+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 6, 2008

Harga petrol dijangka lebih murah

Berita Harian

Oleh Khirul Bahri Basaruddin


JOHOR BAHRU: Pengguna di negara ini dijangka dapat menikmati harga petrol biasa yang lebih rendah tidak lama lagi, berikutan cadangan kerajaan untuk menstruktur semula jenis petrol di pasaran dan pemberian lebih banyak subsidi bagi petrol biasa.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata perubahan harga petrol itu akan dibuat melalui kajian semula subsidi petrol yang berada di pasaran seperti petrol berplumbum dan tanpa plumbum RON 92 serta RON 97.

Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Selasa lalu sudah menimbangkan cadangan memansuhkan petrol RON 92 dan RON 97 untuk digantikan dengan petrol RON 95 dan RON 99.


Beliau berkata, ketika ini petrol RON 92 kebanyakannya digunakan oleh motosikal, manakala kenderaan lain menggunakan RON 97.

"Petrol RON 95 boleh digunakan pengguna berpendapatan rendah dan sederhana kerana ia bakal menggantikan RON 92 dan RON 97, manakala petrol RON 99 yang lebih mahal adalah sesuai untuk kenderaan mewah dan pengguna yang mementingkan kuasa pemanduan serta prestasi.

"Mengikut sistem baru itu, kerajaan akan memberi lebih subsidi bagi petrol RON 95. Matlamatnya ialah membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana, manakala bagi mereka yang berpendapatan mewah boleh memilih sama ada menggunakan petrol biasa atau berkuasa tinggi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas Perhubungan Umno Johor, di sini semalam.

Shahrir berkata, kerajaan dijangka dapat menjimatkan peruntukan perbelanjaan dengan memberi sebahagian besar subsidi kepada petrol jenis RON 95, berbanding sebelum ini subsidi yang sama diberikan untuk kedua-dua jenis petrol iaitu RON 92 dan RON 97.

"Mereka yang menggunakan petrol RON 99 juga akan mendapat subsidi, tetapi jumlahnya sedikit," katanya.

Beliau berkata, mutu petrol RON 95 lebih rendah berbanding RON 97, tetapi ia boleh digunakan oleh kebanyakan kenderaan di negara ini. Kebanyakan negara di Asia dan Eropah kini sudah menggunakan petrol jenis RON 95.

"Melalui cadangan sistem baru ini, kita bukan saja menukar cara menyenaraikan harga petrol, tetapi juga membantu mengurangkan beban kepada golongan berpendapatan rendah serta sederhana.

"Golongan kaya juga boleh menggunakan RON 95 bagi kenderaan seperti Mercedes Benz, BMW dan kenderaan mewah lain, tetapi mereka tidak mendapat manfaat seperti penggunaan petrol RON 99," katanya.

Januari lalu, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, dilaporkan berkata kerajaan terpaksa mengeluarkan RM35 bilion untuk subsidi harga diesel, petrol RON 92 dan RON 97, jika harga minyak mentah naik AS$100 satu tong di pasaran dunia.

Pada masa ini, petrol RON 92 dijual pada harga RM1.88 seliter di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, manakala RON 97 berharga RM1.92 seliter di Semenanjung, berbanding RM1.90 sen di Sabah dan RM1.91 di Sarawak.

Read More...

Jangka hayat Umno/BN hampir tiba, Anwar sudah sedia jadi PM

Harakahdaily

Mohd Rashidi Hassan

Sun | Apr 06, 08 | 1:32:10 pm MYT

Ada banyak ramalan bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia tidak lama lagi, hingga ada yang meramalkan enam bulan dari tarikh 8 Mac 2008.

Jika Anwar hendak menjadi PM, beliau mestilah menjadi Ahli Parlimen (MP) yang menang dalam pilihan raya Parlimen.

Tetapi Pilihan Raya Umum ke-12 dipercepatkan, sedangkan Anwar hanya layak bertanding pada bulan April 2008.

Jika hendak ditunggu PRU ke-13, barangkali tahun 2012 atau 2013, agak terlalu lama.

Pada masa itu belum tentu, keputusan sebaik PRU ke-12, 8 Mac lepas boleh berulang kembali.

Mungkin juga boleh mencatatkan keputusan yang lebih baik buat gabungan Pakatan Rakyat.

Apapun menunggu empat atau lima tahun terlalu lama buat Anwar. Tiada jalan lain untuk beliau melainkan bertanding pada pilihan raya kecil.

Pilihan raya boleh diadakan hanya melalui tiga opsyen, iaitu jika Parlimen dibubarkan, anggota Parlimen meletak jawatan (sama ada hilang kelayakan atau tidak berminat menjadi wakil rakyat) dan jika terdapat anggota Parlimen meninggal dunia.

Parlimen hanya boleh dibubarkan jika kerajaan tamat tempoh pemerintahan (setiap lima tahun), atau PM membubarkannya untuk mendapat mandat baru atau berlaku sesuatu krisis yang memaksa ia dibubarkan.

Dalam keadaan sekarang tidak nampak tanda-tanda Parlimen akan dibubarkan.

Manakala opsyen kedua, soal hidup dengan mati, ia adalah ketentuan Allah. Tiada orang tergamak mengharapkan seseorang Ahli Parlimen cepat meninggal dunia semata-mata untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim.

Maka opsyen hanya ada pada Anwar ialah menanti seseorang Ahli Parlimen meletak jawatan atau hilang kelayakan atas sebab-sebab tertentu.

Jika pun terdapat petisyen untuk membatalkan kemenangan mana-mana MP, proses mahkamah sudah tentu akan memakan masa.

BN sudah tentu akan berusaha menghalang Anwar bertanding dan masuk ke Parlimen. Maka melengah-lengahkan proses perundangan merupakan jalan terbaik untuk menghalang Anwar.

Pilihan yang ada dalam waktu yang terdekat ini hanyalah dengan perletakan jawatan Ahli Parlimen.

Timbul ura-ura bahawa isteri beliau Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah akan mengosongkan kerusi Permatang Pauh atau Lembah Pantai.

Namun kedua-dua kemungkinan tersebut dinafikan Anwar.

KeADILan mempunyai 31 kerusi Parlimen, sebagai Ketua De Facto Anwar boleh bertanding di mana-mana sahaja kawasan yang beliau mahu.

Namun pilihan yang utama, ada di dua kawasan kerana Ahli Parlimen kawasan tersebut turut menang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri.

Dua kerusi itu adalah Bandar Tun Razak yang diwakili oleh Tan Sri Khalid Ibrahim yang turut memenangi kerusi Dun Ijok. Manakala Naib Presiden KeADILan, Mohamed Azmin Ali menang di Parlimen Gombak dan Dun Bukit Antarabangsa.

Justeru jika jalan hendak dibuka kepada Anwar, Khalid atau Azmin harus meletakkan jawatan sebagai MP. Jika benar KeADILan mahukan Anwar masuk ke Parlimen, mana-mana MPnya harus sedia berkorban.

Dan jika diberi pilihan antara Bandar Tun Razak atau Gombak. Apapun, dalam keadaan sekarang ada pandangan mengatakan Khalid lebih wajar memberi laluan kepada Anwar peranannya lebih besar di Selangor sebagai Menteri Besar.

Apapun keputusannya adalah di tangan Anwar. Tunggu sahaja tarikh akhir Anwar boleh bertanding dengan bebas 14 April ini. Barangkali ada kejutan yang akan berlaku.

Anwar tidak ada jalan lain jika hendak menjadi PM. Itu sahaja opsyen yang terbaik buat beliau ketika ini.

Jalan ke jambatan PM

Suatu ketika tidak lama dahulu ramai yang beranggapan, jika Anwar hendak menjadi PM, beliau tidak ada cara lain, selain menyertai Umno.

Maka kadang-kadang kedengaran suara tegas Majlis Tertinggi Umno, membuat keputusan berulang kali, bahawa Anwar tidak akan diterima masuk kembali.

Seolah-olahnya hukuman yang dijatuhkan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) pada 2 dan 3 September 1998, menutup terus pintu Umno/BN buat Anwar.

Suara-suara menolak Anwar masuk Umno dicanang mereka sepanjang Anwar di penjara selama 6 tahun, selepas PRU 1999, pada ketika Anwar bebas tahun 2004 dan sehingga sebelum PRU 2008.

Entah mengapa kelibat Anwar begitu ditakuti. Barangkali pemimpin Umno menyedari masih ramai 'orang-orang Anwar' dalam Umno.

Hubungan yang baik antara Anwar dengan sesetengah pemimpin Umno, juga dianggap membahayakan pihak-pihak tertentu dalam parti itu.

Apapun Anwar terpaksa berulang kali menafikan beliau mahu memasuki Umno. Lebih jelas boleh diperkatakan bahawa Anwar tidak 'kelapaq' (istilah orang utara).

Sebenarnya kini, anggapan bahawa jambatan untuk menjadi PM hanya melalui Umno sudah tidak wujud.

PRU ke 12 membuktikan BN dan Umno khususnya sudah tidak relevan.

Kekuatan Anwar dari sudut politik

Walaupun sudah berkuasa sejak merdeka, Umno/BN bukan parti keramat. Pemimpinnya banyak kelemahan dan banyak kesilapan.

Jika dahulu, tiada pakatan komponen parti sebaik BN, tetapi kini kehebatan dan kekuatan BN sudah musnah.

Masalah besar kepada BN ialah kerana kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi gagal memelihara keutuhan perpaduan parti komponen BN.

Abdullah gagal mengimbangi tekanan politik agama, politik kenegerian dan politik perkauman dalam BN.

Maka timbul keberanian 9 menteri bukan Islam menghantar memo kepada PM, Sarawak dan Sabah mengemukakan pelbagai tuntutan, pemimpin Umno menghunuskan keris sehingga mengguriskan perasaan komponen lain.

Menteri dan Menteri Besar dari kalangan Umno bercakaran sesama sendiri secara terbuka.

MCA-Gerakan-MIC dan PPP, selain mengemukakan pelbagai tuntutan untuk kepentingan politik, kaum masing-masing, sering berbalah sesama sendiri.

Semua ini gagal dikawal dan ia menghasilkan natijah yang amat buruk kepada BN. Keyakinan rakyat terhadap kemampuan pemimpin BN sudah pudar.

Hakikat yang ditunjukkan dalam krisis dalaman BN menunjukkan kepimpinan Abdullah Badawi dilihat gagal memelihara 'kepentingan dan perasaan' semua kaum.

PRU 8 Mac menunjukkan rakyat sudah sedia berubah. Segala adu domba yang memperlekehkan parti-parti pembangkang ditolak. Usaha melaga-lagakan PAS, KeADILan dan DAP menemui jalan buntu.

Malah, segala propaganda jahat media-media pro BN, mengecam dan menghentam keperibadian Anwar gagal 'membeli' minda rakyat.

Jelas rakyat menerima Anwar serta pakatan PAS-KeADILan-DAP, walaupun ada perbezaan yang besar antara ketiga-tiga parti tersebut dalam hal-hal tertentu.

Mari sertai Pakatan Rakyat

Apapun signal yang ditunjukkan rakyat menyedarkan pemimpin-pemimpin bahawa rakyat mahu mereka bekerjasama dalam pakatan yang lebih erat.

Anwar adalah harapan baru rakyat Malaysia. Apa pun tuduhan terhadap Anwar, beliau adalah satu-satunya pemimpin yang diterima rakyat dari pelbagai keturunan, kaum dan agama.

Tidak keterlaluan untuk diakui setakat ini, secara realistiknya hanya Anwar sahaja boleh menyatu padukan rakyat dari kalangan pelbagai kaum dan agama.

Maka dengan itu PAS, KeADILan dan DAP sudah menguasai lima negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, sudah membentuk Pakatan Rakyat.

Soal mekanisme, bagaimana Pakatan Rakyat hendak menyusun dasar-dasarnya akan ditentukan kemudian. Apapun pemimpin parti Pakatan Rakyat tetap terikat dengan kehendak rakyat yang memberi mandat kepada mereka.

Ia juga merupakan vehicle terbaik buat Anwar untuk menjadi PM, sekali gus memperbaiki kepincangan politik dalam negara.

Pakatan dibuat dengan penyertaan Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang sudah beberapa kali duduk semeja dalam mesyuarat yang dipengerusikan Anwar.

Keputusan PRU 1999, 2004 dan 2008 jelas menunjukkan majoriti orang Melayu menolak Umno. Jika Umno tidak dirombak, nescaya parti itu akan terus merudum.

Keputusan PRU 2008 juga memberi isyarat kepada MCA, Gerakan, MIC dan PPP bahawa politik segmentasi dan perkauman mereka ditolak rakyat.

Maka menyedari kehendak rakyat dan keupayaan Anwar untuk menyatu padukan kaum, menstabilkan politik negara dan mengembalikan landasan pemerintahan ke jalan yang betul, pemimpin-pemimpin parti politik harus menimbangkan untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Bagi Sarawak dan Sabah, keberlangsungan dan efektifnya perjalanan pentadbiran negeri banyak bergantung kepada kerajaan Pusat.

Jika Anwar jadi PM, hubungan KL dan Malaysia Timur dijangka tidak akan wujud sebarang masalah kerana dari dahulu Anwar mempunyai hubungan baik dengan pemimpin negeri berkenaan.

Kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai Umno, kebanyakannya tidak stabil dari segi ekonomi dan bergantung kepada Kerajaan Pusat.

Jika Anwar menjadi PM, mereka tidak ada pilihan. Mereka harus bersedia bergabung dengan Anwar.

Bagi MCA, Gerakan, MIC dan PPP, mereka harus menyedari trend rakyat sekarang. Mereka tidak boleh berlawan dengan arus, jika mereka tersilap langkah, mereka akan terus ditolak dan terkubur.

Jalan terbaik ialah dengan menurut kehendak rakyat. Jalan terbaik sekarang ialah menyertai Pakatan Rakyat, bersama-sama menstabilkan politik dan ekonomi negara.

Ong Ka Ting, Koh Tsu Koon, Samy Vellu dan M Kayveas harus ada second thought bahawa BN bukan segala-galanya.

Pilihan untuk bergabung dengan Pakatan Rakyat sentiasa terbuka. Fikir dan buat keputusan segera sebelum rakyat terus menghukum mereka.

Jika ini berlaku, tidak mustahil dalam tempoh enam bulan hingga dua tahun, Kerajaan Pusat yang baru akan dibentuk, PM yang baru akan dilantik.- mns/ mr

Read More...

Kritikan Terhadap Kepimpinan Umno Tidak Akan Hancurkan Parti - Tun Dr Mahathir

Bernama

LANGKAWI, 6 April (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kritikannya terhadap kepimpinan Umno tidak akan menghancurkan parti sebaliknya akan menjadikannya lebih kukuh.

"Terpulang kepada mereka hendak mendengar atau sebaliknya," katanya selepas majlis tahlil untuk allahyarham kakaknya Habsah Mohamad di Surau Ibrahim Mi, Kampung Ranggut Padang Matsirat di sini Sabtu malam.

Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan beberapa menteri kabinet yang juga pemimpin Umno yang menegur beliau supaya jangan keterlaluan mengkritik kepimpinan parti ekoran pencapaian buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lepas.

Antara mereka ialah Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anggota Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib.

Ketika berucap sebelum itu, Dr Mahathir meminta umat Islam Malaysia supaya bersyukur kerana rakyat dapat hidup aman damai tanpa berlaku perbalahan walaupun mempunyai perbezaan fahaman politik.

Beliau yakin Malaysia akan terus aman yang membolehkan rakyat hidup bahagia tanpa sebarang gangguan.

-- BERNAMA

Read More...

'Jangan ugut kerajaan' - Pak Lah

Berita Harian

Oleh Magendran Rajagopal


TERTARIK: Abdullah dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah melihat Sanatia Samsir menenun songket ketika melawat Pameran Hari Kraf Kebangsaan 2008 di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, semalam.

PM mahu isu tuntutan Cuepacs diselesai menerusi rundingan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Cuepacs tidak menggunakan pendekatan mendesak, mengugut dan menggertak bagi memenuhi lima tuntutannya terhadap kerajaan, termasuk bayaran honorarium 2007 sebanyak RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan kerajaan.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata isu itu lebih elok diselesaikan menerusi perbincangan kerana sudah menjadi tradisi bagi kerajaan dan kesatuan sekerja mengutamakan rundingan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.


Beliau juga mahu Cuepacs memikirkan semula hasratnya memulaukan sambutan Hari Pekerja yang dianjurkan Kementerian Sumber Manusia pada 3 Mei dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 29 Mei depan kerana acara itu bagi meraikan sumbangan kakitangan awam dan swasta kepada negara.

"Saya harap mereka tak guna pendekatan nak mendesak atau membuat ugutan boikot. Sejak dulu lagi kita bekerjasama, berbincang bagi menyelesaikan sebarang masalah. Mungkin kali ini ambil masa lama kerana perlu ambil kira banyak perkara, umpamanya kemampuan kewangan negara.

"Tahun sudah pun kita beri kenaikan gaji tertinggi. Kalau kita nak ambil kira bagi honorarium atau bonus, mungkin kenaikan gaji kita kurangkan, tak payah bagi 40 peratus, bagi 30, 20 atau 15 peratus sudahlah. Selepas itu bila (Cuepacs) minta, kita boleh bagi honorarium atau bonus.

"Tapi ini bukan caranya. Kalau ikutkan saya, kenaikan gaji sebesar itu sudah lama tidak diberi. Gaji tinggi bermakna pencen lebih besar dan bermanfaat pada hari tua," katanya pada sidang media selepas melawat pameran kraf tangan sempena Hari Kraf Kebangsaan, di sini semalam. Turut hadir Datin Seri Jeanne Abdullah.

Pameran anjuran Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang diadakan di galeri Kraftangan Malaysia di Jalan Conlay antara jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari itu bermula 28 Mac lalu dan akan berakhir esok.

Rabu lalu, Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata kesatuan itu akan memulaukan dua majlis peringkat kebangsaan yang dijadual turut dihadiri Perdana Menteri jika kerajaan gagal memberi kata putus berhubung lima tuntutan mereka sebelum 29 April ini.

Selain bayaran honorarium RM2,000, empat lagi tuntutan Cuepacs ialah kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan daripada RM180 sebulan kepada RM230, penambahbaikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), mengembalikan elaun kritikal bagi Kumpulan Sokongan Dua yang ditarik balik Februari lalu dan melanjutkan umur persaraan wajib daripada 55 tahun kepada 60 tahun.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan memboikot itu adalah keputusan yang diambil dalam mesyuarat bersama 120 kesatuan yang bergabung di bawah kesatuan berkenaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, dijadualkan menemui Cuepacs 14 April ini bagi membincangkan membicarakan isu yang dibangkitkan kesatuan terbabit.

Abdullah berkata, kesatuan terbabit juga perlu mengambil kira insentif yang diberi kerajaan seperti kenaikan 100 peratus Bantuan Sara Hidup, selain kenaikan gaji sehingga 40 peratus berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Bagaimanapun, beliau menyatakan kesediaan untuk menemui Cuepacs untuk berbincang lebih lanjut mengenai semua isu berbangkit apabila tiba masa sesuai, malah Jabatan Perdana Menteri juga ada membuat kajian terhadap semua tuntutan yang dikemukakan.

Ditanya mengenai tiga jawatan Timbalan Menteri yang masih belum diisi, Abdullah berkata calonnya akan diumumkan minggu depan selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman menolak pelantikan sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan enggan menerima jawatan Timbalan Menteri Luar, manakala Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh pula meletak jawatan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Abdullah turut ditanya sama ada beliau berhasrat untuk bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi meredakan keadaan berikutan pergolakan yang berlaku dalam Umno selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

"Tengoklah," jawabnya.

Read More...

Pakatan Rakyat perlu rangka strategi tawan luar bandar

Harakahdaily

Basiron Abdul Wahab

Wed | Apr 02, 08 | 11:05:04 am MYT


Secara keseluruhannya prestasi PAS dan BA Pahang dalam pilihan raya umum ke�12 ini lebih baik berbanding pilihan umum ke-11 (2004) tetapi gagal menyamai rekod kejayaan dalam pilihan raya umum ke-10 (1999).

Pada pilihan raya umum kali ini, PAS memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) daripada 15 kerusi sasaran. Dalam pilihan raya ke-10 (1999), PAS menang enam kerusi Dun.

PAS bertanding 22 kerusi Dun, Keadilan (13) dan DAP (7). Bagi kerusi parlimen PAS bertanding di enam kerusi, KeADILan (6) dan DAP (2). KeADILan menang di dua kerusi Parlimen manakala PAS dan DAP gagal memenangi sebarang kerusi. DAP bagaimanapun menang di dua kerusi Dun, Tras di Raub dan Triang di Bera.

Dua kerusi Dun yang dimenangi PAS adalah Beserah di Inderamahkota dan Kuala Semantan di Temerloh. Beserah di wakili Syed Mohammed Tuan Lonnik manakala Syed Hamid Mohamad mewakli PAS di Kuala Semantan.

Dalam pilihan raya kali ini PAS mensasarkan matlamat untuk menjadi pembangkang yang kuat dan menafikan majoriti 2/3 BN. Antara strategi yang digunakan pembangkang adalah memastikan perlawanan satu lawan satu dengan BN. Kejayaan stategi pakatan pembangkang kali ini nampak berkesan apabila tidak berlaku pertandingan tiga penjuru di semua kerusi pilihan raya.

Pertandingan tiga penjuru hanya membabitkan calon Bebas di empat kawasan Dun iaitu Dong, Tanah Rata, Damak dan Mentakab. Bagaimanapun hanya calon bebas Dun Tanah Rata, Ho Yip Kap menang mengalahkan calon BN, Chai Kok Lim dan Go Mong Nging (DAP) dengan majoriti 575 manakala tiga lagi calon bebas tewas.

perubahan mood

Pilihan raya umum kali ini menyaksikan perubahan mood pengundi bukan Melayu di bandar seperti Kuantan yang memberi sokongan kepada pembangkang berbanding pilihan raya sebelumnya. Fenomena ini menyebabkan calon KeADILan bagi kawasan Parlimen Kuantan, Fauziah Salleh dan Azan Ismail (Inderamahkota) menang.

Dengan sokongan daripada pengundi tradisional Melayu di kedua-dua kawasan Parlimen itu ditambah dengan undi kaum Cina membolehkan calon KeADILan menang dengan majoriti lebih 1000. Fauziah menang dengan majoriti 1836 mengalahkan Fu Ah Kau manakala Azan menang dengan majoriti 1027 undi mengalahkan Salomon Ali Rizal Abdul.

Parlimen Kuantan dan Inderamahkota mempunyai jumlah penduduk Cina di antara 25-35 peratus.

Bagaimanapun kemenangan KeADILan di Parlimen Kuantan turut dibantu faktor balas dendam daripada penyokong Ti Tian Ker, bekas Adun Teruntum yang disingkirkan.

Ini dapat dilihat apabila calon KeADILan Teruntum, Siew Fook Chan tewas kepada Chang Hong Siong (BN) dengan majoriti kecil 293 undi. Lian Ker pada 2004 menang dengan majoriti 8,362 undi.

Adalah jelas masyarakat bandar (Melayu/Cina) cenderung membuat perubahan dengan menyokong pembangkang tetapi masyarakat Melayu di kawasan luar bandar serta mendiami kawasan miskin masih menjadi penyokong setia BN.

Buktinya BN utuh di kawasan majoriti penduduk Melayu luar bandar seperti Tahan (96%), Pulau Tawar (98%), Muazam (93%) dan Tioman (90%); Jengka (97%), Inderapura (93.54%), Chenur (98.02%), Muazam Shah (93%), Pulau Manis (93%), Peramu jaya (93%) dan Cini (96%).

Di kawasan bandar memperlihatkan kecenderungan pengundi (Melayu dan Cina) untuk menyokong calon BA dan DAP. Ini memberi kemenangan kepada PAS di Beserah dan Kuala Semantan. Kedua-dua kerusi tersebut berada di kawasan bandar dengan jumlah pengundi bukan Melayu diantara 18-20 peratus. Beserah mempunyai (72%) penduduk Melayu manakala Kuala Semantan (77%).

Najib tabur janji

Bagi kawasan yang mempunyai penempatan Felda seperti Dun Jengka, Guai, Kuala Sentul dan Kemayan, kecenderungan peneroka menyokong BN disebabkan janji yang ditabur Timbalan Presiden Umno, Dato� Seri Najib Razak.

Antara janji yang ditabur Najib termasuklah skim Takaful, pinjaman membaiki rumah, skim perumahan untuk generasi kedua dan sebagainya. Janji-janji itu walaupun hanya mengulangi janji-janji lama tetapi sudah cukup menarik hati peneroka menyokong BN, kini dan selamanya.

Kesimpulannya, PAS dan BA perlu mempertingkatkan usaha ke arah meningkatkan penghayatan Islam dan kefahaman politik kepada penduduk terutama kepada penduduk luar bandar supaya mereka mempunyai kesedaran politik yang tinggi. Dengan kefahaman dan kesedaran politik, mereka tidak mudah termakan dengan janji dan propaganda media yang dikuasai Umno dan BN. - tajdid

Read More...

Pensyarah UM ingatkan BN jangan sekat blog dan bloggers

Harakahdaily

Tarmizi Mohd Jam

Sun | Apr 06, 08 | 11:10:41 am MYT


WALAUPUN saya antara pelajar yang kurang senang dengan Dr Abu Hassan Hasbullah waktu itu, tetapi saya tidak dapat membungkus rasa kagum penyampaiannya serta keletah bicaranya di mana-mana.

Sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Media, Abu Hassan yang sebaya saya, adalah seorang yang tegas dan "celupar" bila berdepan dengan pelajarnya termasuklah saya.

Itu adalah sikapnya. Dia berani dan berketrampilan. Dia tenaga pengajar kami untuk subjek Retorik, salah satu pendedahan dalam Pengajian Media, di Universiti Malaya hingga kini.

Dua hari lalu, Abu Hassan mengingatkan kerajaan agar tidak mengenakan sekatan ke atas blog tetapi perlu bersikap terbuka terhadap laman tersebut. Saya betul-betul memuji ketelusannya, mengingatkan kerajaan dalam perkara ini.

Ini kerana jarang kakitangan kerajaan di IPTA bersikap profesional dalam isu-isu berkaitan politik pemerintah. Abu Hassan antara mereka yang dilihat berani.

Bukan sahaja lantang mengkritik pada Rancangan RTM "Fenomena Seni" terbitan Norsham Noor tetapi terbukti berani bertindak demikian di luar kepompong itu.

Hujah Abu Hassan, satu gelombang besar politik mungkin akan berlaku sekiranya sekatan dikenakan ke atas laman-laman blog yang wujud pada masa ini.

Maknanya, BN akan terus menerima padah jika laman-laman blog ini disekat dengan apa-apa cara dan peraturan.

"Kemunculan blog ini merupakan satu perubahan budaya baru dalam bidang media yang berlaku di seluruh dunia yang tidak dapat dielak.

"Sekiranya ia disekat, maka akan menimbulkan ketidakpuasan dan mungkin akan membawa kesan yang dahsyat kepada para pemimpin," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Abu Hassan mengingatkan perkara ini ketika mengulas mengenai satu kajian yang menunjukkan terdapat hampir 500,000 blog yang aktif dalam negara.

Saya percaya, Abu Hassan sekalipun datang dari Kelantan, dia bukanlah ahli PAS tetapi dia bercakap dengan ilmunya sebagai tenaga pengajar profesional di sebuah IPTA di negara ini.

Kepercayaan Abu Hassan ialah kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya baru-baru ini dianggap sebahagian besarnya disebabkan pendapat beberapa pemimpin yang berhasrat untuk menyekat laman-laman blog itu.

"Kita harus bersikap terbuka dan biarkan masyarakat yang menilaikannya. Tindakan mengenakan kawalan ke atasnya hanya akan membawa kepada keburukan yang tidak diingini.

"Sekiranya pengendali blog terbabit hanya memaparkan sesuatu yang tidak betul atau sesuatu yang berunsur fitnah, maka mereka lambat-laun akan tenggelam kerana tidak dapat meraih kepercayaan daripada orang ramai," ujarnya.

Pada pandangan saya, penegasan Abu hassan agar penulis blog mesti dididik dengan etika yang sangat tinggi dalam menulis atau mengendalikan laman blog masing-masing, patut dihormati.

Memang benar, blog bukan satu saluran yang boleh digunakan sewenang-wenangnya demi sesuatu tujuan.

Tetapi pada masa ini, saya melihat, masih banyak blog yang menyiarkan pendapat atau tulisan caca merba, tiada nama penulis atau menggunakan pelbagai nama pena yang mencurigakan hingga sukar disahkan kebenaran sesuatu maklumat yang diterbitkan.

"Tiada kebaikan kepada mereka sekiranya memaparkan sesuatu dengan tujuan menjatuhkan mana-mana pihak. Mereka juga akan terima padah akhirnya akibat perbuatan mereka itu," jelasnya.

Read More...

ANGKUH: Nazri TIDAK GENTAR 82 Ahli Parlimen PEMBANGKANG!

Sanggahtosago

By TARMIZI MOHD JAM


SEPERTI yang saya sebut sebelum ini, Nazri Tan Sri Aziz tidak akan undur dan meletakkan jawatan. Sebab utamanya kerana dia degil dan sentiasa bertindak angkuh teruatama bila berdepan musuhnya.

Selain menjadikan Tun Mahathir musuh yang dibelasahnya, baginya pakatan pembangkang suatu yang tidak perlu dihormati. Lihatlah dalam kebanyakan perbahasan di Parlimen, bagaimana pembangkang diherdik dan diratahnya.

Suasana kali ini sudah jauh berlainan. Ahli Parlimen Pakatan Rakyat semkain ramai dan kuat-kuat belaka.

Namun, sebagai orang yang degil dang angkuh, Nazri tetap mendakwa BN tidak gentar dengan kehadiran 82 pembangkang pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 30 April ini.

Kata Nazri penyokong kerajaan juga tidak tertekan dengan kembalinya beberapa pemimpin pembangkang yang terkenal dengan bersuara lantang. Maksudnya, itu memang kerja mereka, membangkang!

Sudah menjadi tugas pembangkang untuk membantah setiap cadangan yang dibuat kerajaan setiap kali berlangsungnya sidang Dewan Rakyat malah ahli Parlimen BN juga sudah biasa dengan keadaan itu.

Itulah persepsi dan lambang keangkuhan Nazri. Kecetekkan ilmunya terbukti apabila beliau menyebut "sudah menjadi tugas pembangkang untuk membantah setiap cadangan yang dibuat kerajaan".

Walhal, pembangkang dengan jelas akan membangkang jika cadangan BN tidak menyebelahi rakyat. Bukan kerana membangkang sebagai tugas pembangkang, seperti yang diketahui Nazri.

‘‘Saya tidak melihat persidangan Parlimen kali ini akan menarik walaupun terdapat seramai 82 anggota pembangkang.

‘‘Biasalah... jika ada persidangan Dewan Rakyat maka tugas pembangkang untuk membangkang kerajaan manakala kita sebagai anggota BN akan menjadi benteng kepada kerajaan dan menjawab setiap kritikan pembangkang,’’ katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 31 kerusi, DAP (28) dan Pas (23), menjadikan pakatan pembangkang secara keseluruhan memenangi 82 kerusi.

Ini sekali gus menjadikan BN menang dengan majoriti mudah iaitu sebanyak 140 kerusi di Parlimen.

Sekalipun Nazri cuba menyembunyikan rasa gentar dan takutnya dengan kemaraan pembangkang ke Parlimen kali ini, namun sebagai orang politik yang angkuh, beliau tetap berpendirian, jumlah 82 ahli Parlimen Pakatan Rakyat itu tidak memberi kudis kepada BN.

Para pemerhati politik melihat, Nazri masih tidak menghayati signal rakyat pada pilihan raya lalu. Ungkapan angkuh dan sifat meninggi dirinya itu, terus menjadi pakaiannya ketika sebelum pilihan raya dulu hinggalah kini.

Barangkali, pada kali ini, Nazri patut diajar oleh Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat. Tundukkan kedegilannya dan ranapkan keangkuhannya. Biar dia tahu, dia bersikap angkuh dan bermulut celupar - tanda tidak menghormati rakyat.

Read More...

Sensasi: Ustaz Akhil Dan Waheeda Sudah Berkahwin !!

5 April 2008 Dalam kita sibuk membicarakan hal-hal politik, ramai juga dikalangan penyokong pakatan rakyat yang sebenarnya tercari-cari kemana hilangnya kelibat penceramah tersohor Ustaz Akhil Hayy. Kabaran yang diterima mengatakan yang beliau sudah tidak bergerak aktif lagi dalam politik, dan kini lebih berperanan untuk mendidik generasi muda menerusi medium lamanya pula iaitu saluran TV. Sememangnya kita amat terharu pabila tidak dapat lagi melihat kemunculan beliau dimana-mana ceramah PAS terutamanya. Ustaz Akhil yang dulunya merupakan bekas penyanyi kumpulan "Rock Kapak 80an", sememangnya amat sinonim dengan para penyokong pembangkang selama ini.

Beliau yang gemar berceramah sambil diselang-seli dengan alunan irama nasyid, zikir dan ayat-ayat Al-Quran yang pastinya meruntun jiwa setiap pendengar sama ada golongan tua, dewasa mahupun kanak-kanak. Beliau yang berasal dari Gopeng, Perak atau "Gopenghagen" katanya setiap kali berceramah, sememangnya merupakan salah seorang penceramah popular PAS sejak sekian lama . Bagai tidak kering gusi melihat kepetahan dan kelantangan Ustaz Akhil ini dulu. Beliau juga sering muncul dalam ceramah-ceramah motivasi jabatan kerajaan dan swasta turut digemari oleh golongan korporat biarpun mereka tahu asal-usul beliau dulu.

Namun, kini kelibat Ustaz Akhil kian hilang. Bukan tidak ada, tetapi semakin kurang. Jika ada pun beliau dikatakan hanya dapat memenuhi ceramah-ceramah yang diadakan disekitar Lembah Kelang semata-mata atau di negeri kelahiranya. Apakah Ustaz Akhil kini telah berubah haluannya?. Ramai peminat beliau tertanya-tanya dan ternanti-nanti akan berita beliau. Ada yang kecewa, kerana nama beliau tidak dicalonkan sebagai calon PAS di Perak dalam pilihanraya umum yang lalu. Jika tidak, sudah pasti Ustaz Akhil akan bergelar Yang Berhormat sekarang. Tambahan pula Perak kini telah diperintah oleh Pakatan Rakyat. Ramai yang beranggapan, jika Ustaz Akhil diberi peluang bertanding bari-baru ini maka sudah pasti beliau akan menang dengan majoriti yang banyak. Namun segalanya sudah berakhir. Ustaz Akhir masih juga tidak muncul-muncul di pentas politik tanahair, sehebat, sepanas seperti dulu.

Risik-risik punya risik, maka sedarlah kita bahawa Ustaz Akhil kini semakin sibuk dan "popular" kembali setelah menyertai rangkaian Islamik di Astro. Beliau bukan sahaja banyak terlibat dalam program-program tazkirah, temubual dan forum malahan juga turut mempunyai rancangannya sendiri iaitu Cafe Akhil Hayy 2 yang sering disiarkan di saluran Astro Oasis. Ini bermakna, biarpun kelibatnya sudah jarang dapat dilihat di pentas ceramah pembangkang, namun para peminatnya masih boleh melihat beliau dikaca TV. Seingat Cucu pada cuti umum maal Hijrah lalu, beliau juga telah muncul di saluran TV3 untuk rancangan "Hijrahnya Akhil" iaitu sebuah rancangan yang memaparkan tentang kisah suka duka dan penghijrahan beliau dari zaman jahiliahnya dulu. Pendek kata rancangan tersebut telah menarik perhatian ramai peminat, namun mungkin ada juga dikalangan penyokong pembangkang terutamanya dari PAS yang tidak perasan rancangan tersebut akibat tidak berminat menonton saluran TV3. Begitu juga dengan Astro agaknya. Maka itulah ramai peminat Ustaz Akhil yang terlalu merindui kelunakan suaranya dipentas ceramah pembangkang.

Soalnya, apakah Ustaz Akhil akan kembali?. Maksudnya kembali di pentas ceramah seperti dulu. Melihat kepada jadual harian dan aktiviti beliau pada masa ini, maka harapan kita untuk melihat beliau lantang mengkritik kerajaan seperti dulu mungkin sukar. Biarpun kini beliau berjuang menerusi wadah dan landasan baru, namun kita amat berharap dan senantiasa menanti kembalinya Ustaz Akhil di pentas ceramah terbuka. Namun, mungkin semua ini tidak dapat dilaksanakan kerna beliau juga terikat dengan kontrak bersama Astro. Mana mungkin Astro akan membenarkan selebriti mereka berada di atas pentas parti pembangkang di negara ini. Tambahan pula Astro dimiliki oleh jutawan Ananda Krisnan yang lahir dan dimewahkan oleh kroni-kroninya dalam UMNO dan Barisan Nasional. Maka itu, harapan tipis untuk Ustaz Akhil bebas seperti dulu. Beliau juga kabarnya sedang sibuk mempromosikan album dan buku terbarunya yang diterbit dan diedarkan oleh Inteam Records. Beliau yang mula menyepi dari pentas politik tatkala disunting oleh Inteam Records, dan kini bertambah-tambah sibuk setelah terlibat dengan Astro. Apapun kita berharap agar Ustaz Akhil akan terus sukses dan tidak melupakan pentas ceramahnya dulu.

Berita tergempar dan baru Cucu terima serta menjadi persoalan dikalangan Ustaz Akhil ialah benarkah beliau telah berpoligami?. Ramai yang terkejut dengan berita ini, tatkala Ustaz Aqil dikatakan baru sahaja mendapat baby . Kabarnya, isteri kedua beliau juga adalah merupakan seorang artis yang cukup dikenali iaitu penyanyi bersuara lunak ala-ala Arab iaitu Waheeda Wassini. Benarkah Ustaz Akhil telah berkahwin dengan Waheeda?. Sebelum ini beliau ada muncul dalam rancangan Melodi TV3 dan menyatakan beliau akan membuat satu pengumuman rasti dan pastinya merupakan kejutan buat para peminatnya sekitar bulan April. Maka kini sudah tiba bulan April yang dinyatakan. Apakah berita tersebut?. Apakah benar beliau berkahwin dengan Waheeda. Cucu cuba membuat risikan perkara ini dengan pihak yang berkenaan. Maka antara jawapan yang Cucu terima, benarlah Ustaz Akhil telah berkahwin secara senyap-senyap dengan Waheeda. Kata mereka, Ustaz Akhil terpaksa berkahwin bagi menggelakkan timbulnya fitnah. Ini kerana mereka sering dilihat mengadakan banyak persembahan bersama sejak akhir-akhir ini.

Jika benar perkara ini, tahniah kita ucapkan. Mungkin inilah pengumuman yang bakal dimaklumkan oleh beliau itu. Cucu memohon maaf kerana menyiarkan maklumat ini lebih awal daripada yang sepatutnya. Apapun, kita amatlah berharap agar Ustaz Akhil terus berbahagia dengan pilihannya itu. Apa yang penting jangan lupakan juga rakan-rakan seperjuangan dalam politiknya dulu. Kembalinya Ustaz Akhil dipentas ceramah politik amat ditunggu dan dirindui semua. Takbir !!! Allahhu Akhbar .....

Posted at 05:02 pm by Cucu Mat Kilau

Read More...

Umno hancur akibat tiada demokrasi, bersifat perkauman dan akhlak buruk - Ku Li

Harakahdaily

Anis Nazri

Sat | Apr 05, 08 | 6:41:08 am MYT

KUALA LUMPUR, 5 April (Hrkh) - Tiada demokrasi dalam Umno, dasar dan visi Umno yang bersifat perkauman serta perangai dan kelakuan budaya, moral dan akhlak orang Umno merupakan tiga faktor kekalahan Umno dalam pilihan raya umum ke-12 lalu.

Demikian dinyatakan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Khas Umno Bahagian Gua Musang, di Balai Rakyat, Gua Musang, semalam.

Menurut Ku Li, kemusnahan demokrasi dalam Umno bermula apabila Perlembagaan Umno dipinda dengan memasukkan peraturan baru yang menetapkan syarat bahawa anggota parti yang hendak menandingi jawatan Presiden hendaklah mendapat pencalonan sebanyak 30% daripada Bahagian Umno.

"Ini bererti calon itu perlu mendapat pencalonan daripada 58 Bahagian daripada jumlah 191 Bahagian Umno. Tujuannya, kononnya ialah untuk mengelak supaya tidak sembarangan anggota parti sahaja, sesuka hatinya dan secara bermain-main akan mengemukakan dirinya sebagai calon Presiden atau jawatan-jawatan lain," dakwa beliau.

Umno tidak amal demokrasi

Kata Ku Li lagi, sebelum kuota itu diperkenalkan, Umno pernah juga mengenakan peraturan, iaitu calon hendaklah mendapat pencalonan daripada dua bahagian sahaja, yang jelas 'peraturan' yang munasabah dan tidak terlalu 'undemocratic'.

Beliau menambah, parti yang wujud dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi tetapi tidak mengamalkan demokrasi dalam partinya sendiri adalah amalan yang bercanggah dan luar biasa.

Katanya, parti yang tidak mengamalkan demokrasi bererti parti itu menyekat atau tidak menggalakkan tumbuhnya kecekapan dan kreativiti dalam parti itu; anggotanya tidak dibenarkan bersuara untuk menegur pimpinan parti, atau untuk memilih pemimpin yang lebih baik.

"Orang tidak dibenarkan dan selalunya disekat malah digertak supaya jangan menentang atau menandingi pemimpin-pemimpin parti. Akibatnya parti menjadi beku. Pembaharuan dan kemajuan parti bantut. Kita lebih seronok mempercayai bahawa parti tidak menghadapi apa-apa masalah, parti kita kuat, anggota parti bersatu, dan pelbagai persepsi diri sendiri yang diciptakan secara emosi dan retorik," tegas Ku Li.

Beliau turut menyatakan bahawa dengan amalan tersebut lahirlah banyak 'pak turut' dan 'tukang ampu' dalam parti yang secara tidak bermoral dan berprinsip akan sentiasa memuji dan membela pemimpin walaupun mereka tahu pemimpin itu lemah.

Beliau mengakui inilah keadaan yang berlaku dalam Umno hingga sekarang, di mana setiap kali menjelang pilihan parti, ada sahaja orang dan puak yang menyeru anggota parti supaya jawatan Presiden Parti, atau Timbalan Presiden, Ketua Wanita, atau Ketua Pemuda tidak ditandingi.

Justeru, tegas beliau untuk menyelamatkan Umno dan menjadikannya parti politik kebangsaan Melayu ini terus relevan, cekap, kuat dan maju sepanjang zaman, demokrasi hendaklah dikembalikan dalam Umno.

Umno tidak pentingkan semua kaum

Dalam pada itu, Ku Li turut menyatakan bahawa dasar dan visi Umno hendaklah merentas sempadan kaum, dan tidak dilihat sebagai parti untuk dan bagi pihak orang Melayu sahaja.

Menurutnya, dasar dan visi Umno hendaklah memprojekkan dirinya sebagai parti untuk kepentingan semua rakyat tidak kira kaum.

"Kita mahu Umno menjadi parti supraetnik, parti nasional, yang adil kepada rakyat tanpa mengira kaum tetapi tetap mempertahankan 'visi tradisionalnya': iaitu, mempertahankan tanah air (negara ini) daripada penjajahan politik, ekonomi, ideologi dan budaya orang asing atau kuasa asing, mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara yang faedahnya ialah untuk negara, bukan untuk mana-mana kaum, dan mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan," tegas beliau.

Menurutnya, imej Umno selama beberapa tahun ke belakangan ini dapat dibahagikan kepada tiga jenis, di mana imejnya kepada orang Melayu ialah Umno tidak lagi memperjuangkan hak-hak yang menjadi warisan bangsa Melayu sejak dahulu kala, di samping Umno dilihat sebagai parti yang tidak lagi mempedulikan bahasa Melayu, budaya Melayu dan ekonomi rakyat Melayu yang miskin.

Selain itu, katanya orang Melayu juga mula risau dan khuatir melihat kurangnya komitmen Umno untuk mempertahankan martabat dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.

Beliau turut menyentuh imej Umno di mata orang bukan Melayu, di mana mereka menganggap Umno ialah parti untuk kepentingan orang Melayu, tidak untuk kepentingan kaum lain, yang mana Umno dianggotai oleh orang Melayu yang 'fanatik Melayu' - suka menjulang keris apabila memarahkan kaum lain.

Begitu juga katanya dengan imejnya sebagai parti yang menggalakkan rasuah politik atau parti 'orang kaya' di atas dan parti orang miskin di bawah, parti yang korap, parti yang berkeliaran dengan buaya-buaya darat dan yu-yu laut yang tidak segan silu menyapu dan menelan segala projek dan kontrak kerajaan dan hak rakyat miskin tidak kira kaum.

"Imej ini dibenci oleh semua kaum, tidak sahaja orang Melayu tetapi juga oleh kaum bukan Melayu. UMNO mesti mengubah atau kalau perlu membersihkan ketiga-tiga imej yang buruk itu. Umno mesti dipercayai bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga oleh orang bukan Melayu," tegas beliau.

Dalam pilihan raya umum lalu, beliau mengatakan ada orang dari kaum India dan Cina, mengibarkan dan menjunjung bendera PAS, serta mengundi calon PAS di kawasan kuat Umno.

"Mengapa? Apakah kerana mereka sudah dipukau atau diIslamkan oleh orang PAS? Tidak. Mereka berbuat demikian kerana mereka percaya bahawa PAS, berdasarkan prinsip Islam, lebih adil daripada Umno terhadap kaum bukan Islam. Mereka berkata orang PAS takut kepada Tuhan; jadi mereka takut hendak bercakap bohong atau melakukan dosa kepada makhluk Allah, tidak kira bangsa dan agama. Mereka berkata, Tok Guru Nik Aziz jauh lebih baik, bersih dan amanah daripada kebanyakan pemimpin Umno Kelantan," jelas beliau.

Katanya, inilah cabaran yang dihadapi oleh Umno hari ini, di mana ia terpaksa menjadi parti yang boleh dipercayai oleh semua kaum.

Calon Umno tiada adab, maki hamun Nik Aziz

Tambahnya, Umno terpaksa menyaingi parti baru seperti KeADILan yang dilihat oleh semua kaum - termasuk orang Melayu generasi baru - sebagai parti yang dasarnya ialah keadilan kepada semua rakyat berdasarkan keadaan dan keperluan asas mereka.

Faktor ketiga kekalahan Umno, katanya berkenaan perangai dan kelakuan budaya, moral dan akhlak orang Umno yang perlu diadabkan.

Berdasarkan pemerhatian, kata beliau dalam kempen pilihan raya lalu, kelakuan beberapa calon Umno tidak beradab.

"Mereka sombong, bercakap besar, riak, dan suka menabik dada. Seorang calon Parlimen Umno memberitahu media bahawa matlamat dia ialah untuk memastikan lawannya hilang deposit. Calon ini mengalami kekalahan teruk, diajar oleh pengundi Melayu. Di Kelantan, kita dengar bagaimana seorang calon parlimen yang dekat dengan kuasa atasan di KL, memaki hamun dan menggunakan kata-kata biadab terhadap PAS, khususnya terhadap Dato' Nik Aziz," tegas beliau.

Bahkan, katanya seluruh jentera Umno digerakkan untuk melancarkan semacam 'perang salib' terhadap PAS, seperti perang yang dilakukan oleh Presiden Amerika, George Bush terhadap negara Islam.

"Kita adalah bangsa yang berbudaya, beragama Islam, beradab. Orang Melayu - bahkan orang bukan Melayu dan bukan Islam pun - meluat dan menyampah dengan perangai dan kelakuan sombong bongkak itu. Kita tidak diajarkan cara bagaimana hendak memikat hati pihak lawan. Kita seolah-olah menggunakan budaya dan taktik samseng yang menyebabkan kita kalah lebih teruk dari tahun 2004," tegas beliau.

Keadaan itu, dakwa beliau berlaku kerana terlalu yakin pada kekuatan parti, sehingga tidak nampak kelemahan parti.

Jelasnya, orang-orang seperti itu berasa megah, berani bercakap besar dan memberi tahu pengundi 'Aku akan menjadi Menteri Besar' atau akan menjadi menteri jika dipilih.

'Roh perut' kuasai Umno, wang jadi mainan

Beliau turut mendakwa bahawa ekonomi pasaran atau ekonomi kapitalisme sudah menjadi alat politik Umno untuk memperkayakan orang-orang tertentu dalam Umno untuk kepentingan kepimpinan, tidak untuk kepentingan rakyat dan anggota akar umbi Umno.

"Jiwa dan roh Melayu orang Umno mulai digantikan dengan 'roh perut'. Wang menjadi alat permainan politik dan kuasa dalam Umno," dakwa beliau.

Justeru, untuk menyelamatkan Umno, Ku Li menegaskan bahawa parti perlu membuang segala anggota Umno 'di atas' itu yang jahat, yang korap, yang tidak berbudaya dan berakhlak tinggi, dan yang tidak bijaksana.

"Ada orang boleh jadi geliga otaknya, lulusan dari Oxford, Harvard dan sebagainya, tetapi tidak bijak, tidak pandai, tidak cerdik budaya. Orang ini tidak layak diangkat oleh Umno untuk menjadi pemimpin mereka. Mengapa? Sebabnya mereka tidak mempunyai 'roh atau semangat Melayu' yang cukup dalam dadanya, tidak bijak, tidak pandai bercakap dan berhujah dengan rakyat," tegas beliau.

Katanya, mereka mungkin layak menjadi penyelidik akademik, tetapi tidak layak menjadi pemimpin bagi bangsa Melayu-Islam yang mempunyai nilai-nilai ketimurannya yang tersendiri, yang perlu difahami oleh sesiapa yang hendak menjadi pemimpin orang Melayu. - mks.

Read More...

NEGARA ISLAM : JANGAN TERBURU-BURU BERTINDAK

Tranungkite

Posted on Saturday, April 05 @ 17:30:39 MYT by greenboc
Respon @ Ulasan Oleh al-bakistani

"a
Tidak dinafikan, Negara Islam merupakan cita-cita PAS dalam pemerintahan Malaysia. Berbagai-bagai usaha dan tindakan yang telah dilakukan oleh PAS bagi merealisasikan cita-cita itu.

Agenda penerangan tentang bentuk dan cirri-ciri Negara Islam telah dibuat, tetapi keadaan tidak berbelah pihak kepada PAS, yang mana segala penerangan PAS itu telah diselewengkan oleh UMNO-Barisan Nasional dengan diputar belitkan kenyataannya yang melahirkan satu gambaran, Negara Islam adalah Negara yang akan menindas golongan non muslim.

Golongan non muslim tidak menerima negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS, adalah kerana mereka bimbang nasib dan masa depan mereka dizalimi, sedangkan dalam bentuk negara islam yang dicadangkan oleh PAS, tidak pernah mengabaikan hak-hak non muslim dalam sesebuah negara, bahkan Islam menetapkan hukum haram bagi kerajaan Islam mengabaikan hak-hak non muslim.

Penolakan mereka itu adalah bersebab, mereka sentiasa dimomokkan dan digambarkan oleh media Barisan Nasional, bahawa Islam adalah ganas, sedangkan Islam bukanlah seperti yang digambarkan oleh Barisan Nasional.

Disamping itu juga, mereka tidak memahami maksud sebenar disebalik perlaksanaan Negara Islam. Sedangkan Negara Islam adalah pemerintahan yang mementingkan amanah, kebajikan, kestabilan ekonomi, politik, kasih sayang, perlaksanaan undang-undang yang memberi keadilan kepada semua pihak hatta kepada non muslim sekalipun, yang semua ini ditunjangkan kepada Aqidah Islamiyyah.

DAP MENENTANG NEGARA ISLAM

Penentangan dari DAP terhadap Negara Islam, tidaklah pelik bagi pandangan peribadiku. Tetapi, yang lebih pelik, apabila yang menentang Negara islam itu adalah orang islam sendiri.

Penentangan DAP terhadap Negara Islam, antara sebabnya mereka tidak memahami bentuk Negara Islam yang sebenar, disamping sentiasa diburukkan bentuk Negara Islam ini oleh UMNO-Barisan Nasional yang menyebabkan DAP termakan dengan hasutan syaitan itu.


Dalam hal itu, gabungan PAS, PKR dan DAP, sedikit sebanyak dapat merapatkan jurang yang sekian lama terpisah.

Dengan gabungan ini, PAS dapat “berdakwah” dengan menjelaskan kepada mereka dalam keadaan formal atau tidak formal tentang keadilan islam.


Kita kena ingat, dalam pakatan yang telah dibuat secara tidak rasmi dalam menghadapi pilihanraya ke 12 baru-baru ini, sedikit sebanyak pihak DAP telah mengenali PAS dan bentuk Negara Islam.


Ekoran dari itu, tidak hairan, ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng sendiri pernah menyatakan bahawa beliau akan melaksanakan pemerintahan di Pulau Pinang seperti pemerintahan Omar bin Abdul Aziz.


Ucapan ini sedikit sebanyak, merupakan kesan dari keadilan yang mereka faham dari Islam. Tetapi disebabkan mereka bukan beragama islam, disamping ideology perjuangan mereka juga tidak Islam, menyebabkan mereka masih lagi dengan cara mereka.


SIKAP KITA


Kenyataan Karpal Singh yang dikeluarkan baru-baru ini, tidak perlu diperdebatkan sehingga memburukkan keadaan.

Memberi pandangan itu bagus, tetapi jangan sampai melahirkan satu natijah, jurang yang sudah dihampirkan berjauhan kembali.


Tindakan Karpal menyatakan pandangan beliau sedemikian adalah kerena, beliau tidak memahami bentuk Negara Islam yang sebenar. Ianya adalah kerana, pemahaman beliau tentang Negara Islam sekadar melalui bacaan sahaja, sedangkan banyak unsure-unsur yang dididik dalam islam tidak wujud dalam pegangan hidup beliau yang tidak beragama Islam.


Disamping itu juga, beliau tidak merasakan keadilan yang dijanjikan oleh islam dengan penubuhan Negara Islam. ekoran dari itulah, menyebabkan beliau menolak bentuk Negara Islam yang dicadangkan oleh PAS.


orang arab ada menyebut;

لا يدري من لم يذق

Maksudnya;
“Tidak mengetahui dengan sebenar oleh orang yang tidak merasai”

Dalam hal ini, Islam mengajar kepada kita, agar tidak melayan sangat statement dari orang yang tidak memahami Islam, apabila mereka bercakap tentang islam. Bahkan, kita kena berfikir dan berusaha, agar memberi kefahaman kepada mereka tentang islam sehingga sampai satu tahap, mereka yakin dengan keadilan yang dijanjikan oleh islam.


Firman Allah;

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya;
“Ambillah sikap memaafkan, suruhlah melakukan kebaikan dan jangan layan dari orang-orang yang tidak mengerti”

(Surah Al-‘Araf : 199)


Dalam menafsirkan maksud “ambil kemaafan” ini, Imam Ibni Kathir menukilkan kata-kata seorang mufassir yang hebat bernama Mujahid, yang mana beliau menyatakan, maksud dengan ambil kemafaan itu adalah terhadap akhlak-akhlak dan amalan-amalan mereka yang tidak merasakan kebenaran. (Tafsir Ibni Kathir : 3/531)


Maka dengan ini, Karpal tidak pernah merasa bentuk negara Islam, disamping digambarkan Barisan Nasional sebagai zalim, menyebabkan beliau begitu marah dengan pembentukan negara Islam.


Sebagai muslim, tidak sepatutnya kita memarahi beliau, tetapi yang patut dimarah adalah UMNO dan Barisan Nasional yang tidak habis-habis menabur fitnah dan menjadi batu api untuk merosakan usaha PAS dalam memahamkan Islam kepada non muslim.

SIKAP DAN TINDAKAN KITA


Cita-cita kearah merealisasikan pemerintahan Islam merupakan tanggungjawab yang wajib ditunaikan. Pun begitu, halangan yang dihadapi, perlu ditempuhi dengan bijaksana. Kebijaksanaan seperti kata pepatan, menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.


Tidak dinafikan, UMNO-barisan Nasional akan menyerang PAS dengan isu-isu sebegini, terutama kekalahan mereka dalam pilihanraya baru-baru ini ditakrifkan sebagai terlalu teruk dalam sejarah Malaysia.


Bagi menghadapi perkara ini, diharapkan penyokong dan pendokong PAS agar tidak bertindak dengan tindakan yang boleh memburukkan lagi suasana.


Pilihanraya kali ini, kita telah berjaya merapatkan jurang antara PAS dan DAP, yang dengan itu, kita perlu berusaha menerangkan kepada mereka tentang keadilan Islam.


Para ulama dalam PAS, tidak seharusnya terlalu membicarakan tentang perkara-perkara kecil, bahkan wajib berusaha menyelongkar segala maqasid-maqasid yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah, ianya bertujuan untuk menyampaikan mesej dakwah kepada non muslim.


Para ulama perlu menyelongkar keadilan yang wujud disebalik kandungan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang berbicara tentang undang-undang, ekonomi, jihad dan sebagainya. Semuanya bertujuan, untuk memberi keyakinan kepada non muslim (khususnya DAP) kepada perlaksanaan Islam.


PENUTUP


Pakatan Rakyat yang diideakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi telah berjaya ditubuhkan. Dalam menentukan orang yang mengepalai pakatan rakyat ini, dalam keadaan sekarang, kita perlu mengambil sikap toleransi lagi.

Kalau keadaan DAP kini yang tidak yakin lagi dengan PAS, apa gunanya kita mengepalai Pakatan Rakyat, yang dengan itu boleh membawa perpecahan yang banyak merugikan kepada dakwah islamiyyah.


Jangan terlalu gopoh untuk mencapai kemenangan, kerana dibimbangi dengan kegelojohan itu akan menghasilkan kerugian dalam mencapai kemenangan yang sebenar.


Ulama-ulama fiqh ada menyatakan satu kaedah fiqh yang berbunyi;

مَنْ اسْتَعْجَلَ شَيْئًا قَبْلَ أَوَانِهِ عُوقِبَ بِحِرْمَانِهِ

Maksudnya;
“Barangsiapa yang gopoh untuk mencapai sesuatu sebelum masanya, diakibatkan perkara itu menjadi haram” (Al-‘Asybah wa An-Nazair : 1/274 : kaedah fiqh yang ke 30))

Lantaran itu, dalam keadaan sekarang, apa salahnya kita serahkan kepada orang yang mengepalai pakatan rakyat dari kalangan mereka yang boleh di terima oleh DAP, yang dengan itu, kita dapat menyampaikan dakwah kepada mereka.


Apabila dakwah kita kuat, yang memungkinkan mereka semakin faham kepada Islam (walaupun mereka tidak masuk islam), yang ketika itu, sudah pasti, Islam akan menjulang, dan menjadi agama yang terlaksana dalam Negara yang dicintai ini, Insya Allah.


Mudah-mudahan Allah menjadikan kita dari kalangan orang yang bijak menghadapi situasi politik kini, yang dengannya akan melahirkan natijah yang menguntungkan kepada Islam dan kepada rakyat.


Sekian

Wallahu ‘Alam

p/s : sekadar pandangan peribadi

Al-bakistani

http://al-bakistani.blogspot.com

abu_abdillah_azzam@yahoo.com

Read More...

Islam hadhari faktor kekalahan BN?

Buletin Online




Ditulis oleh Wartawan Buletin Online
Saturday, 05 April 2008


The image “http://buletinonline.net/images/berita/zahid.gif” cannot be displayed, because it contains errors.Kuala Terengganu, 4 April - De Fakto Menteri Agama, Zahid Hamidi mengatakan bahawa kekalahan UMNO/BN dalam pilihanraya umum lalu adalah disebabkan oleh Islam Hadhari.

Beliau berkata ramai pihak berpendapat bahawa prestasi merosot Barisan Nasional (BN) adalah disebabkan oleh prinsip Islam Hadhari

“Jika dalam pilihan raya 2004, ramai yang beranggapan kemenangan BN disumbangkan oleh Islam Hadhari, maka kekalahan BN dalam pilihan raya baru-baru ini juga disebabkan Islam Hadhari,” katanya yang dipetik mStar Online.

Justeru beliau mengarahkan Institut Kefahaman Islam Malaysia(IKIM), menjelaskan kepada semua pihak mengenai prinsip Islam hadhari yang diperkenalkan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi.

Namun, Zahid sendiri yang tidak mempunyai latarbelakang pengajian agama bertindak umpama ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul.

“IKIM akan menjalankan penelitian dan penyelidikan serta memperbetulkan mengenai konsep ketamadunan yang gagal difahami oleh ramai pihak,” katanya kepada pemberita selepas melawat IKIM di Jalan Duta, hari ini, Jumaat.

Zahid juga beranggapan kemerosotan ini disumbangkan oleh banyak faktor antaranya dengan meletakkan ‘wajah’ atau kefahaman yang berbeza terhadap Islam hadhari.

“Jangan takut apabila kita sebut mengenai Islam...jangan fobia kerana kita akan pastikan penampilan prinsip Islam hadhari boleh diguna pakai oleh semua orang termasuk bukan Islam”.

Hakikat sebenarnya, orang-orang bukan Islam menjadi bertambah keliru dengan tindakan UMNO memperkenalkan Islam Hadhari.

Mantan perdana Menteri Mahathir Mohamad juga mengkritik Islam Hadhari, yang nyata adalah suatu ajaran baru yang diperkenalkan Perdana Menteri.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |