+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, September 29, 2008

Salam Aidilfitri....bulatkan tekad, teruskan berjuang....

Salam untuk semua,

Hari ini sudah 29 hari kita berpuasa di bulan Ramadhan yang mulia ini. Sedar tak sedar lusa umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kepada yang masih lagi merasa bahang bulan Ramadhan, akan menyambung lagi puasa di bulan Syawal pula iaitu dengan berpuasa enam. Suasana politik juga seakan reda sebentar seperti menangisi pemergian Ramadhan dan meraikan kedatangan Syawal. Terpulang kepada kita merasakan bagaimana puasa Ramadhan kita pada tahun ini. Ada yang sekadar puasa lapar dan dahaga tanpa melakukan amal ibadat yang lain. Ada yang dapat berpuasa dan meningkatkan lagi keimanan di bulan Ramadhan kali ini dan tak kurang juga yang begitu khusyuk dan tekun menjalankan ibadat suruhan Allah ini tanpa mengira bulan, dan inilah orang-orang yang sepatutnya meraikan kemenangan Syawal. Tetapi, bagi mereka pemergian Ramadhan adalah satu yang perlu ditangisi kerana mereka tidak tahu sama ada boleh berjumpa lagi Ramadhan yang akan datang nanti.

Tukar kerajaan.

16 Ramadhan yang lalu kita begitu menantikan pertukaran kerajaan pusat seperti diwar-warkan oleh DSAI. Tetapi, kita hanya merancang dan Allah juga maha perancang. Awal lagi saya menjangkakan pertukaran kerajaan agak sukar untuk dilakukan pada 16 Sept lalu keran beberapa faktor selain dari faktor teknikal iaitu parlimen bercuti pada bulan puasa ini. Tetapi, tarikh ini yang dikatakan retorik dan angan-angan DSAI oleh pemimpin BN rupanya begitu ditakuti oleh Pak Lah dan suku-sakatnya. Masakan ahli parlimen dihantar ke Taiwan dengan alasan membuat lawatan sambil belajar tentang pertanian di sana. Di bulan yang mulia inilah juga ahli parlimen kita menyibukkan diri di negara yang majoriti rakyatnya tidak berpuasa. Buat apa menyibukkan diri ke sana?? Apa tidak boleh ke buat bulan lain. Walaupun kerajaan menafikan ianya ada kaitan dengan isu lompat parti, tapi umum tahu, kerajaan Pak Lah begitu takut dengan tarikh yang dikatakan tipu oleh Pak Lah ini. DSAI sebaliknya lebih nampak tenang dengan menganjakkan tarikh pertukaran kerajaan ini dari satu tarikh ke satu tarikh yang lain. Ya...memang ada rakyat yang muak, yang kononnya tidak percaya lagi akan retorik DSAI ini. Itu telahan rakyat yang tidak mempunyai semangat juang yang tinggi. Mereka umpama lalang yang sentiasa mengikut tiupan angin. Bagi saya, tidak kira bila, kerajaan Pak Lah mesti ditukar. Esok, lusa, bulan depan, tahun depan..kerajaan BN ini perlu ditukar!!!Itu muktamad.

Salam Aidilfitri, teruskan berjuang.

Sempena menyambut Aidilfitri ini saya mengambil kesempatan untuk meminta maaf daripada semua pembaca dan pengunjung web blog Tau Takpe ini. Bulatkan tekad, teruskan berjuang sehingga kerajaan BN ini turun dan digantikan dengan kerajaan yang lebih telus dan amanah. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin. Bersua lagi selepas Hari Raya nanti.

Wassalam......

-------------------------------------------------
catatan orangkita : 29 Sept 2008, 2040 pm
http://sangpemantau.blogspot.com/
-------------------------------------------------

Read More...

Jenaka: Ali Rustam mahu Teresa Kok dipecat dari 'PKR'

hasbullah pit

Cerita ini tidak tersiar di Malaysiakini , akan tetapi Sinar Harian.

Ini adalah berita yang agak terlewat.

Sila klik untuk besarkan.


"Teresa Kok wajar meminta maaf dan dipecat sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) ekoran kenyataannya yang menghina kerajaan."

"Sekiranya PKR benar-benar parti yang bertanggung jawap, Teresa wajar dipecat daripada parti itu".

Adakah Sinar Harian tersalah tulis?

Sinar Harian sememangnya mengatakan Teresa adalah wakil rakyat DAP, mereka tidak salah. Akan tetapi memetik secara bulat-bulat apa yang Ali Rustam katakan walaupun keahlian Teresa Kok dalam PKR hanya wujud dalam ilusi Ali Rustam.

Agaknya Teresa Kok ahli parti mana dalam ilusi Najib?

Read More...

Undi tidak percaya bukan satu-satunya cara

Selangor today

[Terjemahan dari Artikel bertajuk “No-confidence vote not the only way” oleh Maria J. Dass di dalam akhbar The Sun 22 September 2008]

Premis bahawa parlimen mesti bersidang bagi membolehkan undi tidak percaya dibuat terhadap Perdana Menteri adalah terlalu simplistik, kata peguam kanan Tommy Thomas. Beliau memberi respons tersebut berikutan temu bual akhbar The Sun dengan pakar undang-undang perlembagaan, Prof Dr Shad Faruqi, baru-baru ini. Shad berkata, di bawah Perkara 43(4) perlembagaan persekutuan, hanya parlimen, bukannya Yang Dipertuan Agung, boleh memecat Perdana Menteri.

Perkara 43(4) tersebut berbunyi: Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya, Yang Dipertuan Agong membubarkan parlimen.

“Sekiranya tafsiran Shad mahu diguna pakai, maka peruntukan perlembagaan itu hendaklah dibaca begini: “ Jika Perdana Menteri dikalahkan melalui usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat, maka…” kata Thomas.

“Jika tafsiran Shad adalah tepat, maka ia jelas terhad hanya kepada satu corak dan keadaan sahaja – bahawa perkara itu harus dibawa ke Dewan Rakyat, sedangkan skop perlembagaan yang luas membenarkan kaedah-kaedah lain diguna pakai”, katanya lagi.

“Saya terima bahawa kaedah yang dikemukakan oleh Shad itu sebagai kaedah tradisi dan kaedah yang lebih digemari, namun saya juga menolak anggapannya bahawa ia merupakan satu-satunya kaedah yang ada”, kata Thomas dalam temu bual pada Jumaat lepas.

Thomas seterusnya berkata, Perkara 43 (4) mewakili deraf laporan Suruhanjaya Reid yang kekal dalam bentuk asalnya dan jelas merupakan prinsip perlembagaan Inggeris yang memberikan kepada YDP Agong kuasa yang sama yang diberikan kepada raja England.

Beliau juga berkata, kebanyakan negara Komonwel mempunyai seseorang yang diberikan kuasa dan kedudukan yang sama dengan raja Inggeris itu. India, sebagai sebuah republik, mempunyai seorang Presiden; Australia dan New Zealand pula mempunyai Gabenor yang mewakili Ratu Inggeris.

Jadi apakah kaedah lain yang ada selain daripada undi tidak percaya?

Thomas: Untuk menjawab soalan ini, kita perlu terlebih dahulu melihat kepada hakikat bahawa di kebanyakan negara Komonwel, terdapat seorang Ketua Tertinggi, iaitu seorang raja berlembagaan. Di Malaysia, ia merupakan Yang Dipertuan Agong seperti yang ditetapkan oleh Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan. Ketua Tertinggi ini mestilah berperanan melampaui kepentingan politik dan berperanan menstabilkan negara, terutama sekali dalam suasana krisis seperti sekarang ini.

Perkara 43(2)(a) menetapkan bahawa Yang Dipertuan Agong harus terlebih dahulu melantik seorang Perdana Menteri daripada kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat yang menurut pertimbangan baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli itu untuk mengetuai Jemaah Menteri. Ini menunjukkan bahawa pelantikan tersebut adalah tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertuan Agong.

Menurut Perkara 40 (1) pula, Yang Dipertuan Agong mesti mendapatkan nasihat Perdana Menteri pada 99.999% masa, tetapi baginda juga boleh bertindak mengikut budi bicara dalam melantik Perdana Menteri dan untuk tidak memberikan persetujuan kepada permintaan untuk membubarkan parlimen (Perkara 40(2).

Dalam keadaan-keadaan tertentu, baginda tidak perlu menerima nasihat Perdana Menteri kerana nasihat tersebut mungkin bersifat berkepentingan diri. Dalam kes Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka nasihat berkepentingan diri itu mungkin bertujuan mengekalkan kedudukannya atau supaya beliau tidak dipecat.

Jadi dalam keadaan ini dan dalam keadaan-keadaan sukar yang lain, Yang Dipertuan Agong harus dan melihat dan menilai keadaan melampaui nasihat tersebut dan hendaklah bertindak bagi kepentingan negara.

Sebagai raja berpelembagaan, Yang Dipertuan Agong tidak boleh memecat Perdana Menteri melainkan baginda yakin bahawa beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang ditetapkan oleh Perkara 43(4) dan 40(3).

Sekiranya berlaku keadaan-keadaan yang disebut di bawah perkara 43(4), maka Perdana Menteri boleh dilucutkan jawatan sekiranya beliau tidak melepaskannya secara sukarela. Peruntukan-peruntukan perlembagaan ini memberikan Yang Dipertuan Agong kuasa budi bicara yang luas, namun baginda juga tidak boleh bertindak sebagai diktator kerana terdapat kekangan terhadap kuasa budi bicara itu.

Sebagai contoh, baginda tidak boleh melantik saya atau anda semata-mata sebagai Perdana Menteri sebab kita bukanlah ahli Dewan Rakyat. Ini jelas menunjukkan bahawa pilihan yang baginda miliki adalah terhad kepada 222 orang sahaja yang merupakan ahli dewan tersebut.

Bagaimanakah Yang Dipertuan Agong boleh melaksanakan kuasa budi bicara baginda itu jika tidak berlaku usul undi tidak percaya?

Melalui satu perisytiharan bertulis dan bertandatangan oleh majoriti ahli Dewan Rakyat yang menyatakan tidak percaya terhadap Perdana Menteri, yang dikemukakan kepada baginda oleh seorang ahli atau sejumlah ahli parlimen. Dokumen tersebut adalah sebagai bukti yang sah tentang sikap tidak percaya itu. Sekiranya Yang Dipertuan Agong berpuas hati dengan dokumen itu dan kesahihannya, maka baginda boleh menerimanya – sebagai satu cara untuk mengesahkan hilang kepercayaan itu.

Di sini, saya mahu memberi komentar tentang kenyataan Shad apabila beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi di Kucing yang menolak kaedah ini dalam kes Stephen Kalong Ningkan (1966).

Dalam hal ini, Shad gagal menyebut sebuah kes Majlis Privy sebelum itu (Kes Nigeria: Adegbenro lwn Akintola, 1963) dan sebuah kes Malaysia selepas itu yang memutuskan sebaliknya.

Dalam kes Nigeria, Gabenor Nigeria menerima surat atau dokumen sedemikian dan berdasarkannya, beliau memecat Ketua Menteri negara tersebut, tetapi menteri berkenaan berkata, “tidak ada undi tidak percaya terhadap saya, justeru saya tidak dipecat”.

Majlis Privy memutuskan bahawa pemecatan itu adalah sah dan Gabenor boleh bertindak mengikut pertimbangannya kerana kuasa budi bicara yang beliau miliki.

Pada tahun 1966, Hakim Harley dalam penghakimannya ke atas kes Stephen Kalong Ningkan berkata, beliau tidak akan mengikut kes Nigeria itu kerana negara tersebut adalah berbeza daripada Sarawak – ini bagi saya adalah pandangan yang amat simplistik.

30 tahun kemudian, kita ada sebuah kes yang melibatkan Datuk Amir Kahar Mustapha dan Tun Mohd Said Keruak – iaitu kes bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Joseph Pairin Kitingan, apabila beberapa beberapa ahli Dewan Negeri melompat parti selepas pilihan raya umum 1994. Akibatnya, Pairin hilang jawatan sebagai Ketua Menteri.

Pelantikan Ketua Menteri baru selepas itu telah dicabar di mahkamah. Fakta kes adalah serupa dan isu yang dibangkitkan ialah sama ada surat atau dokumen yang ditandatangani ahli-ahli dewan boleh diterima. Hakim Kadir Sulaiman telah menuruti kaedah dan keputusan kes Majlis Privy.

Lebih menarik, peguam yang hujahnya diterima oleh Hakim Kadir Sulaiman dalam kes Pairin itu ialah Peguam Negara kini, iaitu Tan Sri Gani Patail, yang ketika itu mewakili kerajaan Sabah.

Kelemahan kaedah ini ialah keperluan memastikan kesahihan tanda tangan ahli dewan terbabit. Kaedah ini juga menuntut Yang Dipertuan Agong bertindak dengan waras dan bertanggungjwab, bukannya sewenang-wenang. Justeru, baginda harus membuat siasatan sendiri dan harus berpuas hati dengannya, sekali gus memaklumkan secara terbuka langkah-langkah yang diambil untuk membuat keputusan tersebut bagi kepentingan negara.

Untuk tujuan itu, Yang Dipertuan Agong boleh memanggil ahli-ahli terbabit masuk menghadap bagi memastikan sama ada mereka berbuat demikian dengan rela dan waras. Ini sebagai pengesahan dan bukti yang sahih. Jika seseorang raja berperlembagaan mengambil langkah-langkah ini, maka baginda tidak boleh dikiritik atau dituduh mempunyai kepentingan politik dan lain-lain.

Kuasa YDP Agong dalam memecat Perdana Menteri

Senario pertama:

Pengundian dibuat di Dewan Rakyat dan usul tidak percaya dibawa. Perdana Menteri sediaada harus memaklumkan kepada YDP Agong bahawa beliau tidak lagi mendapat kepercayaan ahli dewan. Perdana Menteri memiliki kuasa budi bicara untuk memohon membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan bagi menguji kepercayaan dan mandat rakyat.

YDP Agong boleh menggunakan kuasa budi bicara baginda di sini. Sekiranya baginda bersetuju, parlimen akan dibubarkan dan kerajaan Perdana Menteri sedia ada akan dilantik sebagai kerajaan sementara. Tetapi jika YDP Agong menolaknya, maka Perdana Menteri mestilah meletakkan jawatan daripada kabinet. Sekiranya beliau enggan berbuat demikian, maka secara tersirat, YDP Agong boleh memecat beliau.

Senario kedua:

YDP Agong tidak bergantung kepada usul di dalam dewan, tetapi kerana berpuas hati bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan daripada majoriti ahli dewan, lalu mengarahkan Perdana Menteri supaya meletak jawatan dan menggantikannya dengan seorang calon lain yang menurut pertimbangan baginda adalah sesuai untuk mengisi jawatan itu. Jika Perdana Menteri enggan mematuhi arahan tersebut, maka perlembagaan mengisyaratkan bahawa beliau boleh dipecat.

Apakah yang bakal berlaku sekiranya usul undi tidak percaya ditolak oleh Speaker di Dewan Rakyat?

Pertama, ini melanggar perlembagaan. Tetapi kaedah ini hanya penting sekiranya ia dianggap sebagai satu-satunya cara yang ada. Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tampak mengambil langkah yang cermat dengan menggunakan kaedah ini terlebih dahulu, iaitu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Dua usul sedemikian telah dikemukakan sebelum ini dan ditolak oleh Speaker.

Apakah yang bakal berlaku jika Anwar ditahan di bawah ISA?

Sekiranya Anwar ditahan, YDP Agong masih boleh meminta beliau dibebaskan untuk menghadap baginda – sekiranya baginda melihat beliau sebagai calon paling layak untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.

Read More...

Kerajaan Selangor Pakatan akui kuil di Ampang diroboh

Mstar Online

AMPANG: Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat hari ini mengakui yang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)telah merobohkan sebuah kuil di Ampang awal bulan ini walaupun dinafikan sebelum ini.

Dalam kenyataan media hari ini, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, pihaknya juga kesal dengan tindakan MPAJ merobohkan Kuil Sri Mahakaliamman di Kampung Tasik itu tanpa kebenaran kerajaan negeri.

"Kita telah arahkan kepada semua pihak majlis perbandaran di Selangor supaya mana-mana rumah ibadat yang hendak hendak dirobohkan mesti mendapat kelulusan kerajaan negeri," katanya semasa mengadakan lawatan ke tapak Kuil Sri Mahakaliamman hari ini.

Ia bertentangan dengan kenyataan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dua hari lalu bahawa kuil berkenaan telah dirobohkan untuk kerja-kerja pengubahsuaian bangunan dan dokumentasi.

Dr. Xavier, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Estet dan Kerajaan Prihatin berkata, tiada pihak berhak untuk merobohkan rumah ibadat sama ada masjid, surau, kuil, tokong mahupun gereja walaupun ia dibina secara tidak sah.

Surat makluman mengenai perkara tersebut juga telah dihantar kepada semua majlis perbandaran di Selangor.

Bagaimanapun Dr. Xavier berkata, perkara ini berpunca daripada kesilapan dan kelemahaan kedua-dua pihak.

"Pertamanya MPAJ meroboh tanpa merujuk kerajaan negeri dan keduanya pihak pengurusan kuil telah membina kuil ini tanpa mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan," katanya.

Semalam, MIC menggesa Kerajaan Negeri Selangor mendedahkan kepada umum laporan sebenar berhubung tindakan merobohkan kuil berkenaan apabila dua wakil rakyat berkenaan - kedua-duanya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi kenyataan bercanggah tentang perkara itu.

Presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, kenyataan dua wakil rakyat itu mengelirukan rakyat tentang siapa sebenarnya yang bertanggungjawab merobohkan kuil Sri Mahakaliamman pada 9 September lalu.

Beliau berkata, menurut Zuraida binaan itu diroboh oleh jawatankuasa kuil berkenaan bagi menjalankan kerja pengubahsuaian, tetapi Dr. Xavier pula berkata, lima hingga enam pegawai penguatkuasa MPAJ terlibat dalam kerja merobohkan kuil itu.

Kerajaan negeri yang diterajui PKR tidak sepatutnya mengalihkan isu ini dengan mendakwa MIC membuat tuduhan tidak berasas, kata Samy Vellu.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Zuraida itu, Dr. Xavier berkata, berlaku salah faham mengenai kenyataan tersebut.

"Saya telah bercakap dengannya (Zuraida) pagi tadi, beliau menafikan memberi sebarang kenyataan bahawa kuil itu dirobohkan oleh pihaknya seperti mana yang dilaporkan di media.

"Dia menafikannya dan saya fikir pengerusi kuil ini iaitu S. Murugiah boleh pastikan bahawa ia tidak dilakukan oleh beliau dan jawatankuasanya," katanya.

Menurut beliau, kerajaan Pakatan Rakyat yang menerajui negeri Selangor berjaya menangani isu ini dengan sebaik mungkin dan berharap agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba untuk mempolitikkan perkara ini.

"Kalau kita tengok pada rekod terdahulu, banyak kuil dirobohkan semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) berkuasa dan MIC yang merupakan sebahagian daripadanya turut membenarkan perkara ini berlaku," katanya.

Tambah beliau, walaupun Pakatan Rakyat baru enam bulan mentadbir Selangor tetapi kerajaan negeri memandang serius perkara ini.

Namun baginya persoalan yang timbul ialah bagaimana kerajaan terdahulu membenarkan isu pembinaan kuil secara tidak sah terus berlaku tanpa sekatan.

"Dulu mereka tutup mata dan benarkan, tapi sekarang mereka kata bina kuil atas tanah haram.

"Mengapa dulu boleh sedangkan memang ada peraturan-peraturan tertentu untuk membina kuil," soalnya.

Beliau menambah, pihak jawatankuasa kuil tersebut boleh mengemukakakan permohonan jika ingin meneruskan kuil tersebut.

Katanya kerajaan negeri boleh membuat pertimbangan mencari tapak yang sesuai bagi menempatkan semula kuil yang telah dirobohkan itu.

Jelas beliau, kerajaan negeri sentiasa menyambut baik cadangan pembinaan kuil, namun perlu mengikut garis panduan ditetapkan.

Bagaimanapun jelasnya, jika sesebuah kuil itu dibina di tanah rizab atau tanah milik kerajaan, kerajaan negeri mempunyai prosedur tertentu untuk menukar statusnya dan kemudian diserahkan kepada pengurusan kuil.

Read More...

Siapakah Petualang, Pengkhianat Dan Pembohong Dalam Umno ?

Detik Daily

Posted on Tuesday, September 23 @ 23:06:37 MYT by reformis
Artikel

Oleh Ruhanie Ahmad


UMNO hari ini mempunyai dua kelompok ahli yang disifatkan sebagai gunting dalam lipatan - kelompok pensabotaj dan kelompok petualang.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghuraikan kewujudan kelompok pertama pada minggu pertama Mac 2008. Katanya, kelompok inilah punca utama BN kalah teruk dalam PRU12.

Lantaran itu, Abdullah menyatakan bahawa beliau sendiri akan membentangkan laporan kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO supaya kelompok pensabotaj ini dikenakan tindakan. Kini sudah empat bulan berlalu. Namun begitu, sampai hari ini pun belum didedahkan siapakah pensabotaj sebenarnya di dalam UMNO.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhamad Muhd. Taib, menghuraikan kewujudan kelompok petualang dalam satu kenyataannya semalam.

Katanya: “Bila ada kalangan ahli MT yang membocorkan maklumat mereka boleh dianggap dan dikategorikan sebagai petualang kerana melakukan perbuatan yang menjijikkan dan memalukan. Sepatutnya perangai petualang ini tidak harus ada di kalangan pemimpin dalam parti.”

Kategori Negatif

Kedua-dua tuduhan di atas adalah amat serius. Kedua-duanya juga menyebabkan ahli-ahli UMNO semakin dipecah-pecahkan kepada kategori yang negatif. Kesannya juga pasti negatif. Bukan kepada yang pihak dituduh, tetapi kepada insan-insan yang memberikan label-label berkenaan.

Demi UMNO, demi agama, demi bangsa dan demi tanahair, marilah kita tanya kepada Abdullah, sudahkah diselidik dan disiasat punca-punca yang menyebabkan BN kalah teruk dalam PRU12? Kalau sudah, berapa ramaikan pengkhianat atau pensabotaj yang sudah dikenalpasti? Kalau belum, kenapa buat tuduhan yang memlulu? Dan, kalau belum, mengapakah Abdullah sering berkata BN dan UMNO masih kukuh dan masih kuat? Bukankah ini satu pembohongan?

Begitu juga kepada Muhamad Taib. Sudahkah disiasat siapakah yang dilabelkannya sebagai petualang? Kalau belum mengapakah buat tuduhan yang semberono? Kenapa tidak dinafikan sama ada maklumat yang dibocorkan kepada media itu benar atau palsu? Kenapa alih pandangan umum kepada soal petualang?

Tidakkah benar di era kepimpinan Abdullah memang sering berlaku diversion daripada masalah pokok kepada soal sampingan. Soal pokoknya, tidak benarkah BN kalah kerana kepimpinan Abdullah yang tempang. Sebab itulah terdapat orang UMNO sendiri marah dan protes.

Jadi, kenapa tidak diakui hakikat ini. Sebaliknya, kenapa tuduh warga UMNO yang tidak undi BN sebagai pensabotaj? Kenapa sehingga hari ini tidak ada berita yang Abdullah sendiri telah membentangkan senarai pensabotaj itu kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO? Bagaimana pula dengan ahli-ahli komponen BN yang juga tidak mengundi calon BN? Kenapa Abdullah tidak tuduh mereka juga sebagai pengkhianat?

Syak Wasangka

Soal pembocoran maklumat dalam mesyuarat MT 18 September 2008, pun begitu juga. Benar atau tidak Abdullah telah menitiskan air mata dalam mesyuarat itu. Benar atau tidak ramai ahli MT yang mahukan Abdullah berundur sebelum 9 Oktober 2008? Kenapa tidak nafikan atau sahkan laporan-laporan seperti ini? Sebaliknya kenapa wujudkan syak wasangka sesama ahli MT?

Untuk maklumat Muhamad Taib, cuba kaji sendiri berapa banyakkah blog yang telah mengulas mesyuarat MT baru-baru ini. Kajilah sendiri kalau sudah sekian banyak blog yang membuat laporan mengenai info yang sama, adakah ini satu kepalsuan atau pembohongan?

Saya tidak mahu mengheret polemik ini kepada soal lain. Contohnya kepada soal muqabalah dengan PAS baru-baru ini. Benarkah apa yang dinyatakan oleh Abdullah bahawa dalam muqabalah itu UMNO telah diwakili oleh pihak-pihak tertinggi yang boleh buat keputusan? Tidak benarkah UMNO hanya diwakili oleh Abdullah seorang diri dalam muqabalah berkenaan? Saya harap Muhamad Taib dapat jelaskan perkara ini sebelum ada pihak menuduh pemimpin tertinggi UMNO ini sebagai pembohong!

Berapa banyak lagikah pembohongan yang sudah dihalalkan oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO selama ini? Contohnya, benarkah kenyataan Tan Sri Annuar Musa semalam kononnya UMNO Kelantan sebulat suara akan mencalonkan Abdullah ke jawatan Presiden UMNO? Bagaimana dengan UMNO Bahagian Gua Musang? Juga akan calonkan Abdullah?

Kenyataan Puad

Akhir kata, saya harap Abdullah dan Muhamad Taib, fahamilah kenyataan di bawah ini:

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Ketua- ketua UMNO bahagian meminta Majlis Tertinggi (MT) parti itu supaya tidak mengabaikan keresahan di peringkat akar umbi berhubung isu peralihan kuasa pucuk pimpinan UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sekiranya keresahan dan pandangan ahli diketepikan, gelombang di peringkat akar umbi dikhuatiri akan membahayakan parti.

Katanya, akar umbi tidak lagi boleh berdiam untuk menyatakan pendirian bahawa merekalah yang sepatutnya berhak memutuskan soal pimpinan dalam parti.

Beliau percaya pada mesyuarat bahagian kali ini, akar umbi akan bertindak berani menyatakan pendirian mereka mengenai calon yang mereka fikir wajar dijadikan pemimpin.

"Jika ini berlaku, kita tidak dapat menahan arus ini. Apa pun janji yang kita buat, ia tidak akan dapat mengubah pendirian mereka," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Lagi:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

Kenyataan di atas adalah hakikat yang jelas dan tegas. Pastinya ia dikeluarkan demi UMNO, demi agama, demi bangsa dan demi tanahair. Apakah Abdullah akan melabelkan Puad sebagai pengkhianat? Apakah Muhamad Taib akan melabelkan Puad sebagai petualang?

Read More...

Perkarangan masjid bukan masjidlah bodoh!

penarekbeca

Saya tak kisah kalau orang nak lawan DAP. Jangankan DAP, parti apa pun hampa nak lawan ikut suka hampalah. Tetapi, saya geli geleman melihat percubaan yang hina dan bangang untuk mengelirukan orang ramai.

Utusan Malaysia menyiarkan berita yang diberi tajuk "Teresa kurang sopan pakai skirt di masjid". Tetapi di dalam berita tidak pula ditulis Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pakai skirt di masjid. Yang ditulis adalah seperti berikut:

"...tidak berpakaian sopan ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama imam dan ahli jawatankuasa Masjid Nurrusaadah di Cheras Baru, baru-baru ini"

"memakai skirt dan tidak menutup aurat semasa menghadiri majlis berbuka puasa bersama imam dan ahli jawatankuasa Masjid Nurrusaadah di Cheras Baru".
Walaupun dah melihat gambarnya, saya bertanya kepada kawan-kawan yang pergi malam itu. Mereka kata, majlis bersama Teresa itu diadakan di perkarangan masjid dan bukannya di dalam masjid.

Saya tak suka tengok wanita-wanita Islam pakai skirt (kalau depa kata pakai skirt hak demokratik depa, tak suka tengok juga hak demokratik saya). Kalau bukan Islam, ikut suka depalah. Laporan pula menghebohkan pakai skirt di masjid. Adakah Utusan Malaysia perlu diberitahu, perkarangan masjid bukan masjidlah bodoh!

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |