+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, August 31, 2009

Hadiah hari merdeka, harga minyak naik lagi?

Harakahdaily

Mon | Aug 31, 09 | 4:19:07 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Rakyat mendapat hadiah istimewa sempena menyambut Hari Kemerdekaan tahun ini apabila harga petrol dipercayai akan mula naik mulai tengah malam ini.

Menurut sumber, Ron 95 akan naik dari RM1.75 ke RM1.80 malam ini manakala F1 akan naik dari RM1,80 ke RM2.05. Bagaimanapun sehingga kini tidak ada sebarang pengumuman rasmi mengenainya.

"Ketika ekonomi rakyat meleset dan bakal berhadapan dengan hari raya Aidil Fitri, inilah hadiah kerajaan BN kepada kita," kata Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS.

PAS bersama dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat serta NGO prihatin telah beberapa kali membantah kenaikan minyak sehingga ramai antara mereka terpaksa bermalam dalam lokap.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan debat khas dengan Menteri Penerangan sebelum ini, Datuk Ahmad Shabery Cheek bagi membincangkan isu kenaikan harga minyak ini.

Dipercayai, kenaikan kali ini akan membuatkan kemarahan rakyat kembali semula dan bakal menjana protes sekali lagi.

Ini kerana, barangan keperluan harian sebagaimana biasa akan naik menjelang hari perayaan nanti.

"Kenaikan harga minyak akan menambahkan lagi beban rakyat," kata Salahudin. _

Read More...

Kepala Lembu: Penduduk tempatan bantah aksi ekstrem

Harakahdaily

Laporan Khas Merdeka oleh Dzulfikar Mashoor
Mon | Aug 31, 09 | 10:09:30 am MYT

SHAH ALAM, 31 Ogos: Sempena dengan hari Kemerdekaan negara 31 Ogos hari ini, kebanyakan penduduk Seksyen 23 menyifatkan demontrasi kepala lembu berdarah dan menconteng dinding dengan kata-kata kesat sebagai sesuatu yang ekstrem, keterlaluan serta tidak menghormati kepelbagaian penganut agama penduduk tempatan.

Dakwaan mereka, insiden terbabit sebenarnya bukan mewakili suara penduduk tempatan yang rata-ratanya berpendidikan tinggi dan berpegangan moral, sebaliknya ia adalah usaha pihak-pihak tertentu demi kepentingan politik mereka sendiri.

Bagaimanapun, kebanyakan responden tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri, memindahkan kuil Hindu ke kawasan kejiranan mereka.

Namun, mereka yang ditemui menegaskan bahawa penduduk setempat hanya bersetuju menggunakan pendekatan bermesyuarat, rundingan, diplomasi dengan semua pihak, termasuk kerajaan negeri dalam isu pemindahan kuil tersebut.

Jumaat lepas, sekumpulan NGO Melayu yang mendakwa mewakili penduduk Seksyen 23 Shah Alam berarak dari Masjid Negeri ke Pejabat SUK Selangor yang menempatkan Pejabat MB, dengan membawa kepala lembu yang masih berdarah.

Sambil mengarak, mereka menyepak-nyepak kepala lembu itu dan memaki serta megutuk tindakan kerajaan negeri yang memutuskan untuk memindah kuil Hindu di Seksyen 19 ke satu tapak industri di Seksyen 23.

ImageTiga pemimpin kerajaan negeri yang menjadi sasaran mereka iaitu Adun Batu 3 dan Exco kerajaan negeri, Rodziah Ismail, anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan MB, Tan Sri Khalid Ibrahhim.

Kira-kira 10 anggota polis mengawal tindakan mereka namun tidak ada usaha memberhentikannya.

Pada 18 Ogos lalu, akhbar Utusan melaporkan UMNO Selangor akan mengemukakan permohonan mahkamah untuk mendapatkan perintah injunksi bagi mengetepikan keputusan kerajaan negeri membina kuil di kawasan majoriti umat Islam di Seksyen 23 itu.

Timbalan Pengerusi Perhubungannya, Datuk Noh Omar berkata, ini kerana bantahan penduduk terhadap keputusan itu adalah wajar serta mempunyai asas-asas kukuh selain bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang berlandaskan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Berikut adalah tinjauan Harakahdaily yang menemui penduduk Seksyen 23 sendiri sehari sebelum Kemerdekaan negara bagi mengetahui apa pandangan mereka mengenainya.

PENDAPAT 1

ImageShahril bin Lan, jurujual berkata, "Saya waktu berkumpul mula-mula itu, saya ada datang. Tapi, saya tidak setuju. Saya tidak ikut (sertai mereka).

"Rasa-rasanya cara itu memalukan orang-orang di sini. Saya rasa mentaliti mereka (yang terlibat), ini ada agenda-agenda tertentu, cuba memporak-perandakan ketenteraman.

"Kita lebih suka cara diplomasi. Kalau dah berarak (dengan) kepala lembu, itu nak buat apa benda (melainkan) berniat politik parti-parti tertentu lah. Yang menyertai itu (orang tempatan) sebenarnya adalah lima (atau) enam orang je."

Bagaimanapun, jelasnya lagi, penduduk tempatan rata-rata tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri, membina kuil di sini.

Antara alasan yang diberikan, majoriti penduduk tempatan di sini, beragama Islam.

"Orang di sini memang tidak suka kuil itu didirikan di sini. Kalau boleh, biarlah (didirikan) jauh sikit dari sini. Sebab di sini majoritinya orang Islam kan."

PENDAPAT 2

ImageNazri Ismail, Akauntan berpendapat insiden terbabit banyak mengganggu emosi kenalan-kenalannya, yang kebanyakkan berbangsa India dan beragama Hindu.

Beliau sendiri yang awalnya tidak ambil peduli cadangan pembinaan kuil di sini pun, mula prihatin isu tersebut.

"Sebenarnya, macam saya kan di pejabat ramai berbangsa India. Jiran saya yang baru pun berbangsa India. Jadi, untuk menghalang dibuat kuil (untuk) mereka itu tidak wajarlah. Tetapi, disebabkan isu-isu yang dibangkitkan sekarang dan untuk jangka masa panjang mungkin ada konflik lain," katanya.

Berhubung cadangan kerajaan negeri untuk membina kuil di sini, beliau juga mencadangkan agarnya ianya dipindahkan ke tempat lain disebabkan insiden melampau terbabit.

"Pada mulanya, saya sendiri tidak kisah. Tetapi, disebabkan isu (dan) tindakan mereka (pelampau) terbabit, saya rasa lebih baik dipindahkan ke kawasan lain."

PENDAPAT 3

ImagePuan Maslina Binti Asmi atau lebih dikenali khalayak tempat sebagai Ustazah Salmi, Guru Kafa mendakwa insiden terbabit dilakukan demi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Bagi saya semua (perarakan kepala lembu) yang berlaku ini dirancang pihak tertentu yang jelas, seolah-olah nak menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (di Selangor)."

Beliau yang juga ahli jawatankuasa Surau al-Jannah, Seksyen 23 mendakwa di sebalik insiden terbabit adalah pemimpin Umno Shah Alam sendiri.

"Sewaktu ketuanya memulakan bantahan (di Surau), bukan sahaja mengarak (dan) memijak-mijak kepala lembu. Mereka mulanya laungkan kalimah takbir (Allahu Akbar), kemudiannya ditukar pada Take Beer (ambil arak). Itu pun menampakkan mereka cuba nak menjatuhkan (negeri) Pakatan Rakyat, memang Umno lah."

Jelasnya lagi, walaupun isu sebenarnya ialah cadangan membina kuil di sini, tetapi yang kelihatan menonjol adalah aksi menconteng pagar berzink yang menutupi kawasan tapak cadangan itu, dengan cacian terhadap pemimpin kerajaan negeri sendiri.

"Sebabnya, daripada isu kuil. Yang mencontengnya lebih pada pemimpin," katanya.

Pada peringkat awalnya, beliau juga secara peribadi tidak bersetuju kuil terbabit dibina di sini.

"Bila jawatankuasa bertindak membantah pembinaan kuil mengutip tanda tangan (sokongan), saya juga menandatanganinya. Tetapi, bila difikirkan balik (semula), jika di situlah yang ditetapkan tempatnya, saya berasa tidak ada masalah."

PENDAPAT 4

ImageBagi Fauzi Ramli, Jurutera turut mengkritik telahan beberapa media, kononnya demontrasi ekstrem mengarak kepala lembu berdarah dan aksi conteng terbabit merupakan suara sebenar mewakili penduduk tempatan.

"Tengok (menyertai) masa awalnya, saya memang tidak setuju. Mereka melampau. Sebab itu, saya balik (tidak sertai demontrasi tersebut).

"Mula-mula mereka takbir (Allahu Akbar) itu, dengan memakai jubah dan sebagainya. Tapi, saya nampak mereka ini (daripada) muka-muka nampak macam muka (ahli-ahli) Umno, sebab dia pakai songkok, pelik.

"Bila mereka mula memekik 'take beer' (ambil arak), baru saya sedar mereka ini sebenarnya cuba merosakkan imej Pakatan Rakyat, khususnya PAS, seolah-olah menakutkan orang-orang tempatan dengan imej sebegitu melampau.

"Ada di kalangan mereka cakap, mereka adalah ahli PAS seumur hidup, tapi yang menyebut 'take beer', bukannya takbir ini setahu saya pemimpin Umno negeri sahaja," kata Fauzi.

Beliau juga menjelaskan bahawa beberapa hari sebelum tercetusnya demontrasi ekstrem mengarak kepala lembu berdarah itu, sudah kelihatan beberapa kain rentang mengutuk tokoh agama (Islam) tempatan.

"Ada satu kain rentang di simpang jalan masuk, tertulis nama Rodziah (Adun Batu Tiga/PKR), Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam/PAS) dan Ustaz Azrul (Pengerusi Surau Seksyen 23) sebagai pengkhianat bangsa (dan) terdapat (lukisan) babi," beritahu beliau.

Tambahnya lagi, surat layang yang berbaur perkauman (Melayu) ekstrem turut disebarkan secara liar dari rumah ke rumah, khususnya kediaman-kediaman penduduk Melayu dan India.

Beliau turut menjelaskan bahawa isu pembinaan kuil di sini sudah lama diperkatakan secara khabar angin, bukannya baru sehari dua belakangan ini.

"Kalau tidak salah, ianya diumumkan di surau sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, Cikgu Zainuddin."

Katanya, "Cikgu Zainuddin sesudah solat Isyak bangkit mengumumkan bahawa akan ada sebuah kuil didirikan di Seksyen 23 ini. Selepas perbincangan di Surau itu, ada dua (atau) tiga orang menawarkan diri untuk menyiasat. Sampai pertemuan kali kedua pun, perkara itu (siasatan) tidak dapat dipastikan."

"Saya hanya sertai beberapa peringkat sahaja, tidaklah sampai mengarak kepala lembu dan conteng sana sini. Kita (ahli jawatankuasa bertindak) hanya bersetuju (melalui mesyuarat) buat referandum penduduk sahaja, dapat sokongan 320 keluar atau lebih 700 tandatangan penduduk (membantah cadangan bina kuil)."

Beliau turut menjelaskan bahawa kebanyakan jawatankuasa bertindak secara asasnya tidak bersetuju dengan cadangan membina kuil di kawasan mereka, namun beliau menafikan bahawa penduduk tempatan sendiri merancang beberapa aksi melampau tersebut.

"Kami tak anjur perhimpunan sebegitu (ekstrem). Tapi, dari klip video Malaysiakini, yang memijak (kepala lembu itu) Ibrahim Sabri, Mahyuddin Manaf (Pengerusi Jawatankuasa Bertindak) dan Haji Azmi."

PENDAPAT 5

ImageRohaya Samad, suri rumah mendakwa bahawa hanya lima orang sahaja dikenali sebagai penduduk tempatan, berdasarkan klip Youtube akhbar elektronik Malaysiakini.

"Akak (Rohaya) sudah tengok video Malaysiakini. Seingat akak, lima orang sahaja penduduk tempatan. Selebihnya tidak (dan) akak tidak kenal."

Jelasnya lagi, jawatankuasa bertindak beberapa kali menghantar sistem pesanan ringkas (sms) kepadanya sebelum ini untuk usaha tersebut, tetapi beliau tidak dapat memberikan komitmen disebabkan ada komitmen peribadi.

Bagaimanapun, beliau yang juga ahli jawatankuasa penduduk tempatan menjelaskan bahawa aksi bantahan dengan menaikkan kain rentang 'Khalid, Rodziah dan Ustaz Azrul pengkhianat Melayu' di pintu masuk Seksyen 23 itu mula disedarinya pada 18 Ogos lalu.

Tambahnya lagi, semalam beliau mendapat sms meminta dirinya membuat laporan polis berhubung usaha penduduk tempatan Hindu mula mencabar penganut Islam, tetapi beliau tidak percaya sms tersebut.

"Dalam sms itu, minta akak pergi buat laporan Polis. (Penganut) Hindu sudah membuat 98 laporan polis (seolah-olah) mencabar umat Islam. Akak tidak percaya. Jiran akak pun India (penganut Hindu), tapi tidaklah seperti yang digambarkan. Akak rasa itu kerja Umno untuk memburukkan orang-orang PAS," katanya.

"Akhbar Umno kata (kepala) lembu berdarah itu bermaksud pemimpin Melayu Pakatan (Rakyat) umpama 'lembu dicucuk hidung', tetapi penganut Hindu anggap suatu penghinaan kepada agama mereka kerana lembu binatang suci (menurut) agama mereka," kata puan Rohaya memberikan pendapatnya.

Beliau turut mempersoal penafian yang dibuat Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Haji Mahyuddin Manaf bahawa dirinya sendiri tidak tahu dari mana datangnya kepala lembu misteri itu.

"Macam mana Tuan Haji Mahyuddin boleh kata tidak tahu, sedangkan dia sendiri memijak-mijak dan tendang kepala lembu itu sebelum ini. Kalau dia tidak tahu, sudah tentu dia halang (aksi ekstrem tersebut)."

PENDAPAT 6

ImageMohd Azrin Azahari, penuntut sebuah universiti di Timur Tengah (sedang bercuti) mendakwa hampir seratus peratus penduduk Islam membantah cadangan pembinaan kuil, tetapi mereka diingatkan agar tidak mencemuh penganut agama-agama lain.

"Kiraan saya, hampir seratus peratus bantah kuil dibina, tapi penduduk sudah diingatkan untuk berdiplomasi (dan) tidak hina penganut agama Hindu di surau dulu," katanya.

Beliau yang mengikuti setiap siri perbincangan peringkat jawatankuasa surau menegaskan bahawa demontrasi melampau mengarak kepala lembu berdarah itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat.

PENDAPAT 7

Seorang penganut agama Hindu, penduduk tempatan yang enggan identitinya diketahui melahirkan rasa kesal atas apa yang berlaku.

"Saya tidak sangka mereka boleh buat begini (ekstrem). Setiap kali keluar (dari rumah ke tempat) kerja, saya terpaksa lihat semua conteng-conteng hina YB Khalid, Rodziah di dinding.

"Bagaimana mereka boleh hina orang baik ini. Kami (penganut Hindu) tidak pernah minta kuil itu dibina di sini. YB Khalid yang cadangkan ianya dipindah di sini kerana hormat penganut agama lain di sini dan Seksyen 19. Ini Islam sebenar, ini (pemimpin) Melayu sebenar."

ImageCelah isteri ahli perniagaan India itu yang enggan identitinya diketahui kerana takut diganggu kerana ramai kenalannya berbangsa Melayu, menyifatkan perarakan mengangkat kepala lembu berdarah itu suatu yang mengguris emosi penganut agama Hindu.

Bagaimanapun, beliau yakin aksi ekstrem itu bukan mewakili penduduk setempat, tetapi ahli politik tententu dalam Umno.

PENDAPAT 8

Seorang lagi penganut agama Hindu/kakitangan kerajaan yang enggan identitinya diketahui menjelaskan bahawa bukan mudah bagi penganut agama Hindu untuk mengubah kuil berusia 150 tahun dari Seksyen 19 itu ke sini.

"Sepatutnya orang Islam boleh menghargai pengorbanan itu," katanya. Kuil di Seksyen 19 terlalu dekat dengan masjid di sana.

"Lagi pun tapak kuil baru itu sangat jauh dari Surau Seksyen 23 dan kediaman penduduk. Ada pihak kata kuil itu dekat dengan taman permainan di sini, cuba lihat hal sebenar baru tahu ia (tapak kuil) itu cukup jauh," katanya.

"Di Seksyen 16, ada surau lebih dekat dengan kuil. Tiada apa-apa masalah. Orang Islam dan Hindu boleh hormat sama-sama mereka. Di sini, orang politik Umno sebenarnya buat kacau," tambah beliau.

Mewakili lebih 100 keluarga minoriti India tempatan, beliau mendakwa penganut Hindu cukup menghormati Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kerana menunjukkan amalan Islam yang sebenar dalam politiknya.

Beliau berharap pemimpin-pemimpin Melayu yang didakwanya ahli Umno agar rasional, tidak mengganggu ketenteraman penduduk tempatan.

TINJAUAN SETEMPAT

ImageTinjauan yang dibuat di seeluruh kawasan Seksyen 23 menyaksikan sudah ada sejumlah besar Pasukan Gerakan Am (PGA) ditempatkan di Dewan Serbaguna, di sini sejak dua hari lalu.

Kelihatan juga surat layang berunsur perkauman (Melayu) ekstream bertebaran di atas jalan serta di Surau al-Jannah, Seksyen 23.

Sekitar tapak cadangan membina kuil, kelihatan beberapa individu berpakaian biasa berjaga; dipercayai Special Branch.

Seorang pegawai PGA yang enggan nombor badannya diketahui, menjelaskan bahawa sejak kelmarin beberapa Pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) datang memadamkan contengan-contengan yang berbaur perkauman sempit itu dengan cat ringkas.

Semalam, dua pemuda 'misteri' berbangsa Melayu turut ditangkap di sini kerana cuba menconteng sesuatu di ruang berbekas cat tersebut, kemudiannya dilepaskan dengan amaran.

Seorang pemuda yang lain waktu ditemui, mendakwa bahawa Cikgu Zainuddin merupakan antara dalang yang merancang insiden ekstrem terbabit.

Jelasnya, Cikgu Zainuddin bukan sahaja prejudis dengan bangsa-bangsa lain, malah sedang bertungkus-lumus merampas tampuk kepimpinan Surau al-Jannah Seksyen 23 itu; yang kemudiannya dikatakan akan diubah suai menggunakan dana Zakat Selangor.

Jelasnya lagi, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menjemput seluruh penduduk tempatan dan wartawan sendiri menyertai dailog harmoni bersamanya pada Sabtu, 5 September di Dewan Banquet MBSA.

Zainuddin cuba dihubungi untuk mengesahkan dakwaan tersebut pagi tadi, namun gagal.

Insiden ekstrem terbabit walaupun mencabar kemampuan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, namun media arus perdana tidak memberikan liputan menyeluruh.

Dikatakan insiden itu mampu menghakis kepercayaan rakyat Malaysia terhadap usaha kerajaan persekutuan dalam memperkenalkan '1Malaysia' serta meraikan Hari Kebangsaan Malaysia ke-54, hari ini. _

Read More...

Minyak petrol RON95 ganti RON92, 5 sen lebih mahal

Mstar Online

Ia dijual RM1.80 seliter mulai esok

KUALA LUMPUR: Minyak petrol RON95 yang menggantikan RON92 dijual pada harga RM1.80 seliter manakala RON97 pada RM2.05 seliter mulai esok.

Minyak RON95 kini lima sen mahal berbanding paras sebelum ini iaitu RM1.75.

Dalam pada itu, RON97 pula dijadikan produk premium dan harganya RM2.05 seliter berbanding RM1.80 sebelum ini.

Ketika mengumumkan keputusan itu petang tadi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar baru ini ditentukan berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM).

"Walaupun harga sekarang lima sen lebih tinggi, kerajaan masih memberi subsidi 33.81 sen bagi setiap liter (produk RON95) yang bersamaan dengan RM304 juta sebulan," kata beliau selepas melancarkan produk Primax 95 keluaran Petronas di sini.

Kini kerajaan menyediakan subsidi 42.72 sen seliter bagi minyak RON97.

Kos bagi RON95 naik 102 peratus daripada AS$40.75 setong kepada AS$82.30 setong pada Disember 2008 dan bulan ini.

Kata beliau, jika terdapat sebarang perubahan harga pasaran global, kerajaan akan mengkaji semula dengan sewajarnya.

"Ia akan ditentukan oleh Majlis Ekonomi," katanya.

RON95 juga selaras dengan spesifikasi EURO2M di mana ia boleh mengurangkan pencemaran, kata beliau sambil menambah, pengguna akan memperoleh produk berkualiti pada harga yang disubsidi.

Katanya, dengan penetapan harga baru, RON92 akan dihentikan jualan.

Penggunaan RON92 hanya melibatkan lima peratus jualan di negara ini.

Read More...

Harga petrol naik esok

Malaysiakini

Ogos 31, 09 6:55pm

Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan harga petrol RON97 daripada RM1.80 kepada RM2.05 mulai esok.

Manakala harga petrol RON95 yang dilancarkan hari ini - bagi menggantikan RON92 - dijual pada harga RM1.80 seliter.

Kerajaan sebelum ini telah menyatakan bahawa harga petrol akan dinaikan pada 1 September.

Mei lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata harga petrol gred premium RON97 akan naik 20 sen kepada RM2 seliter, manakala petrol gred rendah RON95 akan dijual pada harga RM1.75 seliter.

Bagaimanapun, kerajaan telah menambah lima sen lagi bagi harga kedua-dua gred tersebut.

Hari ini, Ismail yang melancarkan petrol RON95 berkata, harga RON95 terpaksa dinaikkan lima sen berbanding RM1.75 seliter seperti yang diumumkan Mei lalu kerana harga pasaran minyak dunia yang berubah kini.

"Bagaimanapun harga ini adalah sama dengan harga minyak yang biasa dipakai pengguna sekarang iaitu RON97 (RM1.80 seliter).

"Sepatutnya harga RON95 jika mengikut pasaran dunia ialah RM1.89 seliter, tetapi kerajaan tak mahu rakyat rasa ada kenaikan jadi ditetapkan kepada RM1.80 sahaja," katanya, lapor Bernama.

Ismail Sabri berkata kerajaan menganggar akan dapat mengurangkan tanggungan subsidi sebanyak RM420 juta setahun dengan pelaksanaan RON95 memandangkan harga subsidinya lebih rendah iaitu 38.81 sen seliter berbanding subsidi RON97 sebelum ini iaitu 42.72 sen seliter.

Menurutnya lagi, petrol RON97 pula masih dikekalkan dalam pasaran sebagai produk premium memandangkan ada kenderaan yang memerlukannya terutama kenderaan berkuasa tinggi.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |