+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, January 3, 2010

Tambahan Subsidi Sebanyak RM260 Juta Jika Harga Gula Kekal

Mstar Online

BERA: Kerajaan terpaksa menambah peruntukan subsidi gula sebanyak RM260 juta setahun jika harga gula di pasaran kekal pada harga RM1.45 sekilogram, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya walaupun berlaku kenaikan bahan itu sebanyak 20 sen setiap sekilogram kerajaan masih memberikan subsidi berjumlah RM1.2 bilion seperti subsidi tahun lepas.

Beliau berkata rakyat seharusnya memahami masalah kenaikan harga bahan itu dan bukannya kerajaan bertujuan menghapuskan subsidi atau membebankan rakyat.

"Walaupun perjanjian harga gula mentah yang kita beli secara pukal sebanyak 70 peratus daripada negaranegara pembekal akan tamat pada tahun 2011 tetapi kita terpaksa membeli 30 peratus lagi dengan harga baru mengikut pasaran semasa.

"Harga gula di negara kita masih rendah iaitu RM1.65 sekilogram berbanding di negaranegara jiran seperti Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam dan lainlain," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra dengan para pekerja kilang kelapa sawit Felda Bukit Kepayang dan acara pesta membuat bubur asyura dekat Bera di sini, hari ini. +/-

Beliau berkata kerajaan memberi subsidi sebanyak 80 sen bagi setiap sekilogram gula yang sekarang ini dijual pada harga RM1.65.Sebahagian besar gula dibeli dari Brazil, Thailand, Australia dan beberapa buah negara pengeluar lain, katanya.Walaupun Thailand dan beberapa buah negara yang lain menjadi negara pengeluar dan pembekal, beliau berkata negara berkenaan menjual gula di negara masingmasing mengikut harga semasa antara RM2.50 hingga RM2.60 sekilogram.

"Rakyat perlulah mengurangkan penggunaan gula dalam makanan dan minuman bagi menangani kenaikan dan ini secara tidak langsung dapat menjaga kesihatan rakyat daripada dihinggapi penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan sebagainya.

"Menurut kajian rakyat Malaysia adalah yang terbanyak mengambil gula dibandingkan dengan rakyat negara lain iaitu lebih 20 sudu gula sehari bagi setiap seorang," katanya.

Beliau berkata kadar sepatutnya ialah setiap seorang hanya perlu mengambil tujuh sudu gula sahaja sehari. BERNAMA

Read More...

Friday, January 1, 2010

Pemuda Umno Bantah Kenaikan Harga Gula

Mstar Online

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno Malaysia hari ini membantah kenaikan harga gula yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan semalam.

Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dalam satu kenyataan media menegaskan perkara ini tidak patut berlaku walaupun kenaikan sekadar 20 sen ia tetap memberi impak negatif serta kesengsaraan kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Di saat dunia menjangkakan ekonomi akan beransur pulih, rakyat dikejutkan dengan kenaikan mendadak ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, Pemuda Umno berharap kenaikan harga gula dapat dibatalkan atau ditangguhkan demi menghayati konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan.

"Pemuda UUMNO sedar kerajaan Malaysia sedang mendidik rakyat agar mengurangkan pengunaan gula, tetapi dengan cara menaikkan harga gula..sebenarnya kerajaan (kementerian) membebankan rakyat," katanya.

Beliau berkata, kaedah lain boleh diambil bagi mendidik rakyat. Dalam konteks kenaikan gula mentah dunia, Pemuda Umno berharap kerajaan serta pengilang yang selama ini mengaut keuntungan, menanggung beban harga kenaikan agar rakyat Malaysia dapat menarik nafas lega meneruskan kehidupan seharian.

Katanya, Pemuda UMNO Malaysia juga berharap roti putih tetap disenaraikan sebagai bahan kawalan kerana khuatir pihak pengeluar roti akan sewenangnya menaikkan harga roti.

"Adakah roti selepas ini akan menjadi bahan makanan mewah? Rakyat Malaysia merungut, dan kami Pemuda UMNO akan sentiasa mendengar rungutan serta bersuara untuk rakyat," katanya.

Terdahulu pukul 12 tengah malam tadi, harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram iaitu RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak yang diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd Zain Mohd Dom.

Menurut beliau, kerajaan turut membuat keputusan tidak akan memberi subsidi bagi roti putih mulai esok (1 Januari 2010) dan barangan tersebut akan ditarik keluar dari skim kawalan harga.

Katanya, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen itu perlu berikutan kenaikan harga gula mentah dunia dan kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion setahun dengan kadar subsidi sebanyak 80 sen sekilogram.

Read More...

Sambutan 2010 meriah

Utusan Online


Warga Kuala Lumpur meraikan Sambutan Ambang Merdeka sempena tahun baru 2010 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi. – Utusan/Shaifudin Mohd. Nor


KUALA LUMPUR 31 Dis. – Kedatangan tahun baru 2010 disambut dengan meriah oleh pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara malam tadi.

Di ibu negara, sambutan ambang tahun baru diadakan di beberapa lokasi dengan beberapa aktiviti yang berlainan daripada kebiasaan.

Di Menara Berkembar Petronas, kira-kira 10,000 warga kota membanjiri kawasan persekitaran tasik di situ dan mereka dihiburkan dengan persembahan pancutan air berirama bermula pukul 9.25 malam.

Persembahan itu ternyata menghidupkan suasana sambutan sambutan tahun baru di kalangan pengunjung termasuk pelancong asing.

Kemuncaknya ialah persembahan bunga api yang bermula tepat pukul 12 tengah malam serentak dengan lapan lagi persembahan seumpamanya di lokasi berbeza di sekitar ibu negara.

Di Dataran Merdeka pula, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim bersama kira-kira 30,000 warga kota meraikan sambutan tahun baru 2010 dengan Konsert Ambang 2010.

Konsert itu merupakan anjuran Kumpulan AmBank dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula pukul 8 malam diikuti dengan pertunjukan bunga api tepat pada detik 12 tengah malam.

Antara artis terkenal yang menghiburkan pengunjung ialah Ella, Kumpulan Hujan, Bunkface dan Amy Search selain persembahan tarian 1Malaysia daripada kumpulan Permata Negara.

Sebelum acara dimulakan, pengunjung mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyampaikan amanat tahun baru.

Di Bukit Bintang, sambutan tahun baru 2010 juga meriah apabila kira-kira 2,000 warga kota pelbagai kaum termasuk warga asing hadir untuk memeriahkan sambutan tersebut.

Di Menara Kuala Lumpur, sambutan tahun baru menampilkan kelainan apabila seramai 10 orang penerjun tempatan membuat penerjunan tanpa henti bagi memeriahkan acara.

Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan bunga api di sekitar ibu negara dari Pelantar Terbuka pada ketinggian 300 meter.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, 50 pengunjung tempatan dan 50 pengunjung luar negara yang paling awal berpeluang mengadakan lawatan ke Pelantar Pemandangan dan Air H20.

“Penerjunan tanpa henti bermula dari pukul 9 malam hingga 1 pagi bagi memeriahkan lagi sambutan tahun baru,’’ katanya.

Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Mohd. Faiz Mohd. Nor Lidzan, 23, berkata, ini merupakan peluang terbaik untuk dia dan rakannya turut sama menyambut tahun baru dengan warga kota yang lain.

Pekerja bahagian teknologi komputer Universiti Malaya (UM), Syafawil Malifuad, 29, pula berkata, sambutan tahun baru di negara ini amat meriah dengan pelbagai aktiviti.

Kemeriahan sambutan itu turut dirasai oleh pelancong asing yang hanya mahu dikenali sebagai Tony, 50, dari Australia yang menyifatkan pengalaman menyambut tahun baru di Bukit Bintang sebagai menakjubkan.

Dia dan pasangannya, Debbie Dewhirst, 50, gembira kerana dapat bersama-sama dengan pelbagai kaum di Malaysia meraikan sambutan tahun baru 2010.

“Saya kagum melihat pelbagai kaum di Malaysia bersama-sama meraikan sambutan tahun baru dalam suasana aman,’’ ujarnya.

Alireza Ismail Jamal, 35, dari Iran yang berkunjung ke Bukit Bintang bersama ahli keluarganya turut kagum dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan rakyat negara ini.

“Jika ada peluang kami mahu bersama-sama meraikan tahun baru di Malaysia pada tahun depan,” katanya.

Read More...

Harga gula naik 20 sen hari ini.

Kosmo Online


PENIAGA Fazlul Rahman menunjukkan bekalan gula habis di kedainya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.


PUTRAJAYA - Harga jualan runcit gula di pasaran dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram menjadi RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak berkuat kuasa mulai pukul 12 malam tadi.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom berkata, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen itu perlu berikutan kenaikan harga gula mentah dunia dan kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion setahun dengan kadar subsidi sebanyak 80 sen sekilogram.

"Subsidi bagi gula masih dikekalkan dan jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding tanggungan subsidi pada 2009 iaitu sebanyak RM720 juta setahun.

"Harga gula mentah dunia telah naik dengan tinggi khususnya mulai bulan Ogos hingga hari ini. Sebelum ini harganya 14 hingga 16 sen AS (Amerika Syarikat) bagi satu satu paun, telah naik hingga 27 sen AS, jadi kerajaan perlu menaikkan harga gula," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kali terakhir harga gula dinaikkan ialah pada 13 September 2006 iaitu sebanyak 5 sen daripada RM1.40 kepada RM1.45 bagi Semenanjung manakala RM1.55 bagi Sabah dan Sarawak.

Jika tidak dinaikkan, Mohd. Zain berkata, tanggungan subsidi gula yang perlu ditampung oleh kerajaan akan meningkat kepada RM1.26 bilion bagi tahun 2010.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |