+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, March 22, 2008

Lagi wakil BN keluar parti?

Malaysiakini

Mar 21, 08 2:08pm

Selepas tersebar berita ahli parlimen Serian kecewa kerana tidak tersenarai dalam barisan kabinet dan mungkin menyertai pembangkang, kini ahli parlimen Mas Gading, kedua-duanya di Sarawak, pula diura-urakan berada dalam nasib yang sama.

Datuk Dr Tiki Lafe, dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), tidak dilantik semula menganggotai kabinet seperti diumumkan Selasa.

Bekas timbalan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu kini bercuti dan enggan mengesahkan atau menafikan laporan beliau bakal meninggalkan BN.

Beliau dipandang tinggi dan berpengaruh luas apabila berjaya menang di lubuk pembangkang itu dengan menewaskan Dr Patau Rubis, seorang lagi ahli politik berpengaruh, pada 1999 dan 2004.

Sementara itu, seorang pengarang kanan akhbar harian memberitahu Malaysiakini hari ini, ada arahan agar tidak menyiarkan laporan atau kenyataan Tiki kerana ia boleh menggoncang kestabilan politik negeri itu.

Pengerusi BN negeri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dikhabarkan "sangat tidak gembira" dengan perkembangan terbaru itu.

Sumber itu juga menyebut Tiki masih di Kuala Lumpur dan akan bertolak ke luar negara.

richard riot supp bn 200308Semalam ahli parlimen Serian, Richard Riot, dilaporkan telah keluar daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), parti komponen BN, bersama ramai ahli parti itu dari kawasannya selepas beliau tidak dilantik sebagai timbalan menteri.

Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan Hong Nam bagaimanapun menafikannya dengan menyatakan parti itu belum menerima surat Richard.

Sebelum itu Malaysiakini melaporkan, memetik satu sumber dekat dengan Richard, wakil Serian telah menyerahkan surat keluar parti kepada Chan pada hari yang sama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan barisan kabinetnya.

Chan kemudian dilaporkan menghantar setiausaha agungnya Sim Kheng Hui pergi memujuk Richard tetapi gagal menemuinya, kata sumber itu.

Hari ini Chan dilaporkan berkata Richard gagal dihubungi dan sehingga kini ahli parlimen itu sendiri belum membuat kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, Richard hari ini dikatakan tidak jadi melepaskan jawatan.

Dalam satu kenyataan terkini, SUPP berkata ahli parlimen itu telah menghubungi Chan dan melahirkan rasa kesal berhubung laporan akhbar yang menyatakan beliau telah meninggalkan parti itu.

Kenyataan itu dikeluarkan ketua publisiti parti itu Alfred Yap.

Richard sendiri masih berdiam diri. Beberapa percubaan Malaysiakini menghubunginya gagal.

anwar ibrahimSementara itu, penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui berbincang dengan wakil-wakil BN di Semenanjung termasuk Perak, bukan hanya dari Sabah dan Sarawak, berhubung kemungkinan perpindahan mereka kepada parti-parti pembangkang.

Menurut satu laporan, Anwar berkata bukan tradisi partinya membeli wakil-wakil rakyat tetapi "ia menjadi amalan Umno dan BN".

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan hormat ke pejabat Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini.

Turut hadir, lapor laman web New Straits Times, presiden parti Dr Wan Azizah Wan Ismail dan naib presidennya Dr Lee Boon Chye.
Berita asal

Read More...

Berapa Harga Kerusi Menteri Pembangunan Luar Bandar?

msomelayu.blogspot


Friday, March 21, 2008

MSO


MUNGKIN bagi mereka yang jahil mengenai liku-liku dan sepak terajang politik Umno merasa hairan dan teronggak-conggak sendiri bagaimana Muhammad Mohd Taib yang sudah hampir menjadi najis dalam Umno tiba-tiba boleh kembali semula dan mendapat kedudukan istimewa dalam parti Melayu itu. Siapa pun tidak terfikir bagaimana Abdullah Ahmad Badawi pelopor Islam Hadhari boleh menerima semula Muhammad! Apakah itu type Islam Hadhari?

Semua orang tahu dosa dan kesalahan Muhammad Taib. Dosanya bukan setakat mencuri tetapi 'merompak' dan 'melanun'. Peristiwa beliau ditahan di lapangan terbang Brisbane, Australia tahun 1986 masih segar dalam ingatan.
Suatu perbuatan tidak masuk akal telah dilakukan oleh bekas MB Selangor itu di lapangan terbang berkenaan bila mana beliau ditahan atas kesalahan membawa wang yang tidak istyharkan sebanyak RM2.4 juta.

Beliau telah membawa RM2.4 juta dalam sebuah guni dan ditahan di lapangan terbang berkenaan. Bayangkan betapa banyak wang beliau kalau wang dimasukkan dalam guni macam orang kampung bawa rambutan pula lagaknya.
Menurut ceritanya wang itu bukan kepuanyaannya tetapi kepunyaan adiknya? Adapun wang itu dibawa ialah untuk urusan pembelian ladang 'kerbau' di sana?
Kotor dan cemar.
Riwayat dan latar belakang Muhammad Taib sungguh kotor dan cemar. Kekalahan dan kegagalan beliau mempertahankan jawatan Naib Presiden Umno juga ada sangkut paut dengan peristiwa berkenaan. Begitu juga rasa hormat Dr Mahathir kepada Muhammad Taib berpunca daripada kejadian itu di mana menyebabkan jawatan Muhammad Taib digantung kemudian jawatan MB Selangor dipecat.

Diri dan rupa Muhammad Taib sungguh comot. Tidak siapa boleh memikirkan beliau boleh kembali semula dalam kloni Umno. Mungkin kalau selagi Dr Mahathir menjadi presiden Umno Muhammad tidak akan dapat merangkak ke dalam Umno. Muhamamd adalah barang terbuang di zaman Dr Mahathir yang dipunggut semula dizaman Abdullah.

Beliau hanya berjaya memulihkan diri dan kembali ke dalam inner cirle Umno apabila Abdullah jadi presiden dan perdana menteri. Sikap Abdullah ini sungguh menghairankan. Apakah kerana beliau (Abdullah) terdesak untuk membentengkan kedudukannya maka orang seperti Muhammad Taib itu pun diguna pakai? Kalau pun terdesak masakan najis pun sanggup diletakkan di atas sejadah!

Dalam pada itu ada juga orang mengira penerimaan Muhammad itu kerana ketulusan dan baik budi Abdullah Badawi. Kononnya Abdullah seorang pemaaf dan baik hati sesuai dengan latar belakang dirinya sebagai berketurunan ulama.

Benarkah begitu? Sebenarnya tidak semudah itu orang yang bercepuah dengan dosa untuk kembali semula dalam sesebuah perjuangan sesuci Umno! Tidak tahulah kalau Umno dapat menerima orang yang kotor di sebabkan wadah itu sendiri kotor dan berbau. Kebusukan Umno kini bukan saja nilai demokratik dalam parti itu susut tetapi ia diburukan lagi oleh watak-watak antogis yang liar dan rendah moral yang berlambak di dalamnya.
Jawatan dibeli
Menurut seorang menteri, Muhammad Taib membayar 'kemasukannya' semula dalam Umno itu dengan harga yang mahal. Beliau dikatakan telah menderma kepada Umno sebanyak RM10 juta. Selepas beliau bermurah itulah beliau dilantik menjadi Ketua Penerangan, kemudian diikuti dengan Senator. Dalam erti kata lain jawatan dan kedudukan yang dimiliki hari ini dibeli.

Sekiranya turur menteri wanita berkenaan benar, berapakah pula Muhamamd Taib derma untuk mendapat kerusi Menteri Pembangunan Luar Bandar yang diterimanya kelmarin. Kalau untuk jawatan Ketua Penerangan bernilai RM10 juta mungkin kerusi menteri 10 kali ganda daripada itu. Soal wang tidak menjadi masalah kepada Muhammad Taib.

Kalau beliau boleh membayar denda mutaah kepada bekas isterinya Tengku Zahariah (Ku Yah) sebanyak RM16 juta, apalah sangat wang sebanyak RM100 juta sedangkan dengan jawatan yang dibeli itu beliau boleh membina super kilang wang yang baru.

Daripada sinerio itu maka jelaslah bahawa sesiapa yang memiliki wang banyak, mereka boleh membeli dan membidal apa saja kedudukan didalam Umno. Bukan saja setakat artis, model, bintang filem atau jawtaan menteri, tetapi jawatan Perdana Menteri juga boleh dibeli.

Wang kini menjadi kuasa utama dalam Umno bukannya undi daripada ahli. Suara ahli sudah lama dilupuskan oleh kuasa wang atau sistem-sistem pengkuotaan untuk bertanding sesuatu jawatan. Kalau Umno yang ditangani oleh orang seperti Abdullah yang diwar-warkan sebagai cucu ulama, apalah lagi kalau Umno dikuasai oleh orang seperti Najib Razak anak bangsawan yang tidak mempunyai latar belakang ulama, keadaannya tentulah lebih parah.

Jadi kepada sesiapa yang berhajat untuk jadi PM sediakan wang sebanyak mungkin. Air liur dan idealisme sudah tidak laku lagi dalam Umno hari ini. Dan kalau kedekut dan bakhil untuk mengeluarkan wang jangan mimpi usahkan hendak menduduki jawatan itu hendak mendapat pencalonan pun sukar! [wm.kl 10:00 am 21/03/08]

Read More...

10 sebab mengapa Idris wajar berundur

Buletin Online



Ditulis oleh Mat Zain Mat Isa
Friday, 21 March 2008
The image “http://buletinonline.net/images/berita/idrisjusoh.gif” cannot be displayed, because it contains errors.

Kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, mengenai kedudukan dan peranan Yang diPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu bagaikan menjawab teka-teki mengenainya yang kini bersarang di benak rakyat negara ini.

Dalam kenyataan disiarkan kebanyakan media semalam (Rabu, 19 Mac), Abdul Gani menjelaskan Tuanku Mizan yang juga Sultan Terengganu tidak mempunyai apa-apa peranan mengikut undang-undang dalam pelantikan itu.

Menurutnya, urusan pelantikan Menteri Besar terletak sepenuhnya kepada Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu.

"Yang diPertuan Agong menyedari sepenuhnya mengenai peruntukan itu dan Baginda tidak boleh mencampuri urusan pelantikan Menteri Besar," akhbar melaporkan kenyataan Abdul Gani.

Penjelasan Abdul Gani adalah ekoran spekulasi yang bertiup kencang mengenai kedudukan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar yang tidak disenangi pihak istana.

"Mengikut Perkara 34 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang diPertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsi Baginda sebagai Raja Negeri Terengganu kecuali sebagai Ketua Agama Islam," jelas Abdul Gani lagi.

Kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu kini sudah masuk hari ke 12. Tidak dapat dipastikan bilakah ianya bakal berakhir, selagi punca atau sebab-musabab kepada kemelut itu tidak dileraikan.

Ekoran keadaan tidak menyenangkan itu, timbul berbagai tanggapan dan spekulasi mengenai hubungan Idris dengan pihak istana. Meski pun perkara itu sukar dipastikan, kenyataan Abdul Gani tadi bagaikan mengesahkan perkara itu.

Jika tidak demikian, apa perlunya seorang Peguam Negara membuat penjelasan mengenai peranan dan kedudukan Yang diPertuan Agong dalam pelantikan seorang Menteri Besar di negeri Baginda?

Bahkan, kenyataan Abdul Gani yang menyebut, "Baginda tidak boleh mencampuri urusan pelantikan Menteri Besar" seolah-olah meletakkan batas sempadan kuasa terhadap Baginda dalam perkara ini.

Ekoran penjelasan Abdul Gani itu, yang turut menjelaskan spekulasi selama ini, berbagai pihak mahu tahu lebih mendalam apa sebenarnya yang telah dilakukan Idris sepanjang sepenggal menjadi Menteri Besar sebelum ini sehingga menyebabkan pihak istana dikatakan tersangat tidak senang dengan beliau.

Berdasarkan tinjau pendapat dan maklumbalas yang dikumpul daripada beberapa rakan di Terengganu, beserta beberapa maklumat yang telah sedia diketahui, berikut disenaraikan beberapa kemungkinan yang barangkali menjadi sebab-musabab kepada keadaan tersebut. Ia tidak semestinya tepat, tetapi boleh dijadikan sandaran hujah.

Pertama, Idris telah membuktikan dirinya sebagai pemecah-belah rakyat Terengganu. Kehidupan rakyat diporak-perandakan hingga ke akar umbi. Rakyat dipisahkan secara nyata menerusi garisan politik.

Pilih kasih dan penindasan berlaku, terutama kepada golongan penyokong pembangkang dalam hampir setiap aspek kehidupan. Tiada lagi kehidupan harmoni, saling sayang-menyayang atau berbaik sangka, terutama apabila dikaitkan dengan kecenderungan politik masing-masing.

Permusuhan tidak terbatas kepada parti berlawanan saja, malah Idris turut menyemarakkan perpecahan di kalangan para pemimpin dan ahli partinya sendiri. Pertelagahan kepimpinan di antara puak-puak bersengketa di Terengganu bukan saja gagal diselesaikan Idris, malah semakin diparahkannya.

Idris secara terang-terangan mencantas musuh-musuh politiknya, atau sesiapa saja yang dilihat boleh menggugat kedudukan politik anak-anak buahnya. Permusuhan makin membarah di dalam batang tubuh Umno sendiri.

"Sebagai payung tempat rakyat bernaung, apakah Tuanku Sultan akan selesa apabila rakyat Baginda hidup berpuak-puak dan bermusuhan? Siapa lagi paling bertanggungjawab menyuburkan perpecahan itu, jika tidak Idris?", tanya seorang rakan di Batu Enam, Kuala Terengganu.

Kedua, pemerintahan Idris dipenuhi aksi-aksi zalim dan rakus terhadap rakyat. Perkara ini telah penulis sebut dua hari lalu, tapi perlu diulangsebut semula. Idris merampas tanah dianugerahkan kerajaan PAS kepada rakyat, merobohkan rumah-rumah yang sedang mereka dirikan. Tidak sedikit air mata rakyat tumpah kerana kezaliman itu.

Paling melukakan hati umat Islam ialah apabila Idris tergamak merobohkan sebuah masjid di Bujal, Kemaman. Serakah politik beliau telah menutup sebarang penyelesaian lebih rasional, walau pun melibatkan tempat suci agama itu.

Amaran Allah dalam al-Quran bab zalim ni sangat keras. Jangan dikatakan untuk menzalimi orang, untuk berbaik-baik dan menyokong orang yang zalim saja pun dah layak disentuh api neraka, ulas seorang ustaz di Besut pula.

Baginya, tidak mustahil maksud ayat al-Quran ini dihayati Tuanku Sultan sehingga menyebabkan Baginda tidak merestui Idris meneruskan kuasanya di Terengganu. Baginda mungkin tidak rela dipertanggungjawabkan di sisi Allah kerana memberikan kuasa kepada seorang yang zalim.

Ketiga, pemerintahan Barisan Nasional pimpinan Idris macam kumpulan mafia atau samseng. Kongkongan dan pengawasan terlalu ketat terhadap pegawai dan kakitangan awam.

"Berbagai peraturan dan intipan dikenakan ke atas kakitangan. Mereka sangat tertekan dan jiwa terkongkong. Berkhidmat dalam keadaan sentiasa bimbang disalaherti atau dipandang serong oleh kerajaan", ulas Amdang, seorang penulis blog dari Setiu.

Para pengintip ada di mana-mana. Rakyat tidak berani membuka mulut mengenai rasa tidka puas hati mereka terhadap kerajaan.

Read More...

Sehingga Kini, Idris satu dari 3 Pengampu





Buletin online

Ditulis oleh MatStringer
Saturday, 22 March 2008
The image “http://buletinonline.net/images/berita2/pengampu.gif” cannot be displayed, because it contains errors.

Kuala Terengganu, 21 Mac – Buletin Online membuat semakan media keatas berapa ramai pimpinan UMNO yang memberi respon negatif atas kesediaan Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar Pak Lah Badawi.

Semakan ini dibuat setelah menerima emel dari sahabat lama di Kuala Lumpur yang menghantar gambar-gambar ‘anti-pengampu’ Pak Lah yang disebarkan merata tempat oleh ahli-ahli UMNO sendiri.

Sehingga kini ada tiga berita dari media perdana yang boleh dikatakan sebagai pimpinan UMNO yang menjadi pengampu Pak Lah.

Antara tokoh yang awal mengeluarkan kenyataan ‘mengampu Pak Lah’ adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Idris Jusoh.

Selain Idris, Hishammudin, Menteri Pelajaran adalah pimpinan UMNO kedua yang membuat kenyataan ‘mengampu Pak Lah.

Pimpinan pengampu ketiga jatuh kepada Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka. Beliau adalah seorang yang amat fanatik, pernah melarang kakitangan kerajaan negeri Melaka menghadiri sebarang program di Terengganu sewaktu pemerintahan PAS.

Idris memang diketahui banyak terhutang budi kepada Pak Lah Badawi. Maka tidak hairanlah sekiranya bekas Menteri Besar Terengganu itu merupakan orang yang terawal mengeluarkan kenyataan.

Selain terhutang budi, Idris yang sedang ‘bertarung dengan’ pihak Istana Terengganu memang bergantung harap kepada Pak Lah yang menjadi penyokong No.1.

Read More...

Dr Mahathir Sokong Cadangan Mesyuarat Agung Luar Biasa

Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau menyokong cadangan anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah supaya Umno mengadakan mesyuarat agung luarbiasa pada 11 Mei depan.


Beliau berkata mesyuarat agung luarbiasa itu perlu diadakan bagi membincangkan sebab-sebab mengapa Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno hilang majoriti dua pertiga dan mengalami kekalahan di lima buah negeri pada pilihan raya umum lepas.

Beliau mendakwa banyak orang termasuk anggota Umno mengundi parti pembangkang bukan kerana mahu menyokong parti lawan, tetapi disebabkan mereka tidak menyukai kepimpinan parti tersebut.

"Tetapi mereka takut untuk menyuarakan pendapat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk "Management Astray: Resuscitating Ailing Organisations" yang ditulis Allayarham Tan Sri Basir Ismail, di sini.

Ditanya sama ada beliau menyokong hasrat Tengku Razaleigh bertanding jawatan Presiden Umno bagi memulihkan parti itu, beliau berkata soal siapa mahu bertanding sepatutnya dibincangkan selepas mesyuarat agung luar biasa tersebut.

Dr Mahathir berkata: "Mungkin ada orang lain juga berminat nak jadi presiden, jadi kena beri peluang kepada semua orang. Bukan soal presiden, soalnya Umno. Apa yang kita lihat pada pilihan raya lepas ramai anggota Umno telah mengundi parti lawan.

Beliau berkata rasa takut untuk menyuarakan pendapat di kalangan anggota Umno tampak jelas kerana tiada seorangpun anggota Umno yang berani menyokongnya semasa beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan berikutan kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum. "Namun saya berjumpa dengan banyak daripada mereka ini yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan pucuk pimpinan (sekarang)," dakwa beliau.

Beliau mendakwa anggota Umno sekarang tidak berani menyuarakan pendapat mereka tentang kepimpinan parti kerana takut diambil tindakan sekiranya mengatakan sesuatu yang tidak disukai kerajaan.

Ditanya sama ada Umno kemungkinan berpecah jika Tengku Razaleigh mencabar presiden parti, Dr Mahathir berkata semasa beliau menjadi presiden Umno dan Perdana Menteri, Umno berpecah sebanyak dua kali tetapi bercantum semula.

Dr Mahathir juga mencadangkan Umno meminda perlembagaannya untuk memperuntukkan penubuhan majlis presiden untuk menasihatkan presiden kerana "kita tidak boleh mengamanahkan terlalu banyak kuasa pada satu orang".

Beliau berkata anggota majlis itu tidak boleh dipilih oleh bahagian parti kerana mereka kemungkinan dimanipulasi, dan mereka sepatutnya terdiri daripada anggota parti yang tidak cenderung kepada mana-mana pihak serta orang luar daripada golongan profesional.

Katanya perkara itu perlu kerana akhir-akhir ini Majlis Tertinggi Umno didapati tidak efektif berikutan anggota menganggap tindakan mengkritik pucuk pimpinan sebagai sikap tidak hormat.

Mengenai 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan amal Melayu yang bersepakat menubuhkan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) untuk menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik, beliau berkata ia baik tetapi perlu dilihat kepada tujuan ia ditubuhkan.

Mengenai tiada wakil Wanita Umno dalam Kabinet, beliau berkata mereka sepatutnya memprotes tetapi beliau mendengar "pemberontakan itu hanya sekerat jalan sahaja dan selepas itu kata, saya sokong".

Ditanya mengenai ada cubaan membeli anggota Parlimen dari BN untuk menyertai pembangkang, beliau secara sinis berkata ia berlaku pada kedua-dua pihak dan `ia sangat demokratik'.

-- BERNAMA

Read More...

Pergolakan dalaman - BN alami tsunami kedua

Harakahdaily

Intan Abdullah
Fri | Mar 21, 08 | 2:28:48 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Hrkh) - Fenomena perpecahan yang melanda parti pemerintah sekarang ini, iaitu Umno-BN adalah umpama 'tsunami atau 'el-nino' kedua negara selepas keputusan pilihan raya umum ke-12 yang menyaksikan parti itu kehilangan lima buah kerajaan negeri.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata situasi yang berlaku sekarang ini harus direnungi dan diambil iktibar semasak-masaknya oleh kepimpinan negara ini untuk mengatur langkah yang lebih bijak dengan meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.

"Walaupun itu masalah rumah tangga dia, tetapi ia tetap memberi kesan kepada kestabilan kerajaan yang memerintah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Selain itu, pergolakan dalam parti tersebut yang menyerlah sehingga kepada proses pembentukan kabinet kerajaan baru ini juga memberi kesan kepada ekonomi negara.

"Pelabur-pelabur asing akan merasa takut dan kurang percaya dengan kemampuan pemimpin negara menangani masalah semasa, apatah lagi ia melibatkan parti yang memerintah.

"Pimpinan negara juga harus memikirkan cara terbaik untuk memulihkan kestabilan politik demi menjamin masa depan negara," ujarnya.

Mengulas mengenai isu ketidaksefahaman yang cuba dimainkan oleh media arus perdana di beberapa buah negeri diterajui pembangkang, Ahli Parlimen Pokok Sena ini juga menjelaskan bahawa perkara tersebut tidaklah seteruk keadaan yang sedang menimpa kerajaan Pusat.

"Kerajaan yang ada sekarang ini kena fokus kepada masalah pembahagian kerusi dalam kabinet kerajaan yang baru dibentuk sehingga tidak berupaya meneruskan tugas mereka dengan jumlah yang sedikit," katanya lagi.

Malah, ujarnya ada pihak yang merasakan diri mereka terpinggir sehingga mengambil tindakan meletakkan jawatan.

"Jika keadaan ini berterusan, kepercayaan pelabur akan terjejas dengan ketidakupayaan kerajaan pusat yang ada sekarang ini tidak mampu menangani inflasi yang meningkat sebanyak 4.2 peratus dalam tempoh sebulan," tegasnya.

Oleh itu, Mahfuz menegaskan bahawa tindakan untuk mengajak Barisan Alternatif untuk menyertai Barisan Nasional adalah tidak masuk akal.

"Ia adalah tindakan yang tidak masuk akal kerana kerajaan-kerajaan negeri yang dibentuk adalah pilihan rakyat dan ia seharusnya dihormati serta diterima oleh semua pihak," katanya.

Sebelum ini, Ketua Jabatan Sains Politik Fakulti sains Sosial dan Kemasyarakatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Mohamad Agus Yusof pernah menyatakan bahawa antara formula kekuatan parti pemerintah, Umno-BN adalah kestabilan politik hasil permuafakatan parti-parti politik berbilang kaum.

Namun, Mahfuz membidas kenyataan tersebut yang kini dirasakan tidak lagi relevan dengan situasi yang gagal dikawal di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. - mns/ mr

Read More...

Krisis MB: Polis T'ganu beri amaran

malaysiakini

Mar 21, 08 7:30pm

Polis Terengganu memberi amaran kepada rakyat di negeri ini supaya tidak melakukan apa jua bentuk hasutan, termasuk menyebarkan SMS yang mengaitkan pihak istana dalam isu pelantikan menteri besar yang sehingga kini masih belum selesai.

ayub yaakob terengganu police chiefKetua polis negeri Datuk Ayub Yaakob berkata sejak dua tiga hari lepas, polis mengesan tindakan pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh dengan menyebarkan SMS mengaitkan isu itu dengan pihak istana sehingga menimbulkan keresahan dan kekeliruan rakyat, selain mencemarkan insitusi diraja itu sendiri.

"Kita minta rakyat di negeri supaya bersabar dengan keadaan sekarang dan jangan cuba menimbulkan sesuatu yang boleh membangkitkan keresahan masyarakat berhubung isu ini.

"Apa jua keputusan nanti dan siapa jua yang dilantik sebagai menteri besar, rakyat harus akur pemilihan yang dibuat," katanya.

Bernama memetik Ayub sebagai berkata polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa pun yang didapati membuat hasutan berhubung isu itu dalam apa jua bentuk termasuk SMS, menaikkan kain rentang, risalah ataupun percakapan yang boleh menganggu-gugat keamanan negeri.

Beliau berkata keadaan keselamatan di Terengganu secara keseluruhannya aman dan terkawal.

Semalam, polis menahan empat lelaki berusia 23 hingga 27 tahun kerana dipercayai membawa 20 helai kain rentang berunsur hasutan mengenai pelantikan menteri besar Terengganu di Jalan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

Dalam kejadian pada jam 1.45 pagi, keempat-empat mereka yang menaiki sebuah kenderaan ditahan ketika cuba memasang kain rentang itu, antaranya bertulis 'Daulat Tuanku Selamatkan Terengganu Darul Iman' serta 'Daulat Tuanku, Rakyat Berdiri Di Belakang DYMM Tuanku'.

Kesemua lelaki itu ditahan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948 dan Akta Fitnah 1957.

Read More...

Shabery jumpa penulis blog berhubung peranan 'bina negara'

mstar online

21-03-2008 06:27:29 PM

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pendapat penulis blog tidak boleh diketepikan dan beliau akan bertemu mereka secepat mungkin bagi mendapatkan maklumat balas berhubung pembinaan negara.

Beliau berkata Kementerian Penerangan memandang berat peranan yang dimainkan media alternatif seperti laman blog dan internet kerana mereka mempunyai peranan tersendiri dalam membina negara.

"Contohnya ada peranan yang mereka mainkan dalam pilihan raya lepas. Ada mesej yang ingin disampaikan kepada kerajaan yang banyak dimainkan oleh pengundi kelas pertengahan dalam mendapatkan maklumat.

"Mereka (penulis blog) melayari internet dan sudah tentu saya rasa peranan yang dimainkan mereka perlu diketahui," katanya pada sidang akhbar selepas bertemu media di pejabatnya di sini pada hari Jumaat.

Ahmad Shabery, yang dilantik ke jawatan itu pada Selasa lepas ekoran pilihan raya 8 Mac, berharap pertemuannya dengan penulis blog tidak akan disalah anggap oleh mana-mana pihak kerana Kementerian Penerangan berhasrat untuk menjadi jambatan kepada sesiapa sahaja termasuk golongan itu untuk disampaikan kepada pihak lain.

Read More...

Nizar: Jurutera yang boleh berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil

Siasahdaily


Thursday, March 13, 2008

Ramai yang tertanya-tanya bagaimana wakil rakyat Pasir Panjang dari PAS, Ir Mohamad Nizar Jamaludin, 51, dipilih sebagai Menteri Besar Perak padahal DAP mempunyai lebih ramai Adun (18) dan PKR juga mempunyai lebih dari PAS iaitu tujuh, manakala PAS hanya ada enam sahaja.


Dia sebenarnya bukan dipilih kerana PAS tetapi faktor utamanya adalah kerana dia paling layak di kalangan sembilan wakil rakyat Melayu dan beragama Islam yang ada di kalangan Adun DAP, PKR dan PAS yang membentuk kerajaan bersama itu.

PKR hanya ada tiga Melayu manakala PAS ada enam. DAP tidak mempunyai seorangpun Adun berbangsa Melayu dan beragama Islam. Menjadi syarat kepada MB Perak (sebagaimana termaktub dalam undang-undang tubuhnya) adalah Melayu dan beragama Islam. Hanya Sultan Perak boleh mengubah syarat ini.

Rakyat Perak bukan sahaja bakal memperolehi seorang Menteri Besar yang boleh memberikan khutbah Jumaat bahkan juga seorang jurutera yang boleh bercakap empat bahasa, Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris.

Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, 51, dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar Perak. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Kampar, kemudiaannya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Anglo Chinese, Kampar.

Selepas itu menyambung pelajaranya di Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh. Pada tahun 1972 beliau mengambil Advance Level (A Level) di Norwich City College Of Arts & Technology Norwich, Norfolk, England.

Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom.

Sekembalinya ke tanahair, beliau bekerja di beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya bahagian bengkel dan kuari, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA - Daya Urus), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Beliau berpengalaman luas dalam menjalankan beberapa projek besar negara. Antaranya Projek Dayabumi fasa 2 & 3 pada tahun 1983, projek Pusat Islam (BAHES, Jabatan Perdana Menteri (1984), projek Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu (1985), pengurusan bangunan-bangunan kerajaan dan swasta termasuk KOMTAR, Bangunan Persekutuan Gunasama, pusat membeli belah dan pengurusan semua lif di hospital Kerajaan Negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis sehingga kini.

Sebelum dilantik menjadi Menteri Besar beliau merupakan Pengarah Urusan di beberapa firma swasta. Di luar negara pula beliau banyak menjalankan beberapa projek di beberapa buah negara, antara di Birmingham, United Kingdom, Zug Switzerland, Miano Italy, Bangkok Thailand, Sdyney dan Goldcoast Australia, Doha Qatar dan Tehran, Iran.

Dalam bidang politik pula, beliau berkecimpung dengan PAS dengan memegang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Kampar (1999 - 2001). Beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasn Kampar (2001 hingga kini). Di peringkat PAS Negeri Perak, beliau memegang jawatan Bendahari PAS Negeri (2001- 2006), Setiausaha PAS Negeri (sebelum menjadi Menteri Besar Perak).

Walaupun beliau seorang yang berpendidikan tinggi tetapi beliau amat aktif dengan kegiatan masyarakat. Antaranya beliau memberikan kuliah dan majlis ilmu di masjid-masjid dan surau-surau, ceramah motivasi pelajar dan institusi pengajian tinggi, menyampaikan khubah jumaat, bantuan kepada fakir miskin, mewakili PAS dalam program program kaum bukan Islam serta terlibat secara langsung dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau mempunyai lapan orang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Fatimah Taat. Anaknya pertama merupakan lulusan BA Syariah Universiti Mut'ah, Jordan. Anak kedua pula lulusan hafiz al-Quran di Universiti Mut'ah Jordan. Anak yang ketiga juga lulusan hafiz al-Quran dari Universisiti Damsyik, Syria dan Universiti Lebanon. Manakala anak yang ke empat hingga ke lapan sedang belajar di beberapa pelbagai institusi pendidikan dalam negeri.

Menurut Setiausaha Kerja PAS Perak, Khalilul Abdul Rahman, Nizar merupakan seorang yang pemurah dan mudah bergaul dengan masyarakat dan mengambil berat masalah kakitangan di bawahnya. "Jika ada kakitangannya yang menghadapi masalah, beliau akan cepat menyekesaikan masalah temasuk masalah kewangan," jelas Khalilul.

"Sebagai ketua pejabat, beliau seorang yang peramah dengan orang ramai termasuk orang bawahannya dan beliau bersedia mendengar pandangan orang lain," ujar beliau.

Memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat menjadi agenda perjuangannya, kerana itu beliau bergiat cergas di dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO). Umpamanya Gabongan Pengguna Air Perak (GPAP).

Keistimewaan beliau, walaupun lulusan dari luar negeri beliau mampu mengajar (buka kitab) di masjid-masjid dan suara-surau.malah beliau sendiri mampu mengelenggarakan ibadah kurban termasuk penyembelihan bintang kurban.

Haji Nizar juga selain boleh berbahasa Inggeris juga boleh berbahasa Cina dan Tamil. Inilah Menteri Besar yang dikehendaki oleh rakyat, mampu mentadbir, berwibawa dan mempunyai pengetahuan agama dan boleh membaca khutbah jumaat.
Perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang memilih Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak memang tepat, oleh itu semua pihak perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak.

Read More...

Exco Selangor PKR-4, DAP-3 dan PAS-3

Siasahdaily


Thursday, March 20, 2008

SHAH ALAM, 21 Mac: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah menyerahkan 10 nama, empat PKR, tiga DAP dan tiga PAS untuk dilantik sebagai Exco Selangor kepada Sultan Selangor.


Jumlah komposisi kaum pula adalah lima Melayu dan lima lagi bukan Melayu menjadikan komposisi dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor adalah enam Melayu dan lima bukan Melayu.

Dari lima bukan Melayu itu, sekurang-kurangnya satu dikatakan India iaitu dari PKR. Namun, calon DAP belum dapat dikenalpasti.

Dalam pilihan raya lalu, PKR memenangi 15 kerusi Dun, DAP 13 dan PAS lapan.

Dengan penyusunan ini bermakna tidak ada satu parti pun yang mempunyai majoriti dan masing-masing saling bergantung antara satu sama lain atau pemuafakatan jelas berlaku.

Siasah difahamkan sebelum ini, tiga wakil PAS yang dicalonkan adalah Datuk Dr Hassan Mohd Ali (Gombak Setia), Iskandar Samad (Cempaka) dan Dr Halimah Ali (Selat Klang).

Read More...

Kerajaan Kedah beri tiket percuma tonton Kedah lawan Perak

Harakahdaily

Bashir Ishak

Fri | Mar 21, 08 | 12:41:14 pm MYT


ALOR SETAR, 21 Mac (Hrkh) - Sebagai hadiah kepada rakyat, Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak mengumumkan pemberian tiket percuma untuk orang ramai menonton perlawanan bolasepak di Stadium Darul Aman.

Tiket percuma tersebut akan diberikan untuk perlawanan Liga Malaysia antara pasukan Kedah melawan Perak pada 23 Mac ini.

"Para peminat bola boleh menonton perlawanan ini secara percuma tapi kena pergi ambil tiket di kaunter pada waktu pagi. Bukan boleh serbu masuk macam tu saja, ni kalau semua yang datang malam pi sana boleh pecah stadium.

"Tapi kalau tak muat kita boleh tengok di luar, kita boleh pasang "giant screen" macam malam ni," katanya kepada hadirin yang hadir mendengar Ceramah Maulidul Rasul 1429 di Stadium Sultan Abdul Halim dekat sini malam tadi.

Lebih 100 ribu orang membanjiri kawasan stadium tersebut untuk mendegar ceramah yang turut disampaikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. - mns

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |