Polis, Kementerian Penerangan juga mahu tindakan tegas
PETALING JAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Kementerian Dalam Negeri dan polis mengambil tindakan segera terhadap sebuah laman blog, yang dikesan penuh dengan penghinaan yang amat sangat terhadap Nabi Muhammad.
Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia akan menimbulkan masalah besar dalam negara ini.
"Saya sudah beritahu kepada pihak polis dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar supaya mengambil tindakan segera," kata beliau kepada pemberita selepas melawat Dusun Buah-Buahan Tropika D-Paradise dekat Alor Gajah, hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas laman blog tersebut yang turut menggunakan gambar dan lukisan kononnya milik seorang wanita Melayu.
Bagaimanapun dipercayai gambar dan nama wanita itu hanya diperalat pihak lain.
Abdullah berkata: "Saya baru saja, dalam ucapan Hari Krismas baru-baru ini, mengatakan kita perlulah bersikap toleran, perlu pastikan kehidupan rakyat Malaysia yang berlainan agama dan berlainan keturunan, kita mesti sentiasa waspada, sentiasa mengingati diri kita, jangan menimbulkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada keadaan yang tidak kita suka, ini pula hal berkaitan dengan agama".
"Ini berlaku pula begini, boleh jadi budak itu (penulis blog) tidak dengar apa yang saya cakap, perbuatannya ini akan menimbulkan banyak masalah yang tidak akan menyenangkan kita," kata Perdana Menteri.
Beliau mengingatkan jangan ada mana-mana pihak atau sesiapapun menghina agama dan kepercayaan rakyat Malaysia sama ada Islam, Buddha, Kristian ataupun Hindu memandangkan kesemuanya tinggal dalam sebuah negara.
"Kita bukan bermusuhan sesama kita, kita bukan bergaduh sesama kita.
"Sebenarnya kita semua rakyat Malaysia yang hendak negara kita ini aman, selamat dan makmur dan semuanya hidup dalam keadaan senang, sama-sama maju dan kita sama-sama berjaya dan negara kita sama-sama aman dan makmur," katanya.
Abdullah berkata, semua rakyat perlu sentiasa ingat supaya tidak sesekali melakukan perbuatan yang boleh menghina kepercayaan agama mana-mana kaum.
KOMEN MENTERI PENERANGAN
Dalam pada itu, wanita yang gambar serta identitinya digunakan dalam sebuah laman blog yang artikelnya menghina Nabi Muhammad, mendakwa laman blog tersebut bukan miliknya sebaliknya disalahgunakan pihak lain yang tidak diketahui motifnya.
Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata wanita berkenaan membuat pengakuan tersebut dalam pertemuannya dengan beliau dua minggu lepas dan meminta RTM menyiarkan tentang perkara tersebut untuk membersihkan namanya.
"Wanita itu yang berusia dalam lingkungan 20-an ada berjumpa dengan saya untuk meminta pertolongan bagi membersihkan nama serta identitinya yang digunakan dalam sebuah laman blog menghina Nabi Muhammad," katanya kepada pemberita di majlis perasmian Nur Sejahtera peringkat Parlimen Kemaman di Kemaman hari ini.
"Dia memohon bantuan RTM supaya menghebahkan perkara itu kerana laman blog yang turut mengandungi mesej serta ucapan Deepavali berbaur penghinaan terhadap penganut agama Hindu itu bukan dilakukan oleh dirinya dan telah menjejaskan nama baik dirinya serta syarikat tempat dia bekerja.
"Saya telah minta RTM muat cerita itu untuk mengingatkan orang ramai yang menerima kad ucapan dari laman blog itu supaya berhatihati dan membuat laporan polis," katanya.
Ahmad Shabery berkata, wanita yang bertugas sebagai akauntan di sebuah syarikat pemotoran besar di Lembah Klang sendiri mengakui beliau keliru dengan motif pihak tidak bertanggungjawab itu selain tertanya-tanya kenapa identitinya dijadikan mangsa.
"Dia mengesan kehadiran laman blog yang menggunakan nama serta identitinya itu beberapa bulan lepas dan telah pun membuat laporan polis serta Suruhanjaya Multimedia untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab," katanya.
Sehubungan itu, menteri berkenaan meminta pihak terbabit menyiasat segera laman blog berkenaan untuk membersihkan nama wanita terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Bagaimanapun beliau difahamkan laman blog terbabit mempunyai pelayar yang berpangkalan di luar negara dan menyukarkan Suruhanjaya Multimedia untuk mengesan pihak terbabit.
Katanya, beliau yakin laman blog itu sengaja diadakanadakan oleh pihak yang mempunyai niat buruk terhadap wanita berkenaan serta majikannya.
Beliau berkata wanita itu kini berada dalam keadaan tekanan mental dan fizikal ekoran kejadian tersebut.
Ahmad Shabery yakin wanita tersebut tidak bersalah kerana jika benar beliau mempunyai tanggapan negatif terhadap agama Islam, tidak mungkin masa yang sama laman blog terbabit turut mempunyai ucapan berbaur penghinaan terhadap agama lain.
ULASAN POLIS
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini berkata, polis akan menyiasat perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang menyiarkan artikel menghina Nabi Muhammad itu.
Beliau berkata, perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan marah dan tersinggung khususnya kepada umat Islam dan orang Melayu serta mengundang konflik perasaan, agama dan bangsa.
Sebuah akhbar tempatan hari ini mendakwa terdapat sebuah laman blog, yang kononya milik seorang wanita Melayu, yang dikesan melemparkan penghinaan terhadap Rasulullah dan menggunakan gambar dan lukisan.
Ketika dihubungi Bernama di sini, katanya dari sudut perundangan, ia dianggap satu kesalahan di bawah Akta Hasutan dan polis akan segera menyiasat pemilik serta penulis blog berkenaan. BERNAMA
0 comments:
Post a Comment