KUALA LUMPUR - Harga sayur dari Cameron Highlands dikesan naik di beberapa negeri sejak seminggu lalu berikutan cuaca yang tidak menentu serta kos pengangkutan akibat kenaikan harga minyak.
Antara pasaran yang terjejas ialah George Town, Seberang Prai, Kuantan, Johor Bahru dan Alor Star manakala harga masih stabil di Kuala Lumpur.
Di Pulau Pinang, harga sayur khususnya di Seberang Perai naik sehingga 50 peratus, menyebabkan peniaga seperti Abdul Majeed Jamaludin bimbang kehilangan ramai pelanggan.
"Sayur yang naik paling tinggi ialah lada merah, tomato, kacang buncis, kobis dan sawi,'' katanya dengan menambah, peniaga sepertinya dipersalahkan oleh pelanggan atas dakwaan sengaja menjual mahal.
Katanya, apa yang berlaku ialah pemborong sudah meletakkan harga yang tinggi dan mereka tidak ada pilihan selain turut menaikkan harga.
Menurutnya, bagi cili merah, dia menjual RM12 sekilogram (kg) berbanding RM8 pada minggu lalu manakala kacang buncis pula RM6 per kg berbanding RM3.50.
Seorang lagi peniaga, Mohd. Sabri Md. Nasir memberitahu, bagi mengatasi masalah itu, peniaga terpaksa mengurangkan stok dari Cameron Highlands dan menambah bekalan dari pekebun setempat.
Di Kuantan, harga tomato melambung kira-kira 80 peratus kepada RM5.50 sekilogram, juga dikatakan berpunca daripada peningkatan kos pengangkutan.
Malah, para peniaga di Pasar Besar Kuantan memberitahu, harga sayur-sayuran lain juga sudah menunjukkan tanda-tanda kenaikan.
0 comments:
Post a Comment