+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++
Showing posts with label mahkamah. Show all posts
Showing posts with label mahkamah. Show all posts

Tuesday, May 26, 2009

Keputusan mahkamah satu skrip dan matinya demokrasi

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob
Sun | May 24, 09 | 7:58:47 am MYT

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi kemenangan 3-0 kepada Dato' Dr Zambry Abdul Kadir pada 22 Mei lalu adalah satu keputusan yang telah diskripkan.

Demikian kata Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu semasa diminta mengulas keputusan kes rayuan Dr Zambry bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan Dato' Seri Ir NIzar Jamaluddin selaku MB yang sah.

Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Mohammad Nizar Jamaluddin.

Mengulas lanjut Mohamad Sabu berkata, keputusan yang telah diskripkan itu menandakan matinya demokrasi di negara ini.

"Keputusan ini sangat pelik kerana ia telah bocor dahulu, seluruh media BN telah menanti hanya untuk umumkan sahaja, satu lagi tanda sebelum keputusan dibuat ramai Adun dan pemimpin BN hadir, tak macam semasa keputusan di Mahkamah Tinggi,"ujarnya.

Meskipun begitu Mohamad Sabu masih mengharapkan akan berlakunya pembubaran Dun oleh pihak BN.

Dalam keputusannya, panel tiga hakim yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian pada 21 Mei sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Dato' Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Dato' Md Raus Sharif, Dato' Zainun Ali dan Dato' Ahmad Maarop.

Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca.

Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - sebagai pencelah - turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN. - mks. _

Read More...

Thursday, April 9, 2009

Kes Altantuya : Peguam Azilah dan Sirul buat rayuan.

Suara Keadilan

SHAH ALAM, 9 April (SK) KEMASKINI: Peguam kepada Cif inspektor Azilah Hadri and Korporal Sirul Azhar Umar, Hasnal Rezua Merican akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan keatas mereka oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Mohd zaki Mohd Yassin pagi tadi.

Manakala Karpal Singh yang menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Altantuya juga menyatakan bahawa sabitan ke atas kedua-dua tertuduh itu, tidak dapat memperbaiki imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Satu lagi persoalan yang belum terjawab ialah sama ada kedua-dua tertuduh itu melakukannya atas kehendak sendiri atau diarahkan berbuat demikian oleh orang lain.

Menurut ketua pihak pendakwaraya Tun Majid Tun Hamzah, pula berkata pihaknya berpuas hati dan telah membuktikan bahawa tiada orang lain terbabit dalam kes pembunuhan itu.

“Pastinya Dr Shaariibuu Setev (bapa Altantuya) tidak akan puas hati kerana beliau merasakan terdapat orang lain lagi yang turut terbabit tetapi terlepas daripada hukuman,” kata Karpal Singh kepada pemberita diperkarangan mahkamah pagi tadi.

Menurutnya, masih banyak persoalan yang belum terjawab berhubung motif pembunuhan wanita Mongolia itu.

Kedua-dua mereka didapati bersalah di atas tuduhan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibu di kawasan antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Puncak Alam, antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006 lalu.

Altantuya. dibunuh dengan kejam sebelum mayatnya diletupkan dengan bom C4 di kawasan hutan di Puncak Alam.

Kes berprofil tinggi ini yang dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda, yang rapat dengan Perdana Menteri Najib Razak dituduh bersubahat dengan pembunuhan berkenaan.

Sejak kes terbabit diketahui umum, Najib berulangkali terpaksa menafikan sembarang pembabitannya dalam kes tersebut yang mengundang liputan meluas di merata dunia.

Read More...

Altantuya: Azilah, Sirul dihukum mati



GANTUNG SAMPAI MATI...Cif Inspektor Azilah Hadri dan Kpl Sirul Azhar Umar dikenakan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah kerana membunuh Altantuya Shaariibu. Foto THE STAR Oleh KAMARUL ARIFFIN.

SHAH ALAM: Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah didapati bersalah atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pihak pendakwaan telah membuktikan tanpa keraguan munasabah kes terhadap Azilah, 33, dan Sirul Azhar, 37.

Katanya pembelaan kedua-dua tertuduh berdasarkan kepada penafian dan juga menyalahkan satu sama lain, dan dengan itu, ianya tidak boleh dipercayai.

"Mereka gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang dapati konklusif.

"Saya dengan ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kamu, Azilah dan Sirul Azhar," kata Mohd Zaki.

Kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) ini selesai memberi keterangan membela diri Februari lalu tanpa memanggil saksi lain selain mereka sendiri.

Azilah yang diwakili dua peguam, Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar membela diri dengan memberi keterangan di kandang saksi manakala Sirul Azhar yang diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Marican dan Ahmad Zaidi Zainal memilih untuk membacakan keterangan bertulis di kandang tertuduh.

Dalam kes yang pernah menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa ini, kedua-dua mereka didakwa membunuh Altantuya, berusia 28 tahun, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Sebelum ini, mereka dibicarakan bersama-sama Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC), Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya.

Bagaimanapun pada 31 Oktober 2008, penganalisis politik itu dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat.

Read More...

Saya Ingin Bebas - Azilah

Bernama

Oleh Zalina Maizan Ngah

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- "Jika ditanya, saya memang ingin bebas daripada tuduhan ini," kata Cif Inspektor Azilah Hadri penuh harapan walaupun menerima hakikat dia bakal berhadapan dengan hukuman mati esok (Khamis) sekiranya Mahkamah Tinggi membuat keputusan sebaliknya.

Azilah yang didakwa membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu tiga tahun lalu menyatakan demikian kepada Bernama pada hari terakhir perbicaraan membela diri di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Februari lepas.

Kata-katanya itu disambut dengan senyuman oleh tunangnya Nur Azila Baharuddin yang sentiasa berada di sisi memberi sokongan. Dan menurut Nur Azila, sekiranya impian Azilah menjadi kenyataan, mereka akan berkahwin secepat mungkin.

Nur Azila berkata dia amat berdebar dan takut untuk berhadapan dengan kenyataan esok.

Koperal Sirul Azhar Umar, tertuduh kedua dalam kes ini, yang lebih pendiam berbanding Azilah, menyatakan perasaan yang sama apabila ditanya. Wajah seriusnya tiba-tiba berubah dan sambil tersenyum dia menjawab :"Insyaallah ada harapan."

Kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) ini selesai memberi keterangan membela diri Februari lalu tanpa memanggil saksi lain selain mereka sendiri.

Azilah, 33, yang diwakili dua peguam, Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar membela diri dengan memberi keterangan di kandang saksi manakala Sirul Azhar, 37, yang diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Marican dan Ahmad Zaidi Zainal memilih untuk membacakan keterangan bertulis di kandang tertuduh.

PENDAKWAAN TIGA TAHUN LALU

Dalam kes yang pernah menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa ini, kedua-dua mereka didakwa membunuh Altantuya, berusia 28 tahun, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi, 20 Okt 2006.

Sebelum ini, mereka dibicarakan bersama-sama Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC), Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya.

Bagaimanapun pada 31 Okt 2008, penganalisis politik itu dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat.

Ketiadaan Abdul Razak menyebabkan perhatian masyarakat kian pudar terhadap perbicaraan kes ini dan ramai yang tidak sedar dua lagi tertuduh hanya baru tamat membela diri dan nasib mereka akan ditentukan esok.

Media juga sejak itu tidak lagi memenuhi kamar mahkamah dan tiada lagi sebarang sekatan polis untuk mengehadkan mereka yang membuat liputan, kerana terlalu ramai, seperti mana peringkat awal dahulu.

Abdul Razak kini melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Oxford, United Kingdom.

KETEGASAN HUJAH PENDAKWAAN

Sebagai tertuduh, Azilah dan Sirul Azhar yang mengaku tidak bersalah sudah berhujah dan mengharapkan pembebasan, tetapi bagi pihak pendakwaan, kedua-duanya ialah orang yang benar-benar terlibat dalam pembunuhan Altantuya hingga jasadnya berkecai akibat dibom.

Pendakwaan yang dibarisi Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid menegaskan di dalam hujahan mereka bahawa Azilah dan Sirul Azhar telah merancang pembunuhan Altantuya.

Berdasarkan keterangan saksi semasa kes pendakwaan, bom yang digunakan untuk meletupkan mayat Altantuya, berkemungkinan diletakkan ke dalam mulut wanita itu.

Hujahan Manoj di akhir kes pembelaan juga berkata kedua-dua tertuduh mempunyai motif untuk membunuh dan jenayah yang dilakukan telah dirancang lebih awal.

Manoj berkata beberapa keterangan keadaan yang cuba dibuktikan oleh pihak pendakwaan kekal tidak disangkal, tidak dijelaskan dan tidak dijawab oleh kedua-dua tertuduh.

"Kekukuhan gabungan beberapa keterangan itu apabila dipintal telah membentuk dua utas tali, cukup kuat untuk menggantung setiap tertuduh...

"Pihak pendakwaan telah membuktikan keraguan melampaui munasabah akan kesalahan kedua-dua tertuduh, mewajarkan sabitan terhadap pertuduhan membunuh yang dilakukan atas niat bersama kedua-dua mereka," katanya.

PEMBELAAN DI AKHIR KES

Azilah yang mula memberi keterangan pada 15 Jan lalu , berkata dia tidak mempunyai sebarang motif untuk membunuh dan melenyapkan wanita itu sebaliknya tujuan dia berjumpa dengannya (Altantuya) hanya untuk menasihati Altantuya secara lembut supaya tidak mengugut Abdul Razak dan tidak membuat kecoh di rumah penganalisis politik itu.

Azilah juga memberitahu mahkamah dia diarahkan oleh seorang anggota polis atasan, DSP Musa Safri untuk membantu Abdul Razak dan tidak mungkin melakukan perbuatan "bodoh" (membunuh) itu apatah lagi dia adalah anggota polis.

Pembelaan Sirul Azhar pula amat mengejutkan kerana dia bukan sahaja dilihat mengalirkan air mata, malah kenyataannya bahawa dia sekadar kambing hitam yang harus dikorbankan, amat menyentuh perasaan.

"Saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam. Saya merayu kepada mahkamah yang kini berada di dalam kedudukan dan mempunyai kuasa untuk menentukan hidup dan mati saya, agar tidak menghukum saya sekaligus menyempurnakan perencanaan mereka terhadap saya," katanya pada 4 Feb lalu sambil membacakan nota bertulis.

KEPUTUSAN YANG DITUNGGU-TUNGGU

Kes ini bukan sahaja dilabelkan sebagai perbicaraan yang paling panjang (159 hari) dengan mengemukakan 84 orang saksi di peringkat pendakwaan dan dua saksi (tertuduh sahaja) ketika pembelaan, tetapi merupakan kes utama mahkamah selama dua tahun (sebelum Abdul Razak bebas).

Mengikut rekod, Azilah ditahan di penjara Sungai Buloh selama 891 hari manakala Sirul Azhar ditahan selama 895 hari.

Peranan dua anggota UTK ini dalam pembunuhan Altantuya memang menjadi perdebatan dengan pelbagai tanggapan timbul, tetapi apapun keputusan mahkamah akan menentukan sama ada mereka akan bebas seperti mana Abdul Razak, atau berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati.

-- BERNAMA

Read More...

Saturday, April 4, 2009

Mahkamah benar Nizar cabar Zambry

kosmo online


NIZAR



ZAMBRY



KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam diberi "lampu hijau" oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar kesahihan pelantikan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Ini berikutan keputusan Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim bahawa permohonan yang difailkan oleh Mohammad Nizar pada Februari lepas adalah tidak remeh, tidak menyusahkan dan mempunyai kes prima facie untuk dihujah di mahkamah.

Hakim Abdul Aziz berkata, dalam hujah mereka, peguam kedua-dua pihak bersetuju bahawa mahkamah tidak boleh menghakimi keputusan Sultan Azlan Shah melantik Zambry sebagai Menteri Besar dan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Malah, kata hakim itu, dalam permohonannya, Mohammad Nizar cuma mempersoalkan kesahihan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar.

Peguam Sulaiman Abdullah mewakili Mohammad Nizar manakala Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Said mewakili Jabatan Peguam Negara dalam kes itu.

Hakim Abdul Aziz menetapkan Rabu depan untuk pengurusan kes itu dan memerintahkan Sulaiman memfailkan dokumen berkenaan termasuk afidavit selewat-lewatnya Selasa depan.

Read More...

Saturday, November 15, 2008

Altantuya: Pendakwa tidak rayu, Razak boleh rasa lega

Mstar Online

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, yang dilepaskan daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, kini boleh menarik nafas lega apabila pihak pendakwaan mengesahkan tidak akan merayu terhadap keputusan pembebasannya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, dua minggu lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, yang mengetuai barisan pendakwaan kes itu, berkata pihak pendakwaan tidak akan memfailkan rayuan atas alasan hakim yang memutuskan kes telahpun membuat penemuan fakta dalam membebaskan Abdul Razak.

"Tiada komen lanjut memandangkan perbicaraan kes akan bersambung bagi pembelaan Azilah dan Sirul," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 31 Okt lepas, Abdul Razak, 48, dibebaskan tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan Altantuya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, dituduh bersubahat dengan dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Insp Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dalam pembunuhan Altantuya di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi, 18 Okt, 2006, dan 9.45 malam keesokannya.

Azilah, dan Sirul Azhar diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh ibu dua anak lelaki yang berumur 28 tahun itu di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam, 19 Okt 2006, dan 1 pagi keesokannya. Mereka menghadapi hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 15 Jan tahun depan untuk keduadua mereka mengemukakan keterangan membela diri. BERNAMA

Read More...

Friday, November 14, 2008

Pendakwa tidak rayu pembebasan Razak

Malaysiakini

Hafiz Yatim | Nov 14, 08 7:05pm

Timbalan Pendakwaraya, Tun Majid Tun Hamzah mengesahkan bahawa pendakwa tidak akan memfail rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan penganalisa politik, Abdul Razak Baginda, daripada tuduhan bersubahat membunuh Altantuya Shaariibuu.

altantuya trial 160707 tun majidBeliau mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Bagaimanapun beliau tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana kes tersebut masih berjalan.

Pada 31 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia tersebut.

Dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh Altantuya, diperintah membela diri.

razak baginda acquitted 311008 09Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, pula dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober tahun 2006.

Pihak pendakwa mempunyai 14 hari untuk memfailkan rayuan terhadap penghakiman tersebut.

Sehingga jam 5 petang tadi, semakan di bahagian pendaftaran mahkamah mendapati tiada rayuan yang difailkan terhadap pembebasan Abdul Razak.

Read More...

Kes liwat Anwar: Pendakwaan dan pembelaan terus bertelagah, Mahkamah Tinggi dengar rayuan 20 dan 21 Nov

Mstar Online

ANWAR bersama Azizah di Mahkamah Sesyen hari ini. -foto The Star oleh AZMAN GHANI

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dan pembelaan bagi kes liwat Datuk seri Anwar Ibrahim terus bertelagah mengenai urusan pemindahan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi walaupun Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 1, S.M Komathy Suppiah mendapati sijil pemindahan yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak sah.

Sesi sebutan kes yang dijadual bermula hari ini terpaksa ditangguhkan apabila pihak pendakwaan memfailkan semakan semula terhadap keputusan hakim berkenaan buat kali kedua ke Mahkamah Tinggi.

Pada awal sesi sidang mahkamah hari ini, Peguam R. Sivarasa yang mewakili pihak pembelaan mempersoalkan tentang pelanggaran akujanji pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang berjanji akan menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Sivarasa berhujah berdasarkan peruntukan Seksyen 51(A) yang menjelaskan segala dokumen yang berkaitan mestilah disediakan oleh pihak pendakwaan sebelum tarikh perbicaraan.

"Yang Arif, pihak pendakwa telah melanggar akujanji yang mengatakan bahawa mereka akan menyerahkan dokumen tersebut sepatutnya pada hari ini sebelum perbicaraan bermula," katanya.

Bagaimanapun Mohamed Yusof memaklumkan kepada mahkamah peruntukan seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 terutamanya bagi sub-seksyen 35(2) yang memperuntukan bahawa memandangkan ada permohonan semakan semula, semua prosiding di mahkamah rendah hendaklah digantung.

"Oleh itu kami meminta supaya semua prosiding berhubung dengan kes ini ditangguhkan sementara menunggu apa-apa keputusan dan arahan Mahkamah Tinggi berhubung dengan semakan semula kes tersebut," katanya.

Pada 11 November lalu, pihak pendakwaan telah memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap keputusan yang dibuat Komathy pada 7 November lalu.

Kemudian pada 12 November, Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi (Bahagian Jenayah) memaklumkan bahawa Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan 20 hingga 21 November depan untuk mendengar penghujahan kedua-dua pihak berhubung semakan tersebut.

Alasan yang diberikan Mohamed Yusof masih tidak memuaskan hati pihak pembelaan yang tetap menggesa pihaknya mengemukakan dokumen yang berkaitan kerana kes tersebut akan tetap dibicarakan.

"Kami memerlukan dokumen tersebut untuk buat persediaan dalam kes ini, walaubagaimanapun kes ini akan tetap dibicarakan," kata Sivarasa.

Oleh yang demikian, Mohamed Yusof memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menyerahkan segala dokumen yang diperlukan itu.

Menurutnya, dokumen berkenaan akan diserahkan pada petang ini.

Sementara itu Anwar yang ditemui diluar mahkamah menjelaskan tindakannya 'mencelah' sewaktu Mohamed Yusof berhujah bagi menyangkal dakwaan Sivarasa yang sangsi sebab pihak pendakwaan tidak mahu menyerahkan dokumen-dokumen berkenaan yang berkemungkinan telah diubah, diganggu ataupun hilang seperti yang berlaku sepuluh tahun lalu.

"Sebab tulah saya sergah dalam mahkamah tadi, kita baru cuit sikit dia dah melenting...kalau dah tahu sepuluh tahun lalu ada buat salah, mengaku sahajalah, buat apa nak teruskan kezaliman.

"Sekarang 'pemain-pemain' utama adalah orang sama, cuma pelakonnya sahaja dah tua," katanya sinis.

Ketika di dalam mahkamah, Anwar mencelah dengan mengatakan: "Sejak sepuluh tahun lalu anda tidak pernah minta maaf."

Celahan itu dibuat apabila Mohamed Yusof menyatakan beliau sudah bosan dengan dakwaan Anwar bahawa pihak pendakwaan berat sebelah sewaktu mengendalikan kesnya.

Mohamed Yusof dengan nada yang emosional berkata: "Saya sudah bosan dengan dakwaan seperti ini, semua dokumen ada pada saya hari ini dan tak ada masalah untuk saya serahkan kepada pihak pembelaan."

Dalam pada itu Sivarasa yang menggantikan peguam kanan barisan pembelaan, Sulaiman Abdullah yang tidak hadir pada prosiding hari ini berkata pihak pembelaan membantah sekeras-kerasnya tindakan pihak pendakwaan yang enggan menyerahkan dokumen-dokumen terbabit.

"Kami bangkitkan persoalan mengenai mengapa mereka tidak mahu serahkan yang mungkin ada sesuatu (agenda).

"Namun akhirnya mereka ubah pendirian dan berjanji akan serahkan semuanya petang ini atau esok," katanya.

BERITA TERDAHULU

KUALA LUMPUR: Sidang sebutan kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Sesyen mula dibicarakan pukul 9.48 pagi ini.

Anwar tiba di mahkamah bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga pada pukul 9.28 pagi ini.

Pada 7 November lalu, Hakim S.M Komathy Suppiah memutuskan untuk mendengar kes itu di Mahkamah Sesyen selepas mendapati sijil untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak sah.

Anwar, 61, menghadapi perbicaraan atas tuduhan dengan sukarela melakukan liwat ke atas bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun.

Jika sabit kesalahan, beliau menghadapi hukuman penjara hingga 20 tahun di bawah Sekseyen 377B kanun Keseksaan. Beliau sekarang bebas dengan bon peribadi RM20,000.

Pasukan pendakwana diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden iaitu ketua unit pendakwaan di Jabatan Peguam Negara. Beliau dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Farhan Read dan Shamsul Sulaiman.

Pasukan peguam bela terdiri daripada Sulaiman Abdullah, R. Sivarasa, Sankara N.Nair, Leela Jesuthasan, Edmund Bon, Saiful Idham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd Radzlan Jalaludin.

Kes tersebut, yang kedua melibatkan Anwar dalam satu dekad ini, pertama kali disebutkan awal Ogos lalu.

Kemudian pendakwa mohon ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,

Minggu lalu, sebelum tarikh ditetapkan, timbalan pendakwa raya Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, ketua unit pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, meminta mahkamah menetapkan tarikh pendengaran.

Bagaimanapun Sulaiman, peguam utama Anwar, memberitahu mahkamah pendakwa perlu mengemukakan dokumen tertentu seperti laporan perubatan dan kimia berkaitan kes kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Ketika menolak permohonan pendakwaan untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, Komathy memutuskan oleh kerana sijil itu ditandatangani sendiri oleh Abdul Gani, ia melanggar ekspektasi undang-undang Anwar bahawa Abdul Gani tidak akan terlibat dalam kes itu.

Pada Selasa lalu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memutuskan kes ini tetap dibicarakan di mahkamah itu tanpa perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Rayuan itu difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah Sesyen.

Read More...

Tuesday, November 11, 2008

Mahkamah tolak pinda tuduhan hasutan terhadap Raja Petra

Mstar Online

RAJA Petra Kamaruddin (kanan) ditemani isterinya Marina Lee Abdullah (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dekat sini bagi menyambung perbicaraan berhubung penerbitan artikel berbaur hasutan hari ini. - fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan terhadap pengendali dan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin, untuk memasukkan dua intipati iaitu tajuk artikel dan alamat laman web.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas permohonan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof untuk memasukkan dua intipati itu dibantah oleh peguam yang mewakili Raja Petra, Gobind Singh Deo.

Dalam permohonannya, Ishak berkata kemasukan dua intipati itu penting supaya ia lebih konsisten dengan pertuduhan yang dikenakan.

”Tujuan pindaan tersebut adalah untuk memastikan tertuduh lebih memahami pertuduhan yang dikenakan mengikut Sesyen 153(1) Kanun Tatacara Jenayah.

”Setakat ini tidak timbul sebarang prejudis mengenai keterangan yang diberikan oleh saksi pihak pendakwaan,” katanya.

Gobind Singh pula berhujah pindaan tersebut akan menimbulkan prejudis terhadap pihak pembelaan memandangkan seramai lima orang saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan mengikut pertuduhan asal.

Raja Petra, 58, menghadapi tuduhan menerbitkan artikel berbaur hasutan di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

Artikel tersebut bertajuk “Let’s Send the Altantuya Murderers to Hell” diterbitkan dalam www.malaysiatoday.net pada 25 April.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau keduaduanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, saksi keenam pendakwaan, S. Sivanathan, 28, Penganalisa Forensik Digital, memberitahu mahkamah bahawa terdapat bukti yang menunjukkan artikel tersebut telah diakses dengan menggunakan unit pemprosesan (CPU) dan komputer riba milik Raja Petra.

Beliau berkata ia berdasarkan penelitian dan tafsirannya terhadap laporan Unit Siasatan Forensik Komputer, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia bertarikh 4 Mei 2008.

Sivananthan juga mengesahkan unit komputer yang dirampas polis itu digunakan untuk mengakses laman web Malaysia Today dengan menggunakan kata laluan dan kata kunci.

”Tanpa kata laluan dan kata kunci kita memang tidak boleh mengakses masuk sebarang program yang memerlukannya,” katanya.

Perbicaraan disambung esok.

Pada 10 Oktober lalu, pihak pendakwaan memohon masa untuk mengkaji semula kertas pertuduhan terhadap Raja Petra yang dituduh menerbitkan artikel menghasut dalam sebuah laman web pada perbicaraan hari keempat kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof membuat permohonan itu ekoran pertikaian berhubung lampiran yang didakwa oleh pihak pembelaan sebagai tidak asli.

Peguam Gobind Singh Deo membangkitkan perkara itu dengan menyatakan, lampiran 'A' yang disertakan bersama-sama dengan kertas pertuduhan adalah tidak sama dengan artikel asli yang diterbitkan oleh anak guamnya pada 25 April lalu.

Selain tidak mempunyai judul "Let's Send The Altantuya Murderes to Hell", isi kandungan lampiran itu didakwa pembelaan telah ditaip semula dan gambar Raja Petra dilampiran juga didakwa adalah hasil salinan semula ("cut and paste").

Sehubungan dengan pertikaian itu, Ishak memohon pihaknya diberi masa untuk meneliti dan mempertimbangkan semula kertas pertuduhan.

Terdahulu, pertuduhan ke atas Raja Petra menyebut, penulis blog itu didakwa telah menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman web Malaysia Today yang mempunyai alamat web http://www.malaysia-today.net iaitu satu artikel bertajuk "Let's Send The Altantuya Murderes to Hell" seperti di Lampiran'.'A" yang mengandungi ayat-ayat menghasut seperti yang digariskan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 25 April lalu dalam sebuah rumah di alamat No; 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum bawah Seksyen 4 (1) akta itu di mana hukuman memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Raja Petra, 58, dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Pada Jumaat lalu, Raja Petra, 58, telah dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Alasan penahanan Raja Petra di bawah ISA antara lain menyebut, beliau sejak 16 Januari lepas sehingga ditangkap pada 12 September lepas melalui Malaysia Today yang dimiliki dan dikendalikan beliau telah bertindak secara sedar, sengaja dan tidak bertanggungjawab menyiarkan artikelartikel tulisannya dan komen pembaca yang mempersenda dan menghina orang Islam, kesucian agama Islam serta peribadi Nabi Muhammmad s.a.w yang telah membangkitkan kegelisahan dan kemarahan masyarakat Islam di negara ini.

Read More...

Sunday, November 9, 2008

KDN rayu keputusan mahkamah bebaskan Raja Petra

Mstar Online

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri akan merayu terhadap keputusan mahkamah semalam membebaskan editor laman web Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata walaupun kementeriannya tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah itu, keputusan itu tetap dihormati.

"Bagi saya, kalau ada sesiapa yang mengatakan mahkamah di dalam negara kita tidak bebas, ini (keputusan) membuktikan bahawa proses penghakiman dan keadilan di negara kita adalah satu proses yang bebas dan tidak membuat keputusan semata-mata memihak kepada kerajaan.

"Walaupun kita tidak bersetuju dengan keputusan itu, kita akan membuat rayuan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jelasnya, penahanan Raja Petra mengikut ISA merupakan langkah pencegahan sebelum tercetus konflik dan salah faham berasaskan agama akibat penulisan editor itu dalam laman web tersebut.

Katanya, sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku berikutan tindakan pihak atau individu tertentu bermakna ISA, yang bertindak sebagai undang-undang pencegahan, tidak berkesan.

"Tetapi mahkamah mempunyai hak untuk mentafsirkan bagaimana sesuatu keputusan yang diambil oleh menteri mengikut kuasa yang diberikan di bawah undang-undang.

"Kuasa itu diberikan di bawah perlembagaan Malaysia untuk mengadakan akta pencegahan," katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan mendapatkan penjelasan terperinci daripada mahkamah supaya tidak wujud keraguan dalam mengambil tindakan mengikut peruntukan di bawah ISA, termasuk kuasa menteri dalam membuat keputusan menahan seseorang. BERNAMA

Read More...

Pembebasan Raja Petra: Kejayaan luar biasa, Syed Hamid wajar lepaskan jawatan

Suara Keadilan

KUALA LUMPUR, 8 NOVEMBER (SK) - Keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Raja Petra Kamarudin dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah satu keputusan yang diluar jangka.

Menurut bekas tahanan ISA, Saari Sungib adalah satu kejayaan luar biasa bagi rakyat Malaysia semalam apabila hakim membenarkan Raja Petra dibebaskan setelah Horbus Corpus.

“Adalah satu kejayaan luar biasa dalam perjuangan menghapuskan ISA, Raja Petra berja dibebaskan dan hakim pula menafikan

Saari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang berkata, dalam kes ini Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar haruslah melepaskan jawatan kerana tidak berwibawa dalam melaksanakan tugas dengan wibawa.

“Syed Hamid berhak melepaskan jawatan beliau sebagai menteri kerana beliau tidak berwibawa menjalan tugas,” katanya lagi.

Ujarnya kesilapan beliau menahan wartawan yang melindungi keselamatan wartawan beliau amat diragui.

Dalam pada itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) bertaraf antarabangssa, Amnesty International penggunaan ISA yang digunapakai dinegara ini dan menuntut agar kesemua tahanan ISA dibebaskan.

“Amnesty International meminta agar kerajaan membubarkan ISA dengan segera serta mendakwa dengan kesalahan dan membicarakan atau membebaskan kira-kira 60 orang yang masih lagi ditahan dibawah ISA” menurut kenyataan berkenaan.

Dalam penghakiman semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Syed Ahmad Helmy berkata walaupun Seksyen 8 ISA selaras dengan Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan tetapi dalam kes ini alasan penahanan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar tidak termasuk dalam skop Seksyen 8 akta itu.

Beliau turut mengarahkan agar Raja Petra, yang ketika itu berada di Kem Tahanan Kamunting (Kemta), Taiping, yang ditahan sejak 12 September lepas, dibawa ke mahkamah sebelum pukul 4 petang semalam bagi urusan pembebasannya.

Seksyen 8(1) menetapkan bahawa seseorang itu boleh ditahan selama dua tahun dan boleh disambung bila-bila masa.

Para peguam yang mewakili Raja Petra adalah Malik Imtiaz Sarwar, Azhar Azizan Harun dan Ashok Kandiah.

Raja Petra yang tiba dari Kem Tahanan Kamunting (Kemta) di mahkamah lebih kurang jam 3 petang kelihatan tenang.

Read More...

Friday, November 7, 2008

Kes liwat: Pendakwa gagal pindah kes ke Mahkamah Tinggi

Mstar Online

[DIKEMAS KINI, sehingga 2.45 petang] KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Jalan Duta hari ini memutuskan kes tuduhan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Hakim S.Komathy Suppiah mula membacakan penghakiman ketika sidang bermula pada jam 3.17 petang tadi.

Terdahulu, wartawan sudah mula memasuki mahkamah pada pukul 2.45 petang tadi.

Bagaimanapun, perkarangan mahkamah hari ini agak lengang.

Komathy menetapkan hari ini untuk membuat keputusan bagi mengesahkan sama ada sijil perakuan yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sama ada sah atau tidak.

Pada 31 Oktober lalu, peguam bela yang diketuai Sulaiman Abdullah mengemukakan hujah tambahan berhubung isu campur tangan Abdul Gani yang telah menandatangani surat kuasa memindahkan kes tersebut.

Sementara itu, pasukan pendakwa raya turut mengemukakan hujah tambahan berkaitan isu tersebut.

Mahkamah kini mendengar permohonan pendakwa raya untuk memindahkan kes liwat ini ke Mahkamah Tinggi.

Kes Anwar menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan masuk hari ketujuh di Mahkamah Sesyen Jalan Duta hari ini selepas ditangguhkan pada 8 Oktober lalu.

Perbicaraan kes liwat Anwar masih berada di peringkat awal dengan mahkamah mendengar hujah bantahan pihak pembelaan berhubung permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Hujah bantahan oleh pihak pembelaan melibatkan persoalan mengenai tandatangan Peguam Negara pada sijil perakuan yang dilampirkan kepada mahkamah untuk memindahkan kes tersebut di bawah Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah.

Persoalan itu timbul kerana Abdul Gani kini disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah Anwar membuat laporan polis terhadapnya.

Read More...

Pembebasan Raja Petra Satu Pencapaian Yang Menakjubkan, Kata Isteri

Bernama

SHAH ALAM, 7 Nov (Bernama) -- Mable atau Marina Lee, isteri editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi di sini membebaskan suaminya daripada penahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai satu pencapaian yang menakjubkan.

"Saya tak tahu apa nak cakap...ia menakjubkan dengan apa yang berlaku hari ini," katanya kepada pemberita selepas keputusan itu.

Marina yang memakai kemeja-t berwarna merah dengan tulisan "I Am With RPK" juga bersyukur apabila perkara itu (keputusan pembebasan Raja Petra) berlaku seperti yang beliau jangkakan.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dalam penghakiman pada pukul 9.45 pagi ini berkata walaupun Seksyen 8 ISA selaras dengan Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan tetapi dalam kes ini, alasan penahanan yang dibuat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar tidak termasuk dalam skop Seksyen 8 akta itu.

Beliau telah mengarahkan agar Raja Petra, 58, yang kini ditahan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak sejak 12 Sept lepas, dibawa ke mahkamah sebelum 4 petang ini bagi urusan pembebasannya.

Alasan penahanan Raja Petra di bawah ISA antara lain menyebut, beliau sejak 16 Jan lepas sehingga ditangkap pada 12 Sept lepas melalui laman web blog "Malaysia Today" yang dimiliki dan dikendalikan beliau telah bertindak secara sedar, sengaja dan tidak bertanggungjawab menyiarkan artikel-artikel tulisannya dan komen pembaca yang mempersenda dan menghina orang Islam, kesucian Agama Islam serta peribadi Nabi Muhammmad SAW yang telah membangkitkan kegelisahan dan kemarahan masyarakat Islam di negara ini.

Tindakan beliau itu sekaligus boleh mewujudkan krisis keyakinan terhadap agama Islam serta mencetuskan persengketaan dan ketegangan agama di antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini, serta artikel-artikel tulisannya yang berunsur fitnah dan palsu terhadap pemimpin negara bertujuan untuk menjejaskan keyakinan dan menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan yang mana seterusnya boleh menggugat ketenteraman awam dan memudaratkan keselamatan negara.

Raja Petra telah memohon writ habeas corpus bagi mendapatkan pembebasan dirinya daripada penahanan mengikut ISA dengan alasan bahawa penahanannya tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan. Beliau menamakan Syed Hamid sebagai responden.

Peguam Kanan Persekutuan Abdul Wahab Mohamad ketika ditanya sama ada pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu berkata" Saya akan merujuk kepada pihak atasan dahulu sekiranya ingin membuat rayuan."

Sementara itu, suasana di mahkamah yang sesak menjadi riuh rendah apabila kira-kira 50 penyokong Raja Petra bertepuk tangan dan bersorak sebaik mahkamah membuat keputusan menyebabkan Hakim Syed Ahmad Helmy menegur dengan berkata: "This is the Court of Law" "Ini adalah Mahkamah Undang-undang."

-- BERNAMA

Read More...

Mahkamah perintah Petra dibebaskan

Malaysiakini

Nov 7, 08 10:00am

raja petra court case 060508 04Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini mengisytiharkan bahawa penahanan penulis blog Raja Petra Kamaruddin di bawah ISA adalah tidak sah dan memerintahkan supaya beliau dibebaskan segera.

Hakim Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad yang menerima permohonan habeas corpus pengendali blog popular Malaysia Today juga memerintahkan beliau dibebaskan serta-merta.

Hakim juga memerintahkan Raja Petra dibawa ke mahkamah sebelum 4 petang hari ini sebelum beliau dibebaskan segera.

Penulis blog ditahan polis pada 12 September di suatu tempat yang tidak didedahkan sebelum dibawa ke kem tahanan Kamunting di Taiping pada 23 Sept.

Read More...

Friday, October 31, 2008

Razak Baginda bebas, bagaimana keyakinan rakyat pada sistem kehakiman?

Suara Keadilan

KUALA LUMPUR, 31 OKTOBER (SK) - Walaupun Razak Baginda dibebaskan namun kes ini harus dilihat bagaimana penghakiman ini memberi kesan kepada rakyat Malaysia, kata Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

Ketika dihubungi Suara Keadilan Online, Yusmadi berkata, terdapat beberapa kecurigaan yang berlaku sepanjang kes ini berlaku yang menjadi persoalan kepada rakyat negara ini.

“SAYA Berpendapat bahawa keputusan tersebut patut dihormati, tapi pada masa yang sama sejauh mana keputusan ini boleh memberi keyakinan rakyat kepada sistem jenayah dan sistem keadilan negara yang setakat ini dikritik hebat,” katanya.

Pagi ini Mahkamah Tinggi Shah Alam, Hakim Mohd Zaki Md Yasin membebaskan tertuduh ketiga kes pembunuhan berprofil tinggi, Abdul Razak Baginda degan alasan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap penganalisis politik berkenaan.

Mengulas mengenai keputusan bekenaan, bapa kepada mangsa bunuh, Dr Setev Shariibuu berkata beliau amat kecewa dengan keputusan mahkamah berkenaan yang bebaskan Razak.

Tambah Yusmadi yang juga peguam hak asasi, sesuatu penghakiman yang diputusan makamah mesti mempunyai nilai kepentingan awam, yang bermaksud pihak awak mampu melihat satu proses keadilan yang adil kepada kedua-dua pihak samaada tertuduh dan yang mendakwa.

“Saya rasa ini merupakan satu isu yang besar dan perlu dilihat oleh pemerintah dan pihak-pihak berwajib supaya keputusan mahkamah yang diputuskan dinegara tidak dijadikan bahan ketawa apatah lagi tidak dapat pengiktirafan oleh rakyat dan masyarakt global,” katanya lagi.

Selain Razak yang dibebaskan, tertuduh pertama dan kedua, Azilah Hadri dan Sirul Azhar dikehendaki membela diri, hakim mengumumkan 10 November ini sebagai tarikh perbicaraan bela diri bagi mereka.

Mereka bertiga didakwa kerana membunuh seorang warga Mongolia, Altantuya Shariibuu. Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam dan dipercayai diletupkan pada 19 Oktober 2006

Read More...

Bapa Altantuya kecewa, keputusan cemar imej kehakiman

Harakahdaily

M Khaleel Kas
Fri | Oct 31, 08 | 12:34:08 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) -Tindakan dan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda daripada tuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu telah mengecewakan bapa mangsa berkenaan.

Dalam satu maklum balas kepada wartawan sebentar tadi,Dr Shaariibuu Setev melahirkan kekecewaan dengan keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Mohd. Zaki Md. Yasin.

Walaupun dua tertuduh lain iaitu Cif Inspektor, Azilah Hadri, 32 dan Korporal Sirul Azha Umar, 37,yang merupakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diperintah untuk membela diri dalam kes pembunuhan tersebut,namun keputusan tersebut masih tidak memuaskan hatinya.

Katanya, keputusan tersebut bakal mencemarkan imej sistem kehakiman negara ini di peringkat antarabangsa kerana kes itu menjadi tumpuan dunia.

Tambahnya,beliau akan mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa kehakiman dan Kementerian Luar Mongolia untuk membuat rayuan keputusan kes hari ini.

Dalam keputusan pagi tadi, memutuskan terdapat kes prima facie terhadap tertuduh pertama, Azilah dan tertuduh kedua, Sirul.

Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun itu yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati.

Azilah yang mula berkhidmat dalam UTK sejak 8 Januari 2003, mempunyai kepakaran dalam body-guarding atau teknik mengawal orang kenamaan penting (VVIP) sama ada secara berjalan kaki mahupun berkenderaan.

Manakala, Sirul yang menyertai UTK sejak 23 Januari 1996 pula bertugas dalam Unit Komunikasi.

Sementara itu, pihak pendakwa dijangka akan mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Razak Baginda.

Kes yang mendapat perhatian seluruh negara ini bermula apabila mayat model Mongolia tersebut ditemui di Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Selangor.

Altantuya dipercayai telah ditembak sebelum badannya diletupkan dengan menggunakan bahan letupan dua tahun lalu.

Azilah dan Sirul didakwa secara bersama dalam pembunuhan Altantuya dan Razak Baginda pula telah didakwa bersubahat dalam pembunuhan tersebut.

Kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian seluruh negara ini berlarutan selama 151 hari sejak November 2006, yang menyaksikan pihak pendakwa mengemukakan 84 orang saksi. - mks._ _

Read More...

Mahkamah bebaskan Razak Baginda

Malaysiakini

Oct 31, 08 10:12am

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan penganalisa politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

razak baginda acquitted 311008 10Bagaimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh Altantuya, diperintah membela diri.

Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, pula dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober tahun 2006.

Mahkamah menetapkan 10 November ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri. Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.

Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak, 48.

Pihak pendakwa dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Abdul Razak itu.

razak baginda acquitted 311008 06Razak diwakili oleh peguam Wong Kian Kheong. Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar manakala Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid.

Peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal Singh pula bertindak peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.

Pihak mendakwa selesai berhujah pada 23 Jun lalu selepas mahkamah mendengar keterangan daripada 84 saksi selam 151 hari.

Abdul Razak yang jelas kelihatan gembira dengan keputusan tersebut, meninggalkan mahkamah dengan ditemani isteri dan anak perempuannya pada kira-kira jam 10.10 pagi.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab soalan wartawan yang menunggunya, dan hanya berkata: "Saya mahu pulang ke rumah".

Read More...

Wednesday, September 10, 2008

Gambar berkaitan Anwar Ibrahim di Mahkamah Sesyen hari ini

Mstar Online

10-09-2008 01:17:52 PM
oleh ABDUL RAHMAN SENIN dan AZHAR MAHFOF


Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi tumpuan para wartawan yang bertugas sebaik beliau tiba di Mahkamah Sesyen pagi tadi.


Anwar hadir bersama isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya termasuk Nurul Izzah.


Pihak polis menyediakan kaunter pendaftaran di hadapan mahkamah.


Pihak polis mengawal keadaan di mahkamah.


Anwar melambaikan tangan kepada penyokong-penyokongnya yang menunggu di luar mahkamah.

Read More...

Kes Anwar ditangguh kepada 24 Sept

Malaysiakini

Sep 10, 08 9:39am

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menangguhkan kes liwat terhadap Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada 24 September depan ekoran bantahan terhadap perintah yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Apabila kes itu disebut pada jam 9.58 pagi tadi di hadapan Hakim SM Komathy Suppiah, pihak pendakwa telah mengemukakan perintah untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, para peguam Anwar mempertikaikan perintah tersebut kerana ia ditandatangani oleh Abdul Gani, yang menurut mereka, tidak sepatutnya terbabit dalam kes tersebut kerana beliau adalah pihaknya disebut dalam aduan polis yang dibuat oleh Anwar berhubung dakwaan mereka bukti terhadapnya pada 1998.

Mereka berhujah bahawa sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Abdul Gani dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak akan terbabit secara langsung dalam kes liwat terhadap Anwar.

Anwar telah membuat laporan polis terhadap Abdul Gani dan Musa yang didakwanya telah mereka bukti dalam kes-kes terhadapnya 10 tahun yang lalu.

Hakim Komathy kemudian menetapkan 24 September untuk kedua-dua pihak mengemukakan hujah terhadap kesahihan perintah pemindahan kes yang ditandatangani oleh Abdul Gani itu.

Anwar meninggalkan mahkamah pada kira-kira jam 11.14 pagi.

Diserbu wartawan

Sebelum itu, Anwar tiba di Mahkmah tersebut jam 9.30 untuk sebutan tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan penghujung Jun lalu.

Anwar tiba dengan diiringi oleh peguamnya Sankara Nair; isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga presiden PKR serta dua orang anaknya - Nurul Izzah dan Nurul Hanna.

Sebaik sahaja tiba, Anwar diserbu oleh para wartawan dan jurugambar yang berada di situ untuk membuat liputan kesnya pagi ini.

Bagaimanapun, mantan timbalan perdana menteri itu tidak bercakap kepada pemberita.

Kira-kira 100 penyokong penyokongnya turut hadir. Anwar masuk ke bangunan mahkamah pada kira-kira jam 9.35 pagi.

pertuduhan terhadap anwar ibrahim 070808Beliau dihadapkan di mahkamah yang sama pada 7 Ogos lalu atas tuduhan tersebut dan Hakim SM Komathy membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.

Beliau juga menetapkan kes itu disebut pada hari ini.

Lima trak FRU

Menurut kertas pertuduhan terhadapnya, Anwar didakwa melakukan tuduhan tersebut pada petang 26 Jun lalu di sebuah bilik di Desa Damansara Condominium, Bukit Damansara.

Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pemimpin PKR telah memberi amaran akan berlakku protes jalanan sekiranya ikatjamin terhadap Anwar dibatalkan.

Anwar, yang menang pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu, berkata beliau bakal menubuhkan kerajaan baru lewat bulan ini dengan bantuan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang menurutnya akan menyertai Pakatan Rakyat.

Sementara itu, pihak polis telah meningkatkan kawalan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Sekurang-kurangnya lima trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempat di situ.

Para wartawan pula diminta mendaftarkan di tiga tempatan sebelum dibenarkan masuk ke dewan mahkamah untuk mengikuti kes Anwar

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |