+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++
Showing posts with label agenda daily. Show all posts
Showing posts with label agenda daily. Show all posts

Sunday, November 30, 2008

Kuala Terengganu: ‘taruhan besar’ bagi BN dan PAS


Agenda Daily


Al-Fatihah... atas kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.Pemergian mengejut Ahli Parlimen Kuala Terengganu ini sewaktu bermain badminton di Institut Aminuddin Baki Genting Highlands pada jam 6.30 petang Jumaat membuka gelanggang kali kedua pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Kalau sebelum ini di Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu BN berentap dengan PKR... di Kuala Terengganu giliran PAS pula.

Bezanya Permatang Pauh adalah kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan senario dari awal pilihanraya kecil itu sudah nampak memihak kepada PKR tetapi di Kuala Terengganu keadaannya lebih menarik kerana ia dikira 50-50 antara BN dan PAS.

Allahyarham Datuk Razali menang dua kali di kerusi parlimen itu setelah menewaskan
Ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi pada pilihanraya umum 2004 dengan 1,933 undi.Allahyarham dapat 30,994 undi manakala Dr Syed Azman 29,061.

Pada pilihanraya umum lalu dalam pertandingan tiga penjuru antara Timbalan Menteri Pelajaran itu dengan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu dan mak chik Maimun Yusof yang bertanding atas tiket bebas Allahyarham menang dengan majoriti tipis 648.

Datuk Razali dapat 32,582 undi ,Mohamad Sabu 31,934 manakala Maimun 685.

Keputusan kedua-dua pilihanraya umum sudah cukup untuk mengambarkan senario yang mendebarkan bagi BN dan PAS untuk mengharungi pilihanraya kecil kali ini.

Menariknya kedua–dua BN dan PAS mempunyai taruhan politik yang amat besar keatas Kuala Terengganu.

Bagi BN setelah tewas di Permatang Pauh ia pasti akan berhempas pulas untuk berusaha mempertahankan Kuala Terengganu.

Bagi PAS pula setelah melepas dari berkuasa sepenggal di Terengganu dalam pilihanraya umum 2004 dan hanya berjaya tawan balik satu kerusi Parlimen sahaja iaitu Marang semasa pilihanraya umum 8 Mac lalu... Kuala Terengganu pasti menjadi idaman,

Dijangka cabaran terbesar PAS untuk berdepan dengan pilihanraya kecil ini ialah mencari isu untuk menawan pengundi Kuala Terengganu.

Allahyarham Datuk Razali,seorang teknokrat yang tidak banyak diselubungi oleh isu peribadi dan politik untuk dijadikan bahan kempen PAS.

Dalam pada itu sebelum ini kebanyakan serangan PAS di negeri itu ditujukan kepada beberapa isu yang melibatkan bekas Menteri Besar Datuk Idris Jusoh.

Sebaliknya Terengganu kini dipimpin oleh Datuk Ahmad Said yang merupakan tokoh pilihan Istana.

Secara tidak langsung pilihanraya kecil ini akan menjadi ujian besar pertama bagi Menteri Besar Terengganu yang baru itu.

Sejak beliau ambilalih pentabiran belum ada isu besar berbangkit di negeri itu kecuali tidak lama dulu hu ha mengenai cadangan beliau nak tukar kereta rasmi kerajaan negeri dari Proton Perdana V6 ke Mercedes.

Soalan terbesar menjelang pilihanraya kecil itu apakah PAS mampu menyambung gelombang tsunami politik 8 Mac ke Kuala Terengganu.

Badai itu dikira tidak sampai ke Terengganu.Selain dari Parlimen Marang,PAS hanya mampu menawan balik empat kerusi Dewan Undangan Negeri semasa pilihanraya umum lalu.

Dalam pada itu PAS juga kini menghadapi kemelut dalaman.Bukan rahsia lagi parti itu kini sedang dihimpit ‘ perang dingin’ antara puak Erdogan diketuai oleh Datuk Husam Musa yakni yang lebih condong kepada Anwar dengan puak ulama Datuk Seri Hadi Awang yang tidak mahu dicengkam pengaruh Penasihat PKR itu.

Pilihanraya kecil ini juga dijangka akan menjadi medan ‘penilaian’ keatas prestasi kerajaan baru pimpinan PAS di Kedah dan Perak yang diselubungi oleh beberapa isu yang turut dipersoalkan oleh kalangan ahli parti itu sendiri.

Di Kedah misalnya ia berdepan dengan kemarahan orangramai mengenai cadangan projek ladang babi moden di Bukit Selambau dan kegairahan Exco Kerajaan Negeri main golf.

Di Perak,Datuk Seri Nizar Jamaluddin berdepan dengan dakwaan terlalu mengikut telunjuk DAP dan isu pemberian status hak milik kekal 999 tahun kepada penduduk yang mendiami lot-lot tanah di kampung baru.

Selain itu kegagalan PAS nak terapkan pemerintahan berasaskan pegangan yang digembar gemburkanya selama ini nak wujudkan Negara Islam di negeri-negeri yang baru dikuasainya juga menjadi buah mulut.

Ini tidak masuk lagi banyak janji dalam manifesto Pakatan Rakyat yang belum tertunai hingga membangkitkan rasa tidak puashati mereka yang memangkah pembangkang.


Bagi BN pula tentunya apakah ia mampu menyekat gelombang itu di Kuala Terengganu.

"Tembak menembak" dalam Wanita UMNO yang menjadi salah satu nadi utama kempen pilihanraya kebelakangan ini, menjelang pemilihan jawatan Ketua Wanita ...juga mencetuskan sedikit kebimbangan.

Melihat dari semua sudut ‘ perang Kuala Terengganu’ ini pastinya amat menarik.- 29/11/2008

Read More...

Saturday, November 15, 2008

Misteri Rafidah : Ramai yang bingung...

Agenda daily

Align Center


Untuk berlaku adil kepada Tan Sri Rafidah Aziz mungkin ada hal-hal tersembunyi yang tidak diketahui atau belum beliau perjelaskan lagi buat masa ini.Sementara jawapan itu belum ada apa yang nampak diatas kertas hari ini kalau tanya 10 orang kesemua mereka akan kata bingung melihat deadlock dalam isu kepimpinan Pergerakan Wanita UMNO.

Malah tinjauan rambang Agendadaily dikalangan sebilangan orang kanan UMNO mendapati mereka juga tidak mengerti kenapa Rafidah berkeras mahu berpegang kepada pelan peralihan kuasa bulan Jun 2009 dan tidak serah saja kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil menang tak bertanding semasa pemilihan bulan Mac nanti.

Menurut mereka alasan bahawa langkah itu kerana hendak berpegang kepada janji dan keputusan yang telah dibuat serta memastikan pergerakan itu utuh tidak masuk akal langsung lebih-lebih lagi melihat kedudukan Naib Ketua Wanita UMNO itu yang nyata tersepit sekarang.

Ini kerana dari pandangan mata kasar semua orang melihat jika Rafidah menarik diri dari pemilihan Shahrizat dengan sendirinya akan jadi Ketua Wanita tanpa pertandingan.Begitu juga halnya dengan Datuk Kamalia Ibrahim akan menang tanpa bertanding sebagai Naib Ketua Wanita.

Jadi dalam bab ini alasan untuk mengelak pertandingan dan keutuhan pergerakan itu memang sudah tidak boleh digunapakai.

Kalau itu sudah tidak boleh dijadikan sebabnya maka apa lagi yang membuatkan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini begitu tegas sekali nak bergayut lagi tiga bulan hingga Shahrizat kena memangku jawatan selama lebih tiga tahun jika pelan peralihan kuasa itu berlaku seperti dirancang?

Berbagai spekulasi dan andaian berlegar ketika ada pergerakan Wanita beberapa buah negeri sudah membuat kenyataan terbuka - ada yang menyokong pelan peralihan kuasa dan ada yang mahu jawatan itu diserahkan kepada Shahrizat pada bulan Mac ini.

Tokoh Veteran UMNO dan bekas Ketua Wanita Tan Sri Aishah Ghani malah membuat andaian yang dinilai oleh sesetengah ahli pergerakan itu sebagai sinis bila berkata mungkin Rafidah menaruh harapan nak masuk balik dalam kabinet baru pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak nanti.

Beliau sendiri tidak nampak alasan kukuh kenapa Rafidah tidak mempercepatkan pelan peralihan kuasa Wanita dari Jun ke Mac.

Menurut Aishah berkata dari kaca mata rakyat dan ahli UMNO perpaduan dalam Wanita tidak langsung terjejas jika peralihan kuasa itu dipercepatkan.

Apa yang membuatkan ramai bertanya apakah Rafidah bersikap begitu kerana hendak 'memaksa' Shahrizat berentap dengan Kamalia.

Sebaliknya ada yang bertanya tidakkah nanti perpaduan pergerakan itu akan tergugat jika berlaku pertandingan sengit antara mereka dan ini nyata bertentangan dengan hasrat yang dilaungkan oleh Rafidah sendiri serta semangat pelan peralihan kuasa.

Juga ada spekulasi yang berlegar kata Rafidah berkeras begitu kerana marah dengan tindak tanduk 73 bahagian Wanita tetap mencalonkan Shahrizat bertanding jawatan Ketua Wanita sedangkan pelan peralihan kuasa sudah dipersetujui.

Ada juga yang kata ini kerana Rafidah tidak mahu Kamalia jadi Naib Ketua Wanita.

Yang nyata diatas kertas semuanya nampaknya macam boleh selesai secara aman jika pelan peralihan kuasa itu dipercepatkan.

Jika tidak semuanya terbalik kot dan ribut pasti melanda pergerakan itu.

Jawapannya kini berada pada Rafidah yang dikatakan sedang bercuti di luar negara sekarang.- 14/11/2008


Read More...

Friday, November 7, 2008

Ketua Pemuda UMNO : Khairy melawan arus…




“Apa boleh buat...Saya kenalah terima”, kata Khairy Jamaluddin mengulas tanggapan sesetengah pihak bahawa beliaulah antara punca Barisan Nasional (BN) dilanda tsunami politik pada pilihan raya ke 12, Mac lalu.

Ini semua berkisar pada dakwaan Naib Ketua Pemuda UMNO ini sangat berpengaruh keatas bapa mertuanya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sehingga wujud istilah tangan-tangan ‘tingkat 4’ di pejabat Perdana Menteri.

Proses peralihan kuasa dan menjelang tiadanya Perdana Menteri dibelakangnya nanti dikatakan membuat ratingnya untuk menang jawatan Ketua Pemuda UMNO yang satu ketika dulu dilihat bagai kacang saja kini agak kelabu.

Ahli Parlimen Rembau itu mengakui kepada Agendadaily semasa berbual di kantin Parlimen Khamis bahawa berbagai tanggapan negatif terhadap dirinya mempengaruhi kedudukannya untuk berdepan dengan jawatan nombor satu Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada Mac tahun depan.

“Saya terima dari segi tanggapan itu wujud, tetapi saya tak boleh terima bahawa tanggapan itu betul. Selama inipun, saya ada jelaskan. Ada yang dengar, ada yang tak mahu dengar,”

“Kalau dia orang tak boleh terima saya dan saya masih boleh terima keputusan mereka…kalau mereka tak nak juga, saya kenalah terima (tanggapan),” katanya.

Selain itu, Khairy juga berdepan dengan persepsi ‘ tak masuk geng’ sebagai orang yang tidak sesuai dan boleh mencacatkan pandangan terhadap pentabiran baru dibawah Datuk Seri Najib Tun Razak selepas Mac 2009 nanti.

“Itu semua tanggapan… Ini tidak adil buat saya. Kenapa saya tak boleh masuk (pegang jawatan dalam UMNO). Kenapa perlu ada geng. Kalau ada geng pun, hanya geng UMNO. Kita semua geng UMNO,” katanya.

Menjawab soalan bahawa beliau akan terus berada dalam UMNO sebagai bayang-bayang Pak Lah, Khairy berkata, “ Itu bukan soal sapa-sapa. Ini soal imej UMNO dan pada masa akan datang,Datuk Seri Najib adalah Presiden UMNO. Bukan soal imej Pak Lah atau pemimpin lain,”



Ditanya sama ada pemilihan jawatan Ketua Pemuda UMNO itu akan memberi jawapan kepada tanggapan itu, Khairy (sambil ketawa) berkata, “ Tak lah begitu. Sebab nanti, kalau saya kalah, orang kata tanggapan itu betul.

“Bagi perwakilan buat keputusan,” katanya.

Khairy menjelaskan, apa saja yang beliau buat, memang kena buat untuk beri pandangan yang jelas tentang perjuangannya terhadap parti.

“Kita jangan beri tanggapan umum atau tanggapan ahli-ahli UMNO itu dibuat atas tanggapan yang tidak betul,” ujarnya.

Mengenai jumlah pencalonan dan kedudukan ke tiga di belakang Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo setakat hujung minggu lalu , beliau menganggap kedua-dua calon itu mungkin mereka lebih popular.

Bagaimanapun beliau menilai masuk fasa ke dua nanti iaitu selepas proses pencalonan semua calon mempunyai peluang merebut jawatan tersebut.

Menurut Khairy tempoh lima bulan menjelang pemilihan bulan Mac nanti adalah satu tempoh lama dan penilaian perwakilan boleh dipengaruhi dengan pelbagai cara dan pendekatan, hujah dan sebagainya.

“Kita tak boleh kata penyokong Dr Khir Toyo akan sokong lagi lima bulan akan datang. Perwakilan kini berfikiran terbuka. Kita jumpa mereka ..tanya soalan dan macam-macam. Sebab itu saya suka cadangan Agendadaily buat debat, biar semua tengok,” katanya.

“Saya bukan mencadangkan untuk tonjol saya seorang…tapi beri peluang pada semua..sebab debat ini gelanggang sama rata…kita tak boleh bawa orang lain, tak boleh bawa penasihat kita dan kita kena jawab dengan fikiran kita sendiri,”

“Kalau betul-betul kita nak mengamalkan meritokrasi dalam politik UMNO, inilah caranya. Kalau tak nak debat ini dijadikan modal pembangkang, buat cara tertutup..tapi lebih baik kita buat terbuka,” katanya.

Kepada satu soalan lain Khairy kata, beliau tidak memikirkan ianya satu masalah walaupun banyak bahagian Pemuda UMNO Negeri Sembilan tidak mencalonkannya.

“Tiada masalah, kita kena yakin dengan perwakilan. Masa umum nak bertanding, ada yang tanya peluang saya, saya kata 30 peratus…sekarang betul,” katanya sambil mengakui bahawa beliau bergerak dengan kekuatan sendiri bukannya seperti dikatakan banyak pihak kononnya kekuatan Pak Lah.

Beliau berpuashati dengan proses pencalonan setakat ini secara keseluruhan walaupun ada dengar cerita-cerita politk wang tetapi ssetakat cakap-cakap sebab tiada bukti.

“ Banyak orang cakap. Tapi kita kena ikut apa keputusan yang dapat. Dan jangan buruk sangka mana-mana pihak tanpa sebarang bukti,” ujarnya.

Sebagai Naib Ketua, Khairy juga berharap perwakilan terutama yang baru dapat menilai rekod beliau selama empat tahun dalam pergerakan itu.

“Saya juga anggap semua calon kini macam diberi kertas pitih setelah segala rekod cacat cela masa yang dulu dipadamkan. Kini kita kena go foward ..yang lepas mungkin mereka nak tengok bagaimana kita tunaikan janji kita…dan debat itulah perkara terbaik untuk melihat perkara ini,” katanya .-7/11/2008

Read More...

Sunday, September 28, 2008

Jawapan kepada teka teki Perdana Menteri…

Agenda daily



Kebiasaannya kebanyakan para wartawan akan cabut terus balik pejabat untuk menyiapkan berita masing-masing sejurus selesai sidang akhbar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Namun ramai juga yang melepak sekitar lobi menara Dato Onn PWTC mundar mandir berbual bersama rakan-rakan wartawan lain dan orang politik yang ada di situ lama selepas selesai sidang akhbar mesyuarat khas MT tengahari Jumaat.

Ada yang kelihatan agak blurr dan cuba nak dapat kepastian bagaimana nak letakan kata-kata yang disampaikan oleh Presiden UMNO semasa sidang akhbar tadi dalam prespektif yang betul.

Seperti yang diumum oleh Perdana Menteri mesyuarat berkenaan telah buat keputusan besar anjak tarikh pemilihan jawatan parti dari Disember tahun ini ke bulan Mac tahun depan.

Juga satu lagi keputusan besar yang beliau umumkan menyangkut kedudukannya ialah anjakan tarikh berkenaan adalah untuk melicinkan proses peralihan kuasa yang sepatutnya telah ditetapkan pada Jun 2010..

Cuma beliau tidak memberi tanda noktah pada soalan terbesar yang semua orang ingin tahu iaitu samaada hendak mempertahankan atau tidak jawatan Presiden UMNO.

Beliau membuka teka teki tentang soal ini bila ditanya mengenainya dalam sidang akhbar itu.

“Terpulang kepada saya sama ada bertanding atau tidak. Anda boleh terus meneka tetapi keputusannya di tangan saya,” katanya.

Kepada soalan lain yang berkaitan hal yang sama Perdana Menteri memberi tarikh pasti bila akan mengumumkan keputusan berkenaan – iaitu sebelum 9 Oktober ini bila 191 UMNO Bahagian di seluruh negara akan mula bermesyuarat dalam tempoh sebulan yang telah ditetapkan.

Makanya semua orang ada 13 hari yakni dari 26 September hingga 9 Oktober ini untuk mencari jawapan kepada teka teki itu sebelum Perdana Menteri mengumumkannya sendiri.

Dari tinjauan rambang Agendadaily ramai juga kalangan pemerhati politik yang berpendapat jawapan pada soalan terbesar itu sebenarnya sudah tersemat dicelah-celah kata-kata Perdana Menteri semasa menjawab soalan para wartawan selepas mesyuarat khas selama lebih kurang sejam setengah itu.

Menurut mereka cuma mungkin beliau hendak memilih platform lain yang lebih sesuai untuk membuat pengumuman besar itu.

Bagi mereka mengambil kira semua kenyataan Abdullah semasa sidang akhbar itu jawapannya memang mudah untuk diteka.

Sebenarnya memang tidak ada rumusan lain yang dapat dibuat selain itu berdasarkan kenyataannya bahawa anjakan tarikh pemilihan ke bulan Mac tahun depan adalah untuk melicinkan proses peralihan kuasa.

Ditanya adakah pelan peralihan kuasa yang asal 2010 akan dikekalkan?

Ini kata Perdana Menteri , “ Kalau kita nak awalkan ( ke bulan Mac 2009 ) tidak ada lah original 2010 itu... tak timbullah perkara itu. “

Lojiknya jika misalnya Abdullah sudah memutuskan hendak mempertahankan jawatan sebagai Presiden UMNO perlu apa tarikh pemilihan itu hendak dianjakan tiga bulan.

Anjakan tarikh itu boleh diandaikan sebagai kompromi waktu yang paling sesuai untuk membuat peralihan berkenaan berbanding Jun 2010 yang dilihat terlalu lama.

Lagipun perlembagaan UMNO membolehkan pemilihan parti ditangguhkan selama 18 bulan dari tarikh asal September 2007 dimana Mac 2008 genap tempoh berkenaan.

Ia juga akan membolehkan peralihan sekaligus dibuat yakni Najib dinobatkan secara bertanding atau tanpa tanding menerusi pemilihan jawatan UMNO untuk terus memegang jawatan Presiden UMNO.

Jika mengikut pelan Jun 2010 beliau perlu memangku jawatan nombor satu parti itu lebih setahun sehingga ke pemilihan parti akan datang iaitu hujung tahun 2011.

Dicelah segala ini para pemerhati melihat Perdana Menteri sendiri tahu kesannya jika berlaku pertandingan sengit dalam parti diketika UMNO berdepan dengan segala macam cabaran dari pembangkang sekarang.

Pendiriannya tentang keutuhan parti jelas dinyatakan bila ditanya wartawan dalam sidang akhbar itu adakah beliau sedia melakukan pengorbanan besar dengan meletakkan jawatan lebih awal jika itu yang lebih baik untuk parti.

“Setahu saya, saya sayangkan parti walau semasa dalam keadaan sukar. Saya tidak pernah meninggalkan parti, saya tidak menyertai UMNO 46, saya tidak sertai parti lain, malah saya tidak pernah berada di atas platform parti pembangkang untuk menentang UMNO.

Tidak ada rekod saya menentang parti langsung pada bila-bila masa pun,”kata Abdullah.

Katakanlah beliau tetap buat keputusan hendak bertanding mempertahankan jawatannya.Soalan yang pasti berlegar apa jadi kepada parti jika bahagian-bahagian UMNO turut mencalonkan Najib sebagai Presiden parti.

Turut menjadi persoalan apa kesanya jika katakan Abdullah tidak dapat cukup kuota 58 pencalonan bahagian yang diperlukan.

Mahu tidak mahu semua ini tidak dapat dielakan pasti menjadi bahan perkiraaan.

Dalam pada itu kebanyakan para pemerhati sependapat mood semasa baik dalam UMNO maupun dikalangan orangramai ialah mahukan satu perubahan dalam parti.

Makanya dicampur,tolak dan bahagi dari kenyataan Perdana Menteri dengan senario politik semasa – sukar untuk menolak taruhan yang paling selamat ialah pengumuman penting menjelang 9 Oktober ini ialah beliau tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Presiden UMNO.- 27/9/2008


-------------------------------

Pemilihan UMNO ditangguh...peralihan kuasa Mac 2009

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari Jumaat sebulat suara bersetuju menangguhkan pemilihan parti itu dari Disember ini kepada bulan Mac tahun depan dalam usaha melicinkan proses peralihan kuasa.

Bagaimanapun bagi mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, ia tetap akan diteruskan mengikut jadual asal pada 9 Oktober depan dengan semua agenda pemilihan Bahagian dan pencalonan bagi jawatan tertinggi parti diteruskan.

Namun, timbul persolan jika penangguhan pemilihan parti dibuat bagi licinkan proses peralihan kuasa, adakah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mempertahankan jawatan Presiden dengan menerima pencalonan daripada UMNO Bahagian yang mula bermesyuarat bulan depan.

Menjelaskan, perkara ini Abdullah berkata, beliau akan mengumumkan sama ada akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini sebelum persidangan perwakilan bahagian parti bermula.

"Saya belum membuat sebarang pengumuman mengenai perkara ini. Saya berhasrat untuk mengumumkannya sebelum mesyuarat bahagian," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas MT UMNO yang berlangsung kira-kira satu jam setengah di ibu pejabat parti itu.

Berdasarkan kepada keputusan yang dicapai oleh MT UMNO itu, pelan peralihan kuasa 2010 kini tidak lagi berbangkit kerana Abdullah menegaskan, keputusan menangguhkan pemilihan itu dicapai ekoran langkah mempercepatkan pelan peralihan kuasa 2010, yang diputuskan Julai lalu.

Ditanya adalah itu bermakna pelan peralihan kuasa 2010 dikekalkan, Abdullah menjawab “Kalau diawalkan, tidak adalah original punya 2010 itu. Tak timbullah."

Menjelaskan maksud melicinkan proses peralihan kuasa lebih awal, Abdullah berkata, ia adalah bagi membuat penyerahan apa juga yang diperlukan berdasarkan peraturan-peraturan yang sepatutmnya dilaksanakan.

"Ini akan diputuskan antara saya dan Najib," jelasnya ringkas.

Beliau turut menjelaskan, peralihan kuasa lebih awal tersebut mempunyai kaitan dengan keraj-keraja yang seharusnya dilaksanakan.

"Semua ada hubung kait dengan kerja saya. Bila habis kerja saya habislah," katanya.

Namun dalam pada itu, beliau menolak andaian bahawa keputusan mengawalkan peralihan kuasa disebabkan wujudnya tekanan ke atas dirinya dariapda kalangan ahli MT.

"Tida ada apa-apa pada hari ini (desakan)... mungkin ada dua atau tiga orang yang rasa begitu. Tapi kebanyakan tidak menunjukkan apa-apa sebab untuk memberi tekanan. Mereka juga tahu hubungan saya dengan Najib adalah satu hubungan yang baik dan apa-apa perkara pun, kedua-dua kami mempunyai persefahaman yang baik.

“Jadi tidak ada masalah yang patut timbul mengenai perkara ini," ujarnya panjang lebar.

Ditanya mengenai keputusannya sama ada akan bertanding atau tidak. Abdullah berkata, keputusan mengenainya terletak di tangan beliau dan terserah kepada pihak lain untuk membuat nadaian masing-masing. – 26/9/2008

Read More...

Wednesday, September 24, 2008

Presiden UMNO: Pendirian Pak Lah tak berubah

Agenda daily



Isu peralihan kuasa 2010 terus mencuri perhatian bila UMNO Pulau Pinang dilihat telah mengambil langkah untuk mempelopori usaha memastikan status quo Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak berubah dalam menghadapi mesyuarat UMNO Bahagian di seluruh negara selama sebulan yang dijadual bermula pada 9 Oktober ini.

Langkah ini diambil ditengah berbagai desas desus tentang trend pencalonan semasa mesyuarat 191 UMNO bahagian nanti berikutan adanya pandangan pro dan kontra mengenai mengenai soal jangka waktu pelan peralihan itu nak dilaksanakan.

Ini juga ekoran dari spekulasi tentang perbincangan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Khamis lalu dimana beberapa orang ahlinya dikatakan mendesak agar pelan itu dipercepatkan sebelum mesyuarat UMNO Bahagian bermula.

Dalam pada itu mengambil kira kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kota Bharu Isnin bahawa pelan peralihan kuasa itu akan berlaku secara berperingkat-peringkat… beliau jelas membayangkan tiada perubahan dalam pendiriannya untuk terus menawarkan diri mempertahankan jawatan Presiden UMNO Disember ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang ,Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah memberitahu satu sidang akhbar selepas mesyuarat khas badan itu mereka sebulat suara terus mempertahankan kedudukan presiden.

Katanya kesemua 13 UMNO bahagian di negeri itu Isnin mengulangi sokongan mereka terhadap pelan peralihan kuasa berkenaan dan serentak dengan itu menyeru semua pihak supaya menghormati dengan ikhlas keputusan yang telah dipersetujui itu.

Abdullah selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu tidak hadir semasa mesyuarat itu.


Langkah UMNO Pulau Pinang itu disertai oleh UMNO Kelantan yang berikrar untuk terus menyokong kepimpinan Abdullah dan Datuk Seri Najib Tun Razak agar pelan peralihan kuasa itu berjalan dengan lancar.

"Kita mahu Datuk Seri Najib mengambil alih kepimpinan dalam keadaan UMNO kuat," kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Tan Sri Annuar Musa.

Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan Isnin dihadiri hampir kesemua ketua UMNO bahagian mencapai kata sepakat mengenai pelan peralihan kuasa itu.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang telah menyatakan hasrat bertanding jawatan Presiden UMNO, tidak hadir.

Annuar berkata UMNO Kelantan akan terus menyokong kepimpinan Abdullah dan Najib agar peralihan kuasa itu berjalan dengan lancar.

Bagaimanapun di Selangor, kebanyakan UMNO Bahagian pula dilaporkan mahu peralihan kuasa dipercepatkan.

Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee ketika menghubungi Agendadaily Isnin untuk mengulas pendirian UMNO Pulau Pinang berkata beliau tetap berpendirian bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara wajar diberi kebebasan untuk membuat penilaian dan pendirian masing-masing tentang pelan peralihan kuasa itu.


Katanya tidak harus wujud unsur tekanan atau kongkongan keatas hal berkenaan.Menurut suara akar umbi dalam perkara penting seperti ini amat perlu diambil kira.

Sementara itu Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditemui para wartawan selepas satu majlis di Kuala Lumpur berkata terpulang kepada Perdana Menteri sama ada untuk menyerahkan kuasa lebih awal dari 2010.

Beliau yang sebelum ini secara terbuka menyatakan Perdana Menteri perlu percepatkan peralihan kuasa berkata beliau yakin Abdullah tahu apa yang sedang berlaku di peringkat bawahan.

"Kita serahkan kepada Perdana Menteri memikirkannya.

Tak perlu kita beri tekanan atau terus bercakap mengenainya," kata Muhyiddin ketika ditanya sama ada peralihan kuasa itu perlu dilakukan sebelum 9 Okt ini apabila bahgaian-bahagian UMNO mula mengadakan persidangan perwakilan masing-masing, antaranya bagi menamakan calon untuk jawatan dalam parti menjelang pemilihan Disember ini.

Beliau bagaimanapun menyuarakan kebimbangannya pada masa depan Barisan Nasional dan UMNO dalam menghadapi pilihanraya umum ke 13 jika tiada apa-apa perubahan.

Abdullah ketika bercakap kepada para wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup Badan Perhubungan UMNO Kelantan semasa rangka lawatan kerja sehari ke negeri itu Isnin berkata semua anggota UMNO peringkat akar umbi mahukan semangat pemuafakatan dalam parti itu diperkukuh sejajar dengan pelan peralihan kuasa pada 2010.

Beliau yakin semua anggota parti itu telah menyuarakan sokongan terhadap beliau mengenai pelan peralihan kuasa kepada Najib dan berharap ia berjalan dengan lancar.

Beliau berkata pelan peralihan itu diterima baik oleh anggota parti dan perkara itu dinyatakan semasa beliau membuat lawatan kerja ke negeri-negeri termasuk menghadiri majlis berbuka puasa.

"Semua anggota UMNO masih sayang kepada parti dan mereka inginkan parti ini supaya kuat dan baik.

"Mereka hendakkan parti ini diperbetulkan dan tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.


Abdullah berkata semua anggota UMNO tidak mahu sebarang perbalahan wujud di dalam parti berikutan proses pelan peralihan kuasa itu.

"Semua anggota tidak mahu berlaku perbalahan. Yang kita mahu adalah muafakat dan ikatan yang kuat di dalam parti yang membawa kepada perpaduan," katanya.

Abdullah berkata pelan peralihan kuasa tetap berlaku seperti yang telah dirancang sebelum ini dan ia berlaku secara berperingkat-peringkat.- 22/9/2008


Read More...

Monday, September 8, 2008

Bye…bye…16 September

Agenda daily



Angka yang diperolehi oleh Agendadaily pada awal pagi Isnin ialah 51 orang Ahli Parlimen.(Angka terbaru 49 orang).

Mereka terdiri dari ahli-ahli Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) di Parlimen.Ahli BNBBC ialah Ahli Parlimen Barisan Nasional yang tidak pegang jawatan dalam kerajaan iaitu Timbalan Menteri dan Menteri.

Destinasi mereka ialah Taiwan.Dalam perjalanan pulang pada 19 September mereka akan singgah di Hong Kong.

Mereka berlepas dalam beberapa penerbangan berasingan Isnin dan Selasa.Ada juga yang pergi lewat sehari dua kerana sebab-sebab tertentu.

Pemergian mereka ke Taiwan adalah dalam rangka lawatan sambil belajar yang diatur oleh Pengerusi BNBBC Datuk Seri Tiong King Sing (Bintulu) dan jawatankuasanya untuk meninjau projek-projek pertanian di negara itu.

Ahli BNBBC semuanya ada 79 orang.Ini bermakna 30 orang yang tidak menyertai mereka.

Difahamkan salah seorang yang turut serta ialah Datuk Chua Soon Bui (Tawau) dari parti SAPP.

Antara yang tidak ikut serta ialah Datuk Mukhriz Mahathir (Jerlun) ,Datuk Ghafur Salleh (Kalabakan) ,Datuk Mohamad Aziz ( Seri Gading) dan Datuk Anifah Aman (Kimanis).

Kebanyakan yang tidak dapat ikut serta kerana terikat dengan berbagai program di kawasan masing-masing sepanjang bulan Ramadhan.

Ini adalah rombongan terbesar pertama para Ahli Parlimen keluar negara serentak menyertai lawatan sambil belajar..

Bagi PKR khusus Datuk Seri Anwar Ibrahim yang nak pancing 30 orang Ahli Parlimen BN, lawatan sambil belajar ini dikira sebagai gerakan ‘membawa lari’ para Ahli Parlimen BN menjelang 16 September.

Sebaliknya BNBBC menegaskan ia tidak ada kaitan dengan impian Anwar nak ambli alih kerajaan menerusi tindakan lompat parti para Ahli Parlimen BN.

Seorang Ahli Parlimen BN yang akan turut serta memberitahu Agendadaily semasa ditemui Sabtu malam tidak timbulkan langsung unsur paksaan dari mana-mana pihak agar mereka menyertai lawatan sambil belajar itu.

Pemergian mereka ditanggong oleh kelab itu serta perbelanjaan sendiri dan tidak melibatkan wang kerajaan.

Ahli Parlimen dari semenanjung itu yang tidak mahu namanya disebut sebaliknya mempersoalkan apa yang pihak pembangkang sibuk-sibuk buat bising mengenai pemergian mereka.

“Ini urusan kamilah…mereka peduli apa.Selalunya ada rombongan Ahli Parlimen ke luar negara mereka tak bising...kenapa kali ini bising.Apakah mereka takut pelan Anwar tak menjadi dengan pemergian kami.

“Itu soal merekalah.Yang sibuk menjaja sana sini kata Ahli Parlimen BN nak lompat bukan kami tapi Anwar.Dia yang pandai menjaja macam kami semua orang tak ada maruah…sekarang dia jawablah kepada semua penyokongnya dan seluruh rakyat Malaysia pada 16 September nanti.

“Siapa dia nak main borong-borong...nak jual nama kami sana sini...kata dia boleh jadi Perdana Menteri kerana kami nak berpaling tadah.Sebenarnya dia sendiri yang tak ada maruah sanggup bohong dan permainkan seluruh rakyat Malaysia,”katanya.

Ahli Parlimen itu dengan nada tegas berkata mereka sudah tidak ambil pusing lagi dengan apa saja nak dicakap oleh Anwar.

“Kalau dia boleh bohong sampai ke hari ini kata dia dah ada 30 orang Ahli Parlimen bersamanya...apa nak hairan kalau dia boleh reka macam-macam cerita lagi.Yang terdesak dan tertekan sekarang bukan kami tetapi Anwar.

“ Kita sama-sama tengoklah nanti pada 16 September apa lagi alasan yang nak direkanya untuk menutup malu.Kita boleh jangka dari sekarang apa yang akan bakal dicakapnya.Paling tidak dia akan kata pelannya gagal kerana BNBBC bawa kami semua lari ke luar negara.

“Kalau dah konfiden sangat apa yang jadi hal dan itu nak dijadikan alasannya.Lojiknya kalau ada yang sudah set nak lompat ikut dia… buatlah apa saja sekalipun...bawalah ke luar negara,orang itu tetap akan ikut dia juga…tapi macam saya kata kita sama-sama tengok ada tidak 30 orang Ahli Parlimen BN yang dia hebohkan itu.

"Manalah tau mungkin satu dua dua masuk dalam perangkapnya tapi kalau 30 orang itu hanya dalam mimpinya,"katanya.

Kalau sudah 49 orang Ahli Parlimen BN sertai lawatan itu maka yang tinggal ahli BNBBC di dalam negara cuma 30 orang.Seramai 61 orang Ahli Parlimen lagi yang tidak ikut serta berjawatan Menteri dan Timbalan Menteri.

Apakah Anwar ada harapan untuk zero in keatas 30 baki ahli BNBBC ?.

Kalau mengikut senarai nama mereka yang tak pergi itu pun dikatakan tipis sekali.

Kebanyakan mereka seperti Anipah,Ghafur,Mukhriz dan Muhamad Aziz bukan kaki mudah goyang dan sudah berulangkali kata impian Anwar itu mengarut saja.

“Seronok mendengar Anwar heboh sana sini dia masih on track …tapi dia sendiri tentu dah tahu keretapinya akan tergelincir di Ipoh…nun jauh dari Putrajaya.

“Tolong sampaikan salam saya kepada Anwar dan ucapkan bye..bye 16 September ,”kata Ahli Parlimen itu..- 8/9/2008

Read More...

Tuesday, September 2, 2008

16 Sept - Mari kita tengok siapa yang kena…

Agenda daily




2 September 2008 …hayat kerajaan Barisan Nasional ada 14 hari lagi kalau mengikut kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.Ayat standard Penasihat PKR itu ia tetap on track .

Sebagai kepala keretapi beliau nampak begitu yakin sekali dapat membawa gerabaknya – barisan pembangkang sampai ke stesyen Putrajaya pada 16 September ini.

Satu dunia sedang menunggu…lebih-lebih pak cik,mak cik,adik kakak dan abang di Permatang Pauh yang percaya habis pilihanraya kecil di situ pada 26 Ogos lalu adalah untuk bagi tiket kepada Anwar jadi Perdana Menteri.

Jadi ke tak jadi? Ini bukan cerita main-main pondok di celah kampong di Cerok Tok Kun.Kalau betul ini cerita sejarah.

Sebuah kerajaan sah yang di undi oleh rakyat menerusi pilihanraya umum mampu diterbalikkan menerusi ‘ pintu belakang’.

Kata Anwar beliau sudah ada the numbers …yakni cukup Ahli Parlimen BN yang nak melompat.

Jangan kata kalangan pimpinan BN sendiri yang tertanya-tanya apa congak yang Anwar nak pakai malah penganalisis politik paling veteran pun mati kutu memikirkannya.

Setakat ini tidak ramai yang nampak kemungkinan itu.

Entahlah mungkin Anwar ada ‘kejutan’ dalam poketnya.

Apapun Anwar sendiri tahu beliau bakal pegang title PEMBOHONG NOMBOR SATU NEGARA …jika 16 September bendera BN masih berkibar di Putrajaya.

” Tak main dah alasan-alasan…kita semua percaya dia nak jadi PM,” kata mat-mat motor di Kubang Semang yang gila-gila round kampong kempen untuknya masa pilihanraya kecil itu.

Diatas ialah gambar ikon countdown Agendadaily menjelang hari yang (kalau betul) amat bersejarah sejak negara kita mencapai kemerdekaaan 51 tahun lalu.- 1/9/2008


Read More...

Sunday, August 10, 2008

Jangan salahkan Anwar…

Agenda daily



Sekali lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil dengan wajah penuh yakin dan boleh buat para pembesar UMNO tidak boleh tidor malam mendengar ‘ senda guraunya’.

Sebagai orang lama dan cukup mahir dengan gerak saraf Penasihat Parti Keadilan Rakyat ini tahu UMNO kini kena berdepan dengan orang yang nothing to lose bila beliau terus bercakap dan terus bercakap seperti dalam sidang akhbarnya di ibupejabat parti itu dekat Petaling Jaya Jumaat.

Kalangan mereka yang kenal sangat dengan stail Anwar apa lagi ketika sedang berdepan dengan beban kes mahkamah dakwaan liwat oleh bekas pembantunya ,Saiful Bukhari Azlan yang kelak akan jadi penentu hidup mati karier politiknya - hanya memberi komen ringkas: “Jangan salahkan Anwar…apa pilihan yang dia ada kalau tidak tampil bergaya begitu untuk mencuri keyakinan orang.”

Juga kata mereka alangkah indahnya demokrasi di Malaysia jika ribuan orang yang ada kes mahkamah sepertinya berpeluang berkempen,bercakap,menghentam sebebas-bebasnya mempertikaikan pertuduhan yang dihadapi.

Tentunya ramai yang ada niat serong yang nak buat hal jenayah dan segala macam akan menyambut dengan penuh riang ria satu reformasi perundangan sebegitu kalau betul bagai dikatakan - jika ditakdirkan barisan pembangkang yang diketuai Anwar berkuasa.

Anwar bukan baru hidup di Malaysia malah pernah berbelas tahun berada dalam kerajaan sampai ke jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Dalam keadaan yang tidak tertekan beliau sendiri mungkin akan mengakui hakikat bagaimana kelamkabutnya negara jika semua orang yang ada kes mahkamah boleh ‘ berpesta’ mempertikaikan pertuduhan mereka secara terbuka seperti yang dinikmatinya sekarang.

Siapapun boleh berjanji seperti janjinya dalam sidang akhbar hari ini bahawa di bawah kerajaan yang bakal dipimpinnya tidak akan kuasa polis dan peguam negara untuk menghukum musuh politik.

Mungkin ramai lupa semasa beliau dalam kerajaan dulu ini semua tidak begitu menjadi isu baginya.

Entahlah berapa ramai musuh politik kerajaan di Malaysia ini sudah ‘dipancung’ oleh kuasa polis dan Peguam Negara seperti yang digembar gemburkannya bila mengenangkan barisan pembangkang berjaya menawan lima negeri dalam pilihanraya 8 Mac dan kebanyakan tokoh pembangkang masih aktif berpolitik dan bergerak bebas ke sana kemari.


Cara Anwar mensensasikan sesuatu isu memang cukup menarik.

Aneh juga tiba-tiba riuh dan heboh pasal adanya cubaan membunuhnya semasa baru-baru timbul kes dakwaan liwat dulu sudah tidak kedengaran lagi sekarang.

Malah kehabisan bilik–bilik hotel di Seberang Perai ditempah menjelang pilihanraya kecil Permatang Pauh sudah awal-awal digambarkannya seolah BN akan bawa segala peti harta karun untuk ditabur di sana.

Sedangkan soal kehabisan bilik hotel semasa mana-mana pilihanraya kecil adalah perkara biasa.Ia mungkin ditempah oleh orang UMNO atau mana-mana ahli parti pembangkang sendiri yang nak turun bantu berkempen.

Dalam sidang akhbar itu apa saja untuk mencetuskan rasa curiga pada kes mahkamahnya dan keyakinan orang pada masa depan politiknya dijadikan peluru.

Ini termasuklah akuan bersumpah doktor Hospital Pusrawi, Dr Mohamed Osman yang kata bahawa beliau tetap berpegang kepada hasil pemeriksaannya ke atas Saiful bahawa tidak ada sebarang bukti berlaku liwat ditemui.


Kenyataan pihak Pusrawai sendiri yang telah menjelaskan bahawa doktor yang berasal dari Burma itu hanya buat pemeriksaan biasa - tidak diambil kira.

Begitu juga halnya dengan prosedur tetap yang diguna pakai selama ini bahawa bagi siasatan kes-kes macam ini hanya hasil pemeriksaan hospital kerajaan dikira sah - tidak langsung dipedulikannya.

Gambaran yang cuba diberikan ialah seluruh sistem yang ada berkonspirasi untuk mengenakannya.

Apa saja yang dilihat tak memihak kepadanya dikira tidak adil.Sebaliknya sistem perundangan yang selama ini dipertikaikannya tiba-tiba menjadi adil baginya bila Mahkamah Sesyen,Jalan Duta,Kuala Lumpur membenarkan ikat jamin dengan bon peribadi semasa beliau didakwa pagi Khamis.

Semua orang bakal tertunggu–tunggu penubuhan kerajaan pimpinannya menjelang 16 September ini.

"Saya melihat ke depan untuk masuk ke parlimen pada 27 Ogos dengan sokongan rakan-rakan dalam barisan pembangkang,"katanya setelah menyuarakan keyakinan untuk memenangi pilihanraya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

Pada ketika ramai yang terus meragui congak apa yang dipakainya,Anwar selamba berkata jumlah ‘ meyakinkan’ Ahli Parlimen BN yang nak melompat sudah ada ditangannya.

Beliau enggan mendedahkan jumlahnya tetapi kata ia akan diberitahu bila tiba masanya kelak.

Dakwanya matlamat 16 September - untuk jatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah menerusi pilihanraya 8 Mac menerusi lompat parti - tidak berubah.

Juga yang bakal ditunggu ialah jika tak jadi pada dateline itu apa pula alasan dan ceritanya nanti.- 8/8/2008

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |