+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, June 19, 2008

Sayur semakin mahal - Cuaca, kos minyak punca harga sayur Cameron Highlands naik


PENIAGA, Mohd. Radzuan Abdul Malik menunggu pelanggan di Pasar Besar, Kuantan semalam yang menyaksikan kenaikan mendadak harga sayur dari Cameron Highlands.


KUALA LUMPUR - Harga sayur dari Cameron Highlands dikesan naik di beberapa negeri sejak seminggu lalu berikutan cuaca yang tidak menentu serta kos pengangkutan akibat kenaikan harga minyak.

Antara pasaran yang terjejas ialah George Town, Seberang Prai, Kuantan, Johor Bahru dan Alor Star manakala harga masih stabil di Kuala Lumpur.

Di Pulau Pinang, harga sayur khususnya di Seberang Perai naik sehingga 50 peratus, menyebabkan peniaga seperti Abdul Majeed Jamaludin bimbang kehilangan ramai pelanggan.

"Sayur yang naik paling tinggi ialah lada merah, tomato, kacang buncis, kobis dan sawi,'' katanya dengan menambah, peniaga sepertinya dipersalahkan oleh pelanggan atas dakwaan sengaja menjual mahal.

Katanya, apa yang berlaku ialah pemborong sudah meletakkan harga yang tinggi dan mereka tidak ada pilihan selain turut menaikkan harga.

Menurutnya, bagi cili merah, dia menjual RM12 sekilogram (kg) berbanding RM8 pada minggu lalu manakala kacang buncis pula RM6 per kg berbanding RM3.50.

Seorang lagi peniaga, Mohd. Sabri Md. Nasir memberitahu, bagi mengatasi masalah itu, peniaga terpaksa mengurangkan stok dari Cameron Highlands dan menambah bekalan dari pekebun setempat.

Di Kuantan, harga tomato melambung kira-kira 80 peratus kepada RM5.50 sekilogram, juga dikatakan berpunca daripada peningkatan kos pengangkutan.

Malah, para peniaga di Pasar Besar Kuantan memberitahu, harga sayur-sayuran lain juga sudah menunjukkan tanda-tanda kenaikan.



Read More...

Sultan Johor mahu ikhtiar dapat semula Pulau Batu Puteh

Malaysiakini

Jun 19, 08 2:37pm

Sultan Johor Sultan Iskandar bertitah baginda akan berikhtiar mencari jalan bagi mendapatkan semula hak kedaulatan Pulau Batu Puteh yang kini dimiliki Singapura.

Ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Johor Bahru hari ini, baginda bertitah bahawa pulau berkenaan bukan milik republik itu sebaliknya hak milik kerajaan Johor.

pulau batu putih pulau batu puteh 230508"Suka beta ingatkan bahawa beta tidak lupa pada Pulau Batu Puteh. Pulau Batu Puteh bukan hak Singapura tetapi hak milik Johor. Sampai bila pun beta akan cari ikhtiar untuk mendapatkan semula pulau milik Johor itu," titah baginda.

Hadir sama berangkat ke istiadat pembukaan itu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dan Raja Muda Johor Tunku Ismail Ibrahim, demikian menurut laporan Bernama.

Sultan Iskandar juga mengingatkan rakyat supaya hidup secara muafakat bagi menjamin keberkatan dalam hidup.

Baginda turut melahirkan keyakinan bahawa kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman akan terus maju.

MB enggan ulas

"Beta bersyukur kerana kita dapat terus berada dalam keadaan selamat, aman dan damai. Tahniah kepada kerajaan di bawah pimpinan Datuk Abdul Ghani Othman yang terus mendapat amanah rakyat.

"Oleh itu, kita mesti mengelakkan unsur perkauman dan agama, berpegang teguh kepada Rukun Negara serta Raja Berpelembagaan. Ahli Dewan Undangan Negeri pula hendaklah menjalankan tugas dengan ikhlas, jujur dan memahami hasrat rakyat," titah baginda.

Abdul Ghani, yang ditemui pemberita selepas istiadat itu, enggan mengulas lanjut mengenai titah Sultan Johor berhubung Pulau Batu Puteh itu.

"Tuanku bertitah bahawa Pulau Batu Puteh kedaulatannya telah diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Saya tidak mahu komen lanjut. Kita dengar apa yang telah dititahkan," katanya.

Pada 23 Mei lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague, Belanda, dalam penghakimannya yang menamatkan pertikaian antara Malaysia dan Singapura, memberikan kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura dan Terumbu Karang Tengah kepada Malaysia.

Kedaulatan Terumbu Karang Selatin pula menjadi milik negara di perairan di mana ia terletak.

Read More...

Speaker tiada kuasa sekat undi tak percaya

Harakahdaily

Tarmizi Mohd Jam

Thu | Jun 19, 08 | 3:54:35 pm MYT

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Hrkh) - Speaker Dewan Rakyat sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menyekat usul undi tidak percaya yang dikemukakan di Parlimen.

Perkara ini ditegaskan oleh Profesor Dr Abdul Aziz Bari, pakar Perlembagaan ketika dihubungi ekoran pendapat yang menyatakan bahawa Speaker mempunyai kuasa untuk menolak usul tersebut selain beberapa sebab teknikal yang lain.

Sebelum itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, melahirkan rasa ragu beliau meskipun ahli parlimen veteran itu berpendapat, tindakan SAPP semalam mempunyai implikasi politik yang penting.

Aziz, pensyarah UIAM menjelaskan kedudukan kerajaan di bawah sistem demokrasi berparlimen ditentukan oleh sokongan majoriti dan apabila timbul persoalan mengenainya maka dewan perlu diberi peluang untuk mempastikan soal itu.

Soal-soal teknikal perlu dikesampingkan kerana ini adalah soal yang melibatkan sama ada kerajaan yang ada boleh kekal atau meletakkan jawatan. Aziz memberi beberapa hujah untuk menyokong pendapatnya itu.

Yang pertama hujahnya, ialah soal sokongan majoriti itu penting sebagaimana yang disebut oleh Perlembagaan dalam beberapa peruntukan bermula dengan Perkara 43(2)(a). Ini diikuti oleh Perkara 43(4) yang mewajibkan Perdana Menteri meletakkan jawatan sekiranya beliau kehilangan sokongan majoriti.

Yang kedua ialah bahawa kuasa Speaker adalah berdasarkan peraturan tetap dewan (standing orders) yang dibuat berdasarkan Perkara 62(1). Dengan kata lain adalah tidak munasabah jika undang-undang kecil mengatasi Perlembagaan. Beliau berhujah ini tidak selaras dengan Perkara 4(1) yang meletakkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Yang ketiga kuasa mutlak Speaker adalah berhubung dengan perjalanan mesyuarat dewan tidak harus disalahgunakan untuk menyelamatkan kerajaan yang kehilangan kekuatan untuk memerintah.

Aziz menegaskan jika Speaker dibenarkan menyekat usul tidak percaya maka sistem demokrasi berparlimen - di mana kerajaan dilantik berdasarkan sokongan majoriti di dalam dewan - akan hancur.

Ini juga membawa makna konsep kerajaan bertanggungjawab (responsible government) yang sentral di dalam demokrasi Westminster tidak terlaksana.

Yang keempat, hujah Aziz lagi, dakwaan mengenai kuasa Speaker itu bertentangan dengan amalan yang konsisten setakat ini.

Pensyarah UIAM itu berkata setakat ini sudah tiga kali kerajaan tumbang di tangan undi tidak percaya di Malaysia . Beliau menegaskan kedua-dua Persekutuan dan Negeri mempunyai undang-undang yang sama.

Perletakan jawatan kerana gagal dalam usul tidak percaya berlaku buat pertama kalinya di Sarawak pada tahun 1966 melibatkan Ketua Menteri, Datuk Stephen Kalong Ningkan. Kemudian ia diikuti oleh perletakan jawatan oleh Menteri Besar, Dato Harun Idris di Selangor pada tahun 1976 yang diundi tidak percaya oleh partinya sendiri. Insiden yang sama berlaku di Kelantan pada tahun 1977 apabila Menteri Besar Dato Mohamed Nasir berbalah dengan partinya sendiri.

Aziz mengharapkan semua pihak, termasuk Speaker, perlu memberi laluan kepada proses yang telah pun secara konsisten diamalkan di seluruh dunia Komanwel. Jika ia disekat Malaysia akan ditertawakan oleh dunia. - mr_

Read More...

MB Kedah: Siapa kata kami tiada wang?

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Jun 19, 08 2:24pm

Kedah walaupun dianggap negeri miskin tetapi sehingga ini tidak mempunyai sebarang masalah kewangan kerana mengamalkan pendekatan perbelanjaan secara berhemah, kata Menteri Besar, Azizan Abdul Razak.

azizan abdul razakKatanya, beliau tidak melakukan perubahan secara mendadak, sebaliknya menyelesaikannya dengan keadaan kewangan semasa dan mengamalkan jimat cermat.

"Saya sudah lama dalam pembangkang, selama 13 tahun, enam tahun sebagai ketua pembangkang dan tahu selok belok pengurusan.

"Jika mahu dibandingkan dengan negeri lain, Selangor, mempunyai rezab sebanyak RM2 billion, Perak RM800 juta tetapi Kedah hanya RM200 juta sahaja," katanya dalam temubual melalui emel sempena 100 hari menjadi menteri besar Kedah.

PAS mengambilalih pemerintahan kerajaan negeri Kedah selepas menang besar dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Azizan berkata, secara umumnya Kedah tidak menghadapi masalah kerana mendapat kerjasama baik dari istana, kakitangan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan.

"Masalah tetap ada tetapi tidaklah sehingga menggangu pentadbiran dan merunsingkan rakyat," katanya lagi.

Usaha turun cukai

Azizan berkata, kerajaan negeri berusaha sedaya upaya untuk memenuhkan janji pilihanraya umum lalu termasuk menurunkan kadar cukai dari 30 kepada 70 peratus bagi meringankan beban.

Katanya, kerajaan tidak lagi mengamalkan tender terus dalam pemberilan lesen dan projek, menyelesaikan masalah geran tanah dan menaikkan gaji guru agama.

"Kita juga menyalurkan elaun menteri besar dan anggota exco ke Tabung Amanah Tunku Mahmud, menguatkuasakan tindakan untuk membendung gejala keruntuhan akhlak, mempertingkatkan hubungan mesra dengan rakyat bukan Islam, membuka Pusat-pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) dalam proses membuka di semua DUN di Kedah dan menyediakan suasana 'mesra pelabur' kepada para pelabur untuk menarik semaksimum mungkin jumlah pelaburan," katanya.

Berikut ialah petikan wawancara dengan Azizan.

Soalan: Apakah janji-janji yang belum ditunaikan?

Apa yang masih dalam perancangan kita adalah seperti memperbanyakkan kemudahan awam termasuk pengangkutan, memajukan pasar besar di bandar tertentu, menyelesaikan masalah sampah dan memperkenalkan cuti bersalin 90 hari (ia memerlukan sedikit lagi kajian).

Soalan:
Adakah kerajaan negeri menghadapi gangguan dari pemimpin-pemimpin BN dan Umno?

Jawapan: Kita tak pernah ganggu mereka, suasana sebegini bukan budaya politik di Kedah, jadi kita tidak akan ganggu mereka, kalau mereka nak ganggu, itu di atas pertimbangan merekalah.

Soalan: Apakah yang menjadi keutamaan kerajaan negeri berikutan dakwaan menghadapi masalah kewangan?

Jawapan: Siapa beritahu anda bahawa kami tiada wang? Kita tidak menghadapi masalah kewangan, kita yakin dan percaya dengan pendekatan perbelanjaan secara berhemah kita boleh terus berbelanja untuk sesuatu yang terbaik untuk rakyat Kedah.

Saya tidak berminat dengan perubahan yang mendadak, saya sudah lama dalam pembangkang, selama 13 tahun, enam tahun sebagai ketua pembangkang, saya tahu selok belok pengurusan, kita selesaikan dengan keadaan kewangan yang kita ada, kita, kita berjimat cermat,

Jika mahu dibandingkan dengan negeri lain, Selangor, mempunyai rezab sebanyak RM 2 billion, Perak RM 800 juta, kita Kedah hanya RM 200 juta sahaja.

Kita sudah potong belanja pengurusan sebanyak RM 10 juta iaitu 30 peratus dari peruntukan yang ada, ini adalah langkah berjimat cermat.

Kita juga telah kenalpasti kebocoran yang berlaku, kita sedang tampal, ini semua ke arah mengelak dari kita menghadapi kesulitan dari sudut kewangan.

Read More...

Wang Royalti Mungkin Lebih Banyak - Tengku Razaleigh

Buletin Online

PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh SM Noor
Thursday, 19 June 2008


The image “http://buletinonline.net/images/berita6/kuliroyalti.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.Kuala Terengganu – Wang royalti hasil minyak yang sepatutnya dibayar secara tunai oleh Petronas kepada negeri Terengganu mungkin lebih banyak jumlahnya kini daripada yang diisytiharkan oleh Kerajaan Persekutuan. Ia adalah kerana, pihak yang bertanggungjawab menyimpan wang royalti tersebut perlu membayar kadar faedah keatas wang yang terkumpul, yang tidak diserahkan kepada kerajaan negeri Terengganu.

“Sepatutnya Kerajaan Pusat atau pun Petronas, saya tak tahu siapa yang bertanggungjawab, juga kena bayar berkenaan kadar faedah keatas wang yang terkumpul,

“jadi kalau berdasar kepada ‘compounded rate’ (kadar berganda) mungkin jumlahnya lebih besar daripada angka 7, 8 bilion yang saya sebut secara am sebentar tadi,” kata Tengku razaleigh Hamzah, Bekas Menteri Kewangan yang juga bekas Pengerusi Petronas sewaktu menyampaikan ucapan bertajuk ‘Sejarah Royalti; Royalti Petroleum Hak Rakyat Terengganu’ dalam Konvensyen Royalti yang diadakan baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Amirsham A. Aziz berkata , dalam tempoh tiga tahun bermula 2004, Petronas telah membayar sejumlah RM26.8391 bilion sebagai royalti kepada Kerajaan Persekutuan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

The image “http://buletinonline.net/images/berita6/kulitunsalleh.jpg” cannot be displayed, because it contains errors. Beliau bekata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) pada persidangan Dewan Rakyat pada 13 Mei lalu.

(Gambar: Ku Li dan Tun Salleh, dua individu yang terlibat secara langsung dengan penubuhan Petronas)

Amirsham juga berkata, daripada jumlah tersebut, daripada jumlah itu, sebanyak RM13.419 bilion dibayar kepada Kerajaan Persekutuan, Terengganu (RM7.364 bilion), Sabah (1.234 bilion) dan Sarawak (4.821 bilion).

Kelmarin, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said menyatakan kerajaan negeri akan menghantar wakil bagi mengadakan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan terutama Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcob berhubung pengembalian wang royalti dalam tempoh terdekat.

Ahmad berkata perbincangan itu penting untuk menyelesaikan beberapa isu berkaitan dengan royalti minyak yang akan dikembalikan mulai tahun ini.

”Selain itu kita juga hendak tahu jumlah wang terkumpul dan baki kepunyaan kita yang bakal diperolehi," kata Ahmad.

Tengku Razaleigh dalam ucapannya juga menyebut bahawa beliau telah berpesan kepada Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said perlu menyelesaikan segera tuntutan bayaran royalti minyak tersebut.

“Ia perlu dibuat perhitungan secara terperinci kerana kadar faedah adalah berubah pada setiap hari,” tambah Tengku Razaleigh

Read More...

Usul tidak percaya satu-satunya pilihan terbaik - Husam

Harakahdaily

Lanjusoh

Thu | Jun 19, 08 | 3:47:49 pm MYT

KOTA BHARU, 19 Jun (Hrkh) - Berdasar kepada situasi politik negara yang semakin membahang sekarang kemungkinan besar kerajaan baru dapat dibentuk dalam masa terdekat ini.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, usul tidak percaya merupakan satu-satunya pilihan terbaik yang ada bagi mengelakkan negara daripada terus diterajui pemimpin mementingkan diri sendiri.

"Oleh yang demikian saya mempelawa ahli-ahli parlimen Umno menyertai PAS. Dengan demikian ahli-ahli parlimen Melayu tidak akan berkurang dalam kerajaan baru dengan izin Allah.

"Tindakan ini juga dapat menghapuskan kebimbangan ahli-ahli parlimen Umno sebelum ini yang khuatir terhadap bilangan ahli parlimen Melayu dalam Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataannya di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Global Media Channel Sdn Bhd di sini.

Presiden Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Dato' Yong Teck Lee semalam mengumumkan parti itu hilang kepercayaan kepada terhadap kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan memberitahu akan menyokong usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

SAPP mempunyai dua ahli parlimen iaitu Ahli Parlimen Tawau, Chua Soon Bui dan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun.

Berasaskan perkiraan itu kemungkinan besar bilangan ahli parlimen BN akan susut dua kepada 138 kerusi dan Pakatan Rakyat berpeluang bertambah menjadi 84 kerusi.

Husam yang kini berada di Timur Tengah berkata, penyusunan baru kepemimpinan negara adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan sekarang.

"Sikap terbuka ahli-ahli parlimen Umno perlu dengan membuktikan diri mereka sememangnya prihatin kepada kepentingan orang Melayu, rakyat dan negara," katanya.

Menurutnya dalam menghadapi perkembangan terbaru ini PAS perlu bersiap sedia untuk menggantikan tempat Umno supaya kedudukan kepemimpinan Melayu tidak akan terjejas sekiranya usul itu diterima sehingga membawa kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kata beliau juga, PAS mengambil perkiraan terperinci usul hilang kepercayaan sama ada berjaya atau ditolak, parti tersebut perlu menangani arus perubahan seperti dikehendaki rakyat.

Sebab itulah katanya Umno tidak boleh mengharapkan PAS untuk menyelamatkan mereka.

Kata beliau juga, tokoh-tokoh Umno terutamanya Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap Abdullah sewajarnya turut bersama Pakatan Rakyat.

Husam juga membidas kenyataan Perdana Menteri yang menyifatkan Teck Lee tamak, namun sebenarnya apa yang berlaku Abdullah berada di kemuncak ketamakan peribadi.

"Selepas prestasi terburuk dalam sejarah BN akibat ditolak rakyat pada pilihan raya umum lalu, Dato' Seri Abdullah enggan menerima kenyataan dan mahu terus berkuasa.

"Sikap Perdana Menteri itu tidak mahu menerima kelemahan kepemimpinannya yang tidak mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

"Oleh yang demikian usul tidak percaya terhadap kepimpinannya di kalangan ahli-ahli parlimen tidak dapat dielak lagi," katanya.

Beliau yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, sudah menjadi perkara biasa parti yang terlalu lama berkuasa mengalami sindrom kehilangan daya kepemimpinan dan kekosongan itu perlu diisi. - mns_

Read More...

Siapa Yong Teck Lee?

Utusan Online

KOTA KINABALU 18 Jun - Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, 50, melalui liku-liku perjalanan politik yang panjang selepas menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS) pada tahun 1985.

Peguam yang berasal dari Lahad Datu itu mula terlibat secara serius dalam dunia politik sebaik sahaja dipilih menjadi calon untuk bertanding pada pilihan raya negeri di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas pada April 1985.

Beliau tidak menunggu lama untuk naik apabila terus dilantik sebagai Pembantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri dan bertukar portfolio sebagai Pembantu Menteri Kewangan negeri pada 1998-1990.

Pada 19 Julai 1990, beliau dinaikkan pangkat apabila dilantik oleh Ketua Menteri pada masa itu, Datuk Joseph Pairin Kitingan sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Industri sehingga 19 Januari 1994.

Hubungan baiknya dengan Pairin membolehkan beliau diberi kepercayaan memegang jawatan Timbalan Presiden PBS pada 30 September 1989.

Bagaimanapun, ia tidak kekal lama apabila Teck Lee memutuskan untuk keluar daripada parti tersebut.

Rentetan krisis dalaman PBS pada waktu itu mendorong beliau bertindak pantas menubuhkan sebuah parti baru iaitu SAPP pada 19 Januari 1994 dengan membuka keahlian kepada semua kaum, sama seperti PBS.

Gerakan agresif SAPP menarik sokongan rakyat, khususnya masyarakat Cina di Sabah, dikatakan lebih berjaya berbanding Parti Liberal Demokratik (LDP) yang bertunjangkan kaum Cina dan ditubuhkan lima tahun lebih awal oleh Tan Sri Chong Kah Kiat.

Tindakan Teck Lee keluar daripada PBS dan diikuti oleh beberapa wakil rakyat PBS lain yang menyertai UMNO akhirnya menumbangkan kerajaan PBS pada tahun 1994.

Beliau yang mengekalkan kemenangan di DUN Likas menewaskan Datuk Dr. Yee Moh Chai daripada PBS pada waktu itu kemudian dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Suami kepada Datin Stella Kong itu bertukar portfolio sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah pada 17 November 1995, Pemangku Ketua Menteri Sabah (22 Disember 1995) dan Ketua Menteri mengikut sistem penggiliran (28 Mei 1996-28 Mei 1998).

Selepas itu, Teck Lee kekal sebagai Menteri di Jabatan Ketua Menteri (28 Mei 1998 - 22 Februari 1999) sebelum berhadapan dengan perbicaraan Mahkamah Pilihan Raya apabila didakwa terbabit melanggar peraturan semasa kempen pilihan raya.

Perbicaraan itu berlarutan selama beberapa tahun sehinggalah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Teck Lee untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang memutuskan beliau bersalah.

Beliau sebelum itu yang bertanding bagi kerusi DUN Likas terpaksa mengosongkan kerusi tersebut bersama kerusi Parlimen Gaya (sekarang Sepanggar) serta tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun.

Keadaan itu menyebabkan Teck Lee yang tidak pernah dicabar bagi jawatan Presiden SAPP yang disandangnya itu sehingga 2010 tidak dapat bertanding pada pilihan raya umum 2004.

Bagaimanapun, beliau yang menamatkan tempoh larangan itu pada 2007 membuat keputusan untuk terus tidak bertanding pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Difahamkan, beliau bertindak demikian kerana kecewa apabila tidak diberikan tambahan kuota sama ada kerusi Parlimen atau DUN dan pada masa yang sama sering membuat kenyataan menegaskan akan mengekalkan penyandang kerusi wakil rakyat SAPP yang sedia ada.

Pilihan raya 8 Mac lalu menyaksikan tiada sebarang perubahan bagi kuota calon parti-parti komponen kecuali perubahan kepada calon-calon muka baru untuk menggantikan muka lama.

Teck Lee sebelum pilihan raya umum lalu juga beberapa kali membuat kenyataan terbuka menyatakan minat SAPP untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Kinabalu yang sebelum itu disandang oleh Moh Chai atau Parlimen Sandakan yang merupakan kuota bagi parti LDP.

Read More...

Analisis: Satu lagi parti akan ikut jejak SAPP, Gerakan atau MCA?

KLpos


Cetak E-mail
Oleh Mohd Sayuti Omar
Khamis, 19 Jun 2008

ORANG paling terkjut dengan keputusan Parti Maju Sabah (SAPP) yang mengumumkan keluar dari gabungan BN hari ini ialah (18 Jun 2008) Abdullah Ahmad Badawi. Keputusan itu memberi signifikan kepada Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN.

Alasan parti itu keluar BN kerana mereka hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.

Tidak percaya ini adalah kes berat. Ia samalah dengan makmum tidak percaya kepada imam. Apabila makmum hilang keyakinan kepada imam, maka makmum itu akan bertindak mufaraqah – meninggalkan imam berkenaan daripada meneruskan sembahyang bersama.

Tindakan parti pimpinan Yong Teck Lee mufaraqah Abdullah itu samalah dengan tindakan makmum meningalkan imam dalam sembahyang. Dalam konteks ini Teck Lee dan ahli partinya sudah tidak mempercayai dan yakin kepada Abdullah lagi selaku perdana menteri dan juga pengerusi BN.

Justeru Abdullah harus dan memang kena terkejut. Dalam beliau asyik ‘mengimamkan sembahyang' dan setiap saat mendakwa dia seorang imam berwibawa dan alim, khusyuk tiba-tiba ada makmum yang bertindak meninggalkannya.

Anihnya juga sebelum ini Abdullah tidak tahu menahu yang parti berkenaan akan meninggalkan BN. Isyarat yang Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) berikan juga tidak dipedulikan. Kalau benar Abdullah tidak tahu seperti mana dakwanya ini bermakna beliau memang tidak layak menjadi pengerusi sebuah gabungan seperti BN itu.

Malu dan aiblah kalau seorang pengerusi tidak mengetahui apa yang sedang berlaku dalam periuk nasi rumah tangganya! Dalam konteks politik apa yang berlaku itu sebagai temparan kepada kepimpinan Abdullah apa lagi SAPP bercadang untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada Abdullah di Parlimen.

Ekoran peristiwa malang itu, apa yang membimbangkan Abdullah ialah apabila seorang makmum sudah mufaraqah pemerintahannya maka ia pasti akan diikuti oleh makmum yang lain. Kalau gabungan BN kini boleh dianggapkan sebagai sebuah jemaah sedang mendirikan solat dengan jemaah seramai 14 orang dan solat itu sedang diimami oleh Imam Hadhari Abdullah Badawi kini salah seorang makmumnya sudah meninggalkan imam berkenaan.

Tentu ada sebab-sebab dan hujah kemas mengapa makmum berkenaan mengambil langkah yang dihalalkan itu. Sekiranya imam berkenaan benar-benar sudah batal dan tidak dapati diikuti tidak mustahil makmum-makmum lain juga akan turut sama memufaraqah sembahyang berkenaan dan mencari imam lain. Perlu diingat mengikuti seorang imam yang melakukan perbuatan membatalkan sembahyang menyebabkan sembahyang kita juga akan turut terbatal kalau tidak meninggalkannya!

Dalam hubungan tindakan Teck Lee itu kalau Yong Teck Lee nampak akan kesilapan dan kesalahan Abdullah, tentu pemimpin parti lain juga ikut nampak sama dan kemungkinan akan mengambil tindakan sama seperti parti Maju Sabah itu.

Kemungkinan dan perkembangan inilah yang menakut dan merisaukan Abdullah. Sudah pasti sejak semalam Abdullah sudah mula mengubah tabiat hidupnya daripada banyak tidur kepada banyak jaga. Abdulah tidak lagi boleh terlalu lena kerana keadaanya sudah terdesak dan mencemaskan.

Bayangkan apa akan jadi kepada gabungan BN kalau selepas ini ada dua tiga buah lagi parti gabungannya bertindak meninggalkan BN? Seperti mana dakwa pemimpin PKR, Mohd Azmin Ali terdapat dua buah parti komponen BN yang akan bertindak keluar BN. Dakwaan Azmin itu sudah menjadi kenyataan.

Sementara itu dari maklumat tertentu, terdapat satu komponen BN dikatakan bakal mengambil tindakan sama seperti Parti Maju Sabah lakukan itu. Komponen itu kali ini datangnya dari Semenanjung. Pasti sekali lagi desas desus ini menyebabkan Abdullah semakin tidak boleh tidur.

Ada dua parti dari Semanjung yang menampakkan tanda-tanda akan keluar BN, kalau tidak Gerakan ia mungkin MCA.

Sudah pasti maklumat ini akan dinafikan oleh para pemimpin Umno seperti terjadi ke atas Parti Maju Sbaah itu. Naib Presiden Umno Mohd Ali Rustam mengatakan pendedahan yang dibuat Ku Li berhubung tindakan parti Maju Sabah itu sebagai gimik saja.

Nah... sekarang apa sudah jadi Yong Teck Lee benar-benar membawa SAPP keluar dari BN. Apakah yang berlaku itugimik lagi? Ataunya memang benar-benar mengagapkan pemimpin Umno! Kita tunggu perkembangan selanjutnya....

Read More...

Kedah tebang balak jika tiada pampasan

Malaysiakini

Jun 19, 08 5:48pm

Kerajaan negeri Kedah akan mengotakan cadangannya untuk menebang balak di kawasan tadahan air di negeri ini sekiranya kerajaan pusat masih enggan membayar pampasan hasil balak sebanyak RM100 juta setahun kepadanya.

Menteri Besar, Azizan Abdul Razak berkata kerajaan negeri memerlukan wang tersebut untuk menampung belanja pengurusan dan melaksanakan projek pembangunan, berikutan kenaikan harga minyak 5 Jun lalu.

"Kita dah banyak kali menulis surat kepada kerajaan pusat dan kementerian mengenai pampasan itu tetapi tidak dilayan. Jika balak tidak dipotong kita tidak ada wang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditanya tentang kenyataannya semalam bahawa kerajaan negeri akan menebang balak di kawasan tadahan air, demikian menurut laporan Bernama.

Azizan mengumumkan cadangan tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri, dan berkata langkah tersebut sebagai tindak balas terhadap kelewatan kerajaan pusat membayar pampasan hasil balak yang dituntut kerajaan negeri.

Beliau hari ini berkata tidak salah bagi kerajaan negeri untuk menebang balak di kawasan tadahan kerana hasilnya akan digunakan bagi menjana ekonomi negeri.

"Kita dah banyak berkorban dengan tidak mengambil balak di kawasan simpanan dan tadahan supaya dapat membekalkan air kepada Pulau Pinang dan Perlis untuk kegunaan industri, pertanian dan minuman tanpa mendapat bayaran.

Hasil balak RM16b

"Sebab nak jaga kawasan itu kita kehilangan hasil bumi. Kami orang Kedah nak makan apa. Kerajaan pusat hantar duit mai tak apa la.

"Salahkah kerajaan negeri lakukan ini untuk rakyat dia. Kalau balak itu diambil untuk menteri besar atau exconya, itu barulah salah," kata Azizan.

Beliau berkata atas alasan itu kerajaan negeri mempunyai sebab kukuh untuk menebang balak di tanah miliknya.

Ditanya mengenai kesan penebangan balak terhadap alam sekitar di kawasan terbabit, Azizan berkata: "Kita tahu polisi itu tetapi sampai orang yang tinggal di tepi laut nak makan pun tidak cukup, nak buat apa. Itu tidak boleh, ini tidak boleh."

Katanya sebagai balasan kerana mempertahankan alam sekitar kerajaan pusat wajar membuat "pembayaran perkhidmatan alam sekitar" kepada kerajaan negeri setiap tahun.

Beliau berkata dari kajian yang dibuat, hasil balak Kedah bernilai RM16 bilion dan jumlah yang akan ditebang memberikan hasil kira-kira RM100 juta setahun kepada kerajaan negeri.

Katanya beliau tidak akan menunggu isyarat atau kelulusan kerajaan pusat untuk memanggil tender terbuka walaupun Kabinet pada Mei 2003 telah memutuskan melarang semua aktiviti pembalakan di kawasan Empangan Pedu, Empangan Ahning dan beberapa kawasan hutan di daerah Padang Terap dan Sik.

Read More...

Johor: ADUN DAP tidak patuh etika pakaian diarah keluar Dewan

Mstar Online

19-06-2008 07:50:22 PM

JOHOR BAHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bentayan, Gwee Tong Hiang dari DAP, telah dilarang menyertai istiadat perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini kerana tidak mematuhi etika pakaian termasuk mengenakan songkok.

Beliau yang hanya memakai kot telah diarah meninggalkan DUN oleh Speaker Datuk Mohd Ali Hassan kerana dianggap tidak menghormati majlis perasmian.

Ia disempurnakan oleh Sultan Johor Sultan Iskandar.
Mohd Ali berkata, beliau mengarahkan Gwee keluar dewan sebelum ketibaan Sultan kerana Adun itu tidak mengikut arahan rasmi dan protokol.

"Bagi saya sebagai wakil rakyat, Gwee kena ikut tata susila. Perbuatan beliau tidak elok kerana setiap majlis terutama yang melibatkan Sultan mesti ada etika pakaian. Saya sudah keluarkan surat, bagi duit buat uniform. Dia sudah buat baju tapi dia tidak ambil pakaian itu di kedai," katanya.
Mohd Ali berkata Gwee dibenarkan menghadiri persidangan itu esok.

Dalam pada itu, Gwee yang ditemui pemberita berkata, beliau tidak memakai pakaian lengkap suit berwarna putih seperti yang dipakai barisan Adun lain kerana berpegang pada prinsipnya.

"Saya diarahkan keluar dewan sebelum ketibaan Sultan. Bagi saya pakai uniform atau tidak, yang penting saya berkhidmat kepada rakyat.

"Saya tidak tahu tidak boleh hanya memakai kot sahaja. Lagipun peraturan pemakaian uniform itu tidak termaktub dalam arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri," kata beliau dipetik Bernama.
Gwee merupakan antara empat wakil DAP yang memenangi pilihan raya umum Mac lalu.
Tiga yang lain ialah Dr. Boo Cheng Hau (Skudai), Ng Lam Hua (Mengkibol) dan Ong Kow Meng (Senai).

Bagaimanapun, Boo, Ng dan Ong masing-masing berpakaian lengkap termasuk bersongkok hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Gwee berkata beliau menempah pakaian menerusi pemberian elaun uniform oleh kerajaan negeri, namun tidak mengambil pakaian yang ditempah itu.

Isu pemakaian songkok mendapat perhatian sejak minggu lalu ekoran kenyataan Naib Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez yang menyatakan empat wakil rakyat parti itu telah menerima arahan daripada ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang meminta mereka tidak memakai songkok pada pembukaan sidang DUN hari ini.

Ditanya mengenai tindakannya itu yang kemungkinan bertentangan dengan prinsip DAP, Gwee berkata beliau menganggap isu pakaian bukan merupakan isu besar.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pula memberitahu, tindakan Gwee itu adalah perbuatan melampau kerana berpakaian lengkap menjadi amalan DUN Johor sejak 50 tahun lepas bagi menghormati institusi raja.

"Tiga bulan lalu, semasa upacara angkat sumpah Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri, memang kita lihat empat ADUN dari DAP tidak hadir ke Istana Besar dengan alasan tidak mahu bersongkok.

"Tetapi, kalau tiga ADUN iaitu Senai, Mengkibol dan Skudai boleh berpakaian lengkap dengan bersongkok hari ini, kenapa ADUN Bentayan tidak boleh melakukannya," katanya.

Read More...

Konsert: Sultan akan temui Pemuda PAS

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Jun 18, 08 6:18pm

Sultan Selangor telah menyatakan persetujuan baginda untuk bertemu Dewan Pemuda PAS negeri itu bagi membincangkan bantahan dewan tersebut terhadap konsert Ella dan Mas Idayu Julai ini, kata menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Saya ada berbincang dengan Yang Teramat Mulia Sultan. Saya rasa Tuanku bersetuju bertemu Pemuda PAS bagi membincangkan isu berkaitan konsert itu.

“Saya tidak fikir kita mahu hentikan 'perlawanan diplomatik' melibatkan pasukan Selangor dan Singapura. Saya rasa idea yang baik untuk Pemuda PAS adalah mengadakan diskusi dengan Sultan.

“Kita akan uruskan (pertemuan tersebut) sebelum akhir bulan ini,” kata Khalid dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Shah Alam hari ini.

Menjawab soalan pemberita, sama ada bantahan Pemuda PAS itu wajar atau tidak, memandangkan PAS mempunyai wakil dalam kerajaan, Khalid berkata, kerajaan negeri bersedia mendengar semua bantahan dan pandangan.

“Kita mendengar semua bantahan. Saya rasa kebimbangan Pemuda PAS berkaitan pakaian dan aksi penyanyi itu. Jadi bukan lagi isu. Saya tak rasa Pemuda PAS ingin hentikan satu bentuk persembahan.

Isu tertib

“Kita percaya, oleh kerana Pakatan Rakyat adalah satu kumpulan parti-parti yang memang biasa menerima suara rakyat, kita ada tanggungjawab bersama.

"Saya rasa apa yang perlu kita lakukan adalah menerangkan kepada mereka kebaikan daripada usaha-usaha sebegini, kerana salah satu cara untuk menarik belia menyertai program (negeri) adalah melalui acara-acara sebegini,” katanya.

Bantahan tersebut, kata Khalid, tidak menjadi isu kerana hanya melibatkan “tertib” acara sahaja.

“Yang dibantah oleh Pemuda PAS adalah tentang tertibnya acara tersebut. Saya rasa bukan menjadi isu," tambahnya.

Khalid turut mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung isu Badan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis).

Menurutnya, setakat ini, surat terakhir yang diterimanya dari pihak Pendaftar Pertubuhan, menyatakan Balkis masih belum dibubarkan.

Isu Balkis


“Surat yang terakhir menyatakan mereka masih lagi belum membubarkan Balkis.

“Oleh sebab itu kita masih lagi mengumpul maklumat mengenai pemilikan tanah dan juga pengurusan bangunan untuk (kita) terangkan kepada Pendaftar Pertubuhan.

"Adalah penting Pendaftar Pertubuhan memberitahu mereka yang terlibat supaya pembubaran, jika dilakukan, tidak akan merugikan atau merosakkan harta yang telah diamanahkan untuk kegunaan rakyat di Selangor,” katanyanya.

Sementara itu, esok kerajaan negeri akan mengumumkan keputusan pemilihan ahli majlis tempatan.

“Pemilihan ahli majlis tempatan Selangor sudah kita persetujui. Satu kenyataan akhbar akan dibuat esok. Kita akan berikan senarai pecahan mereka dari segi profesion, dari segi persatuan dan juga daerah-daerah, kesemua majlis tempatan di Selangor yang telah kita persetujui,” katanya.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |