+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 9, 2009

Khairy tercicir, Mukhriz masuk kabinet

Malaysiakini

Apr 9, 09 2:59pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan senarai 28 orang menteri dan 40 timbalan menteri dalam anggota kabinet pertamanya petang ini.

Kecuali ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, dua lagi ketua sayap utama dalam parti itu dilantik menganggotai jemaah menteri.

khairy jamaluddin interview 230209 13Pencabar Khairy dalam pemilihan pergerakan itu bulan lalu, Datuk Mukhriz Mahathir bagaimanapun tersenarai sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Naib ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim pula dilantik sebagai timbalan belia dan sukan.

Seperti dispekulasikan lebih awal, keputusan Najib hari ini mencipta sejarah tersendiri - dan berpotensi mencetuskan kontroversi - kerana selama ini ketua pergerakan Pemuda umumnya dilantik menganggotai kabinet, yang terakhir ialah Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menteri pelajaran.

Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah tidak melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi - kini menteri pertahanan - apabila ahli parlimen Bagan Datoh itu menang ketua Pemuda Umno pada 1996.

[Baca reaksi segera Dr Mahathir dan Khairy]

Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilantik sebagai menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Manakala ketua baru Puteri Umno, Datuk Rosnah Rasyid Syirin dilantik sebagai timbalan menteri kesihatan.

Mukhriz, Razali dan Rosnah antara muka baru yang dilantik menganggotai kabinet kali ini.

Yang lain termasuklah ahli parlimen Batu Pahat, Datuk Puad Zarkashi (timbalan menteri pelajaran); ahli parlimen Pontian, Ahmad Maslan (timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri), pengarah Kagat Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (menteri di JPM) dan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (menteri wilayah persekutuan).

Menteri yang digugurkan termasuklah Datuk Seri Syed Hamid Albar (menteri dalam negeri), Tan Sri Muhammad Muhd Taib (menteri pembangunan luar bandar), Datuk Mohd Zin Mohamed (menteri kerja raya), Datuk Azalina Othman Said (menteri pelancongan) dan Datuk Ong Ka Chuan (menteri perumahan dan kerajaan tempatan).

najib announce new cabinet lineup 090409 05Manakala mereka yang dibawa masuk semula menganggotai kabinet kali ini ialah Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Awang Adek Hussin.

Tujuh menteri mengekalkan portfolio masing-masing: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (menteri di JPM bagi undang-undang dan Parlimen), Datuk Ong Tee Keat (pengangkutan), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (pengajian tinggi), Datuk Dr Maximus Ongkili (sains, teknologi dan inovasi), Datuk Douglas Uggah Embas (sumber asli dan alam sekitar), Datuk Liow Tiong Lai (kesihatan) dan Datuk Dr S Subramaniam (sumber manusia).

Barisan kabinet yang diumumkan juga menyaksikan jumlah kementerian lebih kecil apabila beberapa daripadanya digabungkan.

Kementerian kebudayaan, kesenian dan warisan, dan kementerian tenaga, air dan komunikasi telah digabung dengan kementerian lain - kini dikenali sebagai kementerian penerangan, komunikasi, kesenian dan kebudayaan, dan kementerian tenaga, teknologi hijau dan air.

Manakala jumlah menteri turut berkurangan daripada 32 kepada 28 orang. Bagaimanapun jumlah timbalan menteri bertambah daripada 38 kepada 40 orang.

Muka baru

Barisan baru kabinet hari ini hanya membariskan enam menteri baru, termasuk dua timbalan menteri yang dinaikkan pangkat.

Jumlah itu merupakan kira-kira 20 peratus daripada anggota kabinet baru.

Sabah mendapat tambahan satu kerusi menteri - daripada tiga kepada empat kerusi kali ini.

najib announce new cabinet lineup 090409 02Manakala Gerakan dan MCA juga masing-masing mendapat tambahan wakil dalam barisan kabinet.

MCA kini mempunyai empat menteri dan tujuh timbalan mengeri (bertambah satu lagi), manakala Gerakan mempunyai seorang menteri dan dua timbalan menteri (parti itu kehilangan jawatan menteri selepas kalah dalam pilihanraya umum 2008).

Najib membuat pengumuman dengan diapit oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai timbalan perdana menteri baru dan juga menteri pelajaran.

Selain menggabungkan dua kementerian, satu portfolio baru diwujudkan bagi memantau perpaduan nasional dan prestasi jabatan kerajaan di bawah JPM.

Najib juga menyatakan komitmen untuk menilai prestasi para menteri setiap enam bulan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam, para menteri dan timbalan menteri dijadual mengangkat sumpah taat setia dan menyimpan rahsia di Istana Negara esok.

Upacara bersejarah tersebut akan diadakan pada jam 9.30 pagi dan disiarkan secara langsung oleh RTM.

Read More...

SENARAI PENUH KABINET 2009

Mstar Online

PUTRAJAYA: Senarai jemaah menteri yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini:

PERDANA MENTERI:

Datuk Seri Najib Tun Razak

TIMBALAN PERDANA MENTERI:

Tan Sri Muhyiddin Yassin

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

1. Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Hal Ehwal Perpaduan & Pengurusan Prestasi)(muka baru)

2. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen)

3. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Unit Perancang Ekonomi)

4. Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (Hal Ehwal Agama Islam)(muka baru)

Timbalan-timbalan Menteri:

1. Datuk Liew Vui Keong

2. Datuk Dr Mashitah Ibrahim (Senator)

3. Datuk S.K. Devamany

4. Ahmad Maslan

5. T.Murugiah (Senator)

MENTERI KEWANGAN:

Datuk Seri Najib Tun Razak

MENTERI KEWANGAN II:

Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah

Timbalan:

1. Datuk Chor Chee Heung

2. Datuk Dr Awang Adek Hussin (Senator)

MENTERI PELAJARAN:

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan:

1. Datuk Dr Wee Ka Siong

2. Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi

MENTERI PENGANGKUTAN:

Datuk Ong Tee Keat

Timbalan:

1. Datuk Abdul Rahim Bakri

2. Datuk Robert Lau Hoi Chew

MENTERI PERUSAHAAN, PERLADANGAN DAN KOMODITI:

Tan Sri Bernard Dompok

Timbalan:

1. Datuk Hamzah Zainudin

MENTERI DALAM NEGERI:

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Timbalan:

1. Datuk Wira Abu Seman Yusop

2. Jelaing anak Mersat

MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI, KESENIAN DAN KEBUDAYAAN:

Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim

Timbalan:

1. Datuk Joseph Salang Gandum

2. Senator Heng Seai Kie

MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR:

Datuk Peter Chin Fah Kui

Timbalan:

Noriah Kasnon

MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH:

Datuk Seri Shafie Apdal

Timbalan:

1. Datuk Hassan Malek

2. Datuk Joseph Entulu anak Belaun

MENTERI PENGAJIAN TINGGI:

Datuk Seri Mohd Khaled Nordin

Timbalan:

1. Datuk Dr Hou Kok Chung

2. Datuk Saifuddin Abdullah

MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI:

Datuk Mustapa Mohamed

Timbalan:

1. Datuk Mukhriz Mahathir

2. Datuk Jacob Dungau Sagan

MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INNOVASI:

Datuk Dr Maximus Ongkili

Timbalan:

Fadillah Yusof

MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR:

Datuk Douglas Uggah Embas

Timbalan:

Tan Sri Joseph Kurup

MENTERI PELANCONGAN:

Datuk Dr Ng Yen Yen

Timbalan:

Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib

MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI:

Datuk Noh Omar

Timbalan:

1. Datuk Johari Baharum

2. Datuk Rohani Abdul Karim

MENTERI PERTAHANAN:

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan:

Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

MENTERI KERJA RAYA:

Datuk Shaziman Abu Mansor

Timbalan:

Datuk Yong Khoon Seng

MENTERI KESIHATAN:

Datuk Liow Tiong Lai

Timbalan:

Datuk Rosnah Rashid Shirlin

MENTERI BELIA DAN SUKAN:

Datuk Ahmad Shabery Cheek

Timbalan:

1. Datuk Razali Ibrahim

2. Wee Jeck Seng

MENTERI SUMBER MANUSIA:

Datuk Dr S.Subramaniam

Timbalan:

Datuk Maznah Mazlan

MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA:

Datuk Ismail Sabri Yaakob

Timbalan:

Datuk Tan Lian Hoe

MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN:

Datuk Kong Cho Ha

Timbalan:

Datuk Lajim Ukin

MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT:

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil

Timbalan:

Datin Paduka Chew Mei Fun

MENTERI LUAR:

Datuk Anifah Aman (muka baru)

Timbalan:

1. A.Kohilan Pillay

2. Datuk Lee Chee Leong

MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN:

Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (muka baru)

Timbalan:

Datuk M.Saravanan

Read More...

Kes Altantuya : Peguam Azilah dan Sirul buat rayuan.

Suara Keadilan

SHAH ALAM, 9 April (SK) KEMASKINI: Peguam kepada Cif inspektor Azilah Hadri and Korporal Sirul Azhar Umar, Hasnal Rezua Merican akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan keatas mereka oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Mohd zaki Mohd Yassin pagi tadi.

Manakala Karpal Singh yang menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Altantuya juga menyatakan bahawa sabitan ke atas kedua-dua tertuduh itu, tidak dapat memperbaiki imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Satu lagi persoalan yang belum terjawab ialah sama ada kedua-dua tertuduh itu melakukannya atas kehendak sendiri atau diarahkan berbuat demikian oleh orang lain.

Menurut ketua pihak pendakwaraya Tun Majid Tun Hamzah, pula berkata pihaknya berpuas hati dan telah membuktikan bahawa tiada orang lain terbabit dalam kes pembunuhan itu.

“Pastinya Dr Shaariibuu Setev (bapa Altantuya) tidak akan puas hati kerana beliau merasakan terdapat orang lain lagi yang turut terbabit tetapi terlepas daripada hukuman,” kata Karpal Singh kepada pemberita diperkarangan mahkamah pagi tadi.

Menurutnya, masih banyak persoalan yang belum terjawab berhubung motif pembunuhan wanita Mongolia itu.

Kedua-dua mereka didapati bersalah di atas tuduhan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibu di kawasan antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Puncak Alam, antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006 lalu.

Altantuya. dibunuh dengan kejam sebelum mayatnya diletupkan dengan bom C4 di kawasan hutan di Puncak Alam.

Kes berprofil tinggi ini yang dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda, yang rapat dengan Perdana Menteri Najib Razak dituduh bersubahat dengan pembunuhan berkenaan.

Sejak kes terbabit diketahui umum, Najib berulangkali terpaksa menafikan sembarang pembabitannya dalam kes tersebut yang mengundang liputan meluas di merata dunia.

Read More...

Altantuya: Azilah, Sirul dihukum mati



GANTUNG SAMPAI MATI...Cif Inspektor Azilah Hadri dan Kpl Sirul Azhar Umar dikenakan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah kerana membunuh Altantuya Shaariibu. Foto THE STAR Oleh KAMARUL ARIFFIN.

SHAH ALAM: Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah didapati bersalah atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pihak pendakwaan telah membuktikan tanpa keraguan munasabah kes terhadap Azilah, 33, dan Sirul Azhar, 37.

Katanya pembelaan kedua-dua tertuduh berdasarkan kepada penafian dan juga menyalahkan satu sama lain, dan dengan itu, ianya tidak boleh dipercayai.

"Mereka gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang dapati konklusif.

"Saya dengan ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kamu, Azilah dan Sirul Azhar," kata Mohd Zaki.

Kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) ini selesai memberi keterangan membela diri Februari lalu tanpa memanggil saksi lain selain mereka sendiri.

Azilah yang diwakili dua peguam, Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar membela diri dengan memberi keterangan di kandang saksi manakala Sirul Azhar yang diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Marican dan Ahmad Zaidi Zainal memilih untuk membacakan keterangan bertulis di kandang tertuduh.

Dalam kes yang pernah menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa ini, kedua-dua mereka didakwa membunuh Altantuya, berusia 28 tahun, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Sebelum ini, mereka dibicarakan bersama-sama Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC), Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya.

Bagaimanapun pada 31 Oktober 2008, penganalisis politik itu dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat.

Read More...

Kenapa Cina tak nak BN?

penarikbeca

Kenapa majoriti Cina Bukit Gantang tak nak Barisan Nasional (BN)? Nak bunuh kuasa Melayu? Berikut saya siarkan sebahagian artikel saya yang saya hantar kepada akhbar Siasah. Sebahagian sudah disiarkan dalam blog ini. Saya pun tak tau masuk tak masuk dalam akhbar itu. Kalau tak masuk, boleh baca di sini:
Ketika berucap pada Majlis Menyambut Kepulangan Lim Guan Eng di Bukit Mertajam 29 September 1999 di Dewan Moral Uplifting Society yang dirakam Pemuda Umno, Naib Presiden Keadilan ketika itu, Marina Yusuf dilaporkan berkata:

"Saya nak cakap pada orang Melayu, Cina, India, punca 13 Mei dimulakan oleh Umno. Masa itu dirancang oleh pemimpin-pemimpin Umno dan Selangor diketuai oleh Datuk Harun (Idris).

"Jadi orang Cina jangan ingat dia sokong Barisan (Nasional) itu bagus kerana dulu orang Umno dalam Barisan yang membunuh orang Cina."

Dalam suatu wawancara pada April 1979 menjelang ulang tahun ke-10 peristiwa 13 Mei (Nadi Insan, 1 Mei 1979), jelas Tunku Abdul Rahman menganggap bahawa Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein telah mengkhianatinya (dikutip daripada prakata buku 13 Mei: Sebelum dan Selepas, 1969 terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd - gambar di sebelah adalah buku asal terbitan Utusan).

Dalam bukunya May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969, Kuala Lumpur, Dr Kua Kia Soong mendakwa, rusuhan tersebut adalah satu pakatan yang dirancangkan oleh kelas pemerintah kapitalis menentang kelas aristokrat yang dipimpini Tunku. Beliau seterusnya mendakwa, gerakan yang mahu menjatuhkan kepimpinan Tunku diketuai oleh timbalannya, Tun Abdul Razak.

Apa yang menjadi persoalan ialah kenapakah Marina dan Dr Kua tidak dibicarakan habis-habisan serta dijatuhkan apa jua hukuman berikutan dakwaan mereka itu? Apakah yang dibimbangi oleh pihak yang mahu mendakwa?

Saya bangkitkan perkara ini berikutan apa yang saya alami di Bukit Gantang semalam. Apabila disebut nama Datuk Seri Najib Tun Razak, penduduk di kawasan itu bukan sahaja dengan spontan menyebut "Altantuya" (ada menyanyikan lagu Najib Razak, Najib Razak, Altantuya...), malah ada yang mengaitkan beliau dengan ayahandanya dan peristiwa 13 Mei.

Saya hanya melaporkan sahaja dan tak berani kata apa-apa. Takut! (Sila klik imej Utusan Malaysia di atas untuk besarkan)

Memang, kita takut untuk membicarakan peristiwa hitam itu. Takut itu berlanjutan sejak 1969 lagi ketika saya dan kawan-kawan yang melanggar perintah berkurung lari lintang pukang apabila orang menjerit "Iban! Iban!" Kami takut sangat dengan askar Iban dari tentera Renjer yang berpengkalan di Taiping ketika itu.

Abang saudara saya di Batu 5 1/2, Changkat Jering pernah menceritakan kononnya askar-askar Iban pernah berkata, "Siapa langgar curfew (perintah berkurung), Tun Razak suruh tembak". Saya tak tahu sama ada benar atau tidak Tun Abdul Razak pernah mengeluarkan arahan itu. Tapi, kalau askar Iban mari, kami mesti lari.

Ketika itu, ketegangan akibat rasukan perkauman menjalar ke seluruh negara. Namun semua itu hampir tidak berlaku di Kelantan. Kalau ada pun, cetusan itu cepat-cepat dipadamkan oleh kerajaan PAS di Kelantan ketika itu.

Tidak dinafikan bahang rusuhan kaum itu mendorong kira-kira 50 hingga 60 orang pemuda berkumpul di atas Jambatan Yahya Petra. Menurut bekas Setiausaha Agung PAS yang juga pembantu kanan Menteri Besar Kelantan ketika itu, Ustaz Salahuddin Abdullah, dengan penuh semangat pemuda-pemuda itu dibakar dengan kata-kata "jangan biar orang-orang Melayu di Selangor dianiayai dan tak ada pembelaan kita".

Salahuddin mendakwa, pemuda-pemuda itu, termasuk dari Umno dan PAS, diapi-apikan beberapa pemimpin Umno Kelantan.

Mendengar kekecohan itu, Allahyarham Tan Sri Asri Muda yang ketika itu menjadi Menteri Besar Kelantan meminta Salahuddin dan beberapa yang lain pergi memujuk para pemuda itu. Setelah dipujuk, mereka dibawa ke kediaman Menteri Besar yang terkenal dengan panggilan JKR10.

Ketika di bawa ke JKR10, kira-kira 100 orang berhimpun termasuk pemuda-pemuda yang dipujuk itu. "Mereka dijamu dengan mee dan nasi lemak," kata Salahuddin.

Asri menjelaskan kepada mereka bahawa PAS yang ketika itu memerintah Kelantan berjuang berdasarkan landasan Islam. PAS, katanya, sentiasa tunduk kepada ajaran Islam. Beliau menasihatkan mereka supaya berwaspada dan jangan terjebak dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam termasuk hasutan rusuhan perkauman.

Ketika pertemuan itu berlangsung, seorang kontraktor yang banyak melaksanakan projek-projek membuat jalan di Kelantan tanpa sebarang bayaran awal dari kerajaan negeri ketika itu (dia buat dahulu, kira hutanglah tu), Chua Say Paw, datang le JKR10. Sebelum datang ke kediaman Menteri Besar itu, beliau tidak tahu-menahu tentang kejadian yang berlaku dan datang kerana urusan lain.

Asri terus memanggil beliau ke hadapan dan memberitahu jika berlaku kejadian menganiaya kaum Cina di mana-mana tempat di Kelantan, beliau akan pegang penghulu tempat berkenaan. Menteri Besar itu tak mahu dengar apa-apa berlaku.

Sambil memandang Chua yang dianggap tauke besar di Kelantan ketika itu, Asri juga memberi jaminan tidak ada apa-apa yang akan berlaku ke atas kaum Cina di Kelantan di mana PAS memerintah.

Selepas itu, kehidupan seharian di Kelantan berjalan seperti biasa.

Benarlah kata Menteri Besar Kelantan kini, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sepanjang rusuhan perkauman pada tahun 1969 itu, "bulu roma orang Cina pun tak gugur di Kelantan".

Read More...

Saya Ingin Bebas - Azilah

Bernama

Oleh Zalina Maizan Ngah

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- "Jika ditanya, saya memang ingin bebas daripada tuduhan ini," kata Cif Inspektor Azilah Hadri penuh harapan walaupun menerima hakikat dia bakal berhadapan dengan hukuman mati esok (Khamis) sekiranya Mahkamah Tinggi membuat keputusan sebaliknya.

Azilah yang didakwa membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu tiga tahun lalu menyatakan demikian kepada Bernama pada hari terakhir perbicaraan membela diri di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Februari lepas.

Kata-katanya itu disambut dengan senyuman oleh tunangnya Nur Azila Baharuddin yang sentiasa berada di sisi memberi sokongan. Dan menurut Nur Azila, sekiranya impian Azilah menjadi kenyataan, mereka akan berkahwin secepat mungkin.

Nur Azila berkata dia amat berdebar dan takut untuk berhadapan dengan kenyataan esok.

Koperal Sirul Azhar Umar, tertuduh kedua dalam kes ini, yang lebih pendiam berbanding Azilah, menyatakan perasaan yang sama apabila ditanya. Wajah seriusnya tiba-tiba berubah dan sambil tersenyum dia menjawab :"Insyaallah ada harapan."

Kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) ini selesai memberi keterangan membela diri Februari lalu tanpa memanggil saksi lain selain mereka sendiri.

Azilah, 33, yang diwakili dua peguam, Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar membela diri dengan memberi keterangan di kandang saksi manakala Sirul Azhar, 37, yang diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Marican dan Ahmad Zaidi Zainal memilih untuk membacakan keterangan bertulis di kandang tertuduh.

PENDAKWAAN TIGA TAHUN LALU

Dalam kes yang pernah menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa ini, kedua-dua mereka didakwa membunuh Altantuya, berusia 28 tahun, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi, 20 Okt 2006.

Sebelum ini, mereka dibicarakan bersama-sama Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC), Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya.

Bagaimanapun pada 31 Okt 2008, penganalisis politik itu dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat.

Ketiadaan Abdul Razak menyebabkan perhatian masyarakat kian pudar terhadap perbicaraan kes ini dan ramai yang tidak sedar dua lagi tertuduh hanya baru tamat membela diri dan nasib mereka akan ditentukan esok.

Media juga sejak itu tidak lagi memenuhi kamar mahkamah dan tiada lagi sebarang sekatan polis untuk mengehadkan mereka yang membuat liputan, kerana terlalu ramai, seperti mana peringkat awal dahulu.

Abdul Razak kini melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Oxford, United Kingdom.

KETEGASAN HUJAH PENDAKWAAN

Sebagai tertuduh, Azilah dan Sirul Azhar yang mengaku tidak bersalah sudah berhujah dan mengharapkan pembebasan, tetapi bagi pihak pendakwaan, kedua-duanya ialah orang yang benar-benar terlibat dalam pembunuhan Altantuya hingga jasadnya berkecai akibat dibom.

Pendakwaan yang dibarisi Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid menegaskan di dalam hujahan mereka bahawa Azilah dan Sirul Azhar telah merancang pembunuhan Altantuya.

Berdasarkan keterangan saksi semasa kes pendakwaan, bom yang digunakan untuk meletupkan mayat Altantuya, berkemungkinan diletakkan ke dalam mulut wanita itu.

Hujahan Manoj di akhir kes pembelaan juga berkata kedua-dua tertuduh mempunyai motif untuk membunuh dan jenayah yang dilakukan telah dirancang lebih awal.

Manoj berkata beberapa keterangan keadaan yang cuba dibuktikan oleh pihak pendakwaan kekal tidak disangkal, tidak dijelaskan dan tidak dijawab oleh kedua-dua tertuduh.

"Kekukuhan gabungan beberapa keterangan itu apabila dipintal telah membentuk dua utas tali, cukup kuat untuk menggantung setiap tertuduh...

"Pihak pendakwaan telah membuktikan keraguan melampaui munasabah akan kesalahan kedua-dua tertuduh, mewajarkan sabitan terhadap pertuduhan membunuh yang dilakukan atas niat bersama kedua-dua mereka," katanya.

PEMBELAAN DI AKHIR KES

Azilah yang mula memberi keterangan pada 15 Jan lalu , berkata dia tidak mempunyai sebarang motif untuk membunuh dan melenyapkan wanita itu sebaliknya tujuan dia berjumpa dengannya (Altantuya) hanya untuk menasihati Altantuya secara lembut supaya tidak mengugut Abdul Razak dan tidak membuat kecoh di rumah penganalisis politik itu.

Azilah juga memberitahu mahkamah dia diarahkan oleh seorang anggota polis atasan, DSP Musa Safri untuk membantu Abdul Razak dan tidak mungkin melakukan perbuatan "bodoh" (membunuh) itu apatah lagi dia adalah anggota polis.

Pembelaan Sirul Azhar pula amat mengejutkan kerana dia bukan sahaja dilihat mengalirkan air mata, malah kenyataannya bahawa dia sekadar kambing hitam yang harus dikorbankan, amat menyentuh perasaan.

"Saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam. Saya merayu kepada mahkamah yang kini berada di dalam kedudukan dan mempunyai kuasa untuk menentukan hidup dan mati saya, agar tidak menghukum saya sekaligus menyempurnakan perencanaan mereka terhadap saya," katanya pada 4 Feb lalu sambil membacakan nota bertulis.

KEPUTUSAN YANG DITUNGGU-TUNGGU

Kes ini bukan sahaja dilabelkan sebagai perbicaraan yang paling panjang (159 hari) dengan mengemukakan 84 orang saksi di peringkat pendakwaan dan dua saksi (tertuduh sahaja) ketika pembelaan, tetapi merupakan kes utama mahkamah selama dua tahun (sebelum Abdul Razak bebas).

Mengikut rekod, Azilah ditahan di penjara Sungai Buloh selama 891 hari manakala Sirul Azhar ditahan selama 895 hari.

Peranan dua anggota UTK ini dalam pembunuhan Altantuya memang menjadi perdebatan dengan pelbagai tanggapan timbul, tetapi apapun keputusan mahkamah akan menentukan sama ada mereka akan bebas seperti mana Abdul Razak, atau berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati.

-- BERNAMA

Read More...

Bukit Gantang: Undi Melayu, Cina lebihi sasaran punca PAS menang

Mstar Online

TAIPING: PAS, yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang, memperoleh kira-kira 43 peratus pengundi Melayu - lebih daripada disasarkan parti itu.

Malah PAS juga memperoleh sokongan besar daripada pengundi-pengundi Cina kali ini untuk kekal di Bukit Gantang yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak 1959.

"Sokongan kaum Cina dianggarkan naik daripada 65 peratus ketika Mac 2008 kepada 75 peratus kali ini," kata Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, Asmuni Awi hari ini.

"Dari segi sokongan pengundi Melayu, kami sebenarnya hanya menjangkakan kira-kira 40 peratus tetapi kami peroleh hampir 43 peratus, ia melebihi sasaran kami," kata beliau.

Nizar memperoleh 21,860 undi manakala calon BN, Ismail Saffian menerima 19,071 undi dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris 62 undi.

Peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 41,626 (75 peratus) naik tiga peratus dengan undi rosak sebanyak 456.

Nizar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, menang dengan majoriti 2,789 undi berbanding diperoleh Allahyarham Roslan Shaharum, dari PAS, sebanyak 1,566 undi. Mengenai sokongan pengundi India pula kata beliau, ia tidak jauh berubah dengan kekal dalam lingkungan 60 peratus berbanding 63 peratus ketika pilihan raya umum 2008.

Bahagian Parlimen Bukit Gantang terdiri daripada 55,562 pemilih dengan kaum Melayu mewakili kira-kira 63.5 peratus, diikuti masyarakat Cina 27.1 peratus, India 9.1 peratus dan selebihnya kaum lain.

Kata beliau, walaupun ada usaha untuk menghalang arah aliran sokongan pengundi Cina dan Melayu kepada PAS tetapi pihaknya berjaya memperoleh sokongan besar.

Dari segi prestasi mengikut bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau berkata, pihaknya menerima sokongan memuaskan di DUN Kuala Sepetang.

Kali ini PAS memengani tambahan satu peti undi berbanding lima tahun lalu di DUN Kuala Sepetang.

Di bahagian itu, PAS memperoleh 8,466 undi berbanding 7,490 manakala BN juga mengalami kenaikan iaitu daripada 6,193 kepada 6,259.

Di DUN Changkat Jering, kali ini PAS kehilangan satu peti undi kepada BN iaitu Changkat Jering.

Pada pilihan raya umum lalu PAS menguasai lapan peti undi di DUN Changkat Jering yang wakilnya telah keluar PKR dan Pakatan Rakyat lalu bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Kedua-dua BN dan PAS memperoleh sokongan undi lebih baik kali ini.

PAS menerima 9,896 undi berbanding 9,163 Mac tahun lalu manakala BN pula 8,206 undi berbanding 7,939 undi.

Berhubung kedudukan di DUN Trong, yang dikuasai BN tahun lalu, PAS juga kehilangan satu peti undi. Tahun lalu kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat menguasai masing-masing tujuh peti undi.

Dari segi undi sokongan, kedua-dua BN dan PAS menerima peningkatan undi.

Misalnya PAS merekodkan 3,367 undi berbanding 3,301 tahun lalu manakala BN memperoleh 4,124 undi berbanding 4,021 undi Mac 2008.

Dari segi undi diperoleh, PAS menguasai DUN Kuala Sepetang dan Changkat Jering.

Read More...

Senarai Kabinet Najib Belum Muktamad

msomelayu

KEMUNGKINAN sebelum menjelang 3:00 petang esok Najib Razak akan merombak dan mengemaskinikan beberapa kali lagi Kabinet sulungnya. Semalam Kabinetnya dikatakan telah pun disusun dan bakal diumumkan hari ini. Namun disebabkan ada tekanan dan berbagai -bagai pandangan Najib menangguhkan untuk mengumumnya.

Masalah Najib itu terselamat hari ini apabila beliau masih berbincang dengan dua lagi ketua parti komponen iaitu parti PBB dari Sarawak dan ketua parti MIC. Jadi penangguhan itu boleh dijadikan alasan menutup keserabutan Najib.

Beberapa ketua parti lain juga turut sama menemui Najib hari ini dan siri-siri pertemuan itu berakhir dengan kehadiran Muhyiddin Yasssin. Kehadiran Muhyiddin menemui Najib tadi adalah untuk mencapai konsesus akhir. Soalanya siapakah yang berada di balik tabir yang memberi ilham dan bisikan kepada Najib?

Ada yang mengatakan Mahathir Mohamad, Sanusi Junid dan juga Daim Zainuddin. Peranan ketiga ahli politik bertaraf "lesung hindik" ini tidak dapat disahkan. Samada Mahathir berperanan atau tidak ia terjawab esok. Dalam pada itu semasa perhimpunan agung Umno lalu nama Sanusi didondang-sayangkan sebagai penasihat keselamatan kepada kerajaan Najib.

Sekiranya Mukhriz menyertai Kabinet Najib samada sebagai, menteri atau timblan menteri atau setiasuaha parlimen maka jelas Mahathir ada saham dalam penyusunan Kabinet sulung perdana menteri ke 6 itu. Manakala kalau Mukhriz menyertai Kabinet maka Khairy Jamaluddin sudah tentu akan terpelanting. Ini bermakna kunjungan Mahathir untuk bersarapan dengan Najib selepas sehari Najib mengangkat sumpah itu ia bukan saja untuk makan 'soto Muar' tetapi ada perbicangan santai yang lain.

Siang tadi saya sempat menghubungi beberapa orang yang dikatakan akan dilantik dan mereka yang hampir dengan beberapa orang yang dikatakan akan dilantik atau dibawa masuk ke dalam Kabinet Najib. Mereka ini rata-rata mengunci mulut tidak mahu menceritakan apa yang berlaku hatta ke atas diri mereka sendiri.

"Tidak boleh sebut kerana belum angkat sumpah, segala-galanya boleh berlaku. Nak lantik menteri ini samalah nak pilih calon pilihan raya. Baik nama kita disenaraikan tiba-tiba boleh hilang begitu saja," kata seorang ahli Parlimen nun jauh dari Sabah.

Namanya juga disebut akan dilantik menjadi menteri. Daripada percakapan dan cara dia ketawa seakan dia sudah pasti namanya berada dalam senarai Kabinet Najib. Khabarnya dua muka baru di Sabah akan menyertai Kabinet Najib.

Kejutan juga bakal berlaku esok bila mana negeri Melaka yang ketiadaan wakil dalam jemaah menteri mungkin terisi. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi besar kemungkinan akan dinaikan pangkat menjadi menteri penuh. Kalau jadi ia merupakan satu sejarah buat Melaka.

Manakala sehingga saat ini nama-nama menteri yang dikatakan kekal terbuang, Azalina Othman Said, Muhammad Mohd Taib, Syed Hamid Albar masih kekal 'dibuang' oleh Najib. Nama-nama turut yang akan terpelanting lain, Rais Yatim, Nur Mohammad Yaacob. Rais juga berada dalam kemungkinan sama ada dikekalkan sebagai menteri ataupun dilantik sebagai Setiausaha Agung Umno. Mereka itu dianggap sebagai orang Abdullah Badawi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Zulhasnan Rafique yang juga dianggap orang Abdullah bagaimana pun masih kekal. Katanya pengekalan Zulhasnan itu memandangkan performancenya di Wialayah memberangsangkan. Selama memegang kementerian itu Zulhasnan berjaya membawa beberapa perubahan termasuk idea untuk membangun Bandaraya moden yang lengkap dengan kemudahan IT. Kejayaan lain ialah mengadakan lagu dan bendera khas Wilayah di samping memperkenalkan darjah kebesaran dan pingat.

Kedudukan Khairy Jamaluddin seperti sudah pasti tidak tersenarai dalam Kabinet Najib. Khabarnya Kahiry telah pun dimaklumkan! Jika ini berlaku ia sesuatu yang malang bagi Najib kerana jelas ketiadaan Khairy nanti menunjukkan beliau ditangani oleh Dr Mahathir Mohamad. Walaupun sejuta satu Najib menafikannya orang tidak akan mempercayainya seperti mana sukar orang untuk tidak mempercayai Najib tidak terlibat dengan kes Altantuya, bahawa ditekan oleh Mahathir.

Seperti dikatakan sebelum ini jika Najib tegal untuk melenyapkan Khairy dan menimbulkan Mukhriz ini bermakna Najib bakal berdepan dengan situasi politik yang tidak tenang untuk masa akan datang. Tindakan itu juga merombak tradisi sebelum ini di mana ketua pemuda, Hishamuddin dibawa ke dalam Kabinet. Keberanian menafikan hak ketua pemuda itu akan dilihat sebagai tindakan double standard Najib.

Saya tidak mengira Khairy akan mendiamkan diri begitu saja. Dan apa yang Najib kena ingat Khairy bukan bersendirian, kalau Mukhriz ada penyokong setianya, apa kurangnya dengan Khairy. Kuasa Khairy dan Mukhriz sama besar dan sama banyak iaitu satu suara dalam Parlimen. Apa kata kalau tiba-tiba Khairy jadi berjiwa kecil merajuk dan menyokong Pakatan Rakyat, takkah haru?

Masalah MCA juga dikatakan masih belum selesai dan ini juga memungkinkan Najib akan mengemaskan senarai Kabinetnya sehingga Subuh kelak.

Setakat ini yang dapat dipastikan dua muka baru dari Kelantan juga akan dibawa masuk dalam Kabinet Najib. Kedua nama itu sudah pun tercatat terang dalam senarai Najib sejak semalam tadi dan tidak berubah hingga kini. Siapa, cubalah teka? [d' kota kl 10:30 pm 08/04/09]

Read More...

BATANG AI : Sebab Kekalahan Pakatan Rakyat

Greenboc

Bukan satu kejutan tetapi sepatutnya itulah keputusan bagi setiap pilihanraya yang dijalankan di Sarawak. Sebenarnya kemenangan BN di Batang Ai sudah dijangka atau direncana lebih awal.

Apa yang lebih menarik ialah keikhlasan dan keberanian Parti Keadilan Rakyat ( PKR ) yang mewakili gagasan Pakatan Rakyat untuk bertanding di Batang Ai. Secara teorinya senario pilihanraya di Sarawak tidak akan mampu memberi impak yang besar kepada barisan pembangkang untuk menang.

Kemenangan parti pembangkang adalah sesuatu yang ajaib sekiranya berlaku. Ini kerana disebabkan beberapa langkah efektif yang cukup licik dilakukan oleh kepimpinan BN dalam mengekang kemenangan parti pembangkang di Sarawak. Justeru itu untuk menjadi lebih bersedia dan bertenaga untuk Pakatan Rakyat memecah benteng kukuh BN di Sarawak pada Pilihanraya ADUN Sarawak pada 2011 nanti, perkara-perkara ini perlu diselesaikan terlebih dahulu. Apa guna berjuang kalau kita sudah pasti kalah. Tapi kalau nak berjuang pastikan peluang untuk menang itu ada. Inilah kunci kekuatan BN sarawak :

1. SPR Sarawak adalah agen pemerintahan BN yang boleh menentukan kemenangan BN pada peringkat awal pilihanraya. Lihatlah bagaimana mereka menetapkan pilihanraya Batang Ai ini disegerakan dan diselaraskan di ketiga-tiga kawasan. Kalau keputusan mereka boleh melambat PRK di Bukit Selambau dan Bukit Gantang selepas pemilihan UMNO mengapa tidak SPR menetapkan supaya PRK Batang AI ini lewat sedikit agar semua parti yang ingin bertanding mampu melaksanakan tugas mereka dengan adil.

Penyelarasan PRK Batang Ai ini dilakukan kerana SPR Malaysia mendapat signal daripada SPR Sarawak yang telah mendapat ilham daripada Taib Mahmud supaya meminta PRK ini dijalankan serentak dengan PRK di Semenanjung. Kenapa? Ini kerana ketakutan Taib untuk kalah di Sarawak menyebabkan beliau takut pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat menyerang kubu beliau di Sarawak. Semasa kempen PRK Batang AI ini tadi seluruh pimpinan BN termasuk dari Sabah dan Semenanjung turun berkampung di Batang Ai sedagkan PKR hanya menerima kunjungan Datuk Seri Anwar dan Menteri Besar Selangor sahaja. Kuputusan PKR kalah tapi bayangan hanya dua pemimpin PKR ini sudah cukup menakutkan REJIM TAIB di Sarawak.

2. Seperti yang dilaporkan oleh MAFREL Sarawak bahawa senarai daftar pemilih Sarawak adalah tidak terkini. Banyak terdapat nama pengundi yang tidak dapat dikesan atau sudah meninggakl dunia tetapi tidak dihapuskan. Dan apa yang mungkin MAFREL tidak tahu ialah SPR Sarawak boleh mengubah lokasi pengundi mengikut situasi panas BN. SPR boleh mengubah, menghilangkan dan memindahkan nama-nama pengundi ini sesuka hati mereka berdasarkan ilham yang dinyatakan oleh pimpinan BN Sarawak. Ya, apabila nama pengundi telah didaftarkan dalam mana-mana kawasan maka pengundi tersebut layak mengundi di kawasan tersebut walaupun sebenarnya dia bukanlah pengundi asal kawasan berkenaan. Dan paling licik helah SPR dalam melaksanakan agenda ini pengundi-pengundi yang telah dipastikan mengundi BN dari luar itu tahu mereka akan ditukarkan kerana mereka dijanjikan imbuhan oleh BN. Bagaimana parti pembangkang nak menang kalau sudah dicaturkan BN akan menang dalam setiap pilihanraya oleh SPR Sarawak ?

3. Dengan jelas lagi nyata dan terbukti BN Sarawak menggunakan DASAR POLITIK PEMBANGUNAN RASUAH yang dipelopori dan dibangga-banggakan oleh REJIM TAIB MAHMUD di Sarawak semasa pilihanraya ini. Dalam kempen-kempen BN rakyat bukannya didedahkan dengan ketokohan calon tetapi pengundi-pengundi diumpan dengan segala projek-projek mega di kawasan tersebut. Dalam kempen BN semasa PRK Batang Ai ini setiap seorang pemimpin-pemimpin BN menjanjikan satu projek untuk rakyat. Daripada menteri tempatan sehinggalah menteri-menteri persekutuan.

Ceramah Shafie Apdal dan Syed Hamid Albar begitu mudah dan perihatin menjanjikan projek-projek untuk setiap rumah panjang yang mereka kunjungi. Betapa majunya Batang Ai selepas ini seandainya segala projek-projek yang dijanjikan itu dilaksanakan selepas ini. Tetapi dalam menjanjikan setiap projek tersebut rakyat juga diugut dengan penarikan balik projek-projek tersebut sekiranya mereka memilih PKR atau parti pembangkang. Oleh kerana rakyat Sarawak dahagakan pembangunan, walaupun sebenarnya selama ini menteri-menteri ini tidak pernah melawat mereka dan membela mereka, terpaksa memilih BN kerana mereka tidak mahu segala projek ini tidak dilaksanakan. Nah apakah segala bentuk janji-janji projek ini bukan dikatakan rasuah ?

4. Ketidakjujuran SPR ini jelas membuktikan kepada kita bahawa SPRM dan POLIS sebenarnya menghalalkan rasuah pemimpin-pemimpin BN di Sarawak. Entah apa istilah RASUAH bagi SPRM dan apa ertinya lencana KAMI TIDAK RASUAH pada pakaian KETUA POLIS NEGARA itu jika rasuah BN ini sengaja dibiarkan berleluasa. Oleh kerana mereka-mereka ini diberi makan dengan hasil-hasil rasuah BN ini maka mereka takut akan kehilangan pangkat untuk menyatakan dan menangkap pemimpin-pemimpin BN yang rasuah dalam PRK ini.

5. Satu perkara yang rakyat Sarawak dan pemimpin-pemimpin pembangkang harus akui ialah keputusan dalam pilihanraya di Sarawak menunjukkan masih ramai pemikiran rakyat Sarawak yang masih mahu makan rumput di tanah subur Sarawak dan sejuk berteduh di bawah tempurung di tambah pula cerdik pandai di Sarawak masih takut serta mementingkan diri sendiri demi kedudukan mereka. Seandainya golongan cerdik pandai ini tahu masih ramai rakyat Sarawak yang masih mahu makan rumput atau berteduh di bawah tempurung seharusnya merekalah perlu mengubah pemikiran rakyat atas dasar kesyukuran mereka kepada nikmat Allah dan Tuhan yang Esa kerana menganugerahkan mereka kebijaksanaan untuk tidak bergantung kepada rumput untuk makan dan kekuatan mereka memecahkan tempurung keras itu. Tetapi ini tidak dilakukan mereka kerana mereka terlalu sayangkan kedudukan mereka. Para cerdik pandai ini sanggup membiarkan rakyat Sarawak terus berada di bawah cengkaman REJIM TAIB MAHMUD ini. Inilah hakikatnya mentaliti rakyat Sarawak.

6. Penduduk-penduduk Bumiputera Sarawak tidak mempunyai ketua jentera pembangkang yang benar-benar berwibawa. Faktor ini menyebabkan pergerakan jentera pembangkang di Sarawak terlalu lemah dan tidak berdaya menyedarkan pemikiran rakyat. Ketakutan mereka dicap sebagai tidak baik atau orang ' jaik ' masih tebal walaupun hakikatnya mereka mahu melawan dan menyuarakan hak mereka. Hanya jentera-jentera daripada masyarakat Cina sahaja yang menunjukkan kesungguhan mereka untuk berjuang mempertahankan agenda politik mereka. Di PRK Batang Ai, peranan pemimpin-pemimpin DAP jelas menunjukkan kesungguhan mereka untuk menjalankan tugas tanpa rasa takut kepada pemimpin-pemimpin BN atau pihak Polis.

Kepada Pakatan Rakyat yang ingin mengempur kubu BN Sarawak pada PR ADUN 2010@2011 nanti maka faktor-faktor inilah yang harus diselesaikan terlebih dahulu. Sesungguhnya peluang itu ada cuma belum dapat dimanfaatkan lagi. Selamat datang PAKATAN RAKYAT pada PR ADUN nanti. Teruskan perjuangan demi sebuah negara yang sejahtera dan dinamis.

-Wan Ezahar

Read More...

90 peratus undi bukan Melayu memihak Pakatan

KLpos

TAIPING: Calon Pas, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin diumumkan sebagai pemenang bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang selepas memperoleh majoriti 2,789 undi.

Bekas Menteri Besar Perak itu berjaya mempertahankan kerusi yang dimenangi Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) selepas memperoleh 21,860.

Beliau menewaskan calon anak tempatan daripada Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian yang memperoleh 19,071 undi dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris yang hanya menerima 62 undi dan hilang wang pertaruhan.

SEMENTARA ITU, KLPOS difahamkan BN menang di semua peti undi Melayu tetapi tewas teruk di tepi undi campuran.

"Dari kajian awal keputusan pilihanraya ini, kita dapati 90 peratus pengundi bukan Melayu mengundi PAS," kata sumber UMNO tersebut.

Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mahmod Morsidi kira-kira pukul 9.40 malam di Pusat Pengumpulan Peti Undi di Dewan Perbandaran Taiping di sini.

Beliau turut mengumumkan bahawa pilihan raya tersebut mencatatkan sebanyak 456 undi rosak.

"Peratus keluar mengundi bagi pilihan raya kecil ini adalah sebanyak 75 peratus bersamaan dengan 41,626 undi daripada 55,462 pengundi berdaftar.

"Dengan ini saya mengisytiharkan Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Bukit Gantang ialah Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin," katanya.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan selepas penyandangnya, Roslan Shaharum meninggal dunia akibat serangan jantung pada 9 Februari lalu.

Dalam PRU12, Roslan menang dengan majoriti 1,566 undi selepas mendapat 20,015 undi mengalahkan calon BN, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi yang mendapat 18,499 undi.

Selain kedua-dua calon itu, kerusi Parlimen Bukit Gantang turut ditandingi calon bebas, M. Morgan yang mendapat 872 undi.


Undi bukan Melayu disapu bersih PAS

Read More...

UMNO Tolak ISLAM, Tak Salah? -TGNA

Blogtokguru

“Sepatutnya sudah lama benda al-Quran ini dibaca dan digunakan dengan meluas oleh semua orang termasuk oleh orang Cina”.(Berita TV1 pada pagi 6 April 2009 dan rancangan Berita TV9 jam 8.00 malam). Inilah lebih kurang, bunyi kata-kata saya sewaktu diminta mengulas penggunaan dan sebutan ayat al-Quran oleh Exco Kerajaan Negeri Perak, YB. Nga Ko Ming.

Sebagai penjelasan lanjut, izinkan saya berkata begini.Islam ini pada dasarnya diturunkan untuk membawa petunjuk. Ia sumber hidayah. Ia menjadi rahmat dan penawar. Nilai gunanya adalah untuk seluruh semesta alam. Ia bersifat “rahmatal lil ‘alamiin.” Ia berguna untuk seluruh umat manusia tanpa mengira perbezaan kaum,suku bangsa, warna kulit dan bahasa. Sepatutnya, al-Quran itu boleh digunakan dengan jujur dan ikhlas oleh penggunanya tanpa mengira sesiapa.Pada saya, kesediaan YB. berkenaan yang cenderung menggunakan ayat al-Quran adalah satu permulaan kepada satu perkembangan yang cukup menggalakkan. Tidak ada sebab ia tidak dialu-alukan. Jika dalam zaman awal Islampun, Abu Lahab yang bukan Islam itupun diizin membaca dan memahami surah Al-Lahab yang mencela beliau, maka apa pilihan kita untuk menutup hak bukan Islam untuk mendekati, membaca dan cuba memahami al-Quran ?

Isu ini bermula sebaik saja pemimpin Umno mencetuskan keresahan demi meraih perhatian untuk mendapatkan populariti dan simpati ke atas partinya yang semakin dibenci orang. Saya diberi faham bahawa isu asal hanyalah kecil. Isu yang berbangkit ialah nama surah sahaja yang disebut salah tetapi ayat yang dikutip dan diterjemahan adalah betul.
Bacaannya masih OK; cuma intonasi dan sebutannya saja yang sedikit tersalah. Tetapi, taklah pula bacaannya itu sebaik seorang qari musabaqoh atau tilawah. Hatta, ada juga orang Islam baka, yang sudah lama Islamnya sekalipun; masih tidak sempurna dari segi tertib dan tartil, dari segi sebutan dan tajwid serta lafaz panjangpendeknya.

Apa yang saya nampak, YB. berkenaan tidak mentafsir. Dia cuma membaca terjemahan "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan". Dia terjemah perkataan “ehsan” sebagai 'belas kasihan'. Itu saja.

Dalam Islam, ada satu perkara yang disebut “ Li iilaafi-quraisy “ seperti yang terkandung didalam surah Quraisy ayat 1. Maksud bergerak dari kalimat ini saya ertikan sebagai “menjinak atau menjinakkan.” Menjinakkan siapa, jika tidak orang-orang yang belum Islam kepada Islam? Disini, apa salah orang Cina jika dia baca Quran dengan tujuan untuk berjinak-jinak dengan Islam? Jika katakan tersalah(katakan), maka dengan lemah lembut dibetulkan. Tak berbangkit sama sekali soal keperluan lapuran Polis oleh sesiapa. Pada saya, ini percubaan menutup ruang dan menyekat langsung laluan non-Muslim mendekati Islam seperti yang pernah dilakukan oleh sebahagian dari penguasa masjid di tempat-tempat tertentu yang menghalang orang non Islam dari memasuki masjid. Sedangkan dalam surah ‘Abasa, jelas yang Nabi SAW menerima, menegur dan membimbing orang Islam dan non Islam didalam masjid.

Berbalik kepada isu, jika orang Cina baca salah, maka apa jaminan yang orang Melayu yang kebanyakannya datang dari jenis Islam baka inipun turut tidak salah ? Hal ini boleh disahkan oleh guru-guru tajwid seluruh negara pada bila-bila masa. Ambil saja surah al-Fatihah yang menjadi ummul kitab.Saya tidak suka mencabar tetapi saya hampir pasti akan kekurangan yang juga turut melanda orang Melayu yang diperanakkan dalam suasana Islam sepenuhnya ini.satu lagi ialah apa gunanya Quran jika tidak untuk dibaca?Bagaimana orang bukan Islam mahu memahami jika diharamkan mereka dari bertatih membaca al-Quran. Ini permulaan.Kita kena faham. Hatta, Saidina Umar sendiri diwaktu belum Islam(kufur) sekalipun direkodkan pernah merampas sesuatu dari tangan adik beliau. Beliau lalu mendapati bahawa ia satu tulisan dari Surah Toha lalu beliau membacanya dalam keadaan genggam dan lepas. Sebenarnya kufur zaman dulu adalah orang Cina atau Indialah di zaman sekarang. Sepatutnya, kita berbangga apabila orang bukan Islam boleh memetik dan cuba-cuba membaca ayat dari kitab suci kita.

Salah satu punca kelemahan dalam menguasai ilmu pembacaan al-Quran ini ialah tidak dapat menguasai tulisan jawi. Ini kerja siapa jika tidak dari kerja pemimpin Umno akibat dari “dasar anti- jawi” mereka yang amat dungu? Pemimpin Umno yang sebelum inilah? Dalam keadaan pemimpin Umno yang meninggalkan Quran dan telah membunuh tulisan jawi itu, tiba-tiba, apabila ada pemimpin Cina membaca Quran dalam pelat yang dipandang salah, pemimpin Umno sibuk mendesak DAP mengemukakan permohonan maaf secara terbuka. Disini soalan pertama saya, mana lebih besar dosanya, menolak Quran dan mengherdik hukum Islam dengan dosa cuba membaca al-Quran? Soalan kedua saya, apa kata, jika dalam satu masa terdekat, ada pihak yang dapat buktikan yang ada juga pemimpin Melayu dari Umno yang membaca Quran dengan salah? Mahu atau wajarkah mereka dimalukan dengan dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka?

Saya perlu ingatkan di sini bahawa kita sedang hidup di zaman IT. Ingatlah bahawa bukti cukup mudah untuk dicari. Saya pernah tengok keajaiban teknologi internet yang ditunjukkan oleh kawan-kawan dan anak cucu saya. Di sana ada kamera digital, adanya “youtube”, ada 3G, ada pen drive, CD, email dan pelbagai lagi rangkaian produk rakaman yang cukup sofistikated.

Dalam hal begini saya lebih gemar kita semua melakukan muhasabah. Jika takdirnyalah, rakan-rakan kita dari yang “belum Islam” ini ada kekurangan dari segi sebutan ayat-ayat Quran, kenapa kita tidak berfikir untuk adakan kelas-kelas asas pengenalan ilmu al-Quran kepada non Islam? Dalam hal ini, gunakanlah semua rangkaian radio dan telivisyen kita untuk mengadakan slot-slot rancangan berupa kelas “mesra al-Quran” seperti yang ada dalam rancangan “learn a word a day” atau belajarlah satu perkataan satu hari . Mungkin juga ia boleh disusuli dengan kelas-kelas malam percuma di semua masjid dan surau. Mungkin juga, kelas-kelas tuisyen malam disekolah-sekolah boleh juga diatur seperti sistem sekolah dewasa di awal tahun 60 han. Atau , kita ada IKIM, JAKIM, YADIM, dan Jabatan-Jabatan Agama Islam setiap Negeri. Saya percaya, kita boleh melakukan sesuatu ;mengambil kesempatan dan menafaat dari trend keghairahan baru yang sihat ini demi membangun bersama Islam dan mendekatkan non Islam kepada Islam.

Di sini, tidak bolehkah kita sama-sama cuba berfikir dalam kerangka pemikiran sebuah kerajaan. Janganlah terlalu mahu berpolitik secara berparti dalam serba-serbi sehingga segenap perkara hendak dipolitik mengikut syak wasangka kepartian. Sikit-sikit menuntut maaf.Ini seperti yang didesak oleh Naib Ketua Bahagian Hulu Terengganu misalnya dalam akhbar semalam bertarikh 7 April 2009. Sikit-sikit lapuran polis. Sikit-sikit ini perkara perkauman, menghasut, sensitif dan boleh menimbulkan pecah belah. Jika kita tidak sensitifkan isu ini maka tidak sensitif lah ia. Perkara ini bukannya susah sangat tetapi sengaja nak dikeliru dan nak disusah-susahkan. Mungkin dalam kekeliruan dan kemarahan yang sengaja di api-apikan itulah Umno mengharapkan dirinya dijulang. Sekarang, orang sudah ramai yang cerdik. Ini khususnya dikalangan orang-orang muda. Mereka biasanya lebih cepat menghidu dan dapat membezakan terus antara durian dengan tempoyak.

Sebagai penutup, mari kita mendalami keluhan dukacita YB. Nga di atas pendirian terbaru Umno ini. Kata beliau, “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.” Pendek kata, pelik sungguh Umno ini. Dia tolak Islam tak salah. Orang Tionghua nak dekati Islam melalui bacaan al-Quran di kira salah ?

Sejak kalah di kedua bukit, Umno ini, betul-betul sudah menjadi sebuah parti yang meracau. Tidak cukup dengan seribu satu masalah di kedua tangan, dia masih menimbulkan masalah. Kehadirannya cukup menimbulkan serba salah. Ajaran yang dibawanya semakin sehari semakin salah.


Nik Abdul Aziz Nik Mat
Menteri Besar kelantan
Tanggal: 7 April 2009

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |