HULU SELANGOR 19 April - Kurang tiga jam sebelum tempoh akhir menarik diri tamat, persaingan merebut kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad ini, menjadi dua penjuru apabila calon Bebas, V.S Chandran dan Johan Md. Diah menarik diri.
Mereka menyerahkan borang penarikan diri kepada Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan.
Dengan penarikan diri itu, pilihan raya kecil itu menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) P.Kamalanathan dan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim.
Chandran, ahli perniagaan dan bekas Timbalan Pengerusi MIC Hulu Selangor menyerahkan borang penarikan diri kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Beliau yang ditemui pemberita selepas itu menjelaskan, penarikan diri itu berpunca rasa hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selain amat menyayangi Barisan Nasional (BN) yang menjadi platform perjuangannya sejak 35 tahun lalu.
"Saya diberi nasihat bahawa BN tidak ada kena mengena dalam masalah saya dengan MIC, sebelum ini saya jadi calon Bebas kerana terlalu marahkan MIC.
"Saya akan pastikan penyokong saya menyokong BN, saya tahu bagaimana nak uruskan mereka kerana P. Kamalanathan adalah calon BN walaupun dia ahli MIC," katanya.
Tegasnya, beliau tidak menyesal dengan keputusan untuk menjadi calon Bebas sebaliknya gembira kerana berpeluang mencipta sejarah peribadi dalam politik.
Beliau turut menafikan dibayar untuk menarik diri.
Sementara itu, Nor Hisham memberitahu, Johan menandatangani surat penarikan diri pada pukul 9.15 malam ini.
"Saya menyerahkan semula borang pencalonan yang dihantarnya selepas beliau menandatangani surat penarikan diri berkenaan," katanya.
Terdahulu, pada pukul 6 petang, Johan mengadakan sidang akhbar pembukaan bilik gerakannya di Felda Sungai Tengi di sini hari ini.
Pada sidang akhbar itu, Johan mengibaratkan dirinya seekor kancil yang berada di antara dua ekor gajah dan bersedia untuk berlari laju meninggalkan gajah berkenaan.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan pula menyifatkan penarikan diri Johan itu sebagai bonus tambahan kepada BN.
"Bonus terbesar BN adalah kemasukan Bendahari PKR Hulu Selangor, Datuk Dr. Halili Rahmat ke dalam UMNO dan disusuli dengan penarikan diri oleh dua calon Bebas.
"Bonus lain adalah Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) diketuai presiden dan timbalannya hadir menemui saya untuk menyatakan sokongan mereka kepada BN di Markas Induk BN di Bukit Beruntung kira-kira pukul 6 petang tadi," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment