Polis Ganas Demo PPSMI
Sunday, March 8, 2009
Lagi gambar-gambar dari wartawan antarabangsa… Dunia Melihat kita
Kekecohan mungkin didalangi pihak ketiga - GMP
KUALA LUMPUR 7 Mac - Kekecohan yang berlaku ketika perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di ibu negara hari ini kemungkinan dicetuskan oleh pihak ketiga.
Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, perarakan itu tidak dijangka kerana perjanjian awal dengan polis ialah mereka dibenarkan berhimpun di Masjid Negara tetapi bukan untuk berarak ke Istana Negara.
"Saya dan tujuh wakil lain sepatutnya diiringi polis untuk menyerahkan memorandum itu di Istana Negara. Tetapi orang muda tetap hendak berarak. Jadi mereka pun beraraklah.
"Mereka faham, mengikut perjanjian dengan polis sepatutnya tidak boleh berarak. Apa yang jadi, itulah (insiden) yang jadi. Ada orang kata ia provokasi pihak lain. Saya tidak tahu. Tetapi itu mungkin," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Istana Negara di sini petang ini.
Menurut Hassan, polis telah memberi layanan yang baik kepadanya sepanjang proses penyerahan memorandum itu.
Dalam pada itu, insiden hari ini sudah pasti terpahat dalam hati Sasterawan Negara Datuk A Samad Said buat selama-lamanya.
Ini kerana A. Samad merupakan antara mereka yang terkena gas pemedih mata yang dilepaskan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menyuraikan kira-kira 5,000 penyokong PPSMI.
"Saya kena dekat hidung, mata dan juga kena tolak. Rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa.
"Ini merupakan kali pertama saya terkena gas pemedih mata dan ia mungkin akan berlaku lagi kerana saya akan terus memperjuangkan misi membantah PPSMI selagi kerajaan tidak memansuhkannya," kata penasihat gerakan itu.
0 comments Labels: bahasa melayu, perhimpunan rakyat, utusan
Bahasa Inggeris: PM mahu keputusan dibuat segera elak masalah besar
[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap agar keputusan berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dibuat segera bagi mengelakkan tercetusnya isu yang lebih besar.
Abdullah mengeluarkan kenyataan di ibu negara beberapa jam selepas Gerakan Mansuhkan PPSMI mengadakan Perhimpunan 100,000 Rakyat membantah dasar tersebut.
GMP menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi manakala beratus-ratus penyokongnya merempuh sekatan polis berhampiran Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara tetapi berjaya disuraikan dengan tembakan gas pemedih mata.
Dipetik Bernama, Perdana Menteri berkata, kerajaan mengakui adanya desakan yang kuat daripada rakyat khusunya orang Melayu yang sedang memberi perhatian terhadap perkara terbabit.
"Saya harap keputusan ini akan dibuat segera. Kalau tidak nanti tekanantekanan dan tindakantindakan NGO (Badan Bukan Kerajaan) akan berterusan dan akan menjadi isu yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan novel "Dragon Fire Hammer" di sini hari ini.
Abdullah berkata, Kementerian Pelajaran telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan NGO bagi membincangkan perkara berkaitan PPSMI.
Bagaimanapun, katanya, Kementerian Pelajaran buat masa ini belum bersedia untuk mengumumkan bentuk keputusan yang telah diambil itu.
"Dengan adanya keputusan-keputusan peperiksaan yang boleh memberi asas kepada kementerian untuk membuat keputusan, maka saya percaya keputusan itu perlu menjadi keputusan yang baik bagi mengukuhkan kepentingan rakyat dan masa depan kita," katanya.
Pelaksanaan PPSMI sejak tahun 2003, telah mencetuskan kontroversi dan perdebatan, dan kebelakangan ini ia berkisar mengenai rasional sama ada dasar itu patut diteruskan atau sebaliknya.
Isu tersebut bertambah hangat apabila ahli akademik serta sasterawan menyertai ahli politik dalam menyuarakan bantahan mengenai penerusan dasar itu.
0 comments Labels: bahasa melayu, mstar online, Pak Lah undur
Album Demo Bantah PPSMI (070309)
Tranungkite
Dilulus terbit pada Saturday, March 07 @ 19:16:54 MYT oleh TokPenghulu
Oleh izali
"
Gambar menarik sekitar himpunan 100 di dalam.
0 comments Labels: bahasa melayu, gambar, perhimpunan rakyat, tranungkite
Demo anti-PPSMI dihujani gas polis
Malaysiakini |
Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri | Mar 7, 09 1:54pm |
Gerakan aktivis bahasa menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mencipta sejarah apabila turun ke jalan raya, mengulangi peristiwa perarakan Keranda 152 beberapa dekad lalu. Peristiwa bersejarah pada 3 Mac 1967 itu bagi membantah Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), waktu itu antara lokasi penting kegiatan sasterawan dan intelektual Melayu. Mereka merancang mengadakan bantahan ke Parlimen. Nombor '152' merujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh fasal Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Hari ini, selepas 42 tahun peristiwa penting dalam perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu, kira-kira 8,000 orang berarak dari Masjid Negara selepas jam 2 petang tadi. Mereka bagaimanapun dihujani tembakan gas pemedih mata oleh polis di sekitar Kampung Attap, hanya beberapa ratus meter dari pintu masuk utama Istana Negara. Peserta perhimpunan itu - yang asalnya hanya dibenarkan oleh polis diadakan di masjid tersebut - melanggar arahan polis yang melarang sebarang perarakan. Mereka berhasrat membawa memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda dalam pemansuhan dasar kontroversi itu yang diperkenalkan sejak 2003. Polis pada mulanya berkawal dekat mahkamah syariah Wilayah Persekutuan, beberapa ratus meter dari Masjid Negara, jalan menuju istana melalui Lebuhraya Mahameru. Untuk memintas sekatan polis di situ, kumpulan ribuan penentang dasar tersebut - termasuk pemimpin dan penyokong PAS dan PKR - bergerak melalui jejantas depan masjid menuju ke arah Kampung Attap melalui Jalan Syed Putra. Polis melepaskan berpuluh-puluh das gas pemedih mata ke arah kumpulan penentang dasar PPSMI di situ bermula jam 2.40 petang sehingga memecahkan kumpulan tersebut kepada beberapa kelompok kecil. Suasana kelam-kabut, orang ramai yang berpakaian putih dengan tulisan merah "Mansuhkan PPSMI" dan "Selamatkan Bahasa Melayu" - sebagai lambang membantah PPSMI - di barisan hadapan bertempiaran lari. Walaupun kelihatan asap gas pemedih mata berkepul-kepul di udara, barisan belakang peserta perhimpunan terus bergerak ke depan, dengan harapan dapat menuju ke Istana Negara. Mereka bersurai seketika bagi mengelak kesan asap gas pemedih mata. Manakala sebahagian lagi terus berdegil cuba berarak ke istana walaupun diminta bergerak pulang ke masjid. Polis antirusuhan pula memancutkan air kepada orang ramai di jalan pendek menuju mahkamah syariah dari arah Jalan Syed Putra sewaktu mereka ingin pulang ke lokasi awal perhimpunan. Sebahagian peserta demonstrasi telah kembali ke Masjid Negara selepas jam 3 petang tadi. Ratusan orang ramai yang berkumpul di perkarangan masjid sekali lagi ditembak dengan gas pemedih mata. Beberapa das tembakan kedengaran. Sementara di Istana Negara, kawalan lebih 150 anggota polis dan unit pencegah rusuhan FRU, termasuk kenderaan pemancut air. Polis membuka semula laluan hampir jam 4 petang di Lebuhraya Mahameru dari kedua-dua arah yang ditutup selama 90 minit bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Empat lelaki berusia, dijangka antara 30-an hingga 50-an, ditahan polis dan mereka dimasukkan di dalam sebuah trak di depan istana. Butiran lanjut belum diperolehi. Usaha Malaysiakini mendapatkan ulasan pegawai polis di situ gagal. Penasihat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang menganjurkan perhimpunan itu, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad berjaya menyerahkan memorandum anti-PPSMI. Penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithnaini menerima memorandum bersejarah itu di pintu masuk utama Istana Negara kira-kira jam 2.50 petang. Lima lagi pemimpin GMP yang dijadual menyerahkan memorandum tersebut tidak kelihatan, dipercayai tersekat dalam kumpulan penyokong gerakan itu. Bercakap kepada media selepas penyerahan tersebut, A Samad berkata rombongan pemimpin GMP pada asalnya merancang ke istana dengan kereta, bagaimanapun ia gagal kerana kesesakan. "Saya berjalan (ke istana), sepatutnya diiringi dengan motokar," katanya. Tambahnya, inilah "pengalaman pertama" matanya pedih dan melalui keadaan tolak-menolak dalam kumpulan penentang PPSMI sewaktu menuju ke istana. "Rupa-rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa," katanya (dua dari kanan). Perjuangan menentang dasar ini tidak akan berhenti hari ini, katanya lagi, malah ia akan diteruskan pada masa akan datang. Selain Ketua I Persatuan Penulis Nasional (Pena) Datuk Baha Zain dan beberapa sasterawan Melayu, pemimpin pembangkang yang kelihatan termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Nasharuddin Mat Isa, naib presiden Mohamad Sabu, setiausaha agung Datuk Kamaruddin Jaafar, ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan naib ketua Angkatan Muda PKR Khairul Anuar Ahmad Zainuddin. |