+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 1, 2009

Akhil Hayy mengaku Waheeda isterinya!

Mstar Online

Waheeda akan berlakon sebagai isteri Akhil Hayy dalam program Cafe Akhil Hayy untuk musim kedua.

SETELAH sekian lama asyik menepis spekulasi dan persoalan ramaitentang hubungan sebenar mereka, penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy akhirnya membuat pengakuan bahawa penyanyi popular, Waheeda adalah isterinya.

Lebih setahun kisah 'panas' mereka hebat diperkatakan. Dalam tempohitu, banyak juga kenyataan yang dikeluarkan oleh Waheeda dan Akhil sendiri berikutan isu mereka dikatakan telah berkahwin dan Waheeda menjadi isteri kedua Akhil.

Enggan menyembunyikannya lagi, Akhil akhirnya mengaku tentang 'status'mereka itu.

"Saya ingin membuat pengakuan di sini bahawa Waheeda adalah isteri saya...tetapi hanya di dalam program Cafe Akhil Hayy untuk musim kedua," kata penceramah bebas berusia 39 tahun itu yang ditemui padamajlis pelancaran program itu di Ampang, semalam.

Ternyata 'gimik' yang dibuat oleh Akhil itu agak mengejutkan media yang hadir di majlis tersebut yang rata-ratanya merasakan mereka akan membuat satu 'pengumuman' istimewa di situ apatah lagi bila melihat ibu bapa Waheeda sendiri hadir ke majlis itu bersama anaknya.

Malah, sikap 'sporting' yang dipamerkan oleh Waheeda dan Akhil yang akhirnya sanggup bergambar secara berdua pada majlis itu meyakinkan ramai media bahawa 'pasangan' ini mungkin sudah bersedia untuk 'mendedahkan' status sebenar mereka.

"Saya dah jangka pasti ramai wartawan yang beranggapan sedemikian. Memang benar Waheeda adalah isteri saya, tetapi itu adalah wataknya di dalam program Cafe Akhil Hayy kali ini.

"Waheeda membawakan watak bernama Hani Az-Zahra. Sebenarnya nama Waheeda dicadangkan sendiri oleh pihak Astro Oasis...mungkin mereka melihat kredibilitinya sebagai penyanyi dan pelakon yang menampilkanimej Islamik dan pada masa yang sama, dia turut terlibat denganaktiviti dakwah.

"Waheeda juga merupakan 'facilitator' di Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID)dan sebab itu saya rasa dia memang sesuai untuk turut serta dalam program ini. Kami digabungkan di dalam program inisekadar untuk berdakwah.

"Saya tahu dia mampu bawakan tugasnya dengan baik dan memang dia sendiri tahu apa yang perlu dilakukan terhadap wataknya itu," kata Akhil berceritakan serba-sedikit tentang pembabitan Waheeda di dalamprogram berunsurkan dakwah dalam bentuk santai yang telah pun memulakan siaran pertama musim kedua ini pada Rabu lalu, pukul 7.30 malam di saluran Astro Oasis.

Musim kedua program yang berelemenkan bual bicara dan drama ini bukan saja menampilkan Waheeda, malah mereka turut ditemani oleh bakat baru, Afiq AF5 dan Mimie Haris yang akan turut sama melayan kerenah pelanggan-pelanggan yang hadir di cafe tersebut.

"Ada juga penonton yang memberikan respon berdasarkan musim lalu dan minta kami buatkan lebih 'drama'. Tetapi ini sebenarnya adalah program bual bicara, cuma kita adunkan dalam sedikit bentuk drama.

"Kali ini juga kita turut menjemput tetamu-tetamu yang berjaya di dalam bidang masing-masing seperti Azmil Mustapha, Tan Sri Jins Shamsudin, Datuk Aziz Sattar dan Ustaz Radhi, bekas vokalis kumpulan Melissa.

"Topik-topik yang dibincangkan juga lebih global. Semua idea itu kita bincangkan terlebih dahulu dengan produksi sebab kita kena melihat juga sasaran penonton.

"Berdasarkan musim pertama dulu, memang saya tidak nafikan golongan remaja yang sering mononton program ini. Kalau boleh, kali ini kita mahu kelompok penontonnya lebih luas, tidak hanya kepada remaja sahaja," kata Akhil.

Mengulas mengenai pembabitannya dalam Cafe Akhil Hayy musim kedua ini, kata Waheeda, tindakannya ini bukan sengaja untuk 'mengiyakan' kontroversi yang melandanya dan Akhil, tapi tawaran ini sanggup digalasnya kerana merasakan ini juga merupakan salah satu medium yang baik untuk berdakwah.

"Jika musim pertama dulu, kita saksikan Akhil banyak fokus kepada aspek hukum-hakam, tetapi saya akan kupaskan lebih dari segi psikologi.

"Apapun, saya tidak rasakan pembabitan saya sepatutnya menjadi isu. Kami ni sebenarnya degil sikit...lagi banyak orang bercakap, lagi kami akan buat saja apa yang kami suka," kata Waheeda.

Dalam pada itu, peluang bertemu media itu juga digunakan sebaikn mungkin oleh Akhil dan Waheeda untuk menjelaskan hal sebenar tentang pelbagai spekulasi panas yang melanda diri mereka, termasuklah dikatakan telah bernikah di sebuah kawasan di Selangor pada tahun lalu.

"Benda ini memang tidak akan selesai. Saya pun tidak tahu mengapa hidup saya dilanda tsunami seperti ini. Mereka boleh bercakap apa saja, tetapi kamu nampak ke kami diijabkabulkan?

"Saya hanya berdoa agar kami terus kuat mengharungi perkara ini. Memang selalunya, orang tidak akan nampak yang putih, tetapi sedikit saja kesan hitam itulah yang orang akan nampak dulu," kata Akhil.

Tambah Waheeda pula, "Seteruk mana sebenarnya kes kami ini? Saya mintamaaf kerana mengatakan ini, tapi kenapa artis yang keluarkan kenyataan sebagai contoh, tidak salah berpakaian seksi asalkan dirinya selesa dengan pakaian itu atau kerana rasa dirinya masih muda, tidakdijadikan isu?"

Namun, kata Akhil, dia bagaimanapun redha dengan apa yang melanda hidupnya dan tidak merasakan dirinya telah menjejaskan status 'ustaz'.

"Saya pun tidak pernah merasakan diri saya hebat. Tetapi saya tetap bersyukur kerana orang menggelarkan saya ustaz. Apapun, kita kenalah faham. Walaupun sebagai seorang ustaz, dia juga adalah manusia biasa.

"Mungkin saya juga ada terlepas pandang tentang hal-hal tertentu, tapi apapun, dakwah tetap perlu diteruskan," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan isterinya berikutan kontroversi tersebut, kata Akhil:

"Dia tidak ada masalah. TapiaAsam garam rumahtangga bagi saya adalah peribadi," tuturnya.

Diajukan pula pertanyaan bagaimana boleh timbulnya gosip tentang mereka itu, dalam nada tenang, kata Akhil, dia sendiri tidak pasti bagaimana perkara ini mula menjadi buah mulut ramai dan merebak dengan cepat.

"Isu ini bukan kami yang mulakan. Dan sebab itulah kami tidak berdaya untuk hentikan. Jika diikutkan, saya dan Waheeda mula kenal sejak tahun 2006 ketika terbabit di dalam program Hijrah Remaja di saluran Astro.

"Dari situ saya nampak dia adalah seorang wanita Malaysia yang jumlah sepertinya hanya boleh dibilang dengan jari. Saya lihat dia ni menjaga apa yang perlu dia jaga dan sehingga kini, dia masih seperti itu," kata Akhil.

Akhil tidak berdisiplin?

Tatkala isu kontroversinya dengan Waheeda masih hangat diperkatakan, timbul sebuah lagi perkhabaran yang mengatakan Akhil sering tiba lewat di mana-mana majlis atau program.

Dengan imej yang ditampilkan serta turut menjadi ikon eksklusif Astro Oasis, perkara ini dilihat mampu menjatuhkan reputasinya.

"Ini saya akui mungkin adalah 'bad attitude' saya dan janganlah mencontohi dari aspek ini. Hakikatnya, saya juga manusia biasa dan tidak sempurna," tutur Akhil ringkas sambil menambah adakalanyakelewatan itu berpunca kerana kesibukannya mengadakan ceramah di merata-rata tempat.

Bercerita tentang ikon eksklusif Astro Oasis itu pula, kata Akhil, dia amat terharu dengan tawaran tersebut.

"Ini tanggungjawab yang besar untuk saya galas. Sebelum ini saya hanya banyak berdakwah di kampung-kampung, tapi kali ini sudah mula berdakwah menerusi program-program di kaca televisyen.

"Saya tidak pula merasakan saya adalah ikon, tetapi mungkin perkataan yang sesuai adalah 'idola'. Saya bukanlah idola yang terbaik, tapi mungkin pihak Astro melihat sesuatu mengenai pendekatan yang saya gunakan untuk berdakwah dengan khalayak," katanya.

Read More...

Muhyiddin tunjukkan jalannya.

Siasahdaily


KEPIMPINAN MELALUI TAULADAN...Kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar dari kediaman Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Demak Jaya di sini, semalam, selepas menziarahi jenazah Puan Sri Laila Taib. Laila, 68, meninggal dunia pada 3.45 petang semalam.

Ketika berdentung dentang para pemimpin Umno bercakap soal penggunaan kereta rasmi Proton Perdana, kereta rasmi Timbalan Perdana Menteri adalah Roll Royce. Foto BERNAMA.

Read More...

SU Hadi: Elok pembantu Nik Aziz bersuara

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Apr 30, 09 2:13pm

Penjelasan pembantu kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat dapat menjernihkan konflik terbuka pemimpin PAS berhubung isu kerajaan perpaduan yang dicadangkan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Untuk berlaku adil (kepada semua pihak), biarlah beliau (Nik Abduh), ayahnya (Nik Aziz) dan pembantunya (menjawab).

"Sudah tentu beliau (Nik Abduh) tidak sebut nama (pembantu itu), tetapi orang itu yang perlu menjawabnya dan memberikan reaksi," kata setiausaha akhbar presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Shahir.

Roslan diminta mengulas jawab-menjawab beberapa pemimpin PAS berhubung kenyataan anak Nik Aziz itu yang membidas para pembantu mursyidul am PAS dengan label "mi celup" dan "sesat."

Nik Abduh mendakwa pembantu bapanya menghasut Nik Aziz sehingga menteri besar itu menolak cadangan kerajaan perpaduan secara terbuka - dan perkembangan ini dilihat sebagai pergeseran dua tokoh besar PAS.

Sebagai reaksi, beberapa pemimpin parti itu seperti ahli Lajnah Politik PAS Khalid Samad menyelar kenyataan tersebut, sementara Timbalan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan pula mempertahankan kenyataan Nik Abduh, juga timbalan ketua Pemuda Kelantan.

Mengulas lanjut fenomena itu, Roslan berkata, komentar pihak lain hanya akan "mengeruhkan keadaan" kerana kenyataan Nik Abduh itu "bertujuan menyelamatkan keadaan" dan "tidak berniat jahat".

"Saya ingat kenyataan Nik Abduh bertujuan menegur dan membetulkan keadaan.

"Beliau memikul tanggungjawab memberikan penjelasan. Kerana itu, beliau buat pendedahan sebagai orang yang duduk sebumbung (dengan Nik Aziz).

"Beliau bukan jenis orang yang buat pendedahan, kemudian lari," kata Roslan, juga ketua penerangan PAS Selangor.

Ditanya sama ada saranannya supaya pihak lain tidak lagi memberikan reaksi boleh dianggap menyalahi kebebasan bersuara dalam parti, Roslan berkata:

"Bolehlah counter (lawan pandangan itu). Tetapi kalau hendak mencari kebenaran, biarlah dia jelaskan lagi.

"Beliau (Nik Abduh) pun setakat tulis dalam blog, bukan keluarkan kenyataan (media).

"Tetapi kita pula yang melompat-lompat. Biarlah beliau selesaikan dulu, kita kena berlaku adil.

"Beliau bukannya (bersikap) macam penulis blog yang tidak ada nama."

Menurut Roslan, pandangan exco Pemuda PAS itu berjaya "menarik minat" ramai ahli PAS mengikuti perkembangan isu kerajaan perpaduan.

Ia memberikan "gambaran yang betul", katanya lagi, sekali gus membolehkan ahli-ahli "membuat keputusan yang betul" dalam muktamar PAS, awal Jun ini.

"Saya rasa beliau hendak membetulkan persepsi supaya dalam muktamar nanti, akan dibuat keputusan dengan gambaran yang betul.

"Kita dalam parti Islam mahukan yang terbaik. (Oleh itu) kita kena dengar pandangan semua pihak," katanya.

Read More...

Presiden, Timbalan Mesti Ulama, Terengganu Sokong Ketua Dewan Ulama’

Buletin Online

PDF Print E-mail
Written by SM Noor
Friday, 01 May 2009 21:25

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita4/daudiraqi.jpgKUALA TERENGGANU – Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu menyokong kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ustaz Mohamad Daud Iraqi (gambar) yang menegaskan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS mestilah disandang oleh golongan ulama’.

Ia merupakan satu peringatan kepada semua ahli tentang dasar ‘Kepimpinan Ulama’’ yang telah memutuskan bahawa kepimpinan utama, mestilah terdiri dari kalangan ulama’.

Timbalan Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata demikian apabila ditemui pihak media selem selepas merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Kali Ke 9 Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Terengganu (YAKEP) di Tok Jiring dekat sini, hari ini.

Menurutnya dasar Kepimpinan Ulama’ telah dibawa oleh pemuda pusat kedalam Muktamar tahun 1983 dan diterima sebulat suara.

Oleh sebab itu, katanya, Majlis Syura Ulama’ ditubuhkan dan sejak itu ia menjadi amalan parti, jawatan Presiden dan Timbalan mestilah dari kalangan ulama’

“Amalan kita daripada dulu lagi, teraju kepimpinan utama, Presiden (mestilah dari kalangan) ulama’ dan Timbalan Presiden (juga dari kalangan) ulama’,

“kemudian dibantu oleh naib-naib Presiden yang digabungkan antara ulama’ dan golongan profesional dan juga (dibantu) oleh ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat,”ujarnya
http://www.buletinonline.net/images/stories/berita4/ustazababerucap1.jpg

Katanya kenyataan Ketua Dewan Ulama’ tersebut mestilah disokong sepenuhnya ooleh semua pihak bagi menjaga kepentingan parti dan menjaga sokongan serta kepercayaan masyarakat terhadap PAS pada hari ini.

Mengulas tentang hasrat Ustaz Mohamad Daud Iraqi yang mahu berundur dari mengetuai Dewan Ulama’, beliau berkata beliau telah maklum tentang perkara tersebut.

Apabila ditanya samada beliau akan bertanding di peringkat pusat berikutan kekosongan tersebut, beliau berkata perkara itu akan ditentukan oleh syura dikalangan ulama’.

“Dalam hal ini (pemilihan peringkat pusat) kita lebih mengguna pakai syura dikalangan ulama’ sendiri, terpulanglah kepada perwakilan untuk mencadangkan sesiapa,” katanya.

Lihat Video Klip Kenyataan Ustaz Abu Bakar Abdullah
Last Updated on Friday, 01 May 2009 21:34

Read More...

Enggan saman isu Altantuya, Najib rahsiakan sesuatu?

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Wed | Apr 29, 09 | 11:14:33 am MYT

KUALA LUMPUR, 29 April (Hrkh) - Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali menyokong cadangan Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar agar Majlis Raja-raja menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi memulihkan nama baik negara.

Kata Mustafa Ali, cadangan itu wajar kerana nama negara kini kian tercemar akibat laporan media antarabangsa yang melibatkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Walaupun sebelum ini terdapat desakan oleh pelbagai pihak agar Najib atau kerajaan Malaysia menyaman akhbar-akhbar asing yang membuat laporan itu.

Namun kata Mustafa, Najib atau kerajaan masih terus berdiam diri, dan hanya membuat penafian sahaja.

"Penubuhan suruhanjaya ini wajar kerana sebelum naik jadi PM lagi, Najib memiliki 'bagage' yang sarat dengan isu-isu yang dikaitkan dengannya," kata Mustafa ketika temui di Pejabat Agung PAS baru-baru ini.

Beliau juga melihat, semacam ada kebimbangan atau rahsia yang disimpan apabila Najib enggan menyaman akhbar asing berhubung tuduhan ke atas Perdana Menteri itu.

Malah beliau juga melahirkan persoalan samada ada perkara yang disembunyikan agar tidak terdedah berikutan keenganan Najib atau kerajaan membersihkan namanya dengan landasan undang-undang.

"Najib atau kerajaan boleh memanggil kedutaan negara-negara yang mana akhbar mereka melaporkan isu tersebut untuk meminta kerjasama memberi penjelasan," katanya.

ImageNamun hingga kini, tindakan tersebut juga gagal dilakukan Najib hingga pelbagai persepsi atau spekulasi yang timbul kerana kegagalan itu.

Terdahulu, Mahfuz bersama Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub telah menyerahkan memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu segera menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja bagi memulihkan nama baik negara.

Kata Mahfuz, penubuhan Suruhanjaya DiRaja itu perlu ditubuhkan setelah nama negara kini kian tercemar akibat laporan media antarabangsa yang melibatkan Perdana Menteri.

Beliau menegaskan isu pembunuhan Altantuya Shaariibu dan pembelian kapal selam yang dikaitkan oleh media antarabangsa dengan Najib menyebabkan nama baik negara kini tercemar. - mks. _

Read More...

Speaker DUN Perak: Ganesan sahkan dicalon ganti Sivakumar

Mstar Online

Bekas ADUN Sungkai dari MIC telah beri persetujuan

CALON BN... Barisan Nasional menamakan Setiausaha MIC Perak, Datuk R. Ganesan sebagai calon jawatan Speaker DUN negeri itu yang kini disandang oleh V. Sivakumar daripada Pakatan Rakyat. Kedudukannya akan diketahui 7 Mei ini.

PETALING JAYA: Setiausaha Badan Perhubungan MIC Perak, Datuk R. Ganesan mengesahkan yang namanya telah dicalonkan untuk menggantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar daripada Pakatan Rakyat minggu depan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai itu menjelaskan, beliau telah memberi persetujuan untuk dilantik ke jawatan tersebut apabila DUN bersidang Khamis ini.

"Saya telah menandatangani surat persetujuan dilantik ke jawatan Speaker dua hari lalu, 29 April," kata beliau ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

Beliau juga merupakan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC dari tahun 2000. Beliau memenangi kerusi DUN Sungkai dengan menewaskan A. Sivanesan dari DAP pada pilihan raya umum 2004.

Ganesan, 57, lulusan undang-undang menambah, beliau bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut jika diberikan kepercayaan oleh parti.

"Saya adalah penyokong parti dan apa jua keputusan dibuat oleh parti, saya akan menyokong.

"Dalam hal ini, saya mengucapkan terima kasih kepada pucuk kepimpinan MIC dan Menteri Besar (Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir) kerana memberikan kepercayaan memegang jawatan ini," katanya lagi. "Saya telah mendengar khabar angin bahawa saya akan dilantik sebagai Speaker sejak beberapa hari yang lalu dan ada dua nama lain turut disebut-sebut... ia cuma menjadi pasti kelmarin apabila surat persetujuan diberikan kepada saya oleh BN untuk ditandatangani," katanya.

Laporan media menyebut antara nama turut disebut-sebut ialah Datuk Dr. S. Vasan yang pernah bersaing di kerusi DUN Pasir Panjang pada Mac 2008, yang dimenangi oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

USUL

Terdahulu, Bernama melaporkan, BN telah menamakan Ganesan sebagai calon Speaker DUN Perak yang baru.

Memetik tulisan Sivakumar dalam blognya: speakforperak.blogspot.com, laporan itu menyebut bahawa usul tersebut telah diserahkan ke Pejabat Setiausaha DUN Perak di sini pada pagi semalam.

Usul bertarikh 29 April lepas itu dicadangkan oleh Zambry dan disokong seorang Exco Datuk Hamidah Osman.

"Surat persetujuan daripada Datuk R. Ganesan untuk dipilih sebagai Speaker Perak juga disertakan bersama-sama usul ini," katanya.

Sivakumar pada satu sidang akhbar di sini semalam ketika ditanya mengenai usul pelucutan jawatannya, katanya beliau mengakui memang ada usul yang diterima berkaitan perkara itu tetapi menegaskan pihaknya belum membuat apa-apa keputusan lagi.

Zambry pada minggu lepas telah mengemukakan usul kepada pejabat Setiausaha DUN Perak untuk melucutkan jawatan Speaker V. Sivakumar seterusnya melantik speaker baru pada persidangan DUN dijadual 7 Mei.

Usul itu yang disokong Hamidah menerusi surat bertarikh 22 April lepas diterima Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri pada 23 April dan diberi notis untuk dibawa pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, DUN Perak ke12 pada tarikh yang ditetapkan itu.

Abdullah dalam suratnya kepada semua 59 ADUN Perak bertarikh 27 April lalu berkata, sekiranya usul itu diluluskan dalam mesyuarat berkenaan, urusan mesyuarat berikutnya ialah pemilihan Speaker baru.

Berikutan itu, beliau meminta semua ADUN mengemukakan cadangan bagi memilih Speaker baru menggunakan borang pencalonan yang dikepilkan bersama dengan surat berkenaan.

Nizar pada sidang akhbarnya semalam ketika ditanya mengenai usul untuk melucutkan jawatan Sivakumar, berkata semua ADUN berhak mengemukakan apa saja usul dan terpulang kepada Speaker untuk tindakan seterusnya.

Bekas Exco Kanan Perak yang juga Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham sebelum ini dilaporkan berkata ADUN pakatan PAS-DAP-PKR tidak akan memberi maklum balas terhadap usul tersebut kerana mendakwa notis yang dihantar Abdullah itu tidak sah disebabkan Setiausaha DUN Perak telah digantung tugas oleh Speaker bulan lalu.

Read More...

Tokoh Pemuda PAS sokong anak Nik Aziz

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Apr 30, 09 12:41pm

Kritikan pedas anak mursyidul am PAS terhadap terhadap pembantu bapanya Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung isu kerajaan perpaduan kini bukan lagi pandangan peribadi tetapi mewakili sentimen satu aliran tertentu.

nik mohd abduh nik azizSelain mempertahankan pandangan Nik Abduh Nik Aziz, timbalan ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan turut mengingatkan mereka yang termakan cili supaya "usahlah rasa resah dan panas tidak semena-mena".

"Pendedahan atau penjelasan ustaz Nik Abduh bukan untuk saudara. Ustaz Nik Abduh mesti bertanggungjawab atas dakwaannya. Jika benar (dakwaannya), ertinya beliau telah menegakkan yang hak. Dan Allah tahu ganjaran apa untuk beliau.

"Demikianlah sebaliknya, jika beliau salah dan sengaja mereka-reka cerita dan (membuat) dakwaan, maka Allah pasti tidak lalai dan terpengaruh dengan setiap kalimah indah tulisan beliau.

"Tentu sahaja beliau pula akan menerima azabnya," coretnya, yang disebut-sebut berminat mengetuai Dewan Pemuda PAS, dalam blog Episod Sebuah Perjuangan kelmarin.

nasrudin hassanMinggu lepas, exco Pemuda itu menghentam pembantu bapanya yang didakwanya mendorong Nik Aziz menolak cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang Awang.

Dalam artikel yang sama, Nik Abduh juga menyifatkan pembantu-pembantu Nik Aziz sebagai "mereka yang hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup', lalu mendakwa diri mereka pun ulama juga".

Mengulas lanjut, Nasrudin menyifatkan tulisan Nik Abduh sebagai reaksi yang "mungkin tertekan atau kecewa melihat ayahnya diperlagakan secara langsung atau tidak langsung dengan presiden PAS."

Usaha melaga-lagakan itu, tambahnya, antaranya boleh ditemui dalam komentar pelbagai pihak di internet.

"Kalau saudara melayari blog dan laman web (tanpa perlu saya menyebut nama blog atau tuan empunya laman web terbabit), nescaya saudara akan ketemui unsur-unsur ini secara jelas dan ketara sehingga saya sendiri berasa tidak sedap duduk walaupun kedua-dua tok guru ini bukanlah ayah saya.

"Kalau mereka ayah saya, rasanya mungkin saya akan 'mengamuk' lebih hebat dari ustaz Nik Abduh," coretnya.

PAS sejak tahun lalu berdepan pergeseran terbuka para pemimpin atasannya - termasuk antara Nik Aziz dan Abdul Hadi - berhubung beberapa isu penting, antaranya muzakarah dengan Umno dan kerajaan perpaduan dengan BN.

Pergeseran ini memunculkan istilah "kumpulan Erdogan" yang menentang usaha muzakarah dan kerajaan perpaduan dan satu aliran lagi yang pro-Abdul Hadi, yang mendukung kedua-dua idea tersebut.

Berhubung isu kerajaan perpaduan dan muqabalah PAS dengan BN, Nasrudin berkata isu itu sering timbul walaupun "tidak pernah berbangkit isu PAS masuk BN".

Beliau berkata, "sentimen bahawa tok guru mursyidul am (Nik Aziz) murka kepada tok guru presiden (Abdul Hadi)" bertujuan "melaga-lagakan" dua pemimpin utama dalam PAS itu.

"Seolah-olah mereka (pihak yang ingin melagakan) sengaja buat tidak faham. Makin dinafi, makin kuat fitnah mengatakan tok guru (Abdul Hadi) nak bawa PAS masuk BN," katanya.

Sementara itu, sebagai reaksi terhadap tulisan Nik Abduh pada 24 April lalu, Dewan Ulama PAS pula menggesa anggota-anggota parti itu tidak menjadikan blog sebagai medan mendedahkan keburukan orang lain.

Ketuanya Mohamed Daud berkata, tindakan itu dikhuatiri memberikan kesan negatif serta "memberi ruang kepada musuh mempermainkan isu terbabit", lapor media rasmi parti Harakahdaily.net hari ini.

Berhubung isu kerajaan perpaduan PAS dengan BN, Mohamed berkata, dewan itu tiada masalah menyokongnya "sekiranya perundangan negara dan ekonomi berjalan mengikut lunas-lunas Islam."

Bagaimanapun, beliau menolak tindakan mengeluarkan kenyataan terbuka berhubung itu kerana ia hanya akan diputuskan dalam muktamar parti itu, Jun nanti.

Read More...

kerja - kerja bodoh dalam pas (2)

nikabduh

Salam Kamunting,

1)

Saya menyegerakan penjelasan ini lebih awal daripada niat asal saya untuk menangguhkannya selang beberapa hari lagi. Bagi seorang blogger, adalah sayugia dan menarik untuk memerhatikan tindak balas daripada para pembaca dan masyarakat di luar terhadap apa yang dilontarkannya.

Saya tahu tulisan saya akan masuk akhbar dan menghangatkan dunia blog dan politik. Justeru apabila ia benar - benar terjadi, saya memerlukan sedikit masa untuk melihat, mengukur dan memutuskan sesuatu yang akan lebih mencorakkan apa yang saya inginkan daripada tulisan asal saya. Saya akan gagal jika arus luar menghanyutkan dan memesongkan saya daripada tempat tuju saya.

Saya tidak suka berbicara mengenai arus. Saya tidak beriman dengan arus kerana saya dilarang beriman dengan arus. Kuasa rakyat, Makkal Sakti atau apa nama yang bersifat arus, itu bukan makanan kegemaran saya.

Saya akan berbicara tentang sesuatu yang mencipta arus itu. Saya akan berbicara mengenai angin. Anginlah yang mencipta arus dan gelombang. Saya tidak beriman dengan angin juga. Tetapi saya akan meredah mencari punca angin. Di situ saya menemui apa yang saya inginkan.

Saya menemui Allah. Allah mencipta angin dan Allahlah yang mengarahkan angin mencipta arus dan gelombang. Allahlah tuhan saya. Saya beriman dengan Allah yang satu. Dalam gelombang jenis mana pun, saya mahu tenang. Allahlah sumber ketenangan saya dan seluruh pembaca yang inginkan ketenangan yang benar dan abadi.

Justeru saya tidak akan fana dan luluh dalam gelombang kuasa rakyat atau kemarahan dan ridha rakyat. Rakyat hanyalah mainan pemimpin. Pemimpin adalah angin. Pemimpinlah yang mencetuskan kuasa rakyat dan mengemudi halanya. Dalam kebangunan dan kejatuhan sesebuah negara, pemimpin digunakan Allah untuk menentukan kejayaan dan kehancurannya.

Allah mengarahkan pemuka - pemuka negara melakukan kebaikan dan keadilan. Jika mereka melakukannya, Allah perteguhkan negara tersebut dengan keadilan dan keamanan. Jika pemuka - pemuka itu engkar, malah melakukan kefasiqan dan kezaliman, Allah pasti menghancurkan negara itu sehancurnya. Ia berpindah dari gelap menuju gelap atau lebih gelap lagi.

Saya bercakap mengenai pemimpin. Rakyat perlukan pemimpin yang benar dan jujur. Kemudian dia mesti berani dan amanah. Jika seorang pemimpin mencetuskan arus, maka arus itu biarlah benar, berguna dan dinikmati hasilnya.

Semalam saya dihubungi ayahanda dari Kota suci Makkah. Saya tengah menulis pasal bola sepak dan tahniah saya pada pasukan Kelantan dan Selangor yang telah menyajikan permainan yang bagus dalam perlawanan akhir piala FA.

Saya pastinya tersentak. Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. AlhamduliLlah, ia mengesankan walaupun perbualan hanyalah sekitar dua tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.

Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya kata ya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu.

Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda. Sebelumnya, saya hanya memohon lampu hijau daripada Allah. Anda akan lihat bagaimana ketenangan mengalir dalam tulisan saya. Saya lebih yakin.

Selang beberapa jam, belum pun saya mula menulis, saya diberitahu bahawa sekumpulan insan sedang bergembira kerana hal Nik Abduh telah selesai. Ayahandanya telah mengarahnya berhenti buat cerita! Saya tersentak lagi. Wah, ada insan yang begitu teliti pekerjaannya sehingga dia tahu isi perbualan saya dengan ayahanda!

Sekarang anda tahu betapa saya sedang menempuh jalan yang sukar. Anda tahu saya perlukan keberanian yang sudah lama saya pohon daripada Tuhan saya. Betapa saya sering menangis memohon keberanian daripada Allah. Mengapa saya harus mendiam diri, takut dan dilanda kecewa sendirian? Dalam blog ini, saya sering menyeru agar jangan bersedih, berani kerana benar dan pelbagai dorongan ugama, tetapi saya sendiri kelu dan bisu di hadapan kebenaran yang mesti saya sampaikan kepada ayahanda. Saya melukut di hadapan pembohongan dan pemalsuan yang dipaksakan ke atas orang yang saya kasihi.

Sehingga saya tiba - tiba diberikan keberanian itu. Ia melanda - landa datang. Allah memperkenalkan saya jalan dan masanya. Saya kenal diri saya. Saya mampu mengesan, dengan izinNya bahawa sesuatu itu daripada nafsu atau daripada suluhan taufikNya. Ini untuk saya dan diri saya. Justeru saya mulakan dengan nama Allah. Anda pun telah membacanya.

AlhamduliLlah, dalam seketika sahaja saya dihujani tahniah. Ia tidaklah mengujakan saya sehinggalah saya menerima ucapa terima kasih daripada seorang yang saya sayangi. Dia guru saya dan guru ratusan ribu ahli PAS seluruh negara. Saya bertanya adakah saya telah mengganggu dan merosakkan jamaah? Jawabannya tidak. Ia dinikmati oleh mereka yang cintakan keharmonian dan para ulama yang saya maksudkan daripada tulisan saya.

Akhirnya, keberanian turut melanda mereka yang faham tetapi takut dan bersimpati daripada kalangan guru dan sahabat saya. Mereka berjanji untuk turut bersama. Saya bersyukur kerana saya sedang mencetuskan keberanian untuk semua. Kekuatan saya bertambah - tambah dan Allah memberikan saya ketenangan yang saya perlukan saat ini.

Anda bacalah komentar para penjengok blog ini. Ia berbaur antara puji dan keji. Inilah suara rakyat. Inilah suara yang saya mahukan setiap pemimpin bersimpati dan bertanggung jawab ke atas mereka. Mereka memuji dan mencela dalam arus yang diciptakan ke atas mereka. Justeru arus mestilah benar agar mereka tiada tertipu oleh pemimpin.

Sekarang masanya saya menjelaskan..

2)

Saya dengan sengajanya memilih perkataan ‘pembantu - pembantu ayahanda’ dan menjadikannya umum. Saya tembak terus kerana saya mahu semua orang kena. Semua mereka yang merasakan masing - masing adalah pembantu ayahanda. Saya mahu mereka bertanya, adakah aku yang dimaksudkan?

Pastinya mereka yang tidak pernah bercakap dan menyumbang idea kepada ayahanda mengenai isu - isu politik yang saya maksudkan akan merasakan mereka terkeluar. Keluarlah anda. Sesungguhnya Allah membalas pekerjaan anda dengan kebaikan yang melimpah daripadaNya.

Saya kenal kebanyakan pembantu ayahanda. Mereka inilah kaki dan tangan ayahanda yang telah banyak menyumbang dan berkorban. Daripada Abang Lah pemandu ayahanda yang telah berkhidmat sedari saya kecil sehinggalah YB Dato Ahmad Yaacob, Timbalan Menteri Besar Kelantan, ada ratusan pembantu ayahanda samada di pejabat PAS Kelantan, di pejabat SUK dan di luarnya.

Saya hormati mereka dan saya tabik mereka. Kerja dan bantuan mereka mengatasi saya. Saya hanyalah seorang anak yang menjadi pembantu dalam soal - soal kekeluargaan. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Setiausaha Akhbarnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah bertanya tahun lepas, di kawasan mana saya mahu bertanding? Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Pegawai Peribadi di DUNnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda akur kerana dia tahu maksud dan bebanannya ke atas saya.

Saya mahu kekal sebagai pembantu di rumah. Saya meyakini kekuatan para pembantu ayahanda di luar. Saya tidak banyak masuk campur walaupun kadang - kala bonda bersungut mengenai beberapa pembantu yang dilihat gagal berperanan.

Kepada mereka saya doakan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Adapun maksud saya adalah para pembantu yang membantu dalam isu politik. Mereka ramai, mungkin berpuluh - puluh. Semua mereka adalah benar dan betul. Kerana jasa merekalah ayahanda jadi perkasa dalam dunia politik Islam dan tanah air.

Pekerjaan bodoh hanyalah satu. Dan atas pekerjaan yang satu inilah saya menyerang dengan panas. Apabila anda memuji saya, ia tak pun meredakan kemarahan saya. Apabila anda memaki saya, ia tak pun memarakkan kemarahan saya. Saya kekal panas sehinggalah ayahanda dibebaskan daripada kerja - kerja bohong, bodoh dan jahat ini.

Ayahanda adalah ayah saya. Darah dan dagingnya mengalir di tubuh saya. Jika anda berjutaan memerangi saya, anda tak akan mampu memisahkan di antara darah dan daging kami. Saya mempertahankan ayahanda sebagaimana saya mempertahankan saya.

Saya enggan melihat kepanasan ayahanda disebabkan pembohongan dan pemalsuan. Saya enggan melihat mendung di langit perjuangan Islam. Saya enggan melihat kekecewaan daripada hukuman yang salah dan palsu.

3)

Yang menghubungkan kita dengan langit adalah al Quran dan al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Apabila baginda wafat, para ulama adalah pewaris. Ulama mewarisi ilmu, iman dan taqwa. Itulah legasi kenabian. Al Quran adalah punca ilmu yang benar. Ia dijaga kekuasaannya sehingga qiamat. Allah mempersiapkan para ulama dengan ilmu, iman dan taqwa demi kelangsungan perjuangan menegakkan kekuasaan al Quran ke atas manusia.

Ulama adalah cahaya yang menyinari kehidupan. Ketika PAS kesakitan, Allah mencetuskan idea kepimpinan ulama. Ia memberkati kebangkitan PAS. Allah bekalkan kita dengan para ulama yang menerajui dan menyatukan kekuatan.

Jika anda ingin berubah, berubahlah dalam kesatuan yang telah dibina para ulama. Jika anda ingin pembaharuan, bergeraklah bersama mereka.

Jangan tukarkan makanan dari langit dengan bawang putih dan bawang merah semata - mata anda sudah jemu dengan makanan syurga. Jangan tiru Bani Israel!

Ulama menyatukan kita sedang sesetengah anda memecahkan di antara ulama. Inilah kerja bodoh! Pemberi komen bernama MuhaiminSulam kata, tukarkan bodoh kepada jahat!

Saya memaksudkan mereka ini dan saya memaksudkan kerja seperti ini. Saya tidak memaksudkan kerja mereka yang lain walaupun ada lagi yang lain.

Saya menulis kerana ia sedang mengancam kesatuan dan ketenangan. Bukan saya, bahkan semua merasa tidak tenteram. Saya menyerang dipuncanya agar anda tahu puncanya. Apabila anda menguasai puncanya anda akan kembali dengan ketenangan dan kekuatan.

4)

Saya nukilkan perbualan saya dan ayahanda pasal idea Unity Government dan Pakatan Rakyat. Saya kemukakan titik persamaan dan perbezaan. Jawaban ayahanda adalah di sebalik yang anda perolehi di luar. Saya kata ayahanda menerima hujah keharusan itu.

Saya tak kata ayahanda dah setuju dibentuk kerajaan bersama BN. Saya tak tanya pun adakah dia setuju atau tidak. Itu tidak penting. Ia tidak mengganggu apa yang saya mahukan daripada jawabannya itu.

Anda dan surat khabar hanya mentafsirnya. Jika anda mahu tafsiran terbaik, tanya dia sendiri. Saya tidak memerlukan jawaban itu.

Ingat, saya bukan mendodoi Unity Government di sini. Nak berhujah, cari di tempat lain. Saya hanya mahu anda faham mengapa wujud percanggahan di antara sebelum dan selepas pertemuan itu? Mengapa sejuk sesudah panas? Saya memberitahu anda sebabnya. Sebabnya adalah pekerjaan bodoh itu.

Kerja bodoh bukan menolak Unity Government. Kerja bodoh ialah memahamkan maksudnya dengan maksud yang tak benar dengan tujuan yang tak benar di sisi ugama.

Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan bahawa saya telah berbohong tentang kewujudan kerja bodoh itu. Jika anda sangsi, usah percaya dan usah bohongi. Saya menulis kepada pembaca di blog saya yang yakin bahawa saya tidak berbohong. Kepada mereka saya mahu memberikan rasa tenang dan yakin.

Saya juga menulis untuk disampaikan kepada pembantu - pembantu itu agar bertaubat. Kerja kamu itu sia - sia di sisi tuhan walau kamu digilai manusia dan haiwan pun.

Kemudian saya tambahkan perencah. Wujud mereka ( pembantu ) yang berang sesudah ayahanda tersenyum lebar di JKR 10 selepas pertemuan di antara anggota Majlis Syura. Mereka gagal memisahkan di antara ulama.

Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan saya bohong. Tidak wujud keberangan itu. Jika tidak, anda melibas pedang di angin, lalu mendakwa tubuh saya telah putus seribu.

Saya perhatikan seni hujahan anda. Tumpul dan rapuh. Saya jentik, terbang bagai abu di hujung rokok. Sila datang kepada saya di luar, mari bersabung. Saya tunjukkan anda seni berhujah yang digemari agama dan malaikat.

5)

Saya berpegang sebagai mana ahli PAS berpegang. Pakatan Rakyat adalah sebaik - sebaik temuan dan alternatif hari ini. Tulisan saya sebelum ini menyokong DSAI sebagai peneraju jika ianya disepakati. Hujah agama membenarkan. Tulisan saya sebelum ini menolak pakatan dengan BN, apatah masuk BN. Sehingga BN bersetuju untuk berubah, hukum agama mengambil tempat.

Saya menyeru kepada pembukaan. Jangan tutup apa yang Allah mahu ianya terbuka. Anda akan bernafas lebih lega dan harmoni. Anda akan lebih gagah melangkah.

Ini siasah syar’ieyah. Dua tuan guru ini adalah pakar ilmu ini. Apabila mereka bertelagah saya tak rimas pun. Saya tahu mereka akan bertemu dan bersetuju. Saya diberitahu TGHH dinasihat untuk tidak berjumpa ayahanda ketika panasnya, tetapi beliau enggan. Beliau tahu ayahanda akan reda. Reda dan ridha dengan temuan ilmu dan hujah. Itulah yang berlaku.

Tetapi, kerja - kerja bodoh mengambil tempat. Mereka inilah batu api. Batu api inilah satu kerja dosa besar yang merosakkan jamaah dan ummah. Atas kerja bodoh inilah saya doakan Allah membalas mereka di dunia agar mereka kembali sedar dan bertaubah.

Itu hikmah Allah membalas di dunia. Anda alim, ingat ayat itu. Anda jahil, tanya orang alim. Jangan meracau tak tentu pasal marahkan saya menamakan sesetengah manusia sebagai ulama ‘mi celup’. Apa tak adakah di dunia ini orang jahil yang mengaku alim?

Macam peniaga makanan kesihatan dalam MLM. Habis kursus sebulan pasal produk, mereka keluar bersyarah macam seorang doktor. Anda marahkah jika saya namakan mereka doktor ‘mi celup’?

Saya belajar ugama. Maka saya tahu saya bukan taraf ulama. Saya tahulah siapa ulama yang benar dan palsu. Saya ada neracanya mengenal kaca dan permata. Kerana itu saya mempertahankan ulama yang saya kenali dan akui ilmu, iman dan taqwa mereka.

Mereka di hadapan anda. Menyayangi ulama adalah iman. Memusuhi ulama adalah perang terhadap Allah. Ingat al hadis itu. Justeru jangan mencetuskan kebencian dan kerenggangan di antara awam dan ulama, apatah memecahkan saf para ulama.

Jangan lupa blog saya. Doakan saya terus mampu menulis demi perjuangan meruntuhkan kekuasaan BN durjana.

Read More...

kerja - kerja bodoh dalam pas

nikabduh

Salam Kamunting,

Di meja makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam - macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.

Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam.

Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.

Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat - syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.

Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata.

Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.

Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?

Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah - mentah?

Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu - pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH.

Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!

Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama TGHH, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada TGHH. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.

Di mana pergi pembantu - pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi tuhan!? Semoga Allah melaga- lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat!

Modus Operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka.

Ayahanda seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya. Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing - masing.

Adapun penghormatan ayahanda terhadap TGHH, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji TGHH. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan TGHH di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.

Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah - istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.

Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan!Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keenggananya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli PAS di dalam kebebasan memilih?

Di mana adab? Di mana kesetiaan? Di mana sifat malu?

Masihkah anda mahu hanyut dalam dunia politik yang kotor hatta dalam PAS? Jika begitu, sayalah musuh anda!

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |