+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, March 4, 2009

Tengku Razaleigh: Panggil pilihan raya selesaikan krisis politik Perak

Mstar Online

BN perlu kembali kepada rakyat tunjuk keyakinan

DUN BAWAH POKOK... Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri, yang dipanggil Speaker N. Sivakumar, dengan dihadiri kesemua ADUN Pakatan Rakyat diadakan di bawah pokok selepas dilarang memasuki bangunan SUK di Ipoh semalam. Ia merupakan detik baru krisis politik Perak yang bermula 25 Januari lalu. Krisis baru ini tercetus ketika hampir genap setahun selepas pilihan raya umum ke-12 diadakan 8 Mac 2008.

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Sambil menyifatkan krisis politik Perak semakin kelam, bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menegaskan, segala tindak-tanduk bercanggah dengan Perlembagaan demi kepentingan politik peribadi perlu dihentikan.

Justeru beliau turut menggesa agar kuasa dikembalikan kepada rakyat untuk membuat pilihan baru mereka bagi menyelesaikan krisis berusia lebih sebulan itu.

Bekas Menteri Kewangan itu menambah, "mereka yang secara acuh tak acuh mengingkari Perlembagaan bagi manfaat politik secara langsung memusnahkan lagi asas-asas negara ini bagi kepentingan politik mereka."

"Ini perlu dihentikan," kata beliau, yang telah beberapa kali mempersoalkan isu itu sebelum ini, dalam tulisan terbaru blognya.

"Situasi politik di Perak menjadi semakin kelam dari sehari ke sehari, dengan ego dan reputasi sudah berakar berumbi dalam kedudukan-kedudukan yang tidak harapan," kata beliau.

"Terdapat cara yang mudah dan terhormat untuk meredakan situasi (ini) buat selama-lamanya: kembali kepada satu-satunya sumber kerajaan yang sahih, kehendak orang ramai yang diluahkan menerusi pilihan raya yang bersih dan adil.

"Barisan (Nasional) kemungkinan ingin memperlihatkan sedikit kemurahan hati dan keyakinan dengan memanggil pilihan raya (baru)," katanya.

Pandangan yang sama diutarakan oleh Majlis Peguam lewat petang semalam.


Notis perintah larang diadakan DUN tidak sah diserah Speaker

Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan mengesyorkan agar diadakan pilihan raya baru untuk keluar daripada krisis politik Perak termasuk beberapa insiden membabitkan soal perundangan dan kehakiman semalam.

"Tidak ragu-ragu bahawa akan ada lagi kes (baru) yang difailkan di mahkamah. Dan, publik terpaksa melalui kesan ketidaktentuan (politik semasa).

"Situasi ini sukar dipertahankan dan memerlukan satu perkara yang akan menyelesaikan secara konklusif - pilihan raya baru.

"Kini ada pintu peluang bagi keadaan ini berlaku. Biarkan orang ramai memutuskannya," kata Ambiga.

Krisis politik tercetus apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Halim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), komponen Pakatan Rakyat tetapi kembali ke Barisan Nasional (BN) beberapa hari kemudian.

Ia disusuli keputusan tiga ADUN Pakatan Rakyat yang mengumumkan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Perkembangan itu membawa kepada kedudukan ADUN di Dewan Undangan Negeri Perak yang seimbang - 28 bagi Pakatan Rakyat dan BN manakala wakil Bebas - Behrang, Changkat Jering dan Jelapang - menyatakan sokongan kepada BN.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melantik ADUN BN, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang masih mempertahankan beliaulah Menteri Besar yang sah.

Ia membawa kepada beberapa kes difailkan di mahkamah dan tindakan Speaker memanggil sidang tergempar DUN, yang diadakan di bawah pokok selepas ADUN Pakatan Rakyat dilarang memasuki bangunan SUK semalam.

Dalam tulisannya, Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang memberitahu, langkah BN mengambil alih Perak telah mencetuskan rantaian reaksi mengenai soal ketidaksahihan yang menyebabkan kemungkinan Perak berakhir dengan ketiadan sahih.

"Salah satu negeri yang paling maju menjadi sebuah negara yang gagal," katanya.

"Satu pembohongan membawa kepada banyak pembohongan. Setiap tindakan buruk menuju ke arah kemusnahan khususnya pembohongan atau pelanggaran yang berkaitan dengan sesuatu yang paling asas.

"Ini adalah prinsip yang kita ajar kepada kanak-kanak. Ia adalah mudah tetapi kebenaran univeral yang dipertunjukkan di Perak sekarang," katanya.


URUTAN DETIK KRISIS POLITIK DI PERAK

GALERI GAMBAR KRISIS POLITIK DI PERAK

Anwar pertahan sidang DUN Perak bahawa pokok

Sidang tergempar DUN Perak bawah pokok tidak bertamadun - pemimpin Umno

Read More...

Istana setuju terima memo anti-PPSMI

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Mar 4, 09 3:48pm

Istana Negara memberikan reaksi positif bagi menerima memorandum membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu ini.

Persetujuan istana itu dianggap "kemenangan pertama" aktivis bahasa dan sastera dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang menganjurkan perhimpunan besar ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

anti english language in math and science ppsmi gmp parliament march 170209 04Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad berkata istana tidak melarang majlis penyerahan memorandum tersebut.

Beliau dimaklumkan Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak berada di istana pada masa yang dijadualkan dan memorandum tersebut akan diserahkan kepada seorang pegawai bagi pihak baginda.

Dr Hassan menambah, satu salinan memorandum tersebut telah disampaikan kepada istana melalui setiausaha sulit kanan Yang di-Pertuan Agong semalam.

Memorandum lapan halaman itu diserahkan awal, tambahnya, sebagai makluman kehadiran mereka di istana, petang 7 Mac ini.

GMP merancang berhimpun di tiga tempat di ibu negara – kompleks membeli-belah Sogo, Pasar Seni dan Masjid Negara – sebelum berarak beramai-ramai ke Istana Negara pada jam 2 petang.

Mereka merancang berarak dalam pakaian putih sebagai lambang pembersihan PPSMI, tanpa sebarang logo, bendera dan simbol parti-parti politik walaupun GMP turut disertai PAS dan PKR.

gmp protest 310108 photo sessionSelain Dr Hassan, Sasterawan Negara A Samad Said dan pemimpin pembangkang termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadual hadir.

Menjelang perhimpunan besar itu, GMP akan menghabiskan empat programnya di seluruh negara sebelum ceramah akhir di Markaz Tarbiah PAS di Taman Melewar, Gombak pada Jumaat ini.

Malam ini, satu forum isu PPSMI akan berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Selain Dr Hassan, ketua Pemuda PAS Salahuddib Ayub dan ahli parlimen BN Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman turut membahaskan isu ini.

Ditanya tindakan lanjut GMP jika kerajaan tetap enggan melayan tuntutan mereka, Dr Hassan berkata gabungan itu akan terus memperjuangkan pemansuhan dasar kontroversi itu sehingga berjaya.

"Tidak ada tempoh tamat. Kita akan terus berjuang sehingga kembali kepada dasar asal (sebelum diperkenalkan PPSMI pada 2003)," katanya.

Sementara itu, Setiausaha GMP Hasni Abas berkata 1,000 anggota Unit Amal PAS dikerahkan bagi mengawal keadaan dan lalulintas supaya perhimpunan itu terkawal dan aman.

Pada mulanya, kata Hasni, GMP telah menghantar permohonan untuk mendapatkan permit berhimpun ke ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, katanya, mereka dinasihatkan supaya mengemukakan permohonan itu kepada di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Pada 17 Februari lalu, seramai 20 aktivis bahasa dan sastera GMP berarak ke Parlimen dari Tugu Negara bagi menyerahkan memorandum membantah PPSMI kepada ahli-ahli parlimen, termasuk Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Manakala pada 31 Januari pula, tokoh-tokoh utama GMP buat pertama kali turun ke jalanraya sempena pelancaran kempennya di pusat membeli-belah Sogo.

Mereka juga menabur 50,000 risalah mengenai kempen menentang dasar itu ketika pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lepas.

Read More...

Ringgit bakal cecah RM4 sedolar?

Utusan Online

KUALA LUMPUR 3 Mac - Nilai mata wang Ringgit dijangka terus jatuh sehingga paras RM4.00 bagi sedolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua atau ketiga pada tahun ini berikutan mata wang asing itu kini menjadi rebutan pelabur di seluruh dunia.

Keadaan itu berlaku kerana pelabur-pelabur sejagat semakin meyakini dengan program-program pelan rangsangan ekonomi yang dilaksanakan oleh AS.

Penganalisis Teknikal Pasaran Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Nazri Khan, bagaimanapun berkata, kejatuhan nilai ringgit itu adalah bersifat sementara kerana krisis kewangan global semakin menghampiri penghujungnya.

''Walaupun begitu, pasaran masih lagi tidak menentu dan menyebabkan pelabur mula panik dan berlakunya gelombang jualan.

''Keadaan ini mengakibatkan berlaku peralihan kepada dolar AS, sekali gus menyebabkan permintaan terhadap mata wang tersebut meningkat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aliran kemerosotan nilai mata wang tempatan sejak semalam.

Pada hari ini, mata wang ringgit diniagakan pada 3.7075 berbanding AS$1 berbanding semalam 3.7260, paras terendah sejak tiga tahun lalu.

Tambah Nazri, ringgit nampaknya berada dalam arah aliran menurun ke arah RM3.80 berbanding dolar AS, tahap tambatan yang dikenakan pada 1 September 1998.

Malaysia pernah melaksanakan tambatan ringgit pada RM3.80 kepada dolar AS pada September 1998 bagi mengawalnya daripada tindakan spekulator mata wang semasa krisis kewangan Asia 1997/98, sekali gus melindungi ekonomi negara.

Sebelum krisis yang bermula dengan serangan ke atas baht Thai pada Julai 1997, ringgit diniagakan pada paras yang tinggi iaitu RM2.42, namun turun mendadak berbanding dolar susulan spekulasi berlebihan.

Ringgit pada satu ketika pada 1998 pernah jatuh RM5.20, menyebabkan kerajaan mengenakan kawalan modal dan menambat ringgit yang dimansuhkan kemudiannya pada 21 Julai 2005.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan ASM Investment Services Bhd., Rusli Abu Yamin tidak menafikan semua negara kini mula beralih kepada dolar AS kerana kedudukannya yang semakin stabil.

Menurut beliau, dalam situasi semasa, ia agak sukar untuk menyaksikan ringgit berada di sekitar 3.400.

Bagaimanapun, katanya, penurunan mata wang tempatan itu tidak perlu dibimbangi kerana ia bukan disebabkan spekulator, sebaliknya lebih kepada faktor dasaran.

''Oleh itu, meskipun ringgit jatuh tetapi ia tidak perlu ditambat.

''Lagipun, tidak ada sesiapa yang mahu menyerang mata wang kita, jadi tidak ada isu supaya ringgit ditambat,'' ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Profesor Dr. Mahani Zainal Abidin berkata, walaupun ringgit lemah berbanding dolar AS, tetapi mata wang tempatan tidak perlu ditambat.

''Mata wang kita masih berada di bawah nilai,'' katanya.

Read More...

'Seret ke mahkamah, saya dedah Najib'


Malaysiakini

Mar 4, 09 11:56am

Seorang pemimpin PKR mencabar polis menyeretnya ke mahkamah agar dapat mendedahkan butiran dakwaan percubaan Datuk Seri Najib Razak merasuah wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk melompat parti bagi menjatuhkan kerajaan Perak.

"Saya bersedia untuk ke mahkamah di mana saya akan berpeluang mendedahkan semua bukti yang saya ada termasuk rakaman tentang perbualan dan perbincangan saya tentang isu membeli Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan yang diusahakan oleh Najib," kata ketua bahagian PKR Ipoh Barat, Fauzi Muda.

"Saya mendesak polis agar segera mendakwa saya di mahkamah adalah kerana saya tahu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis pasti tidak akan mendakwa Datuk Seri Najib di mahkamah terhadap apa yang telah saya laporkan.

fauzi lodge macc report in ipoh 040309"Jadi jika mereka mendakwa saya, itulah saja jalan yang terbaik untuk saya berdepan dengan Najib di mahkamah dan mendedahkan segala bukti-bukti yang ada pada saya terhadap rasuah dan pembelian Adun yang melompat parti dan menyokong BN."

Dalam satu kenyataannya hari ini, beliau juga mendakwa SPRM tidak berminat menyiasat aduannya atau mengambil tindakan terhadap timbalan perdana menteri.

Sebaliknya polis seolah-olah diarah untuk bertindak terhadapnya berhubung akuan berkanun yang mengandungi butiran dakwaan tersebut, kata Fauzi lagi.

"Saya telah dipanggil oleh pihak C Team Ipoh pada 10 Februari 2009 untuk diambil keterangan.

"Tetapi selepas itu saya berkali-kali dihubungi oleh pihak polis untuk datang memberi keterangan tambahan kepada mereka," katanya.

Tambahnya, kelmarin beliau diminta ke Cawangan Jenayah Berat polis Ipoh untuk diambil keterangan berhubung akuan itu.

Dalam akuannya bertarikh 2 Februari lalu, Fauzi mendakwa Najib menawarkan sejumlah besar wang untuk memujuknya melobi dua wakil rakyat Pakatan Rakyat di Perak supaya melompat parti.

Pertemuan itu diadakan di kediaman rasmi timbalan perdana menteri di Putrajaya beberapa hari selepas pilihanraya umum 8 Mac tahun lepas.

Fauzi mendakwa, beliau ditawar RM50 juta bagi perkhidmatannya itu dan untuk membayar mereka yang berjaya dipujuk melompat parti. Bagaimanapun, katanya, beliau tidak membuat apa-apa tindakan untuk memenuhi hasrat Najib itu.

Sehubungan itu, Fauzi mempertikaikan motif dan tujuan polis menyiasatnya dalam kes tersebut sedangkan akuan berkanun yang dibuatnya itu untuk tindakan SPRM.

Katanya, beliau amat kecewa kerana polis bertindak di luar bidang siasatan kerana pihak Najib sendiri tidak membuat laporan terhadapnya.

"Sehubungan dengan ini, saya ingin menegaskan dan mendesak pihak polis yang cukup serius menyiasat akuan bersumpah saya itu, agar segera mendakwa saya di mahkamah," tambahnya.

zainal abidin zin pc 030209 02Bekas timbalan menteri pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin mengesahkan memang ada pertemuan antara Najib dengan Fauzi pada 11 Mac tahun lalu seperti didakwa.

Beliau - yang turut dinamakan dalam akuan berkanun Fauzi - bagaimanapun tidak mengetahui butiran perbincangan antara pemimpin PKR itu dengan timbalan presiden Umno.

Menurut Zainal lagi, perbincangan itu diadakan di tempat terbuka di kediaman rasmi Najib - waktu itu menteri pertahanan - tetapi tidak mendengar perbualan Fauzi itu kerana terdapat ramai orang di situ.

Zainal juga mengakui beliau menaiki kereta yang sama dengan Fauzi dan seorang rakannya Sulaiman Mansor, yang juga seorangan rakan Fauzi.

Bagaimanapun, tegasnya, beliau tidak mengenali Fauzi dan tidak mengetahui yang Fauzi seorang pemimpin PKR.

Read More...

Pilihan raya kecil DUN Batang Ai serentak 7 April

Mstar Online

SERENTAKTAN SRI Abdul Aziz Mohd. Yusof menunjukkan tarikh yang ditetapkan untuk mengadakan pilihan raya kecil Batang Ai iaitu 7 April ini. - foto The Star oleh RAPAEE KAWI

[DIKEMAS KINI, 3.15 PETANG] PETALING JAYA: Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai di Sarawak akan diadakan 7 April ini - serentak dengan pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang ditetapkan bulan lalu.

Hari penamaan calon bagi kerusi DUN Batang Ai juga akan diadakan serentak pada 29 Mac.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh yang sama dengan mengambil kira aspek bahawa ia berupaya untuk mengadakan ketiga-tiga pilihan raya serentak.

Selain itu, keputusan tersebut juga mengambil kira soal keselamatan dan ketenteraman awam serta perkembangan politik negara semasa.

"Kita mengambil kira banyak aspek... soal keupayaan kami mengendalikan pilihan raya kecil Batang Ai.

"Kita juga bimbang jika pilihan raya kecil ini diadakan terlalu lama, akan menyebabkan tempoh kempen yang lama dengan mengambil kira pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

"Malah, berdasarkan perbincangan, SPR mendapati Pejabat Pilihan Raya Negeri berupaya untuk mengendalikannya dalam waktu terdekat, jadi kami memutuskan untuk mengadakannya serentak pada 7 April ini," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online.

Dengan keputusan itu, ketiga-tiga pilihan raya kecil iaitu kerusi Parlimen Bukit Gantang dan dua DUN - Bukit Selambau dan Batang Ai akan diadakan pada hari yang sama.

Batang Ai terletak di Sarawak manakala Bukit Gantang di Perak dan Bukit Selambau di Kedah.

Kerusi Batang Ai terdiri daripada 8,006 pemilih termasuk 43 orang adalah adalah pengundi pos iaitu anggota polis, kata Wan Ahmad.

Ia terdiri daripada 24 daerah mengundi termasuk sembilan daripadannya akan dibuka antara dua jam dan enam jam untuk proses pengundian.

"Sembilan daerah mengundi ini akan ditutup secara berperingkat-peringkat selepas dua jam dibuka kerana bilangan pengundi tidak ramai.

"Bagaimanapun proses pengiraan hanya akan bermula selepas 5 petang, pengiraan membabitkan sembilan daerah ini akan dikira di pusat pengiraan berkelempok," katanya.

Terdahulu Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengumumkan hasil mesyuarat badan itu di Kuching tengah hari tadi.

Pada 13 Februari lalu, SPR memutuskan untuk mengadakan kedua-dua pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada 7 April.

Pada 24 Februari lalu, kerusi Batang Ai kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dublin Unting Ingkot daripada Barisan Nasional (BN).

Unting, yang merupakan Menteri Muda Pertanian dan Menteri Muda Sukan Sarawak, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pakar Normah akibat serangan angin ahmar yang dialaminya pada 22 Mei lalu.

Pada pilihan raya negeri Mei 2006, beliau menewaskan Nicholas Bawin Anggat dari Parti Kebangsaan Sarawak dengan majoriti 806 undi.

BERITA TERDAHULU

SPR bermesyuarat, pilihan raya kecil Batang Ai hujung April?

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat pagi ini bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Batang Ai, Sarawak.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya akan meneliti pelbagai aspek dalam menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian.

"Kami sudah bincang dengan pegawai-pegawai kami di sini akan menghalusi pelbagai aspek dalam menentukan tarikh pilihan raya," kata beliau ketika dihubungi pagi tadi.

Mesyuarat ini bermula 9:30 pagi dan keputusan dijangka diumum Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sekitar pukul 11 pagi.

Wan Ahmad berkata pilihan raya kecil Batang Ai tetap diadakan tetapi akan mengambil kira persekitaran suasana politik dan ekonomi semasa.

Pada 24 Februari lalu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Batang Ai kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dublin Unting Ingkot daripada Barisan Nasional (BN).

Unting, yang merupakan Menteri Muda Pertanian dan Menteri Muda Sukan Sarawak, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pakar Normah, pada pukul 1.25 pagi Selasa lalu akibat serangan angin ahmar yang dialaminya pada 22 Mei lepas.

Pada pilihan raya negeri Mei 2006, beliau menewaskan Nicholas Bawin Anggat dari Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dengan majoriti 806 undi.

Read More...

Sah walau di atas pokok, tak boleh dicabar - Penganalisis politik

KLpos

04 Mar 2009 9:35AM

KL: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam tetap sah walaupun diadakan atas pokok, kata pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff.

"Jika di atas pokok pun ia sah", Bernama memetik pandangan beliau ketika ditanya mengenai kesahihan "persidangan tergempar" itu yang diadakan di bawah pokok di luar bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak, di Ipoh pagi semalam.

Persidangan itu, yang dipanggil oleh Speaker DUN Perak V. Sivakumar, berlangsung selama kira-kira 30 minit bermula 10.20 pagi, dihadiri semua 27 ADUN PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mohammad Agus, yang juga seorang penganalisis poltik berpandangan bahawa tiga usul yang diluluskan itu juga sah dan tidak boleh dicabar di dalam mahkamah.

Usul-usul itu ialah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar; membubarkan Dewan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan; dan mengesahkan keputusan Speaker Sivakumar melarang Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

"Sebelum ini Dewan Undangan Negeri Perak hanya ditangguhkan dan tidak dihentikan. Jika ditangguhkan, maka Speaker mempunyai kuasa untuk mengadakan persidangan tergempar itu tanpa mendapat perkenan Sultan," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreenevasan berkata perkara yang berlaku di Perak di luar dugaan dan membabitkan isu perundangan yang kompleks.

Sungguhpun ia tidak munasabah untuk satu pandangan konklusif mereka, sesetengah perkara itu hendaklah ditangani sebagai satu perkara prinsip, katanya dalam kenyataan.

Beliau menanyakan sama ada dibenarkan untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan di luar Bangunan Sekretariat Negeri.

"Tentulah, Bangunan Sekretariat Negeri di mana Dewan Undangan Negeri patut diadakan.

"Bagaimanapun, Speaker dan Adun Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilarang daripada mengadakannya di satu tempat yang sesuai oleh polis dan ini membangkitkan isu serius mengenai kesahihan tindakan polis.

"Dengan itu Speaker tersebut tidak ada pilihan tetapi untuk bertindak dalam apa yang dilihat sebagai kuasa yang luas untuk mengadakan persidangan ini di tempat lain," kata beliau.

Beliau berkata ada pandangan berbeza, tetapi keadaan itu di luar dugaan dan Aturan Mesyuarat mungkin tidak meliputi sepenuhnya seperti keadaan yang tidak diingini, menyerahkan kepada Speaker dengan kuasa untuk bertindak mengikut keadaan kes itu.

Sreenevasan berkata keadaan itu tidak boleh dipertahankan daripada kritikan dan hanya mendesak untuk satu perkara iaitu pilihan raya negeri.

"Kini ada harapan untuk ini berlaku. Biarlah rakyat menentukan," tambah beliau. / Bernama, Harakah

Read More...

Sidang Dun Perak Sah!

Suara Keadilan

Kenyataan Beberapa individu berpengaruh menyifatkan Sidang Dun Perak Sah walau diluar Dewan

SIDANG Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak semalam yang diadakan di bawah pokok selepas Anggota Dun tidak dibenarkan masuk adalah Sah, menurut kenyataan beberapa ahli politik, pemimpin bukan kerajaan dan intelektual.

Persidangan Sah, kata Anwar dan Kamarudin

Dalam satu kenyataan kepada media, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata Speaker Dun, V. Sivakumar mempunyai kuasa untuk mengadakan persidangan Dun.

“Pada pandangan saya speaker dilantik secara sah, beliau mempunyai kuasa untuk mengadakan persidangan… bagi kita ia adalah persidangan yang sah kerana ada notis yang sah, ada agenda… mereka dihalang daripada memasuki Dewan Undangan Negeri,” katanya yang dilaporkan media.

Tambahnya lagi, persidangan berkenaan itu sah kerana anggota tidak dibenarkan serta dihalang untuk memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri.

Setiausaha Agung Pas, Kamarudin Jaffar menegaskan Sivakumar mempunyai peruntukan kuasa besar berdasarkan kedudukan Dun dalam sistem perundangan negara.

Untuk itu, katanya, keputusan memanggil sidang Dun Tergempar pada 3 Mac lalu adalah sah dari segi kuasa Speaker yang diperuntukan dalam perlembagaan.

“Sejak merdeka sistem demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan adalah tunjang kepada pemerintahan, yang mana Dun atau Parlimen mempunyai kedudukan, sementara raja mempunyai peranannya, kata beliau.

Majlis Peguam desak Pilihanraya diadakan semula

Presiden Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan dalam kenyataan berkata pilihanraya tergempar adalah jalan terbaik untuk menangani krisis negeri ini.

Menurutnya, Majlis Peguam mengesyorkan agar diadakan pilihan raya baru untuk keluar daripada krisis politik Perak yang berlarutan lebih sebulan termasuk beberapa insiden membabitkan soal perundangan dan kehakiman semalam.

“Tidak ragu-ragu bahawa akan ada lagi kes (baru) yang difailkan di mahkamah. Dan, publik terpaksa melalui kesan ketidaktentuan (politik semasa).

“Situasi ini sukar dipertahankan dan memerlukan satu perkara yang akan menyelesaikan secara konklusif - pilihan raya baru.

“Kini ada pintu peluang bagi keadaan ini berlaku. Biarkan orang ramai memutuskannya,” katanya dalam satu kenyataan

Speaker ada kuasa adakan sidang tergempar -Pengalisis politik

Selain itu, penganalisis politik Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata berpandangan bahawa tiga usul yang diluluskan itu juga sah dan tidak boleh dicabar di dalam mahkamah.

Usul-usul itu ialah menyatakan sokongan kepadaMohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar; membubarkan Dewan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan; dan mengesahkan keputusan Speaker Sivakumar melarang Menteri Besar kerajaan Barisan Nasional Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

“Sebelum ini Dewan Undangan Negeri Perak hanya ditangguhkan dan tidak dihentikan. Jika ditangguhkan, maka Speaker mempunyai kuasa untuk mengadakan persidangan tergempar itu tanpa mendapat perkenan Sultan,” menurutnya seperti dilaporkan media.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |