msomelayu
RASUAH dalam Umno diperkatakan dimana-mana saja. Fenomena ini memburuk dan menghanyirkan parti Melayu itu. Saking kuat dan hebatnya percakapan mengenai rasuah menyebabkan seolah-olah Umno sebuah parti rasuah, bukan parti Melayu lagi. Umno jadi institusi rasuah, bukan lagi bertaraf sekolah atau kolej tetapi sudah sampai ke taraf universiti. Umno sebuah universiti rasuah!
Akar umbi rasuah dalam Umno berlaku pada atau ketika pemilihan pemimpin di semua peringkat. Kerana ingin tempat dan kedudukan ahli Umno sanggup melakukan rasuah, beri dan terima. Rasuah berlaku dari sekecil-kecil perebutan jawatan hinggalah ke peringkat tertinggi.
Bezanya di cawangan nilai rasuah kecil berbanding diperingkat kebangsaan. Di cawangan rasuahnya berupa pemberian material kain atau makanan seperti pelikat, batik jawa, gula, biskut atau membelanja makan mee di restoran atau teh tarik dikedai mamak atau warung wak Jawa.
Ahli mesyuarat tingkat peringkat cawangan akan dirasuahkan dengan cara begitu. Manakala diperingkat bahagian pula nilai meningkat sedikit. Perwakilan akan diberikan wang seratus dua menjelang pemilihan peringkat bahagian. Sebelum itu perwakilan dirasuahkan dengan lawatan sambil belajar, atau melancung (termasuk melacur sekali) ke luar negeri, Phuket, Medan, Bantam atau paling jauh di Jakarta.
Tahap rasuah itu menjadih lebih besar dan grand lagi bila sampai di peringkat nasional, dalam pemilihan pucuk pimpinan parti. Perwakilan bukan lagi diukur setakat seratus dua tetapi ribuan ringgit. Tempat dibawa untuk lawatan bukan lagi di Indonesia atau Thailand, tetapi sampai ke London, Australia dan Makkah. Tidak hairanlah kalau ahli Umno menjadikan musim pemilihan sebagai musim untuk mencari rezeki tersepak serta melancung ke luar negeri atau kawasan.
Pernah seorang perwakilan memperolehi pendapatan sehingga RM50,000 pada satu musim pemilihan peringkat kebangsaan. Bayangkan betapa lumayan dan senangnya perwakilan berkenaan, boleh memiliki Proton baru secara bayaran tunai. Cerita dan pengakuan ini bukan dongengan tetapi realiti dalam parti bernama Umno yang dulu ianya ditubuh dengan menggunakan wang dan titis peluh rakyat marhaen.
Sekali dengar tidak logik bagaimana perwakilan mendapat sebanyak itu! Macam dibuat-buat hendak burukkan parti Melayu itu saja. Formula bagi perwakilan itu mendapat sebanyak itu senang saja dan ini dipraktikkan oleh kebanyakan perwakilan yang celit huruf dan celit komputer.
Misalnya kalau ada pertandingan untuk sesuatu jawatan itu melibatkan lima calon (Naib Presiden misalnya) senang-senang perwakilan berkenan akan memperolehi RM5,000 dari setiap calon. Kalau lima calon jumlahnya RM25,000. Mereka bukan ambil dari satu calon saja tetapi dari semua calon.
Itu untuk Naib Presiden, belum dicampur dengan Majlis Tertinggi Umno. MT ada 25 jawatan, yang bertanding melebihi 50 orang. Bayangkan kalau daripada satu calon mereka memperolehi RM1,000 ini bermakna sudah RM50,000. Jumlah itu tidak termasuk rasuah untuk jawatan-jawatan lain Ketua Pemuda, Ketua Wanita atau Ketua Puteri dan juga pendapatan rasuah di peringkat cawangan dan bahagian!
Jadi pendapatan sebanyak RMN50,000 tadi adalah perkara yang tidak mustahil bahkan satu pendapatn dikira sedarhana bagi seseorang perwakilan yang licit dan tahu mengeksploitasikan keadaan.
Sebab itu bagi ahli Umno mereka suka kalau tiba musim pemilihan. Sudah terlekat dalam kepala (menjadi mind set) mereka musim pemilihan musim mencari rezeki dan pendapatan tambahan. Ahli Umno sudah menjadikan musim pemilihan sebagai masa untuk mereka mengorbankan pemimpin parti. Seolah-olah mereka menyertai Umno hanya untuk mendapatkan manfaat berkenaan.
Seorang bekas ahli Umno dalam sebuah bukunya menyenaraikan harga untuk merebut ketua cawangan ialah antara RM2,000 hingga RM3,000. Nilai ahli jawatankuasa bahagian pula RM5,000 hingga RM10,000. Manakala nilai untuk jadi Ketua Bahagian ialah RM30,000 hingga RMN50,000 ribut. Angka ini adalah dipraktik dan dilalui sendiri oleh bekas ahli Umno berkenaan.
Kalau diperingkat terendah sudah berjumlah ribuan ringgit bayangkan bagaimana kalau di peringkat kebangsaan tentu angkanya menelan jutaan ringgit. Berdasarkan kepada pengalaman itu jadi tidak mustahil perwakilan akan memperolehi sehingga RM50,000.
Pendedahan yang dibuat oleh calon Presiden Umno 2008, Tengku Razaleigh Hamzah yang mana ada bahagian meminta RM1 hingga RM2 juta sebagai jaminan untuk mencalonkannya menunjukkan keadaan rasuah dalam Umno sudah parah. Itu setakat untuk mencalonkan saja belum lagi upah atau rasuah untuk undi.
Permintaan rasuah sudah tidak sembunyi-sembunyi lagi tetapi ia dilakukan secara terus terang. Kerana itulah benar bagaimana kata Rais Yatim, jawatan tertinggi dalam Umno wajar dibuka tender. Sesiapa yang mempunyai banyak wang boleh memiliki jawatan menerusi bidalan. Siapa yang membidal dengan cara tertinggi dialah akan memilik jawatan.
Mengambil kira pendedahan Tengku Razaleigh tadi cubalah kira berapa banyak dibelanjakan oleh Mohd Najib Razak untuk mendapat 143 pencalonan. Berapa banyak digunakan oleh Muhyiddin Yassin. Berapa banyak pula digunakan oleh Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Khir Toyo. Yang pastinya pencalonan itu tidak datang percuma melainkan setelah dibeli ataupun dirasuahkan.
Apakah ahli Umno suka-suka dan mencalon Najib dan yang lain-lain itu percuma begitu saja? Mustahil.... mustahil.... dan mustahil... Yang pastinya setiap bahagian yang mencalonkan mereka tentu mendapat imbuhannya atau pun dijanjikan imbuhan. Manakala mereka yang tidak dicalon atau tidak cukup pencalonan bukan tidak merasuah, tetapi nilai rasuah mereka tersangatlah kecil.
Untuk membuang penyakit rasuah dalam Umno ini bukan mudah lagi. Rasuah sudah jadi kenser dalam Umno, tidak ada penawar. Hanya satu cara sahaja bagi memperbaiki Umno ialah dengan memusnahkannya. Umno sudah jadi lembu yang terkena penykit kuku dan mulut, di mana ia tidak boleh dipulihkan melainkan kena musnahkannya. Bawa ke tepi lubang dan tembak!
Orang Melayu termasuk ahli Umno yang sayangkan Umno kena berusaha memusnahkan Umno. Biarkan parti itu kalah, hilang kuasa untuk sesuatu tempoh. Selepas itu berusahlah membangunkannya dengan titik peluk seperti takala ia wujud di dunia ini. Itu saja cara, cara lain sudah tidak ada. Tanpa pemusnahan cara begitu Umno akan terus hilang dan lenyap dari muka bumi ini. Kehilangan Umno tidak bermakna Melayu akan hilang itu hanya mitos orang-orang yang bebal saja! [wm.kl 7:00 am 04/11/08]
Tuesday, November 4, 2008
Umno Sebuah Universiti Rasuah
0 comments Labels: msomelayu, rasuah, UMNO
AMK dakwa PAC mahu tutup skandal Eurocopter
Malaysiakini |
Nov 4, 08 3:39pm |
Angkatan Muda Keadilan (AMK) kesal dengan keputusan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang didakwanya mengambil keputusan menutup siasatan skandal pembelian Eurocopter tanpa sebarang penemuan yang munasabah. Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid dilaporkan sebagai berkata tiada sebarang penyelewengan dari segi prosedur dalam pembelian helikopter Eurocopter tersebut . Azmi juga dilaporkan berkata, penilaian dari segi teknikal dan kewangan pembelian 12 helikopter itu yang keseluruhan berharga RM1.604 bilion termasuk pakej ofset adalah mengikut piawaian antarabangsa. "Kenyataan ini adalah sesuatu yang mengecewakan dalam keadaan harga tersebut adalah jauh berbeza dengan jumlah yang dibelanjakan oleh negara-negara seperti India dan Brazil yang boleh membeli lebih daripada 50 helikopter yang sama pada kadar RM1 billion," kata Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin. "AMK juga kesal apabila PAC sekadar 'kurang senang' dek kerana tiada penilaian fizikal dilakukan terhadap helikopter yang bakal dibeli sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan. "Sewajarnya, dalam sebarang pembelian aset, pandu uji perlu dilaksanakan agar ianya dijamin selamat dan tidak membahayakan kepada pengguna, khususnya senjata dan juga pengangkutan. 'Gagal main peranan' "Dalam konteks profesionalisme urusniaga, sebarang pembelian barangan khususnya aset seumpama ini perlu diuji cuba terlebih dahulu, bukannya sekadar melihat spesifikasi melalui dokumen dan terus meluluskan tanpa sebarang tindakan susulan," tambah Shamsul. AMK, tambahnya, melihat bahawa PAC telah gagal memainkan peranannya untuk memanggil Datuk Seri Najib Tun Razak selaku mantan Menteri Pertahanan yang bertanggungjawab meluluskan pembelian berkenaan. Sebaliknya, tegas Shamsul, hanya membuat penilaian berdasarkan laporan daripada Kementerian Pertahanan yang didakwanya, pasti telah diatur dan disusun supaya 'cantik dipandang dan sedap didengar'. Apa yang menghairankan, dakwa beliau, sebarang kes yang mengaitkan Najib akan 'disenyapkan' oleh pihak berkenaan. "Apakah ini satu pelan terancang untuk menyembunyikan kekotoran yang boleh memalitkan imej Najib yang begitu bersemangat untuk dinobatkan sebagai perdana menteri menjelang Mac 2009?" soalnya. AMK, tambahnya, kekal konsisten dengan kenyataan terdahulu bahawa Badan Pencegah Rasush (BPR) perlu meneruskan siasatan meskipun PAC menetapkan tidak ada apa yang berlaku di sebaliknya. |
0 comments Labels: malaysiakini, penyelewengan, PKR
Pembelian Eurocopter tiada penyelewengan - PAC
KUALA LUMPUR 3 Nov. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati tiada sebarang penyelewengan dari segi prosedur dalam pembelian helikopter Eurocopter EC725 Cougar.
Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, penilaian dari segi teknikal dan kewangan pembelian 12 helikopter itu yang keseluruhan berharga RM1.604 bilion termasuk pakej ofset adalah mengikut piawaian antarabangsa.
‘‘Kita mendapati wujud pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan dan diguna pakai di peringkat antarabangsa. Ia juga mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara negara ini dan Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di bangunan Parlimen di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Pengerusi PAC dari DAP, Dr. Tan Seng Giew.
Mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari melibatkan sesi taklimat daripada pegawai tertinggi Kementerian Pertahanan mengenai aspek penilaian teknikal dan Kementerian Kewangan berhubung penilaian kos.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembelian helikopter itu sebagai langkah berjimat cermat berikutan krisis kewangan dunia.
Azmi menjelaskan, sebelum ini sebanyak tiga syarikat telah disenarai pendek dalam tender berkenaan yang masing-masing pada harga RM1.262 bilion, RM1.604 bilion dan RM2.442 bilion.
‘‘Kementerian Kewangan telah membuat perakuan untuk memilih Eurocopter pada harga RM1.604 bilion walaupun terdapat sebuah syarikat lain yang menawar kos lebih rendah.
‘‘Ini kerana pengalaman kita mendapati wujud peraturan ketat oleh negara syarikat itu berasal sekiranya kita ingin menaik taraf helikopter yang dibeli,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, skop penilaian oleh PAC hanya melibatkan harga yang ditawar ketika tender dan tidak dapat mencadangkan harga terbaik yang sepatutnya dibeli berdasarkan perbandingan dengan negara lain kerana pakej Eurocopter mempunyai harga berbeza mengikut keperluan tentera negara terbabit.
Dalam pada itu, Azmi berkata, PAC kurang senang kerana tiada penilaian fizikal dilakukan terhadap helikopter yang bakal dibeli sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan.
‘‘Kita juga mengambil berat akan hakikat bahawa jika dilewatkan pembelian Eurocopter, harga yang ditetapkan dalam tender hanya dapat dipertahankan sehingga Februari 2009. Selepas itu rundingan harga baru perlu dilakukan,” katanya.
Menurut beliau, PAC juga memandang serius tentang kelewatan untuk mendapatkan helikopter baru kerana ia akan menyebabkan Nuri yang telah berusia 42 tahun terpaksa diguna sehingga tahun 2015.
‘‘Kerajaan perlu mengambil kira kebimbangan rakyat berikutan 10 buah Nuri telah terhempas dan mengorbankan 95 orang.
‘‘Walaupun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membuat perakuan Nuri boleh dipakai sehingga 20 tahun lagi, kita berpendapat perlu dilakukan proses naik taraf bagi membolehkan ia beroperasi pada waktu malam dan mempunyai sistem pemanduan automatik ketika operasi menyelamat,” ujarnya.
Bagi menjamin tidak wujud sebarang kelemahan daripada segi penilaian teknikal, tambahnya, PAC telah mendapat perakuan Kementerian Pertahanan dan TUDM untuk mewujudkan pangkalan data yang merekodkan masalah yang timbul dalam pembelian terdahulu termasuk pesawat pejuang Skyhawk dan kereta perisai Scorpion sebagai rujukan.
Kata beliau, pihaknya juga mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan panel penilai bebas di semua kementerian untuk memantau segala pembelian yang besar dan menggunakan wang banyak supaya rakyat berasa yakin bahawa segala perolehan dibuat dengan telus.
Menurut Azmi, PAC juga membuat keputusan untuk terus memantau proses pembelian Eurocopter kerana ia adalah kes berprofil tinggi dan akan memanggil balik pegawai berkenaan jika wujud isu-isu baru yang berbangkit.
‘‘Jika kerajaan membuat keputusan untuk membelinya, maka PAC mencadangkan kepada pihak TUDM supaya diadakan pemeriksaan rapi sebelum menerima helikopter yang sudah siap,” ujarnya.
Mengenai nilai RM1.604 bilion itu berbeza daripada jumlah terbaru yang diumumkan oleh Abdullah iaitu RM1.607 bilion pada minggu lalu, beliau menjelaskan, angka yang disebut Perdana Menteri adalah termasuk kos penghantaran helikopter tersebut.
0 comments Labels: penyelewengan, utusan
Enggan jawab soalan: Najib disifatkan "penakut," "tidak jujur"
Abdul Aziz Mustafa Tue | Nov 04, 08 | 7:37:26 pm MYT | |
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Hrkh) - Ahli-ahli Parlimen pembangkang hari ini menyifatkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak "penakut" dan "tidak jujur". Ketika keluar dewan beramai-ramai kerana memprotes keengganan Najib memberi ruang untuk penjelasan ketika menggulung perbahasan Bajet 2009, beberapa anggota pembangkang melaung-laungkan perkataan "penakut, penakut!" kepada Najib. Para pemimpin kanan Pakatan Rakyat (PR) pula menyifatkan Najib "tidak jujur". "Beliau mendakwa bajet tidak ditukar, (dakwaan) yang tidak benar. Bajet telah ditukar," kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam sidang akhbar ahli-ahli Parlimen PR yang diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di lobi Parlimen . "Beliau membentangkan bajet yang disemak semula (revised budget) sambil mendakwa ia bukan bajet yang disemak semula. Beliau tidak jujur". Dalam sidang akhbar ketika Najib meneruskan ucapannya tentang pakej ransangan ekonomi itu, Anwar menjelaskan bahawa ahli-ahli Parlimen pembangkang memprotes "sikap angkuh" Najib yang enggan memberi laluan untuk penjelasan ketika beliau berucap. Menurut Ketua Umum PKR itu, ketika Yang Di-Pertua Dewan bertanya Najib adakah beliau akan memberi laluan kepada Ketua Pembangkang untuk membalas hujahnya, Timbalan Perdana Menteri menjawab, "tidak" Najib juga berkata: "Itu hak saya (untuk tidak memberi laluan)." "Kalau itulah caranya, apa guna kami berada di dalam Dewan," Anwar mempersoalkan. Anwar juga mengkritik Najib yang dianggap tidak menghormati sama sekali prosedur Dewan. Pihak pembangkang, katanya, menunggu kemunculan Najib dengan bajet yang disemak semula sejak dua minggu lalu. Ahli-ahli Parlimen pembangkang meradang, katanya, kerana mereka hanya diberikan beberapa minit sahaja untuk membincangkan bajet baru yang dipinda itu sebelum diluluskan. Anwar juga hairan dengan tindakan Menteri Kewangan enggan memberi laluan untuk memohon penjelasan. "Apa yang dipersoalkan ialah Najib mengemukakan angka baru dalam penggulungannya. "Tiada makna kalau kami hanya datang untuk mendengar, kami boleh baca sendiri. "Apa yang kami mahukan ialah penjelasan kepada angka-angka baru ini," katanya. Ketika menyampaikan pembentangannya, bakal Presiden Umno itu tidak membenarkan percubaan beberapa Ahli Parlimen pembangkang mendapatkan penjelasan darinya dan hanya bersedia menjawab soalan apabila beliau menghabiskan ucapannya. Pihak pembangkang juga tidak berpuas hati apabila begitu banyak statistik yang dikemukakan oleh Najib begitu berbeza dengan statistik yang dibentangkan September lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Menteri Kewangan. Percubaan Anwar untuk menafikan dakwaan Najib kononnya belanjawan yang dicadangkan oleh beliau mewakili PR bersifat menguncup (contractionary) juga tidak dibenarkan. Ketika ahli-ahli pembangkang keluar beramai-ramai itu, Najib berkata, "Bagus, bagus" dan selepas itu berkata "aman sikit Dewan ni pembangkang tak ada". Sebelum itu, dalam kekecohan berikitan keengganan Najib memberi laluan untuk penjelasan itu, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memerintahkan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua keluar dewan. Tian Chua tidak dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat sehingga esok._ |
0 comments Labels: Harakahdaily, najib razak, parlimen
Najib kemuka ucapan sulung, pembangkang pulau Dewan
Oleh ARIFUDDIN ISHAK dan ZANARIAH ABD. MUTALIB
[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat bertukar tegang sambil pembangkang memulaukan sidang ketika Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, yang mengambil alih portfolio sebagai Menteri Kewangan lebih sebulan lalu, menyampaikan ucapan sulung penggulungan Bajet 2009 petang ini.
Lebih 70 ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat atas alasan tidak diberi laluan untuk mengemukakan soalan.
Ketegangan bermula kira-kira lima minit Najib mula berucap sambil memaklumkan Dewan Rakyat bahawa beliau tidak akan memberi laluan sehingga habis mengemukakan ucapannya.
Makluman itu menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan wakil rakyat Parlimen pembangkang.
Kekecohan bermula pada awal sesi penggulungan yang bermula 4.30 petang apabila Najib memberitahu Dewan beliau hanya akan memberi laluan untuk penjelasan selepas membentangkan dasar-dasar untuk menangani masalah ekonomi.
Ini menimbulkan rasa kurang senang dan bantahan daripada beberapa wakil pembangkang antaranya Datuk Kamarudin Jaffar (Pas-Tumpat), Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Mahfuz Omar(Pas-Pokok Sena), Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong) dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
TIAN CHUA DIARAH KELUAR
Bagaimanapun tindakan Tian Chua (PKR-Batu) yang terus berdiri untuk menyuarakan bantahan tanpa mengendahkan arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyebabkan beliau diarah meninggalkan dewan sehingga sesi penggulungan itu selesai.
Anwar kemudiannya bangun untuk meminta penjelasan sekali lagi daripada Najib sama ada beliau akan memberi peluang kepada mereka untuk mencelah ketika sesi penggulungan peringkat pertama itu berjalan.
"Biar Menteri jawab, boleh atau tidak kita gunakan ruang untuk berhujah sekarang atau tidak boleh?," soalnya kepada Najib sambil meminta supaya Najib sendiri yang memberikan jawapan berkenaan.
Najib kemudiannya menegaskan, beliau akan memberi peluang kepada mereka untuk berbuat demikian, tetapi hanya selepas peringkat pertama penggulungan itu selesai iaitu apabila beliau selesai membentangkan dasar dan langkah baru yang dicadangkan kerajaan untuk menangani masalah ekonomi negara.
"Saya ada beberapa langkah yang saya bentangkan. Biar saya bentang dulu kemudian saya bagi peluang. Sekarang ini, Yang Berhormat semua ganggu saya.
"Saya boleh bagi (bagi peluang)... Boleh, kemudian. Tapi tunggu kemudian... Apa yang terdesak sangat ni?" katanya bagi memberi penjelasan kepada Anwar yang ingin mengetahui sama ada beliau akan memberi laluan untuk penjelasan atau tidak.
Pandikar Amin kemudiannya bertanyakan kepada Najib sekali lagi sama ada mahu memberikan laluan kepada Ahli Parlimen yang ingin mencelah untuk meminta penjelasan.
"Mahu kasi laluan atau tidak semasa ini?" soal Pandikar Amin kepada Najib.
Najib menjawab: "Saya nak bentangkan, itu hak saya Tuan Yang Dipertua. Itu hak saya."
Dewan Rakyat terdiri daripada 83 ahli pembangkang termasuk dua wakil Bebas.
Anwar langsung tidak kembali ke Dewan Rakyat selepas Najib habis berucap.
Bagaimanapun beberapa ahli Parlimen dilihat keluar masuk Dewan.
KOMEN ANWAR
Di lobi Parlimen Anwar memberitahu wartawan bahawa beliau hairan dengan tindakan Menteri Kewangan enggan memberi laluan untuk memohon penjelasan.
"Apa yang dipersoalkan ialah Najib mengemukakan angka baru dalam penggulungannya.
"Tiada makna kalau kami hanya datang untuk mendengar, kami boleh baca sendiri.
"Apa yang kami mahukan ialah penjelasan kepada angka-angka baru ini," katanya.
Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat ketika ditanya mengapa pembangkang tidak tunggu kerana Najib sendiri mengatakan akan memberi laluan selepas membentangkan langkah-langkah tambahan Bajet 2009 berkata:
"Ini bukan soal boleh tunggu atau tidak."
Katanya, ahli-ahli Parlimen sudah menunggu selama dua minggu supaya kerajaan membentangkann bajet yang baru kerana bajet yang lama sudah tidak relevan dengan keadaan semasa.
Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan dan bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan seolah-olah menidakkan cadangan yang dikemukakan oleh pembangkang supaya membentangkan bajet baru, yang lebih relevan.
Ia merupakan ucapan penggulungan pertama bajet bagi Najib selaku Menteri Kewangan.
Bajet 2009 telah dibentangkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Ogos lalu dan kemudian bertukar portfolio dengan Najib.
Dalam pada itu, Najib memberikan laluan kepada Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) untuk bertanya soalan kira-kira pukul 6.05 petang selepas habis menyampaikan ucapan yang menyentuh senario global dan langkah-langkah tambahan.
Selain Ibrahim lapan wakil Barisan Nasional (BN) juga mengemukakan soalan kepada Najib.
Ucapan Najib yang bermula kira-kira 4.30 petang berakhir pada pukul 6.50 petang.
PENJELASAN NAJIB
Dalam pada itu, Najib pada sidang akhbar berkata, tindakan Pakatan Rakyat keluar Dewan Rakyat adalah tidak bertanggungjawab kerana sudah mengatakan bahawa akan memberi peluang bertanya soalan selepas habis membentangkan langkah-langkah tetapi pembangkang tidak sabar.
Beliau berkata, pembangkang tidak sepatutnya bertindak demikian kerana apa yang dibentangkan di dalam Dewan Rakyat adalah langkah tambahan yang begitu penting untuk masa depan negara dan juga untuk membela kepentingan rakyat.
"Jadi dalam pembentangan seperti ini, mereka sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dan menunjukkan sikap yang membina sepatutnya hadir dalam masa pembentangan itu.
"Ini satu yang rakyat mesti sedar bahawa mereka telah mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai pembangkang yang konstruktif dan bertanggungjawab," katanya.
Kata Najib, beliau membuat keputusan tidak memberikan laluan untuk penjelasan sehingga selesai pembentangan peringkat pertama kerana ingin memberikan gambaran yang jelas supaya tidak ada pihak yang terkeliru dengan langkah dan dasar baru yang dibentangkan.
"Elok saya buat pembentangan dulu. Bila dah nampak gambaran keseluruhannya, kalau mereka nak buat pertanyaan penjelasan, saya sanggup memberi penjelasan. Tapi nampaknya mereka tidak sabar dan nak keluar juga.
"Saya memang dah janji bahawa saya akan bagi masa untuk mereka membuat sebarang pertanyaan dan penjelasan.
"Saya bukan menafikan, saya menggunakan hak saya untuk menentukan bila saya nak bagi peluang," katanya.
Ketika ditanya sama ada kekeliruan berlaku di antara bajet baru dan bajet tambahan yang dibentangkan hari ini, Najib berkata: "Ini bukan bajet baru sebab dari segi jumlah untuk perbelanjaan pembangunan dan untuk bajet perbelanjaan pengurusan ia masih kekal pada paras yang sama."
0 comments Labels: mstar online, najib razak, parlimen