KUANTAN 2 Nov. - Peruncit dan peniaga di negeri ini bersetuju menurunkan harga barang dalam tempoh dua minggu lagi, kata Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Mohd. Firdaus Abdullah.
Menurut beliau, keputusan itu dicapai hasil perbincangan pihaknya dengan golongan itu di seluruh negeri ini sejak Rabu lalu hingga kelmarin.
''Ini adalah satu perkembangan yang baik terutama kepada pengguna. Ia akan menggembirakan orang ramai termasuk golongan berpendapatan rendah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan 90 cawangan pasar raya besar Giant di seluruh negara termasuk di Kuantan yang menurunkan harga 1,200 jenis barang keperluan sehingga 30 peratus lebih rendah bermula 28 Oktober lalu.
Sehari kemudian pasar raya besar Carrefour turut menuruti langkah yang sama.
Mohd. Firdaus berkata, antara sebab utama peniaga dan peruncit bersetuju menurunkan harga ialah supaya mereka tidak kehilangan pelanggan berikutan langkah pasar raya besar yang menurunkan harga sejak beberapa hari lalu.
Dengan cara itu, jelasnya, golongan terbabit akan dapat terus bersaing secara sihat dengan pasar-pasar raya berkenaan.
Mengulas perkembangan sihat itu, beliau berkata, langkah yang diambil pasar-pasar raya besar perlu dicontohi peniaga kecil bagi mengelakkan mereka kehilangan pelanggan akibat perang harga.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua peniaga terutama di bandar ini menurunkan segera harga bagi mengelak kerugian akibat kehilangan pelanggan yang beralih ke tempat yang lebih murah.
''Bagi pengguna, ini adalah satu langkah yang ditunggu-tunggu sejak harga minyak diturunkan empat kali sebelum ini, ia akan membantu orang ramai yang sedia terbeban," katanya.
2 comments:
Kenapa nak tunggu sampai 2 minggu lagi? Sehari dua lagi tak boleh ke?
mana-mana peniaga pun pasti takkan menurunkan harga secepat masa harga barang naik.ini kerana untuk mendapatkan semula kos yang telah dikeluarkan sebelum harga minyak turun.
masa 2 minggu tu mencukup untuk peniaga menurunkan harga.kesianlah pada pengguna.turunkanlah harga barang ketika harga minyak telah pun turun.
Post a Comment