+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, November 3, 2008

Peruncit, peniaga turun harga 2 minggu lagi

Utusan Online

KUANTAN 2 Nov. - Peruncit dan peniaga di negeri ini bersetuju menurunkan harga barang dalam tempoh dua minggu lagi, kata Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Mohd. Firdaus Abdullah.

Menurut beliau, keputusan itu dicapai hasil perbincangan pihaknya dengan golongan itu di seluruh negeri ini sejak Rabu lalu hingga kelmarin.

''Ini adalah satu perkembangan yang baik terutama kepada pengguna. Ia akan menggembirakan orang ramai termasuk golongan berpendapatan rendah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan 90 cawangan pasar raya besar Giant di seluruh negara termasuk di Kuantan yang menurunkan harga 1,200 jenis barang keperluan sehingga 30 peratus lebih rendah bermula 28 Oktober lalu.

Sehari kemudian pasar raya besar Carrefour turut menuruti langkah yang sama.

Mohd. Firdaus berkata, antara sebab utama peniaga dan peruncit bersetuju menurunkan harga ialah supaya mereka tidak kehilangan pelanggan berikutan langkah pasar raya besar yang menurunkan harga sejak beberapa hari lalu.

Dengan cara itu, jelasnya, golongan terbabit akan dapat terus bersaing secara sihat dengan pasar-pasar raya berkenaan.

Mengulas perkembangan sihat itu, beliau berkata, langkah yang diambil pasar-pasar raya besar perlu dicontohi peniaga kecil bagi mengelakkan mereka kehilangan pelanggan akibat perang harga.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua peniaga terutama di bandar ini menurunkan segera harga bagi mengelak kerugian akibat kehilangan pelanggan yang beralih ke tempat yang lebih murah.

''Bagi pengguna, ini adalah satu langkah yang ditunggu-tunggu sejak harga minyak diturunkan empat kali sebelum ini, ia akan membantu orang ramai yang sedia terbeban," katanya.

Read More...

Razak Baginda boleh ditahan, direman - Karpal

Harakahdaily

Mon | Nov 03, 08 | 4:37:21 pm MYT

PUTRAJAYA, 3 Nov (Hrkh) - Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda menghadapi kemungkinan ditahan semula dan direman sementara menunggu keputusan sekiranya pendakwaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap pembebasannya, kata peguam Karpal Singh hari ini.

Bernama melaporkan, Karpal Singh, yang merupakan peguam pemerhati bagi keluarga wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, berkata pendakwaan boleh membuat permohonan itu mengikut Seksyen 56A Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk menghalang Abdul Razak daripada melarikan diri.

Katanya, peruntukan itu membenarkan pendakwaan memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Abdul Razak dan meremannya sementara menunggu keputusan rayuan itu.

Seksyen itu juga membenarkan pendakwaan mengemukakan permohonan untuk membebaskan Abdul Razak dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan rayuan itu, katanya.

Abdul Razak, 48, dibebaskan tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan Altantuya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin pada Jumaat lepas.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, dituduh bersubahat dengan dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Insp Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dalam pembunuhan Altantuya di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi, 18 Okt, 2006, dan 9.45 malam keesokannya.

Azilah, dan Sirul Azhar diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh ibu dua anak lelaki yang berumur 28 tahun itu di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam, 19 Okt 2006, dan 1 pagi keesokannya.

Mereka menghadapi hukuman mati jika sabit kesalahan.

Semasa memutuskan pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap Abdul Razak, mahkamah menerima afidavit Abdul Razak yang mengandungi kenyataan pembuktian tidak bersalah yang menurut mahkamah telah menyangkal dan membatalkan tuduhan bersubahat yang dihadapinya.

Sementara itu, bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev, telah menghantar surat kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menggesa beliau mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak.

Karpal Singh berkata beliau menyerahkan surat itu bagi pihak Dr Shaariibuu, kepada Abdul Gani tengah hari ini.

Katanya beliau turut menghantar surat itu melalui faksimili ke Pejabat Peguam Negara pada Jumaat lepas. Mengikut undang-undang, pendakwaan diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Tempoh itu tamat 17 Nov.

Dalam surat itu, Karpal Singh berkata Shaariibuu dan Setiausaha Kedua Kedutaan Mongolia di Thailand, Siizkhuu Sainbileg, bertemu dengannya pada tengah hari keputusan itu disampaikan, memintanya menulis surat kepada Abdul Gani memintanya memfailkan rayuan.

"Kami berpendapat wujud kes prima facie terhadap Abdul Razak Baginda dan beliau patut diperintah membela diri. Oleh kerana kes perbicaraan ini telah menarik perhatian antarabangsa dan dalam negara, kami amat berbesar hati jika notis rayuan difailkan secepat mungkin," katanya dalam surat itu. - mks._

Read More...

Tahniah Najib Anda Bakal Perdana Menteri


msomelayu

SEPERTI mana yang dijangka kehendak akar umbi, kelemahan Abdullah Ahmad Badawi, sistem kouta dan Mahathir Mohamad, telah membantu Mohd Najib Razak untuk menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden Umno 2008. Keempat-empat unsur berkenaan merupakan kombinasi menjadikan Najib menang mudah.

Sekiranya Abdullah tidak lemah dan mengaku kalah awal, belum tentu Najib dapat meraih kemenangan begitu cepat dan mudah. Pengunduran Abdullah disebabkan kerana bimbang takut menanggung malu seperti dialami Ghafar Baba yang dikerjakan Anwar Ibrahim memberi laluan mudah kepada Najib.

Sistem kouta yang diperkenalkan juga turut membantu Najib. Kerana ingin meraih pencalonan sampai 58 bahagian menyebabkan Tengku Razaleigh tersengih gosi dan menjilat jari untuk beradu kekuatan bagi merebut jawatan itu.

Tengku Razaleigh hanya mendapat satu pencalonan saja dari bahagianya sendiri, Gua Musang.

Selebihnya yang turut membantu Najib menang dan berjaya ialah bekas PM, Mahathir Mohamad. Dalam diam Mahathir memainkan peranan dan menanam jarum susuk untuk melihat Najib jadi PM. Bagi Mahathir beliau ada motif tersendiri kenapa Najib perlu ke atas.

Bukan saja untuk membalas budibaik bapak Najib, Tun Razak yang menerimanya kembali ke dalam Umno selepas dipecat oleh Tunku Abdul Rahman selepas beliau menimbulkan kekaluatan kepada Tunku Abdul Rahman sampai PM itu melepas jawatan, tetapi Mahathir juga berharap Najib selepas ini akan mengenang budinya dan membalas dengan melantik Mukhriz menjadi Menteri dan seterusnya mengilap Mukhriz untuk menjadi PM pula selepas ini.

Kemenangan Najib disahkan malam tadi apabila beliau mendapat 141 pencalonan. Adalah dijangka Najib akan memperolehi kesemua pencalonan dari 191 bahagian kecuali Gua Musang.

Kemenangan mudah dicapai Najib itu adalah penerusan kepada kejayaaan demi kejayaan yang dicatatnya sebelum ini. Dalam sejarah politiknya Najib mendapat jawatan dan kedudukan dalam keadaan tanpa susah atau perlu berpeluh berpelai seperti kebanyakan ahli politik. Jawatan dan kedudukan seolah dihulurkan dalam dulang emas kepadanya.

Banyak sejarah yang dicatat dan bakal dicatat oleh beliau. Dalam usia 25 tahun beliau telah dilantik menjadi Timbalan Menteri. Dalam usia 29 tahun dilantik menjadi MB Pahang, dari tahun 1982 hingga 1986. Perlantikan menjadi MB Pahang itu adalah menteri besar paling muda.

Pada usia itu juga beliau menang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno. Tahun 1987 apabila Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi Ketua Pemuda memperbaiki kedudukannya dengan bertanding jawatan Naib Presiden, jawatan itu diisi oleh Najib selaku pemangkunya. Dengan tertubuhnya Umno baru ciptaan Mahathir, 1987 beliau dilantik menjadi Ketua Pemuda.

Tahun 1987 beliau menajak setangga lagi sebagai Naib Presiden Umno. Jawatan dan kedudukan itu kekal sehingga tahun 2000.

Ekoran pemecatan Anwar Ibrahim oleh Mahathir Mohamad memberi peluang keemasan kepada Najib untuk menunju puncak dengan selamat. Apabila Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi Perdana Menteri 2004, Abdullah melantik beliau menjadi timbalan perdana menteri.

Dengan penglibatan dirinya dalam politik sejak dari remaja lagi, Najib memang mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia politik. Beberapa jawatan yang pernah dipegang atau diserahkan kepadanya menjadikan Najib kaya dengan pengalaman itu.

Jawatan politik dalam kerajaan yang dipegang ialah, Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos, Timbalan Menteri Pendidikan, Timbalan Menteri Kewangan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Menteri Pertahanan dan Menteri Pendidikan.

Kesimpulannya Najib seorang bernasib baik dan bintangnya bersinar banar. Sebelum ini segala cita-cita dan kehendaknya tercapai. Beliau juga berjaya membina empayar dalam politik. Kalau satu yang boleh disifatkan kegagalan bagi Najib dalam hidupnya ialah apabila rumah tangga pertamanya dengan Tengku Puteri Zainah (Ku Yie) yang terpaksa diruntuhkan untuk membina rumahtangga baru bersama Rosmah.

Pun begitu jika dibandingkan rumahtanga mana yang membawa kejayaan dan memberi rezeki banyak kepada Najib ialah rumah tangga dengan Tengku Puteri, kerana dengan Ku Yie Najib mendapat tiga orang anak; Puteri Norlisa, Nizar dan Nazifuddin. Manakala dengan Rosmah beliau dianugerahkan hanya dua orang anak saja; Norashman dan Nooryana di samping beberapa anak tiri. [wm.kl. 7:30 am 03/11/08]

Read More...

Elaun guru agama di S'gor dinaikkan ke RM1,000

Malaysiakini

Nov 3, 08 3:16pm

Elaun bagi guru Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Fardu Ain (KAFA) di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan dinaikkan kepada RM1,000 sebulan mulai Januari tahun depan berbanding RM738 sekarang, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, seramai 6,262 orang guru berkenaan akan menerima kenaikan tersebut.

Abdul Khalid berkata dalam masa dua atau tiga tahun lagi jika keadaan kewangan kerajaan negeri mengizinkan, elaun itu mungkin dinaikkan di atas garis kemiskinan RM1,500 sebulan yang ditetapkan kerajaan negeri.

Menurut Bernama, Pengarah Jais, Datuk Muhammed Khusrin Munawi telah meminta kerajaan negeri agar menimbang semula kadar elaun itu yang agak rendah, di tengah-tengah kenaikan
harga barangan keperluan pasa masa ini, selain ia terletak di bawah paras kemiskinan RM1,500 sebulan.

Abdul Khalid berkata sehubungan dengan kenaikan elaun tersebut, para guru SRA dan KAFA mungkin diberikan kemahiran yang lebih, seperti mampu membina pangkalan data anak-anak murid mereka untuk rujukan Jais dan kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian di majlis anugerah perkhidmatan cemerlang Jais dan meraikan kakitangan Jais yang bersara di Shah Alam hari ini.

Beliau turut merasmikan talian online JAIS "NCR Online" yang dibangunkan untuk memberikan kemudahan kepada masyarakat Islam dalam urusan perkahwinan dan penceraian.

Read More...

Usul Anwar tubuh suruhanjaya siasat projek mega ditolak

Mstar Online

KUALA LUMPUR: Usul Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat tiga projek kerajaan persekutuan yang didakwa meragukan ditolak Dewan Rakyat hari ini.

Penolakan secara dalam kamar itu dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Anwar dimaklumkan mengenai perkara itu melalui surat yang dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat tanpa diumumkan ketika sidang berlangsung.

Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh, yang ditemui di lobi Parlimen turut mengesahkan mengenai perkara tersebut.

"Ya, usul itu dah ditolak," katanya ringkas tanpa menjelaskan sebab penolakan itu.

Bagaimanapun menurut sumber terdekatnya, Anwar akan mengusulkan semula usul tersebut dalam masa terdekat namun tidak dapat dipastikan bila tarikhnya.

Rabu lalu, Anwar menggunakan Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) bagi meminta mesyuarat ditangguhkan untuk menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat keraguan mengenai projek jalur lebar berkelajuan tinggi bernilai RM11.31 bilion, pembelian Bank Internasional Indonesia oleh Maybank bernilai RM4.26 bilion dan perolehan 12 unit Cougar Eurocopter EC-725 bernilai RM1.679 bilion.

Read More...

Urusan Dengan Kerajaan Negeri Kedah Hanya ‘Atas Meja’

Buletin Online

Ditulis oleh Wartawan Buletin
Saturday, 01 November 2008

http://buletinonline.net/images/berita13/azizan.jpgKemaman – Semua urusan dengan kerajaan negeri Kedah sekarang hanya dijalankan ‘atas meja’ tidak dilaksanakan secara ‘bawah meja’ sebagaimana yang diamalkan kejaan UMNO/BN


Menteri Besar Negeri Kedah, Dato’ Seri Azizan Razak menyatakan ketika berucap dalam majlis Ceramah Perdana Sempenan Ijtima’ Kepimpinan PAS yang diadakan di Mak Chili, dekat sini malam ini.

Beliau berkata kerajaan Kedah sudah mengambil tindakan menjalankan penyiasatab keatas dua syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) begeri Kedah yang melakukan tindakan menyalahgunakan kuasa.

Dengan merujuk kepada lapran akhbar perdana hari ini, beliau berkata
sebuah syarikat telah membayar sebanyak RM1.825 juta untuk sebuah skrin video yang apabila disemak harga sebenarnya adalah RM1.035 juta

Menurutnya kerajaan Kedah telah melaksanakan tender terbuka dalam pengeluaran balak, dimana baru-baru ini, kerajaan memperolehi hasil sebanyak RM16.3 juta dari kawasan balak seluas 1000 hektar.

Katanya sebelum itu, menurut Pengarah Jabatan Perhutanan, kawasan balak seluas itu hanya memberi hasil sebanyak RM3 juta kepada kerajaan negeri akibat amalan pemberian ‘anugerah’ oleh kerajaan UMNO/BN.

Mengulas lanjut tentang dasar-dasar baru kerajaan PAS negeri Kedah, beliau berkata kerajaan Kedah memberhentikan semua projek pembangunan yang dijalankan diatas tanah ‘bendang’.

Beliau berkata demikian adalah untuk menjamin kecukupan pengeluaran makanan kepada rakyat negeri Kedah.

Ustaz Azizan juga berterima kasih kepada PAS Terengganu keana banyak memberikan sumbangan kepada PAS negeri Kedah yang membawa kepada kemenangan negeri Kedah pada pilihanraya umum yang lalu.

Beliau berkata kemenangan yang diperolehi oleh kerajaan Kedah bukan hanya usaha orang Kedah, tetapi sumbangan berterusan dari PAS negeri Terengganu.

“Daripada tahun 1999 hingga kepada tahun 2008, Terengganu terus memberi sumbangan kepada negeri Kedah,

“Presiden PAS, Pesuruhjaya dan Pemimpin Terengganu datang ke negeri Kedah untuk membantu Kedah mencapai kemenangan,”katanya.

Beliau berharap PAS Terengganu akan mencapai kemenangan pada pilihanraya umum ke 13 yang akan datang.

Read More...

Najib menang tanpa tanding

Berita Harian

Oleh Saufi Hamzah, Nasir Abd Wahab dan Tuan Nazuri Tuan Ismail
bhnews@bharian.com.my


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2008 di KL Sentral, semalam.

TPM terima 141 pencalonan jawatan Presiden Umno

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menang tanpa bertanding jawatan Presiden Umno selepas menerima 141 pencalonan daripada bahagian parti itu yang sudah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing sehingga semalam.

Kemenangan Timbalan Presiden Umno itu hadir apabila tiada calon lain yang boleh memenuhi kuota 58 pencalonan untuk layak bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti Mac depan, apabila kini hanya tinggal 49 bahagian yang belum mengadakan mesyuarat masing-masing.

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri mengesahkan kedudukan sebagai calon tunggal untuk mengisi jawatan Presiden Umno, sekali gus mengetepikan kemungkinan sebarang cabaran sebaik menerima pencalonan ke-134 daripada Umno Bahagian Labuan, petang semalam.

Bahagian yang mencalonkan beliau semalam ialah Kota Belud, Klang, Teluk Intan, Teluk Kemang, Tawau, Ayer Hitam, Kuala Pilah, Puchong, Kota Raja, Batu Kawan, Tampin, Segamat, Pandan, Kulim/Bandar Baharu, Sekijang, Tanjung Malim, Indera Mahkota, Bentong, Cameron Highlands, Muar, Kapar dan Balik Pulau .

Turut mencalonkan beliau semalam ialah Umno Bahagian Silam yang memperlihatkan persidangan perwakilannya berlangsung selama 24 jam iaitu bermula jam 9 pagi kelmarin dan hanya selesai pada kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

SEBAHAGIAN perwakilan mengundi pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bentong di Bentong, semalam.

Mengulas kemenangan itu, Najib berkata, beliau bersyukur dan terharu atas kepercayaan yang diterjemahkan dalam bentuk pencalonan oleh bahagian yang sudah bersidang setakat ini, sehingga membolehkannya menang tanpa bertanding.

Beliau percaya, pencalonan itu mencerminkan kehendak dan keyakinan akar umbi terhadap pelan peralihan kuasa yang dipersetujui bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya berazam menggalas amanah dan tanggungjawab ini sebaik mungkin bagi menangani segala cabaran yang sedang dihadapi Umno dan Barisan Nasional (BN). Saya harap proses pemilihan yang sedang berlaku sekarang ini dapat terus berjalan dengan bersih dan teratur.

"Marilah kita bermuafakat dan bekerjasama untuk membawa obor perjuangan murni agama, bangsa dan negara," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman blognya, 1Malaysia.com.my, petang semalam.

Sehingga ini, Najib menyapu bersih semua pencalonan bagi jawatan Presiden Umno daripada keseluruhan 141 daripada 191 bahagian yang sudah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing, kecuali Gua Musang yang mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah.

Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib semalam mendapat tujuh lagi pencalonan iaitu daripada Cameron Highlands, Klang, Teluk Intan, Kapar, Kota Raja, Pandan dan Puchong untuk mengumpul 29 pencalonan keseluruhan.

Umno bahagian Kota Belud, Ayer Hitam, Tanjung Malim, Indera Mahkota, Teluk Kemang dan Tampin pula mencalonkan Datuk Seri Mohd Ali Rustam untuk jawatan yang sama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pencalonan Naib Presiden Umno itu kini 32.

Seorang lagi Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menambah pencalonan apabila bahagian Silam, Tawau, Batu Kawan, Segamat, Kulim/Bandar Baharu, Sekijang, Bentong, Muar dan Balik Pulau mencalonkan beliau untuk kerusi Timbalan Presiden.

Jawatan Timbalan Presiden Umno memerlukan kelayakan minimum 39 pencalonan bagi membolehkan calon layak bertanding.

Read More...

Koleksi Video - Pembelian Eurocopter tanpa penilaian dan pemeriksaan fizikal?

Pembelian Eurocopter tanpa penilaian dan pemeriksaan fizikal?



OK - Beli helikopter macam beli mainan. Tengok orang lain pakai, nampak OK je terus beli. Betul ke Pak Najib??? Beli pun mahal dari yang negara lain beli. Rakyat disuruh jimat, kerajaan belanja macam pangang....Jangan Eurocopter jadi Nuri dah...lepas terhempas...terhempas....habis perajurit kita mati gitu je....haprak!!!haprak!!!!

Read More...

Raja Petra boleh dibenar jadi saksi kes Altantuya - Syed Hamid

Mstar Online

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, tidak ada sebarang sekatan bagi mana-mana tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk Raja Petra Raja Kamaruddin untuk menghadiri sebarang prosedur mahkamah.

"Sememangnya tidak ada sekatan untuk mereka yang ditahan ISA untuk hadir di mahkamah," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan yang dikemukakan Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar dalam kes pembunuhan wanita Moggolia, Altantuya Shaariibuu yang ingin mendapatkan Raja Petra sebagai saksi pihak pembelaan.

Raja Petra yang kini ditahan di bawah ISA pernah mengeluarkan Akuan Bersumpah berhubung kes berprofil tinggi itu.

Syed Hamid berkata jika ada permohonan daripada mana-mana pihak untuk mendapatkan keterangan Raja Petra sebagai saksi, pihak kementerian boleh memberikan kebenaran.

"Kalau ada (permohonan), boleh dapat kebenaran... boleh," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, sehingga semalam beliau masih belum menerima sebarang permohonan berhubung perkara tersebut.

"Belum ada lagi, saya belum dapat apa-apa maklumat. Mungkin sebab hujung minggu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut diminta mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan Raja Petra akan dibebaskan daripada tahanan ISA.

Namun beliau menafikan mengenai perkara tersebut.

"Tak ada... saya tak tahu pula khabar angin beliau akan dibebaskan," katanya.

Read More...

Bahaya melamin, kerajaan gagal maklum lebih awal - Fomca

Harakahdaily

Nyza Ayob
Mon | Nov 03, 08 | 1:51:08 pm MYT

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Hrkh) -Kerajaan diangggap gagal dalam memberikan makluman awal tentang bahayanya isu melamin kepada rakyat negara ini walaupun, isu ini telah tercetus lebih setahun yang lalu di negara luar.

Menurut Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia(Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman dalam satu wawancara dengan Harakahdaily baru-baru ini, tindakan kerajaan dianggap agak terlewat walaupun masih belum terlambat.

"Rakyat hanya dimaklumkan mengenai isu melamin melalui media massa. Namun begitu Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri gagal membuat maklumat awal tentang isu melamin ini sehinggalah ia didedahkan melalui media massa,"jelasnya.

Tambahnya, kes melamin ini telah berlaku sejak awal tahun 2007 lagi.

"Sewajarnya pihak kementerian telah mengambil tindakan awalan dalam bentuk pencegahan terhadap produk susu daripada negara China apabila ia mula dikesan oleh Pihak Berkuasa Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan dan Amerika Syarikat (US FDA) yang telah mengeluarkan arahan menarik balik beberapa jenama produk makanan haiwan yang diimport dari negara China yang didakwa mengandungi melamin yang tinggi.

"Akibat daripada kelewatan tindakan ini, rakyat mulai berasa curiga tentang keselamatan produk makanan yang dijual di negara ini kerana sebahagian besar daripada bahan mentah produk makanan adalah daripada negara luar, khususnya negara China.

Beliau menegaskan, apabila isu melamin ini memuncak, baharulah kerajaan mulai membuat pemeriksaan terhadap beberapa produk makanan yang dihasilkan dalam negara yang dikhuatiri menggunakan bahan mentah daripada susu yang diimport dari negara China.

Walaupun demikian katanya, Fomca ketika ini berpuashati dengan langkah yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mengawal melamin dalam produk makanan dengan melakukan pemeriksaan terhadap produk makanan tersebut.

Namun kata Yusof, pada masa ini tidak terdapat kaedah tertentu yang boleh digunakan oleh rakyat untuk mengetahui tentang sesuatu produk makanan mengandungi melamin, kecuali ia telah melalui proses pemeriksaan kandungan kimia, seperti yang dilakukan di makmal Jabatan Kimia.

"Selain itu, rakyat boleh membuat langkah pencegahan awal dengan tidak membeli produk makanan daripada China. Namun begitu sayur-sayuran dan buah-buahan yang diimport dari China tidak mempunyai label negara pengeluar asal.

"Ini menyukarkan rakyat untuk mengelakkan diri mereka daripada membeli produk dari China,"jelasnya lagi.

Oleh yang demikian katanya, Fomca berharap kerajaan sewajarnya mengharamkan penggunaan melamin dalam produk makanan, khususnya rumusan susu bayi.

"Kerajaan juga, melalui Kementerian Kesihatan Malaysia, perlu menyediakan sistem amaran awal tentang sesuatu penyakit yang menular iaitu berdasarkan penularan penyakit tersebut di luar negara.

"Begitu juga Kementerian Kesihatan Malaysia perlu menetapkan tahap melamin sebagai keperluan dalam Peraturan Makanan 1985.Pihak pengimport dan pembekal produk makanan import, termasuk pemilik pasar raya besar mesti melabelkan atau memasukkan maklumat negara asal pada produk mereka.

"Ini boleh menjadi tindakan pencegahan kepada pengguna untuk tidak membeli produk tersebut jika mereka bersikap was-was,"tegasnya.

Selain itu katanya, langkah yang selamat ialah tidak menjual langsung produk makanan daripada negara China sehingga keadaan menjadi reda dan dipastikan produk tersebut bebas daripada kandungan melamin.

"Selain itu, pengguna perlu mengelak daripada membeli atau mengambil produk makanan dari negara China sehingga keadaan menjadi reda. Baca label sebelum membeli sesuatu produk makanan, bagi memastikan produk tersebut bukannya dari negara China.

"Sentiasa mengikut perkembangan terbaharu melalui media cetak atau elektronik tentang produk makanan yang disyaki mengandungi melamin,"nasihat Yusof kepada pengguna negara ini. - mks.

(Ikuti wawancara sepenuhnya mengenai isu Melamin dalam Harakah edisi Jumaat akan datang) _

Read More...

Madam Low hanya sementara, kata Tan Sri Khalid

Siasah daily

BERNAM JAYA, 3 Nov:
Tindakan kerajaan Selangor yang melantik Madam Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor yang baru telah menimbulkan reaksi yang berbeza terutamanya dari rakyat Selangor.


Isu ini dilihat sebagai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim seperti menidakkan orang Melayu di jawatan nombor satu itu. Namun, Khalid mempunyai penjelasan tersendiri mengenai hal in, lapor HAMDAN MS.

Beliau ditemui selepas sesi pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Industri Selangor (Unisel) yang disempurnakan oleh Canselor Unisel, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor di Bernam Jaya, Selangor 2 Nov lepas.

"Beliau telah berkhidmat selam 35 tahun di PKNS, dan rekod beliau memang cemerlang, Low Siew Moi hanya seorang sahaja perempuan berbangsa Cina, dan tidak dapat merobah atau mengugut orang Melayu pun, orang Melayu jangan terpedaya dengan kenyataan yang menyimpang ini," jelas Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagi beliau, apa yang berlaku sekarang memperlihatkan orang Melayu semakin prihatin dan atas faktor ini juga, mereka hendaklan sentiasa produktif dan memperbaiki kedudukan ekonomi dan orang Melayu.

"Selama saya bertugas di PNB dahulu, sudah ramai yang saya beri amaran dan ditukarkan oleh kerana prestasi yang tidak memuaskan, akhirnya mereka sedar bahawa tindakan saya benar....janganlan diperbesarkan perkara biasa ini. Ini berlaku di mana-mana syarikat di negara dan di luar negara...." tambah Khalid Ibrahim lagi.

Melihatkan rasa tidak puas hati khasnya dari pegawai-pegawai kanan PKNS, menurut Khalid, selama ini PKNS tidak menunjukkan kemajuan dan hanya golongan tertentu sahaja yang dapat peluang bersama PKNS, "ini semua tidak adil," katanya.

"Perlantikan ini bukan satu perkara yang luar biasa, malulah jika perkara ini digembar-gemburkan oleh semua pihak termasuk Utusan Malaysia. Syarikat luar negara akan mentertawakan kita kelak," katanya.

Menjawab laporan Utusan, Khaled berkata, pemimpin Pakatan Rakyat sentiasa berjumpa untuk berbincang isu semasa.

"Saya akan turut menjelaskan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan perkara ini melalui lapuran biasa kepada beliau melalui mesyuarat Pakatan nanti," katanya.

Bagi beliau, orang Melayu tidak harus bimbang, kerana perlantikan ini hanyalah sementara dan maksimum ialah setahun sementara memilih calon yang baru.

Kerajaan Selangor tidak akan menyambung kontraknya lagi kerana dia sudah tiga kali dilantik secara kontrak sebelum ini.

"Orang Melayu seharusnya sedar dan bangun dari tidur selama ini. Janganlah tidur lagi, perkara ini harus dilihat positif oleh orang Melayu," katanya.

Menurutnya, kerajaan Selangor kini sedang mengkaji beberapa calon yang sesuai dan berkaliber untuk mengisi jawatan itu.

"Ada beberapa faktor yang saya titik beratkan selain daripada kelayakan. Saya ingin mengenengahkan orang yang berkaliber dan jujur serta adil kepada semua bangsa," katanya.

Read More...

Bantu promosi bahasa Melayu

Utusan Online




KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kementerian Luar menyatakan komitmen untuk memainkan peranan positif dalam mana-mana persidangan antarabangsa bahasa Melayu bagi memastikan ia mampu menjadi bahasa dunia yang turut diiktiraf di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) berkata, sebagai permulaan bahagian Penerangan dan Diplomasi Awam kementeriannya akan bekerjasama dalam menjayakan Persidangan Bahasa Melayu Antarabangsa anjuran Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia (IPBMM) pertengahan bulan ini.

‘‘Kementerian Luar akan memberikan bantuan dari sudut lojistik untuk menggalakkan percambahan perhubungan antarabangsa serantau. Bahasa Melayu dituturkan oleh lebih 300 juta penduduk di kepulauan Nusantara namun ia tidak menjadi bahasa dunia.

‘‘Oleh itu, nasib bahasa Melayu perlu dibela bersama oleh semua pihak,’’ katanya ketika berucap merasmikan Alumni IPBMM di institut berkenaan di sini hari ini.

Rais yang juga bekas alumni dan kini penaung alumni tersebut berkata, perjuangan bahasa Melayu jika tidak diberi keutamaan akan menyebabkan masalah yang berlaku di Pulau Pinang berleluasa.

‘‘Penggunaan pelbagai bahasa di Pulau Pinang adalah kerana kelemahan kita dalam penegasan sesuatu, maka pihak berkenaan menganggap kita lemah dan menggunakan cara-cara untuk memecahkan penyatuan menerusi bahasa kebangsaan.

‘‘Memang tidak salah dari sudut beberapa undang-undang tetapi ia memperkecilkan Akta Bahasa Kebangsaan yang termaktub di Parlimen,’’ jelas beliau.

Tambah Rais, beliau tidak putus asa untuk melihat satu masa nanti semua pihak menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua perutusan, papan tanda dan urusan-urusan rasmi.

‘‘Tetapi ini memerlukan satu kebangkitan. UMNO harus memperjuangkan fasa tiga ceraian lima dalam perlembagaannya iaitu bahasa dan budaya adalah satu perjuangan.

‘‘Jika tidak kita akan terus dalam keadaan terumbang-ambing seperti ini,’’ katanya.

Jelas Rais, kerajaan negeri Pulau Pinang mengutamakan cita rasa sosialisme berbanding semangat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mengikut Akta Bahasa Kebangsaan negara.

Read More...

Razaleigh: Ada bahagian minta 'rasuah' pencalonan RM2 juta

Mstar Online

KOTA BARU: Ketika dakwaan politik wang dalam pemilihan Umno menjadi tumpuan ramai sejak kebelakangan ini, Tengku Razaleigh Hamzah, yang gagal memperoleh pencalonan mencukupi untuk jawatan Presiden Umno, mendedahkan terdapat bahagian yang meminta sehingga RM2 juta sebagai ganjaran pencalonan.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu berkata, kini permintaan dan tawar-menawar ganjaran bagi pencalonan-pencalonan yang diberikan berlaku secara terbuka.

"Ahli-ahli Umno kini secara terbuka mahukan manfaat-manfaat kewangan apabila mahu memberi pencalonan.

"Satu bahagian dengan jelas meminta RM1 juta manakala di Sabah, harganya mencecah RM2 juta," kata beliau di sini semalam.

Dua minggu lalu bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan tahap serius gejala politik wang dalam pemilihan Umno berkata, seseorang perwakilan 'berpeluang' memperoleh sehingga RM20,000 sebagai ganjaran undi.

Ketika ditemui di sini awal bulan lalu, Razaleigh mendedahkan kira-kira RM200 juta digunakan untuk tujuan kempen dan membeli undi dalam pemilihan Umno kali ini.

Bekas Naib Presiden Umno itu menyatakan demikian pada hari beliau gagal memperoleh pencalonan mencukupi untuk kerusi Presiden sebaliknya ia dimenangi tanpa cabaran oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Sambil menjelaskan bahawa beliau sanggup berkhidmat untuk parti tetapi dengan syarat kepimpinan parti boleh meyakinkannya bahawa beliau tidak menyumbang khidmat kepada parti-parti yang berasuah.

Tegas beliau, tindakan memancing undi menggunakan wang dan menghalang anggota daripada bertanding hanya akan menamatkan riwayat Umno lebih awal.

Ahli Parlimen Gua Musang ini juga mengakui bahawa wang diperlukan ketika berkempen tetapi ia tidak seharusnya membawa kepada gejala membeli undi ataupun menggunakan kuasa bagi menghalang pertandingan.

"Amalkan model AS dalam soal kutipan dana untuk tujuan berkempen, boleh diamalkan dalam Umno untuk mengawal politik wang," katanya.

Jelas beliau, usaha semasa mengawal gejala politik wang dalam Umno dan menyerahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sahaja tidak mencukupi.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menarik daripada bertanding jawatan Presiden, Razaleigh berkata, beliau tidak perlu menarik diri kerana tidak dicalonkan langsung untuk kerusi berkenaan.

"Sila lihat perkara yang saya katakan. Saya menawarkan untuk bertanding jawatan sebagai seorang ahli biasa.

"Kita ada hak. Oleh kerana saya tidak dicalonkan, tidak perlu bagi saya menarik diri. Jika anda mahu saya menarik diri, ia sama seperti meminta saya menarik diri (keluar) daripada Umno," katanya lagi.

Read More...

Naib presiden Gerakan ditemui mati

Malaysiakini

Nov 3, 08 1:39pm

Naib Presiden Gerakan Dr S Vijayaratnam ditemui mati di luar kliniknya di Seremban pagi ini. Mendiang berusia 58 tahun.

Difahamkan mayat mending ditermui kira-kira jam 11.30 pagi di luar bangunan tiga tingkat miliknya, yang dikenali sebagai 'Vijay Mahal' di Jalan Tengku Hassan.

dr s vijayaratnam 1950 to 2008Mendiang meninggalkan seorang balu dan dua orang anak lelaki.

Polis sedang menyiasat kejadian tersebut.

Dalam satu kenyataan kemudiannya, Gerakan berkata, Vijayaratnam diserang sakit jantung dan sumber-sumber parti itu menafikan khabar angin ada unsur-unsur jenayah terbabit.

"Vijayaratnam meninggal dunia pagi ini kerana sakit jantung. Ia satu berita yang menyedihkan bagi Gerakan, Barisan Nasional dan kepada negara," kata kenyataan tersebut.

"Beliau adalah seorang pemimpin yang dihormati ramai dan menjadi teladan kepada golongan muda di dalam dan di luar Gerakan. Semoga Tuhan mencucuri rahmat dan memberi kekuatan kepada keluarga mendiang," tambahnya.

Sementara itu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon terkejut dan sedih dengan pemergian Vijayaratnam itu.

"Kita kehilangan seorang rakan seperjuangan yang komited dan seorang kawan karib," katanya dalam satu kenyataan.

Sambil menyifatkan Vijayaratnam sebagai seorang pemimpin Gerakan yang setia dan berdedikasi, Koh berkata: "Kita memberi penghormatan kepada seorang rakyat Malaysia sebenar. Vijayaratnam sering menyumbang tulisannya kepada media mengenai ideologi dan pendirian parti tentang pelbagai isu-isu nasional,"

Vijayaratnam - seorang doktor di Seremban - merupakan pemimpin bukan Cina tertinggi dalam parti Gerakan.

Beliau dilantik sebagai senator pada 2002 dan berkhidmat selama satu penggal sebagai setiausaha parlimen Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komiditi.

Dalam pemilihan parti bulan lalu, beliau berjaya mengekalkan jawatan naib presiden bagi penggal kedua.

Vijayaratnam mendapat 678 undi – kedua tertinggi selepas bekas ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong (1,153 undi) dan bekas ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Huan Cheng Guan (568).

Manakala calon Melayu bagi jawatan tersebut, Dr Asharuddin Ahmad memperolehi 537 undi di tempat keempat.

Menurut pemerhati, mendiang mampu mengekalkan jawatannya kerana beliau dilihat sebagai 'orang presiden'.

Vijayaratnam adalah pengerusi biro hal ehwal antarabangsa dan hubungan kaum parti itu serta menjadi ketua Gerakan cawangan Sungai Ujong, Negeri Sembilan.

Mendiang juga adalah anggota Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen), felo Royal Society of Health di London dan ahli kehormat College of General Practitioners di New Delhi, India. Berita asal

Read More...

‘Kehendak saya kena ikut juga, saya menteri besar’ - Ahmad lawan Presiden UMNO

Buletin Online

Ditulis oleh MatStringer
Sunday, 02 November 2008

Kuala Terengganu - Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said pernah memberikan peringatan keras kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad supaya tidak bertanding jawatan utama peringkat bahagian.


Sumber Buletinonline memberitahu, Ahmad bertindak memaki hamun Yahya dihadapan orang ramai, dalam satu majlis berbuka puasa yang diadakan di daerah Marang, seminggu sebelum Eidul Fitri.

“Namun peringatan Ahmad tidak diambil hirau langsung oleh Yahya bahkan Yahya menjadi ‘naik semangat’ untuk merebut jawatan Ketua Bahagian Marang apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Alias Abdullah menarik diri dari pertandingan tersebut,”kata sumber itu.

http://buletinonline.net/images/berita13/madsaidpaklah.gifMenurutnya Alias memberi laluan selesa kepada Yahya kerana beliau mahu melihat penyandang jawatan Ketua Bahagian Marang, Dato’ Abdul Rahman Bakar jatuh tersungkur.

“Dengan jatuhnya Abdul Rahman, bermakna Alias dapat membalas perbuatan Ahmad yang memecat beliau dari Jawatan Pengerusi Ladang Rakyat Terengganu,”katanya lagi.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Said tetap mempertahankan keputusannya dan tidak menghiraukan langsung arahan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presiden UMNO yang akan letak jawatan Mac depan.

Menurut akhbar media perdana, Ahmad tetap akan memecat Yahya daripada barisan Exco atas kerana katanya anak Yahya mengingkari arahannya.

Ahmad berkata beliau berhak menggugurkan Yahya kerana ia terletak di bawah bidang kuasanya.


"Saya kira apa (kehendak peringkat akar umbi)? Kehendak saya dia kena ikut juga. Saya menteri besar dan ada hak terhadap Exco saya...saya yang lantik. Hak bahagian melantik ketua bahagian, hak saya melantik Exco.

Dua keadaan berbeza. Dia tak langgar disiplin parti, tapi langgar arahan saya," katanya selepas Pertunjukan Kuda Kebangsaan di sini, semalam.

"Saya mengarahkan semua Exco supaya tidak terbabit dalam pertandingan jawatan utama peringkat bahagian sebelum pertandingan peringkat cawangan lagi kerana saya minta mereka beri tumpuan kepada jawatan dalam kerajaan dan biar orang lain pegang jawatan ketua bahagian, kecuali jika dia memang dah ketua bahagian. Itu arahan saya jelas," tambah Ahmad


Baca Respon Yahya Khatib Kelmarin - Saya sedia digugur Exco Terengganu

Read More...

Dakwa Norman tak kerjasama, Abby gagal kemuka tuntutan cerai.

Mstar Online

SEBAK ... Pelakon popular tanah air, Arbaiyah Abdul Manan atau lebih dikenali sebagai Abby Abadi tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual wartawan selepas memfailkan penceraian ke atas suaminya aktor, Mohamed Nurhakim Zaidon atau Norman Hakim di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Hulu Kelang hari ini. --fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Yang ini bukan adegan penggambaran filem dilakoni pasangan Norman Hakim dan aktres dan bekas penyanyi, Abby Abadi.

Sebaliknya apa yang terjadi hari ini adalah detik sebenar kehidupan pasangan tersebut yang mendirikan rumah tangga enam tahun lalu.

Abby memutuskan untuk memfailkan tuntutan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi ini tetapi gagal kerana dokumen yang dikemukakan tidak lengkap termasuk tiada alamat lengkap tempat tinggal Norman.

Abby yang ditemui selepas keluar dari kawasan mahkamah pukul 11 pagi berkata, dia gagal mengemukakan permohonan cerai kerana dokumen tidak lengkap disebabkan tidak mendapat kerjasama Norman.

NORMAN HAKIM

Kemudian dia bersama sekumpulan wartawan menuju ke kawasan penggambaran di hadapan pasar raya Carrefour, Wangsa Maju di ibu negara kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Di lokasi penggambaran, Norman dan Abby bersemuka tetapi Norman tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja Abby menyerahkan dokumen yang perlu diisi olehnya.

Pasangan itu kemudian berbincang di tempat tertutup kira-kira 45 minit.

Norman memberitahu wartawan, dia memerlukan masa untuk berfikir tentang tuntutan cerai diinginkan Abby.

Dalam tangsin Norman berkata, dia masih ingin menyelamatkan perkahwinan mereka.

Namun Abby yang berada di sebelah mencelah sehingga menimbulkan ketegangan apabila dia meminta Norman menjelaskan apa hubungan sebenarnya dengan Memey.

Abby yang gagal menahan marah terpaksa ditenangkan oleh wartawan manakalan Norman terus berlaku dengan menyatakan "saya tak ada apa lagi untuk dikomen."

Pada awal Khamis lalu, Norman ditangkap berkhalwat bersama pelakon baru, Memey Suhaiza.

Mereka ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di pejabat Norman di Ukay Perdana, Ampang dekat ini, sekitar pukul 3 pagi.

Norman, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Gerak Khas tidak menafikan kejadian tersebut.

"Saya tidak tahu siapa yang membuat aduan seperti itu kepada JAIS... mungkin juga ada orang nak sabotaj, entahlah kerana saya sendiri masih bingung.

Menurut bapa kepada tiga orang anak itu, dia sudah menjelaskan hal yang sebenar kepada isterinya, Abby.

Sebagai suami, kata Norman, dia akui perkara itu pastinya sukar diterima oleh isterinya.

Tetapi, tegas Norman, seboleh mungkin, dia tidak mahu kejadian itu menjejaskan lagi rumah tangga mereka memandangkan masalah keluarganya sudah heboh diperkatakan baru-baru ini.

Awal minggu lalu, Abby pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia seolah-olah tidak dipedulikan oleh Norman lagi, yang lama tidak pulang ke rumah sejak Ramadan lalu.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |