[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan terhadap pengendali dan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin, untuk memasukkan dua intipati iaitu tajuk artikel dan alamat laman web.
Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas permohonan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof untuk memasukkan dua intipati itu dibantah oleh peguam yang mewakili Raja Petra, Gobind Singh Deo.
Dalam permohonannya, Ishak berkata kemasukan dua intipati itu penting supaya ia lebih konsisten dengan pertuduhan yang dikenakan.
”Tujuan pindaan tersebut adalah untuk memastikan tertuduh lebih memahami pertuduhan yang dikenakan mengikut Sesyen 153(1) Kanun Tatacara Jenayah.
”Setakat ini tidak timbul sebarang prejudis mengenai keterangan yang diberikan oleh saksi pihak pendakwaan,” katanya.
Gobind Singh pula berhujah pindaan tersebut akan menimbulkan prejudis terhadap pihak pembelaan memandangkan seramai lima orang saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan mengikut pertuduhan asal.
Raja Petra, 58, menghadapi tuduhan menerbitkan artikel berbaur hasutan di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.
Artikel tersebut bertajuk “Let’s Send the Altantuya Murderers to Hell” diterbitkan dalam www.malaysiatoday.net pada 25 April.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau keduaduanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, saksi keenam pendakwaan, S. Sivanathan, 28, Penganalisa Forensik Digital, memberitahu mahkamah bahawa terdapat bukti yang menunjukkan artikel tersebut telah diakses dengan menggunakan unit pemprosesan (CPU) dan komputer riba milik Raja Petra.
Beliau berkata ia berdasarkan penelitian dan tafsirannya terhadap laporan Unit Siasatan Forensik Komputer, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia bertarikh 4 Mei 2008.
Sivananthan juga mengesahkan unit komputer yang dirampas polis itu digunakan untuk mengakses laman web Malaysia Today dengan menggunakan kata laluan dan kata kunci.
”Tanpa kata laluan dan kata kunci kita memang tidak boleh mengakses masuk sebarang program yang memerlukannya,” katanya.
Perbicaraan disambung esok.
Pada 10 Oktober lalu, pihak pendakwaan memohon masa untuk mengkaji semula kertas pertuduhan terhadap Raja Petra yang dituduh menerbitkan artikel menghasut dalam sebuah laman web pada perbicaraan hari keempat kes itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof membuat permohonan itu ekoran pertikaian berhubung lampiran yang didakwa oleh pihak pembelaan sebagai tidak asli.
Peguam Gobind Singh Deo membangkitkan perkara itu dengan menyatakan, lampiran 'A' yang disertakan bersama-sama dengan kertas pertuduhan adalah tidak sama dengan artikel asli yang diterbitkan oleh anak guamnya pada 25 April lalu.
Selain tidak mempunyai judul "Let's Send The Altantuya Murderes to Hell", isi kandungan lampiran itu didakwa pembelaan telah ditaip semula dan gambar Raja Petra dilampiran juga didakwa adalah hasil salinan semula ("cut and paste").
Sehubungan dengan pertikaian itu, Ishak memohon pihaknya diberi masa untuk meneliti dan mempertimbangkan semula kertas pertuduhan.
Terdahulu, pertuduhan ke atas Raja Petra menyebut, penulis blog itu didakwa telah menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman web Malaysia Today yang mempunyai alamat web http://www.malaysia-today.net iaitu satu artikel bertajuk "Let's Send The Altantuya Murderes to Hell" seperti di Lampiran'.'A" yang mengandungi ayat-ayat menghasut seperti yang digariskan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 25 April lalu dalam sebuah rumah di alamat No; 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.
Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum bawah Seksyen 4 (1) akta itu di mana hukuman memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Raja Petra, 58, dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.
Pada Jumaat lalu, Raja Petra, 58, telah dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Alasan penahanan Raja Petra di bawah ISA antara lain menyebut, beliau sejak 16 Januari lepas sehingga ditangkap pada 12 September lepas melalui Malaysia Today yang dimiliki dan dikendalikan beliau telah bertindak secara sedar, sengaja dan tidak bertanggungjawab menyiarkan artikelartikel tulisannya dan komen pembaca yang mempersenda dan menghina orang Islam, kesucian agama Islam serta peribadi Nabi Muhammmad s.a.w yang telah membangkitkan kegelisahan dan kemarahan masyarakat Islam di negara ini.
0 comments:
Post a Comment