+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, December 27, 2008

Hadi: Situasi tidak stabil, sukar laksana hudud

Mstar Online

Masalah ekonomi, pengangguran halang pelaksanaan hudud, kata Presiden PAS

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui sukar untuk melaksanakan undang-undang hudud dan qisas di negara ini kerana ia hanya boleh dilakukan jika rakyat negara ini berada dalam keadaan yang stabil.

Malah, beliau juga mengakui bahawa bukan mudah untuk melaksanakan hukum hudud memandangkan negara dan rakyat berhadapan dengan pelbagai masalah.

Kata Abdul Hadi, situasi ekonomi semasa dan pengangguran di kalangan rakyat negara ini menghalang hudud daripada dilaksanakan.

Ditanya sama ada PAS akan membawa usul mengenai pelaksanaan hukum Hudud di Parlimen untuk dibahaskan, beliau yang juga anggota Dewan Rakyat berkata, belum tiba masanya untuk berbuat demikian.

"Masalah pengangguran masih ada lagi dan untuk laksanakan hukum ini kedudukan rakyat Malaysia mesti stabil contohnya daripada segi pendidikan, kehidupan, dan hubungan keluarga juga kena dijaga," katanya.

Katanya, kebimbangan yang dilahirkan oleh segelintir rakyat negara ini sama seperti mentaliti kampung ketika era 1950-an.

Mentaliti kampung tahun 1950-an menyaksikan orang ramai khuatir untuk ke hospital kerana mereka bimbang sebaik sahaja melangkah ke hospital, mereka akan dibedah.

Terdahulu beliau merasmikan kempen 'Jom Sertai Pas' di Dataran Shah Alam di sini hari ini.

Kata beliau, masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa bimbang jika hukum hudud dilaksanakan di negara ini kerana pelaksanaannya hanya melibatkan kalangan yang beragama Islam.

Beliau berkata, golongan bukan Islam sebaliknya boleh memilih undang-undang yang mereka mahu seperti yang telah tertulis dalam Undang-undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu.

"PAS tak perlu terangkan (tentang hukum Hudud) kerana undang-undang ini tiada kena mengena dengan orang bukan Islam.

"Pada kita, tidak timbul lagi soal hudud kerana ia telah diluluskan di DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan sejak tahun 90-an lagi dan di Terengganu pula telah diwartakan," katanya.

Read More...

Henti Momokkan Hukum Hudud - Abdul Aziz

msomelayu

PAGI tadi saya berkesempatan berjumpa dengan Pensyarah Kuliyyah Unang-undang UIA, Prof Abdul Aziz Bari di pejabatnya di UIA Gombak. Sudah lama saya ingin berjumpa dan bertukar fikiran dengan Profesor ini yang juga pakar mengenai perlembagaan negara ini. Mungkin kerana kesibukan masing-masing menyebabkan niat itu tidak menjadi kenyataan hinggalah pagi ini.

Hari ini sejarah bagi saya kerana berjumpa dengan beliau. Perjumpaan itu tentulah bertolak daripada wacana Tranformasi Politik Malaysia di Kota Bharu minggu lepas di mana beliau salah seorang panelis bersama Khairy Jamaluddin dan Husam Musa. Saya turut sama hadir untuk mengikuti wacana yang dianggap penting dalam proses membangunkan politik bangsa itu.

Ada beberapa yang saya inginkan penjelasan daripada beliau berkenaan wacana itu. Dalam pengamatan saya ada semacam sesuatu yang tidak memuaskan hatinya. Ada perkara yang tidak sampai atau sempat dilontarkan menerusi wacana itu.

Alhamdulilah, walaupun hari ini hari cuti umum namun profesor berkenaan sedia untuk ke pejabatnya. Khabarnya beliau selalu berada di pejabat tanpa mengira hari termasuk hari cuti umum!

Berbaloi, hampir tiga jam bersembang mencakupi pelbagai topi politik semasa dengan beliau khasnya mengenai hukum hudud yang kini sudah menerawang semula di persada maya dan menjadi polemik menarik antara orang politik. InsyaAllah interviu penuh dengan beliau akan disiarkan dalam Siasah minggu hadapan.

Rumusan mengenai pertemuan tadi, Abdul Aziz minta agak hudud jangan lagi dimompokkan sebagai satu sistem yang kejam dan zalim. Menurutnya masyarakat juga sudah faham mengenai hudud dan hukum hudud ini bukan perkara baru bahlah lama diperkatakan.

Dalam hal ini katanya Pas harus berhenti daripada memperkatakan hudud dalam konktes politik dan ia juga perlu dibincang seara terbuka dan lebih rasional lagi mengatasi kerangka politik partisan itu sendiri.

“Hudud bukan hak Pas tetapi hak semua individu yang yakin kepadanya. Jadi janganlah tempelkan hudud itu kepada Pas sahaja saja, umpamanya mengatakan hudud ini undang-unang rekaan Pas dan sebagainya,” begitulah tegas Abdul Aziz.

Dalam pada itu perbincangan mengenai hudud perlu dibuat dalam satu flatform khas yang khusus dan spesifik. Ia juga bukan seharusnya dibincang oleh Pas tetapi harus melibat golongan profesional lain, kumpulan agama, golongan akademi atau NGO yang memperjuang Islam seperti Peguam Muslim atau sebagainya.

Dalam pada itu menurut Abdul Aziz, Pas janganlah sesekali menjadikan hukum hudud untuk mengejek dan mengutuk Umno kerana sebagai tabii Umno akan membalas dan mempertahankan dirinya kalau ianya diejek.

"Bila keadaan ini berlaku maka terjadilah polemik tidak berkesudahan antara kedua puak yang tidak mengutungkan Islam," tukasnya.

Secara jujur Abdul Aziz merasakan Pas tidak mampu untuk melaksanakan hudud secara bersendiri kerana ia memerlukan banyak perkara yang perlu dilengkapkan. Misalnya prasarana untuk melaksanakannya masih belum wujud seluruhnya. Justeru kata menurutnya kalau pun Pas ada kuasa ia tidak semestinya Pas mampu melaksanakannya.

"Pas hanya boleh berkata ia ingin melaksakananya tetapi pelaksananya siapa?" tanya beliau. "Pelaksanaan hukum hudud bukan semudah diucapkan. Perkara paling penting mempersiapkan segala prasarananya terlebih dahulu baru boleh dilaksanakan," tegasnya.

Menarik... itulah yang dapat saya simpulkan mengenai pandangan yang dilontarkan oleh Abdul Aziz mengenai hudud ini. Apa yang penting beliau tidak mahu hudud dijadikan alat atau pun diperkatakan dalam kerangka politik kerana ia akan menjadi polimek yang tidak mengutungkan mana-mana pihak. [wm.kl 6:00 pm 27/12/08]

Read More...

RM6.1 juta bina dua dewan cina


Ahmad Said (kanan) menyampaikan replika cek kepada Pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin, Kweh Beng Hui (kiri) sambil disaksikan (bermula dua dari kiri) Toh Chin Yaw, Pengetua SMK Chung Hwa Wei Sin, Seah Kwee Siang, Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Wong Fong Meng pada Program Mesra Rakyat Menteri Besar Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 26 Dis. - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera sebanyak RM6.1 juta bagi pembinaan Dewan Perhimpunan Masyarakat Tionghua dan dewan sivik di Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sen di sini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, daripada jumlah itu, RM3.3 juta adalah bagi pembinaan dewan perhimpunan manakala sebanyak RM2.8 juta lagi untuk dewan sivik sekolah tersebut.

Katanya, kelulusan itu sebagai bukti kerajaan negeri sentiasa prihatin dan membela nasib masyarakat keturunan Cina yang sebelum ini menyokong Barisan Nasional (BN).

'' Kerajaan juga memberi kelulusan kerana masyarakat Cina amat memerlukannya bagi memastikan mereka menikmati kemudahan serupa dengan tempat lain," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri menyatakan demikian semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Masyarakat Cina di Dewan Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga calon BN dalam pilihan kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Wong Fong Meng dan lebih 5,000 masyarakat Cina.

Mengenai cadangan pembinaan Dewan Perhimpunan Cina, Ahmad berkata, kerja-kerja pembinaan bangunan itu akan dilakukan di Bukit Kecil di sini, apabila pelan dan reka bentuk bangunan diluluskan.

Katanya, pembinaan dewan sivik di Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sen pula amat dinanti-nantikan kerana bakal menyediakan kemudahan kepada masyarakat tersebut bagi menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bandar, Toh Chin Yaw ketika bercakap kepada pemberita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana meluluskan peruntukan besar untuk faedah masyarakat Cina.

Katanya, pengumuman itu amat dinanti-nantikan kerana ia telah sekian lama diperjuangkan dan baru sekarang menjadi kenyataan.

Read More...

PM arah tindakan terhadap blog hina Nabi

Mstar Online

Polis, Kementerian Penerangan juga mahu tindakan tegas

PETALING JAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Kementerian Dalam Negeri dan polis mengambil tindakan segera terhadap sebuah laman blog, yang dikesan penuh dengan penghinaan yang amat sangat terhadap Nabi Muhammad.

Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia akan menimbulkan masalah besar dalam negara ini.

"Saya sudah beritahu kepada pihak polis dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar supaya mengambil tindakan segera," kata beliau kepada pemberita selepas melawat Dusun Buah-Buahan Tropika D-Paradise dekat Alor Gajah, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas laman blog tersebut yang turut menggunakan gambar dan lukisan kononnya milik seorang wanita Melayu.

Bagaimanapun dipercayai gambar dan nama wanita itu hanya diperalat pihak lain.

Abdullah berkata: "Saya baru saja, dalam ucapan Hari Krismas baru-baru ini, mengatakan kita perlulah bersikap toleran, perlu pastikan kehidupan rakyat Malaysia yang berlainan agama dan berlainan keturunan, kita mesti sentiasa waspada, sentiasa mengingati diri kita, jangan menimbulkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada keadaan yang tidak kita suka, ini pula hal berkaitan dengan agama".

"Ini berlaku pula begini, boleh jadi budak itu (penulis blog) tidak dengar apa yang saya cakap, perbuatannya ini akan menimbulkan banyak masalah yang tidak akan menyenangkan kita," kata Perdana Menteri.

Beliau mengingatkan jangan ada mana-mana pihak atau sesiapapun menghina agama dan kepercayaan rakyat Malaysia sama ada Islam, Buddha, Kristian ataupun Hindu memandangkan kesemuanya tinggal dalam sebuah negara.

"Kita bukan bermusuhan sesama kita, kita bukan bergaduh sesama kita.

"Sebenarnya kita semua rakyat Malaysia yang hendak negara kita ini aman, selamat dan makmur dan semuanya hidup dalam keadaan senang, sama-sama maju dan kita sama-sama berjaya dan negara kita sama-sama aman dan makmur," katanya.

Abdullah berkata, semua rakyat perlu sentiasa ingat supaya tidak sesekali melakukan perbuatan yang boleh menghina kepercayaan agama mana-mana kaum.

KOMEN MENTERI PENERANGAN

Dalam pada itu, wanita yang gambar serta identitinya digunakan dalam sebuah laman blog yang artikelnya menghina Nabi Muhammad, mendakwa laman blog tersebut bukan miliknya sebaliknya disalahgunakan pihak lain yang tidak diketahui motifnya.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata wanita berkenaan membuat pengakuan tersebut dalam pertemuannya dengan beliau dua minggu lepas dan meminta RTM menyiarkan tentang perkara tersebut untuk membersihkan namanya.

"Wanita itu yang berusia dalam lingkungan 20-an ada berjumpa dengan saya untuk meminta pertolongan bagi membersihkan nama serta identitinya yang digunakan dalam sebuah laman blog menghina Nabi Muhammad," katanya kepada pemberita di majlis perasmian Nur Sejahtera peringkat Parlimen Kemaman di Kemaman hari ini.

"Dia memohon bantuan RTM supaya menghebahkan perkara itu kerana laman blog yang turut mengandungi mesej serta ucapan Deepavali berbaur penghinaan terhadap penganut agama Hindu itu bukan dilakukan oleh dirinya dan telah menjejaskan nama baik dirinya serta syarikat tempat dia bekerja.

"Saya telah minta RTM muat cerita itu untuk mengingatkan orang ramai yang menerima kad ucapan dari laman blog itu supaya berhatihati dan membuat laporan polis," katanya.

Ahmad Shabery berkata, wanita yang bertugas sebagai akauntan di sebuah syarikat pemotoran besar di Lembah Klang sendiri mengakui beliau keliru dengan motif pihak tidak bertanggungjawab itu selain tertanya-tanya kenapa identitinya dijadikan mangsa.

"Dia mengesan kehadiran laman blog yang menggunakan nama serta identitinya itu beberapa bulan lepas dan telah pun membuat laporan polis serta Suruhanjaya Multimedia untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Sehubungan itu, menteri berkenaan meminta pihak terbabit menyiasat segera laman blog berkenaan untuk membersihkan nama wanita terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Bagaimanapun beliau difahamkan laman blog terbabit mempunyai pelayar yang berpangkalan di luar negara dan menyukarkan Suruhanjaya Multimedia untuk mengesan pihak terbabit.

Katanya, beliau yakin laman blog itu sengaja diadakanadakan oleh pihak yang mempunyai niat buruk terhadap wanita berkenaan serta majikannya.

Beliau berkata wanita itu kini berada dalam keadaan tekanan mental dan fizikal ekoran kejadian tersebut.

Ahmad Shabery yakin wanita tersebut tidak bersalah kerana jika benar beliau mempunyai tanggapan negatif terhadap agama Islam, tidak mungkin masa yang sama laman blog terbabit turut mempunyai ucapan berbaur penghinaan terhadap agama lain.

ULASAN POLIS

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini berkata, polis akan menyiasat perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang menyiarkan artikel menghina Nabi Muhammad itu.

Beliau berkata, perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan marah dan tersinggung khususnya kepada umat Islam dan orang Melayu serta mengundang konflik perasaan, agama dan bangsa.

Sebuah akhbar tempatan hari ini mendakwa terdapat sebuah laman blog, yang kononya milik seorang wanita Melayu, yang dikesan melemparkan penghinaan terhadap Rasulullah dan menggunakan gambar dan lukisan.

Ketika dihubungi Bernama di sini, katanya dari sudut perundangan, ia dianggap satu kesalahan di bawah Akta Hasutan dan polis akan segera menyiasat pemilik serta penulis blog berkenaan. BERNAMA

Read More...

Mawi-Ekin akan diarak dengan helikopter

Mstar Online

MAJLIS perkahwinan penyanyi popular Mawi dan Ekin sememangnya ditunggu bukan hanya oleh pihak media malah sangat dinantikan oleh ribuan peminatnya di negara ini.

Biarpun pasangan pengantin popular ini telah selamat diijabkabulkan di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, seminggu yang lalu, namun kemeriahan upacara persandingan dan resepsi yang gilang-gemilang bagi meraikan pasangan pengantin baru ini giat berlangsung.

Terdekat, Mawi dan Ekin akan disandingkan buat kali kedua di kampung kelahiran Mawi di Felda Taib Andak, Kulai, pada Ahad ini.

Mawi dan Ekin ketika di majlis sidang media Ambank group mempersembahkan Ambang 2009 KL. -foto The Star oleh AZMAN GHANI

Majlis perkahwinan tersebut berjaya mencuri perhatian peminat dan media massa di seluruh negara.

Pada 28 Disember ini, bakal berlangsung majlis resepsi pihak pengantin lelaki, yang akan diadakan di Padang Awam, Felda Taib Andak akan menampilkan tema adat orang Jawa.

Dijangka 15,000 peminat juara Akademi Fantasia musim ke-3 ini akan membanjiri upacara persandingan tersebut yang sememangnya dikahskan untuk peminat-peminat beliau.

Lebih istimewa, satu konsert khas yang dinamakan Gempak Rewang turut diadakan pada 27 Disember ini, bermula pada jam 8 malam.

Bintang-bintang Akademi Fantasia, dijangka membuat persembahan pada konsert tersebut dan Mawi juga dijadualkan akan turut serta membuat persembahan sebagai tanda terima kasihnya kepada peminat-peminat setia yang telah banyak memberi sokongan kepadanya serta menghiburkan orang kampung di felda tersebut.

Istimewa untuk peminat-peminat selebriti yang tidak dapat hadir pada majlis persandingan Mawi dan Ekin, usah risau, Astro akan menyiarkan liputan khas secara eksklusif perjalanan majlis perkahwinan penuh gemilang pasangan merpati dua sejoli ini.

Bagi majlis pernikahan yang dilangsungkan di Johor Bahru minggu lalu itu, ia akan diulang tayang sekali lagi pada 28 Disember ini dalam program Ijab Qabul di saluran Astro Prima (105) .

Pada hari yang sama, Astro akan menyiarkan rakaman liputan khas sempena majlis resepsi pasangan romantis ini di Johor Bahru minggu lalu dalam program Ekin & Mawi: Dua Hati Menjadi Satu.

Bagi majlis resepsi pihak lelaki, Astro sekali lagi diberi hak eksklusif untuk menyiarkan majlis resepsi pasangan Mawi dan Ekin dalam rancangan Mawi & Ekin: Raja Sehari.

Pada majlis resepsi pihak lelaki nanti, kedua mempelai akan menyarung busana rekaan Putra dari Cosry untuk Ekin sementara Mawi akan memakai baju rekaan Lord’s Tailor dengan tema adat orang Jawa.

Gelaran ‘Weeding of The Year’ memang layak diberikan kepada perkahwinan Mawi dan Ekin apabila pasangan ini akan diarak menggunakan helikopter dari Johor Bahru ke dewan tempat majlis persandingan di Felda Taib Andak.

Pasangan merpati dua sejoli ini akan diarak menaiki helikopter itu dari rumah Ekin di Johor Bahru ke Felda Taib Andak pada 28 Disember nanti. Bagi si pelantun lagu Aduh Saliha ini, biarpun agak gusar dengan penerimaan peminat namun dia akur kerana ia adalah hadiah perkahwinan daripada sahabatnya.

“Sebenarnya, ia bukan impian kami sebaliknya tajaan kawan baik sebagai hadiah perkahwinan kami. Bagaimanapun, dia meminta identitinya dirahsiakan," kata Mawi.

Pasangan merpati dua sejoli ini akan diarak menaiki helikopter itu dari rumah Ekin di Johor Bahru ke Felda Taib Andak pada 28 Disember nanti.

Pasangan ini akan disandingkan buat kali ketiga pada 11 Januari depan, di Palace of The Golden Horses Hotel dengan konsep Timur Tengah, ‘1001 Malam’.

Majlis resepsi istimewa tersebut diadakan dalam suasana tertutup dan cukup sederhana dihadiri keluarga terdekat, jemputan VVIP dan VIP.

Info perkahwinan Mawi-Ekin

20 Disember 2008 - Majlis akad nikah di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

20 Disember 2008 - Majlis resepsi keluarga Ekin di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru.

27 Disember 2008 – Konsert khas Mawi bersama rakan Akademi Fantasia di Padang Awam, Felda Taib Andak, Kota Tinggi, Johor, jam 8 malam.

28 Disember 2008 - Majlis resepsi keluarga Mawi di Padang Awam, Felda Taib Andak, jam 2 petang, diikuti persandingan di Dewan Serba Guna, Felda Taib Andak mulai jam 2.30 hingga 4.30 petang.

11 Januari 2009- Majlis resepsi istimewa jemputan VVIP dan VIP di Palace of the Golden Horses.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan liputan perkahwinan Mawi dan Ekin secara eksklusif di stesen berbayar Astro di saluran Astro Prima (105) dan Astro Ria (104) seperti berikut:-

‘Ijab dan Qabul’ Mawi& Ekin: Dari Mata Turun ke Hati – 28 Disember 2008, Ahad, 10:30 pagi, (ulang tayang program Astro Oasis, dokumentari sedutan khas majlis akad nikah di Masjis Sultan Abu Bakar).

Gempak Rewang – 28 Disember 2008, Ahad, 1:00 petang, Konsert khas Mawi bersama rakan Akademi Fantasia di Padang Awam, Felda Taib Andak, Kota Tinggi, Johor (rakaman mini konsert di Felda Taib Andak, Kulai, Johor.

Ekin & Mawi: Dua Hati Jadi Satu – 28 Disember 2008, Ahad, 2 petang (rakaman Majlis Persandingan Ekin & Mawi di Stadium Tertutup Johor Bahru).

Mawi & Ekin: Raja Sehari – 28 Disember 2008, Ahad, 3.00 petang (Liputan khas secara langsung majlis resepsi Mawi & Ekin di Felda Taib Andak Kulai, Johor)

Mawi dan Ekin: Sejoli – 11 Januari 2009, Ahad, 6.00 petang (dokumentari Istimewa persiapan & majlis perkahwinan Mawi & Ekin) di saluran Astro Ria (104).

Mawi & Ekin: 1001 Malam- 11 Januari 2009, Ahad, 7:30 malam, Majlis Resepsi Mawi dan Ekin di Kuala Lumpur. (siaran langsung dari Palace of The Golden Horses Hotel) di saluran Astro Ria (104).

Read More...

Wakil rakyat PKR dihalang masuk S'wak

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Dec 24, 08 7:17pm

Ahli parlimen PKR bagi Padang Serai, N Gobalakrishnan mendakwa beliau dihalang masuk ke Sarawak oleh kerajaan negeri sewaktu tiba di lapangan terbang antarabangsa Kuching petang ini.

Dalam insiden kira-kira jam 5.30 petang tadi, tambahnya, beliau diberikan sekeping notis larangan oleh pihak imigresen.

"Sebaik tiba di lapangan terbang, pegawai imigresen memberitahu saya yang saya tidak dibenarkan masuk atas arahan kerajaan negeri.

gobalakrishnan hindraf batu caves siege 121207 lead"Pegawai imigresen memberi sekeping notis yang tertulis 'Tuan bukan rakyat Sarawak, tidak berhak untuk masuk ke Sarawak tanpa permit atau pas Akta Imigresen 1959-1963'.

"Kini saya masih berada di bilik imigresen lapangan terbang berkenaan menunggu untuk dihantar (ke Kuala Lumpur) pulang jam 7.25 malam ini," katanya kepada Malaysiakini pada 6.30 petang tadi.

Gobalakrishnan berkata, walaupun beliau bertanyakan alasan mengapa tidak dibenarkan masuk, pegawai berkenaan memberitahu ia atas arahan kerajaan negeri.

Beliau percaya tindakan itu ada kaitan dengan tindakannya mempertahankan seorang ahli parlimen DAP bagi Kuching, Chong Chieng Jen di Dewan Rakyat yang mempersoalkan peranan sebuah syarikat milik kerajaan Sarawak.

Pada 16 Disember lalu, Gobalakrishnan turut serta dalam perbahasan wakil pembangkang itu yang menggesa Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud disiasat apabila Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diluluskan.

Chong mendakwa rakyat Sarawak mengetahui perkara tersebut tetapi Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak menyiasat dakwaan terhadap Abdul Taib dan ahli keluarganya.

Sewaktu dihubungi tadi, Gobalakrishnan berkata beliau mahu masuk ke Sarawak untuk menghadiri satu program PKR.

Berikutan itu, katanya, beliau akan membangkitkan perkara itu dalam sesi sidang Dewan Rakyat yang akan datang.

Bagaimanapun, tiada reaksi rasmi kerajaan Sarawak setakat ini berhubung insiden tersebut.

PKR telah meningkatkan kempennya di menjelang pilihanraya negeri - diura-urakan akan diadakan pada 2010.

Pemimpin utamanya Datuk seri Anwar Ibrahim mendakwa pembangkang semakin kuat untuk menumbangkan kerajaan BN pimpinan Abdul Taib.

Anwar juga telah meminta barisan pemimpin kanan parti itu termasyk ahli-ahli parlimennya setiap minggu melawat Sarawak untuk menemui rakyat negeri tersebut.

Read More...

Amaran pada Umno:Usah 'permain' Hudud, Qisas

Harakahdaily

Fri | Dec 26, 08 | 9:14:11 am MYT

KUALA TERENGGANU, 26 Dis (Hrkh) - Tindakan menentang Hudud dan Qisas bukan sahaja melibatkan akidah seseorang tetapi dilihat sebagai 'menderhaka' kepada Sultan Terengganu yang telah memperkenankan Enakmen Jenayah Syariah Hudud dan Qisas di negeri Terengganu ini.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu tidak teragak-agak untuk mengadap dan menghantar memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, sekiranya Umno-Barisan Nasional tidak menghentikan permainan politik murahan berkaitan isu hukum Hudud dan Qisas

Ketuanya, Fariz Musa berkata isu Hudud dan Qisas tersebut sengaja ditimbulkan oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dengan tujuan memerangkap Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa dan menimbulkan polimik khususnya di kalangan masyarakat bukan Islam ketika berdebat di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

"Tujuan Khairy tidak lain adalah untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina khusus di Parlimen Kuala Terengganu yang akan menghadapi Pilihan raya Kecil tidak lama lagi,"katanya yang dipetik dari laman web Buletin Online melalui wartawannya, SM Noor.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di pejabat Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Terengganu, Gong Kapas, semalam.

Beliau berkata isu Hudud dan Qisas tidak perlu dipolitikkan oleh Umno kerana ianya merupakan isu yang lapuk dan tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada para pengundi berketurunan Cina di Kuala Terengganu dan rakyat Terengganu amnya.

Katanya, ia adalah kerana masyarakat keturunan Cina khususnya dan rakyat Terengganu amnya tidak jahil, telah arif dan matang berkaitan Hudud dan Qisas kerana mereka telah diberikan pengetahuan dan penjelasan oleh Kerajaan Negeri Terengganu sewaktu PAS memerintah Negeri Terengganu.

"Kerajaan PAS Terengganu telah membawa Enakmen Kesalahan Jenayah Hudud dan Qisas Terengganu 2002 kedalam Dewan Undangan Negeri dan diluluskan sebulat suara. Enakmen tersebut juga telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2 September 2002 dan kemudiannya diwartakan pada 25 September 2002.

"Walaupun masih belum berkuatkuasa namun kerajaan Umno-BN yang merampas kembali pemerintahan dari PAS pada tahun 2004 tidak menolak dan meminda Enakmen tersebut, di mana dalam kerajaan Umno-Barisan Nasional itu termasuk seorang wakil bukan Islam iaitu dari MCA,"jelas Fariz.

Katanya wakil MCA tersebut sehingga hari ini tidak pernah menyuarakan apa-apa ketidakpuasan hati terhadap enakmen itu yang telah menjadi sebahagian daripada undang-undang bagi negeri Terengganu.

Sehubungan dengan itu beliau berkata, sebenarnya Umno sudah terdesak dan tidak mempunyai isu sehingga isu hudud dan qisas cuba dipolitikkan .

"Khairy sebenarnya yang masuk perangkap sendiri dan akan menjadi liabiliti kepada Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil P036 Kuala Terengganu.

"Beliau harus sedar bahawa Enakmen Hudud dan Qisas telah menjadi undang-undang yang diperkenan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin,"tegasnya.

Justeru katanya sebarang tindakan menentang atau mepelekehkan Hudud dan Qisas bukan sahaja membawa kepada menghina Islam dan implikasi aqidah, malah boleh dilihat sebagai 'menderhaka' kepada Sultan Terengganu yang telah memperkenankan Enakmen Jenayah Syariah Hudud dan Qisas di negeri Terengganu ini.

Beliau juga mendesak agar semua pihak menghentikan segera sebarang perbahasan isu politik murahan Hudud dan Qisas yang cuba dimainkan oleh Umno-Barisan Nasional.

"Semua pihak termasuk parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat harus lebih matang menghadapi karenah Umno yang sudah 'bankrup'dan mestilah mengambil pendekatan tidak melayan sebarang propaganda yang cuba dicetuskan oleh Umno-BN dan media arus perdana,"tambahnya.- azm/mks. _

Read More...

Perlu pinda perlembagaan jika hendak laksana hudud - Zahid Hamidi

Mstar Online

SHAH ALAM: Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda jika PAS mahukan melaksanakan hukum hudud di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

"Kalau hajat mereka begitu, saya doakan supaya hajat mereka itu tercapai tetapi hakikat politik tidak begitu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia dan Pelancaran Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa pada Sabtu lepas bahawa parti itu akan tetap melaksanakan hukum hudud di seluruh negara sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah pada masa depan.

Cadangan itu bagaimanapun hari ini mendapat bantahan daripada DAP, rakan parti itu dalam Pakatan Rakyat, yang berkata pelaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac lepas.

Di Alor Star, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kenyataan Husam itu adalah "satu cerita politik" sematamata kerana jika PAS benarbenar mahu melaksanakan, ia pasti sudah lama dikuatkuasa di Kelantan. BERNAMA

Read More...

Zahar sertai PAS, kempen di KT

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Dec 24, 08 10:48am

Bekas ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim - yang mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter - secara rasmi menyertai PAS hari ini.

Beliau telah menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang pagi ini.

Turut hadir pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

umno zahar join pas 241208 shake hand.jpgZahar (foto) digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Zahar berkata, seramai 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan juga akan mengikut jejak langkahnya menyertai PAS.

Zahar juga menyumbangkan pejabat Umno bahagian - dipercayai milik beliau sendiri - kepada PAS kawasan tersebut.

Pejabat itu, yang telah ditutup selama tiga minggu, akan dibuka semula besok dan kakitangan di situ akan turut bekerja bagi pihak parti barunya.

Zahar berkata beliau akan bersama jentera PAS untuk membantu kempen pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, yang berlangsung antara 6 sehingga 17 Januari ini.

Tambahnya, beliau akan mula berkampung di kawasan itu sepanjang kempen mulai 5 Januari, sehari sebelum penamaan calon.

Kapten tentera bersara juga menafikan tindakan penggantungan yang diambil oleh Majlis Tertinggi Umno pada 2 Disember lalu sebagai punca yang menyebabkan beliau melompat parti.

PAS lebih baik...

Sejak keputusan pilihanraya umum 8 Mac lepas yang menyaksikan ketewasan besar BN di beberapa negeri termasuk Selangor, kata Zahar lagi, beliau bersama para penyokongnya sering memikirkan untuk meninggalkan Umno.

umno zahar join pas 241208 hasan ali and nasharuddin.jpgDalam ucapannya, Zahar berkata, beliau tidak lagi menghormati pemimpin tertinggi Umno kerana keputusannya tidak mengambil kira kepentingan dan kehendak rakyat, khasnya orang Melayu.

Katanya, PAS dan Umno adalah sama tetapi PAS lebih baik dari Umno.

"Umno hari ini banyak berbeza dengan Umno yang saya sertai 26 tahun lalu," katanya.

Menurut Zahar lagi, tahun lalu beliau ditawarkan mengambil alih jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, untuk menggantikan Tan Sri Onn Ismail yang uzur, tetapi beliau menolaknya.

"Saya tiga kali berturut-turut ditawarkan bertanding dalam pilihanraya umum, saya juga menolaknya kerana perlu memberi peluang kepada pemimpin lain di peringkat bahagian," katanya.

Sementara itu Nasharuddin (foto, kanan) ketika berucap di majlis tersebut berkata, program pertama Zahar sebagai ahli PAS ialah menemui presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila dalam masa terdekat.

"Zahar sudah bersama kita sekarang sebagai jentera penggerak dan anggota parti untuk membela bangsa, agama dan negara.

Zahar ke KT

"PAS bergerak di Selangor kerana hendak melaksanakan perubahan untuk membela orang Melayu dan orang bukan Melayu," katanya.

Manakala Dr Hasan (foto, kiri) dalam ucapannya berkata, Zahar dan yang lain-lainnya menyertai PAS bukan untuk mendapat projek dan kekayaan.

Tetapi, katanya, mereka berbuat demikian untuk mendapatkan keredhaan Allah.

"Walaupun PAS kalah dalam pilihanraya, ahli PAS tetap bertambah. Kini sudah (mencecah) satu juta orang," katanya.

Dr Hasan juga berkata, Zahar akan turun ke Kuala Terengganu pada 5 Disember sehingga selepas pilihanraya kecil tersebut.

Read More...

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Mangkat

Bernama


Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ pada kira-kira pukul 11.45 pagi ini. Baginda berusia 86 tahun.

SEREMBAN, 27 Dis (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini pada kira-kira pukul 11.45 pagi ini. Baginda berusia 86 tahun.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norzam Mohd Nor yang membuat pengumuman itu di HTJ berkata Almarhum baginda berada dalam keadaan tidak sihat pagi ini selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.

"Baginda mengadu kurang sihat dan sakit kepala pada pukul 8.10 pagi dan pihak HTJ telah dihubungi dan dua Pakar Perunding Kanan HTJ, Datuk Dr Tarmizi Thayaparan dan Datuk Dr K. Sree Raman telah bergegas ke Istana Hinggap di Seremban untuk memberikan rawatan kepada Tuanku,'' kata beliau pada sidang akhbar khas mengumumkan kemangkatan baginda di Bilik VIP HTJ hari ini.

Turut hadir ialah anggota kerabat diraja Negeri Sembilan, Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zainal Arifin Omar.

Norzam berkata ketika dua pakar itu tiba di Istana Hinggap pada pukul 8.25 pagi, keadaan baginda terlalu lemah walaupun sedar dan selepas melihat keadaan itu, dua pakar berkenaan mengesyorkan supaya baginda di bawa ke HTJ untuk rawatan segera.

"Berdasarkan itu, baginda telah dibawa ke HTJ dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pelbagai usaha telah dilakukan oleh doktor pakar termasuklah memberi rawatan kecemasan.

"Saya ingin memaklumkan di sini bahawa Tuanku Ja'afar telah mangkat pada pukul 11.45 pagi di HTJ," katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa jenazah Almarhum baginda akan dibawa pulang ke Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah petang ini untuk majlis penghormatan terakhir serta menunggu kepulangan anakanda baginda yang masih berada di luar negara.

Katanya jenazah Almarhum baginda akan ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat Diraja, pemimpin dan orang ramai.

Istiadat pengebumian jenazah Almarhum baginda akan diadakan pada hari Isnin selepas solat asar.

Sehubungan itu, Norzam berkata tempoh berkabung berikutan kemangkatan baginda ialah selama 40 hari, bermula hari ini.

"Semua premis termasuk pejabat kerajaan dan bangunan hendaklah mengibarkan bendera negeri separuh tiang dalam tempoh tersebut. Dalam tempoh berkabung itu juga, semua kakitangan kerajaan dikehendaki memakai songkok berlilit putih manakala wanita memakai lilitan putih di lengan.

"Semua majlis rasmi kerajaan akan ditangguh dalam tempoh tujuh hari. Premis pusat hiburan dan aktiviti keraian juga hendaklah ditangguhkan selama tujuh hari bermula hari ini,'' katanya.

Katanya Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini bercuti di London telah dimaklumkan mengenai kemangkatan Tuanku Ja'afar pagi ini dan dijangka tiba di sini pada pukul 10 pagi esok.

-- BERNAMA

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |