+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, April 20, 2010

Koleksi Video - Pemimpin Umno lebih teruk minum arak, berjudi -Zaid

Pemimpin Umno lebih teruk minum arak, berjudi




Harakahdaily

PETALING JAYA, 20 April:
Calon Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim (gambar) berkata pemimpin Umno juga ramai mengambil alkohol sepertinya dahulu namun tidak berniat untuk mengaibkan mereka.

Beliau sewaktu wawancara eksklusif bersama Harakah dan Harakahdaily semalam memberitahu, isu itu sengaja ditimbulkan pemimpin Umno/BN setelah beliau menyertai Pakatan Rakyat kerana mahu menjatuhkan karier politiknya. [LIHAT VIDEO]

"Saya berterus terang, itu dulu, dalam Umno pun ramai menteri-menteri macam saya dulu, tapi tidak menjadi isu pada waktu itu.

"Peribadi saya, karektor saya, Islam saya dipersoal setelah saya bersama-sama Pakatan Rakyat,” katanya yang juga pernah menjawat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, apa yang berlaku itu adalah sejarah lampau yang sudah lama ditinggalkannya yang berbeza dengan sesetengah pemimpin Umno lain yang masih tidak dapat meninggalkan tabiat buruk itu.

"Saya manusia, dalam lumrah hidup kita adalah salah silap, tapi yang pentingnya apakah saya insaf dan sedar.

"Itulah beza saya dengan menteri Umno, saya berterus terang bukan hipokrit," tambahnya lagi.

Mengenai serangan peribadi oleh Umno terhadapnya, beliau menyerahkan kepada pengundi Hulu Selangor untuk menilai sikapnya setelah membuat pengakuan jujur sebelum ini.

Berhubung tuduhan bahawa beliau kaki judi pula, Zaid berkata semua tohmahan yang dilemparkan Umno itu tidak betul, sebaliknya perkara itu dilakukan pemimpin Umno.

"Kaki judi ini sebenarnya langsung tidak betul, yang berjudi besar sebenarnya di kasino-kasino adalah menteri-menteri Umno, berjuta-juta ringgit, hutang tak bayar, tidak ada apa-apa tindakan terhadap mereka.

"Tapi saya tak nak sebut dan tak nak aibkan mereka," jelasnya.

Sewaktu bertanding sebagai calon Umno/BN pada PRU 2004 di Kelantan, katanya, PAS sebagai parti lawan pada waktu itu langsung tidak menyentuh isu peribadinya biarpun parti Islam itu tahu latar belakang dirinya.

Tetapi pemimpin Umno kini sangat terdesak dan sangat takut sehingga terpaksa menggunakan taktik jahat menyerang peribadinya.

"Inilah budaya politik Umno sebenarnya, politik manusia yang takut kuasa mereka hilang.

"Inilah petanda mereka sedang cemas," katanya.

Read More...

Penyebaran Fitnah Harus Dielak Dalam Proses Kempen - Kamalanathan

Bernama

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan berkata berkempen secara bersih dan telus, sekaligus mengelak daripada menyebar fitnah.

Sepanjang pengalaman beliau dalam proses perebutan kerusi dalam mana-mana pilihan raya, fitnah merupakan sentimen yang sering dimainkan untuk memancing undi di samping menjatuhkan keperibadian seseorang calon.

"Berdasarkan pengalaman dari siri kempen yang lepas, mewujudkan fitnah merupakan satu kesalahan besar yang harus dielakkan.

"Saya telah berpesan kepada jentera BN kita hanya akan berkempen cara bersih, berpandukan apakah pencapaian saya sebelum ini, apa yang BN mampu lakukan dan apa yang Kamalanathan mampu lakukan jika diberikan peluang oleh para pengundi," katanya dalam rancangan bual bicara Soal Jawab yang disiarkan di TV3 malam Isnin.

Ketika disoal tentang janji beliau pada penduduk Hulu Selangor, Kamalanathan menegaskan penyediaan keperluan asas akan diberi penekanan dalam agenda kempen beliau.

Kamalanathan berkata antara keutamaan beliau jika menang ialah, penyediaan keperluan asas yang secukupnya, pembangunan tanah-tanah kosong di sekitar Hulu Selangor dan pembinaan kampus baru Universiti Teknologi MARA (UiTM).

"Pembangunan tanah kosong dan kampus UiTM ini dilihat mampu meningkatkan petumbuhan industri-industri di sekitar kawasan sekaligus mampu mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan yang lebih banyak," katanya lagi.

Selain itu Kamalanathan yang fasih bahasa Melayu, Tamil dan Inggeris serta sedikit Mandarin berkata penguasaan melebihi satu bahasa merupakan satu 'advantage' bagi seseorang , khususnya ahli politik.

Beliau berkata setiap rakyat Malaysia harus fasih dalam Bahasa Melayu kerana statusnya sebagai bahasa kebangsaan dapat menghubungkan semua kaum di Malaysia serta dapat mengikat silaturrahim antara rakyat.

Kamalanathan yang juga Ketua Penerangan Parti MIC akan menentang calon Parti Keadilan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya kecil itu Ahad ini selepas kedua-dua calon bebas V.S. Chandran dan Johan Md Diah menarik diri hari ini.

-- BERNAMA

Read More...

Satu lawan satu, Umno tidak menentu

Harakahdaily

Oleh :Dzulfikar Mashoor

HULU SELANGOR, 20 April: Calon Pakatan Rakyat daripada PKR, Datuk Zaid Ibrahim bakal berentap dengan calon MIC (BN), P Kamalanathan apabila kedua-dua calon Bebas, Johan Mohd Diah VS Chandran menarik diri yang memungkinkan pengaruh Umno kian tidak menentu dan terus dilihat serong.

Dengan pertembungan satu lawan satu antara Zaid dan Kamalanathan pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor Ahad ini, tentunya bakal menjadi aras tanda untuk Pakatan Rakyat dan MIC sendiri.

Sekiranya Zaid menang majoriti, bermakna rakyat seolah-olah kekal setia bersama-sama Pakatan Rakyat dan PKR.

Manakala, sekiranya Kamalanathan menang, sekurang-kurangnya Presiden MIC, Datuk Seri S. Sammy Vellu boleh mendabik dada mengatakan bahawa rakyat kian kembali percaya pada parti perkauman India itu manakala Umno tidaklagi dipandang di situ.

Dalam perkembangan yang lain, Ahli Parlimen Bebas, Datuk Paduka Ibrahim Ali (Pasir Mas) dilaporkan membuat sokongan terbuka kepada Kamalanathan.

Beliau yang sebelum ini cuba membuktikan dirinya sebagai Bebas serta pejuang sebenar Melayu berbuat demikian demi memastikan calon MIC tersebut memenangi pilihan raya kecil kali ini.

Suatu sumber memberitahu bahawa, walaupun Ibrahim dilaporkan berkempen untuk seorang calon yang bukan berbangsa Melayu, beliau konsisten mempertikai tindakan kerajaan Pusat dan Umno sendiri menjalinkan hubungan dengan Firma Perunding Antarabangsa APCO Wordwide (IAC).

Seperti yang dipercayaai umum, Ibrahim juga dilihat seakan menganggap bahawa APCO merupakan firma perunding yang mempunyai hubungan tidak langsung dengan Zionis-Israel, sebagaimana yang dibongkarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat dua minggu yang lalu.

Bagaimana pun, ramai juga yang menganggap bahawa pendirian Ibrahim itu sekadar menuruti pendirian Penasihat Perkasa sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.

Read More...

Dua calon Bebas V.S. Chandran, Johan Md. Diah tarik diri

Utusan Online

HULU SELANGOR 19 April - Kurang tiga jam sebelum tempoh akhir menarik diri tamat, persaingan merebut kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad ini, menjadi dua penjuru apabila calon Bebas, V.S Chandran dan Johan Md. Diah menarik diri.

Mereka menyerahkan borang penarikan diri kepada Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan.

Dengan penarikan diri itu, pilihan raya kecil itu menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) P.Kamalanathan dan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim.

Chandran, ahli perniagaan dan bekas Timbalan Pengerusi MIC Hulu Selangor menyerahkan borang penarikan diri kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Beliau yang ditemui pemberita selepas itu menjelaskan, penarikan diri itu berpunca rasa hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selain amat menyayangi Barisan Nasional (BN) yang menjadi platform perjuangannya sejak 35 tahun lalu.

"Saya diberi nasihat bahawa BN tidak ada kena mengena dalam masalah saya dengan MIC, sebelum ini saya jadi calon Bebas kerana terlalu marahkan MIC.

"Saya akan pastikan penyokong saya menyokong BN, saya tahu bagaimana nak uruskan mereka kerana P. Kamalanathan adalah calon BN walaupun dia ahli MIC," katanya.

Tegasnya, beliau tidak menyesal dengan keputusan untuk menjadi calon Bebas sebaliknya gembira kerana berpeluang mencipta sejarah peribadi dalam politik.

Beliau turut menafikan dibayar untuk menarik diri.

Sementara itu, Nor Hisham memberitahu, Johan menandatangani surat penarikan diri pada pukul 9.15 malam ini.

"Saya menyerahkan semula borang pencalonan yang dihantarnya selepas beliau menandatangani surat penarikan diri berkenaan," katanya.

Terdahulu, pada pukul 6 petang, Johan mengadakan sidang akhbar pembukaan bilik gerakannya di Felda Sungai Tengi di sini hari ini.

Pada sidang akhbar itu, Johan mengibaratkan dirinya seekor kancil yang berada di antara dua ekor gajah dan bersedia untuk berlari laju meninggalkan gajah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan pula menyifatkan penarikan diri Johan itu sebagai bonus tambahan kepada BN.

"Bonus terbesar BN adalah kemasukan Bendahari PKR Hulu Selangor, Datuk Dr. Halili Rahmat ke dalam UMNO dan disusuli dengan penarikan diri oleh dua calon Bebas.

"Bonus lain adalah Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) diketuai presiden dan timbalannya hadir menemui saya untuk menyatakan sokongan mereka kepada BN di Markas Induk BN di Bukit Beruntung kira-kira pukul 6 petang tadi," ujarnya.

Read More...

Keluar PKR - Kenyataan Media Dr Halili

Berita Harian

Oleh Anwar Hussin dan Norfatimah Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2010/04/20

DR HALILI  ketika mengumumkan    keluar  PKR pada sidang media  di Petaling Jaya, semalam.
DR HALILI ketika mengumumkan keluar PKR pada sidang media di Petaling Jaya, semalam.

Dr Halili umum sertai Umno

PETALING JAYA: Doktor peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga pakar bedah saraf, Datuk Dr Halili Rahmat, semalam mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyertai Umno kerana mendapati perjuangan PKR sudah jauh terpesong.

Dr Halili, 58, yang juga Bendahari PKR Hulu Selangor dan antara pengasas parti itu, berkata PKR kini bukan lagi parti politik yang berteraskan perjuangan, tetapi lebih mementingkan kuasa sehingga tidak mempedulikan kesejahteraan rakyat.

Beliau mendakwa PKR sudah dikuasai kumpulan kecil pemimpin yang berfikiran sempit dan memajukan ideologi berhaluan kiri yang tidak disenangi orang Melayu, khususnya dan rakyat Malaysia umumnya.

“Saya menyedari akan ada tuduhan yang tindakan saya ini adalah kerana kecewa tidak terpilih sebagai calon PKR pada pilihan raya kecil Hulu Selangor, tetapi ingin saya tegaskan yang saya tidak pernah meminta atau menawarkan diri sebagai calon.

“Walaupun saya pernah bertanding atas tiket PKR pada pilihan raya umum 1999 dan 2004 tetapi bagi saya pilihan raya kecil kali ini saya berasa berat untuk memikirkannya kerana realiti peringkat bawahan kini sudah berubah,” katanya dalam sidang media di sini.

Turut hadir, bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.

Dr Halili yang juga rakan karib Anwar, berkata beliau keluar daripada PKR kerana tidak mahu namanya digunakan parti itu untuk memancing undi seolah-olah pendiriannya adalah sama ketika di era Deklarasi Permatang Pauh.
Sebagai anak jati Ulu Yam, Hulu Selangor, Dr Halili berkata, amat sukar baginya untuk mempertahankan kredibiliti PKR kerana tidak ada apapun yang dibuat parti itu untuk kesejahteraan pengundi di kawasan itu dalam masa dua tahun Parlimen Hulu Selangor dikuasai PKR.

“Saya mengetahui dan faham yang Allahyarham wakil rakyat (Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad) sebelum ini uzur tetapi yang menghairankan saya kenapa PKR tidak membuat sesuatu bagi memberi khidmat kepada pengundi di Hulu Selangor,” katanya.

Dr Halili berkata, PKR hanya sibuk merayu undi pada waktu pilihan raya saja, tetapi mengabaikan amanah rakyat seperti yang dijanjikan masa kempen pilihan raya.

Kenyataan Media Dr Halili

Saya memanggil sidang media ini untuk mengumumkan bahawa pada hari ini saya keluar dari menjadi ahli PKR dan sekali gus akan masuk menjadi ahli Umno.

1. Keputusan ini adalah kerana saya telah berpendapat bahawa PKR yang ada sekarang ini jauh terpesong daripada perjuangan Parti Keadilan Nasional yang saya terbabit secara langsung semasa mengasaskannya pada 1999.

2. PKR yang ada hari ini sudah dikuasai oleh kumpulan kecil pemimpinnya yang berfikiran sempit dan memajukan ideologi-ideologi
berhaluan kiri yang tidak disenangi oleh orang-orang Melayu khususnya serta rakyat Malaysia umumnya. Sudah nyata lagi jelas PKR bukan lagi sebuah wadah parti politik perjuangan tetapi PKR lebih condong kepada sebuah parti yang pentingkan kuasa sehingga tidak mempedulikan kepada kesejahteraan rakyat walaupun sudah diberi mandat untuk mentadbir di beberapa buah negeri.

3. Dalam masa sama, saya melihat kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak memang bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk membawa perubahan politik Umno dan BN ini membuatkan saya mengambil keputusan untuk terus memperjuangkan nasib rakyat dengan memberi sokongan yang penuh pada usaha beliau dan pemimpin kerajaan yang lain.

Saya menyedari akan ada yang menuduh bahawa tindakan saya ini adalah kerana kecewa tidak terpilih sebagai Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil P94 Hulu Selangor kali ini, dan saya tegaskan seperti berikut;

1. Saya tidak pernah meminta atau menawar diri untuk dipilih menjadi calon PKR dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor ini dan saya juga tidak pernah mengatakan yang saya menerima pelawaan untuk menjadi calon jika dijemput walaupun ada pemimpin PKR yang telah mencadangkan demikian.

2. Walaupun saya pernah bertanding di atas tiket PKR sebelum ini pada Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004 tetapi bagi saya Pilihan Raya Kecil kali ini saya merasa berat untuk memikirkannya kerana realiti di peringkat masyarakat bawahan kini sudah berubah.

3. Saya juga membuat kenyataan ini, pada hari ini semasa kehangatan kempen Pilihan Raya Hulu Selangor, dengan tujuan saya tidak mahu nama saya digunakan oleh PKR untuk memancing undi seolah-olah pendirian saya terhadap PKR adalah masih sama seperti di zaman Deklarasi Permatang Pauh.

4. Sebagai anak jati Hulu Selangor yang masih berkampung di Ulu Yam, Hulu Selangor, amat sukar bagi saya untuk mempertahankan kredibiliti PKR memandangkan tidak ada apa pun yang telah dibuat oleh PKR untuk kesejahteraan pengundi Hulu Selangor dalam masa dua tahun Parlimen Hulu Selangor dikuasai oleh PKR, dan Pakatan Rakyat memerintah Selangor. Saya mengetahui dan faham bahawa Allahyarham wakil rakyat sebelum ini uzur, tetapi yang menghairankan saya kenapa PKR tidak berbuat sesuatu bagi membantu pejabat beliau untuk memberi khidmat kepada pengundi di Hulu Selangor.

5. Terbukti yang PKR hanya sibuk merayu undi pada waktu pilihan raya saja tetapi mengabaikan amanah seperti yang dijanjikan semasa kempen pilihan raya.

6. Perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku dan saya diberitahu oleh orang-orang kampung saya bahawa mereka akan memastikan ia tidak akan berlaku lagi.

Sekian kenyataan media saya dan saya tahu yang rakan-rakan serta saudara mara saya di Hulu Selangor faham bahawa perjuangan saya selama ini dalah untuk perubahan dan reforamasi dan bukan untuk membela seseorang individu saja.

Sekian Wassalam.

Read More...

Hulu S'gor: Perang 'botol arak' di dunia siber


Malaysiakini

Nigel Aw
Apr 19, 10
8:20pm

Beberapa pemimpin utama Umno kini turut terkena tempias kepanasan kempen serangan peribadi terhadap calon PKR Datuk Zaid Ibrahim yang dikaitkan dengan tabiat minum arak.

Ia ekoran tindak balas penulis blog pro-Pakatan yang menyiarkan foto yang dikatakan menunjukkan pemimpin Umno itu, turut melakukan perkara yang sama.

Dua blog memulakan 'perang' dengan mendakwa mereka akan menyiarkan bukti tabiat minum Zaid tengahari ini. Berita tersebut turut disiarkan di muka depan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Dua blog pro-Umno - Gerakan Anti-PKR dan Pisau.net - masing-masing menyiarkan gambar Zaid meletakkan tangannya atas meja dengan memegang sebotol wiski yang belum dibuka.

Selepas beberapa jam berlaku, posisi ganjil tangan dan botol tersebut, membuat warga internet membuat kesimpulan bahawa gambar itu telah diubahsuai.

Gambar asalnya disiarkan pada 2008 oleh portal berita Nut Graph, yang menunjukkan Zaid sedang diwawancara di sebuah restoran, tanpa botol wiski tersebut.

'Gambar menteri dan isteri'

Menurut artikel Gerakan Anti-PKR, gambar tersebut diberikan oleh 'orang dalam PKR' dan penulisnya berjanji banyak lagi pendedahan akan menyusul.

Penulisnya mendakwa dia memiliki lapan lagi gambar dan video selama lapan minit mengenai tiga pemimpin PKR dalam "situasi yang memalukan".

Dalam reaksi tindakan balas, blog bernama Salt, Pepper and a little kicap menyiarkan satu siri foto yang dikatakan menunjukan seorang pemimpin kanan Umno yang juga menteri kabinet, sedang memegang satu tin bir. Foto itu juga menunjukkan isteri pemimpin Umno tersebut, juga melakukan perkara yang sama.

Artile tersebut kemudiannya dipetik oleh peguam terkemuka Haris Ibrahim dalam blognya, di mana beliau mengecam menteri berkenaan kerana mendakwa Umno tidak terbabit dalam serangan peribadi terhadap Zaid.

Ahli parlimen Kota Belud yang juga bekas setiausaha Pemuda Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan terus menjawab melalui twitternya, mendakwa gambar tersebut telah diubahsuai.

Kemudiannya, satu lagi gambar muncul di internet di mana seorang individu yang kelihatan seperti ahli parlimen Rembau yang juga ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bersama dengan seorang lelaki yang tidak dikenali dan dua orang wanita.

Suasananya kelihatan seperti di kelab malm dan mereka duduk di depan meja yang penuh dengan botol minuman keras.

Perkara itu sampai ke perhatian Khairy yang menjawabnya melalui Twitter.

"Apa yang betul? Adakah saya minum apa2 dalam gambar tersebut?" soalnya.

Ketika dihubungi, ketua penerangan PKR, Latheefa Koya berkata pengedaran gambar Zaid yang diubahsuai itu dan paparan besar mengenainya oleh Utusan Malaysia, menunjukkan bahawa BN sudah ketandusan idea.

Sebaliknya, kata beliau, pihaknya tidak mahu tersimpang daripada isu-isu sebenar di Hulu Selangor dan para penulis blog berkenaan "boleh buat apa sahaja yang mereka mahu".

Usaha untuk menghubungi Khairy untuk mendapatkan komennya tidak berhasil.

Read More...

KESAH LAMA UNTUK DI INGAT KEMBALI - Kisah benar tentang Zaid Ibrahim dari TT.

Tukar Tiub

MEREKA YANG TIDAK PERNAH BELOT - DIMANA MEREKA SEKARANG?





PETANG ITU - 38 TAHUN DAHULU


Ini cerita lama. Tapi baik juga untuk dibuka kembali agar kita semua dapat tahu apa yang berlaku puluhan tahun dahulu. Cerita-cerita ini kalau baik kita jadikan tauladan. Kalau tidak molek dapat kita jadikan sempadan. Kalau tidak pun kita baca untuk ketawa.

Ceritanya bagini:

Saya ingat lagi pada tahun 1972 - ketika itu saya anak mahasiswa yang mengulang tahun satu di Universiti Malaya. Saya telah aktif dalam perjuangan gerakan mahasiswa sejak dari awal tahun pertama lagi. Pada tahun itu, ketika Kongres Tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia (PKPM ), saya telah dilantik untuk menjadi Setiausaha Agung. Badan yang bernama PKPM ini telah diharamkan pada tahun 1974 - sesudah demo pelajar menyokong warga Baling.

Ketika saya dilantik sebagai SU Agung PKPM – perang Vietnam sedang rancak. Kuasa imperial Amerika sedang melancarkan perang kolonial ke atas Vietnam, Laos dan Kamboja – sama seperti yang sedang berlaku di Iraq dan Afghanistan hari ini.

Justeru dalam Kongres PKPM tahun 1972 itu ada terdapat resolusi yang mengutuk imperialis Amerika Syarikat dan menyokong perjuangan menuntut keadilan oleh rakyat Indo China. Ketetapan yang dibuat dalam kongres akan menjadi dasar persatuan sehingga ke kongres tahun hadapan.

Pada zaman itu gerakan mahasiswa cukup rancak. Saya adalah seorang ahli kelab sosialis yang aktif. Justeru pandangan politik saya adalah kiri. Buku dan akhbar yang saya baca adalah kiri. Negara dan pemimpin negara yang saya hormati adalah dari jalur kiri.

Berdasarkan resolusi PKPM yang anti-Amerika saya telah memasang poster-poster anti-perang Vietnam yang kami terima dari International Union of Students yang berpengkalan di Prague.

Rupa-rupanya ada juga kumpulan mahasiswa, terutama dari PMUKM yang yang tidak bersetuju dengan pemasangan poster ini. Lalu saya dikritik sebagai SU Agung PKPM yang tidak bertanggungjawab. Sebenarnya isu poster anti-perang Vietnam ini hanya alasan. Kritikan ini datang dari pelajar reaksionari bermazhab kanan.

Akhirnya satu persidangan tergempar telah diadakan. Persidangan ini diadakan di Dewan Majlis Persatuan Universiti Malaya. Saya ingat lagi petang itu – delegasi dari PMUKM, dari Serdang College, dari Institut Teknoloji Kebangsaan, KSITM dan tuan rumah PMUM turut hadir.

Saya dapat merasakan seolah-olah telah ada persetujuan untuk menyingkirkan saya dari PKPM. Idris Jusi, dari PMUKM mula bercakap membuka kes tentang saya yang dikatakan tidak mengikut dasar PKPM dan dilihat pro-komunis. Dari KSITM, presidennya Zahari tidak pula bercakap. Yang banyak bercakap ialah Ibrahim Ali.

Pandangan-pandangan kanan dan reaskioner bertaburan pada petang itu.

Sebelum keputusan dibuat untuk menyingkirkan saya dari PKPM - tiba-tiba seorang wakil delegasi dari KSITM mengangkat tangan untuk berucap. Saya masih ingat lagi anak muda itu. Dia kurus lansing dan kacak. Berkulit sawo matang. Anak muda ini memakai seluar hitam dan berbaju biru. Mustahil saya akan melupakan susuk ini. Sampai akhir hayat saya ingat apa yang berlaku pada petang itu. Tidak mungkin saya akan lupa kerana pada petang itu saya sedang disalib.

Masih terngiang di telinga saya hingga ke hari ini apa yang dikatakan oleh anak muda itu:

“Sebelum dia dibuang, dia berhak untuk diberi peluang bersuara. Ini adalah cita-cita demokrasi pelajar… dan ini adalah hak dia.”

Saya terperanjat kerana tidak ada sesiapa dari persatuan lain yang menyokong saya kecuali PMUM. Saya terperanjat kerana anak muda ini berani ‘pecah regu’ untuk menyokong saya. Saya kagum atas keberanian nya.

Saya tidak kenal anak muda ini. Tapi saya tahu anak muda ini datang dari KSITM – satu persatuan pelajar yang saya anggap reaksionari. Bila saya selidiki baru saya sedari anak muda ini ialah Zaid Ibrahim – pelajar jurusan undang-undang Institut Teknoloji Mara. Saya juga difahamkan si Zaid ini datang dari Sekolah Tuanku Abdul rahman (STAR) seteru kuat sekolah saya, MCKK.

Semenjak petang itu saya tidak bertemu dengan Zaid Ibrahim. Kami meneruskan keyakinan diri. Saya difahamkan Zaid telah menjadi seorang peguam yang berjaya. Saya terus menjadi diri saya.

Lima tahun dahulu seorang kawan dari MCKK mengajak saya untuk menjadi ahli Civil Society of Malaysia. Ini badan hak asasi manusia yang cuba diwujudkan oleh Zaid Ibrahim. Cuma ada ‘catch’ - sesiapa yang ingin menjadi ahli wajib membayar RM250. Jumlah ini agak berat untuk saya - lalu saya menolak jemputan ini.

Seminggu sebelum Ngo ini berkumpul dan bersidang saya telah mendapat panggilan telefon mengatakan bahawa RM250 telah dibayar oleh Zaid Ibrahim. Saya hairan kerana seumur hidup saya – saya belum pernah bercakap sepatah pun dengan susuk ini. Dari panggilan talipon - saya telah diberi kebenran untuk datang ke persidangan pertama Civil Society ini di Hotel Renaisance.

Inilah kali kedua saya melihat Zaid Ibrahim. Kali kedua ini agak berbeza. Anak muda kurus yang berbaju biru dan berseluar hitam dahulu telah agak bersisi. Rambutnya telah dicantikan oleh anyaman uban. Baju dan pantalon yang dipakainya kelihatan dari jenis yang baik dan bermutu. Nah! Pastilah dia telah berjaya hinggakan sanggup membayar yuran untuk orang yang tidak dikenalinya.

Dua hari sebelum nama Zaid Ibarahim dimahsyurkan sebagai calon di Hulu Selangor saya telah pergi menemuinya. Rumah kediaman si Zaid ini bukanlah sama seperti bilik sewa tempat saya menginap. Ini kawasan lumayan yang hanya 30 minit dari Serendah Hulu Selangor.

Mata saya memerhati dengan rapi untuk mengetahui lebih dalam lagi manusia yang bernama Zaid Ibrahim ini. Rumahnya tidak mengancam tapi pastilah lebih luas dari bilik sewa saya. Dalaman tidak lucah dan bukan bermotifkan budaya ‘arriviste – horray henry’ yang sering kita temui di wilayah-wilayah mewah.

Tujuan saya datang kerana ingin bertanya apakah dia masih ingat lagi apa yang terjadi di Dewan Majlis PMUM 38 tahun dahulu. Zaid termenong sabentar sebelum mengakui yang dia pernah datang ke PMUM untuk bermesyurat. Tetapi tidak ingat apa tujuan dia hadir. Malah dia juga tidak ingat bahawa pada petang itu yang di salib ialah saya.

Saya tidak merasa kecewa kerana si Zaid tidak mengingati episod itu. Inilah perjalanan hidup kita sebagai manusia . Terpencar pencar - ada yang kita ingati dan ada yang kita lupakan. Untuk kita – pekara yang ini mungkin penting dan untuk orang lain pekara yang sama adalah ‘non event – tidak ada apa apa yang penting’.

Kenapa saya menulis kesah ini? Saya menulis kerana susuk yang bernama Zaid Ibrahim ini sedang berkempen untuk memenangi kerusi di Parlimen. Saya menulis ini kerana saya yakin bahawa manusia yang bernama Zaid Ibrahim ini adalah manusia demokrat. Tiga puluh lapan tahun dahulu – ketika kami masih lagi anak pelajar - si Zaid ini telah memperlihatkan sifat jujur dan demokratnya.

Pada petang itu – 38 tahun dahulu - si Zaid telah tidak terpengaruh dengan tohmah anti-komunis, anti kiri dan anti sosialis. Sifat demokratiknya telah tertanam dalam sebelum dia meletakan jawatan sebagai menteri kabinet kerana menentang ISA. Susuk yang bernama Zaid Ibrahim dapat melihat salah dan benar.

Jika saya warga Hulu Selangor saya merasa senang hati untuk menobatkan Zaid Ibrahim sebagai wakil suara saya di Parlimen. (TT)

( sebarkan lah kesah ini - untuk kita membuat kebaikan)

Read More...

Tuhan Selamatkan PKR Dari Dikencing Halili.

msomelayu

(gambar dari KLpos)

TUHAN Maha Kaya dan Maha Mengetahui. Kalau Tuhan ingin menolong sesuatu pihak mudah saja, cukup bagi-Nya dengan mengatakan kun fayakun, jadi maka jadilah. Pengumuman Dr Halili Rahmat keluar darip PKR dan menyertai Umno hari ini adalah atas kehendak Tuhan.

Langkah Dr Halili dilihat pahit untuk ditelan, tetapi kalau diselami ia bertimbun dengan rahmat. Tuhan mengawalkan Halili menyertai Umno sebelum beliau menjadi ahli parlimen atau dalam keadaan beliau sudah menjadi ahli parlimen.

Apa kata, kalau beliau dipilih jadi calon Hulu Selangor dan kemudian menyertai Umno, tentu luka hati penyokong dan ahli PKR makin parah. Sungai Choh, Ampang Pecah di Kuala Kubu Baru akan menjadi merah kerana disimbah darah kekecewaan ahli. Ahli akan menangis atas tindakan itu kelak.

Apabila Tuhan mengawalkannya membawa Halili ke dalam Umno ini bermakna Tuhan tidak mahu ahli PKR dan Pakatan Rakyat merasai kesedihan atasnya lebih parah lagi. Sekurang-kurangnya dengan Tuhan membuka pintu hati Halili menyertai Umno ia membolehkan ahli PKR cepat mencari ubat merawati dan mbaluti kelukaan itu. Ahli PKR dan penyokong PKR kena bersujud syukur kepada Terima atas apa yang berlaku ke atas Halili.


Saya cukup yakin, dan dari sumber yang diperolehi kenapa beliau tidak dipilih sebagai calon kerana sudah ada keraguan dan kesetiaan beliau kepada parti. Itulah yang menjadi dilema kepada Anwar Ibrahim dalam menimbangkan Halili dan calon lain menjadi calon. Anwar juga sudah tahu ke mana sahabat karibnya itu. Dan ia tidak menghairankan kalau Ezam Mohd Noor yang dikembangbiakkan oleh Anwar pun boleh meninggalkan dan mencerca Anwar sambil berlari-lari ke rumah Umno semula. Jadi apalah sangat dengan Halili dan orang-orang sejenis dengannya. Bagaimana cara Ezam mengentuk pintu belakang Umno begitulah juga Halili.

Apa lah Halili berbanding dengan Ezam dan lain-lain. Seorang pakar bedah saraf boleh dan pakar membedah tetapi dia tidak pakar dalam menilai saraf politik yang lebih shofiketed dari saraf kepala manusia. Saya sebelum ini pun tidak pernah menulis dan mencatat nama Dr Halili ini menunjukkan nama itu hama dalam kamus politik saya. Dia menjadi sebutan hanya kerana diambil Anwar menjadi doktor peribadi.

Yang tinggal dalam Keadilan adalah mereka yang kental. Mereka yang suci hati dan nekad berjuang untuk melakukan perubahan demi rakyat. Pun begitu kesetiaan seseorang tidak boleh diukur. Hari ini mungkin setia esok mungkin memungkiri segala persetiaan. Itulah manusia. Mereka yang rapuh, lemah semangat dan tidak tahan diugut dengan api perjuangan, akan menggeletar dan mengaku kalah kepada musuh.

Sekali lagi terima kasih kepada Halili kerana bersikap gentlemen menyertai Umno tidak dalam mendapat mandat rakyat. Pasti ahli PKR akan lebih kecewa kalau beliau bertindak seperti beberapa yang lain setelah berjaya memasuki ke parlimen yang dihampar karpet merah oleh rakyat kemudian berak dan kencingnya atas laluan itu.

Dalam usaha menganggui semangat dan jentera PKR saya percaya selepas ini ada bebera individu lain akan mengikut jejak Halili. Kalaupun tidak orang besar tetapi pembantu Halili semasa dalam bilik pembedahan pasti akan menurut jejak bosnyanya.

Begitu juga dengan calon bebas Melayu itu saya saya dia juga akan mengistyharkan diri dan menyokong Umno. Hari ini Chandran sudah berbuat demikian. Membatalkan niat dan menyatakan sokongan kepada MIC. Dari awal sudah diduga kenapa dan mengapa Johan Mat Diah menyertai pilihan raya berkenaan ia adalah strategi dan motif yang jelas.

Orang sudah tahu di mana akar politiknya. Ia bertunjang di Shah Alam Selangor. Kalau akar tunjang sudah buruk sudah pasti akar cabang, akar rambut dan ranting serta daun-daun pokok berkenaan semuanya akan buruk dan akan layu yang mana akhirnya pokok itu akan menyembah bumi.

Saya percaya ahli PKR dan Pakatan Rakyat sudah memahami tribulasi ini. Makanya hadapilah hari-hari mendatang yang tersisa selama enam hari saja lagi dengan penuh semangat dan keyakinan kepada perjuangan yang tidak berbelah bahagi. Percayalah apa yang berlaku hari ini, esok dan lusa itu semua menandakan kedudukan UBN hari ini sudah benar-benar terdesak. UBN akan sedia menerima apa saja untuk menguatkan partinya hatta bangkai.

Ahli PKR dan penyokong Pakatan Rakyat perlu menjadikan tindakan berpaling tadah Halili itu sebagai penyuntik semangat baru untuk berkerja lebih kuat lagi demi kemenangan PKR. Jangan sesekali merasa cemas dan hilang tumpuan dengan kejutan yang kecil itu.

Ingatlah kemenangan sejati ialah bila kita mampu mempertahankan prinsip dan setia janji kepada rakyat bukannya bersikap hipokrit untuk melepaskan diri dan membalas dendam atas kekecewaan kerana sesuatu sebab.
[*** 12:15 t/hati 18/04/10]

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |