Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Datuk Mat Zara'Ai (Zara'Ai) Alias berkata pihaknya akan memfailkan permohonan menangguhkan keputusan esok. Malah beliau berkata, pihaknya sebelum ini juga telah memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan pada 17 September tahun lalu. |
Monday, April 20, 2009
MB Pahang diarah bayar RM63 juta
0 comments Labels: malaysiakini, MB Pahang
Jambatan bengkok wajar dibina – Shahrir
JOHOR BAHRU 19 April – Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, jambatan bengkok menghubungkan Malaysia-Singapura wajar diteruskan.
Kata beliau, jambatan yang menghubungkan Tanjung Puteri di Johor dan Woodlands di Singapura itu boleh dilaksanakan dengan semangat setia kawan antara kedua-dua negara.
“Sebagaimana kita maklum kedua-dua Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan empat mata di Pattaya, Thailand baru-baru ini dan isu perbincangan berkisar projek ikon ini dan saya yakin ia dibincangkan secara serius.
“Saya menaruh keyakinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Lee Hsien Loong telah memperhalusi dan memikirkan secara terperinci berhubung projek ini demi kebaikan bersama,” katanya di sini hari ini.
Mengenai isu jambatan itu yang dibatalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau menjelaskan:
“Jika diamati kenyataan Perdana Menteri Singapura sebelum ini ada menyuarakan komitmennya berhubung projek yang dicetuskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan menyatakan kerajaan republik itu hanya bersedia turut sama terlibat dengan pembinaan jambatan itu selepas 2007.
“Ini membawa maksud ketika itu, Singapura telah siap bina Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) baru yang menjadi pelengkap kepada jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang dibina pada 1924 itu,” jelasnya.
Shahrir berkata, pembinaan projek ikon itu juga boleh dijadikan asas kepada lambang penyertaan Singapura dalam pembangunan di Iskandar Malaysia.
Sementara itu di Raub, Dr. Mahathir ketika mengulas gesaan UMNO Johor Bahru berkata, kerajaan sepatutnya tidak menghentikan langsung pembinaan jambatan itu.
“Bohong, kalau kata rakyat Johor tidak mahu jambatan ini dibina,” katanya.
0 comments Labels: bela rakyat, utusan
PRK Penanti, Najib fobia agaknya!
Izwan Abdul Halim & Bashir Ishak Mon | Apr 20, 09 | 2:50:34 pm MYT | |
ALOR SETAR, 20 April (Hrkh) - Perjalanan pilihan raya akan tetap mengikut prosedur seperti biasa sekiranya terdapat pihak-pihak berminat untuk bertanding, demikian pandangan Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak ketika diminta pihak media mengulas kenyataan awal Barisan Nasional (BN) yang kemungkinan tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Penanti. "Ia akan ikut proses macam biasalah, kalau BN tidak berminat, siapa yang masuk bertanding dia akan bertanding. Mungkin KeADILan dengan Bebas, kalau BN tidak bertanding, akan bertanding di antara pihak yang berminatlah," ujarnya kepada pihak media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Kali Ketiga Penggal Pertama, di sini semalam. Diminta mengulas pendirian Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak berhubung perkara itu, Ustaz Azizan berkata: "Mungkin dia (Najib) fobia agaknya takut dia kalah tak mahu lawan lagi." Ujarnya, kekuatan Parlimen Permatang Pauh juga terdapat di Dun Penanti dimana umum turut mengetahui akan kekuatan PAS dan KeADILan di Dun tersebut. Ketika disoal berhubung kekerapan PRK kebelakangan ini, beliau menegaskan PRK yang disebabkan kematian adalah kerja Malaikat Maut. "Letak jawatan itu memanglah ada perkara-perkara yang jika dia duduk pun tidak ada manfaat lebih baik letak jawatan. Bagi peluang kepada rakyat putuskan kepada satu wakil rakyat yang lebih mampu. "Mungkin orang letak jawatan itu, macam Arumugam dia tidak dapat beri khidmat kerana gangguan-gangguan kepadanya, maka biarlah didatangkan calon lain biar rakyat pilih semula calon mereka yang rakyat rasa dia boleh berkhidmat kepada masyarakat. "Wakil rakyat ini dia perlu berkhidmat kepada masyarakat. Macam (Adun) Penanti ini mungkin dia rasa reputasi terjejas sebagai wakil rakyat dan sebagainya," ujarnya ketika diasak pertanyaan berhubung PRK yang terpaksa diadakan berikutan wakil rakyat berkenaan meletakkan jawatan. Jelas beliau, sepatutnya wakil rakyat dipandang tinggi dan hormat oleh anggota masyarakat kerana telah menghabiskan masa dan tenaga untuk masyarakat tetapi kini dipandang sebaliknya apabila wakil rakyat dikaitkan dengan simbol rasuah, menyeleweng dan seumpamanya. Tegasnya, perkara itu tidak adil kerana bukan semua wakil rakyat berkelakuan seperti itu. "Kalaulah dia rasai dia tidak relevan lagi untuk mewakili rakyat yang memerlukan kepada satu reputasi baik, eloklah dia serahkan kepada rakyat untuk rakyat menilai siapa mereka punya wakil rakyat," ujarnya melanjutkan penjelasan berhubung keputusan Adun Penanti tersebut. Ustaz Azizan dalam menjawab pertanyaan pihak media turut menyangkal bahawa PRK sebagai satu pembaziran. "Saya tidak nampak membuang wang rakyat, kerana PAS tidak belanja duit. Kita (PAS) bukan belanja berjuta-juta, hanya mungkin duit kita guna beli nasi, kopi, gulai, itu sahaja seperti makan di rumah. "Yang buang wang banyak ni kalau belanja teruk sangat, saya tidak tahulah saya tidak pernah belanja banyak. Kita menang pun kita bukan ada duit. Biasanya belanja duit banyak kalah juga," sindirnya. - mks. _ |
0 comments Labels: Harakahdaily, najib razak, PRK, tolak BN
Bahana nafsu
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
SETIAP kali berakhirnya sambutan yang membabitkan ‘kemeriahan’ pada sebelah malamnya di negara ini, tiga bulan selepas itu akan menyaksikan peningkatan kes membuang bayi dan mengandungkan anak luar nikah.
Tempoh ini ibarat ‘musim mengawan’ kerana tiga bulan selepas itu rumah perlindungan wanita akan mencatatkan peningkatan kes wanita tidak bersuami mengandung memohon ‘perlindungan’ dan di seluruh negara pula akan mencatatkan kes buang bayi sama ada yang ditemui masih hidup atau ada janin dibuang di dalam semak, tandas awam atau pusat pembuangan sampah.
Cukup menarik untuk membicarakan topik ini kerana umumnya ia membabitkan pasangan yang mengadakan hubungan intim membawa kepada perlakuan seks terlarang. Soal sah atau haram diketepikan pelakunya, asalkan hasrat nafsu serakah dicapai.
Istilah ‘mengawan’ mungkin lebih menjurus kepada binatang dan konteks ini ia memang normal, bahkan soal bertukar pasangan bukan masalah besar. Bagaimanapun, dalam lingkungan penghidupan manusia normal, apatah lagi umat Islam yang tergolong dalam kategori berpelajaran dan pendidikan tinggi, ia sepatutnya tidak berlaku.
Menariknya, ‘musim mengawan’ ini berlaku serentak setiap kali adanya sesuatu sambutan membabitkan cuti umum atau dikaitkan dengan meraikan bersama kekasih seperti Tahun Baru, kemerdekaan atau ‘Hari Kekasih’ (Valentine’s Day).
Ketika itu jugalah, anak muda bergelar pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) tidak terkecuali ‘mengawan’ sama ada mendapat persetujuan bersama atau tidak sengaja bersama pasangan masing-masing.
Penghuni Kem Bina Insan Kewaja mengikuti sesi agama dan kaunseling. |
Soal hukum agama diketepikan sama sekali, soal baik buruknya perbuatan mereka yang bergelar pelajar universiti juga dibuang ke dalam tong sampah. Paling penting, naluri hati dan nafsu mesti dipenuhi.
Kenyataan ini bukan omongan kosong. Hakikatnya, jika dilihat pada statistik kes buang bayi atau kes gadis mengandung anak luar nikah, ia secara konsisten menunjukkan trend ini selepas beberapa bulan atau maksimum sembilan bulan selepas sesuatu perayaan berlangsung.
Ini diakui Pengarah Kem Modal Insan Kewaja, Yahya Mohamed Yusof, 45, yang kini sudah mengendalikan lebih 3,000 kes mengandung anak luar nikah sejak 1998. Rata-ratanya berusia 17 hingga 23 tahun yang mana mereka sebenarnya dalam peringkat mencari ilmu, bukannya mencari keseronokan seks.
Kewaja yang ditubuhkan atas inisiatif Yahya bersama isterinya, kini dikhaskan untuk membantu dan menguruskan gadis mengandung anak luar nikah, bertujuan membawa mereka kembali ke pangkal jalan dan pada masa sama mengelak meningkatnya kes membuang bayi.
Pesta hiburan dan sambutan Hari Kekasih banyak menyumbang kepada perlakuan seks bebas. |
“Kira-kira 50 peratus daripada mereka pelajar sekolah menengah atas dan IPT. Memang diakui, setiap kali tiba musim perayaan, kami akan menerima banyak kemasukan baru beberapa bulan selepas itu.
“Kita perlu melihat ke belakang untuk mengkaji fakta itu dan ia dikira berdasarkan usia kandungan mereka. Kebanyakan mereka mengandung pada bulan yang memang ada sesuatu perayaan atau sambutan berlangsung. Kononnya itu masa bersuka ria.
“Kita jangka pada sambutan Hari Kekasih pada Februari lalu kes gadis mengandung di luar nikah akan meningkat selepas Mei kerana kebiasaannya, gadis terbabit hanya menyedari mereka mengandung tiga bulan selepas itu,” katanya.
Ketika ini pusat itu menguruskan 55 peserta wanita yang sedang menunggu masa kelahiran bayi mereka mengikut tempoh berbeza. Puratanya, dianggarkan antara 15 hingga 20 orang akan keluar masuk pusat itu setiap bulan.
Logiknya, itu hanya statistik daripada sebuah pusat sukarela, belum dikira pusat lain, kes mendiamkan diri atau yang nekad menggugurkan anak semata-mata mahu mengelak menanggung aib diri dan keluarga.
Berdasarkan kaji selidik dan pengalaman Yahya menguruskan pusat itu sejak 21 tahun lalu, ada antara peserta yang beranggapan pertemuan romantik pasangan kekasih sempena Hari Kekasih atau cuti umum sebagai simbolik upacara ‘pecah dara’.
Berlainan bagi Yahya yang tetap menganggap semua gadis di bawah jagaannya sebagai mangsa rogol walaupun ada yang mengadakan seks atas dasar suka sama suka.
“Seks mestilah melalui proses yang betul, mesti ada peraturan. Tiada wanita yang merancang membuatkan diri dilanda musibah, ini semua disebabkan tipu daya lelaki. Tiada yang teringin nak mengandung anak luar nikah.
“Saya anggap semua kes di sini sebagai kes rogol disebabkan mereka jadi pemuas nafsu lelaki. Apa yang boleh disimpulkan ialah bencana maksiat iaitu semua jenis maksiat di negara kita semakin teruk, perlu ada sikap menegur dan mencegah,” katanya.
Gadis serah tubuh selepas terjerat umpan cintaBAGI sesetengah pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), ada yang sanggup memendekkan cuti semester dua bulan di kampung bersama keluarga semata-mata mahu menghabiskan masa bersama teman lelaki di kampus di penghujung musim cuti.
Tempoh masa cuti semester itu juga dianggap masa paling sesuai untuk berpacaran dan lebih teruk ia adalah masa ‘tepat’ untuk mengawan kerana mereka baru saja selesai melepaskan beban menduduki peperiksaan dan semester baru belum bermula.
Mengakui hakikat itu, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, menjelaskan apabila dalam keadaan berdua-duaan, ia akan mengaktifkan naluri ghairah manusia.
“Itu sebenarnya memberi ruang dan peluang. Waktu mengawan ini juga bermusim, sama seperti jenayah lain, ada kesinambungan tetapi kesannya akan sentiasa diingati. Ia berlaku pada masa tertentu, musim balik bercuti semester, waktu perayaan, misalnya sambutan tahun baru dan Hari Kekasih.
“Jika dibincangkan dalam aspek IPT, sesetengah universiti ketika ini adalah musim peperiksaan dan cuti akan bermula Mei hingga Julai ini. Tetapi peliknya, ramai yang akan datang awal, itulah masa nak memadu kasih, jumpa kekasih,” katanya.
Selain aspek hubungan pasangan kekasih, Dr Mariani juga menegaskan ada antara pelajar yang sebenarnya terhutang budi dengan ‘pelabur’ terdiri daripada individu yang sudah bekerja, bahkan berumahtangga yang banyak membantu mereka mengatasi masalah kewangan kritikal.
Mereka berkawan rapat, diberi sokongan kebendaan, komputer riba dan wang ringgit menyebabkan mereka mudah merelakan apa saja kehendak teman lelaki mereka.
“Apabila ada individu yang boleh memudahkan kehidupan, keperluan mereka akan mudah terjerumus ke arah perbuatan moral tidak sihat. Bagaimana seseorang berpendidikan tinggi tidak boleh menilai bahawa seseorang yang memberikan kemewahan sebenarnya mengharapkan ganjaran.
“Berdasarkan pengalaman dalam mengendalikan kes begini, kebanyakan mereka hanya sedar apabila berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya, terlanjur atau mengandung. Ini belum dikira kategori bersekedudukan... sudah macam suami isteri,” katanya.
Apabila keadaan bertambah genting, pasti mereka akan mencari jalan penyelesaian, jika bernasib baik, mereka akan ditunjukkan jalan yang betul, mendapatkan nasihat tetapi jika tersalah tempat sudah pasti akan ada yang mengesyorkan supaya menggugurkan kandungan.
“Mendapatkan pertolongan keluarga adalah perkara paling berat dan sukar kerana sudah pasti akan dimarahi. Caranya ialah mereka mendapatkan pandangan rakan rapat, tetapi kami nasihatkan supaya teruskan kandungan, pergi ke saluran tertentu, kaunselor atau badan bukan kerajaan (NGO).
“Mereka sudah buat salah, jangan buat kesalahan kedua membuang atau membunuh bayi dalam kandungan. Masih ada ruang untuk perbaiki dan pulihkan akhlak.
Namun, tegasnya dalam mengendalikan masalah ini, masyarakat perlu mengubah stigma negatif yang memandang serong mengandung anak luar nikah kerana ada kes teraniaya, misalnya dirogol ketika dalam keadaan khayal.
Kes pelajar mengandung sebelum kahwin
Kes pertama:
SARA (nama samaran), kini berusia 21 tahun. Ketika rakan sekelasnya sedang berjuang menghabiskan masa belajar di dewan kuliah, beliau kini menunggu masa saat kelahiran bayinya yang dijangka penghujung Mei ini.
Kejadian yang berlaku bukan keinginannya, tetapi akibat ledakan nafsu yang gagal dikawal, beliau menanggung sengsara mengandung anak luar nikah. Teman lelakinya menuntut di IPT sama meneruskan pengajian, meneruskan lakonan seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Biarpun bergelar pelajar universiti yang sepatutnya berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu, ia bukannya tembok kebal yang kukuh menahan nafsu serakah, segala-galanya bermula ketika musim cuti semester pada 2008, ketika usia Sara baru mencecah 20 tahun.
Sara dan temannya lelakinya sudah lama berkenalan sejak di bangku sekolah di selatan Semenanjung. Boleh dikatakan, sama-sama masuk universiti dan berulang alik ke kampung setiap kali cuti kerana haluan mereka juga sama.
Detik malang hidupnya bermula pada September lalu ketika beliau bersama teman lelakinya tiba di ibu negara menaiki bas untuk pulang ke kampus. Ketika itu Ramadan, bulan mulia bagi umat Islam mengerjakan puasa.
Hendak dijadikan alasan atau itu memang perancangan, mereka tiba lewat malam di ibu negara. Anehnya, ketika jam 11 malam, mereka mendakwa kebuntuan bagaimana mahu pulang ke kampus, lantas menyewa hotel murah sekadar untuk bermalam sementara menunggu siang untuk pulang.
Meskipun bas atau komuter, transit aliran ringan (LRT) sudah tamat perkhidmatannya, ibu kota sebenarnya tidak pernah sunyi untuk mendapatkan khidmat teksi, ke mana saja destinasi.
Apabila berdua di dalam bilik hotel, sudah tentu ada pihak ketiga. Meskipun Sara dan pasangannya penuntut kursus agama, ternyata bekalan ilmu agama mereka masih kurang sekali gus hanyut atas desakan syaitan.
“Ini bukan soal ganjaran, soal hadiah atau suka sama suka. Kami hanya lakukan sekali saja. Terus melekat dan saya hanya sedar mengandung apabila masuk bulan kelima. Perut saya kecil, sebab itu tidak ketara.
“Walaupun agak pelik kerana sudah beberapa bulan tidak datang haid, saya anggap perkara biasa hingga masuk bulan kelima.
“Kami berusaha mencari jalan termasuk melalui internet. Akhirnya kami menemui pusat Kewaja dan datang ke sini. Saya akan serahkan anak ini kepada keluarga angkat dan teruskan pengajian selepas ini,” katanya dengan air mata bergenang.
Sehingga kini, ibu bapanya masih belum tahu bahawa anak kesayangan mereka sebenarnya bercuti daripada pengajian kerana menunggu masa menyambut kelahiran anak yang tidak dirancang.
Kes kedua.
INA (nama samaran) juga mempunyai masalah dan jalan cerita hampir sama dengan Sara. Semuanya berlaku ketika cuti semester.
Gadis Pantai Timur ini juga bermalam bersama kekasihnya gara-gara kehabisan tiket bas ekspres untuk pulang bercuti ke kampung halaman di negeri berjiran. Ketika itu, usianya baru 18 tahun dan kini pelajar sebuah institut pendidikan itu bakal bergelar ibu ketika usianya memasuki 19 tahun.
Beliau mendakwa dipaksa teman lelakinya mengadakan seks. Sebaik saja mereka mendapati tiket bas ekspres habis, teman lelaki Ina membawanya bermalam di rumah nenek dan di situlah bermula detik hitam dalam hidupnya.
“Kami hanya lakukan hubungan seks sekali saja dan saya teruskan pengajian seperti biasa. Teman lelaki tidak bekerja dan sebenarnya kami baru beberapa bulan berkenalan. Saya hanya sedar mengandung selepas tiga bulan.
“Memang keluarga mengamuk dan ibu saudara yang menghantar saya ke sini. Mereka bimbang masa depan saya dan anak,” katanya.
Ditanya kenapa tidak membuat laporan polis jika dirogol, Ina terdiam dan jelasnya, bapa anak itu adalah teman lelakinya.
0 comments Labels: Berita Harian, rosak akhlak
Majoriti ADUN BN T'ganu mahu MB letak jawatan
Malaysiakini |
Muda Mohd Noor | Apr 20, 09 11:09am |
Sejumlah 18 daripada 24 ADUN Barisan Nasional (BN) Terengganu kini dipercayai menyokong kumpulan yang mendesak Menteri Besar, Datuk Ahmad Said supaya meletakkan jawatan. Setiausaha Kelab Penyokong BN Terengganu, Alias Abdullah mendakwa, sehingga hari ini jumlah ADUN yang menolak Ahmad meningkat daripada 10 kepada 18 orang. Menurutnya, ADUN terbaru menyertai kumpulan mereka termasuklah beberapa exco kerajaan negeri. "Bagaimanapun, saya tidak dapat mendedahkan nama-nama exco terbabit untuk menjaga kedudukan mereka sekarang," katanya kepada Malaysiakini. Berikutan tambahan sokongan tersebut, Alias yang juga ADUN Alor Limbat berkata, majoriti ADUN BN Terengganu mahu Ahmad meletak jawatan. Ditanya apakah tindakan selanjut mereka selepas mendapat sokongan majoriti tersebut, Alias berkata: "Kita menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti terlebih dahulu untuk menyelesaikan kemelut politik di Terengganu." Sehubungan ini, Alias menegaskan, pihaknya percaya pucuk pimpinan tertinggi parti akan membuat keputusan yang terbaik untuk kepentingan rakyat dan negeri Terengganu. Tidak berganjak Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong BN Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya tidak berganjak daripada tuntutan supaya Ahmad perlu meletakkan jawatan sebagai menteri besar. “Tiada kompromi dalam hal ini. Kita berjuang untuk kepentingan rakyat Terengganu kerana kepimpinannya menyebabkan ketidakstabilan kepada parti dan pentadbiran kerajaan negeri. “Pentadbiran Ahmad telah menjadi percakapan bukan sahaja di kalangan orang Umno tetapi juga rakyat secara keseluruhan sejak beliau menjadi menteri besar setahun lalu,” katanya. Seorang exco kerajaan negeri Terengganu yang dihubungi hari ini menjelaskan beliau tidak tahu ada exco yang tidak menyokong Ahmad. Exco berkenaan, Yahaya Khatib Mohamad berkata, tugas exco ialah menyokong menteri besar melaksanakan tugas mereka. “Kalau tidak sokong, tentu mereka tidak hadir sidang DUN,” katanya. Kemelut terbaru itu tercetus apabila 10 ADUN BN tidak menghadiri sidang DUN minggu lalu setelah tiga daripada mereka menerima SMS berupa ugutan. Bagaimanapun, mereka menyertai semula pada hari terakhir Rabu lalu atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. |
0 comments Labels: malaysiakini, mat said, terengganu, tolak BN
Najib Arah Media Tutup Isu Kemelut Politik BN Terengganu
Buletin Online Written by Wartawan Buletin |
Monday, 20 April 2009 14:05 |
Kuala Terengganu – Peralihan kuasa pemimpin tertinggi negara ternyata tidak mengubah sikap dan tindakan mereka yang menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan media. Slogan ‘membawa perubahan’ pemerintahan kepada yang lebih baik sebagaimana diuar-uarkan sebaik sahaja peralihan kuasa dari Tun Abdullah Badawi kepada Dato’ Seri Najib Razak, hanyalah satu retorik semata-mata. Kemelut politik UMNO dan Barisan Naisonal (BN) Terengganu ternyata menjadi satu liabiliti kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dan menambah ‘kejelikan’ wajah parti pemerintah itu. ‘Saga’ krisis dalaman yang diwarisi dari kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi adalah antara kegagalan Najib membuktikan kecemerlangan beliau diperingkat awal pemerintahannya. (Gambar - Ahmad Said dirakam meninggalkan Putrajaya) Beberapa petugas agensi media nasional memberitahu Buletinonline disini, mereka tidak dibenarkan lagi membuat liputan dan sebarang ulasan berkaitan ‘10 budak hitam’, ADUN BN yang mengisytiharkan perang dengan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said. Salah seorang dari mereka berkata, Najib telah mengeluarkan arahan kepada ketua-ketua mereka di ibu negara, kelmarin. “Isu ini tak boleh buat liputan lagi, Najib dah tutup, dia arah bos-bos di KL supaya hentikan isu 10 budak hitam,”katanya ketika ditemui, disini. Selepas perjumpaan kedua-dua pemimpin UMNO Terengganu, Ahmad Said dan Idris dengan Najib pada 16 April, Khamis lalu, isu kemelut politik Terengganu menjadi ‘misteri’. Kedua-dua Ahmad dan Idris tidak membuat sebarang kenyataan dan mengelak dari bertemu dengan pihak media. Kira-kira 30 wartawan menunggu-nunggu Ahmad di tingkat bawah Pejabat Perdana Menteri kerana kereta rasmi Mercedes-Benz yang dinaiki Menteri Besar itu diletakkan di situ. Namun usaha untuk mendapat ulasan hampa apabila Ahmad dapat melepasi kumpulan wartawan apabila menaiki kereta di pintu lain pada jam 1.10 petang. Sehingga kini, apabila dihubungi media, Ahmad enggan memberikan sebarang komen. Beberapa rakan media juga berusaha menghubungi Setiausaha akhbar beliau namun jawapan yang diberikan sama dengan dengan Ahmad, enggan memberi sebarang komen. Sumber-sumber lain memberitahu, Najib telah memberi kata dua kepada Ahmad, sekiranya Ahmad gagal menyelesaikan masalah-masalah yang ditimbulkan oleh ‘10 budak hitam’ ADUN BN yang memboikot sidang DUN, Ahmad akan diminta melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Namun begitu, khabar yang sedang bertiup kencang di Putrajaya menyatakan, Terengganu bakal mendapat seorang Menteri Besar baru dalam masa sebulan dua lagi. Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada hujung minggu ini dikatakan akan memutuskan untuk menggantikan Ahmad dengan seseorang lain, sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. |
Last Updated on Monday, 20 April 2009 14:50 |
0 comments Labels: buletin online, terengganu, tolak BN
Kerajaan tidak patuhi perlembagaan ambil tanah orang Melayu
Tarmizi Mohd Jam Mon | Apr 20, 09 | 7:54:49 am MYT | |
KUALA LUMPUR, 20 April (Hrkh) - Mempertahankan kampung tradisi di Kuala Lumpur selaras dengan semangat perlembagaan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Demikian dinyatakan oleh Prof. Dr Abdul Aziz Bari dalam panel forum di "Kongres Muafakat Mempertahan Kampung Tradisi Melayu" di Kuala Lumpur Ahad lalu. Katanya, "Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 5 boleh dibaca sebagai memberi hak kepada semua rakyat untuk hidup dalam keadaan yang baik dan munasabah. Dalam soal ini, Draf KL 2020 bertentangan dengan kehendak tersebut kerana ia tidak menjamin keselesaan hidup meskipun pihak DBKL mendakwa hendak membawa Bandaraya Kuala Lumpur ke taraf dunia". Selain itu Aziz berkata perjuangan orang-orang Melayu juga seiring dengan tuntutan anak negeri di Sarawak yang ketika ini cuba memperjuangkan hak adat anak negeri (NCR). Di seluruh dunia, katanya lagi, ada banyak lagi kaum-kaum dan komuniti yang memperjuangkan hak-hak sedemikian dan dengan itu Muafakat, NGO yang ditubuhkan untuk membantah plan cadangan DBKL, tidak harus berasa rendah diri dan takut dianggap rasis atau perkauman. "Perjuangan ini selaras dengan tuntutan masyarakat di seluruh dunia dan Muafakat seharusnya berusaha untuk membuat jaringan antarabangsa", ujarnya. Aziz menambah perjuangan Muafakat sepatutnya disokong oleh badan-badan seperti Suhakam. Selain perlembagaan negara, perjuangan Muafakat juga selaras dengan peruntukan UDHR 1948. Pakar perlembagaan itu berkata malangnya pihak berkuasa tidak mematuhi kehendak perlembagaan apabila mereka mengambil tanah milik orang-orang Melayu bagi tujuan pembangunan dan komersial. Di bawah Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan tanah-tanah tersebut perlu diganti. Tegasnya lagi, tragedi yang berlaku di Kuala Lumpur itu meminggirkan masyarakat Melayu dan ini bertentangan dengan kehendak perlembagaan yang prihatin kepada hak-hak asasi. Tambahnya tragedi itu berlaku kerana masyarakat akar umbi tidak lagi mempunyai suara dan upaya untuk mempertahankan hak dan cara hidup mereka. "Dengan itu masyarakat Melayu di Kuala Lumpur patut memberi undi kepada mereka yang memperjuangkan pengembalian pilihan raya tempatan supaya setiap dasar dan pembangunan setempat tidak mengabaikan mereka," tegasnya. Pilihan raya tempatan dimansuhkan oleh Kerajaan Barisan Nasional pada pertengahan tahun 1960an dan kemudian digantikan oleh PBT yang dilantik di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1973. Aziz seterusnya berkata wilayah-wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan seharusnya dikembalikan ke negeri asal masing-masing. "Saya tidak nampak mengapa itu tidak boleh berlaku kerana Kuala Lumpur hanya diserahkan kepada persekutuan pada 1974 dan tentunya ada cara lain yang tidak sampai ke tahap menyerahkan kedaulatan negeri. Saya ragu yang rakyat Selangor atau Sabah setuju dengan penyerahan itu," ujarnya lagi. Ketiga-tiga wilayah ini tidak mempunyai DUN atau PBT yang mereka pilih sendiri dan urusan pengutipan cukai dan sebagainya dijalankan oleh pegawai-pegawai yang tidak mempunyai akauntabiliti kepada rakyat setempat. Aziz mencadangkan supaya Haji Ishak Surin yang memimpin Muafakat mencari jalan supaya memasukkan perkara-perkara tersebut di dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke 13 nanti. Ahad lalu, Muafakat telah menganjurkan "Kongres Muafakat Mempertahan Kampung Tradisi Melayu" di Anjung Rahmat, Gombak yang dihadiri oleh tuan-tuan tanah dan waris dari kampung-kampung terbabit dengan rancangan Draf KL 2020 sekitar Sentul antaranya Kg. Padang Balang, Kg. Puah, Kg. Bandar Dalam Hilir, Kg. Chubadak, Kg. Sg. Merali dan Kg. Bandar Dalam. - TMJ _ |
0 comments Labels: Harakahdaily, melayu kita, tolak BN
Tanah rizab Melayu 'musnah'
junhairi.alyasa@kosmo.com.my
KUALA LUMPUR - Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan (Muafakat) membantah hasrat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membangunkan enam buah kampung tradisi di sekitar ibu negara kerana ia merupakan tanah rizab Melayu.
|
|
Menurut Setiausaha Muafakat, Shaharudin Mahmud, pihaknya bimbang jika hasrat itu seperti mana yang dirancang mengikut Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) 2020 yang dilancarkan sejak pertengahan tahun lalu itu diteruskan, ia akan membawa kemusnahan kepada kampung tradisi dan hak milik orang Melayu pula semakin kecil.
Malah tegas beliau, pengambilan tanah di semua kampung yang berstatus tanah pertanian kekal itu adalah bertentangan dengan Artikel 153 Perlembagaan berhubung tanah rizab Melayu.
"Kita bimbang apabila tanah itu diambil dan ia tidak diganti semula selaras dengan tuntutan perlembagaan yang mewajibkan kerajaan menggantikan tanah rizab yang telah diambil.
"Malah DBKL juga gagal untuk mematuhi Seksyen 12 A, Akta 201 yang memerlukan pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapatkan pandangan daripada penduduk setempat mengenai rancangan pembangunan yang ingin dilakukan di sesuatu kawasan,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan resolusi Kongres Memperkasa Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di hadapan 200 orang penduduk di Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak di sini semalam.
Semua kampung yang terlibat ialah Kampung Puah, Kampung Sungai Merali, Kampung Bandar Dalam, Kampung Sungai Mulia, Kampung Padang Balang dan Kampung
0 comments Labels: kosmo, melayu kita
Tiga ditahan ISA, terbaru 1 April
Malaysiakini |
Abdul Rahim Sabri | Apr 17, 09 12:36pm |
Walaupun perdana menteri membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini, tiga lagi ditahan bawah akta kontroversi itu sejak bulan lalu. Abdul Matin Anol Rahmat ditahan di rumahnya di Ulu Tiram, Johor pada 1 April, dua hari sebelum Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keenam. Beliau ditahan bagi siasatan berhubung gerakan Jemaah Islamiah (JI), kumpulan pengganas di Asia Tenggara yang dikaitkan dengan al-Qaeda. Abdul Matin mengikut jejak menantunya Zaini Zakaria yang meringkuk di kem tahanan Kamunting, Perak selama lima tahun sehingga 13 Februari lalu. Agus Salim yang berasal dari Medan, Indonesia ditahan di sebuah restoran tempatnya bekerja di Larkin, Johor pada 5 Mac. Seorang lagi Johar Hassan diura-urakan turut ditahan tetapi tiada maklumat lengkap mengenai penahanannya. Menurut sumber-sumber jaringan JI, beliau dipercayai ditahan seawal-awalnya bulan lalu. Maklumat ketiga-tiga individu ini didedahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) jam 11 pagi dalam satu aduan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Mereka ditahan menurut Seksyen 73 (1) ISA untuk soal siasat selama 60 hari, kata NGO itu lagi. "Penahanan ketiga-tiga mereka ini tidak diumumkan oleh polis atau kerajaan dalam mana-mana saluran media. "Malah ahli keluarga juga belum berjumpa tahanan. Mereka digelapkan daripada sebarang maklumat tentang keadaan tahanan dan di mana ditahan," kata pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh. Turut hadir di pejabat Suhakam hari ini, ibu dan adik Agus, Junaidi Bahari yang tiba dari Medan malam tadi. Junaidi berkata keluarganya mendapat berita penahanan abangnya daripada pengurus kedai makan tersebut. Katanya, hampir 50 hari, keluarganya belum mengetahui di mana Agus berada. "Saya harap polis Malaysia bebaskan abang kerana abang saya belum tahu apa salahnya," katanya dalam sesi aduan kepada Suhakam. Tambahnya, Agus perlu dibicarakan di mahkamah untuk mengetahui beliau bersalah atau tidak. Menurut Junaidi lagi, Agus merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik dan masih bujang. Sementara itu, menjawab soalan pemberita berhubung identiti Johar, Syed Ibrahim berkata beliau mendapat sedikit maklumat daripada beberapa isteri tahanan dan isteri bekas tahanan ISA. Bagaimanapun, beliau belum mempunyai maklumat terperinci berhubung bila dan bagaimana Johar ditangkap. "Sebab itu saya membawa terus (aduan) ke Suhakam, supaya Suhakam dapat bertanya kepada polis," katanya. Pesuruhjaya badan itu Datuk S Subramaniam berkata, beliau berjanji akan mengesan tahanan dan melawat mereka. "Saya memberi jaminan untuk menemui tiga orang ini untuk dapatkan maklumat dan akan memaklumkannya kepada GMI dan ahli keluarga," katanya selepas menerima memorandum NGO itu. Sementara itu, GMI memaklumkan ia akan meneruskan rancangan untuk mengadakan himpunan besar-besaran untuk menuntut ISA dimansuhkan. Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat anggota gabungan itu semalam, kata Syed Ibrahim tetapi beliau enggan menyatakan tarikh bantahan tersebut. Katanya, GMI akan mengumumkan tarikh tersebut dalam masa yang terdekat. GMI sebelumnya dilaporkan merancang demonstrasi besar tersebut Jun ini. |
0 comments Labels: ISA, malaysiakini
PPIM dakwa pam laju keluarkan sedikit minyak
shahrulanoor.ishak@kosmo.com.my
KUANTAN - Jika bil air tinggi disebabkan air yang dipam bersama tekanan udara, demikian juga ketika mengisi minyak di stesen minyak.
"Pam dengan perlahan kita dapat banyak minyak. Pam dengan laju, dapat sedikit," demikian dakwa Pengurus Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin.
Menurutnya, keadaan itu tidak disedari kebanyakan pengguna kerana mereka tidak peduli kuantiti sebenar minyak yang dipam.
Wartawan Kosmo! yang ingin menguji dakwaan Noor Nirwandy itu telah mengisi minyak ke dalam dua botol di dua stesen minyak berasingan dan mendapati kuantitinya berbeza walaupun harga yang dibayar adalah sama.
Noor Nirwandy berkata, keadaan tersebut berlaku apabila petrol yang diisi telah bercampur wap semasa dipam.
"Ia menjadikan paparan digit pada mesin pam menunjukkan minyak yang dipam adalah satu liter namun kuantitinya sedikit berbeza disebabkan kemasukan bersama udara (wap). Bagaimanapun, kami belum membuat kajian terperinci mengenai perkara ini," katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, pihaknya juga kerap menerima aduan dan mengakui perkara tersebut memang berlaku namun hasilnya bergantung kepada cara pengguna mengisi minyak.
"Lebih baik isi minyak dengan perlahan bagi mengelak kemasukan udara yang banyak ke dalam tangki kenderaan.
"Pengguna juga boleh mengelak kemasukan udara bersama minyak dengan mengisi petrol pada waktu malam atau ketika cuaca sejuk kerana jumlah wap di dalam tangki petrol bawah tanah adalah lebih rendah berbanding ketika cuaca panas," jelasnya.
0 comments Labels: isu pengguna, kosmo