+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, November 13, 2008

Harga beras turun minggu depan

Kosmo Online

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menurunkan harga beras Super Tempatan Lima Peratus Hancur (ST5) dan Super Tempatan 10 Peratus Hancur (ST 10) apabila langkah pentadbiran diwartakan minggu depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, beras ST15 tidak terbabit kerana harganya sudah rendah iaitu RM1.80 sekilogram serta tidak naik sejak 10 tahun lalu.

Tambahnya, harga beras ST5 dan ST10 sudah rendah kerana terdapat beberapa syarikat menurunkan harga walaupun harga siling masing-masing adalah RM2.80 dan RM2.70 sekilogram.

“Realitinya, harga sudah lebih rendah. Bagaimanapun, kerajaan akan laksanakan langkah pentadbiran untuk pastikan semua pemborong dan peruncit mengikut arahan menurunkan harga beras berkenaan.

“Oleh itu, kita akan wartakan langkah pentadbiran ini pada minggu depan dan letak harga baru bagi beras ST5 dan ST10,” katanya yang menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) yang mengemukakan isu agar harga beras turun memandangkan terdapat penurunan harga runcit minyak.

Bermula pada Jun lalu, kerajaan mula memperluaskan kawalan harga ke atas beras ST5 dan ST10 bagi memastikan ia tidak melambung berikutan kenaikan harga beras di pasaran dunia sementara kawalan bagi harga beras ST15 pula dimulakan sejak 1998.

Read More...

Pekerja Zoo Singapura rakyat Malaysia mati dibaham harimau

Mstar Online

SINGAPURA: Zoo Singapura di Jalan Mandai di sini gempar apabila seorang pekerja rakyat Malaysia mati dipercayai dibaham harimau putih peliharaan zoo itu hari ini.

Polis Singapura ketika dihubungi Bernama berkata Nordin Montong, 30-an, dijumpai dalam keadaan cedera di leher dan badannya.

Harimau putih yang dipercayai membaham mangsa. -foto AFP

Polis menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.30 tengah hari tadi mengenai kejadian itu dan terus berkejar ke zoo berkenaan.

Paramedik yang turut dikejarkan ke sana mengesahkan Nordin meninggal dunia pada pukul 12.45 tengah hari.

Orang ramai memerhatikan keadaan di Zoo Singapura selepas kejadian tersebut berlaku. -foto AP

Polis bagaiamanapun tidak pasti dari negeri mana di Malaysia Nordin berasal.

Laporan awal mendapati dia dipercayai diserang oleh tiga ekor harimau putih apabila masuk ke dalam kandang pameran haiwan itu.

Para penjaga zoo yang melihat kejadian itu cuba menyelamatkan Nordin dengan mengalihkan perhatian harimau-harimau itu. BERNAMA

Read More...

Keluarga Datuk Z diarah kosongkan laman banglo

Malaysiakini

Nov 13, 08 7:09pm

Kerajaan Selangor mengarahkan keluarga bekas wakil rakyat Pelabuhan Klang Datuk Zakaria Md Derus supaya mengosongkan bahagian laman banglonya dalam tempoh sebulan kerana tidak mendapat kelulusan pemilikan.

Menurut kenyataan pejabat menteri besar, jika mereka gagal mematuhi arahan pengosongan tanah tersebut, kerajaan negeri akan membawa kes itu ke mahkamah atas tuduhan menceroboh tanah kerajaan.

"Justeru, kerajaan negeri Selangor berharap agar arahan ini akan dapat dipatuhi tanpa perlu sebarang tindakan diambil.

"Keputusan sebegini diambil atas dasar kesamarataan kepada semua pihak tanpa mengira bangsa atau agama," kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) turut diarahkan memberitahu keluarga Zakaria dan mengeluarkan kompaun ke atas kesalahan menceroboh tanah kerajaan.

Exco kerajaan negeri semalam memutuskan perkara itu setelah mendengar taklimat dari pihak MPK dan Jawatankuasa Tanah Daerah Klang semalam.

Cetus kontroversi

Menurut kenyataan tersebut, permohonan pemilikan laman seluas 2,269 meter persegi itu ditolak Jawatankuasa Tanah Daerah Klang tahun lalu.

Jawatankuasa itu juga memutuskan sebarang rayuan haruslah dibuat terus kepada majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Zakaria mula mendirikan banglo pada 2006 walaupun tanpa kelulusan pelan bangunan. Akibatnya, MPK mengeluarkan denda sebanyak RM19,373 - iaitu 10 kali ganda bayaran pelan bangunan.

Tindakan itu mencetuskan kontroversi dan menjadikan beliau tumpuan ramai.

Zakaria melalui isterinya Azizah Ngah diberi pemilikan tanah seluas 4,049 meter persegi melibatkan cantuman lapan lot tanah pada Julai 2003.

Beliau meninggal dunia Mac lalu akibat mengalami sesak nafas secara tiba-tiba sewaktu sedang berbual dengan anggota keluarganya.

Read More...

Ambil kira rebat, subsidi sebelum turun harga minyak

MyMetro

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu membuat pertimbangan dalam pelbagai aspek sebelum mengambil keputusan menurunkan harga runcit petrol di bawah paras RM1.92 seliter, iaitu harga sebelum bahan api itu dinaikkan sebanyak 78 sen pada Jun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata penurunan harga bahan api itu boleh dilakukan lagi sejajar penurunan harga minyak mentah dunia ketika ini.

“Itu terpulang kepada mesyuarat Majlis Ekonomi Negara.

“Tetapi, pelbagai pertimbangan harus diambil kira seperti berapa banyak subsidi sudah dikeluarkan setakat ini, termasuk perbelanjaan rebat minyak kepada pemilik kenderaan dan subsidi minyak kira-kira RM18 bilion,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Etika Perniagaan 2008, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Shahrir mengulas mengenai trend terkini penurunan harga runcit petrol dan diesel berikutan penurunan harga minyak mentah dunia ketika ini sekitar AS$S70 setong sejak beberapa bulan lalu.

Hingga kini kerajaan sudah menurunkan harga minyak empat kali, terbaru awal bulan ini sebanyak 15 sen seliter menjadikan harga petrol RON97 kini RM2.15 seliter, RON92 pula RM2.05 seliter, manakala diesel RM2.05 seliter.

Beliau berkata, ada kemungkinan harga runcit petrol dan diesel ditetapkan pada paras RM2 seliter jika berdasarkan kepada trend penurunan harga minyak mentah dunia ketika ini.

“Macam saya selalu katakan, bulan Oktober harga purata minyak mentah dunia AS$70 setong dan dijangka pada November ini, harganya dibawah paras AS$70 setong.

“Tentunya kita akan lihat penurunan bagi harga runcit selaras penurunan harga purata minyak mentah di pasaran,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengguna sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemah biarpun harga runcit bahan api ketika ini lebih rendah berbanding beberapa bulan sebelum ini.

Pada majlis itu, Shahrir turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Beretika 2008, anjuran Institut Perniagaan Beretika Malaysia (BEIM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bagi kategori syarikat besar, tempat pertama dimenangi Bukit Kiara Properties, Kuala Lumpur, kedua National Semiconductor Sdn Bhd, Melaka dan ketiga Flextronics Technology (Shah Alam) Malaysia, Selangor.

Kategori syarikat sederhana dimenangi Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), kedua, Segi Perkasa (M) Sdn Bhd, Kuala Lumpur dan ketiga, Supreme OEA Trading & Services Sdn Bhd, Kuala Lumpur

Kategori syarikat kecil pula dimenangi Pusat Tuisyen Sri Wirajaya, Kuala Lumpur, kedua Plus 3 Consultants, Kuala Lumpur dan Koperasi Tadika Minden Bhd, Pulau Pinang.

Read More...

Peruncit turun harga minggu depan


SHAHRIR meninjau stok beras semasa pelancaran kempen penurunan harga 900 jenis barangan di Jusco Cheras Selatan semalam.


SERI KEMBANGAN - Kempen Penurunan Harga yang kini dijalankan di semua pasar raya besar akan diperluaskan ke semua pasar mini dan kedai runcit di seluruh negara secara berperingkat-peringkat bermula minggu depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, pelaksanaan kempen itu adalah inisiatif berterusan dalam menyediakan 'suasana' membeli yang lebih baik kepada semua pengguna.

"Ia bermula pada minggu depan, rata-rata pengusaha telah menyatakan persetujuan untuk menyokong kempen ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Penurunan Harga di Jusco, AEON Cheras Selatan di sini.

Katanya, bagi memastikan kempen itu mencapai matlamat, seramai 2,000 pemantau harga barang akan ditempatkan di kawasan terpilih bagi memastikan semua peruncit mematuhi arahan itu.

Serentak dengan itu juga Shahrir berkata, pihaknya akan mencari satu mekanisme baru agar harga barangan keperluan di luar bandar selaras dengan harga yang dijual bagi mana-mana pasar raya di bandar.

Read More...

Buang pemimpin amal politik wang dari Umno - Mahathir

Mstar Online

'Muhyidddin calon terbaik Timbalan Presiden'

[DIKEMAS KINI] PUTRAJAYA Pemimpin-pemimpin Umno yang mengamalkan politik wang patut dibuang daripada parti supaya ia menjadi pengajaran kepada yang lain, kata bekas Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir berkata, seluruh negara mengetahui bahawa pemimpin-pemimpin Umno, walaupun bukannya semua, mengamalkan politik wang ketika pemilihan parti.

Justeru, kata beliau, mereka yang mengamalkan politik wang boleh menjadi pemimpin tetapi tidak mungkin dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya.

"Jika tidak kita akan kalah dalam pilihan raya seterusnya.

"Seluruh negara tahu pemimpin Umno guna wang. Bila datang kepada pemimpin semuanya korup tetapi tidak semua guna wang.

"Kamu boleh jadi pemimpin Umno tetapi tidak mungkin akan dipilih rakyat," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu tidak menolak kemungkinan gejala politik wang juga wujud bagi jawatan Timbalan Presiden dengan mengambil kira keputusan proses pencalonan apabila persidangan perwakilan bahawan berakhir 9 November lalu.

Minggu lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail menyifatkan gejala politik wang sebagai paling serius.

Beliau meminta pucuk pimpinan Umno segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran berikutan berleluasanya politik wang pada pemilihan sekarang yang disifatkan paling serius dengan lebih 900 aduan telah diterima setakat ini.

Malah, Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, anggota Umno yang terbabit dalam politik wang pada pemilihan parti Mac tahun depan sepatutnya tidak diberi tempat dalam kepimpinan parti.

Sambil berharap anggota Umno memilih pemimpin yang bersih untuk mengangkat perjuangan parti bangsa Melayu itu ke peringkat yang lebih tinggi lagi, Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jika mereka yang terbabit dalam mainan politik wang tetap diberikan tempat, akhirnya ia akan merosakkan kredibiliti Umno itu sendiri.

Ketika diminta mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan calon terbaik bagi jawatan Timbalan Presiden.

Selain Muhyiddin yang juga Naib Presiden, turut layak bertanding jawatan tersebut ialah seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan bekas Naib Presiden, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib.

Muhammad kini merupakan anggota Kabinet dan Ketua Penerangan Umno serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.

Bagaimanapun jelas Dr. Mahathir, menghapuskan sistem kuota bukan cara untuk mengatasi politik wang.

Ketika ditanya cadangannya menghapuskan politik wang, Dr. Mahathir berkata: "Saya ada cadangan tetapi tak tahulah sama ada akan diterima atau tidak."

Read More...

Bomba: Giant tidak ikut aspek keselamatan

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Nov 12, 08 4:40pm

Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu mengesahkan bahawa kelewatan operasi Giant di Kerteh lebih sebulan disebabkan gagal melepasi aspek keselamatan kebakaran yang ditetapkan.

Pengarahnya Pauzan Ahmad berkata, berdasarkan pemeriksaan jabatan itu September lalu, didapati sedikit aspek keselamatan belum dipatuhi.

"(Giant) belum patuh sedikit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 28 Oktober lepas, Malaysiakini mendedahkan Giant gagal beroperasi di Mesra Mall lebih sebulan akibat gagal mendapatkan kelulusan daripada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), didakwa akibat campur tangan menteri besar Datuk Ahmad Said.

Sumber di Giant sebelumnya bagaimanapun mendakwa ia telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan untuk menjalankan operasinya termasuk mendapat pengiktirafan keselamatan daripada jabatan bomba dan mengikuti garis panduan pengubahsuaian bangunan MPK.

Usaha menghubungi pihak pengurusan Giant hari ini, belum berhasil.

Sambil mendakwa aspek pemeriksaan itu rumit diterangkan, Pauzan berkata: "kalau berlaku kebakaran, macam mana kita hendak pastikan orang yang ada selamat?"

Pengesahan keselamatan premis daripada jabatan bomba syarat utama bagi majlis perbandaran memberikan lesen operasi sesuatu premis perniagaan.

Pauzan berkata, dalam perniagaan besar seperti Giant, ibu pejabat negeri dan bomba di kawasan-kawasan akan terlibat bersama ketika pemeriksaan dilakukan.

Dalam sidang media minggu lepas, menteri besar dilaporkan menyatakan Giant "tidak boleh buka dulu, baru buat permohonan."

Ahmad malah menggesa media mendapatkan maklum balas daripada pegawai tinggi GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, pemilik pasar raya besar, sebelum memberikan ulasan lanjut.

Mesra Mall, dibangunkan di atas tanah seluas 12 hektar dan diurus oleh Suria KLCC Sdn Bhd, telah dirasmikan oleh exco pembangunan luar bandar, usahawan dan koperasi Datuk Mohamed Awang Tera pada 10 Oktober lepas.

Difahamkan Giant merupakan penyewa utama kompleks membeli-belah yang diberikan jolokan "mutiara timur anda."

Menurut pelan lantai pusat membeli-belah itu, Giant ditempatkan di penghujung kanan dan kiri bahagian depan kompleks itu.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |