mstar online
24-03-2008 06:11:54 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS
PETALING JAYA: Zaman untuk Barisan Nasional (BN) bermegah dengan pencapaiannya sejak negara merdeka sudah berakhir. Slogan-slogan tentang pembangunan, kestabilan dan kemakmuran yang kerap dijadikan modal oleh BN juga tidak lagi laku kerana maysarakat hari ini lebih faham bahawa itu memang menjadi hak mereka tanpa mengira parti mana yang menubuhkan kerajaan.
Demikian antara pengakuan telus dua pemimpin parti komponen BN, Naib Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung Gerakan Datuk Seri Chia Kwang Chye pada forum anjuran Pusat Kajian Media Asia di sini Isnin.
Forum yang membincangkan realiti politik baru di Malaysia itu turut mengetengahkan ahli panel dari Umno dan DAP. Ahli penal Umno ialah anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed sementara DAP diwakili penasihat ekonominya yang juga anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kim Wee dan ahli Parlimen Klang Charles Santiago.
Dr Chua dan Chia sependapat bahawa perubahan lanskap politik di negara ini berikutan keputusan pilihan raya 8 Mac lalu menuntut tunggak BN, iaitu Umno untuk melakukan perubahan drastik dengan memberikan ruang lebih luas kepada parti komponen bersuara tentang isu-isu etnik kaum lain.
"Isu-isu melibatkan masyarakat Cina terutama tentang keseimbangan peluang pendidikan, perlu ditangani sepanjang masa supaya jangan nanti kerajaan BN dilihat ambil berat tentang masyarakat Cina hanya pada waktu-waktu dekat pilihan raya. Untuk itu, Umno perlu menerima hakikat bahawa MCA mesti lebih lantang bersuara tentang isu etnik Cina mulai hari ini," katanya.
Chia pula mengaku bahawa pola pengundian kali ini yang menyaksikan BN kehilangan pemerintahan di lima negeri dan hanya dapat menubuhkan kerajaan majoriti mudah dan tidak dua pertiga, lebih menunjukkan bahawa orang ramai menolak BN dan bukan menyokong parti atau calon lain.
Keadaan ini, tegasnya, memerlukan BN berpijak di bumi nyata dan tidak terus bermegah diri dengan pencapaian yang terhad pada pilihan raya 8 Mac lalu.
Untuk itu, katanya, BN perlu memahami dan memenuhi tuntutan masyarakat hari ini yang lebih berpendidikan dan berinformasi.
Nur Jazlan pula berkata beliau yakin Umno mampu menghadapi cabaran hari ini seperti mana ia berjaya memerdekakan Tanah Melayu bersama-sama rakan dalam Perikatan daripada jajahan British dahulu.
Beliau juga bekas ahli Exco Pemuda Umno turut membangkitkan isu penghunusan keris yang menyentuh perasaan kaum lain sambil berkata: "Saya yakin Hishammuddin (Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein) tidak akan mengulangi perkara itu. Dia tidak ada lagi buat begitu akhir-akhir ini, bukan?" katanya.
Keris lambang pejuangan Pemuda Umno yang dinamakan Keris Panca Warisan itu mula diperkenalkan pada perhimpunan pergerakan itu pada 2005.
Pua pula berkata, kesan keputusan pilihan raya kali ini banyak menguntungkan orang ramai kerana ia memaksa semua pihak, iaitu gabungan tiga parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS yang kini mahu dikenali sebagai Barisan Rakyat, dan BN untuk bersaingan dalam memberikan perkhidmatan lebih baik.
"Jika negeri-negeri yang kini ditadbir kerajaan BR melakukan sesuatu yang baik, seperti mewajibkan semua wakil rakyatnya membuat deklarasi harta secara terbuka, kerajaan pusat BN juga perlu melakukan perkara yang sama agar tidak dilihat menentang ketelusan.
"DAP sudah menetapkan semua wakil rakyatnya tidak dibenarkan memohon tanah kerajaan. Jika ini ditiru oleh BN, ia akan memastikan hanya yang mahu berkhidmat kepada masyarakat menjadi wakil rakyat, kerana kedudukan ini tidak lagi memberi peluang kepada yang terlibat membuat duit," katanya.
Santiago pula membangkitkan isu kebanjiran warga asing yang menurutnya antara sebab utama BN kehilangan sokongan daripada kalangan orang Melayu dan kaum India.
Katanya, kebanjiran pekerja asing yang tidak terkawal menyebabkan dua kaum yang berada di tangga paling bawah dari segi pencapaian ekonomi ini berasa kerja mereka dan keselamatan keluarga mereka tidak lagi terjamin.
"Secara keseluruhannya, keputusan kali ini juga merupakan satu usaha rakyat untuk mengekang keangkuhan Umno yang telah gagal mendengar rintihan rakyat," katanya.
Selain itu, katanya, rakyat, terutama golongan miskin semakin tertekan dengan penswastaan beberapa perkhidmatan kerajaan, terutama bekalan air yang bukannya menjanjikan mereka perkhidmatan dan kualiti air yang lebih baik, tetapi sebaliknya banyak menyusahkan mereka.
"Sejak bekalan air diswastakan di Selangor tiga tahun lalu 370,000 pengguna telah mengalami pemotongan bekalan. Kesan buruk penswastaan ini dirasai bukan oleh orang kaya, tetapi golongan paling miskin," katanya.
Mengenai isu pindaan kepada Perlembagaan Negara yang dibangkitkan oleh seorang hadirin pada forum itu, Dr Chua berkata, ia bukannya sesuatu yang mudah untuk dilakukan walaupun atas nama kesaksamaan antara kaum.
"Ia bukan perkara remeh. Paling penting ia mestilah mengambil kira realiti kependudukan di negara ini yang merupakan negara berbilang kaum. Sensitiviti Kesultanan Melayu juga mesti diambil kira," katanya.
Read More...
Summary only...