+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, August 24, 2008

Keluar Awal Mengundi - Pesan Anwar Kepada Penduduk Permatang Pauh


Suara Keadilan

PERMATANG PAUH 24 Ogos (SK)- Ketua Umum KeADilan, Anwar Ibrahim menyeru penduduk di Permatang pauh agar bersama-sama menolak segala penipuan dan kezaliman yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional.

Beliau yang juga calon Pakatan Rakyat di pilihan raya kecil Permatang Pauh berkata demikian dalam ceramah yang diadakan di padang Awam, Taman Guar Perahu di Dun penanti Permatang pauh malam tadi.

Pesanan beliau supaya pengundi-pengundi di Permatang Pauh menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil kali ini disambut dengan laungan takbir dan reformasi dan kemudiannya diikuti oleh tepukan gemuruh dari 5,000 penyokong yang hadir di ceramah berkenaan.

“Keluarlah awal pada hari pengundian 26 Ogos ini dan tunaikan tangungjawab anda semua. . rakyat Permatang Pauh perlu menolak segala fitnah jahat yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional terhadap Pakatan Rakyat seperti mempergunakan agama dan memainkan sentimen perkauman,” katanya lagi.

Menurutnya, pilihan raya kecil di Permatang Pauh merupakan masa untuk rakyat di kawasan terbabit melakukan satu anjakan bagi menolak segala kezaliman dan politik jahat yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional, sekaligus membawa perubahan baru di negara ini.

Anwar menambah ekonomi negara menjadi mundur kerana negara ini diperintah oleh pemimpin yang rasuah dan hanya mementingkan segelintir individu.

Ceramah perdana tersebut turut dihadiri oleh ulama terkemuka tanahair yang juga merupakan Timbalan Mursyidul Am Pas, Harun Din, Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat.

Sebelum itu, Harun Din ketika menyampaikan amanat beliau dalam ceramah perdana itu menjelaskan tentang pelbagai perkara menyentuh pertuduhan liwat Anwar dan sumpah yang dilakukan oleh Saiful dari perspektif undang-undang Islam.

Beliau memetik ayat-ayat Al Quran dan sejarah yang berkait dengan pertuduhan zina dan liwat serta menjelaskan konsep pengertian muhabalah dari sudut perundangan Islam.

“Sumpah laknat yang terdapat dalam Islam di disebut sebagai sumpah Li’an iaitu sumpah yang hanya dilakukan oleh pasangan suami isteri sekiranya berlaku pertuduhan zina yang tidak berjaya dibuktikan.

Kegagalan masyarakat Islam hari ini memahami perundangan Islam telah menyebabkan timbul pelbagai kekeliruan di kalangan masyarakat kerana tidak kembali kepada ajaran Islam dan berpegang dengan ajaran Al-Quran dan Hadis,” katanya lagi mengulas isu sumpah yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan terhadap Anwar.

Menurutnya, pertuduhan liwat adalah tuduhan yang besar dalam Islam yang memerlukan empat orang saksi. Tambah beliau, sekiranya pertuduhan itu tidak dapat dibuktikan, maka si penuduh wajib dijatuhkan hukuman kazaf.

” Pasal itu maka umat islam sepatutnya mengambil iktibar dari kejadian mutahir ini, yang kebetulan pula kejadian sekarang berlaku hampir pada pilihanraya, adakah ia untuk kegunaan pilihanraya atau tidak, tuan-tuan menjadi hakim, tetapi saya bimbang apabila hal-hal yang menyentuh hukum agama Allah ini, ada orang yang mempermudahkan hukum Islam itu lalu menjadi haru biru.” ujarnya lagi

Ceramah yang bermula pada pukul 9.00 malam itu mengakibatkan kesesakan teruk sejauh lebih 5 kilometer ke jalan menuju ke tempat ceramah berkenaan dan jalan-jalan sekitarnya.

Tinjauan Suara keADILan mendapati, kesukaran mencari tempat letak kenderaan menyebabkan sesetengah penyokong terpaksa berjalan kaki sejauh lebih satu kilometer untuk ke tempat ceramah tersebut.

Read More...

Galeri gambar kempen pilihan raya Permatang Pauh pada 23 Ogos

Mstar Online

23-08-2008 02:27:31 PM

Undi Pos Bermula



Beberapa anggota polis menunggu giliran untuk mengundi pos bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bandar Perda di sini, hari ini. Seramai 490 pegawai dan anggota polis mengundi pada pilihan raya itu. Foto BERNAMA



Anggota polis mengundi pos bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bandar Perda, hari ini.



TUNAI KEWAJIPAN ... Anggota polis Lans Kop Zarina Ismail (kanan) memasukkan undi pos sambil diperhatikan rakannya Lans Kop Siti Zarifah Idaris pada hari mengundi pos bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bandar Perda hari ini.



PERSIAPAN TERAKHIR... Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula sibuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang hanya tinggal tiga hari lagi iaitu pada Selasa depan. Kelihatan dua petugas SPR memasang kain rentang di pusat penjumlahan rasmi undi di Institut Perguruan Tuanku Bainun.



Menjelangnya pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pelbagai bendera parti dan kain rentang dipasang di sekitar kawasan Permatang Pauh di sini, hari ini bagi meraih undi pada pilihan raya itu Selasa depan.



Calon KRP, Datuk Seri anwar Ibrahim berbual bersama penduduk di Kampung Semambu, Permatang Pauh.



TURUN PADANG: Anwar turut sama membantu memasak lauk sempena kenduri perkahwinan yang diadakan di Kampung Semambu, Permatang Pauh.



Anwar berbual bersama penduduk kampung di kenduri kahwin yang dihadirinya.



Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah bersalaman dengan Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh ketika hadir di Bilik Gerakan Seberang Jaya.



Arif Shah berbincang sesuatu dengan Tengku Razaleigh mengenai persiapan jentera BN menjelang pilihan raya pada Selasa depan.


Read More...

2 Exco Perak didakwa


Berita Harian

Oleh Norfatimah Ahmad, Haika Khazi dan Ifwan Tun Tuah
bhnews@bharian.com.my




EXCO Kanan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ngeh Koo Ham (duduk tengah) besama Kapt (b) Mohd Osman Mohd Jailu (duduk kiri) dan Jamaluddin Mohd Radzi (kanan) di sidang akhbar khas menafikan pembabitan dua orang exco dalam kes rasuah berkenaan dan meminta BPR menarik balik tuduhan yang dikenakan ke atas mereka, manakala media diminta memohon maaf, di Ipoh kelmarin. - Foto Ikhwan Munir.

BPR heret lima lelaki ke Mahkamah Sesyen Ipoh esok

KUALA LUMPUR: Lima daripada enam lelaki termasuk dua Exco Perak dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini direman Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan satu projek perumahan di Seri Iskandar bernilai RM180 juta akan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, esok.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata Bahagian Perundangan serta Pendakwaan BPR berpuas hati dengan siasatan kes itu dan menganggapnya selesai.

"BPR ada cukup bukti dan saksi untuk menuduh lima yang terbabit di mahkamah. BPR sedang menghubungi mereka hadir ke pejabat BPR Perak pada pagi Isnin untuk dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan masing-masing," katanya di sini, semalam.

Rabu lalu, lima individu termasuk Exco Pelancongan, Pembangunan Insan dan NGO negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering, Kapten (B) Osman Mohd Jailu dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota ditahan reman selama tiga hari oleh BPR, manakala seorang lagi iaitu Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perdagangan yang juga Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, ditahan keesokan harinya.

Semua yang terbabit ditahan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Sebelum ini, Ahmad Said berkata, pihaknya percaya mereka meminta suapan dalam bentuk wang ringgit dan ada juga yang meminta rasuah seks bagi mempercepatkan kelulusan projek perumahan itu.

Tindakan kerajaan Perak memberi tempoh 24 jam kepada BPR dan semua media cetak serta elektronik supaya membuat permohonan maaf terbuka, Ahmad Said berkata, perkara itu tidak timbul kerana dua Exco terbabit bersama tiga lelaki akan didakwa di mahkamah, hari ini.

"Kami tidak akan memohon maaf kerana BPR mempunyai cukup bukti, keterangan dan saksi untuk mendakwa mereka di mahkamah.

"Oleh itu, tidak timbul lagi soal ada pemimpin politik yang meminta BPR dan media memohon maaf terbuka berikutan laporan yang kononnya cuba mencemarkan nama baik dua Exco kerajaan Perak.

"Biar mahkamah membicarakan kes ini dan biar orang ramai menilai nanti kenapa BPR meneruskan tindakan terhadap mereka yang terbabit," katanya.

Ahmad Said berterima kasih kepada orang ramai dan media kerana sentiasa membantu BPR menangani gejala rasuah di negara ini selama ini.

Kerajaan Perak kelmarin memberi tempoh 24 jam kepada BPR dan semua media cetak dan elektronik untuk membuat permohonan maaf terbuka berikutan penyiaran laporan yang mencemarkan nama baik dua Exconya yang dikaitkan dakwaan rasuah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata jika gagal kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang meminta ganti rugi daripada pihak terbabit yang membuat dan menyiarkan laporan berkenaan.

Read More...

Masjid satukan Anwar-Arif


KLpos

Cetak E-mail
Oleh Bernama
Sabtu, 23 Ogos 2008

PP: Sejak kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh bermula 16 Ogos lepas, kedua-dua calon utama, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat, dan Datuk Arif Shah Omar Shah dari Barisan Nasional jarang bertembung.


Arif Shah Omar Shah (kiri) berbual dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Jamek Seberang Jaya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Namun hari ini kedua-duanya bertemu dan bersalaman di Masjid Jamek Seberang Jaya dekat sini kerana sama-sama menunaikan solat Jumaat di situ.

Jemaah yang menyedari kehadiran Anwar dan Arif Shah menunggu sehingga selepas selesai solat kerana ada ura-ura kononnya Anwar akan mengangkat sumpah laknat di masjid itu berhubung satu dakwaan liwat.

Ketika jemaah berasak-asak menghampiri Anwar, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang juga Pengerusi Hal Ehwal Agama Negeri bangun berucap tanpa menggunakan pembesar suara.

Ketika memulakan ucapan, Mohammad Fairus berkata, beliau tidak boleh menggunakan pembesar suara kerana tidak dibenarkan oleh pengurusan masjid.

Dalam ucapan selama lima minit itu, beliau mengingatkan jemaah supaya tidak terpengaruh dengan gejala fitnah terutama yang mengaitkan Anwar dengan isu liwat itu.

“Kita harus periksa kebenaran sebelum buat tuduhan,” katanya sebelum seorang anggota jawatankuasa pengurusan masjid itu muncul di hadapan Mohammad Fairus dan mengarahkannya menghentikan ucapan politiknya.

Ucapan itu turut didengari oleh Arif Shah dan beberapa pemimpin UMNO termasuk Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Read More...

AMK: BN alami sindrom 'Anwarphobia'

Malaysiakini

Aug 23, 08 1:35pm

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) melihat tindakan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi menurunkan harga minyak semalam sebagai satu usaha terdesak bagi meraih semula populariti di
kalangan rakyat.

Kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen kepada 2.55 sen seliter,manakala harga runcit petrol RON92 dikurangkan 22 sen kepada RM2.40 seliter, berkuatkuasa hari ini. Harga diesel turut diturunkan 8 sen kepada RM2.50 seliter.

shamsul iskandarKetuanya, Shamsul Iskandar mohd Akin berkata, AMK berpendapat ini adalah tindakan terdesak Abdullah setelah beliau menafikan sekeras-kerasnya sebelum ini bahawa tidak akan menurunkan harga
minyak sebelum 1 September 2008.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, AMK tidak menafikan sebarang usaha untuk menurunkan harga minyak adalah baik.

"Tetapi apakah cukup sekadar penurunan 15 sen bagi petrol dan 8 sen bagi diesel, sedangkan rakyat sudah semakin menderita dengan kekangan kos sara hidup yang semakin menggila dari hari ke hari.
"Penurunan pada kadar 6 peratus tidak memberi apa-apa signifikan langsung di sebalik penurunan harga mendadak harga minyak dunia yang kini dianggarkan pada kadar AS115 setong," tambahnya.

Shamsul berkata, penurunan itu langsung tidak membawa apa-apa kesan, di sebalik kadar inflasi sebanyak 8.5 peratus yang dilaporkan paling parah dalam tempoh 25 tahun, melalui perangkaan Kenanga
Investment Bank dan Bank Negara.

"AMK melihat, tindakan ini tidak lebih untuk tujuan mengaburi mata rakyat di sebalik tekad dan komitmen Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjanjikan penurunan 70 sen harga minyak sebaik sahaja Pakatan
Rakyat memerintah," katanya.

Tambahnya, 'lakonan' Umno-BN boleh diteruskan, tetapi rakyat tidak akan dapat terus dipermainkan di sebalik tekanan ekonomi yang sangat parah.

"Biar apapun usaha Umno-BN kini, rakyat perlu dimerdekakan ekonomi mereka dengan kepimpinan baru yang lebih progresif di bawah Pakatan Rakyat," tambahnya.

Read More...

Najib pula bersumpah di Permatang Pauh, tidak kenal Altantuya

Mstar Online

23-08-2008 03:08:09 AM
Oleh G. MANIMARAN

(Dikemas kini) PERMATANG PAUH: Ketika menghampiri hari pengundian kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh semakin rancak dengan perkembangan terbaru, Datuk Seri Najib Tun Razak bersumpah di Masjid Jamek Guar Perahu dekat sini malam tadi bahawa beliau tidak kenal dan tidak ada kaitan dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dengan perkembangan ini, beliau merupakan orang kedua bersumpah dalam tempoh seminggu ini, sekali gus menarik perhatian ramai.

Pada Jumaat lalu, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, melakukan sumpah di Masjid Wilayah Persekutuan berhubung isu dia diliwat.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata: "Walaupun ini bukan sumpah rasmi yang dibuat atas al-Quran.

"Dengan nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya tidak kenal dan tidak ada kaitan dengan perempuan Mongolia," kata beliau dipetik Bernama pada akhir ucapannya pada majlis penyampaian bantuan RM1.4 juta di Masjid Jamek Guar Perahu dekat sini.

Altantuya yang mati dibunuh pada 2006 di Puncak Alam, Selangor. Kes itu sedang dibicarakan di mahkamah dan telah memasuki peringkat penggulungan pihak pendakwaan.

Najib berkata: "Saya tidak tahu sama ada orang lain nak bersumpah atau tidak, tapi saya tahu saya tak buat salah. Ini antara saya dengan Tuhan."

Selain ucapan bersumpah itu, yang turut mengejutkan banyak pihak ialah ucapan Konsul Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman yang berucap kira-kira 10 minit ketika Najib turut melawat Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) di Guar Perahu.

Syed Abdul Rahman mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan penyiasat persendirian P. Balasubramaniam telah melakukan satu pembohongan besar.

"Saya kesal kerana mereka menyifatkan diri mereka sebagai orang yang lebih mengetahui kes ini.

"Anwar menipu kononnya telah berjumpa bapa Altantuya di Mongolia, dan ketika itu saya telah mengetahui Anwar akan datang ke situ, dan bawa bapa Altantuya (Dr. Shaariibuu Setev) ke Rusia," katanya.

Syed Abdul Rahman berkata: "Tiada siapa pun yang lebih tahu selain daripada saya, dan Anwar telah berbohong dengan pelbagai tuduhan terhadap Datuk Seri Najib."

Syed Abdul Rahman berkata, tujuannya turut serta dalam ceramah itu adalah untuk memperjelaskan kekeliruan yang berlaku kerana perbuatan Anwar boleh menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Mongolia, dan beliau telah diarahkan oleh Perdana Menteri Mongolia Sanjaa Bayar untuk membantu.

Syed Abdul Rahman berkata, beliau berasa bertanggungjawab untuk menjelaskan perkara itu kerana semakin beliau diam "rakyat makin keliru kerana pembohongan semakin menjadi-jadi dan saya rasa malu kerana nama pemimpin negara tak berkaitan dengan kes ini telah diburukkan oleh Anwar dan Raja Petra."

"Sangat-sangat memalukan apabila nama pemimpin negara kita diburukkan di luar negara seolah-olah terbabit dalam kes ini, dan disebabkan itulah saya terpaksa menjelaskan kepada orang ramai mengenai pembohongan yang berlaku," katanya.

Anwar pada setiap ceramah kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sering mengaitkan Najib dengan Altantuya, dan mendakwa Timbalan Perdana Menteri mempunyai hubungan dengan wanita Mongolia itu.

Ini bukan pertama kali Anwar menggunakan isu itu malah pada pilihan raya kecil Ijok pada April tahun lepas, beliau turut menjaja isu yang sama.

Pada 3 Julai lepas, Anwar telah mempengerusikan sidang akhbar mengenai akuan bersumpah Balasubramaniam bertarikh 1 Julai yang mendakwa Najib mempunyai hubungan dengan Altantuya, dan keesokkannya Balasubramaniam membuat akuan bersumpah kedua yang antara lain menarik balik tuduhannya itu.

Balasubramaniam, yang merupakan seorang saksi perbicaraan kes bunuh Altantuya, mendakwa semua tuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri dalam akuan bersumpah pertamanya itu adalah tidak tepat dan tidak benar, serta dibuat ketika dia dalam keadaan tertekan.

Sementara itu, Najib menyampaikan peruntukan itu untuk membaik pulih, menaik taraf dan membeli peralatan baru bagi lapan buah masjid dan 20 surau bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Penanti.

Read More...

Tidak perlu berlawan-lawan sumpah antara Saiful dan Anwar - Ustaz Abu Bakar Chik

Buletin Online

PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh SM Noor
Saturday, 23 August 2008


http://buletinonline.net/images/berita9/duabc.jpgKuala Nerus – PAS menegaskan tidak perlu berlawan-lawan sumpah diantara Saiful dan Anwar kerana kes antara mereka berdua adalah kes tuduhan diatas hukum hudud.“Mengikut pengamatan yang kita buat, maka kita mengatakan, bahawa tidak ada sebab untuk berlawan-lawan sumpah diantara Saiful Bukhari dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim,


“kerana kes ini adalah kes yang membabitkan tuduhan diatas perkara hudud atau pun kita sebut sebagai qazaf, tuduhan liwat keatas Anwar,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Ustaz Hj Abu Bakar Chik dalam ucapannya di majlis ceramah Palestin, di Pekan Batu Enam, dekat sini semalam.


Beliau berkata selama mana tuduhan ini (liwat) telah berlaku, ia hendaklah dibicarakan menurut mahkamah syariah ataupun perbicaraan menurut syarak.

”Tidak boleh kita nak katakan, kerana Saiful bersumpah, Anwar kena bersumpah, tidak boleh!,

“kerana hukum ini adalah hukum berkaitan dengan hudud dan ini memerlukan kepada perbicaraan,”tambah beliau lagi.

Menurutnya, tidak ada sebab mengapa perbicaraan tidak boleh dibuat berdasarkan (perbicaraan) Islam, dan sekiranya amalan sumpah ini menjadi ikutan, maka ramai orang lain yang membuat tuduhan akan bersumpah.


http://buletinonline.net/images/berita9/ceramahpalestin2.jpgJusteru katanya, sekiranya keadaan itu berlaku, ramai orang yang akan teraniaya dan keadilan Islam tidak dapat ditegakkan.


Sebelum itu, beliau berkata Islam sedang berkembang dengan pesat kerana dimana sahaja ada gerakan Islam dan dakwah Islam, pasti Islam akan subur dan berkembang.


“Gerakan Islam dan gerakan politik Islam akan sentiasa berusaha mencapai pemerintahan Islam.
”pemerintah yang berugama Islam, samada mereka membina kedudukan Islam dalam pemerintahan mereka atau mereka akan diketepikan oleh orang-orang Islam dan digantikan dengan pemerintahan Islam” katanya.


Mengulas kedudukan politik Malaysia sekarang ini, beliau berkata, sekiranya pemerintah yang tidak mahu kepada Islam, maka rakyat akan menukarkan kerajaan yang ada kepada kerajaan Islam.


Turut memberikan ucapan adalah Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah dan Dr. Muhammad Abu Soleh, tetamu dari Palestin yang menghadiri Muktamar PAS yang diadakan di Ipoh pada 15 Ogod lalu.

Read More...

Sumpah jadi mainan Umno di Permatang Pauh - Anwar

Harakahdaily

Mohd Zamirul Mohd Dzaki

Sun | Aug 24, 08 | 11:10:27 am MYT

PERMATANG PAUH, 24 Ogos (Hrkh) - Calon Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Anwar Ibrahim sudah mengagak sumpah akan menjadi bahan permainan kepimpinan Umno selepas sumpah Saiful Bukhari Azlan baru-baru ini.

"La ni tak payah ada hakim semua main sumpah saja, kalau macam tu pi mencuri, bunuh orang balik mai sumpah, imam pulak kena pakai imam Umno," katanya.

Tambah beliau lagi, Umno pada hari ini suka bermain dengan al-Quran dan tidak menghormati kesucian al-Quran tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak bersumpah di Masjid Guar Perahu semalam kononnya tidak mengenali wanita Mongolia, Antantuya apatah lagi terlibat dalam kompirasi membunuhnya.

Anwar sekali lagi mengulangi yang beliau sanggup bersumpah pada bila-bila masa seperti mana yang dituntut pihak Umno.

Tetapi beliau terpaksa tunduk kepada arahan ulama-ulama terkenal termasuk Yusof Al Qardawi yang melarang beliau bersumpah.

Katanya lagi, beliau telah dinasihatkan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang dan beberapa lagi ulama terkenal agar membawa kes itu ke mahkamah syariah.

Anwar berucap demikian dalam ceramahnya di Mengkuang Titi Permatang Pauh semalam.

Turut hadir dalam ceramah tersebut ialah Presiden Parti KeADILan Rakyat Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden Parti KeADILan Rakyat Azmin Ali dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang lain. - mns_

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |