+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, November 16, 2008

Jakim: Protes bogel miskin idea, tidak waras

Mstar Online

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz menyifatkan hasrat Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis) yang mengancam untuk berbogel sebagai tanda protes kepada kerajaan Selangor sebagai "miskin idea dan tidak waras."

Beliau berkata, orang yang bijaksana akan memprotes dengan cara lain yang melambangkan kewarasan dan berasaskan etika.

"Ada banyak cara (untuk memprotes). Cara seperti separuh bogel atau berbogel adalah sikap yang melampau.

"Adakah telah miskin idea untuk menzahirkan protes sehingga boleh berfikir hendak berbogel?" katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Wan Mohamad berkata, kumpulan itu perlu kembali kepada kewarasan dan memikirkan kesan jangka panjang terhadap keluarga mereka jika meneruskan demonstrasi 'bogel' tersebut.

Jumaat lalu, Presiden Reformis, Ramlan Abu Bakar mengancam untuk berbogel di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) yang menempatkan pejabat Menteri Besar dan Exco bagi mendesak kerajaan negeri agar tidak membuat tindakan yang tidak menguntungkan rakyat.

Antara perkara yang menyebabkan kemarahan Reformis adalah tindakan kerajaan negeri menaikkan sewa bulanan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada RM124 sebulan kepada RM250 sebulan yang didakwa membebankan penyewanya yang kebanyakannya berpendapatan RM500 sebulan.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap Reformis jika mereka masih berkeras mahu mengadakan demonstrasi 'bogel' tersebut.

Katanya, tindakan terhadap mereka boleh dikenakan di bawah peruntukan mengikut Seksyen 31, Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang menetapkan denda maksimum RM1,000.

Read More...

Lebih 1,000 masyarakat India dirai Nik Aziz sempena Deepavali

Harakahdaily

Lanjusoh I Foto Rizal Tahir
Sun | Nov 16, 08 | 5:42:44 pm MYT

KUALA KRAI, 16 Nov (Hrkh) - Buat pertama kali dalam sejarah sejak lebih 18 tahun Kelantan di bawah teraju PAS apabila dapat menghimpunkan lebih 1,000 masyarakat India sempena perayaan Deepavali, di sini malam tadi.

Kehadiran mereka menyedatkan Dewan Sri Guchil yang terletak tidak jauh dari bandar Kuala Krai. Kecil besar, tua dan muda memenuhi dewan tersebut.

Mereka datang dengan kenderaan sendiri dan beberapa bas termasuk dari Gua Musang, Tanah Merah, Kota Bharu dan beberapa ladang di sekitar Kuala Krai.

Golongan warga emas ketika ditemui seronok dengan program tersebut yang julung diadakan melibatkan semua masyarakat India dari seluruh Kelantan.

Tahun lepas program seumpama itu hanya diadakan di Ladang Kerella, Tanah Merah.

Ketika Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berucap di pentas semua mata tertumpu kepadanya biar pun sebelum ini mereka sudah acap kali mendekati Menteri Besar Kelantan.Image

Mereka beberapa kali bertepuk tangan tanda sokongan dan setuju dengan apa yang diucapkan pemimpin kesayangan mereka.

Seorang pemimpin masyarakat India dari Kota Bharu, Arjuna a/l Subramanian, 62 yakin lebih ramai lagi golongan warga emas India yang ingin datang ke majlis seperti itu sekiranya diadakan lagi tahun depan.

"Biar pun saya sudah acap kali bertemu dengan Tok Guru Nik Aziz kerana tinggal di Kota Bharu, namun penduduk India yang tinggal di kawasan pedalaman cukup gembira datang ke majlis malam ini," katanya.

Hadir sama pada program bersejarah itu anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Anuar Tan Abdullah, Dr Mohamed Fadzli Hassan, Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, Adun Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria, Adun Galas, Chek Hashim Sulaima dan Ketua Jajahan Kuala Krai, Adnan Hussin.

Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN), Ustaz Abdul Rahman Yunus.

Image Masyarakat Cina tempatan yang terdiri daripada sebuah pertubuhan keagamaan turut kelihatan pada program tersebut.

Program berkenaan bermula jam 4 petang di mana diadakan pertandingan melukis yang dikenali sebagai kolam.

Manakala jamuan makan malam bermula jam 8.30 malam. Orang ramai menikmati hidangan nasi beriani. Program itu dianjur UPKN dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar.

Orang ramai yang hadir turut disajikan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian oleh artis-artis Astro. Image

Golongan kanak-kanak paling seronok dengan berkejar ke sana ke mari, manakala warga emas mengeleng-geleng kepala ketika irama lagu Tamil dinyanyi artis lelaki.

Arjuna berkata, program itu diadakan di tempat yang begitu strategik kerana masyarakat India dari seluruh Kelantan dapat hadir ke program tersebut.

"Bagi yang tinggal di Gua Musang tidak perlu lagi bersusah payah datang ke Kota Bharu. Oleh itu diharap kerajaan negeri menjadikan program seumpama ini sebagai acara tahunan," ujarnya.

Pemilihan tempat program tersebut ditentukan sendiri Menteri Besar, beritahu pengarah UPKN.

Dr Fadzli berkata, program tersebut akan diadakan lebih meriah lagi tahun depan. - mj _

Read More...

Mendepani krisis ekonomi

Utusan Online

Krisis ekonomi yang melanda dunia masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dalam tempoh terdekat. Tokoh-tokoh ekonomi, kewangan dan ahli politik di seluruh dunia terus berusaha mencari formula terbaik agar krisis kemelesetan ekonomi terburuk yang pernah melanda dunia pada 1930-an tidak berulang kembali. Hakikatnya masyarakat dunia di setiap lapisan sosio-ekonomi mula terasa keperitan bahang krisis ini.

Bermula dengan krisis pinjaman sub prima di Amerika Syarikat (AS) iaitu satu bentuk pinjaman yang merujuk kepada amalan pemberian pinjaman untuk pembelian rumah kepada peminjam yang secara amnya tidak mampu membayar pinjaman mengikut kadar faedah semasa pasaran telah tidak dapat dibendung lagi.

Kegagalan institusi-institusi kewangan AS mengatasi masalah ini membawa kepada peningkatan jumlah keseluruhan pinjaman sub prima ini. Difahamkan pada March 2007 jumlahnya ialah AS$1.3 trilion iaitu meningkat sebanyak 79 peratus berbanding 2006. Kegagalan ini menyebabkan pembiaya utama pasaran kredit iaitu institusi kewangan mengalami kerugian besar. Ada antara mereka bankrap, diambil alih dan memohon bantuan penyelamat 'bail out' daripada kerajaan AS.

Dari aspek kemanusiaan mungkin langkah memudahkan pemberian pinjaman kepada golongan tidak layak sebagai baik tetapi dari segi prinsipnya tindakan tersebut salah dan berisiko tinggi kerana kegagalan mereka membayar kembali pinjaman mengundang padah yang bukan hanya kepada mereka tetapi AS dan dunia.

Hari ini dunia menyaksikan bagaimana kegagalan institusi-institusi kewangan terkenal yang sering dibanggakan oleh barat dan kerap menjadi penanda aras amalan perbankan dunia tersungkur kerana gagal berpegang kepada etika dan prinsip perbankan sebenar. Polisi perbankan yang lemah, longgar dan mudah dimanipulasi oleh eksekutif-eksekutif kewangan menyebabkan dunia kini di ambang kemeletan ekonomi.

Saham-saham di bursa-bursa saham utama dunia jatuh menjunam. Sebagai contoh Dow Jones Industrial Average (DJIA) mengalami kejatuhan terburuk iaitu jatuh sekitar 4,800 mata dari kadar semasa tertingginya pada 9 Oktober, 2007 iaitu 14,164.53. Pasaran saham Malaysia juga mengalami nasib yang sama apabila indek komposit yang pernah berada pada paras sekitar 1400 mata pada awal tahun 2008 jatuh menjunam ke paras 800 mata.

Apa yang dapat disimpulkan di sini krisis ekonomi hari ini jauh lebih buruk dan teruk berbanding krisis kewangan akibat serangan spekulator kewangan yang melanda Asia pada 1997/98. AS dan dunia mengetahui bahawa krisis ini jika tidak ditangani dengan bijak akan memusnahkan ekonomi dunia. Antara langkah segera yang diambil oleh kuasa besar ekonomi dunia sebagai contohnya AS ialah menyediakan pakej penyelamat bernilai ASS$700 bilion, Great Britain 500 bilion pound, dan China 4 trilion Yuan.

Malaysia yang peka tentang kesan buruk krisis ini turut memperuntukan dana berjumlah RM5 bilion menerusi agensi pelaburannya Valuecap Sdn. Bhd. yang berperanan membeli saham rendah tetapi berpotensi bagi pihak kerajaan. Tindakan ini diharap dapat memberi keyakinan baru kepada pelabur di pasaran saham tempatan. Terbaru kerajaan memperuntukkan dana RM7 bilion lagi untuk menggerakkan projek-projek berimpak besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Krisis ini menuntut seluruh rakyat Malaysia berganding bahu dalam melindungi negara dari mengalami kesan lebih teruk. Kerajaan pula perlu terus mengenalpasti pendekatan-pendekatan jangka pendek, sederhana dan panjang yang mampu menggerakkan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Pakej-pakej rangsangan ekonomi harus diperkenalkan dari masa ke semasa.

Hubungan baik sedia ada di antara kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) wajar diperkukuhkan lagi kerana suasana ekonomi segetir hari ini menuntut kerjasama erat di antara pemerintah dan penggubal dasar kewangan negara. Begitu juga perlunya diwujudkan hubungan baik di antara kerajaan, BNM dan institusi-institusi kewangan negara yang lain agar dasar-dasar baru dapat dibentuk mengikut perubahan persekitaran ekonomi negara dan dunia. Ini akan membantu mereka kekal kompetitif dan mampu menyalurkan pinjaman untuk projek-projek yang mempunyai impak besar kepada ekonomi negara, pelabur domestik dan FDI (Foreign Direct Investment).

l Pelaburan

Di samping itu, usaha menarik lebih ramai FDI menerusi penawaran pakej-pakej pelaburan menarik wajar terus menjadi agenda utama negara. Kemerosotan jumlah FDI akan melembapkan proses pemulihan ekonomi, mengurangkan aliran kemasukan mata wang asing, meningkatkan kadar pengangguran yang turut menjadi punca masalah sosial dan jenayah. Di samping itu, sektor-sektor yang menjadi penyumbang utama kepada KDNK seperti perkhidmatan, pembuatan dan pertanian perlu terus diberi sokongan. Pakej-pakej rangsangan untuk setiap sektor dan di setiap peringkat perlu dikenalpasti dan dilaksanakan dengan telus.

Kerajaan dan pengusaha industri wajar membentuk kerjasama lebih erat agar kesan daripada apa juga pakej rangsangan yang diperkenalkan benar-benar memberi impak kepada industri tersebut dan negara. Di sinilah penjawat awam dituntut menjadikan diri mereka benar-benar professional dalam memastikan dasar-dasar yang diputuskan oleh kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Kecekapan dan ketepatan tindakan mereka mampu mengembalikan kedudukan Malaysia salah sebuah destinasi pelaburan utama di kalangan pelabur domestik dan antarabangsa. Jika usaha ini dapat direalisasikan maka masalah kadar pengangguran tinggi yang dialami oleh negara hari ini dapat dikurangkan.

l Rakyat

Dalam persekitaran ekonomi lembab ini golongan rakyat berpendapatan rendah akan menerima kesan paling teruk. Peningkatan kos sara hidup yang bermula dari krisis kenaikan harga minyak baru-baru ini melonjakkan perbelanjaan isi rumah rakyat. Kualiti hidup mereka merosot dan ini menjadikan mereka golongan yang boleh dikategorikan berpendapatan di bawah garis kemiskinan.

Menurut kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu, sebanyak 301,000 isi rumah kaum Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan daripada jumlah keseluruhan kajian 495,500 isi rumah. Ini menunjukkan 61 peratus daripada rakyat Malaysia yang boleh dikategorikan sebagai miskin adalah orang Melayu. Hidup dengan pendapatan sebegitu rendah terutamanya buat mereka yang tinggal di bandar besar pastinya amat memeritkan.

Hari ini kita dapat lihat betapa rendahnya kualiti hidup rakyat berpendapatan rendah yang majoritinya orang Melayu di bandar-bandar besar mahupun di kampung-kampung. Walau apa juga sifat buruk yang dikaitkan oleh kaum lain di negara ini, orang luar ataupun orang Melayu itu sendiri terhadap bangsa bernama Melayu ini tidak harus membuatkan kerajaan mula termakan dengan tuduhan-tuduhan mereka dan mula membiarkan mereka terus hidup dalam kemiskinan atas alas an kena bersaing secara meritokrasi.

Langkah-langkah pembangunan modal insan di kalangan anak-anak Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya iaitu yang berada dalam golongan miskin dan tercicir perlu dirancang dengan lebih rapi. Latar belakang ibu-bapa golongan ini yang agak rendah pendidikannya seringkali mendorong mereka tidak memberi penekanan terhadap aspek pendidik. Di sinilah tempat terbaik untuk NGO-NGO Melayu yang sering berbicara soal hak Melayu membuktikan keikhlasan mereka dalam membantu anak bangsanya. Kerjasama yang lebih erat di antara kerajaan dan NGO mampu membantu mengurangkan keciciran anak Melayu dalam pendidikan.

Kesanggupan sedemikian akan mengeluarkan NGO- NGO tersebut dari tanggapan serong masyarakat yang seringkali beranggap sebahagian daripada NGO Melayu tidak lebih daripada menjadi platform untuk tokoh-tokoh tertentu menonjolkan diri dalam usaha menempatkan dirinya dalam arena politik negara. Di samping itu adalah diharapkan kerajaan tidak sesekali tunduk kepada mana-mana desakan agar mengurangkan atau menghapuskan keistimewaan orang Melayu. Ketegasan kerajaan dituntut dan rakyat pasti menghukum kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang jika isu ini tidak ditangani dengan berkesan.

l Minyak

Terdapat beberapa langkah yang boleh kerajaan ambil untuk meringankan beban yang sedang ditanggung oleh rakyat. Adalah perlu kerajaan menyegerakan penurunan harga minyak. Jika mengikut harga pasaran semasa minyak dunia, kerajaan boleh menurunkannya ke paras sekitar RM1.70 seliter atau lebih rendah. Sebagai negara pengeluar minyak, adalah menjadi hak rakyat untuk menikmati rahmat yang diberikan oleh Allah SWT.

Penurunan ini pasti mampu memberi kelegaan kepada rakyat dan pengusaha di semua sektor dan industri. Rakyat akan dapat menikmati kembali hidup yang lebih berkualiti dan begitu juga dengan pengusaha industri yang pastinya mampu membantu mereka mempertingkatkan semula daya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa. Melengah-lengahkan penurunan harga minyak akan hanya memburukkan imej kerajaan di mata rakyat kerana majoriti rakyat adalah mereka yang berpendapatan rendah. Kerajaan tidak sewajarnya terlalu bersifat pelindung kepada pengusaha-pengusaha minyak dengan memberi alasan mereka akan kerugian jika harga minyak diturunkan ke paras lebih rendah.

Kerugian adalah lumrah dalam perniagaan tetapi kerugian itu pastinya boleh dielak jika pengusaha mengamalkan strategi perniagaan yang betul di samping menawarkan kualiti perkhidmatan bermutu.

Pada dasarnya sekarang adalah peluang terbaik untuk kerajaan mengotakan janjinya membela rakyat. Kegagalan akan hanya membuatkan rakyat menghukum kerajaan dengan lebih keras lagi dalam pilihan raya akan datang. Isu minyak ini dengan jelas berjaya dieksploitasi oleh pembangkang dalam pilihan raya lalu dan pastinya ia akan digunakan lagi dalam pilihan raya akan datang. Berdolak-dalih dan beranggapan isu ini terlalu awal untuk dieksploitasi memandangkan pilihan raya masih jauh akan hanya membuka ruang kepada pembangkang untuk terus menjatuhkan populariti kerajaan.

Kesan segera penurunan harga minyak dapat dilihat di mana terdapat beberapa pasar raya dan persatuan restoran menurunkan harga barangan. Ini jelas menunjukkan yang warga peniaga bersedia bekerjasama dengan kerajaan kerana mereka turut memahami keperitan hidup rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana. Dalam hal ini kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna harus lebih kerap turun ke seluruh pelosok negara iaitu dari Perlis sehingga ke pedalaman Sabah memantau harga barang.

Walaupun ada pasukan pemantau harga tetapi sumbangan mereka masih terbatas. Gunakan juga persatuan-persatuan penduduk sebagai pemantau. Lebih penting langkah penguatkuasaan harus lebih ditonjolkan. Hukum dan dedah mereka yang melakukan kesalahan menjual barang pada harga lebih tinggi berbanding harga kawalan dalam media cetak dan elektronik. Langkah ini dijangka mampu memberi peringatan kepada peniaga.

Di samping itu senarai harga barangan kawalan itu juga perlu disemak dari masa ke semasa. Pastinya kini kerajaan mempunyai perangkaan tentang kadar permintaan dan penawaran untuk setiap barang kawalan tersebut. Maklumat itu boleh atau mungkin telah dikongsi dengan agensi lain bagi memastikan penyelarasan dari segi permintaan dan penawaran barangan serta harga di pasaran dapat dibuat dengan tepat dan menyeluruh. Kepentingan memastikan barangan dijual mengikut harga yang ditetapkan adalah penting kerana majoriti rakyat tinggal di luar bandar dan kebanyakan mereka tidak punya kesempatan atau peluang untuk membeli barang keperluan di pasar raya-pasar raya besar tersebut. Kalau pendekatan ini tidak digembeling maka penderitaan rakyat pasti akan berpanjangan.

l Kad Kredit

Jika dilihat dari perspektif cara rakyat berbelanja mungkin beberapa langkah wajar diberi perhatian. Kecenderungan untuk berbelanja melebihi kemampuan menyebabkan semakin ramai rakyat menanggung beban hutang dan ada yang sampai ke tahap muflis. Gejala ini amat wajar diberi perhatian kerana perancangan kewangan yang lemah akan memusnahkan ekonomi individu, keluarga, bangsa dan negara. Berbelanja di luar kemampuan pastinya membawa permasalahan ini. Krisis subprima yang meletakkan AS dan dunia di ambang kemelesetan ekonomi jelas menunjukkan bahawa sikap suka berhutang iaitu melebihi kemampuan kewangan sebenar adalah sangat berbahaya.

Dalam konteks penggunaan kad kredit di Malaysia yang bagaikan menjadi trend yang melambangkan status dan gaya hidup terutamanya di kalangan golongan muda telah meningkatkan jumlah individu muflis akibat penggunaannya kepada 1873 orang pada 2007. Dilaporkan tunggakan pinjaman kad kredit mencecah RM21.6 bilion sehingga September tahun lalu dan sebanyak RM591 juta adalah pinjaman tidak berbayar (NPL).

Kad kredit adalah ah long elektronik. Kadar faedah yang agak tinggi, sekitar 18 peratus setahun seringkali membuatkan pengguna terbeban terutamanya buat mereka yang tidak berdisiplin dalam membuat pembayaran. Seseorang itu mungkin perlu memiliki kad kredit jika ianya hanya untuk kegunaan semasa kecemasan, membuat transaksi di Internet atau apa juga aktiviti berkaitan kewangan dan sewajarnya berperanan sebagai perantara sementara. Jika tidak ada kemungkinan sedemikian, maka adalah lebih baik tidak memilikinya.

Di samping itu, langkah pencegahan dengan mengenakan syarat-syarat permohonan kad kredit yang lebih ketat wajar dilaksanakan terutamanya dalam konteks persekitaran ekonomi hari ini. BNM mungkin perlu menyemak kembali syarat-syarat yang diguna pakai sekarang. Kerakusan pihak bank mempromosi kad kredit ini amat jelas kerana kad tersebut mudah diperoleh kerana mereka menggunakan ejen-ejen pemasaran yang diragui pengetahuan kewangannya untuk tujuan mempromosi kad kredit mereka.

Apa yang dapat dilihat, tiada langsung aspek nasihat tentang cara penggunaan, kebaikan dan keburukan penggunaannya. Ejen-ejen ini ini lebih cenderung mengejar komisen untuk setiap pelanggan yang berjaya dipengaruhi. Senario ini adalah perkembangan yang sangat tidak sihat dalam persekitaran ekonomi seperti hari ini.

BNM mungkin perlu lebih bertegas kerana peningkatan kos sara hidup dewasa ini mungkin akan menarik lebih ramai individu ingin memiliki atau menambah bilangan kad kredit mereka. Kebebasan memiliki kad kredit tanpa had juga amat membimbangkan kerana pada kebiasaannya setiap individu mempunyai dua atau lebih kad kredit. Apa akan berlaku jika individu itu menggunakan kesemua kadnya dan gagal menjelaskan hutangnya. Oleh itu, tindakan tegas dan semakan semula kelayakan memohon kad kredit adalah diperlukan kerana langkah sedemikian mampu membantu sistem kewangan dan ekonomi negara terus berada di landasan betul.

Dengan kata lain, langkah-langkah mengenal pasti dan usaha untuk meningkatkan daya tahan ekonomi individu, bangsa dan negara harus digembeling secara komprehensif. Masalah kelembapan ekonomi ini tidak harus ditangani oleh satu golongan sahaja. Dengan kata lain institusi kerajaan dan swasta, penguasa dan rakyat jelata, peniaga dan pengguna harus memainkan peranan secara positif iaitu bersama-sama membentuk persekitaran ekonomi domestik yang kondusif dan kukuh. Daya tahan ekonomi sesebuah negara terletak di tangan rakyatnya.

Seluruh rakyat Malaysia wajar bersatu dan melihat kelembapan ekonomi hari ini sebagai satu peluang untuk memperbetul, membina dan mengukuhkan asas ekonomi negara ke tahap lebih baik lagi kerana dengan komitmen sedemikian Malaysia mampu mendepani cabaran kemelesetan eokonomi yang sedang melanda dunia kini.

Read More...

'Nadia lawa' makin ligat


IMEJ dipercayai Nadia seperti yang dirakam sebuah kamera tertutup (CCTV) di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - 'Nadia lawa' pakar pukau mengganas lagi!
Kali ini seorang pelajar wanita kerugian RM3,000 apabila barang kemas seperti cincin, rantai, gelang, wang dan beberapa dokumen berharga miliknya dilarikan wanita licik tersebut.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang suri rumah kerugian RM5,000 apabila barang kemasnya dilarikan suspek ketika dipaksa menukar pakaian di sebuah pusat beli-belah di Wangsa Maju, kali ini seorang pelajar pula menerima nasib serupa.

Kejadian pukul 5 petang itu berlaku apabila mangsa didatangi suspek yang digambar sebagai amat menawan dengan menyamar sebagai wartawan dan membawa sebuah beg yang kononnya mengandungi kamera.

Cuma yang berbeza dalam kejadian terbaru ini ialah modus operandinya yang menyamun ketika mangsa sedang mendapatkan khidmat rawatan muka di sebuah salun di sebuah pusat beli-belah di Seksyen 14, Petaling Jaya.

Kejadian berlaku apabila mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 23, didatangi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai wartawan sebuah majalah milik sebuah syarikat terkenal bernama Nadia di sebuah kedai runcit di Jalan Klang Lama 23 Oktober lalu.

Menurut Siti Hafizah, Nadia terus menariknya dan bertanyakan sama ada mangsa sudah berumah tangga atau belum untuk dijadikan model memperagakan jubah sempena Hari Raya Aidiladha.

Katanya, cara dia diperdaya sama seperti kes yang disiarkan Kosmo! pada 12 November lalu dengan mangsa membawa sebuah beg kononnya berisi kamera.

"Ketika itu saya dalam keadaan ingin cepat dan menyatakan padanya yang saya akan memikirkan perkara itu dan dia terus mengambil nombor telefon saya untuk tindakan susulan.

"Dua hari selepas itu, dia menghubungi saya dan memberitahu majikannya bersetuju untuk mengambil saya sebagai model tanpa sebarang kontrak dan akan dibayar sebanyak RM3,800," katanya ketika ditemui di sini semalam.


SITI menunjukkan salinan laporan polis setelah ditipu 'Nadia lawa' pada pertemuan dengan Kosmo! Ahad di Kuala Lumpur semalam.


Tambahnya, selepas berbincang dengan rakan serumah dan rakan sekerja, dia mengambil keputusan untuk bertemu dengan Nadia di sebuah pusat beli-belah di Seksyen 14, Petaling Jaya pukul 5 petang, 25 Oktober lalu.

Menurut Siti, di situ, suspek telah mengajaknya untuk menukar baju tetapi beralih untuk memaksa mangsa membuat rawatan muka selepas mendapati di situ tidak terdapat butik pakaian yang sesuai.

"Saya rasa seperti dipukau apabila menurut sahaja kehendaknya tanpa membantah walaupun saya kadangkala berasa pelik dengan alasan yang diberi.

"Ketika saya sedang mendapatkan rawatan muka, Nadia bertindak licik dengan memaksa saya menanggalkan barang kemas dan menyerahkan beg tangan kepadanya dengan alasan ia akan hilang jika diletakkan merata tempat ketika rawatan," katanya.

Ujar Siti, Nadia kemudiannya memberitahu hendak ke tandas dan ketika itulah dia bagaikan tersedar yang dia sedang diperdaya dan cuba mengejar suspek.

Read More...

Ditahan ISA: Raja Petra belum fikir saman kerajaan

Mstar Online

PETALING JAYA: Pengendali dan editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin belum memikirkan soal sama ada hendak menyaman kerajaan kerana menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 52 hari sejak 12 September lalu.

Ketika dihubungi, Raja Petra yang turut dikenali sebagai RPK berkata, beliau belum lagi membuat sebarang keputusan mengenainya kerana masih mempunyai masa, malah sudah ada rayuan di pihak kerajaan.

"Belum lagi, lagi pun kerajaan kata hendak membuat rayuan... kita tunggu dulu, tengok siapa yang menang (dalam rayuan).

"Selepas menang dan kalah nanti, kita akan memutuskan (tindakan saman)," kata beliau.

Malah, menurut beliau, lagi pun tindakan menyaman menuntut ganti rugi boleh dibuat dalam tempoh enam atau tujuh tahun.

"Jadi ada masa lagi," kata beliau.

DIBEBAS 7 NOVEMBER

Raja Petra dibebaskan daripada tahunan ISA pada 7 November lalu. Pembebasannya diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Raja Petra mengemukakan permohonan mencabar penahanan di bawah Seksyen 8 ISA.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad berkata, walaupun Seksyen 8 ISA selaras dengan Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan tetapi dalam kes ini alasan penahanan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar tidak termasuk dalam skop Seksyen 8 akta itu.

Raja Petra telah memohon writ habeas corpus bagi mendapatkan pembebasan dirinya daripada penahanan mengikut ISA dengan alasan bahawa penahanannya tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.

Beliau menamakan Syed Hamid sebagai responden.

Ketika dibebaskan, Raja Petra berkata, keputusan mahkamah menunjukkan dengan jelas bahawa ISA tidak boleh digunakan untuk kepentingan politik.

RAYUAN

Sehari selepas dibebaskan, Syed Hamid berkata, pihaknya akan merayu terhadap keputusan mahkamah membebaskan Raja Petra.

Kata Syed Hamid, walaupun kementeriannya tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah itu, keputusan tersebut tetap dihormati.

Raja Petra juga berkata, beliau menerusi peguamannya sudah dikemukakan notis rayuan kerajaan.

"Peguam saya sudah diserahkan dengan notis rayuan," katanya.

Read More...

Gelombang Sarawak Bermula: 12,000 Sertai KeADILan


Suara Keadilan

Sekurang-kurangnya 12,000 warga Sarawak termasuk 6,000 penyokong Adun Ngemah Gabriel Adit menyerahkan borang menyertai KeADILan.

Permohonan mereka diserahkan kepada Ketua Umum Anwar Ibrahim di satu majlis makan malam besar-besaran di Sibu 15 November lalu. Sokongan rakyat Sarawak, khususnya golongan muda, kepada KeADILan jelas dengan kehadiran lebih 4,000 orang memeriahkan majlis makan malam bersama mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

Ia dianjurkan oleh di Pusat Dagangan & Pameran Sibu oleh “Sahabat PKR” yang dipengerusikan oleh Adit. Majlis ini diantara makan malam yang terbesar yang pernah diadakan di Sibu dan di Sarawak.

Turut membanggakan adalah permohonan ahli baru dari bekas Ketua Penerangan Bahagian Balleh Parti Rakyat Sarawak (PRS), Beginda Minda. Beginda dipaksa meninggalkan parti komponen BN itu ekoran seruan kepada Ketua Menteri Taib Mahmud supaya meletakkan jawatan.

Adit memengani kerusi Ngemeh diatas tiket Parti Bansa Sarawak pada 1991, namun bermula 2006 beliau bertanding atas tiket bebas. KeADILan mengharapkan sokongan dari masyarakat Dayak yang semakin tidak berpuas hati dengan isu-isu pengurusan Tanah Adat dibawah kerajaan BN.

Dalam ucapan beliau, Adit, 58, berkata bangsa Dayak memilih KeADILan berikutan kekangan politik keatas masyarakat pribumi itu di bawah kerajaan negeri BN.

Beliau yang berpengalaman sebagai Adun selama empat penggal berturut-turut berkata beliau dan penyokong-penyokong yakin KeADILan merupakan jentera terbaik memperjuangkan nasib bangsa Dayak.

“Cukuplah dengan BN. Kini ‘perubahan’ telah sampai di Sarawak,” kata Adit.

Kemasukan Adit merupakan dorongan kuat kepada KeADILan dalam menghadapi pilihanraya negeri dalam masa 30 bulan lagi. Penyertaan Adit secara efektif menjadikan KeADILan menguasai dua kerusi di Majlis Undangan Negeri Sarawak. Sebelum ini, KeADILan mencetuskan kejutan dengan kemenangan Dominique Ng di kerusi Adun Padungan.

Turut hadir di makan malam itu adalah Setiausaha Agung Salehuddin Hashim, Ketua Penerangan Tian Chua, pimpinan kanan KeADILan Dr Jeffrey Kitingan dan Dominique Ng serta pemimpin DAP Wong Ho Leng dan Chiew Chin Sing.

Sementara itu, Anwar dalam ucapan beliau berkata pilihan Adit tepat dan menunjukkan bahawa ahli politik berpengalaman itu merupakan “wakil rakyat yang sebenar”.

Anwar berharap kemasukan Adit membuka ruang baru kepada KeADILan dan memperkuatkan gelombang perubahan yang kini melanda seluruh negara.

Anwar menggesa rakyat Malaysia, jentera parti dan khususnya rakyat Sarawak berganding-bahu dan bermuafakat memastikan Pakatan Rakyat memenangi Sarawak dalam pilihanraya negeri nanti.

Jelas pemimpin reformasi itu lagi, menyusuli Adit akan ada lagi wakil-wakil rakyat lain yang mahu bersama-sama Pakatan Rakyat.

Read More...

Kelab Penyokong PAS akan jadi dewan

Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri | Nov 15, 08 12:52pm

Kelab Penyokong PAS (KPP) akan diangkat menjadi satu dewan yang setaraf dengan Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat dalam organisasi parti tersebut, kata Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof Rawa.

"Sudah tentu, kerana itu asas kita. Hampir semua negeri dan kawasan ada kelab penyokong PAS," katanya ketika mengulas mengenai langkah PAS berhubung dengan keahlian bukan Islam.

mujahid rawaKetika dihubungi Malaysiakini, beliau berkata, kelab tersebut terletak di bawah lajnah yang dipengerusikannya itu dan keahliannya hingga kini mencecah antara 15,000 hingga 20,000 orangi.

Menurut Dr Mujahid lagi, kesediaan PAS untuk membuka keahlian kepada bukan Islam adalah rentetan daripada sokongan yang tinggi dan memberansangkan dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

"Memandangkan bilangan sokongan (mereka) tinggi dan terlibat dengan formal dalam PAS, lebih baik kita buka keahlian dan menjadi sebahagian daripada organisasi PAS," tambahnya.

Bagaimanapun, kata beliau, nama dewan tersebut belum ditentukan lagi.

Idea membuka keahlian bukan Islam menjadi sebuah dewan adalah reaksi daripada kertas kerja yang beliau bentangkan sewaktu permukiman PAS di Langkawi minggu lalu.

Dibawa ke muktamar

Kertas kerja tersebut menyentuh tentang keahlian bukan Islam dalam organisasi PAS dan masa depan tanahair.

Ditanya bagaimana reaksi pimpinan PAS terhadap idea tersebut, beliau berkata secara umumnya, mereka bersetuju dan mahu ia disegerakan.

Sehubungan itu, kata Dr Mujahid, beliau akan menyediakan satu kertas kerja yang akan memperincikan aspek perlaksanaan teknikal sebelum ia diluluskan dalam muktamar tahun hadapan.

Katanya, ini kerana ia melibatkan pindaan perlembagaan parti, terutama tentang fasal keahlian.

"Ia juga termasuklah urusan pembudayaan ahli dan pengurusan organisasi. Tidak mudah untuk menjadikan ia satu budaya dan suasana baru dalam PAS.

"Saya berharap transisi membuka pintu kepada bukan Islam (menjadi ahli PAS) berlaku dengan teratur, terang dan lancar.

"Usul yang datang daripada PAS Pusat itu diharap akan diluluskan," katanya.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |