+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 3, 2008

TV3....dengar teguran Mufti tau!!!!Jangan degil sangat!!!

Assalamualaikum,

Saya terpanggil untuk berkongsi maklumat tentang Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang telah memberi teguran kepada TV3 dengan menhantar surat kenyataan rasmi supaya memberikan berita sahih dan adil tanpa sebarang provokasi.

Beliau menyatakan di dalam suratnya, Islam menuntut agar setiap insan bersifat adil dalam semua perkara. Kebencian, tidak puas hati dan permusuhan ke atas seseorang, atau sesuatu golongan tidaklah membolehkan kita membuat laporan yang tidak adil terhadap mereka. Ada dinyatakan juga,

Firman Allah dalam Surah al-Maidah:8:

(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan".
Baca surat kenyataan penuh di sini.


Saya berharap, pihak TV3 mengambil serius tentang perkara yang dibangkitkan oleh Dr Asri ini, kerana apabila seorang tokoh agama melontarkan pandangannya terhadap sesuatu perkara, memanglah ada sesuatu yang tak kena pada perkara itu. Dalam konteks ini, TV3 perlu mengambil pendekatan drastik dengan melaporkan berita yang adil dan bersih tanpa sebarang provokasi. Pihak TV3 harus tahu bahawa mereka memberi pengaruh yang kuat kepada masyarakat. Oleh sebab itu, saranan Dr Asri ini sememangnya relevan dengan keadaan semasa sekarang yang mana rakyat memerlukan maklumat yang tepat, adil dan sahih. Bukan sekadar berita dan maklumat yang berpihak kepada satu pihak sahaja.

Saya sendiri pun meluat tengok berita di TV3 lagi-lagi masa nak pilihanraya tempohari. TV3 tidak memberi ruang kepada pembangkang untuk melontarkan idea dan gagasan mereka kepada rakyat. Sikap berat sebelah inilah punca rakyat beralih sokongan kepada pembangkang. Rata-rata golongan muda mula melayari internet untuk mencari berita yang adil, tepat dan sahih. Setiap provokasi yang dipaparkan di TV3, akan di cari oleh golongan rakyat yang sangsi di dalam internet untuk menentukan kebenaran dan kesahihannya. Rentetan daripada itu, apabila mereka mendapati TV3 memberikan laporan yang tidak adil, maka mereka terus mempercayai internet sebagai sumber berita yang tepat dan sahih. So, jangan marah pada rakyat kerana mempercayai blog. Fikir secara rasional. Ingat TV3!!!! Anda diperhati dan dinilai.

Jangan biarkan kempen yang dicadangkan oleh pembangkang untuk boikot TV3 disokong oleh semua rakyat Malaysia. Ambil langkah drastik sebelum anda diboikot. Ingat pesan orang tua-tua dulu, " jangan dah terhantuk, baru terngadah....".

catatan: orangkita (3 april 2008, 11:30 am)
http://sangpemantau.blogspot.com/

Read More...

Eksklusif: Anwar bakal Pengerusi Pakatan Rakyat

Klpos



Oleh Helme Hanafi
Rabu, 02 April 2008

DATUK Seri Anwar Ibrahim dijangka akan menerajui Pakatan Rakyat yang dibentuk hasil gabungan PKR, PAS dan DAP dalam masa yang terdekat.

Menurut sumber, Anwar akan dilantik menjadi Pengerusi Pakatan Rakyat selepas dibenarkan memegang jawatan politik bermula 15 April ini.

"Pemilihan Anwar berdasarkan ketokohan beliau selain daripada kedudukan beliau kini yang tidak memegang jawatan rasmi dalam mana-mana parti politik," kata sumber.

Ini bermakna Anwar tidak akan memimpin PKR yang diterajui Datin Seri Dr Wan Azizah, sebaliknya terus memimpin gabungan parti-parti yang membentuk Pakatan Rakyat.

"Wan Azizah akan terus menerajui PKR, begitu juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng," kata sumber terbabit.

Pemilihan Anwar juga diharap dalam meredakan kebimbangan utama ahli-ahli parti yang menyertai gabungan tersebut mengenai siapakah yang akan dipilih menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat.

Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan persetujuan ketiga-tiga parti itu membentuk Pakatan Rakyat, berkata ia bagi menggambarkan kerjasama ketiga-tiga parti itu terutama di lima negeri yang kini dikuasai mereka.

Dalan kenyataannya, Pakatan Rakyat berikrar untuk melindungi hak-hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaan.

Berikutan itu, kata mereka, kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor akan dikenali sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

"Dasar-dasar kerajaan-kerajaan negeri berkenaan akan dijalankan mengikut dasar-dasar yang dipersetujui Pakatan Rakyat," kata Anwar.

Menurutnya lagi, bagi mengukuhkan lagi kefahaman bersama mengenai dasar-dasar berkenaan, satu konvensyen wakil rakyat Pakatan Rakyat akan diadakan pada 27 April depan.

Bagi mengukuhkan struktur Pakatan Rakyat, sebuah Majlis Kepimpinan ditubuhkan, yang dianggotai pemimpin tiga parti berkenaan.

Di samping itu, kata kenyataan itu lagi, Urusetia Bersama, yang dianggotai tiga pemimpin dari setiap parti terbabit, turut ditubuhkan dengan tugas untuk membina asas dan rangka kerja Pakatan Rakyat untuk disahkan oleh Majlis Kepimpinan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, PAS yakin mampu menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat yang melibatkan parti itu, DAP dan Parti Keadilan Rakyat, walaupun mereka mempunyai ideologi yang berbeza, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaacob.

"Memang ideologi PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat tidak sama, tetapi kita yakin masih ada ruang yang mampu mewujudkan persefahaman bagi memastikan Pakatan Rakyat ini dapat dilaksanakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad berkata tidak timbul halangan untuk PAS mewujudkan kerajaan Islam walaupun Pakatan Rakyat itu turut dianggotai oleh parti bukan Islam.

"Tiada halangan untuk PAS wujudkan kerajaan Islam kerana Islam tidak akan mengabaikan mana-mana pihak, apa yang penting ialah kita saling memahami dan sekaligus menjadikan Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional,"

Read More...

Kenyataan Mufti Perlis kepada TV3


dipetik dari Minda Mufti.


Berikut merupakan kenyataan mufti perlis Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin yang telah difakskan ke TV3.

Sila klik pada imej di bawah untuk paparan yang lebih jelas.


orangkita -
di bawah ini saya paparkan surat kenyataan Mufti Perlis kepada Tv3. (sila klik image di atas untuk paparan surat sebenar...). Terima kasih.

27hb. Mac 2008

Penerbit Buletin Utama TV3,
Sri Pentas
No.3 Persiaran Bandar Utama,
47800 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan

Assalamualaikum wbtTuan,

KEPERLUAN BERITA YANG SAHIH LAGI BERSIH DARI SEBARANG PROVOKASI

Islam menuntut agar setiap insan bersifat adil dalam semua perkara. Kebencian, tidak puas hati dan permusuhan ke atas seseorang, atau sesuatu golongan tidaklah membolehkan kita membuat laporan yang tidak adil terhadap mereka. Firman Allah dalam Surah al-Maidah:8:(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan".

Dalam suasana negara sedang mengharungi kerencaman aliran politik dan pemikiran pada mutakhir ini, saya mengharapkan agar sumber-sumber berita sama ada TV, atau internet, akhbar dan seumpamanya bersifat adil dalam menyiarkan sesuatu berita. Sampaikanlah berita yang benar sekalipun mengenai pihak yang berbeza aliran dengan kita. Jauhi unsur-unsur prasangka dan provokatif. Janganlah kita mengulas secara negatif setiap berita pihak yang kita tidak bersetuju dengannya. Biarlah rakyat yang matang membuat penilaian setelah mendapat maklumat yang sahih. Jika tidak, para penyiar akan menjadi sumber fasik yang membawa berita bohong, atau melaga-lagakan antara manusia.

Sifat amanah dan telus dalam penyiaran berita adalah dituntut oleh agama dan menjadikan penyiarnya itu lebih berwibawa, dihormati dan mendapat kepercayaan umum.

Sekian,

DR. MOHD ASRI BIN ZAINUL ABIDIN
Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Read More...

Mufti Perlis gesa TV3 lapor adil

Malaysiakini

Fathi Aris Omar | Apr 2, 08 11:43pm



Mufti Perlis yang semakin meningkat namanya, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mengutus surat kepada stesen TV3 dan menggesa ia melaporkan secara adil sesuatu perkembangan politik.

Dalam suratnya bertarikh 27 Mac kepada stesen itu, mufti muda itu menegaskan semua media, termasuk akhbar dan internet, harus membuat liputan yang adil di tengah-tengah senario baru politik selepas pilihanraya umum 8 Mac.

"Jauhi unsur-unsur prasangka dan provokatif.

"Janganlah kita mengulas secara negatif setiap berita pihak yang kita tidak bersetuju dengannya," surat beliau dipetik, salinannya dimuatkan di blognya Minda Mufti (www.drmaza.com).

"Kebencian, (rasa) tidak puas hati dan permusuhan ke atas seseorang, atau sesuatu golongan tidaklah membolehkan kita membuat laporan yang tidak adil terhadap mereka," tambahnya lagi dengan mengutip surah al-Maidah ayat 8.

Ayat al-Quran itu, antaranya, memberikan peringatan kepada umat Islam agar "hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak melakukan keadilan."

Menurut blog Dr Mohd Asri, surat bertajuk "Keperluan Berita Yang Sahih Lagi Bersih Dari Sebarang Provokasi" dialamatkan kepada penerbit Buletin Utama TV3, program berita sejam yang berpengaruh besar di stesen tersebut.

Mufti itu, yang menulis kolum mingguan di akhbar Utusan Malaysia, juga berpesan: "Jika tidak, para penyiar akan menjadi sumber fasik yang membawa berita bohong, atau melaga-lagakan antara manusia.
"Sifat amanah dan telus dalam penyiaran berita adalah dituntut oleh agama dan menjadikan penyiarnya itu lebih berwibawa, dihormati dan mendapat kepercayaan umum."

Surat itu dipercayai sebagai mengulas trend laporan media cetak dan elektronik selepas lima negeri jatuh di tangan pembangkang, sementara BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Senario politik yang julung-julung kali wujud dalam sejarah negara ini - digelar "tsunami politik" - menimbulkan kejutan besar kepada semua pihak, termasuk ahli politik kerajaan dan pembangkang.

Sebelum itu, dalam tulisan lain di blognya, Dr Mohd Asri mengulas semua lima negeri tersebut kecuali Pulau Pinang.

Tentang Kedah, beliau berkata: "Pegangan ‘siasah untuk maslahah ummah’ amat penting agar tidak timbul sama sekali unsur politik membalas dendam.

"Kita berdoa agar prinsip-prinsip Islam yang damai, harmoni lagi adil dapat dikecapi oleh rakyat Kedah menerusi kerajaan mereka yang baru."

Mengulas kerajaan campuran PKR-DAP-PAS, doktor falsafah dalam bidang pengajian hadis itu berkata:

"Nampaknya tawaran-tawaran kerajaan baru Selangor mampu menzahirkan prinsip pemerintah mengutamakan rakyat seperti yang menjadi teras siasah dalam Islam.

"Kita amat berharap ketelusan dan kejujuran akan menjadikan mereka lebih unggul dibandingkan kerajaan sebelum ini."

Tegurannya kepada TV3 dan ulasan terbukanya tentang negeri-negeri yang dikuasai pembangkang tidak berlaku dalam sejarah institusi mufti di negara ini.

Blognya itu turut memuatkan khutbah yang disampaikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga mursyidul.

baca surat kenyataan mufti.

Read More...

Khir Toyo kata orang Melayu, Cina dan India tak gembira dengan DEB

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob

Wed | Apr 02, 08 | 10:39:56 am MYT


KUALA LUMPUR, 2 April (Hrkh) - Bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo dalam mengupas isu kemelut pencapaian Umno/BN yang merosot teruk pada pilihan raya lalu menyimpulkan antara lain Dasar Ekonomi Baru (DEB) perlu dilihat semula.

Dalam forum Umno Pasca Pilihan Raya Umum ke-12 anjuran laman web Mykmu.net yang diadakan di Hotel Singgahsana semalam, Dr Khir berkata, DEB telah dilaksanakan lebih 30 tahun.

"Dalam blog saya yang kini mencapai hits lebih 40,000, ada komen dari pelbagai orang.Orang Melayu, Cina dan India rata-ratanya tak gembira dengan DEB.

"Kita kena cari formula baru yang boleh penuhi kehendak dan aspirasi rakyat, ini saya harap dalam forum kita kena bincang objektif bagaimana nak bincang masa depan negara," katanya.

Katanya, dalam pilihan raya lalu, bukan sahaja Melayu, tetapi Cina dan India tidak yakin dengan parti-parti yang mewakili mereka dalam BN.

"Dan kalau dilihat jumlah undi yang diberi kepada pebangkang seluruh Malaysia undi popular mereka besar berbanding BN hanya 48 peratus, majoriti pembangkang pula menang besar, sementara majoriti BN menang sedikit, walaupun kerusi BN lebih," katanya

Dengan keputusan yang penting hari ini ialah kerajaan, BN dan Umno kena lihat kehadapan apa yang perlu lakukan selepas BN alami krisis pada kali ini, katanya.

"Jika lihat sejarah kita kena kaji teliti, bila kalah pada tahun 1969, maka pada tahun itu ada perubahan besar dalam sistem politik dan kerajaan Malaysia.berlaku perubahan kepimpinan dan lahirkan DEB untuk kepentingan orang Melayu selain tidak meminggirkan Cina dan India," katanya.

Namun pada pilihan raya umum 2008, ramai melihat bahawa Umno seolah-olah tidak perjuangkan nasib orang Melayu, sementara MCA tidak perjuang orang Cina.

Begitu juga dengan MIC yang tidak memperperjuangkan nasib orang India, kata Dr Khir.

"Sebab itulah maka perubahan begitu besar, jika nak ambil formula 1969, bentuk Mageran dan lihat semua tentang DEB dan bagaimana ia dapat puas hati semua orang,

"Jika ambil formula tahun1999 (krisis kepimpinan Umno dimana Dato' Seri Anwar Ibrahim disingkir dari Umno) dengan tukar kepimpinan perkara sama berlaku juga tak selesai.Justeru kita kena lihat balik DEB ini dengan lebih objektif dan dapat beri kepuasan semua, ini dituntut oleh rakyat Malaysia," ujarnya.

Secara keseluruhannya Dr Khir meletakkan bukan sahaja krisis kepimpinan dalaman Umno/BN menyumbang kepada kekalahan tetapi isu ekonomi, pendidikan dan sebagainya turut memberi kesan kemerosotan sokongan rakyat terhadap BN.

"Kita nak reformasi, apa kaedah reformasi yang kita perlukan, sebab itu kita kena objektif. Umno, kerajaan kena reformasi, pendidikan kena reformasi., ekonomi kena reformasi," tegasnya.

Sementara itu bercakap mengenai isu peletakan jawatannya sebagai Pengerusi BN Selangor beliau berkata, beliau melihat semua pemimpin pakatan BN meletak jawatan selepas kalah dalam pilihan raya umum.

"Semua pemimpin MIC, MCA, GERAKAN meletak jawatan dan demi menjaga maruah Melayu, saya pun meletak jawatan," katanya ringkas.

Sementara itu semasa sesi soal jawan, Dr Khir ditertawakan oleh hadirin ketika cuba mengutarakan soal isu betapa bersihnya beliau memerintah Selangor.

"Saya cabar Tan Sri Khalid Ibrahim (MB Selangor kini) untuk cari apa masalah sahaja tentang saya sebab saya tahu saya bersih, saya tidak bersalah"

"Tuan-tuan boleh cek tengok akaun saya berapa sahaja yang ada" katanya.

Namun kata-katanya itu ditertawa dan dipersenda oleh beberapa penonton yang duduk di bahagian belakang dewan dan ada yang sinis dengan kenyataan Dr Khir itu.

Begitu juga semasa mempertahankan soal adanya campur tangan dalam pemilihan calon-calon Umno dalam pilihan raya umum yang lalu, Dr Khir yang tidak menafikan adanya campur tangan oleh pihak tertentu.

Namun keengganan Dr Khir mengakui adanya masalah dalam pemilihan calon dan meletakkan calon yang sebenarnya ditapis oleh agensi tertentu yang tidak lagi diyakini kredibilitinya turut dipersenda penonton.

Read More...

Cuepacs ugut pulau acara kerajaan

Malaysiakini

Apr 2, 08 6:36pm

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan memboikot sambutan Hari Pekerja dan perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam bulan depan jika kerajaan gagal memberi kata putus terhadap lima tuntutan kesatuan itu, selewat-lewatnya pada 29 Mei.

Sambutan Hari Pekerja anjuran Kementerian Sumber Manusia akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 3 Mei, manakala Hari Pekerja Sektor Awam disambut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 29 Mei.

Bagaimanapun presidennya Omar Osman berkata Cuepacs akan menganjurkan sambutan Hari Pekerja berasingan di Johor Bahru pada 1 Mei yang dijangka dihadiri 1,000 wakil kesatuan dari seluruh negara.

budget belanjawan negara workersLima tuntutan Cuepacs: bayaran honorarium RM2,000 tanpa mengira pangkat, kenaikan imbuhan tetap perumahan RM180 hingga RM230, penambahbaikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), memberikan semula elaun kritikal bagi Kumpulan Sokongan Dua yang ditarik balik pada Februari lalu dan melanjutkan umur persaraan wajib dari 56 tahun kepada 60 tahun.

Cuepacs akan mempertimbangkan semula boikot jika kerajaan mahu berunding mengenai tuntutan tersebut menjelang akhir Mei, kata Omar kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Cuepacs di Sungkai, Perak hari ini.

Beliau menafikan tindakan pemulauan itu sebagai satu ugutan kepada kerajaan, sebaliknya menegaskan bahawa keputusan yang berat tetapi drastik itu "terpaksa diambil" demi kebaikan semua pekerja sektor awam khasnya bagi Kumpulan Sokongan Satu dan Dua.

Agensi berita Bernama memetik Omar sebagai berkata, Cuepacs mahu kelima-lima tuntutan tersebut dilaksanakan berdasarkan keputusan yang tepat sebagaimana perbincangan yang telah diadakan antara kesatuan itu dan pihak kerajaan sejak Ogos lalu.

Hantar surat rasmi

Beliau, kecewa dengan kelewatan kerajaan membuat keputusan, menegaskan bahawa kerajaan telah gagal dari segi sistem penyampaiannya kerana masih tidak memutuskan tuntutan ini walaupun permohonan Cuepacs itu melebihi tempoh enam bulan.

pak lah abdullah ahmad badawi putrajaya malaysiaMenurutnya, mesyuarat Majlis Cuepacs turut memutuskan untuk menghantar sepucuk surat rasmi kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi menyatakan kekesalan kesatuan itu terhadap tindakan beliau yang dilaporkan "segan" membincangkan permohonan kesatuan itu untuk mendapatkan honorarium RM2,000 dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketika menjawab soalan penonton dalam program 'Bicarawara: Bersama Ketua Setiausaha Negara" di RTM1 Februari lalu, Mohd Sidek berkata, beliau belum berbincang dengan perdana menteri mengenai pembayaran honorarium itu kerana segan untuk meminta kerajaan membuat bayaran itu selepas kenaikan gaji yang besar kepada kakitangan awam.

Omar juga berkata, mesyuarat majlis itu turut memutuskan supaya Cuepacs mengadakan sesi penjelasan di setiap jabatan di seluruh negara mengenai tuntutan ini mulai minggu depan.

Sementara itu, beliau juga menasihat semua kakitangan sektor awam di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor - yang kini ditadbir pakatan pembangkang - agar tidak bimbang dan memaklumkan terus kepada Cuepacs jika ada diskriminasi ataupun unsur ketidakadilan di negeri-negeri tersebut.

Beliau berharap semua anggota sektor awam di negeri tersebut menjalankan tugas seperti biasa dan menerima arahan yang tidak bercanggah dengan perkhidmatan awam.

Katanya Cuepacs akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin kesatuan di semua negeri berkenaan yang dijangka diadakan pada Jun ini.

Read More...

Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 – Tidak Perlu ada Tol?

Buletin Online




Ditulis oleh SM Noor
Wednesday, 02 April 2008

The image “http://buletinonline.net/images/berita/lebuhraya.gif” cannot be displayed, because it contains errors.Kuala Terengganu, 1 April – Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2(LPT2) yang sedang dibina dan dijangka siap pada penghujung 2009 tidak perlu kepada bayaran Tol. Demikian dinyatakan oleh Encik Wan Mohd Faizul, Setiausaha Care Circle Services(CCS), sebuah badan bukan kerajaan(NGO) yang bergerak aktif menangani isu-isu konsumerisme, yang menghubungi Buletin Online hari ini.

Beliau berkata CCS telah membuat penyelidikan dan mendapati bahawa LPT2 tidak perlukan bayaran Tol kerana ia bukanlah satu lebuhraya konsesi sebagaimana pembinaan lebuhraya-lebuhraya yang lain.

Beliau berkata kontraktor yang telah dilantik bagi menyiapkan lebuhraya sepanjang 186 kilometer itu adalah dibiayai sepenuhnya perbelanjaan kerajaan.

“Pembinaan LPT2 adalah lebuhraya dari persimpangan Jabur ke persimpangan Gemuruh, Kuala Terengganu,
”Kos bagi pembinaan lebuhraya 4 lorong dua hala (dual 2-lane carriageway) adalah dianggarkan RM 3.7bilion,

“lima puluh peratus dibiayai dengan kewangan Dana Khas dan lima puluh peratus lagi dari peruntukan RMK 9,” kata Wan Mohd Faizul.

The image “http://buletinonline.net/images/berita/lebuhraya.gif” cannot be displayed, because it contains errors.Beliau berkata Dana Khas adalah milik rakyat Terengganu yang asalnya adalah ‘wang royalti’ petroleum.

Beliau berkata, peruntukan RMK 9 pula adalah perbelanjaan pembangunan kerajaan bagi memajukan rakyat.

Justeru itu, beliau berkata, LPT2 tidak memerlukan bayaran Tol untuk membayar balik kepada syarikat atau kontraktor yang membinannya.

Walaubagaimana pun, menurut beliau, CCS berasa kesal kerana tender LPT tidak diagihkan secara samarata.

”Sepatutnya 12 pakej lebih baik diagih-agihkan kepada 12 kontraktor bagi memastikan ketelusan kerajaan,” kata beliau.

CCS juga kesal kerana melalui carian yang dibuat mendapati kebanyakkan kontraktor yang memperolehi tender-tender tersebut mempunyai hubungan dengan parti yang memerintah.

Read More...

Pak Lah nafi letak jawatan


Berita Harian


PERDANA Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima kunjungan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di pejabatnya di Putrajaya semalam.

PM ulangi pendirian tidak akan lari daripada tanggungjawab terajui negara

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menafikan spekulasi yang beliau akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Abdullah mengulangi pendiriannya yang beliau tidak akan lari daripada tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri.


"Saya masih di sini. Saya masih di sini. Saya masih di sini. Mereka semua membuat spekulasi. Saya larilah. Saya letak jawatan. Kenapa perlu saya letak jawatan.


"Kerajaan saya mendapat majoriti besar (walaupun) bukan dua pertiga, tetapi amat kukuh... itulah sokongan yang diterima. Takkan saya nak lari, tinggal saya punya tanggungjawab," katanya kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, di pejabatnya di sini.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi itu, yang timbul ekoran gesaan beberapa pemimpin termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang Abdullah patut memikul tanggungjawab bagi prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lalu dan meletakkan jawatan.

Kelmarin, pada satu forum anjuran sebuah laman berita internet di Petaling Jaya, bekas Perdana Menteri itu sekali lagi menggesa Abdullah berundur.

BN hilang majoriti dua pertiga dalam Parlimen selepas memenangi hanya 140 daripada 222 kerusi Parlimen manakala pembangkang memenangi 82 kerusi. BN juga tewas di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain gagal merampas kembali Kelantan daripada Pas.

Abdullah yang jarang menghadiri majlis rasmi akhir-akhir ini, turut menyemarakkan spekulasi itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata gesaan ahli dan bekas pemimpin Umno supaya Abdullah berundur bukan saja tidak adil, malah berniat jahat.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, beban kesalahan tidak seharusnya diletakkan ke atas Abdullah kerana kemerosotan prestasi BN itu disebabkan pelbagai faktor, terutama dakyah pembangkang yang disebarkan menerusi internet.

Katanya, ahli dan pemimpin parti di peringkat bahagian dan negeri sepatutnya melihat faktor sebenar kemerosotan sokongan rakyat, termasuk kelemahan masing-masing dan membantu pucuk kepemimpinan melakukan pemulihan bagi memperkasakan semula Umno dan BN.

"Yang paling tidak adil ialah melonggok perkara itu atas Perdana Menteri. Saya fikir ini tidak adil dan berniat jahat... lain yang bengkak, lain pula yang bernanah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Muhammad berkata, soal Abdullah perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno tidak timbul kerana BN masih menang dengan majoriti selesa pada pilihan raya umum lalu.

Malah, katanya, Dr Mahathir juga tidak digesa meletakkan jawatan walaupun selepas BN kehilangan Sabah dan Terengganu pada pilihan raya umum sebelum ini, sebaliknya diberi peluang memperkukuhkan semula parti.

"Jika benar Abdullah adalah faktor kemerosotan prestasi BN, sudah tentu negeri lain seperti Johor, Terengganu dan Pahang akan turut jatuh ke tangan parti pembangkang. Ada juga tuduhan seolah-olah senarai calon dicadangkan orang lain. Sebenarnya cadangan itu dikemukakan Pengerusi BN negeri dan hampir semua diterima," katanya.

Muhammad berkata, antara faktor kemerosotan sokongan terhadap BN ialah dakyah pembangkang yang disebarkan menerusi blog dan laman berita antikerajaan serta pengedaran cakera padat video (VCD) kononnya pihak berkuasa bertindak melampau ketika merobohkan sebuah kuil Hindu dua hari sebelum hari mengundi.

Katanya, pembohongan pembangkang itu dilakukan secara berterusan menerusi internet sehingga ramai pengundi terpengaruh dan membenci kerajaan.

"Ia sudah jadi pilihan raya maya, bukan pilihan raya realiti. BN tewas dalam pilihan raya maya. Tak adil berlawan cara ini, seolah-olah BN diikat tangan ke belakang," katanya yang mengakui pembangkang memanfaatkan sepenuhnya kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk mempengaruhi pengundi.

Beliau berkata, keadaan ini diburukkan lagi apabila Dr Mahathir sebagai bekas pemimpin yang berpengaruh, menghentam kerajaan dan pucuk kepemimpinan parti, sekali gus memberi kelebihan kepada pembangkang.

"Memanglah kita menggelupur bila guru silat kita pukul kita masa kita bertarung dengan orang lain... guru kita pukul kita, kita bukan berlawan dengan satu orang, kita berlawan dengan guru kita dan guru silat kita pula terkenal di seluruh negara," katanya.

Ditanya kenapa tindakan disiplin tidak diambil terhadap ahli parti yang membantu pembangkang, Muhammad berkata: "Orang tak berani cadang supaya diambil tindakan disiplin sebab pemimpin itu pemimpin besar, suaranya didengar dan dihormati di seluruh dunia.

"Tapi, hari ini, oleh kerana orang itu orang kebal, tindakan disiplin tidak boleh diambil ke atasnya. Lagi sekali, kita tak nampak keadilan dan sekali lagi Pak Lah jadi mangsa."

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, pula menafikan Abdullah mengongkong dan tidak membenarkan ahli MT menyatakan pendirian masing-masing secara bebas.

"Mana dia (Dr Mahathir) tahu... dia tak duduk dalam mesyuarat, dakwaan beliau ahli MT hanya ikut perintah Abdullah adalah satu kenyataan umum.

"Satu perkara yang berbeza mengenai Abdullah ialah beliau tidak kongkong dan awak boleh tengok reaksi dan kenyataan yang kami beri kepada media berbeza-beza," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Ditanya mengapa wujud persepsi ahli MT sebagai 'pak turut' seperti yang didakwa Dr Mahathir, Mohd Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata: "Tanyalah Dr Mahathir mengapa wujud persepsi sedemikian."

Mohd Khaled juga meminta orang ramai lebih berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai dakwaan terdapat pakatan antara Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding merebut jawatan tertinggi parti.

"Ada pihak menggunakan SMS untuk menyebarkan khabar angin dan fitnah. Lihat saja kesan daripada penggunaan SMS dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 dan ia berbahaya," katanya.

Read More...

Jangan sekat 'bloggers' dengan undang-undang yang tak wajar

Harakahdaily

Intan Abdullah

Wed | Apr 02, 08 | 1:10:04 pm MYT

KUALA LUMPUR, 2 April (Hrkh) - Kebanjiran media alternatif di Malaysia khususnya pada Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini ternyata meninggalkan kesan kepada keputusan pilihan raya tersebut sekaligus mengejutkan semua pihak yang sebelum ini memperkecilkannya.

Salah seorang pemilik blog, Faisal Mustaffa menyambut baik mengenai usaha kerajaan bertemu dengan bloggers dan pengendali laman web.

Ujarnya, tiada masalah jika pihak kerajaan mahu mengadakan perjumpaan dengan semua pemilik blog termasuk pengendali laman web dengan tujuan mengadakan perbincangan serta menyelaraskan maklumat yang diterima.

Bimbang pertemuan jadi landasan sekatan

Namun beliau bimbang samada pertemuan itu akhirnya ianya menjadi sekatan atau memberikan ancaman kepada hak asasi manusia yang digariskan oleh perlembagaan.

"Kalau boleh, jangan wujudkan sekatan yang tidak sewajarnya kepada pemilik web dan blog.

"Jangan berikan ancaman seperti tindakan undang-undang yang tidak munasabah,sekaligus bercangggah dengan prinsip kebebasan dan hak asasi manusia," katanya.

"Sekiranya seseorang pemilik blog atau web tersebut dikenakan tindakan undang-undang atau apa jua isu yang dikenakan ke atasnya, maka ia hendaklah diberikan peluang untuk menjelaskan situasi tersebut bagi membela diri," ujarnya lagi.

Beliau turut mengakui bahawa setakat ini kerajaan masih tidak mempunyai sebarang polisi untuk mengekang kebebasan penulis blog dan pengendali laman web.

Beri bloggers ruang dapatkan maklumat sahih

Selain itu beliau turut mencadangkan supaya pengendali laman web dan blog perlu diberikan maklumat yang sahih bagi memastikan ulasan yang disampaikan menerusi laman web yang dimiliki itu benar.

"Mereka hendaklah diberikan maklumat yang betul dan tepat bagi memastikan ulasan dan pandangan yang dilontarkan menerusi blog masing-masing tidak tersasar daripada kebenaran atau fakta yang asalnya," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Tegasnya, penulis blog perlu diberi peluang untuk mendapat maklumat yang betul kerana apa yang disampaikan dalam karya mereka sedikit sebanyak boleh mempengaruhi pembaca yakni pengguna internet.

Sementara itu, seorang pengendali laman web alternatif yang enggan dikenali berkata kerajaan tidak mampu menyekat kemaraan perkembangan maklumat dalam kecanggihan era teknologi maklumat pada hari ini.

"Mungkin mereka boleh kenakan tindakan undang-undang, tetapi pengaruh globalisasi sukar untuk disekat daripada terus berkembang," katanya lagi.

Ujarnya, kebanjiran laman web dan blog pada pilihan raya umum yang lalu diakui berperanan sebagai ancaman kepada media arus perdana yang sudah kehilangan 'taringnya' kerana rakyat pada saat ini 'dahagakan' maklumat yang cepat, tepat dan betul.

"Rakyat kini mahukan maklumat yang cepat dan betul," tambahnya.

Lutfi kata kebobrokan kerajaan ubah lanskap politik negara

Sementara Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman pula berpandangan media alternatif yang berteraskan internet bukanlah menjadi faktor utama kepada perubahan landskap politik tanah air.

"Bukan faktor blog tetapi kebobrokan kerajaan yang memerintah adalah menjadi faktor utama kepada apa yang berlaku," katanya.

Jelasnya, ia adalah disebabkan hanya sebilangan laman blog sahaja yang memberi kesan kepada pergolakan politik pilihan raya baru-baru ini.

"Selain amarah rakyat yang memuncak kepada Perdana Menteri, sikap media perdana yang memperbodohkan rakyat juga menyebabkan undi banyak beralih daripada BN. Lagi pun strategi kempen Umno-BN sudah ketinggalan zaman, tengok sajalah tema manifesto Selamat, Amam dan Makmur yang basi itu."

"Internet hanya medium perantara bagi menyampaikan maklumat dan analisis. Isu sebenar adalah kebobrokan kerajaan pimpinan Abdullah yang cukup lemah dan tidak berwibawa," ujarnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir pula menegaskan bahawa penggunaan blog dan laman web sebagai sumber maklumat pada pilihan raya umum baru-baru ini telah pun giat digunakan oleh pelbagai pihak.

"Namun, ia tidak mendapat pengiktirafan oleh mana-mana pihak sebelum ini sehinggalah keputusan pilihan raya diumumkan," katanya.

Menurutnya, keputusan yang mengejutkan banyak pihak itu sekaligus menjawab segala keraguan yang wujud di kalangan pemimpin parti-parti politik untuk menerima penggunaannya sebagai suatu medium yang tidak sewajarnya dinafikan keberkesanannya.

Blog semakin aktif bukti pengaruh besar

Dalam perkembangan lain, Pensyarah Jabatan Media Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan Hasbullah dalam laporan kepada akhbar arus perdana berkata, Malaysia yang memiliki hampir 500,000 blog yang aktif menjadi bukti penggunaan blog sebagai sangat berkuasa dalam mempengaruhi pemikiran rakyat negara ini terutama mengenai politik.

Katanya, blog kini mempunyai jangkauan penyebaran maklumat sangat berkesan memandangkan jumlah pengguna Internet yang melayari web dan blog adalah sangat ramai setiap hari.

"Kajian pihak kami mendapati 70 peratus keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu dipengaruhi oleh maklumat yang dipaparkan dalam blog," katanya.

Dr. Abu Hassan berkata, kerajaan mengambil pendirian tidak mempedulikan maklumat dalam blog sebelum pilihan raya tetapi pembangkang bertindak sebaliknya.

Beliau berkata, pemimpin kerajaan kini juga boleh menggunakan blog untuk berkempen tetapi mereka perlu ingat bahawa masa sehingga 10 tahun diperlukan bagi membolehkan sesuatu blog itu mula dikenali ramai.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Johan Jaafar yang turut menyertai forum tersebut pula berpendapat, sesetengah blog begitu berpengaruh apabila menerima sehingga sejuta kunjungan dalam satu hari yang normal.

"Kalau pada hari-hari yang ada isu yang panas, jumlah kunjungan boleh mencecah antara tiga dan empat juta," katanya./wann

Read More...

MB Kedah dan Perak Dapat Liputan Luas Akhbar Cina

Buletin Online




Ditulis oleh Editor
Wednesday, 02 April 2008

The image “http://buletinonline.net/images/berita/interview.gif” cannot be displayed, because it contains errors.Kuala Terengganu, 1 April – Menteri Besar dua negeri, Perak dan Kedah mendapat liputan luas dari akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.

Sin Chew Daily versi online telah memaparkan enam siri temubual eksklusif bagi MB Kedah Ustaz Azizan Razak dan sembilan siri bagi MB Perak Ir. Muhammad Nizar Jamaludin.

Liputan akhbar berbahasa Cina terhadap kedua-kedua Menteri Besar dari PAS itu melebihi ruang yang diberikan oleh akhbar media perdana berbahasa melayu.The image “http://buletinonline.net/images/berita/interview.gif” cannot be displayed, because it contains errors.

Antara intipati temubual eksklusif akhbar Sin Chew Daily dengan MB Perak adalah tentang latar belakang keluarga Nizar yang berketurunan Cina.

Selain itu akhbar tersebut mengemukakan persoalan utama dasar-dasar pentadbiran negeri Perak terutamanya yang berkaitan dengan dasar-dasar Islam.

Manakala temubual dengan Ustaz Azizan Razak, MB Kedah, adalah berkaitan dengan hak-hak dan peluang ekonomi untuk orang-orang Cina di Kedah.

Perubahan media berbahasa Cina memberi ruang yang lebih kepada tokoh-tokoh PAS didalam kerajaan Pakatan Rakyat dapat membuka ruang yang lebih luas kepada masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam memahami dasar-dasar PAS.

Keadaan ini dijangka akan meningkatkan lagi pengauh PAS dikalangan masyarakat bukan Islam serta merapatkan jurang maklumat yang selama ini ditutup oleh akhbar perdana berbahasa Melayu.

Untuk membaca akhbar harian Cina Sin Chew Daily yang diterjemah kedalam bahasa Inggeris sila klik pautan di bawah :

Temubual Eksklusif MB Perak

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |