Mstar Online
06-09-2008 07:46:13 PM
Oleh G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD MUTALIB
(Dikemas kini) PETALING JAYA: Rancangan Pakatan Rakyat untuk mendapatkan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai pembangkang akan menjadi kenyataan sebagaimana telah dirancang sejak empat bulan lalu, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Ketika bercakap kepada wartawan di Jakarta, Indonesia, Anwar berkata, "respons awal daripada ahli-ahli Parlimen kerajaan adalah positif."
"Hanya isu sekarang ialah mereka (kerajaan) hendak memaksa ahli-ahli Parlimen (BN) berkunjung ke China atau ke negara-negara lain sehingga selepas 16 September, jadi kami terpaksa menghadapi keadaan itu.
"Kemungkinan kami akan menemui mereka pada 17 hari bulan kerana mereka akan kembali pada 17 (September)," kata Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat yang berada di Jakarta untuk menghadiri seminar.
Difahamkan Anwar akan kembali ke ibu negara hari ini.
mStar Online difahamkan Anwar adalah menemui beberapa ahli Parlimen berhubung isu melompat parti di ibu negara Indonesia itu.
"Rancangan untuk membentuk kerajaan baru pada 16 September, diketuai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih aktif," kata Khalid di Klang.
Ketika ditanya sama ada sasaran 16 September menjadi realiti, Khalid yang juga Ketua PKR Selangor berkata, partinya tidak mahu mengatakan apa-apa buat masa sekarang.
"Kami tidak mahu buat spekulasi. Kami tidak membuat penilaian berdasarkan spekulasi," kata beliau ketika ditemui di dewan serbaguna Teluk Pulai. Klang.
Semalam, khabar angin kononnya tujuh parti komponen BN akan mengadakan sidang akhbar mengumumkan sertai Pakatan Rakyat tidak menjadi, sebaliknya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, tidak ada Ahli Parlimen BN yang akan meninggalkan perikatan ini menjelang 16 September ini.
BERITA TERDAHULU BERKAITAN:
BN masih mantap, Abdullah pastikan pelan Pakatan 16 September tidak berlaku
(Dikemas kini) PETALING JAYA: Khabar angin kononnya tujuh parti komponen Barisan Nasional (BN) akan mengadakan sidang akhbar petang ini mengumumkan sertai Pakatan Rakyat tidak menjadi, sebaliknya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, tidak ada Ahli Parlimen BN yang akan meninggalkan perikatan ini menjelang 16 September ini.
"Saya pastikan 16 Sept tidak akan berlaku. Pakatan Rakyat bergantung kepada ahli-ahli parti kita untuk meninggalkan kita tetapi orang kita tidak akan meninggalkan kita," kata Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Desas-desus mengatakan tujuh komponen BN akan mengadakan sidang akhbar pada pukul 3 petang tadi ternyata meleset.
Desas-desus itu disebarkan menerusi SMS dan emel sejak beberapa hari lalu.
Parti-parti komponen yang didakwa sepatutnya mengadakan sidang media menyertai Pakatan Rakyat hari ini ialah Parti Maju Sabah (Sapp), Gerakan, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Demoktratik Liberal, Upko, Parti Progresif Penduduk, dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
Pemimpin beberapa komponen BN terbabit yang dihubungi menafikan khabar angin sedemikian.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Johnny Mositun menyifatkan caka-cakap itu sebagai tidak masuk akal dan tidak bertanggungjawab kerana bertujuan mengelirukan orang ramai.
Setiausaha Agung Sapp, Datuk Richard Yong memberitahu, pihaknya tidak menjadualkan sebarang sidang media hari ini untuk mengumumkan keluar BN.
Setiausaha Agung Upko, Datuk Wilfred Tanggau berkata: "Khabar-khabar angin jahat.. tiada perkara seumpama itu."
Desas-desus itu juga dinafikan oleh Ketua PKR Sarawak, Dominique Ng.
Ketika dihubungi mStar Online katanya, beliau ada mendengar tentang khabar angin itu tetapi tidak pasti tentang kebenarannya.
"Saya ada dengar khabar angin itu. Jadi ke tak jadi (sidang akhbar), saya tidak tahu," katanya.
Ketika ditanya mengenai perkembangan lompat parti di negeri parti itu, Dominique berkata, pihaknya masih komited tentang penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat pada 16 September ini tetapi tidak dapat mengesahkan tentang 40 ahli Parlimen BN yang akan menyertai PKR.
"Saya tidak dapat pastikan mengenai 40 ahli Parlimen BN akan menyertai kita. Saya hanya diberitahu tentang itu.
"Hanya ibu pejabat PKR yang boleh mengesahkannya," katanya.
Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah beberapa kali berkata, ramai Ahli Parlimen BN akan menyertai pembangkang bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan pada 16 September ini.
Khabar angin itu semakin kuat sejak Anwar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada Khamis lalu.
"Kita tidak akan beri peluang untuk mereka menubuhkan kerajaan pada 16 September. Tidak," kata Abdullah dipetik Bernama.
Beliau berkata, perkara itu tidak mungkin berlaku jika ia hanya berpaksikan kepada faktor penghijrahan oleh anggota BN ke pembangkang.
Sebaliknya, kata Abdullah, adalah lebih wajar jika perhatian diberi kepada usaha meningkatkan kemajuan negara.
"Kerajaan tumpu pada kerja dan bukan memikirkan sesuatu yang mungkin berlaku. Tumpu pada kerja untuk menjadikan negara ini lebih baik, meningkatkan produktiviti dan keberkesanan dan banyak lagi," katanya.
Perdana Menteri juga berkata, beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk memaklumkan segala perkembangan kepada Seri Paduka Baginda.
"Saya beri taklimat mengenai apa yang berlaku. Saya juga bercakap apa yang diambil berat ialah perniagaan berjalan seperti biasa. Kita telah melakukan segala-galanya untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran ketika berurusan dengan rakyat.
"Pengundi telah beri amaran tentang apa yang tidak menggembirakan mereka tetapi mereka juga memberi sokongan yang mencukupi untuk (BN) menubuhkan kerajaan.
Kita menyampaikan apa yang telah dijanjikan. Tuanku gembira dengan apa yang kita lakukan," katanya.
Mengenai lawatan sambil belajar ke luar oleh anggota Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional dari Ahad ini sehingga 15 September nanti, Perdana Menteri berkata, program itu tidak perlu dikaitkan dengan penubuhan kerajaan oleh Pakatan Rakyat pada 16 September ini.
"Kalau mereka nak pergi, biarlah mereka pergi, apa nak hubung kaitkan dengan September. Mereka bukannya orang yang nak melompat daripada BN," katanya.
Read More...
Summary only...