+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++
Showing posts with label siasahdaily. Show all posts
Showing posts with label siasahdaily. Show all posts

Monday, July 20, 2009

Kerajaan Selangor anggap kematian Teoh sebagai tragedi.


Siasahdaily

SHAH ALAM, 17 Julai: Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan kematian Setiausaha Politik Exco kerajaan negeri, Teoh Beng Hock sebagai satu tragedi yang amat menyedihkan dan merasai sama kesedihan dengan apa yang ditanggung oleh seluruh anggota keluarga terlibat.

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian di dalam sidang akhbar tergempar yang diadakan di Bangunan Annex berhampiran Bangunan SUK, dekat sini sekitar jam 8.15 malam malam tadi.

Kebanyakan exco turut serta di dalam sidang media itu yang dihadiri oleh ramai wakil media tempatan meskipun dimaklumkan di dalam masa terdekat.

“Bagi menghormati perasaan kaum keluarga yang sedang bersedih, kita menunggu laporan lanjut dan lengkap dari pihak polis dan patologi; kita tidak mahu mendahului pihak berkaitan termasuk keluarga mereka di dalam memberikan kenyataan.

“Esok sekali lagi Exco Kerajaan Selangor, Teresa Koh akan mengadakan sidang akhbar bersama-sama dengan beberapa orang lagi yang disoal-siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor (SPRM) dan bagaimana siasatan itu berlaku,” tegas Tan Sri Khalid lagi.

Untuk rekod, selepas pejabat exco berkenaan, Ean Yong Hian Wah, diserbu oleh pegawai SPRM, Teoh telah diminta ke pejabat SPRM dan beliau memandu sendiri ke pejabat itu yang terletak di Wisma Masalam di sini.

Menurut Khalid lagi, beliau dimaklumkan, Teoh dibebaskan pada jam 3.45 pagi dan berada di sekitar pejabat SPRM itu sehingga pagi, namun dimaklumkan kematiannya oleh seorang petugas di bangunan itu pada jam 1.30 petang semalam.

Di dalam sidang media itu, tidak dimaklumkan tentang punca kematian Teoh ekoran penyelidikan sedang dilakukan dan esok akan dikeluarkan laporan lengkap mengenainya.

Di dalam hal ini, Khalid berkata beliau mendapat jaminan dari Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Khalid Abu Bakar mengenai penyiasatan terperinci akan dilakukan ke atas kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ean ketika bercakap kepada wartawan berkata, beliau sangat sedih dan kesal dengan apa yang telah berlaku ke atas pegawainya dan meminta SPRM bertanggungjawab sepenuhnya di atas kejadian itu.

“Beliau akan mendaftar perkahwinannya pada esok hari (hari ini),” jelas Ean di dalam sidang sama sambil menjelaskan Teoh adalah bekas wartawan Sin Chew Jit Poh dan berasal dari Alor Gajah, Melaka.

Read More...

Monday, June 1, 2009

Amalan BN sekarang sama dengan PKM dulu - Nik Aziz

Siasahdaily

PULAU PINANG,28 Mei. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Parti Komunis Malaya (PKM) tidak jauh bezanya dengan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan nasionalisma.
Menurut beliau lagi tindakan yang dilakukan oleh BN selama ini adalah mirip kepada apa yang dilakukan oleh PKM.

"Jika pada zaman PKM ramai mereka yang tidak bersalah dan berdosa dibunuh dan dizalimi.Apa bezanya pada zaman ini dimana mereka yang tidak bersalah mudah dizalimi oleh pemerintahan BN. Oleh kerana itu ada persamaan antara PKM yang dahulu dan BN yang wujud sekarang. Kedua-duanya sama saja.

"Oleh kerana itu siapa sahaja yang mengamalkan fahaman nasionalisma maka ia juga adalah serupa dengan PKM yang melakukan kezaliman,pembunuhan,kerosakan dan bermacam-macam lagi ancaman pada zaman darurat dahulu sehingga ramai yang sengsara.

"Kesan yang ditinggalkan oleh PKM pada ketika itu dapat dirasai sehingga sekarang.Begitu juga dengan kerajaan BN yang mengamalkan ISA sebagai satu akta yang menzalimi rakyat yang tidak bersalah.Bukankah ini juga semacam dengan mereka."

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah di Kampung Guar Jering, Penanti, Bukit Mertajam.

Dalam ceramah itu beliau juga menyentuh mengenai kedudukan BN yang semakin terancam dengan perpecahan yang begitu ketara berlaku semasa pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita lihat apa yang berlaku dalam parti PPP.Mereka mulai berpecah kepada dua presiden.Begitu juga di Trengganu yang berpecah dalam kumpulan Umno yang memerintah negeri disana.

"Di Perak juga berlaku kemelut yang sehingga ini rakyat tidak dapat menerima apa yang telah diputuskan walaupun hak rakyat untuk meimilih harus diserahkan kepada rakyat membuat pilihan terbaik," katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PKR, Azmin Ali, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Read More...

Tuesday, May 26, 2009

Husam jangka Dun Perak bubar minggu ini

Siasahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa tetap yakin Dun Perak akan dibubarkan segera selepas Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menang kesnya di Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

"Posting saya tiga hari lalu (Rabu) telah 'meramalkan' Mahkamah Rayuan akan memihak kepada Zambry dan ia menjadi kenyataan hari ini (Jumaat 22 Mei).

"Ia sebenarnya bukan ramalan tetapi maklumat. Maklumat selanjutnya ialah pembubaran Dun Perak dalam masa terdekat, selepas Mesyuarat Majlis BN sekali lagi Isnin atau Selasa ini," tulis beliau dalam blognya.

Bagi Husam, keputusan Mahkamah Rayuan memberikan implikasi besar kepada perundangan di negara ini.

"Keputusan ini memberi kesan besar. Baik di Parlimen mahu pun di Dun yang lain, Agung atau Sultan boleh melantik PM atau MB yang baru tanpa PM atau MB berkenaan terlebih dahulu dilucutkan jawatan mereka melalui usul undi tidak percaya.

"Adakah negara kita sudah bersedia menerima hakikat kemungkinan perubahan teraju kepimpinan melalui proses tabung uji di luar rahim iatu Dewan Rakyat atau Dun seperti yang difahami sebelum ini?

"Khususnya Najib, sudahkah bersedia untuk Ahli Dewan Rakyat mengumpulkan senarai bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepada beliau dan Agung boleh dengan itu melantik PM yang baru tanpa proses Dewan Rakyat?," tanya Husam dalam tulisannya.

Read More...

Friday, May 1, 2009

Muhyiddin tunjukkan jalannya.

Siasahdaily


KEPIMPINAN MELALUI TAULADAN...Kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar dari kediaman Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Demak Jaya di sini, semalam, selepas menziarahi jenazah Puan Sri Laila Taib. Laila, 68, meninggal dunia pada 3.45 petang semalam.

Ketika berdentung dentang para pemimpin Umno bercakap soal penggunaan kereta rasmi Proton Perdana, kereta rasmi Timbalan Perdana Menteri adalah Roll Royce. Foto BERNAMA.

Read More...

Tuesday, April 21, 2009

Eli kunjungi Nik Aziz dengan imej baru

Siasahdaily

Oleh : Hamdan MS

KOTA BHARU, 20 April: Adun kontroversi, Elizabeth Wong telah membuat kunjungan hormat ke atas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediaman rasminya, di JKR 10 Kota Bharu.

Elizabeth kelihatan bersama seorang teman dan seorang pengawal peribadi telah membuat kunjungan tersebut pada Sabtu.

Pertemuan selama 40 minit itu juga merupakan pertemuan empat mata antara beliau dan Nik Aziz.

Menurut Eli, pertemuan tersebut berlaku jam 2 petang dan beliau mengucapkan terima kasih kepada Mursyidul Am PAS itu kerana memberi sokongan kepada beliau sebelum ini.

"Saya akan memberi fokus kepada kerja yang telah ditangguhkan dan bersemangat untuk kembali berkhidmat untuk rakyat," jelasnya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Ditanya butiran pertemuan itu, Elizabeth tersenyum dan berkata bahawa Nik Aziz seorang yang bertimbang rasa kepada kesnya dan Eli berterima kasih kepada Mb Kelantan itu.

Elizabeth sebelum ini dikaitkan dengan isu gambar yang tersebar di internet telah kembali bertugas setelah dua bulan bercuti.

Beliau menerima kembali jawatan sebagai Adun Bukit Lanjan dan juga Exco kerajaan Selangor.

Beliau juga berpendapat bahawa pandangan dari Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin sebagai pandangan peribadi dan beliau juga masih bersahabat baik dengan Zulkifli.

Read More...

Sunday, April 5, 2009

7 tahun menunggu suami bebas ISA, tetapi hampa

Siasahdaily

BUKIT GANTANG, 5 April: “Isteri mana yang tidak sedih bila suami tidak dibebaskan…” itulah kata-kata pertama Puan Norlaila Othman ketika diminta menyatakan perasaannya selepas suaminya tidak tersenarai dalam senarai 13 tahanan ISA yang dibebaskan, baru- baru ini.

(Gambar atas: Saat-saat manis Norlaila bersama suaminya Mat Sah. Namun selepas tujuh tahun dipisahkan mereka tetap menunggu.)

Namun begitu, Norlaila, isteri tahanan ISA selama lebih tujuh tahun, Mat Sah Satray yang sehingga kini gagal dibuktikan kesalahannya, beliau tetap bersabar dan berdoa agar terus tabah menjalani kehidupan ini.

Norlaila berkata demikian dalam satu temubual ringkas dengannya setelah mendapati tiada nama suaminya di dalam kalangan 13 tahanan ISA yang dibebaskan oleh Najib pada 3 April lalu.

Beliau menambah, oleh kerana sudah biasa di mana nama suami tiada dalam senarai mereka yang dibebaskan, beliau dan anak lelaki tunggalnya, Suhaib, 15, tetap dapat menghadapi situasi berkaitan.

Bila ditanya adakah beliau menangis, jawabnya, mestilah tapi sikit sahaja kerana orang tidak sahlah jika orang perempuan tidak menangis untuk meredakan perasaannya.

Tentang anaknya, Suhaib, Norlaila berkata, kelihatan anaknya itu seperti bapanya juga, bersikap tenang sepertimana bapanya juga namun ada juga masa-masanya dia tidak tahan seperti terpaksa menghempaskan beg bila mendapat tahu bapanya tidak juga dibebaskan.

Sebenarnya, ujar beliau, terdapat tiga orang lagi yang ditahan selama tujuh tahun seperti Dr Abdullah Daud dari Johor, Shamsuddin Sulaiman (Kuala Lumpur) dan seorang dari Sabah, Ustaz Zainun Rashid yang isterinya, Hapipah Manji sedang menderita sakit jantung sejak empat tahun lalu.

Bercakap lebih lanjut tentang perasaannya, beliau amat berkata, jika diikutkan memang telah habis air mata menangisi cabaran yang mendatangi keluarga mereka selama ini.

“Peringkat awal dulu, memang saya sering ikutkan perasaan, namun bila difikirkan semula rasanya tidak perlu terus-terusan berbuat demikian, apa yang lebih penting adalah berusaha membebaskan suami dan kawan-kawannya dengan melibatkan diri dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

“Kini telah banyak usaha yang GMI lakukan ke arah membebas dan memansuhkan ISA,” katanya dalam satu pertemuan sebelum ini. IBH

Read More...

Saturday, April 4, 2009

Saya sanggup serahkan Malaysia kepada Nizar – Anwar

Siasah daily

BUKIT GANTANG, 4 April: Penasihat Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sanggup menyerahkan Malaysia pada Haji Ir Nizar Jamaluddin jika PR dapat memerintah negara ini ekoran sifat ikhlas, kuat bekerja, amanah dan mampu memberikan khidmat terbaik.

Ini, ujarnya, terbukti bila mana Haji Nizar telah berjaya menjalankan tugas-tugasnya sebagai Menteri Besar Perak dengan baik dan lancar sehinggakan mendatangkan rasa kurang senang pihak BN yang akhirnya melakukan rampasan kuasa.

“Saya mendapati beliau seorang yang tidak mengambil balak, menjaga kepimpinan bersih boleh membantu rakyat miskin dari kalangan Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa yang dicapkan sebagai pengkhianat bangsa sedangkan di kalangan mereka yang mengamalkan rasuah, minum arak, tangkap orang dan sebagainya dianggap sebagai panglima.

“Apa istimewanya BN yang tidak mampu laksanakan perubahan pada masyarakat berbanding PR yang dalam satu tahun sahaja mampu melakukan apa yang tidak dapat dilakukan oleh BN,” tegasnya yang mendapat sambutan hadirin.

Anwar berkata demikian ketika berucap dalam majlis ceramah di UPU Sungai Tinggi dekat sini, baru-baru ini yang turut disertai sama oleh Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan naib Presiden Keadilan, Dr Lee Boon Chye.

Dalam majlis ceramah itu sebanyak lebih RM1500 berjaya dikutip dari ribuan yang hadir sedangkan berhadapan majlis ceramah PR kelihatan majlis forum perdana anjuran BN tidak mendapat sambutan ramai sedangkan kos khemah sahaja melebihi RM10 ribu.

Read More...

Thursday, April 2, 2009

Siti Nurhaliza kunjungi Nik Aziz

Siasahdaily

Salmah Mat Husain
Foto: Rizal Tahir

KOTA BHARU, 2 April: Penyanyi nombor satu Negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pertemuan yang diadakan di Pejabat Menteri Besar yang berlangsung kira-kira setengah jam itu turut dihadiri suaminya, Datuk Seri Khalid Jiwa atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Datuk K’.

Siti Nurhaliza yang lebih mesra dengan panggilan ‘Siti’ mengambil peluang bertemu dengan Tuan Guru sempena dengan persembahannya di negeri itu sempena keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang ke-59 di sebuah hotel malam tadi.

Sempena dengan kunjungan julungkali itu, Siti Nurhaliza turut menyampaikan cenderahatinya buat Tuan Guru dan begitu juga Tuan Guru turut menyampaikan cenderahati kepada pasangan suami isteri itu.

Datuk K sempat bertanya tentang kesihatan Tuan Guru khususnya berhubung masaalah penyakit yang dihidapi ketua kerajaan itu.

Siti ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana hasrat yang telah lama diidamkannya itu untuk bertemu akhirnya membuahkan hasil walaupun pertemuan itu hanya secara spontan tanpa dirancang awal.

Menurutnya, selama ini beliau hanya mengenali Tuan Guru hanya dalam media masa dan televisyen sahaja, tanpa bertemu secara dekat.

“Alhamdulillah Tuan Guru bersedia menerima kunjungan hormat saya dan suami dan pertemuan ini sebenarnya tiada sesuatu yang istimewa sebenarnya, maksudnya tiada agenda apa-apa.

“Orang kata sepanjang hidup ni nak juga lah bertemu dengan Tuan Guru kerana saya begitu menghormati beliau secara peribadinya,”ujarnya lagi.

Setelah bertemu dengan Tuan Guru, beliau semakin mengenalinya sambil menyifatkan Tuan Guru seorang yang berpegang pada prinsip serta ajarannya yang tersendiri.

“Saya selalu datang Kelantan, orang kata nak jugalah bertemu dengan Tuan Guru selaku tuan rumah pada negeri ni dan tidak adalah orang kata istimewa ke apa-apa ke," katanya.

Sementara itu kakitangan Pejabat Menteri Besar serta kakitangan awam lain yang berhampiran dengan pejabat itu turut mengambil peluang untuk bertemu dengan salebriti ternama itu sambil bersalam dan bergambar.

Read More...

Sunday, March 29, 2009

Penyokong PAS banjiri Taiping, Umno turun dengan pimpinan baru

siasahdaily








TAIPING, 29 Mac: Penamaan calon bagi pilihan raya kecil Bukit Gantang pagi tadi memperlihatkan keyakinan kedua-dua PAS dan Umno apabila menyaksikan kehadiran hampir 10,000 penyokong Pakatan Rakyat manakala pemimpin-pemimpin baru Umno yang dipilih dalam perhimpunan agung parti itu baru-baru ini hadir menunjukkan sokongan.

Penyokong Pakatan yang tiba seawal 6.00 pagi memenuhi sekitar kawasan Wisma Majlis Perbandaran Taiping dan kawasan Jalan Alang Ahmad.

Suasana di kawasan penamaan calon itu kian sesak apabila menghampiri jam 8.00 pagi, apabila penyokong Barisan Nasional berkumpul di hadapan bangunan Umno Bahagian Taiping bersama dengan beberapa pemimpin Umno yang turut serta memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional, Ismail Safian.

Calon PAS, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diiringi oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalan mursyidul am, Datuk Dr Haron Din, pesuruh jaya PAS Perak, Ahmad Awang, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut, Mujahid Yusuf, S Sivakumar dan pemimpin Pakatan Rakyat lain termasuk Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok, Ronnie Liu serta pemimpin DAP Perak, Nga Kor Meng dan Ngeh Kor Ham.

Antara pemimpin Umno dan BN yang hadir ialah timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Zambry Abdul Kadir, Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Puad Zarkashi, Tengku Adnan Mansor, Datuk Anuar Musa, presiden Parti Progresif Rakyat, M Kayveas serta pemimpin MIC negeri, G Rajoo dan naib pengerusi MIC, S Veerasingam.

Seramai 200 anggota polis antirusuhan telah diletakkan di kawasan padang esplanade yang mengasingkan penyokong Pakatan Rakyat dan BN. Seramai tiga orang calon telah mengemukan borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang ini.

Calon PAS, Mohammad Nizar telah sampai tepat jam 8.45 pagi dan borang pencalonan telah dihantar jam 9.06 manakala calon BN, Ismail tiba jam 9.10 diiringi oleh Muhyiddin Yassin.Seorang lagi calon bebas, Kamarul Ramizu Idris juga turut bertanding.

Penyokong Pas dilihat lebih ramai berbanding dengan penyokong Barisan Nasional. Bunyian gendang serta sorakan penyokong Pakatan Rakyat jelas menenggelamkan sorakan penyokong BN.

BN dilihat bersemangat berdasarkan kehadiran pemimpin baru juga dibantu oleh parti komponen lain. Pilihan raya kecil ini dilihat sebagai ujian kepada kepimpinan baru Umno di bawah Datuk Seri Mohd Najib Razak yang dijadual mengambil alih jawatan perdana menteri awal bulan depan.

PAS dan Pakatan Rakyat dijangka menggunakan isu krisis dalam politik dan pentadbiran negeri Perak sebagai isu untuk berhadapan dengan Umno dan BN, selain serangan terhadap personaliti presiden baru Umno.

Umno sejak pagi ini telah menunjukkan kesungguhannya menggunakan apa yang disifatkan sebagai penderhakaan terhadap raja oleh Nizar selain isu-isu lain seperti pengaruh kuat DAP dalam pentadbiran negeri untuk memenangi hati pengundi Melayu.

Read More...

Tuesday, March 24, 2009

Altantuya: Seluruh dunia kini perhatikan Malaysia

siasahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Selepas akhbar Perancis, Liberation mendedahkan cerita terperinci pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu dan kaitannya dengan pemimpin negara, akhbar British, Times pula menerbitkan cerita sensasi itu.

Turut menyiarkan cerita ini adalah TV Australia, ABC, sebelum ini.

Semalam, 22 Mac, Timesonline menyiarkan semula cerita itu dengan tambahan maklumat dari wartawannya di Kuala Lumpur.

Menurut laporannya itu, selain pembunuhan Altantuya, pusat kepada laporan ini adalah pemberian komisyen sebanyak RM155 juta kepada Perimekar Sdn Bhd yang dimiliki oleh Abdul Razak Baginda.

Menurut laporan Times, pembangkang mendakwa RM155 juta itu adalah komisyen pembelian kapal selam dari Perancis, manakala menteri Pertahanan waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata ia bukan komisyen tetapi bayaran perkhidmatan projek.

Abdul Razak telah dibebaskan dari dipanggil membela diri ekoran pembunuhan Altantuya dan kini sedang membuat PhD di Trinity College, Oxford.

Namun dua anggota Unit Tindakan Khas yang menjaga keselamatan pemimpin negara, Ketua Inspektor Azilah Hadri, 32, and Kopral Sirul Azhar Umar, 36, sedang menunggu keputusan atas tuduhan membunuh wanita Monggolia itu.

Dengan laporan dari Times bermakna, sudah empat negara luar yang terlibat secara langsung dalam kes ini iaitu Monggolia yang menjadi negara Altantuya, Perancis yang menjual tiga kapal selam yang menjadi isu serta tempat Liberation diterbitkan, Australia yang menjadi pusat ABC yang menerbitkan rencana khas mengenai rancangan ini dan kini British yang menerbitkan Timesonline.

Isu pergantungan Gobind Singh Deo, anggota Parlimen Puchong juga menimpulkan tandatanya di kalangan anggota Senat Amerika dengan persoalan "Apakah benar Najib terlibat".

Dalam pada itu, kempen sedang dibuat di negara ini agar Yang Dipertuan Agong tidak melantik Najib sebagai Perdana Menteri selepas Datuk Seri Abdullah meletakkan jawatan nanti.

Dua pemimpin kanan PAS, Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta Abdullah kekal manakala ada juga yang mencadangkan agar Yang Dipertuan Agong melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai PM baru.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazeri Aziz dalam kenyataannya di Dewan Rakyat berkata, Yang Dipertuan Agong mempunyai kuasa mutlak melantik seorang Perdana Menteri yang difikirkannya mendapat sokongan majoriti di Parlimen.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga de facto Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim juga memohon Yang Dipertuan Agong agar jangan melantik Najib sebagai Perdana Menteri kerana ia akan memecahbelahkan negara.

Read More...

Sunday, November 30, 2008

Pertembungan impian: Wan Mutalib lwn Wan Farid

siasahdaily












KUALA TERENGGANU, 28 Nov:
Berikutan kematian anggota Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Muhamad petang tadi, kini Kuala Terengganu bakal menyaksikan pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Dan pertembungan impian adalah antara Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Wan Mutalib Embong dengan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid.

Wan Mutalib adalah calon yang disebut-sebut untuk menjadi calon PAS di Kuala Terengganu sebelum PAS Pusat memutuskan untuk mencalonkan Naib Presidennya, Haji Muhamad Sabu di situ.

Wan Farid yang kini adalah senator dan Timbalan Menteri Dalam Negeri pula adalah calon yang disebut-sebut untuk bertanding dalam pilihan raya lalu di kawasan ini tetapi nama beliau hilang selepas itu.

Ramai pihak menganggap pertembungan kedua-duanya adalah pertembungan impian banyak pihak kerana kekuatan yang dimiliki oleh kedua-dua calon itu di kawasan ini.

Wan Mutalib, AJK PAS Pusat, sebelum ini adalah Adun Batu Burok. Beliau kini menjadi Pengerusi JK Pemantau bagi pihak PAS Pusat untuk semua negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Selain beliau, turut tersenarai untuk menjadi calon-calon PAS adalah pesuruhajaya PAS Terengganu sendiri, Datuk Mustafa Ali.

Di pihak BN pula, nama bekas anggota Parlimen Kuala Terengganu, Zuber Embong juga ada disebut-sebut.

Read More...

Saturday, November 15, 2008

Sikap PAS terhadap perpaduan

Siasahdaily

PAS mengikuti perkembangan mutakhir dalam isu dan persoalan yang membabitkan kepentingan Perpaduan Nasional.

Perkembangan terkini menggambarkan ketidakpuasan hati kaum lain melalui kenyataan-kenyataan dan tindakan-tindakan parti-pari politik samada dari komponen BN ataupun dari Pakatan Rakyat.

Isu kenyataan tentang pertikaian fakta sejarah, tuntutan kuaota 30% pemilikan korporat untuk bumiputera dan perlantikan Pengurus Besar PKNS bukan dari orang Melayu.

Begitu juga sebaliknya kenyataan yang menyinggung masyarakat bukan Melyu telah menimbulkan berbagai perspektif yang boleh menggugat perpaduan sekaligus kestabilan politik negara.

PAS menyeru supaya semua pihak mengawal emosi masing-masing dan melihat perspektif yang lebih besar dari kepentingan politik perkauman. Sepatutnya konsensus terhadap Kontrak Sosial, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara menjadi penghayatan yang perlu ditajdidkan maknanya untuk kepentingan semua rakyat Malaysia.

Oleh itu Lujnah Perpaduan Nasional ingin mencadangkan kepada semua pihak langkah berikut;

1. Kita harus mengecam diri kita sebagai rakyat Malaysia yang berdaulat dan mempunyai susurgalur budaya dan sejarahnya yang tersendiri. Pengecaman kepada kaum dan identiti budaya masing-masing hanya akan meningkatkan lagi ketaksuban dan sentiment perkauman.

2. Hindari syak wasangka dan mentaliti ethno-centric yang sentiasa mengundang konflik sosial samada secara sembunyi atau nampak yang melihat kaum lain dengan kacamata kebencian dan permusuhan.

3. Hayati kontrak sosial sebagai satu toleransi yang asasnya meletakkan Raja Melayu, Agama Islam dan orang Melayu sebagai asas kepada terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Persekutuan Malaysia. Dengan pemahaman ini masing-masing akan lebih peka dalam menyampaikan apa sahaja pandangannya yang membina untuk negara.

4. Perlembagaan Persekutuan adalah semangat yang memandu apa sahaja transformasi politik hari ini supaya tidak tersasar niat dan semangat patriotik kita sebagai warganegara yang bertangungjawab kepada negaranya.

5. Pembentukan negara kita mestilah dengan acuan kita, pandangan dan pendapat dari luar tidak boleh diciplak secara totok tanpa kesesuaian dengan proses yang unik yang dilalui oleh negara kita.

6. Penghormatan kepada Islam sebagai agama resmi persekutuan negara hari ini seharusnya menjadi nilai paling supreme kepada seluruh warganegara Malaysia dengan tidak menyekat kebebasan menganut agama lain.

Lujnah Perpaduan Nasional yakin dengan langkah ini, keruncingan dari masalah perkauman hari ini dapat diselamatkan apatah lagi selama ini negara kita diperintah dengan hegemoni BN yang menyalahgunakan kerangka dan asas negara untuk tujuan kepentingan sempit politik perkauman yang mereka amalkan.

Sekian

Dr Mujahid Yusof Rawa
Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS
Ahli Parlimen Malaysia.
5/11/08

Read More...

Thursday, November 6, 2008

Tahniah Barack Obama - PAS

Siasahdaily

Oleh SALMA HUSIN

KOTA BHARU, 5 Nov: Mursyidul Am PAS menyifatkan kemenangan Barack Obama dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini merupakan satu perkembangan baru politik dunia.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perkembangan itu membuktikan rakyat Amerika menolak cara agresif George W Bush yang sebelum ini menindas dengan rakus negara-negara umat Islam.

"Apa yang diharapkan semoga Obama membawa harapan baru rakyat di seluruh dunia, sesuai dengan imejnya yang merupakan orang kulit hitam pertama yang bakal menjadi Presiden Amerika," ujarnya sebagai reaksi pertama ekoran kemenangan Obama yang kini menghampiri White House.

Beliau memberitahu demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim di sini, Rabu lalu.

Di Washington Senator Barack Obama berjanji kepada rakyat Amerika Syarikat akan membawa negara itu ke era baru yang diharapkan semua pihak.

Beliau mencipta sejarah sebagai pemimpin pertama daripada masyarakat kulit hitam untuk mengetuai White House setelah ditunggu dalam tempoh begitu lama.

"Pilihan raya itu merupakan satu detik yang bermakna ke arah perubahan Amerika," kata Obama ketika berucap pada kemenangannya di hadapan kira-kira 240,000 penyokongnya di Chicago Rabu lalu.Manakala lawannya Mc Cain mengaku kalah dalam pemilihan tersebut.

Nik Abdul Aziz yang Menteri Besar Kelantan berkata, sebelum ini Amerika telah meninggalkan kesan yang buruk kepada masyarakat dunia ekoran tindakan agresif yang akan diteruskan McCain dari Parti Republikan.

"Bush sebelum ini 'minum' darah dengan melancar peperangan di Afghanistan, Iraq, Palestin dengan menggunakan kuasa tenteranya," ujar beliau.

Beliau juga mencadangkan Obama menolak fahaman membezakan warna kulit seseorang, sebaliknya dilayan dengan sama rata.

Beliau berkata, semua bangsa di dunia ini sama ada mereka berkulit putih atau hitam sama di sisi Allah, dan apa yang membezakan antara mereka ialah ketaqwaan terhadapNya.

"Sekarang rakyat Amerika dapat menerima seorang pemimpin kulit hitam dan diharap selepas itu serangan terhadap umat Islam juga berakhir tidak sebagaimana dilakukan Bush," ujarnya.

Beliau juga berharap perubahan ke arah itu benar-benar berlaku dan tidak menjadikan Islam sebagai musuh .Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa turut mengucapkan tahniah kepada Obama yang kini mendahului kemenangan dalam pilihan raya Amerika Syarikat.

Menurutnya, kemenangan Obama membuktikan rakyat Amerika sendiri menolak pemimpin yang angkuh serta tidak menerima pandangan rakyatnya.

Katanya, sebelum ini Bush begitu angkuh dengan mengenepikan pandangan orang lain terutamanya pemimpin negara umat Islam.

"Jadi kita berharap Obama tidak meneruskan gaya berkenaan, sebaliknya lebih bersikap tolak ansur dan berperikemanusiaan," ujarnya.

Read More...

Ekonomi: Najib - Anwar dicadang berdebat

Siasahdaily



KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mencadangkan debat terbuka mengenai belanjawan negara antara Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jika Najib merasa beliau tidak cukup masa dan kesempatan untuk memberi ruang pembangkang meminta penjelasan darinya di dalam Dewan Rakyat, satu debat terbuka mengenai belanjawan boleh diadakan antara beliau serta dua wakil di pihak Barisan Nasional (BN) dengan Anwar serta wakil dari PAS dan DAP di pihak Pakatan Rakyat (PR)," katanya.

Debat tersebut boleh dibuat di mana sahaja yang dipersetujui oleh Najib termasuk menggunakan kemudahan di Dewan Rakyat sendiri di luar waktu persidangannya dan disiarkan secara langsung untuk dinilai oleh rakyata, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

"Sebagai tokoh yang akan menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, hentikanlah sikap jaguh kampung yang hanya berani membidas dan mengecam di belakang pembangkang tetapi tidak berani berbahas secara berhadapan mengenai belanjawan negara," kata Mahfuz.

Beliau juga meminta Najib menghentikan pelbagai dakwaan mengenai ekonomi negara.
"Najib terus-menerus membuat pelbagai kenyataan bercanggah mengenai ekonomi Malaysia.
"Sekejap kata Malaysia tidak akan terjejas, selepas itu kata Malaysia juga akan turut menerima kesan kemelut ekonomi dunia. Satu ketika mendakwa Malaysia mempunyai fundamental kukuh, selepas itu nak gunakan pula lagi RM7 bilion untuk menghadapi kesan kegawatan ekonomi. Najib seperti orang yang terpinga-pinga," katanya lagi.

Paling akhir, Najib tampil dengan dakwaan kononnya Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi teknikal pada tahun hadapan.
Dakwaan itu bertentangan dengan jangkaan Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Mohamed Ariff yang menjangkakan peratusan kemungkinan Malaysia akan menghadapi kemelesetan teknikal tahun hadapan meningkat sehingga 40 peratus, jika Amerika yang merupakan salah satu rakan dagangan utama Malaysia menghadapi kemelesetan.

"Ia bermakna pertumbuhan negatif untuk dua suku tahunan dan 30 peratus kemungkinan ia akan menjadi kemelesetan sebenarnya yang berpanjangan melebihi dua suku tahunan, bergantung kepada apa yang berlaku di Amerika," katanya.

Ahli Majlis Ekonomi Malaysia, Datuk Mohamed Azman Yahya pula mengingatkan bahawa kemerosotan ekonomi yang semakin hampir mungkin lebih mencabar dari krisis yang dihadapi pada tahun 1998
Dalam krisis kali ini, katanya, Malaysia menghadapi risiko stagflasi di mana pertumbuhan akan bergerak perlahan di dalam persekitaran yang tinggi kosnya.

Ia juga mungkin yang terburuk, katanya, dan apa yang lebih membimbangkan ialah kemerosotan kali ini ialah fenomena global.
Sebelum ini, laporan Political & Economic Risk Consultancy (PERC) yang berpengkalan di Hong Kong meletakkan Malaysia antara negara yang paling berisiko tinggi dalam menghadapi krisis ekonomi dunia yang dijangka akan bertambah buruk.

Read More...

Monday, November 3, 2008

Madam Low hanya sementara, kata Tan Sri Khalid

Siasah daily

BERNAM JAYA, 3 Nov:
Tindakan kerajaan Selangor yang melantik Madam Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor yang baru telah menimbulkan reaksi yang berbeza terutamanya dari rakyat Selangor.


Isu ini dilihat sebagai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim seperti menidakkan orang Melayu di jawatan nombor satu itu. Namun, Khalid mempunyai penjelasan tersendiri mengenai hal in, lapor HAMDAN MS.

Beliau ditemui selepas sesi pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Industri Selangor (Unisel) yang disempurnakan oleh Canselor Unisel, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor di Bernam Jaya, Selangor 2 Nov lepas.

"Beliau telah berkhidmat selam 35 tahun di PKNS, dan rekod beliau memang cemerlang, Low Siew Moi hanya seorang sahaja perempuan berbangsa Cina, dan tidak dapat merobah atau mengugut orang Melayu pun, orang Melayu jangan terpedaya dengan kenyataan yang menyimpang ini," jelas Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagi beliau, apa yang berlaku sekarang memperlihatkan orang Melayu semakin prihatin dan atas faktor ini juga, mereka hendaklan sentiasa produktif dan memperbaiki kedudukan ekonomi dan orang Melayu.

"Selama saya bertugas di PNB dahulu, sudah ramai yang saya beri amaran dan ditukarkan oleh kerana prestasi yang tidak memuaskan, akhirnya mereka sedar bahawa tindakan saya benar....janganlan diperbesarkan perkara biasa ini. Ini berlaku di mana-mana syarikat di negara dan di luar negara...." tambah Khalid Ibrahim lagi.

Melihatkan rasa tidak puas hati khasnya dari pegawai-pegawai kanan PKNS, menurut Khalid, selama ini PKNS tidak menunjukkan kemajuan dan hanya golongan tertentu sahaja yang dapat peluang bersama PKNS, "ini semua tidak adil," katanya.

"Perlantikan ini bukan satu perkara yang luar biasa, malulah jika perkara ini digembar-gemburkan oleh semua pihak termasuk Utusan Malaysia. Syarikat luar negara akan mentertawakan kita kelak," katanya.

Menjawab laporan Utusan, Khaled berkata, pemimpin Pakatan Rakyat sentiasa berjumpa untuk berbincang isu semasa.

"Saya akan turut menjelaskan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan perkara ini melalui lapuran biasa kepada beliau melalui mesyuarat Pakatan nanti," katanya.

Bagi beliau, orang Melayu tidak harus bimbang, kerana perlantikan ini hanyalah sementara dan maksimum ialah setahun sementara memilih calon yang baru.

Kerajaan Selangor tidak akan menyambung kontraknya lagi kerana dia sudah tiga kali dilantik secara kontrak sebelum ini.

"Orang Melayu seharusnya sedar dan bangun dari tidur selama ini. Janganlah tidur lagi, perkara ini harus dilihat positif oleh orang Melayu," katanya.

Menurutnya, kerajaan Selangor kini sedang mengkaji beberapa calon yang sesuai dan berkaliber untuk mengisi jawatan itu.

"Ada beberapa faktor yang saya titik beratkan selain daripada kelayakan. Saya ingin mengenengahkan orang yang berkaliber dan jujur serta adil kepada semua bangsa," katanya.

Read More...

Friday, October 31, 2008

Grand design sekat Najib?

Siasahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Satu demi satu kontroversi yang menimpa bakal perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Apakah ia berlaku tanpa dirancang atau sememangnya ada perancangan besar (grand design) di belakang semua perkara ini.
Inilah yang hangat dibincangkan di kalangan penyokong timbalan presiden Umno itu.

"Kalau hendak dikatakan ia perkara biasa dalam tempoh peralihan kuasa kerana dia pun tidak boleh mengawal sepenuhnya lagi, apakah selepas menjadi PM segala kontroversi ini akan hilang?" soal seorang penganalisa politik yang mengkaji perkara ini.

Beliau mengkaji trend memburuk-burukkan nama baik Najib yang sedang merebak sekarang ini.

"Mula-mula (Datuk Seri) Anwar membawa isu Altantuya. Selepas itu, Bank International Indonesia (BII). Pembangkang juga bantah isu pinjaman RM5 bilion wang KWSP. Kini Pak Lah batalkan projek pembelian Eurocopter, Mahathir pula kritik cadangan memansuhkan pendekatan DEB. Semua kontroversi ini menghala kepada Najib. Saya rasa ini semua ada perancangan," kata beliau kepada Siasah.

Beliau berpendapat, semacam ada satu usaha untuk memburuk-burukkan nama Najib supaya dia tidak sempat menjadi PM Mac tahun depan.

Namun, siapakah yang berkepentingan?

Pertama, adalah pembangkang. Sememangnya pembangkang risau dengan pendekatan yang bakal diambil Najib dalam menghadapi kebangkitan mereka sebagaimana pendekatan Abdullah ketika mula-mula mengambil alih tapuk kepimpinan negara sebelum ini.

"Jika Najib sempat naik, ramai yang berpendapat habislah peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Oleh itu, pembangkang perlu sekat Najib. Jadi, mereka kena pastikan Najib tidak jadi PM," katanya.

Pihak kedua yang ada kepentingan adalah 'budak-budak Abdullah'.
Mereka ini terdiri dari para pemimpin Umno yang bimbang apabila Najib dan Muhyidin naik, mereka akan tersingkir dari kedudukan mereka sekarang.

"Mereka telah gagal memujuk Pak Lah agar lawan Najib. Pak Lah tak mau Umno pecah. Sekarang mereka berusaha untuk memastikan Najib tidak sempat jadi PM pula," kata sumber itu.

Bagi beliau, jika adanya grand design ini, ia adalah kerjasama antara budak-budak Pak Lah dengan pembangkang untuk menyekat Najib.

Read More...

Saturday, September 27, 2008

Kerajaan Pakatan majoriti Islam - Anwar


KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa majoriti ahli parlimen Islam dan bumiputera tetap akan dipertahankan sekiranya Pakatan Rakyat dapat membentuk kerajaan baru kelak.

"Saya berikan ketegasan bahawa majoriti ahli parlimen Muslim dan bumiputera itu dapat dipertahankan.

"Pakatan rakyat termasuk DAP menerima kenyataan ini. Tidak jadi masalah sama sekali," kata Anwar dalam satu sidang media di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini Di MARANG, Terengganu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu bersedia untuk mengubah kerajaan dengan syarat kerajaan yang lebih baik daripada yang sedia ada.

PAS juga, katanya meletakkan syarat supaya kerajaan baru itu dikuasai Islam.

“Pertama, PAS meletakkan syarat kerajaan itu dikuasai oleh Islam. Jika Islam tidak majoriti, perubahan itu tidak akan disertai oleh PAS. PAS akan tarik diri terang-terang jika tidak majoriti Islam.

“Kedua, kerajaan itu mesti sebuah kerajaan yang kukuh dan bukan kerajaan yang lemah. Dan kerajaan kukuh mestilah oleh wakil-wakil rakyat yang konsisten (istiqamah) dan bukan yang penakut. Terang-terang kita sebut, jika wakil rakyat itu penakut, bagaimana hendak buat perubahan. Perubahan itu sementara sahaja,” ujarnya.

Siasah difahamkan, semasa pertemuan tiga penjuru antara Anwar, Abdul Hadi dan Mursyidul Am, Datuk Nik Andul Aziz Nik Mat di Kota Bharu, syarat majoriti Islam itu juga diberikan kepada Anwar oleh Abdul Hadi.

Dalam pertemuan itu, Anwar dikatakan telah memberikan penerangan tentang kaedah pembentukan kerajaan baru yang akan dibuat oleh beliau dan rakan-rakan Pakatan di Kuala Lumpur.

Read More...

Tuesday, September 23, 2008

Abdullah akan lawan habis-habisan

Siasahdaily


KUALA LUMPUR, 22 Sept: Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Umno akan datang walaupun sebelum ini disebut-sebut akan melepaskan jawatannya segera.

Menurut sumber, perbincangan Abdullah dengan para pegawai kanannya serta penyokong kuat beliau di kalangan anggota Majlis Tertinggi Umno memutuskan 'Abdullah boleh mendapat pencalonan yang cukup' dari bahagian-bahagian Umno.

Keyakinan ini mereka perolehi selepas berbincang dan menolak sama sekali pandangan Datuk Seri Rafidah Aziz dalam mesyuarat MT Umno baru-baru ini Abdullah akan malu jika meneruskan niatnya untuk mempertahankan jawatannya.

Ini kerana, Rafidah dikatakan berkata dalam mesyuarat MT Umno Khamis lepas, Abdullah besar kemungkinan tidak mendapat pencalonan yang mencukupi untuk mempertahankan jawatannya sebagai presiden Umno.

Untuk itu, lebih baik Abdullah melepaskan jawatan itu sebelum mesyuarat bahagian Umno yang akan bermula Oktober ini.

Namun, selepas perbincangan dengan penyokong dan pegawainya, Abdullah mengambil sikap akan mempertahankan jawatannya kerana ingin menolak 'seolah-olah dia tidak akan mendapat cukup pencalonan untuk bertanding.'

Rafidah bersama Datuk Seri Muhyidin Yasin, Datuk Seri Hishamudin Tun Husein dan Datuk Shafei Apdal dikatakan mendesak Abdullah agar mempercepatkan peralihan kuasa bagi mempastikan BN terus kekal memerintah Malaysia.

Ekoran itu, Abdullah dikatakan bersedia untuk berundur lebih awal. Namun, selepas berbincang dan menilai semacam dia dihina oleh rakan-rakannya dalam Umno seolah-olah beliau sangat lemah sehingga tidak akan mendapat pencalonan yang mencukupi, Abdullah dikatakan bersedia berlawan balik.

Abdullah memerlukan pencalonan sekurang-kurangnya 30 peratus dari perwakilan Umno iaitu sekurang-kurangnya 58 pencalonan bagi membolehkan beliau mempertahankan jawatan presiden.

"Orang boleh menerima kalau ditolak sedikit tetapi kalau lebih-lebih sangat, dia akan melawan balik. Inilah yang berlaku kepada Abdullah. Dia sudah bersetuju untuk mempercepatkan proses peralihan kuasa. Tetapi kalau dia dihina sehingga dikatakan tidak akan mendapat pencalonan yang mencukupi, dia akan lawan balik. Inilah yang berlaku. Orang-orang Abdullah akan pastikan dia akan mendapat pencalonan yang cukup dan menang. Kena ingat, Abdullah adalah Perdana Menteri," kata seorang penganalisis politik kepada Siasah.

Ekoran dari itu, petugas Abdullah dikatakan mula bekerja. Semalam, Abdullah meluangkan masa dari petang hingga ke malam bersama dengan para pemimpin Umno di Perak.
Perak mempunyai perwakilan Umno antara tertinggi selain dari Johor.

Dengan tindakan Abdullah ini bermakna timbalannya yang berada di belakang usaha untuk mempercepatkan peralihan kuasa ini, Datuk Seri Najib berada di pihak yang sangat tertekan sekarang.

"Abdullah tidak hilang apa-apa kalau kalah kerana dia memang sudah mahu bersara, tetapi kalau Najib kalah, dia akan hilang segala-galanya," kata penganalisis itu.

Read More...

Thursday, September 18, 2008

Selesai: Mustafa bertemu Nik Aziz di Kota Bharu


Siasahdaily

KOTA BHARU, 18 Sept: “Selesai,” kata Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali sebaik sahaja selesai pertemuan antara beliau dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi ini.

Setelah dilihat bertembung dalam akhbar rasmi parti mereka, Harakah, Mustafa bertemu dengan Nik Abdul Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10 jam 10 pagi ini.

Pertemuan itu berlangsung lebih satu jam dalam suasana yang sangat harmoni.

"Ia umpama pertemuan anak dan ayah," kata Mustafa kepada wartawan.

Kedua-dua mereka dilihat bertembung apabila Harakah menyiarkan wawancara khas dengan Mustafa berkait dengan 16 September dan usaha menubuhkan kerajaan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mustafa, dalam wawancaranya, tidak pro sangat dengan projek itu.

Nik Aziz tidak bersetuju dengan Mustafa lalu membuat satu kenyataan kepada Harakah selepas lidah rasmi PAS itu menyiarkan wawancara Mustafa itu.

Harakah telah menyiarkan pula kenyataan Nik Aziz itu dan dijadikan berita utama muka belakang.

Tidak cukup dengan kenyataan itu, Nik Aziz telah sekali lagi mengkritik Mustafa dalam ceramahnya di Markas Tarbiyah PAS di Taman Melewar beberapa hari lepas.

Sesetengah pihak mendakwa Harakah menyekat kenyataan Nik Aziz seolah-olah tidak menyiarkannya dengan menuduh Harakah mengISAkan kenyataan itu.

Padahal apa yang dilakukan Harakah adalah menyiarkan kenyataan itu dengan mengambil fakta penting kenyataan itu dan dibuat dalam bentuk berita.

Read More...

Tuesday, September 16, 2008

Selepas 45 tahun, pembentukan Malaysia diraikan

Siasahdaily


KELANA JAYA, 16 Sept: Selepas 45 tahun berlaku, pembentukan Malaysia diraikan dengan penuh kebanggaan di Stadium Kelana Jaya malam tadi.

Ia diraikan oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat yang diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut serta adalah para pemimpin DAP dan PAS yang menjadi rakan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Mewakili PAS adalah Naib Presidennya, Ustaz Ahmad Awang serta Setiausaha Agung, Datuk Kamarudin Jaffar. Manakala DAP diwakili oleh pemimpinnya iaitu Lim Kit Siang dan juga Lim Guan Eng.

Mereka sama-sama menyanyikan lagu Negaraku sambil mengibarkan bendera kebangsaan, Jalur Gemilang.

Sebelum itu, mereka berbuka puasa dan solat Maghrib dan Terawikh bersama-sama.


Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |