+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, December 6, 2008

Bunyi Ribut Dan Bom Meletup Sebelum Tanah Runtuh, Kata Saksi

Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama)
-- Seorang saksi berkata beliau mendengar bunyi seakan-akan ribut dan diikuti dengan bunyi letupan sebelum kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama di Bukit Antarabangsa di sini awal pagi ini.

Hassan Saad, 48, berkata semasa sedang menonton televisyen di ruang tamunya pada pukul 4 pagi tadi, beliau tiba-tiba terdengar bunyi bagaikan ribut lalu menjenguk ke luar rumahnya dan melihat keadaan tenang dan pokok-pokok di situ tidak bergoyang.

Ahli perniagaan itu kembali menonton televisyen sebelum tiba-tiba terdengar bunyi seperti bom meletup dan terus bergegas ke luar rumahnya, dan melihat runtuhan tanah dari bukit menghempap rumah jirannya yang terletak di depan rumahnya.

Hassan berkata beliau terus menjerit membangunkan keluarganya yang seramai 10 orang termasuk ibu mentua dan dua sepupunya serta jiran-jirannya supaya menyelamatkan diri.

Setakat pukul 10.30 pagi ini, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan tiga maut dalam kejadian tanah runtuh yang menimbus 14 buah banglo di kawasan perumahan mewah itu.

Hassan yang tinggal di kawasan itu sejak 15 tahun lepas berkata ini adalah kejadian yang pertama kali berlaku di kawasan itu.

"Pada bulan lepas, lapan batang pokok tumbang di lereng bukit kira-kira 20 meter dari belakang rumah saya dan saya maklumkan kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

"Mereka telah datang dan memotong pokok-pokok itu. Saya ingat semua ok," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Sementara itu, Lian Wan Jian dari Taman Bukit Mewah berkata beliau terdengar dua bunyi dentuman yang kuat dan menyangka berlaku gempa bumi.

Pada masa kejadian, ahli perniagaan itu masih belum tidur tetapi isteri dan dua anak lelakinya sedang nyenyak tidur dan bunyi dentuman itu telah mengejutkan mereka.

Ketika membuka pintu rumah untuk menyelamatkan diri, Lian berkata beliau dan keluarganya ternampak pergerakan tanah yang menolak kereta hingga "terangkat" tinggi, dan merasakan rumah mereka bergerak ke arah rumah jiran.

Bagaimanapun, mereka sekeluarga dapat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

"Mungkin rumah kami di bahagian hujung, mungkin sebab itu kami dapat menyelamatkan diri," katanya yang ditemui di pusat penempatan mangsa di surau Addinniah, Taman Bukit Mewah.

Sementara itu, bapa mentua mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chong berkata menantu perempuan dan cucunya yang baru berusia dua bulan dijumpai mati tertimbus, sementara anak lelakinya setakat pukul 9 pagi ini masih dilaporkan tertimbus.

Chong berkata malam tadi beliau telah datang melawat anak dan menantunya, dan kembali ke rumahnya pada pukul 11 malam tadi, dan awal pagi ini jiran anaknya telah menelefonnya dan memaklumkan rumah anaknya ranap.

Keadaan di kawasan itu agak kelam-kabut dengan beratus-ratus penduduk di kawasan perumahan itu tidak dapat keluar kerana satu-satunya jalan menghubungkan kawasan itu telah dipenuhi dengan jengkaut, bomba, ambulans dan trak serta pasukan keselamatan yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat.

Sementara itu, jalan di kawasan itu penuh sesak apabila penduduk di kawasan itu pula beramai-ramai cuba melarikan diri dari kawasan itu.

-- BERNAMA

Read More...

LAGI GAMBAR TANAH RUNTUH BUKIT ANTARABANGSA (SIRI I)

Mstar Online

ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat mengesan mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh. - foto The Star oleh ABDUL RAHMAN SENIN
PENDUDUK kawasan sekitar melihat lokasi tanah runtuh. - foto The Star oleh ABDUL RAHMAN SENIN

TUMPUAN orang ramai di kawasan kejadian. - foto The Star oleh ABDUL RAHMAN SENIN

Read More...

80,229 layak mengundi 17 Januari

Utusan Online

KUALA TERENGGANU 5 Dis. - Seramai 80,229 pengundi layak mengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan.

Pengarah Pilihan Raya (SPR) Terengganu, Mohd. Noor Daud berkata, daripada jumlah tersebut seramai 1,035 adalah pengundi pos.

Menurutnya, senarai mereka yang layak mengundi dalam pilihan raya kecil itu adalah berdasarkan pendaftaran sehingga September lalu.

''Pemilih berdaftar bagi pilihan raya kecil kali ini didapati meningkat sedikit iaitu seramai 176 orang berbanding 80,053 yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lepas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong berikutan penyandangnya, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Genting Highlands, Pahang pada 28 November lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Razali berjaya mengekalkan kerusi berkenaan apabila menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.

Razali memperoleh 32,562 undi manakala Mohamad (31,934 undi) dan Maimun (685 undi).

Mengenai persiapan SPR dalam menghadapi pilihan raya itu, Mohd. Noor berkata, pihaknya sedang menyusun pelbagai persiapan diperlukan bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

Parlimen Kuala Terengganu meliputi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang dan Batu Burok.

DUN Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Burok dikuasai Pas manakala kerusi Bandar dipegang oleh Barisan Nasional (BN).

Mengikut senarai daftar pengundi pilihan raya umum lepas, pengundi Melayu merupakan majoriti di Kuala Terengganu iaitu 88.3 peratus manakala Cina (11.1 peratus), India (0.4 peratus) dan lain-lain (0.2 peratus).

Read More...

17 Januari mengundi

Berita Harian

Oleh Wan Hazmir Bakar
wanhazmir@bharian.com.my


SIDANG media yang dihadiri Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar (kiri), mengenai Pilihan Raya Kechil P.036 Kuala Trengganu, menyampai Writ Pilihan Raya kepada, Pegawai Pengurus, Datuk Mat Razali Kassim (kanan) sambil diperhati Timbalan Setiausaha (OPS), Datuk Nordin Che Ngah (tengah). - Foto David Khoo

Penamaan calon pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 6 Januari

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu, manakala 17 Januari tarikh mengundi, menjadikan tempoh kempen selama 11 hari, jika ada pertandingan.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, ketika mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Ibu Pejabat SPR di sini semalam berkata, seramai 80,229 pemilih berdaftar layak mengundi pada pilihan raya kecil berkenaan.

Daripada jumlah itu, katanya, 79,194 ialah pengundi biasa manakala 1,035 lagi pengundi pos dan angka itu dibuat berdasarkan penggunaan Daftar Pemilih yang sudah diperakui semula kelmarin serta diwartakan semalam.

Katanya, SPR menerima makluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung kekosongan kerusi Parlimen itu pada Selasa lalu dan menetapkan esok sebagai tarikh keluar writ, manakala 21 Disember sebagai tarikh keluar notis pilihan raya kecil.

"Kita memilih 17 Januari sebagai hari mengundi selepas membincangkan pelbagai faktor... kita juga mendapat pandangan daripada Jabatan Meteorologi kerana keadaan cuaca mungkin tidak menentu dalam masa terdekat ini.

Datuk Razali Ismail

"SPR mempunyai tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan untuk mengadakan pilihan raya kecil ini dan tiada sebab kita perlu mempercepatkannya. Mengambil kira faktor akhir tahun, 70 peratus daripada petugas yang akan kita lantik adalah guru yang sedang bercuti akhir tahun.

"Saya rasa 17 Januari itu sangat sesuai kerana ia memberi peluang kepada semua pihak yang terbabit, khususnya parti politik yang akan meletakkan calon mereka untuk membuat persiapan," katanya.

Pilihan raya kecil P036 iaitu Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail, Jumaat lalu.

Razali yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, meninggal dunia selepas rebah dipercayai akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands.

Pada pilihan raya umum Mac lalu, Allahyarham menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof, dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 628 undi.

Wan Ahmad juga mengumumkan pelantikan Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Razali Kassim sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya, manakala enam pegawai MBKT lain sebagai Penolong Pegawai Pengurus.

"SPR akan melantik 877 petugas bagi mengendalikan pilihan raya kecil itu yang membabitkan 36 pusat mengundi dan 143 saluran," katanya.

Wan Ahmad berkata, SPR juga bersetuju menubuhkan dua pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang akan bertanggungjawab memantau semua aktiviti kempen serta menguat kuasa peraturan pilihan raya.

Wan Ahmad berkata, SPR juga bersetuju membenarkan Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) melakukan pemerhatian perjalanan pilihan raya kecil itu dengan syarat yang ditetapkan SPR.



Read More...

Mangsa ditemui masih pegang telefon

Malaysiakini

Dec 6, 08 4:26pm

Tiga daripada mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dikenali sebagai Shaiful Khas Shahrudin, 20, seorang doktor haiwan, S Yogeswari, 40 dan seorang Ng Yee Peng, 30.

Shahrudin AdnanMayat korban keempat ditemui pasukan penyelamat lewat petang tadi.

Bapa Shaiful, Datuk Shahrudin Adnan, 63, (foto) berkata masa kejadian pukul 3 lebih itu, beliau terdengar anaknya memekik dan berkata rumah mereka bergegar dan bergerak.

"Ketika gelongsoran pertama saya masih terdengar suaranya, sehinggalah gelongsoran yang ketiga," katanya, lapor Bernama.

Shahrudin berkata, anak bongsunya dari dua orang adik-beradik itu, Shaiful Khas Shahrudin, 20, dipercayai tertimbus selepas runtuhan ketiga di banglo dua tingkat mereka.

"Saya menggunakan telefon bimbit untuk mengesan anak saya yang tertimbus. Shaiful kemudiannya ditemui dengan tangannya yang sejuk dan masih memegang telefon bimbit, dan dia disahkan telah meninggal dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, hari ini.
bukit titiwangsa hospital
Shaiful Khas adalah antara tiga orang yang dilaporkan terkorban setakat 10.30 pagi tadi dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama pada jam 4 pagi tadi.

Shahrudin berkata beliau bersama isteri dan seorang anak saudara mereka berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui bumbung.

"Penghuni di apartmen hadapan rumah kami menghubungi polis dan bomba. Bila bomba sampai baru saya dapat mengesan anak saya melalui deringan telefon bimbit yang dipegangnya ketika itu," katanya.

Beliau berkata malam tadi, anaknya memberitahu dia mahu tidur di tingkat bawah sementara beliau sendiri bersama isterinya serta anak saudara mereka itu tidur di tingkat atas.

Beliau berkata kejadian mungkin berpunca daripada projek perumahan yang terbengkalai di atas bukit sejak 10 tahun lepas.

landslide bukit antarabangsa 10"Ada enam unit rumah di atas, mungkin disebabkan tidak dapat menahan unit rumah tersebut, menyebabkan runtuhan tanah berlaku," katanya yang menginap di situ sejak 13 tahun lepas.

Katanya sebelum ini berlaku gegaran kecil pada bukit itu tetapi disangka berlaku kejadian lebih buruk seperti hari ini.

Jenazah Shaiful Khas dituntut oleh keluarganya kira-kira jam 4 petang ini untuk dikebumikan di tanah perkuburan Masjid
Al-Ridzuan, Hulu Kelang selepas Asar.

Cuba selamat anak

Yogeswari, 40, pula turut maut semasa cuba menyelamatkan anaknya Thidesh, 10, dalam suasana gelap di rumah mereka akibat terputus bekalan elektrik.

Bagaimanapun suami mangsa, yang hanya dikenali sebagai Thanarajah, 40, berjaya menyelamatkan anaknya itu tetapi gagal menyelamatkan Yogeswari.

bukit titiwangsa jenazahThanarajah, seorang jurutera berkata dalam keadaan panik itu, beliau turut sempat menyelamatkan dua lagi anaknya, Avinesh, 11, dan Priyanka, 3.

"Saya masuk semula ke dalam rumah untuk selamatkan anak saya yang berusia 10 tahun (Thidesh), dan bila saya masuk kali ketiga untuk menyelamatkan isteri saya, saya terperangkap di dalam rumah," katanya kepada pemberita dalam keadaan sedih di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kesemua anaknya cuma cedera ringan dan kini dirawat di HKL, katanya.

Thanarajah berkata ketika kejadian, rumahnya yang agak hampir dengan kaki bukit bergegar sebelum lantai rumah mereka mengelongsor.

"Waktu itu saya tengah tidur, kemudian terdengar bunyi dentuman kuat berhampiran bukit. Saya selamatkan anak-anak, namun ketika saya hendak menyelamatkan isteri saya, saya terperangkap di dalam rumah dan kemudian diselamatkan oleh bomba," katanya yang cedera di tangan.

Mayat mendiang Yogeswari, dituntut keluarganya pada jam 3.30 petang ini untuk dibawa ke rumah adik uaminya di Kelab Ukay.

Menurut keluarganya yang tidak mahu dinamakan, mayat mendiang akan dibakar esok di Pusat Pembakaran Mayat Cheras.

MayatYee Peng, yang baru melahirkan anak dua bulan lalu, dituntut oleh keluarganya untuk dibakar pada hari Isnin ini.

Read More...

Tragedi tanah runtuh Hulu Klang berulang

Mstar Online

DUA blok bangunan Highland Tower yang masih kekal tanpa dihuni selepas sebuah blok runtuh pada Disember 1993. Kejadian terbaru hari ini terjadi kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi Highland Tower.

KAWASAN Hulu Klang, tempat berlakunya peristiwa terbaru kejadian tanah runtuh iaitu di Taman Bukit Utama dan Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa awal pagi ini, merupakan kawasan yang sentiasa berdepan dengan kejadian tersebut.

Tragedi Highland Towers yang berlaku pada Disember 1993, kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian tanah runtuh hari ini, telah mengorbankan 48 nyawa apabila satu daripada tiga blok kondominium di Taman Hillview iaitu Blok A runtuh.

Insiden 11 Disember itu mengejutkan seluruh negara kerana ia merupakan peristiwa bangunan runtuh yang pertama dan yang terburuk dalam sejarah negara sejak merdeka.

Peristiwa itu berlaku selepas hujan selama beberapa hari dan telah menimbulkan kesedaran di kalangan orang ramai mengenai bahaya bangunan yang dibina di lereng bukit di negara ini.

Beberapa kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan itu dan antaranya pada 10 Disember 1985, dua rumah baru dua tingkat yang belum lagi diduduki di Taman Melawati, Hulu Klang runtuh ketika hujan lebat dalam kejadian 8.50 pagi.

Pada 17 September 1988, sebuah rumah di Hulu Klang, ranap akibat tanah runtuh berikutan hakisan tanah.

Dalam kejadian 29 Mac 1990, kejadian tanah runtuh berlaku di Taman Setia Wangsa di Hulu Klang melibatkan 80 keluarga yang mendiami dua blok flat.

LOKASI rumah bekas Panglima Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar di Taman Hill View yang musnah dalam kejadian enam tahun lalu.

Pada 25 Disember 1997, tiga orang terbunuh selepas tertimbus di bawah runtuhan tanah dan sampah dalam satu kejadian di Km 17 Lebuh Raya Ampang-Hulu Klang.

Dalam kejadian 15 Mei 1999 pula, ribuan penduduk di kawasan perumahan Bukit Antarabangsa dan Wangsa Ukay di Jalan Hulu Klang terperangkap apabila tanah runtuh sepanjang 100 meter berlaku dalam kejadian 5.20 pagi yang menimbusi satusatunya jalan keluar masuk ke kawasan perumahan berbukit itu.

Kejadian tanah runtuh juga dilaporkan berlaku selepas hujan lebat di Kampung Sri Damai dekat Taman Kencana, Ampang pada 24 Februari 2000, yang meragut nyawa seorang budak berumur empat tahun.

Pada 5 Oktober 2000, satu kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Antarabangsa berikutan hujan lebat berterusan tetapi tiada yang cedera.

Sebuah banglo di Taman Hillview milik bekas Panglima Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar, yang juga Pengerusi Affin Bank, ranap setelah dirempuh tanah runtuh dari bukit bersebelahan pada 20 November 2002.

Isteri Ismail, Puan Sri Azizah Abdul Aziz, anaknya Hijaz, dua menantu, dua cucu serta dua pembantu rumah Indonesia terkorban dalam kejadian 4.35 pagi itu.

Banglo itu hanya terletak kirakira 300 meter dari tapak Highland Towers.

Pada 31 Mei 2006, empat sekeluarga terkorban setelah tertimbus dalam runtuhan tanah yang memusnahkan 49 buah rumah di Kampung Pasir, Hulu Klang pada kirakira pukul 4.45 petang.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |