+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, April 13, 2009

'Cina, India bukan peminta sedekah'

Malaysiakini

Apr 13, 09 5:17pm

Pengundi bukan Melayu "tidak mahu dilayan seumpama pengemis" - apabila menjelang pilihanraya, mereka ditaburkan pelbagai projek pembangunan dengan harapan mereka memilih calon BN, kata jurucakap rasmi MCA.

"Bukan Melayu tidak suka dilayan seperti peminta sedekah, hanya ketika pilihanraya kecil, lebih banyak penaikan taraf jalan dilakukan, peruntukan kepada sekolah, NGO dan badan amal meningkat," kata ahli jawatankuasa pusat parti itu Lee Wei Kiat.

"Walaupun bantuan dalam apa jua bentuk kepada sesuatu masyarakat sentiasa dialu-alukan, pengundi ingin melihat ketekalan dalam peruntukan dan pengagihan kerajaan dan bukannya memuncak sewaktu pilihanraya kecil."

Beliau mengulas wawancara Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang melihat ketewasan besar BN di parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau sebagai sikap tidak kenang budi pengundi bukan Melayu terhadap kerajaan.

Ditanya Mingguan Malaysia "bukankah setiap kali pilihanraya kecil, permintaan kaum bukan Melayu dipenuhi, malah di Bukit Gantang walaupun peruntukan RM1 juta diberikan tetapi kaum Cina tidak juga menyokong BN", timbalan presiden Umno berkata:

"Ya, kadang-kadang kita berasa terpedaya juga kerana zahirnya nampak macam 'OK', sambutan dengan tepukan gemuruh tetapi mungkin sudah ada tertanam dalam hati iaitu sesuatu tidak mudah hendak berubah, pokoknya masalah isu Perak terutamanya di kalangan masyarakat Cina yang mungkin telah dipengaruhi dengan sentimen simpati kepada Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, kononnya dia 'dijatuhkan', lepas itu kononnya dasar memberi pegangan tanah selama 99 tahun dilihat dasar yang menguntungkan.
muhyiddin yassin interview 100309 01"Ini yang mungkin menyebabkan sukar BN mendapat sokongan walaupun kita fikir bila mereka hendak sekolah Cina dibantu, kita bantu, sepatutnya mereka membalas budi.

"Pada waktu itu, kita pun tidak berharap sokongan kaum Cina akan meningkat 40 peratus dan sebagainya cuma kita berharap ada peningkatan sedikit tetapi apa yang berlaku ia mencatatkan penurunan, macam tidak ada penghargaan terhadap apa yang kita lakukan."

Wawancara pertama dengan Muhyiddin - selepas dilantik pemimpin nombor dua negara - mendapat liputan meluas akhbar-akhbar utama berbahasa Cina hari ini yang semuanya menonjolkan wawancara tersebut yang dianggap negatif kepada pengundi bukan Melayu.

Sin Chew Daily melaporkan "Muhyiddin – Cina tidak bersyukur kepada BN", Nanyang Siang Pau "Cina kenakan BN. Muhyiddin – Dapat manfaat tetapi tidak beri undi" dan China Press pula "BN rasa tertipu. Muhyiddin - Penuhi tuntutan Cina tapi masih tiada sokongan".

Selain MCA, Gerakan dan DAP juga membidas analisis Muhyiddin itu yang mendakwa pengundi Cina dan India kini menganggap diri mereka "kuasa penentu" kekuasaan selepas lima negeri, termasuk Kelantan, jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

"Persoalannya apakah mereka melihat dalam konteks senario politik baru ini, selepas kerajaan BN tumbang di lima buah negeri, mereka sudah menjadi kuasa penentu? Orang Cina rasa sekarang, walaupun mereka kumpulan minoriti, merekalah menentukan kerana kelompok masyarakat Melayu sudah berpecah tiga kumpulan.

"Masyarakat Cina tidak berpecah, mereka bersatu, setidak-tidaknya dari segi semangat apabila bersama-sama membuat sesuatu keputusan.

"Dalam keadaan ini, mereka boleh menentukan keputusan sesuatu pilihanraya dan apabila kesan itu dapat dilihat dalam pilihanraya umum lalu dan beberapa pilihanraya kecil, mereka fikir sekarang mereka lebih ada kuasa penentu, bukan sahaja Cina, malah masyarakat India pun begitu, apatah lagi apabila mendapat kedudukan dalam kerajaan yang ditubuhkan pakatan pembangkang dengan menjadi timbalan ketua menteri, speaker dan exco kerajaan negeri, jadi ini bagi mereka seolah-olah tawaran yang diberikan oleh pihak sana lebih baik daripada kita pernah tawarkan dalam konteks BN, jadi ini kita harus teliti," Muhyiddin dipetik berkata dalam wawancara tersebut.

"Kebimbangan saya orang yang tidak menjadi penentu sudah menjadi penentu, orang Melayu yang majoriti sepatutnya menjadi penentu sudah tidak menjadi penentu.

"Justeru bagi kita kalau boleh sebaik mungkin mereka bernaung di bawah sayap Umno, tetapi Umno yang relevan dan memahami cita rasa rakyat, Umno yang adil, Umno yang lebih bersedia untuk melihat dengan lebih saksama, ini kita kena fikirkanlah."

Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Yuan berkata pengundi Cina di dua kawasan tersebut sukar mengaitkan diri mereka dengan BN kerana ia tidak lagi menegakkan yang terbaik di Malaysia."

"Amalan biasa (BN) menaburkan peruntukan tidak lagi membawa kesan kerana ramai yang melihatnya sebagai cubaan tidak bijak untuk meraih undi. Masalah mereka mesti ditangani berterusan dan menyalurkan peruntukan sewaktu pilihanraya kecil, tidak lagi berkesan dan meyakinkan," katanya.

"Isu-isu yang lebih pokok seperti rasuah, penyalahguanaan kuasa dan kesaksamaan dalam kepemimpinan nasional dan sistem penyampaian kerajaan harus ditangani dahulu, barulah pengundi yang lari daripada BN pada 3 Mac 2008 akan bersedia kembali (bersama BN)."

Chang sebaliknya mencadangkan idea "Satu Malaysia. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" yang dipromosikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak haruslah diberikan lebih penekananan kerana ia boleh memberi makna sebenar perjuangan BN.

Selain mencadangkan kempen bersama antara pemimpin Melayu dan bukan Melayu untuk semua kaum, Chang menambah, ramai pengundi kini terpengaruh dengan slogan keadilan dan kesaksamaan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat

Sementara tokoh DAP Lim Kit Siang menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu sebagai "pengesahan" bahawa BN mengaku bersalah mengamalkan politik wang ketika pilihanraya, menggunakan dana awam khususnya dalam bentuk projek pembangunan sebagai umpan untuk meraih sokongan pengundi.

Mengulas wawancara dengan ahli parlimen Pagoh bertajuk 'Kuasa penentu Melayu hilang jika terus berpecah', Lim menafikan pengundi Cina dan India ingin menjadi "kuasa penentu" politik dengan menyisihkan Melayu dalam lanskap baru politik.

Beliau menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu "jelas sekali tidak sesuai, paling mengejutkan dan menyinggung perasaan" sebagai timbalan perdana menteri yang baru dan bertanya "apakah ini yang dimaksudkan oleh 'Satu Malaysia' Najib?"

"Tugas pertama jemaah menteri Najib pada mesyuarat pertama Rabu ini ialah menakrifkan maksud slogan 'Satu Malaysia' bagi memastikan ia menjadi motto perpaduan dan bukan perpecahan," kata Lim.

Dalam kenyataan sama, Lee menambah pengundi Bukit Gantang menolak BN berdasarkan beberapa faktor, termasuk isu tanah milik sementara (TOL) dan rungutan nelayan di Kuala Sepetang yang belum berjaya diselesaikan.

Isu-isu nasional yang dipertikaikan pengundi bukan Melayu termasuklah pengagihan tidak sama rata biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), diskriminasi untuk masuk ke pusat pengajian tinggi, kegagalan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan hak kebebasan berpolitik yang terhad.

Lee turut mengungkit sumbangan kaum Cina sejak sebelum 1957, menghantar perwakilan negara untuk berunding kemerdekaan di London sehinggalah menentang Indonesia pada era Konfrontasi 1960-an.

"Oleh itu, untuk memenangi semula hati masyarakat Cina, BN mesti melakukan lebih daripada sekadar menyumbang RM1 juta pada pilihanraya kecil," katanya.

Read More...

Nabil tak menyesal peluk Irma spontan

Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

Nabil akui memeluk Irma secara spontan kerana terlalu gembira sebaik memenangi gelaran utama ABP tahun ini

AKSI spontan Bintang Paling Popular 2008, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil yang memeluk kekasihnya, Irma Hasmie sebaik diumumkan sebagai pemenang utama Anugerah Bintang Popular kali ini cukup mengejutkan banyak pihak.

Ramai yang tidak menyangka Raja Lawak musim kedua itu berani berbuat demikian di hadapan ribuan penonton yang turut boleh disaksikan secara langsung di kaca televisyen menerusi TV3.

Nabil yang turut berjaya dua kemenangan iaitu anugerah Artis Komedi Lelaki Popular dan Artis Baru Lelaki Popular bagaimanapun membuat penjelasan tentang hal itu yang mana Irma sendiri sebenarnya turut terkejut dengan tindakan Nabil.

“Saya peluk dia secara spontan, jadi saya tak menyesal sebab itu merupakan cara saya meluahkan perasaan gembira.

"Lagipun, dia merupakan tempat untuk saya meluahkan perasaan, semasa saya susah dan senang,” kata Nabil selepas majlis tersebut berakhir.

Nabil bagaimanapun sedar perlakuannya itu pasti akan menimbulkan satu kontroversi.“Saya minta maaf kalau apa yang orang nampak itu melampaui batas dan terpeluk di tempat yang salah.

Irma turut meluahkan perasaan terkejutnya kerana tidak menyangka Nabil akan memeluknya

“Selepas ini, saya tidak akan buat lagi, sehinggalah dia menjadi isteri saya,” ujar Nabil yang merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh dua tahun lagi.

Seperti yang disaksikan oleh jutaan penonton, Nabil turut mengaku yang itu merupakan pertama kali dia memeluk Irma.

“Orang pernah cakap meluat tengok saya peluk Irma kat Shopping Complex tetapi saya tak pernah buat pun.

“Saya hanya pernah pegang tangan dan bahunya,” akui Nabil.

Sementara itu, Irma turut meluahkan perasaan terkejutnya kerana tidak menyangka Nabil akan memeluknya.

“Namun, Nabil sudah minta maaf dengan saya kerana tidak sengaja. Lagipun, dia terkesima dan terlalu ‘excited’,” luah Irma yang bergaya anggun dengan pakaian berwarna merah rekaan Betty.

Nabil pula mengenakan sut berwarna sedondon dengan Irma rekaan Michael Shu.

Dengan kemenangan sebagai Bintang Paling Popular 2008, Nabil berjaya membawa pulang hadiah berjumlah lebih RM250,000 berupa kereta Nissan Sylphy 2.0 C berharga RM109,000, barang kemas Rafflesia (RM150,000) dan perabot Empayar Classic (RM30,000).

Nabil berkata dia bercadang hendak menggunakan kereta yang diterimanya itu.

Jejaka berasal dari Mambau, Negeri Sembilan ini juga tidak menjangkakan yang dia akan menang besar dalam anugerah berprestij itu.

“Saya langsung tak ‘expect’ akan menang kerana ingatkan Mawi yang menang. Saya memang relaks ‘gila’. Jangkaan saya memang rendah dan orang akan ‘vote’ saya untuk menang.

“Saya bajet Saiful Apek akan menang anugerah Artis Komedi Lelaki Popular. Saya hanya ‘target’ mungkin menang anugerah Artis Baru Lelaki Popular. Kalau saya tak menang pun, mungkin Riz, Nubhan atau Fizow Omar kerana mereka lebih kacak dari saya,” ujarnya dalam nada gembira.

Ditanya perasaanya apabila dia telah menewaskan Saiful Apek yang sebelum ini mengungguli gelaran Artis Komedi Lelaki Popular selama enam tahun berturut-turut, Nabil menjawab:

“Saya tidak tewaskan dia tetapi Apek dapat pelapis untuk teruskan bakat dalam industri kerana dia seperti abang saya.

“Begitu juga dengan orang sekeliling saya yang tercalon iaitu Afdlin Shauki, Zizan yang sama-sama berkawan dengan saya. Saya baru lagi dan mereka banyak membantu saya.

"Jadi, saya ucapkan terima kasih sangat-sangat.”

Ironinya, Nabil masih lagi sama seperti Nabil yang dulu dan dia berjanji akan mengekalkan identitinya yang selamba itu.

“Saya bersyukur dan tahu orang ramai telah menyokong saya. Jadi, saya perlu memberikan yang terbaik setelah mereka memberikan peluang untuk saya berdiri di atas pentas itu. “Saya tidak akan lupa diri dan di luar saya masih selamba,” janji Nabil yang turut mengaku masih memakai pakaian ‘bundle’.

Read More...

Nabil Bintang Paling Popular 2008

Utusan Online


RAJA Lawak musim kedua, Nabil bersama trofi Anugerah Bintang Paling Popular 2008 di Arena of Stars, Genting Highlands, malam tadi. Nabil turut memenangi anugerah Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular manakaka Raja Pop, Jamal Abdillah (gambar kecil) pula meraih Anugerah Pencapaian Seumur Hidup. - Gambar UTUSAN/MOHD NOOR AMIN


GENTING HIGHLANDS 12 April - Seperti yang diramal, gelaran Bintang Paling Popular menjadi milik juara Raja Lawak musim kedua, Nabil dalam Anugerah Bintang Popular 2008 (ABP2008) di Arena of Stars di sini malam ini.

Dia yang mendapat 127,524 undi untuk kategori itu, membawa pulang hadiah berjumlah lebih RM250,000 termasuk sebuah kereta Nissan Sylphy 2.0L (A) berharga RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. selain barang kemas dan pakej penginapan.

Anak kelahiran Negeri Sembilan itu juga menjadi artis komedi kedua yang memenangi kategori tersebut selepas Saiful Apek dinobatkan gelaran sama pada tahun 2003.

Bukan itu saja, Nabil turut memenangi dua kategori lain iaitu Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular dengan menewaskan nama-nama besar seperti Afdlin Shauki, AC Mizal dan Saiful.

Kejayaan Nabil menggenggam gelaran itu ternyata membenamkan impian penyanyi Mawi untuk mempertahankan gelaran tersebut bagi tahun keempat berturut-turut.

Pun begitu, Mawi, juara Akademi Fantasia 4, berjaya mempertahankan kemenangan bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular untuk kali keempat berturut-turut.

Datuk Siti Nurhaliza pula membuktikan keunggulannya sebagai penyanyi nombor satu negara apabila dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Popular bagi tahun ke-12 berturut-turut.

Dalam kategori itu, Siti berdepan saingan yang cukup sengit daripada penyanyi baru seperti Elyana, Jaclyn Victor, Mila dan Stacy.

Band indie yang semakin popular, Meet Uncle Hussain (MUH) pula membawa pulang gelaran Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular sekali gus membenamkan impian saingan terdekat, Hujan.

Sementara itu, Fara Fauzana berjaya mempertahankan gelaran Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular untuk dua tahun berturut-turut.

Rakan setugasnya, Faizal Ismail juga mengekalkan kejuaraan buat tahun kedua menerusi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular.

Pemenang lain ialah Aznil Nawawi iaitu kategori Pengacara TV Lelaki Popular, Noorhiriah (Artis Komedi Wanita Popular) dan Rabbani (Penyanyi/Artis Nasyid Popular).

Juara Akademi Fantasia musim keenam, Stacy pula dipilih Artis Baru Wanita Popular.

Pelakon Filem Lelaki dan Wanita Popular masing-masing dimenangi Que Haidar dan Maya Karin manakala Rosyam Nor dan Dynas pula membawa pulang gelaran Pelakon TV Lelaki dan Wanita Popular.

ABP2008 turut menyaksikan Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup atas sumbangannya dalam bidang seni.

Read More...

Krisis Keyakinan Terhadap Ahmad Said Semakin Serius?

Buletin Online

Written by Editor
Sunday, 12 April 2009 23:27

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita3/idrisatauahmad1.jpgKuala Terengganu - Pendedahan media tentang adanya usaha untuk membawa usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said kelmarin, dikatakan telah sampai ke Putrajaya.

Empat wakil rakyat BN hari ini dimaklumkan telah pergi ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri yang baru.

Mereka dipercayai bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin bagi menyuarakan hasrat mereka, dalam usaha menyelesaikan ‘krisis keyakinan’ yang semakin serius.

Krisis bermula lebih setahun lalu apabila Ahmad yang juga ADUN Kijal di lantik menjadi Menteri Besar ‘merampas’ kedudukan yang sepatutnya menjadi milik Dato’ Seri Idris Jusoh selaku pengerusi BN negeri ketika itu.


Perlantikan secara luar kebiasaan Ahmad hampir-hampir mencetuskan krisis perlembagaan apabila UMNO menentang pemilihan Ahmad yang diperkenan oleh pihak istana.

Kumpulan yang menyokong Idris, diketuai bekas Exco kerajaan Dato’ Rosol Wahid merasa kecewa, membantah dan mengugut untuk membawa usul undi tidak percaya kedalam sidang Dewan Undangan Negeri. (Gambar - Rosol menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak istana Terengganu Mac tahun lalu)

Bagaimana pun, Rosol yang dihubungi media semalam menafikan beliau masih cenderung untuk membawa usul tersebut.

"Tak ada... tak ada rancangan nak buat begitu (usul undi tidak percaya).

"Saya jamin saya tak akan kemuka sebarang usul undi tak percaya kepada Menteri Besar," katanya kepada mStar Online.


Namun begitu beliau tidak menjamin yang rakan-rakan seangkatannya, ADUN BN lain tidak membawa usul tersebut.

"Orang lain saya tak pastilah macam mana, itu terpulang kepada merekalah, tapi bagi saya memang tak ada," katanya.

Semalam dalam mengulas perkembangan terbaru negeri Terengganu itu, Jawatankuasa PAS Pusat Dr Syed Azman menyarankan supaya Ahmad Said membubarkan DUN lebih awal bagi menghadapi krisis keyakinan yang sedang melanda pentadbirannya.

Tindakan pentadbiran Ahmad membuat pertukaran beramai-ramai penjawat awam dan kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri telah menghilangkan keyakinan mereka kepada Ahmad yang juga pengerusi perhubungan UMNO Terengganu.

Walaupun pelbagai pihak dalam UMNO Terengganu cuba menutup isu perpecahan dan wujudnya ‘dua bahtera dengan dua nakhoda’, kini, ia kelihatan semakin jelas.

Ahmad, walaupun ‘bermulut manis’ dengan pihak media, namun kerap menyindir segala projek yang dilaksanakan oleh Idris sebelum ini.

Read More...

Khairy akui program Pemuda Umno 'syok sendiri'

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Apr 11, 09 8:00am

Ketua Pemuda Umno yang baru, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya kini menyedari bahawa program-program yang dianjurkan oleh pergerakan itu sebelum ini adalah ‘program syok sendiri'.

"Kita buat program untuk orang yang sama, orang yang sudah totok sokong Umno dan BN," katanya ketika melancarkan program exco turun padang di Rawang malam tadi.

Walaupun hujan lebat, majlis tersebut mendapat sambutan hebat dengan dihadiri kira-kira 500 ahli Pemuda Umno bahagian Selayang.

Selain Khairy, hadir sama ialah Naibnya, Datuk Razali Ibrahim dan bebaterapa exco pergerakan itu.

khairy jamaluddin interview 230209 17Sehubungan itu, Khairy berkata, fokus utama pergerakan itu untuk memperkuatkan parti ialah dengan mendekati golongan muda dan yang tidak berparti.

"Jadi kita kena keluar dari kepompong untuk menemui mereka yang selama ini tidak bersama dengan kita.

"Kerana dalam pilihanraya umum saluran anak muda iaitu saluran empat, lima dan enam tidak mengundi BN," katanya.

Khairy berkata, beliau akan mewujudkan satu hal ehwal khas untuk orang muda terutama di Lembah Kelang.

Katanya, jawatankuasa itu akan memberi perhatian terhadap ekonomi, jenayah, perumahan, penjaja kecil dan keselamatan mereka.

"Kepada rakyat yang terpinggir, yang tidak ada masa depan sebagai pelanggan utama kita," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, beliau akan melantik ketua Pemuda Umno negeri tidak berapa lama lagi.

"Minggu depan saya akan melantik setiausaha, bendahari dan ketua penerangan Pemuda Umno sebelum pelantikan ketua Pemuda negeri dibuat," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau berkata pelantikan naibnya, Datuk Razali Ibrahim dan Datuk Mukhriz Mahathir dalam kabinet sebagai satu pengiktirafan kepada Pemuda Umno.

Mukriz yang mencabarnya bagi jawatan ketua Pemuda, dilantik sebagai timbalan menteri perdagangan antarangbangsa dan industri, manakala Razali dilantik sebagai timbalan menteri belia dan sukan.

Program pertama

Ditanya mengenai dirinya yang tidak dilantik dalam kabinet, Khairy berkata: "Kalau semua pemimpin berada dalam kerajaan, siapa yang hendak jaga parti.

"Saya meminta ahli Pemuda menerimanya dan jangan membuat spekulasi dan cerita yang bukan-bukan,"katanya.

Khairy juga mengulangi bahawa beliau tidak dipilih menganggotai kabinet kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memerlukan beliau memimpin pergerakan Pemuda sepenuh masa.

Katanya, ini pendekatan yang baik kerana bukan semua pemimpin perlu berada dalam kerajaan.

Khairy sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak kecewa kerana tidak dipilih dalam kabinet Najib walaupun memenangi jawatan ketua Pemuda Umno.

Difahamkan program anjuran Pemuda Umno bahagian Selayang itu merupakan yang pertama selepas Khairy memenangi jawatan ketua Pemuda Umno akhir bulan lalu.

Dalam ucapannya juga, Khairy menjelaskan bahawa Najib telah memanggilnya Rabu lalu untuk memintanya memberi tumpuan khas kepada usaha meningkatkan sokongan kepada parti dan BN.

Katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana memberi kepercayaan kepadanya.

"Sayaakan bekerja keras untuk kebaikan parti. Saya buat ikrar depan presiden bahawa Pemuda akan bersama saya.

"Bukan mudah hendak menawan pengundi muda dan pengundi atas pagar. Kita kena buktikan Umno boleh memimpin bukan sahaja orang Melayu tetapi juga orang Cina dan India.

"Bukan setakat jaga ahli parti (Umno) tetapi juga yang tidak berparti dan pengundi atas pagar," katanya.

Read More...

Pemandu, pembantu bas ekspres ragut 6 nyawa ada 14 saman

Mstar Online


PASUKAN mencari dan menyelamat memeriksa keadaan bas dua tingkat yang terbalik di KM KM 443 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Rawang awal pagi tadi, yang mengorbankan enam orang termasuk pemandunya.

RAWANG: Pemandu dan pembantu pemandu sebuah bas ekspres dua tingkat yang terbalik di KM 443 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini awal pagi ini masing-masing mempunyai lapan dan enam saman.

Ketua Polis Trafik Persekutuan, Senior Asisten Komisioner II Datuk Abd. Aziz Yusof berkata, siasatan awal menunjukkan pemandu bas AB Express telah dikeluarkan lapan saman kerana memandu laju.

Pembantu pemandu bas tersebut, Zulkhibri Md. Saad pula mempunyai enam saman dan lima waran tangkap atas kesalahan yang sama.

"Kami sedang menyiasat kes ini sebagai memandu dengan cuai sehingga membawa kepada kematian, di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan," kata beliau.

Beliau mengesahkan kemalangan hari ini sebagai yang terburuk tahun ini.

Zulkhibri merupakan antara mereka yang terbunuh dalam kejadian itu.

Lima penumpang dan pemandu sebuah bas ekspres terbunuh manakala dua orang cedera parah setelah bas itu terbabas lalu melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di KM 443 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini pagi ini.

RAWANG: Lima penumpang dan pemandu sebuah bas ekspres terbunuh manakala dua orang cedera parah setelah bas itu terbabas lalu melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di KM 443 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini pagi ini.

Polis berkata, kejadian berlaku pada 5.30 pagi setelah bas ekspres dua tingkat milik AB Ekspres itu membawa 34 penumpang dari Changlun, Kedah, gagal dikawal.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Muhamad Ismail, 27, dari Kampung Lubuk Batu, Jitra; Mohamad Fauzi Awang, 57, Kampung Siam, Alor Setar; Md Jaheer Mohamad, 33, Kodiang; Mohd Yusril Zakaria, 27, Kuala Muda, Kedah; C. Magentharan, 26, dari Klang, dan pemandu bas, Zulkhibri Md Saad, 35, dari Kubang Ulu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Kesemua mayat dan penumpang yang tercedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh. BERNAMA

Read More...

Dunia mesti iktiraf Iran sebagai kuasa nuklear

Berita Harian

TEHERAN: Negara kuasa besar perlu mengiktiraf Iran sebagai kuasa nuklear, kata speaker Parlimen, Ali Larijani ketika Teheran meneruskan usaha pengkayaan uranium.

Larijani memberi ulasan berkenaan selepas lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) � Britain, China, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat, termasuk Jerman � menawarkan rundingan langsung dengan Iran berhubung cita-cita nuklearnya.

"Kini negara 5+1 tidak mempunyai alasan untuk menolak atau menafikan teknologi nuklear Iran dan rundingan dijangka berdasarkan menurut hak yang disebut dalam Perjanjian Gencatan Senjata Nuklear (NPT)," kata Larijani dalam ucapan kepada Parlimen dilaporkan agensi berita Isna.

Masyarakat antarabangsa menggesa Iran menghentikan program pengayaan uraniumnya kerana mengesyakinya satu cubaan membina senjata nuklear, tuduhan yang berulang kali dinafikan Teheran.

Khamis lalu, Iran mengumumkan pembukaan loji bahan api nuklear pertama dan berkata, ia sudah menguji dua emparan berkapasiti tinggi digunakan untuk mengayakan uranium, walaupun Washington ragu-ragu berhubung dakwaan lanjutan teknologi nuklear milik negara Parsi itu.

Teheran masih memberi kebenaran kepada pemerhati nuklear PBB, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk memeriksa kerja nuklearnya dan sebagai negara menyertai NPT, ia berhak untuk mengayakan uranium sebagai bahan api loji kuasa nuklear.

Larijani yang juga bekas ketua rundingan nuklear Iran berkata, 'lebih banyak penyeliaan hebat yang disokong beberapa negara Barat tidak berasas dari segi perundangan.' � AFP

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |