|
|
PULAU PINANG 5 Sept. – Semua 13 UMNO Bahagian di Pulau Pinang mempertahankan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail dan bersetuju dengan pendirian beliau untuk tidak memohon maaf berhubung dakwaan beliau terhadap masyarakat Cina.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Abdul Rashid Abdullah berkata, apa yang diperkatakan oleh Ahmad mengenai ‘orang Cina adalah menumpang’ merupakan satu fakta sejarah yang tidak patut diragui mana-mana pihak.
“Kami telah mengadakan perjumpaan dengan beliau untuk mendapatkan penjelasannya semalam, dan kami merumuskan Ahmad tidak berkata seperti yang dilaporkan oleh pemberita (akhbar) itu.
“Ahmad tidak keseorangan dalam hal ini dan bersama-sama dengan 12 UMNO Bahagian yang lain di Pulau Pinang yang mewakili kumpulan Melayu dan Islam, kami mengambil tanggungjawab terhadap apa-apa kesan yang perlu ditanggung oleh beliau,” katanya.
Abdul Rashid berkata demikian pada sidang akhbar yang dihadiri ketua atau wakil 13 UMNO Bahagian di Pulau Pinang di sini hari ini.
Ahmad yang turut hadir pada sidang akhbar itu bersama-sama para penyokongnya melaungkan ungkapan ‘Hidup Melayu’. Para pemimpin UMNO Pulau Pinang itu juga mengetuk meja secara serentak tanda menyokong Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera tersebut.
Semasa satu ceramah di Permatang Pauh pada 23 Ogos lepas, Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa masyarakat Cina hanyalah ‘menumpang’ di negara ini dan adalah mustahil untuk mereka mendapat hak yang sama dengan kaum bumiputera.
Semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Ahmad tampil memberi penjelasan berhubung kenyataannya yang didakwa bersifat hasutan terhadap masyarakat Cina.
Menurut Perdana Menteri, langkah itu sejajar dengan kehendak pelbagai pihak yang mahu pemimpin UMNO itu menjelaskan kekecohan yang timbul ekoran kenyataannya.
Menurut Abdul Rashid, dalam ceramah menjelang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh itu, Ahmad menerangkan mengenai zaman sebelum kemerdekaan apabila British membawa masuk orang Cina dan India untuk bekerja di lombong serta ladang di Tanah Melayu.
Katanya, fakta sejarah itu dipermudahkan oleh Ahmad dan tidak boleh dianggap sebagai kenyataan berbaur perkauman.
“Dalam Barisan Nasional (BN) sendiri ada parti komponen malah setiap wakil rakyat UMNO memberikan khidmat kepada orang Cina serta India, jadi apa yang dibangkitkan oleh surat khabar itu adalah tidak tepat,” katanya.
Kenyataan Ahmad itu dilaporkan oleh sebuah akhbar Cina pada 26 Ogos lalu.
Dalam pada itu, Bendahari Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, UMNO Pulau Pinang telah membuat keputusan untuk membiayai kos guaman sekiranya Ahmad disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.
“Kalau beliau disiasat, kita akan sediakan senarai peguam untuk membantunya, malah kalau perlu kita akan kutip (sumbangan) daripada ahli-ahli UMNO,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, Ketua-Ketua UMNO Bahagian di negeri ini menyokong Ahmad dan menganggap beliau tidak perlu meminta maaf.
“Sepatutnya pemimpin siasat dahulu dan jangan sebab nak jaga hati bangsa lain, maka mereka buat kenyataan yang menyakiti hati orang Melayu.
“Apa salahnya orang Melayu bangun? Kalau kita cakap sekali, riuh se-Malaysia. Jangan ingat orang Melayu lemah,” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Mohd. Zain Omar pula berasa pelik kerana hanya seorang pemberita yang menulis mengenai perkara berkenaan sedangkan pemberita lain tidak melaporkannya.
“Saya nak beri tahu... orang Melayu ini jangan diusik selalu. Ini tidak, sehinggakan kedaulatan raja-raja Melayu juga nak diusik.
“Saya bercakap mewakili orang Melayu, kalau UMNO tidak mahu (terima) pun tidak apa,” tegasnya.
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim mempersoalkan mengapa pemberita terbabit tidak menemu ramah Ahmad sebelum menyiarkan berita tersebut.
“Apa yang ditimbulkan itu boleh menyebabkan bunuh-membunuh. Pemberita itu harus bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis.
“Saya mahu polis mencari pemberita itu dan mendapatkan kenyataan daripadanya,” kata beliau.
0 comments:
Post a Comment