+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, November 11, 2008

Bala, Raja Petra bakal saksi, kes Altantuya ditunda Januari

Mstar Online


P. BALASUBRAMANIAM ketika mengadakan sidang akhbar pada 3 Julai lalu di Kuala Lumpur.

SHAH ALAM: Dua komando polis, Cif Insp Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, perlu menunggu sehingga 15 Januari tahun depan untuk membela diri di Mahkamah Tinggi di sini terhadap pertuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ini kerana peguam bela masing-masing, Datuk Hazman Ahmad dan Kamarul Hisham Kamaruddin, tidak dapat menghubungi dan menemu bual saksi yang mereka rancang untuk dipanggil memberikan keterangan.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membenarkan permohonan mereka dan memberi tempoh dua bulan untuk mereka membuat persediaan kes.

"Saya hendak kes ini dibicarakan berterusan bermula 15 Januari sehingga selesai," katanya.

Azilah, 32, dan Sirul Azhar, 36, keduaduanya anggota Unit Tindakan Khas(UTK), dijadual membela diri hari ini terhadap pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja antara 10 malam, 19 Oktober 2006 dan 1 pagi keesokkan harinya.

Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi, 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam keesokkan harinya, dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan itu pada 31 Oktober tanpa dipanggil membela diri.

Dalam permohonannya hari ini, Hazman berkata, beliau tidak dapat memutuskan untuk memanggil siapa untuk memberikan keterangan kerana beliau tidak dapat menemu bual mereka kerana sesetengah daripada mereka tidak berada di Kuala Lumpur.

Katanya, beliau juga memohon diberikan masa untuk menyelesaikan semua kes yang dikendalikannya dari 2003 hingga 2006 yang masih menunggu perbicaraan, yang telah ditangguhkan untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes Altantuya, kerana hakim yang mendengar kes berkenaan semakin hilang sabar dan tidak membenarkan penangguhan.

"Pendakwaan telah mengambil satu tahun setengah untuk pendakwaan kes ini. Kami juga perlu diberikan ruang dan masa untuk menyediakan pembelaan," katanya.

Kamarul Hisham juga memohon diberikan lebih banyak masa untuk menghubungi Raja Petra Raja Kamaruddin dan penyiasat persendirian P. Balasubramaniam yang beliau bercadang untuk panggil sebagai saksi.

"Saya telah menulis surat kepada peguam belanya pada 21 Oktober, tetapi tiada jawapan daripada peguam yang mewakili Raja Petra. Kami juga telah menghantar pesanan kepada peguamnya dan firma guaman mereka, kami masih belum menerima jawapan," katanya.

Raja Petra, yang baru-baru ini dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), telah membuat akuan bersumpah mengaitkan seorang ahli politik kanan dan isterinya dengan pembunuhan itu.

Balasubramaniam juga membuat akuan bersumpah serupa tetapi menarik balik akuan itu tiga hari kemudian dalam satu lagi akuan bersumpah.

Kamarul Hisham berkata beliau dimaklumkan oleh pihak pendakwaan yang pegawai penyiasat Tonny Anak Lunggan tidak dapat mengesan lokasi di mana Balasubramaniam berada dan perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Tun Majid, sementara itu berkata, beliau tiada bantahan dengan penangguhan itu tetapi memaklumkan kepada mahkamah yang beliau akan mengemukakan bantahan mengikut 136 Akta Keterangan berhubung dengan hasrat pihak pembelaan untuk memanggil semula beberapa saksi pendakwaan termasuk Balasubramaniam.

Di luar mahkamah, Hazman memberitahu wakil media yang beliau merancang untuk memanggil sembilan saksi termasuk seorang pakar telekomunikasi dan teman wanita Azilah.

Kamarul Hisham, ketika ditanya mengenai kerelevanan akuan bersumpah Raja Petra itu, berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi buat masa ini.

"Kita perlu tunggu kerana akuan bersumpah Raja Petra jelas membayangkan yang beliau mempunyai sumber dan sehingga dan kecuali saya telah menemu bualnya, saya tidak tahu siapakan sumber itu, dan sama ada beliau bersedia mendedahkan mereka."

Katanya, beliau juga perlu mengesahkan sama ada Raja Petra bersedia untuk ditemu bual, jika tidak beliau perlu mencari jalan untuk sapina penulis blog itu. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |