+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, November 11, 2008

Bukan mati syahid

SEORANG lelaki menunjukkan amaran pihak tertentu yang ingin meneruskan jihad ketika pengebumian Imam Samudra, kelmarin.

Ulama anggap perjuangan pengebom Bali sia-sia

JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) memutuskan pengebom Bali yang menjalani hukuman ditembak mati kelmarin, tidak boleh dikategorikan sebagai 'mati syahid' kerana mereka tidak berjuang mempertahankan agama.

"Sesiapa pun yang membunuh orang lain tidak mati syahid, kecuali berjuang dalam peperangan atas nama agama. Mereka bukannya berjuang untuk agama," kata Ketua MUI, Umar Shihab.

Sehingga ke saat akhir, Amrozi, Ali Ghufron atau Mukhlas dan Imam Samudra tidak menunjukkan sebarang berasa kesal atas apa yang berlaku ke atas mangsa 'kafir' mereka sambil mendakwa ingin 'mati syahid'.

Mereka mengimpikan satu wilayah pemerintahan khalifah di sebahagian besar kawasan di Asia Tenggara.

Mahkamah di Indonesia menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka pada 2003, yang dicabar sekurang-kurangnya empat kali, menyebabkan pelaksanaan hukuman itu tertangguh dan mendapat liputan meluas media.

Ratusan penyokong mereka bertempur seketika dengan polis apabila jenazah Mukhlas dan Amrozi yang dinamakan sebagai 'pembunuh tersenyum', tiba dengan helikopter di kampung mereka di Tenggulun di Jawa Timur, kelmarin.

Sementara itu, pasukan keselamatan Indonesia mengambil langkah berjaga-jaga selepas tiga pengebom Bali itu menjalani hukuman kerana bimbang kemungkinan berlaku tindakan balas penyokong mereka.

"Kami mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kekacauan yang mungkin tercetus selepas pelaksanaan hukuman itu," kata jurucakap polis kebangsaan, Abu Bakar Nataprawira.

Indonesia mempertingkatkan langkah keselamatan di pusat pelancongan dan kedutaan asing sebelum pelaksanaan hukuman. Pengeboman di Bali mengakibatkan 202 terbunuh, sebahagian besarnya rakyat negara asing.

Amrozi, abangnya, Mukhlas dan Imam Samudra menjalani hukuman mati ditembak sejurus selepas tengah malam kelmarin.

Pengebumian yang dilakukan di kampung halaman mereka bertukar menjadi perhimpunan dipenuhi laungan melancarkan perang jihad terhadap Barat, walaupun sebahagian besar penduduk Islam Indonesia bersikap sederhana.

Polis menahan sekurang-kurangnya dua penyokong pengebom berkenaan kerana mengancam untuk meletupkan bom, lapor laman web berita Detik.com.

"Sekurang-kurangnya dua orang ditahan di luar Jakarta. Mereka berkata, ancaman itu dilakukan kerana menentang pelaksanaan hukuman ke atas pengganas," kata Ketua Polis Jakarta.

Kedutaan Australia dan Amerika Syarikat serta beberapa hotel dan pusat beli-belah juga menerima ancaman bom. Australia, yang kehilangan 88 rakyatnya dalam serangan itu disusuli dengan kejadian pengeboman kereta pada 2004, memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak ke Indonesia sekiranya tidak perlu. � AFP

Read More...

Surat Wasiat Terakhir, Pengebom Bali

Tranungkite Online

Oleh
Truckster

 "Berikut adalah surat wasiat terakhir dari ketiga-tiga Pengebom Bali sehari sebelum mereka dihukum oleh Skuad Penembak Pihak Berkuasa Indonesia... Dalam wasiat ini jelas mengambarkan Istikamah mereka dalam menegakkan Agama Islam walau apa pun yang terjadi, hanya Allah SWT jua yang menentukan

Sebagai Saudara Se-agama melalui wasiat ini, kita sewajarnya mengambil tauladan dan iktibar supaya tetap teguh berjuang dan beristiqamah menegakkan Agama melalui cara kita sendiri...

Read More...

Aziz pengerusi baru SPR, ganti Rashid

Malaysiakini

Nov 11, 08 12:21pm

Ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuatkuasa mulai 31 Dis ini.

abdul aziz mohd yusofKetua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Abdul Aziz mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Pelantikan Abdul Aziz, 58, berkuatkuasa mulai 31 Dis ini sehingga beliau genap berusia 66 tahun, selaras dengan Fasal (3) Perkara 114
Perlembagaan Persekutuan, kata Mohd Sidek dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 24 Jan 1950.

Beliau, yang sebelum bersara wajib pada 24 Jan 2006 berkhidmat sebagai ketua setiausaha KDN, dan dilantik semula memegang jawatan yang sama secara kontrak.

Pelantikan Abdul Aziz sebagai pengerusi SPR adalah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang tamat tempoh perkhidmatan kerana mencapai umur 66 tahun pada 30 Dis ini.

Read More...

Wakil Raja Bhumibol temui Nik Aziz di Wat Pikulthong

Harakahdaily

Muhammad Yusri Amin
Tue | Nov 11, 08 | 9:03:30 pm MYT

TUMPAT, 11 Nov (Hrkh) - Satu majlis bersejarah dapat disaksikan di sini apabila wakil istana Diraja Thailand, Dr Tej Bunnag bertemu dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di Wat Pikulthong.

Pertemuan itu berlangsung sempena majlis penyerahan Kathin Diraja Thailand (kain kuning) pemberian Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej kepada wat tersebut yang akan dijadikan pakaian sami.

Dr Tej Bunnag juga bekas Menteri Luar Thailand. Menteri Besar dan tetamu yang hadir menyaksikan perarakan kain tersebut dibawa masuk oleh Bunnag yang lengkap dengan pakaian istiadat Diraja Thailand ke wat terbabit.

Wat Pikulthong merupakan wat pertama di luar Thailand yang menerima anugerah tersebut.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika bercakap kepada pemberita berharap hubungan antara Thailand dan Malaysia dapat dipertingkatkan lagi.Image

"Saya harap kami di sini mengambil tanggungjawab di pihak Kelantan, manakala Raja Thai melaksanakan tanggungjawabnya. Dua tanggungjawab itu menjadi bertambah baik," katanya.

Beliau juga berkata, rakyat keturunan Siam yang tinggal di Kelantan sama seperti kaum lain yang perlu diberi perhatian kerajaan negeri.

"Saya tidak pandang masalah bangsa. Mereka adalah rakyat saya. Semuanya dalam jagaan saya dan sekiranya mereka ada masalah, mereka boleh berjumpa ketua kaum masing-masing untuk diketengahkan kepada kerajaan.

"Tindakan saya adalah berdasarkan kepentingan insan. Kelantan dan Thailand cuma dipisahkan Sungai Golok sahaja," katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Mustapa Mohamed yang sepatutnya hadir sebagai mewakili kerajaan Persekutuan hanya diwakili Setiausaha Politiknya, Dr Azmi Stapa.

Dr Azmi ketika ditemui berkata, kedatangan Menteri Besar menambah meriah lagi majlis tersebut bagi merapatkan lagi hubungan rakyat kedua-dua negara.

Turut hadir di majlis itu anggota-anggota Exco, Dato' Anuar Tan Abdullah, Dato' Takiyuddin Hassan, Che Abdullah Mat Nawi, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim dan pemimpin masyarakat pelbagai kaum. - mj _

Read More...

Baik UMNO, baiklah rakyat – Bergocoh UMNO, bergocohlah Rakyat

Buletin Online

Ditulis oleh Editor
Monday, 10 November 2008

http://buletinonline.net/images/berita13/umnoseremban.jpgAntara kata-kata Paklah dan Realiti UMNO
UMNO tidak akan menjadi sebuah parti yang berjaya dalam perjuangannya jika kepimpinannya tidak dibarisi oleh pemimpin ikhlas,

berwibawa dan berintegriti, kata Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagaimana dilaporkan media perdana hari ini.(Gambar - Gocoh – gelagat ahli UMNO dalam Mesyuarat Umno Bahagian Seremban di Kelab Golf Tuanku Jaafar, Senawang, semalam.)

Realitinya dalam keadaan sekarang UMNO memang tidak akan menjadi sebuah parti yang berjaya dalam perjuangannya kerana kepimpinannya dibarisi oleh pemimpin yang tidak ikhlas, tidak berwibawa dan tidak berintegriti.

Pak Lah berkata lagi, UMNO tidak akan dapat mengecapi kemajuan dan menghadapi cabaran masa depan seperti yang diharapkan jika ada pemimpinnya yang tercemar integritinya, peribadi yang lemah dan tidak mempunyai hala tuju.

Realitinya memang masa depan UMNO memang tidak mampu mendepani cabaran kerana rasuah yang berleluasa, akhlak yang buruk dan hanyut mengikut arus dunia

Pak Lah juga menasihatkan anggota parti supaya membuat pilihan dengan berhemah dan tidak hanya memilih pemimpin untuk mengisi jawatan tertentu di peringkat nasional.

Realitinya Pak Lah tidak perlu menasihat anggota partinya, terutama kepimpinannya kerana cakap Paklah tak ada siapa yang nak dengar;
1. Pak Lah kata pimpinan UMNO Terengganu tidak boleh guna Mercedes, kereta tersebut hanya untuk tetamu terhormat – Cakap Pak Lah langsung tidak dipedulikan. Semua Exco-exco kerajaan Terengganu terus bergaya ke sana ke mari dengan compressor E-200, tak ada seorang pun tetamu Kejohanan Kuda Lasak yang naik Mercedes baru-baru ini, para Exco bukan sahaj gunakan kereta Mercedes untuk urusan rasmi, tapi Mercedes di lanyak kemana sahaja hatta ke Mydin untuk beli belah pun guna Mercedes

http://buletinonline.net/images/berita13/img_5441.jpg

(Gambar - Kereta Exco di rakam membeli belah di Mydin kelmarin)

2. Pak Lah kata Menteri Besar Terengganu Ahmad Said tidak boleh halang ahli UMNO bertanding mana-mana jawatan, oleh itu Ahmad Said tidak boleh pecat Exco kerana bertanding rebut ketua bahagian – Ahmad Said tak peduli sikit, Malah Ahmad kata ‘kehendak saya kena ikut juga, saya Menteri Besar. Ahmad berkata lagi “Yahya tidak langgar disiplin UMNO, tapi dia langgar arahan saya !”

Pak Lah terus berkata-kata, mereka yang menjadi perwakilan mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan calon yang dipilih mempunyai nilai-nilai yang diperlukan untuk menerajui parti itu.

Realitinya merka yang menjadi perwakilan bersedia menjelang Mac untuk ‘letak harga’. Siapa yang tawarkan harga paling tinggi, pasti akan diundi. Tidak ada nilai-nilai pada calon kecuali nilai wang ringgit, sebab itu Tengku Razaleigh berkata, iman orang UMNO sekarang ada pitih.

Pak Lah berkata lagi, “Kalau ini berlaku, semua akan jadi baik. Baik UMNO maka baiklah rakyat Malaysia kerana UMNO memperjuangkan semua rakyat berbilang bangsa,"

Realitinya bergocoh UMNO dalam mesyuarat Agong, maka bergocohlah rakyat Malaysia !

Read More...

Harga roti canai, teh tarik turun 10 sen; nasi kandar 20 sen

Mstar Online

SHAHRIR Abdul Samad (dua, kanan) menunjukkan banting yang tertera penurunan harga makanan selepas majlis pelancaran Kempen Turun Harga Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMA) di Restoran Syed, Bangsar hari ini. Turut hadir Presiden PRESMA Jamarulkhan Kadir dan Timbalan Presiden PRIMA T. Muthusamy (kanan). - foto The Star oleh YAP CHEE HONG

KUALA LUMPUR: Walaupun potongan harga yang diberikan oleh kira-kira 4,500 pengusaha restoran mamak dan India tidak seperti yang diharapkan oleh kebanyakan orang, namun itu sudah mencukupi bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Potongan harga sebanyak 10 sen untuk roti canai dan teh tarik dan 20 sen untuk sepinggan nasi kandar memberi peluang kepada Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAs) membantu golongan itu meningkatkan kuasa membeli mereka.

Timbalan Presiden PRIMAS, T. Muthusamy berkata, keputusan menurunkan harga itu dicapai oleh anggota persatuan berikutan keputusan kerajaan menurunkan harga minyak barubaru ini iaitu pada 1 November lepas.

"Walaupun kami dibebankan dengan kenaikan harga minyak pada Jun lalu, namun kami tidak menaikkan harga makanan kami sesuka hati.

"Hari ini kami bercadang untuk memberikan potongan harga sebagai tanda sokongan kami terhadap usaha kerajaan yang prihatin terhadap rakyat dengan menurunkan beberapa kali harga minyak," katanya.

Harga bagi roti canai sekarang adalah tertakluk kepada lokasi restoran kerana ada di kalangan anggota persatuan yang menjualnya pada harga antara 70 sen dan RM1.50 sekeping manakala bagi teh tarik pula, 90 sen hingga RM1.50 secawan sementara bagi nasi kandar, rata-ratanya sama iaitu sekitar RM4.50 sepinggan.

Sementara itu, Presiden PRESMA Jamarulkhan Kadir berkata, walaupun pembekal tidak menurunkan harga barangan berikutan kos operasi yang tinggi, namun pihaknya tetap mengekalkan harga seperti biasa.

Beliau berkata, sekiranya beliau dan anggota PRESMA yang lain turut menaikkan harga, mereka akan mengalami kerugian berikutan sasaran awal mereka iaitu golongan pelajar dan yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak lagi mengunjungi restoran mereka.

"Kita tetap kekalkan harga barangan walaupun harga minyak naik. Kalau kami naikkan, siapa yang akan datang ke restoran kami. Golongan mewah mungkin sekali-sekala, tetapi yang kerap adalah golongan pelajar dan berpendapatan rendah.

"Namun, dengan penurunan harga petrol ini menunjukkan bahawa kerajaan serius dan prihatin terhadap masalah rakyat. Kami tetap menyokong penuh segala usaha yang dibuat oleh kerajaan," katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad yang merasmikan kempen penurunan harga oleh PRESMA dan PRIMAS berkata, ia adalah satu langkah yang wajar dicontohi oleh pengusaha restoran yang lain.

"Kementerian memang melihat kesedaran dan kesanggupan kedua-dua persatuan itu untuk membantu pengguna sebagai satu langkah yang baik.

"Walaupun tidak banyak yang diturunkan, tetapi inilah yang mahu dilihat oleh rakyat kesan penurunan harga minyak. Ini akan mewujudkan satu suasana yang sihat di kalangan pengguna, peniaga dan kerajaan," katanya.

Pada awal bulan ini, harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter, petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter dan diesel dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Ia merupakan kali keempat kerajaan menurunkan harga minyak selepas 23 Ogos, 24 September dan 15 Oktober.

Pada 4 Jun lepas, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau kirakira 41 peratus, kepada RM2.70 seliter daripada RM1.92 seliter, berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia ketika itu.

Read More...

Konflik kem Abdullah - Najib di Wilayah Persekutuan

Harakahdaily

Safar Jumaat
Mon | Nov 10, 08 | 1:37:35 pm MYT


PENCALONAN Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno, sementara Dato' Seri Najib sebagai Presiden, dari Umno Bahagian Wangsa Maju sedikit sebanyak membawa erti besar kepada Muhyiddin kerana, ketua bahagian ini, Dato' Mohd Shafie Abdullah adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Walaupun Mohd Shafie memberitahu wartawan kemudiannya, pencalonan itu bukan atas kapasitinya sebagai Setiausaha Politik Najib tetapi hanya sebagai ketua bahagian, tetapi Muhyiddin tentunya mengharapkan lebih dari itu, setelah Umno Bahagian Kota Bharu yang diketuai Dato' Mohamad Fatmi Che Salleh, yang juga Setiausaha Politik Najib di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, turut mencalonkannya.

Mengharapkan pencalonan untuk Muhyiddin dari Umno Bahagian Pekan, yang diketuai Najib tentulah mustahil memandangkan Majlis Tertinggi (MT) sudah membuat keputusan Bahagian Pekan dan Kepala Batas tidak akan menamakan calon-calon yang bertanding, bagi mengelakkan perwakilan terpengaruh dengan keputusan yang bakal dibuat dua bahagian ini. Pekan diketuai Najib dan Kepala Batas diketuai Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Timbul satu persoalan, mengapa Mohd Shafie sedia mencalonkan Muhyiddin dengan sokongan sebulat suara, tetapi dari 25 calon Majlis Tertinggi (MT), Mohd Shafie tidak menamakan Dato' Seri Zulhasnan Rafique dan Dato' Mohamad Norza Zakaria sebagai calon-calon yang sepatutnya disenaraikan?

Zulhasnan adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan (WP) yang menawarkan diri bertanding kerusi MT, manakala Mohamad Norza adalah anggota MT yang dilantik mewakili Pergerakan Pemuda Umno. Zulhasnan pernah menjadi AJK Umno Bahagian Wangsa Maju dan Ahli Parlimen Wangsa Maju manakala Mohamad Norza adalah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Wangsa Maju dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno WP.

Apa yang tidak kena dengan 'sejarah dan budi' Zulhasnan dan Mohamad Norza kepada Umno Wangsa Maju? Adakah langkah yang diambil Mohd Shafie ini merupakan langkah bijak dan atas 'kebenaran' Najib? Tidakkah pencalonan yang dibuat dikaitkan dengan Najib dan apabila pencalonan tidak dibuat, ia juga turut dikaitkan dengan Najib?

Mohd Shafie menang tanpa bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju apabila Pemangku Ketua Bahagian, Dato' Zainal Nazri tidak mempertahankan jawatan. Sebelum ini, bahagian ini diketuai Dato' Astamam Abdul Aziz tetapi terpaksa mengosongkan kerusi itu ekoran tindakan pengantungan selama tiga tahun dikenakan terhadapnya, ekoran didapati bersalah terlibat dengan politik wang.

Astaman yang menawarkan diri bertanding kerusi Timbalan Ketua Bahagian, tewas. Hari ini, selain kekecohan Umno Bahagian Seputeh dan Batu menjadi topik perbincangan ialah 'permainan baru' yang dibawa Mohd Shafie dalam Umno WP.

Tidak mustahil, apabila Najib menjadi Perdana Menteri, nama-nama seperti Zulhasnan, Dato' Kamaruddin Ambok (Segambut), Dato' Riduan Abdul Hamid (Kepong) dan Dato' Md Yusoff Abd Hamid (Batu) akan �hanyut bersama banjir kilat� di ibukota.

Tidak mustahil, Najib lebih berminat jika Mohd Shafie mengetuai Umno WP dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Setiawangsa, Dato' Halim Samad, menjadi timbalannya atau, Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menggantikan Zulhasnan dan Kamaruddin, yang dilihat lebih mirip kepada kem Abdullah Ahmad Badawi.

Kepimpinan Zulhasnan di WP nyata tidak dapat sokongan ketua-ketua bahagian hinggakan cerita yang mengatakan ada dua kem dalam WP kini, antara orang Zulhasnan dengan orang Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sudah menjadi 'rahsia terbuka'. Kini, kemenangan Mohd Shafie, membuka lebaran baru dalam senario politik WP yang tidak pernah tenang.

Dakwa mereka yang tidak sukakan Zulhasnan ialah, kedatangannya secara bidan terjun ke dalam politik WP di era kepimpinan Abdullah, nyata membawa petaka. Tidak pernah kerusi Umno tewas di Lembah Pantai dan Titiwangsa, ia menjadi mimpi ngeri dalam era kepimpinan Zulhasnan.

Kata mereka, Zulhasnan tidak berada 'di arus bawah' Umno sebaliknya sibuk dengan agenda besar yang tidak mungkin dicapainya.

Bukan sahaja Umno menghadapi zaman gelap, malahan MCA dan Gerakan juga menempuh kemuraman yang amat sangat.

Mereka mahu, Zulhasnan bertanggungjawab dengan kemusnahan ini atau namanya akan dipahat dalam sejarah, sebagai 'pemusnah BN' di WP.

Satu sumber yang rapat dengan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Dato' Seri Dr Suleiman Mohamed memberitahu, cadangan supaya kawasan Parlimen Titiwangsa dipecah dua, yang kedua-duanya ditandingi calon dari Umno (BN) tidak diterima.

Malahan, mereka kesal kerana kerusi Parlimen Wangsa Maju yang merupakan kubu kuat Umno suatu ketika dahulu, kini sudah ditandingi MCA dan, terbaru calon MCA tewas kepada calon PKR.

Kata sumber itu lagi, tidak hairanlah kalau Zulhasnan yang pernah menjadi Ahli Parlimen Wangsa Maju, tidak diiktiraf oleh Umno bahagian itu, kerana mereka cukup kecewa dengan Zulhasnan yang tidak memperdulikan ahli-ahli Umno di Wangsa Maju apabila sudah selesa di tempat baru, Setiawangsa.

"Jika bukan kerana Umno Wangsa Maju menobatkannya, tiada siapa kenal dia," kata mereka yang marahkan Zulhasnan. - mks._

Read More...

Bala, Raja Petra bakal saksi, kes Altantuya ditunda Januari

Mstar Online


P. BALASUBRAMANIAM ketika mengadakan sidang akhbar pada 3 Julai lalu di Kuala Lumpur.

SHAH ALAM: Dua komando polis, Cif Insp Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, perlu menunggu sehingga 15 Januari tahun depan untuk membela diri di Mahkamah Tinggi di sini terhadap pertuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ini kerana peguam bela masing-masing, Datuk Hazman Ahmad dan Kamarul Hisham Kamaruddin, tidak dapat menghubungi dan menemu bual saksi yang mereka rancang untuk dipanggil memberikan keterangan.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membenarkan permohonan mereka dan memberi tempoh dua bulan untuk mereka membuat persediaan kes.

"Saya hendak kes ini dibicarakan berterusan bermula 15 Januari sehingga selesai," katanya.

Azilah, 32, dan Sirul Azhar, 36, keduaduanya anggota Unit Tindakan Khas(UTK), dijadual membela diri hari ini terhadap pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja antara 10 malam, 19 Oktober 2006 dan 1 pagi keesokkan harinya.

Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi, 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam keesokkan harinya, dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan itu pada 31 Oktober tanpa dipanggil membela diri.

Dalam permohonannya hari ini, Hazman berkata, beliau tidak dapat memutuskan untuk memanggil siapa untuk memberikan keterangan kerana beliau tidak dapat menemu bual mereka kerana sesetengah daripada mereka tidak berada di Kuala Lumpur.

Katanya, beliau juga memohon diberikan masa untuk menyelesaikan semua kes yang dikendalikannya dari 2003 hingga 2006 yang masih menunggu perbicaraan, yang telah ditangguhkan untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes Altantuya, kerana hakim yang mendengar kes berkenaan semakin hilang sabar dan tidak membenarkan penangguhan.

"Pendakwaan telah mengambil satu tahun setengah untuk pendakwaan kes ini. Kami juga perlu diberikan ruang dan masa untuk menyediakan pembelaan," katanya.

Kamarul Hisham juga memohon diberikan lebih banyak masa untuk menghubungi Raja Petra Raja Kamaruddin dan penyiasat persendirian P. Balasubramaniam yang beliau bercadang untuk panggil sebagai saksi.

"Saya telah menulis surat kepada peguam belanya pada 21 Oktober, tetapi tiada jawapan daripada peguam yang mewakili Raja Petra. Kami juga telah menghantar pesanan kepada peguamnya dan firma guaman mereka, kami masih belum menerima jawapan," katanya.

Raja Petra, yang baru-baru ini dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), telah membuat akuan bersumpah mengaitkan seorang ahli politik kanan dan isterinya dengan pembunuhan itu.

Balasubramaniam juga membuat akuan bersumpah serupa tetapi menarik balik akuan itu tiga hari kemudian dalam satu lagi akuan bersumpah.

Kamarul Hisham berkata beliau dimaklumkan oleh pihak pendakwaan yang pegawai penyiasat Tonny Anak Lunggan tidak dapat mengesan lokasi di mana Balasubramaniam berada dan perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Tun Majid, sementara itu berkata, beliau tiada bantahan dengan penangguhan itu tetapi memaklumkan kepada mahkamah yang beliau akan mengemukakan bantahan mengikut 136 Akta Keterangan berhubung dengan hasrat pihak pembelaan untuk memanggil semula beberapa saksi pendakwaan termasuk Balasubramaniam.

Di luar mahkamah, Hazman memberitahu wakil media yang beliau merancang untuk memanggil sembilan saksi termasuk seorang pakar telekomunikasi dan teman wanita Azilah.

Kamarul Hisham, ketika ditanya mengenai kerelevanan akuan bersumpah Raja Petra itu, berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi buat masa ini.

"Kita perlu tunggu kerana akuan bersumpah Raja Petra jelas membayangkan yang beliau mempunyai sumber dan sehingga dan kecuali saya telah menemu bualnya, saya tidak tahu siapakan sumber itu, dan sama ada beliau bersedia mendedahkan mereka."

Katanya, beliau juga perlu mengesahkan sama ada Raja Petra bersedia untuk ditemu bual, jika tidak beliau perlu mencari jalan untuk sapina penulis blog itu. BERNAMA

Read More...

Pengebom Bali dikebumi

Berita Harian


PENYOKONG pengebom Bali berasak-asak dengan anggota keselamatan ketika pengebumian Amrozi dan Ali Ghufron di Jawa Timur, semalam. Gambar kecil dari kiri Amrozi, Imam Samudra dan Ali Ghufron (Mukhlas).

Suasana tegang selepas Amrozi, Mukhlas, Imam Samudra ditembak

TENGGULUN: Ketegangan dan pergaduhan meletus selepas tiga pengebom Bali menjalani hukuman mati dan dihantar untuk pengebumian di kampung halaman masing-masing, semalam.

Amrozi, 47, abangnya Mukhlas, 48, dan Imam Samudra, 38, ditembak mati di sebuah ladang oren berhampiran penjara mereka di pulau Nusakambangan, selatan Jawa, lapor televisyen TV One.

Satu sumber penjara memberitahu AFP, mereka menjerit 'Allahu Akbar' ketika diiringi keluar dari bilik penjara oleh polis separa tentera sejurus sebelum tengah malam Sabtu.

Dalam serangan pada 2002, mereka mensasarkan kelab malam penuh sesak di Bali, membunuh lebih 160 warga asing termasuk 88 rakyat Australia serta 38 rakyat tempatan.

Pengebom yang juga anggota Jemaah Islamiyah (JI) yang didakwa ada hubungan dengan al-Qaeda, menyatakan tidak pernah kesal dengan kematian 'kafir' dan mendakwa kematian mereka adalah 'syahid'.

IBU Imam Samudra, Embay Badriyah hadiri pengebumian anaknya di Banten, semalam.

Beratus-ratus penyokong bertembung dengan anggota polis ketika jenazah Mukhlas dan Amrozi yang digelar 'pembunuh tersenyum' - dihantar helikopter ke sini, di Jawa Timur.

Polis bersenjata tidak dapat mengawal kira-kira 500 penyokong yang mengelilingi ambulans membawa jenazah. Pertembungan meletus dan polis terpaksa menjarakkan diri di tepi jalan raya di tengah laungan 'Jihad' dan 'Keluar'.

Senario sama kelihatan di Serang, bandar Jawa Barat ketika jenazah Imam Samudra dibawa ke kawasan perkuburan.

Anggota kumpulan radikal diketuai ulama Abu Bakar Bashir, pengasas bersama JI yang dipenjarakan kerana berkonspirasi dengan serangan itu sebelum dibebaskan, memaksa orang ramai ke tepi untuk memberi laluan kepada jenazah.

Wartawan Barat di kedua-dua perkampungan dimaki dengan kata-kata 'kafir' dan dihalau. Namun, majoriti umat Islam Indonesia tidak bersimpati dengan militan dan ada yang menyifatkan 'jihad' pengebom adalah salah.

"Jika peperangan meletus, berperang untuk berjihad adalah baik untuk agama namun jangan lakukannya di Indonesia. Bali bukannya medan perang," katanya.

Dalang di sebalik pengeboman Bali dan serangan berikutnya, rakyat Malaysia Noordin Mohammad Top, masih bebas dan tumpuan kini diberi kepada usaha menahannya. - AFP

Read More...

Pengkid cabar fatwa

MyMetro

Oleh FUAD HADINATA YAACOB dan SHAMRAN SARAHAN

metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Fatwa itu tidak akan berjaya menghapuskan pengkid. Takkan apabila saya berjalan dalam keadaan berpakaian seperti lelaki, polis terus tahan dan tangkap saya.

“Atau, adakah apabila saya dengan kawan perempuan makan bersama-sama, kami terus ditangkap?” kata seorang pengkid dikenali sebagai Win yang seolah-olah mencabar fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK), bau-baru ini.

Kata Win, dia yakin di kalangan pengkid, fatwa yang diumumkan MFK pada 23 Oktober lalu tidak akan mengubah keadaan, malah golongan perempuan yang berpakaian dan berperwatakan seperti lelaki itu akan terus dengan aktiviti mereka seperti biasa.

Menurut Win, pengharaman itu hanya sekadar di atas kertas kerana pihak berkuasa sukar mengambil tindakan, terutama dalam membezakan sama ada seseorang itu pengkid atau tidak.

“Kami tahu mereka (pihak berkuasa) sukar ambil tindakan ke atas kami. Jika saya berkawan dengan wanita lain, adakah kami akan ditahan? Apa bukti mengatakan saya pengkid selain cara berpakaian kerana sesiapapun boleh berpakaian seperti ini,” katanya.

Menurut MFK, gejala pengkid diharamkan kerana kesalahan golongan itu di sisi Islam sangat serius berikutan mereka bukan hanya berpakaian menyamai lelaki, tetapi wujud kecenderungan melakukan hubungan seksual sesama wanita.

Mengulas hal itu, Win berkata, tidak semua pengkid melakukan kesalahan, walaupun dia mengakui ada yang bertindak di luar batasan.

“Kami hanya mahu berseronok atau bersuka-suka, tetapi saya tak nafikan ada pengkid yang lebih-lebih sehingga bercinta dan melakukan hubungan seks sesama jenis,” katanya.

Menurutnya, pengkid menjadi pilihan wanita kerana didakwa lebih memahami golongan itu, terutama apabila wujud masalah.

“Kami (pengkid) lebih mudah dekati mereka (wanita), terutama apabila ada masalah. Walaupun sehingga ada yang melakukan hubungan seks, ia masih selamat kerana sukar untuk mengandung,” katanya.

Win yang bekerja di sebuah pasar raya mengakui dia ada teman wanita meskipun sedar mereka sukar mendirikan rumah tangga.

“Ramai tidak memahami keadaan kami. Sejak kecil sampai sekarang, saya tiada naluri terhadap lelaki, malah ibu bapa tidak kisah saya berpakaian seperti lelaki.

“Saya tahu saya tidak boleh selama-lamanya begini. Satu hari nanti saya akan berubah. Jika ditakdirkan ibu minta saya kahwin dengan lelaki, saya akan paksa diri ini untuk berkahwin,” katanya.

Seorang lagi pengkid yang mahu dikenali sebagai Asni, 25, berkata dia berasa lucu dengan pengharaman itu kerana percaya pihak berkuasa, terutama jabatan agama, belum tentu dapat mengambil tindakan meskipun ada pasangan pengkid sudah lama tinggal sebumbung.

Dia mengakui, sejak bertukar ‘wajah’ menjadi lelaki selepas tamat sekolah, dia hidup bahagia kerana memiliki pasangan sejenis dan mereka saling menyintai sejak dua tahun lalu.

Mereka kini tinggal sebumbung bagaikan pasangan suami isteri di sekitar Ampang selama hampir satu tahun.

Katanya, sejak pengharaman itu diumumkan, dia dan kekasihnya berusia 22 tahun mengambil keputusan untuk terus tinggal bersama dengan alasan tiada tindakan boleh diambil kerana mereka sesama wanita.

“Buat masa sekarang saya tak hendak ambil tahu (pengharaman itu). Saya tahu jalan yang kami pilih salah dan berdosa. Namun saya tidak dapat hendak mengubah naluri diri sejak kecil. Apa mereka (pihak berkuasa) boleh lakukan?

“Adakah kami boleh ditangkap atas kesalahan menjadi pengkid? Bukan sewenang-wenangnya tindakan boleh diambil,” katanya yang bertubuh kurus, kulit putih dan berambut pendek kemerahan.

Sambil memeluk mesra pasangannya yang ada bersama ketika itu, Asni berkata, setakat ini kehidupan yang dilalui bersama kekasihnya tidak berubah dan berjalan seperti biasa.

Katanya, saban hari dia dan pasangannya masih melakukan rutin harian seperti biasa seperti keluar bersama pengkid lain, mengunjungi kelab ‘snooker’ dan pusat hiburan.

“Saya sudah fikir masak-masak, apa sebenarnya yang perlu saya takutkan? Lebih baik saya jalani hidup seperti biasa dan bergembira bersama rakan lain.

“Begitu juga ketika di rumah bersama kekasih, tiada apa perlu berubah antara kami. Takkan kerana isu ini dibangkitkan, saya perlu tidur bilik berasingan dengannya.

“Walaupun naluri saya begini, fizikalnya saya tetap wanita. Ketika ini saya bersekedudukan dengan wanita juga, apa yang hendak ditakutkan. Sebab itu ada baiknya saya tidak berfikir mengenai itu,” katanya yang berasal dari Perak.

Menurutnya, pihak berkuasa juga terlepas pandang mengenai satu lagi budaya pengkid iaitu lesbian yang menjadi pasangan atau kekasih pengkid.

Katanya, golongan terbabit mengekalkan ciri-ciri kewanitaan, berpakaian wanita tapi naluri dan keinginan seksual mereka hanya pada wanita juga.

“Sejauh mana pun tindakan diambil, ia tidak mengubah apa-apa. Mungkin boleh mengubah cara pengkid berpakaian. Apa pula ceritanya jika ia sekadar imej luaran tetapi dalaman masih naluri sama,” katanya.

Seorang lagi pengkid bernama Jas, 22, juga mempertikai fatwa pihak berkuasa dengan alasan mereka hanya berpakaian seperti lelaki tetapi tidak melakukan jenayah seperti mana pihak lain.

“Kami tidak merogol, tidak mencuri atau melakukan jenayah besar seperti membunuh. Yang kami buat ialah keluar dengan rakan, ‘enjoy’, lepak dan minum, itu saja,” katanya yang memiliki seorang teman wanita dengan rupa paras menawan.

Ditanya mengenai keputusan MFK, Jas berkata, dia membincangkan perkara itu dengan rakan pengkid lain, namun mereka tidak ambil peduli kerana ia sekadar fatwa.

“Kita lihat dalam kes lain seperti pondan atau gay, mereka juga melakukan kesalahan, tetapi kenapa sampai hari ini masih wujud. Pada saya, biar apapun mereka nak buat, itu hak mereka,” katanya yang menyedari hidup mereka bergelumang dosa dan menjalin hubungan luar tabii bersama pasangan sejenis.

Awi, 21, pula berkata, walaupun akur dengan pengharaman budaya itu, dia tidak kisah sekalipun ada rakan sekerja dan keluarga memandang serong terhadapnya.

Dia yang kini tinggal serumah dengan rakan pengkid sekitar Sentul juga nekad untuk meneruskan kehidupan sebagai pengkid kerana menganggap pengharaman itu bukan penghalang untuk mereka mengekalkan gaya hidup dan berkumpul bersama pengkid lain.

“Saya tidak peduli (pengharaman) itu semua! Saya tahu siapa diri saya. Jika ada pengkid hendak berubah kerana isu ini, itu urusan mereka.

“Saya percaya, jika hendak berubah atau tidak, biar lahir daripada kerelaan hati. Itu yang seelok-eloknya, bukan kerana desakan dan paksaan,” katanya yang mengakui pernah berniat membunuh diri kerana dibuang keluarga apabila diketahui menjadi pengkid.

Seorang lagi pengkid, Joey, 24, dari Johor, berkata dia keliru dengan jalan hidup dipilih, ditambah pula bergelumang dosa menjalin hubungan sesama jenis sejak tamat persekolahan.

“Namun, inilah perasaan dan keinginan naluri sebenar saya. Saya terima hakikat, saya tetap wanita walaupun penampilan seperti lelaki.

“Namun, saya sukar menerima kehadiran lelaki dalam diri saya. Perasaan saya hanya untuk wanita. Memang sukar untuk dijelaskan,” katanya yang kini tinggal bersama ‘kekasih’ songsangnya di Wangsa Maju sejak 2006.

Begitupun, katanya, sejak pengharaman itu diumumkan dia turut terkena tempias apabila keluarga dan rakan mula menyisihkan dirinya.

“Keluarga yang mulanya tak kisah kini buruk sangka dan keliru dengan penampilan saya begini. Mereka malu dan tidak mahu terima diri saya jika tidak mahu berubah.

“Begitu juga rakan di pejabat, kadangkala saya tidak tahan diperli dan diketawakan kerana penampilan begini. Semua orang di sekeliling memandang serong. Namun sukar untuk berubah kerana naluri ini membelenggu saya,” katanya.

Ciri-ciri:

Pengkid

> Berpakaian dan bergaya seperti lelaki (pakaian dan cara hidup)

> Tubuh badan dan rambut sama seperti lelaki

> Menjalin hubungan dengan wanita sehingga ada yang bercinta dan melakukan seks

> Membengkung payudara

> Suka wanita cantik

> Menganggap diri seperti lelaki yang boleh menjaga pasangan, terutama apabila diganggu

Tomboi

> Perwatakan seperti lelaki

> Ada perasaan terhadap lelaki

> Bukan lesbian (suka sesama jantina atau pengkid)

> Minat terhadap aktiviti lasak dan mencabar

> Ada sikap kasar dan ganas

Lesbian

> Perwatakan sama seperti wanita sejati

> Homoseks (lesbian)

> Memiliki sikap cemburu

> Suka wanita cantik

Read More...

Umpama bom jangka - Tong gas memasak tidak mampu tampung tekanan NGV


LIEW menunjukkan tong gas NGV yang diluluskan dan lebih selamat berbanding penggunaan tong gas memasak di Gombak semalam.


GOMBAK - Pengubahsuaian tong gas memasak gas petroleum cecair (LPG) sebagai tangki tambahan mengisi gas asli untuk kenderaan (NGV) dianggap perbuatan mengundang malapetaka.

Ini kerana tong gas untuk LPG hanya mampu menerima ketumpatan cecair pada tekanan 50 sehingga 100 bar sahaja dan tidak mampu menampung tekanan bagi NGV yang mencecah sehingga 200 bar.

Pengedar dan pengusaha bengkel pemasangan NGV, BMC-IB Auto Sdn. Bhd., John Liew berkata, tong gas memasak memang tidak selamat dipakai sebagai tangki simpanan NGV.

"Ia umpama kita meniup belon, makin lama ditiup, belon itu akan mengembang sehingga apabila tidak berupaya menahan tekanan itu lalu meletup.

"Tong gas memasak juga tidak ada ciri-ciri keselamatan seperti tangki NGV yang boleh memutuskan pengaliran NGV secara automatik jika menerima tekanan tinggi," katanya ketika ditemui di bengkelnya di Taman Samudera, Batu Caves, di sini semalam.

Menurut Liew, tangki NGV yang diiktiraf oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan yang dijual secara bertauliah mempunyai keupayaan menerima tekanan antara 200 sehingga 300 bar dan selamat digunakan.

"Selain itu, jangka hayat tangki NGV telah tetapkan antara 15 sehingga 20 tahun manakala tong gas memasak kita tidak tahu jangka hayatnya, lebih lama makin tidak kuat," ujarnya.

Walaupun ia berbahaya, ada pemilik kenderaan sama ada sedar atau tidak tetap memilih kaedah penjimatan itu, tambah pula harga tangki NGV mencecah RM2,000 sebuah.

Read More...

Umno Semakin Hari Semakin Buruk

msomelayu

BURUK dan busuknya Umnoku oh... bukan Umnomu! Umno yang mengakhiri persidangan peringkat bahagian hari ini meninggalkan beberapa tragedi dan peristiwa yang bukan saja busuk tetapi menakutkan. Segala macam keburukan, kejahatan dan kedurjaan nampaknya bersarang dalam Umno.

Sudah ada juga tanda-tanda bukan saja budaya samseng ala gedebe Kampung Dusun, tetapi budaya Tamil Elan juga ada.

Berbagai kejadian tidak elok dilaporkan berlaku di sepanjang mesyuarat bahagian Umno sejak sebulan lalu. Apa yang berlaku menunjukkan perkembangan tidak sihat sedang melanda parti orang Melayu itu. Empat bahagian ditangguhkan dan tidak dapat menyelesaikan mesyuarat mereka seperti mana dijadualkan. Kegagalan itu menjelaskan betapa Umno sedang berhadapan dengan masalah moral ataupun pentadbiran yang meruncing.

Empat bahagian itu dua di Kelantan masing-masing satu Perak dan satu di Negeri Sembilan.

Dua bahagian di Kelantan ialah Tanah Merah dan Pengkalan Chepa. Keduanya patut mengadakan persidangan semalam, namun ditangguhkan atas nasihat Ibu Pejabat Umno setelah merujuk kepada perundangan. Mesyuarat Umno bahagian Tanah Merah ditangguh ekoran bantahan ahli kepada ibu pejabat parti belum diputuskan.

Satu lagi bahagian ialah Pengkalan Chepa. Mesyuarat bahagian itu ditangguh atas arahan sepucuk surat dari ibu pejabat yang meminta agar semua cawangan dalam bahagian itu diadakan semula.

Satu bahagian di Perak di tangguhkan adalah di Larut. Masalahnya kerana pertikaian berlaku antara ketua bahagian itu Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dengan calon ketua, Hamzah Zainuddin. Hamzah dikatakan tidak berhak bertanding kerana beliau baru menjadi ahli Umno bahagian berkenaan. Kerana pertikaikan itu Raja Ahmad meminta agak mesyuarat ditangguhkan.

Manakala bahagian Seremban, Negeri Sembilan pula ditangguhkan, lagi teruk, apabila mesyuarat itu menajdi kecoh dan sampai baling kerusi. Dua ahli perwakilan dilaporkan mengalami cedera parah. Apa yang berlaku di Seremban hari ini adalah klimaks 'kemabukan kuasa' dalam Umno.

Jika diperhatikan apa yang berlaku dalam mesyuarat bahagian itu menunjukkan Umno berada dalam keadaan membimbangkan. Politik buruk, tidak bermoral yang sebelum ini berlaku dalam parti MIC, kini sudah diambil tempat pula oleh Umno.

Kenapa berlaku tragedi demikian? Apakah puncanya? Apakah yang menjadi ahli tidak berpuas hati dan terpaksa menggunakan kaedah atau mekanisme yang boleh mencemarkan maruah dan martabat orang Melayu? Kalau Onn Jaafar dan Tuanku Abdul Rahman masih hidup tentu mereka akan menangis melihat nasib dialami Umno kini.

Apakah kerana nilai atau pun pengagihan wang rasuah bagi menyokong calon tertentu tidak adil! Seperti mana diketahui umum masalah rasuah dalam Umno menjadi-jadi. Rasuah sudah menjadi budaya. Ahli sudah ada mindset, bahawa mereka hadir mesyuarat wajib diupah... dan menjadikan kehadiran itu sebagai sumber rezeki instant.

Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi ketika memberi pandangan berhubung kejadian di Seremban itu mengatakan ia satu kejadian yang memalukan. Siapa yang malu?
Memang memalukan. Umno sebagai parti tulang belakang dalam BN sepatutnya terhindar daripada terlibat dengan kejadian-kejadian memalukan itu. Dengan apa yang berlaku ia boleh menyebabkan parti komponen akan hilang penghormatan kepada Umno.

Jangan kesal dan salahkan orang kalau satu masa nanti MCA atau Gerakan atau MIC atau rakan dalam BN akan mempersoalkan wibawa Umno? Mereka akan hilang kepercayaan dan penghormatan kepada Umno. Dan jangan terkejut kalau mereka rama-ramai mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno bersendirian. Tidak mustahil.

Mungkin sebelum sampai ke perhimpunan agung Mac depan lagi banyak laporan kejadian tidak diingini dikemukakan. Menurut pihak Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithaudden Ismail pihaknya menerima 900 aduan berhubung salah laku disepanjang mesyuarat bahagian. Ini satu kes teruk.

Jumlah itu bukan sesuatu yang kecil. Ia angka yang menggerunkan dan perlu diberikan perhatian segera oleh seluruh ahli Umno. Sudah pasti angka aduan itu akan bertambah dari hari kesehari.

Melihat kepada masalah yang berlaku dalam persidangan peringkat bahagian yang penuh dengan masalah, kelam kabut, pertikaian dan bantah membantah itu apakah berkemungkinan persidangan Umno untuk semua bahagian akan dibatalkan dan diadakan semula?

Segalanya bergantung kepada keputusan Lembaga Disiplin yang akan membuat kajian dan penilaian. Kalau ianya dibatalkan maka sekali lagi Umno mencatat satu lagi sejarah hitam dalam usianya sesudah 62 tahun. Tidak mustahil semua ini, tidak mustahil! [wm.kl. 09/11/08]

Read More...

Mahkamah tolak pinda tuduhan hasutan terhadap Raja Petra

Mstar Online

RAJA Petra Kamaruddin (kanan) ditemani isterinya Marina Lee Abdullah (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dekat sini bagi menyambung perbicaraan berhubung penerbitan artikel berbaur hasutan hari ini. - fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan terhadap pengendali dan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin, untuk memasukkan dua intipati iaitu tajuk artikel dan alamat laman web.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas permohonan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof untuk memasukkan dua intipati itu dibantah oleh peguam yang mewakili Raja Petra, Gobind Singh Deo.

Dalam permohonannya, Ishak berkata kemasukan dua intipati itu penting supaya ia lebih konsisten dengan pertuduhan yang dikenakan.

”Tujuan pindaan tersebut adalah untuk memastikan tertuduh lebih memahami pertuduhan yang dikenakan mengikut Sesyen 153(1) Kanun Tatacara Jenayah.

”Setakat ini tidak timbul sebarang prejudis mengenai keterangan yang diberikan oleh saksi pihak pendakwaan,” katanya.

Gobind Singh pula berhujah pindaan tersebut akan menimbulkan prejudis terhadap pihak pembelaan memandangkan seramai lima orang saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan mengikut pertuduhan asal.

Raja Petra, 58, menghadapi tuduhan menerbitkan artikel berbaur hasutan di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

Artikel tersebut bertajuk “Let’s Send the Altantuya Murderers to Hell” diterbitkan dalam www.malaysiatoday.net pada 25 April.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau keduaduanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, saksi keenam pendakwaan, S. Sivanathan, 28, Penganalisa Forensik Digital, memberitahu mahkamah bahawa terdapat bukti yang menunjukkan artikel tersebut telah diakses dengan menggunakan unit pemprosesan (CPU) dan komputer riba milik Raja Petra.

Beliau berkata ia berdasarkan penelitian dan tafsirannya terhadap laporan Unit Siasatan Forensik Komputer, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia bertarikh 4 Mei 2008.

Sivananthan juga mengesahkan unit komputer yang dirampas polis itu digunakan untuk mengakses laman web Malaysia Today dengan menggunakan kata laluan dan kata kunci.

”Tanpa kata laluan dan kata kunci kita memang tidak boleh mengakses masuk sebarang program yang memerlukannya,” katanya.

Perbicaraan disambung esok.

Pada 10 Oktober lalu, pihak pendakwaan memohon masa untuk mengkaji semula kertas pertuduhan terhadap Raja Petra yang dituduh menerbitkan artikel menghasut dalam sebuah laman web pada perbicaraan hari keempat kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof membuat permohonan itu ekoran pertikaian berhubung lampiran yang didakwa oleh pihak pembelaan sebagai tidak asli.

Peguam Gobind Singh Deo membangkitkan perkara itu dengan menyatakan, lampiran 'A' yang disertakan bersama-sama dengan kertas pertuduhan adalah tidak sama dengan artikel asli yang diterbitkan oleh anak guamnya pada 25 April lalu.

Selain tidak mempunyai judul "Let's Send The Altantuya Murderes to Hell", isi kandungan lampiran itu didakwa pembelaan telah ditaip semula dan gambar Raja Petra dilampiran juga didakwa adalah hasil salinan semula ("cut and paste").

Sehubungan dengan pertikaian itu, Ishak memohon pihaknya diberi masa untuk meneliti dan mempertimbangkan semula kertas pertuduhan.

Terdahulu, pertuduhan ke atas Raja Petra menyebut, penulis blog itu didakwa telah menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman web Malaysia Today yang mempunyai alamat web http://www.malaysia-today.net iaitu satu artikel bertajuk "Let's Send The Altantuya Murderes to Hell" seperti di Lampiran'.'A" yang mengandungi ayat-ayat menghasut seperti yang digariskan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 25 April lalu dalam sebuah rumah di alamat No; 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum bawah Seksyen 4 (1) akta itu di mana hukuman memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Raja Petra, 58, dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Pada Jumaat lalu, Raja Petra, 58, telah dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Alasan penahanan Raja Petra di bawah ISA antara lain menyebut, beliau sejak 16 Januari lepas sehingga ditangkap pada 12 September lepas melalui Malaysia Today yang dimiliki dan dikendalikan beliau telah bertindak secara sedar, sengaja dan tidak bertanggungjawab menyiarkan artikelartikel tulisannya dan komen pembaca yang mempersenda dan menghina orang Islam, kesucian agama Islam serta peribadi Nabi Muhammmad s.a.w yang telah membangkitkan kegelisahan dan kemarahan masyarakat Islam di negara ini.

Read More...

Tarif elektrik turun jika harga arang batu turun

MyMetro

KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan mempertimbang mengurangkan kadar tarif elektrik sekiranya harga arang batu di pasaran turun di bawah paras AS$75 satu tan selama tiga bulan berturut-turut, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

“Tak kiralah bila, kalau harga komoditi (arang batu) itu jatuh di bawah paras AS$75 satu tan untuk tempoh tiga bulan berturut-turut, saya akan meminta Suruhanjaya Tenaga mengkaji semula sama ada kita boleh turunkan tarif elektrik atau tidak,” katanya.

“Tetapi sehingga sekarang, dah lima bulan (sejak Julai) harga arang batu terus meningkat,” katanya kepada media ketika ditanya sama ada kerajaan akan menurunkan kadar tarif elektrik berikutan penurunan harga minyak dunia, selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kecekapan Tenaga Kebangsaan, di sini.

Read More...

Singapura belum sedia pilih PM bukan Cina – Hsien Loong

Utusan Online

SINGAPURA 9 Nov. – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berpendapat republik ini yang mempunyai penduduk berbilang kaum berjumlah lebih 3.5 juta orang, belum bersedia untuk memilih Perdana Menteri bukan Cina dalam tempoh terdekat.

Hsien Loong membuat kenyataan itu semalam semasa dialog dengan anggota masyarakat Melayu di sini sebagai menjawab soalan sama ada pemilihan Barack Obama sebagai Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat (AS) bermakna anggota kaum minoriti di negara ini juga berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri.

“Kemungkinannya ada, ini bergantung kepada cara penduduk mengundi dan siapa yang mendapat keyakinan rakyat.

“Adakah ini akan berlaku tidak lama lagi? Saya tidak fikir begitu kerana seseorang perlu memenangi undi,” kata Hsien Loong menurut laporan akhbar Sunday Times hari ini.

Beliau berkata, sentimen yang mendorong seseorang mengundi calon tertentu akan memakan masa yang lama untuk hapus sama sekali.

Kira-kira 75 peratus daripada 3.64 juta penduduk tetap Singapura ialah kaum Cina, sementara hampir 14 peratus merupakan kaum Melayu dan sembilan peratus lagi kaum India.

Jawatan Presiden Singapura yang tidak memiliki kuasa sebenar disandang oleh seorang yang berketurunan India.

Seorang daripada dua Timbalan Perdana Menteri Singapura serta tiga menteri dalam Kabinet Hsien Loong juga daripada kaum India.

– AFP

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |