Ezam Mohd Nor nak jadikan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh gelanggang terbaik mendedahkan apa yang didakwannya bagaimana bekas bosnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkhianati politik negara serta orang Melayu selama ini.

Bekas Ketua Pemuda PKR itu berkata, beliau tidak pernah takut berdepan Anwar kerana ianya bukan soal kalah menang tetapi soal maruah dan tanggungjawabnya menjelaskan kepada rakyat siapakah Anwar sebenarnya.

“Saya bersedia berada di barisan hadapan ketika kempen pilihan raya nanti. Seperti ditegaskan sebelum ini, saya tidak gentar bertarung dengan Anwar termasuk di Permatang Pauh,” katanya kepada Agendadaily, lewat Khamis malam.

Beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti UMNO serta Barisan Nasional (BN) menentukan siapa akan bertanding menentang penasihat PKR itu kelak.

Sebelum ini, Ezam sudah menyatakan kesediaanya bertarung dengan Anwar dalam pilihan raya kecil sama ada di Parlimen Bandar Tun Razak ataupun Kulim Bandar Baharu.

Berikutan pengumuman Anwar untuk bertanding, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencabar UMNO meletakkan Mohamad Ezam sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh menentang Anwar kelak.

Menurut Ezam, beliau tidak akan lari daripada tanggungjawab bagi menjelaskan kepada rakyat negara ini mengenai tindak tanduk Anwar yang dianggapkan sudah mengkhianati politik serta orang Melayu di negara ini.

Malah katanya, Anwar turut mengkhianati dirinya sendiri.

“Sama ada jadi calon atau tidak, saya mempunyai tugas untuk membetulkan semula kesilapan kerana memberi perspektif yang salah mengenai kerajaan sekarang kepada orang ramai selama 10 tahun bersama PKR,” ujarnya.

Ezam berkata, beliau akan bangkit dengan isu politik serta peribadi Anwar kerana selama ini, banyak yang diketahui mengenai bekas bossnya itu- 31/7/2008.